KARYA : ASMAH
HASHIM.
Air mata Hanim mengalir laju. Hancur hatinya, remuk jiwanya. Anak harapan keluarga tergamak menconteng arang ke mukanya. Di mana dia hendak letak muka, apa pula kata kawan-kawan, jiran tetangga dan kaum keluarga. Nampak sangat dia tidak pandai mendidik anak. Anak tidak ramai, hanya tiga orang, tetapi kenapa jadi seperti ini? Perut anaknya yang sudah membesar dipandang lama, semakin dipandang, semakin sakit hatinya. Kalaulah ikut rasa marah, mahu sahaja dihalau anak gadisnya itu. Di suruh belajar dan balik bawa ijazah tetapi anak gadisnya bawa balik rahim yang berisi.
“Maafkan Rina mama…” tangis
Rina. Tidak sanggup rasanya memandang
wajah mamanya yang sedang cemberut dan tajam merenungnya. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Rahimnya semakin membesar. Dia menyesal! Amat menyesal! Tangisannya berlagu duka, merenyuk perasaan
jiwa dan hatinya.
“Maaf? Kenapa Rina?
Mama tak faham! Tergamak Rina
hancurkan harapan mama dan ayah. Ini ayah tak tahu tau… kalau ayah tahu,
bagaimana?” Ya ALLAH! Semakin perit rasa
dadanya. Kalaulah suaminya tahu apa yang
berlaku. Memikirkan hal itu membuatkan
dirinya semakin tidak keruan.
Tidak terluah kata-kata, dibunuh pun
dia sanggup dan rela. Salah dirinya
sendiri. Ikut hati, mati. Ikut rasa
binasa. Inilah padahnya terlalu mengikut hawa nafsu muda, bersultan di mata,
beraja di hati. Dosa pahala letak ke
tepi. Hukum-hakam langsung tidak
dipandangnya. Bergaul bebas sehingga
lupa diri. Adab seorang muslimah yang
beragama Islam dicampak jauh-jauh.
Dipandang tidak, dijengah pun tidak, konon rasa rugi tidak menikmati
kehidupan bebas di usia muda. Rasa tidak
mengikut kehendak semasa. Rugilah, jadi
orang muda berfikiran tua. Hidup biarlah
nikmati semuanya, hatta menyerah mahkota dan maruah diri. Ikut peredaran zaman,
itulah kata hatinya. Inilah padahnya. Orang tuanya juga yang makan hati. Rina mengeluh kesal. Air mata mengalir laju, melepaskan rasa sakit
di hati, kecewa di jiwa.
“Siapa lelaki yang bertanggungjawab
membuntingkan kau?” tengking Hanim. Rasa
hendak dihempuk-hempuk kepala anak gadisnya itu.
Tidak usah bertanyalah mama, Rina
yang bersalah. Kalau Rina tidak
menyerah, tidak akan ada yang berani menjamah, detik hati kecil Rina. Dia yang tidak pandai menjaga diri. Dia
yang tidak tahu menghargai diri sendiri.
Kenapa hendak salahkan orang lain?
Kalau sudah diri merelakan. Bukan
dipaksa atau terpaksa. Sepatutnya dialah
yang mendindingkan diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak
bertanggungjawab. Tembok yang dipasang
oleh keluarganya mudah sahaja dirobohkan, tergedik-gedik mengikut rentak
muda-mudi hari ini. Konon, tidak mahu
dikatakan ketinggalan zaman. Ikut sahaja
jalan mereka, biarpun akal ada juga berfikir, tindakan itu salah.
“Rina!” jerit Hanim, hilang
sabarnya. Bagaimana dia hendak
menyembunyikan perut anak gadisnya daripada pandangan umum? Ya ALLAH! Apa dosanya sehingga begini besar
ujian yang terpaksa di terima?
Siapa? Dia tidak pasti, malam yang gelap tidak
berbulan dan berbintang. Hanya tubuh dan tangan yang merayap. Syaitan ketawa riang, Malaikat menangis
melihat noda dan dosa berlaku tanpa ada
segan dan silu. Inilah balanya
kesilapan diri sendiri. Apa yang harus
Rina katakan mama, bisik hati kecilnya.
“Membisu dan mendiamkan diri tidak
mampu membantu mama, Rina! Bercakaplah! Siapa?”
rayu Hanim, sudah tidak mampu berdiri, dia duduk mengadap anak gadis
yang membuat aib.
“Apa yang ingin Rina katakan mama…
Rina tidak tahu!” jawab Rina, muka
ditekup menahan malu. Malam pesta yang
bertukar bencana, menghancurkan masa hadapan yang terang menjadi gelap.
“ALLAH! Anak mama!” Hendak pitam rasanya. Menggigil kakinya. Takkan anak gadisnya terlibat dalam pesta… tidak tergamak menyebutnya. Dia meraung semahu-mahunya. Kenapalah tergamak anak gadisnya melakukan
perkata terkutuk itu! Kenapa wahai anak?
Hanim menangis semahu-mahunya.
Kalaulah cetek fikirannya, sudah tentu teruk tubuh anak gadis itu
dikerjakannya.
Rina menerpa dan memeluk tubuh kurus
Hanim. Hatinya turut hancur berkecai
melihat raungan mamanya itu. Ya ALLAH!
Apa yang sudah dia lakukan? Kenapalah
dia bodoh! Akal yang ada tidak diguna
pakai.Mmamanya sering berpesan dan berpesan setiap kali dia pulang ke
asrama. Inilah padahnya tidak mendengar
cakap orang tua. Ikut hati sendiri. Dia beranggapan larangan mamanya bagaikan
orang ketinggalan zaman, tidak mengikut perubahan arus muda-mudi hari ini.
“Kenapa Rina?” tanya Hanim, terasa lemah tubuhnya. Seram sejuk rasanya. Anak yang berada di dalam kandungan anak
gadisnya tidak tahu siapa ayahnya? Ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku, kerana gagal
mendidik anak yang diamanahkan kepadaku, kata Hanim dalam hati, tangisan masih
kedengaran. Air mata masih mengalir laju.
Sakit dadanya berdenyut-denyut.
Terasa dihimpit sesuatu. Kenapa
anaknya sekejam itu? Apa yang hendak
diberitahu kepada suaminya? Orang tuanya?
Ahli keluarga? Jiran
tetangga? Anak itu akan lahir,
tangisannya akan memenuhi ruang rumah itu sehingga ke luar. Anak itu akan membesar, lahir menjadi
cucunya. Ya ALLAH! Semakin sakit kepalanya memikirkan masalah
yang bakal berlaku.
Rina tidak berani berkata apa-apa,
kerana memang salahnya. Dia yang
mengejar keseronokkan dunia. Dia yang lupa diri. Dia yang sanggup
melakukannya. Bukan salah sesiapa. Tangisan berlagu di hati, meraung-raung,
merentap sanubari. Melapah hancur
hatinya. Wajah mamanya yang sedih,
menangis, meraung, tidak sanggup ditenung oleh mata. Dia pendosa, dia telah
menghancurkan hati orang tuanya.
Rahimnya sudah berpenghuni, bakal lahir tidak lama lagi. Dia yang berdosa, bukan bayi itu, bukan juga
mamanya.
“Mama… ampunkan Rina ya… maafkan
Rina, kerana lupa diri!” tangis Rina lagi.
“Rina!” Wajah anak gadisnya
dipandang lama. Terasa menyesal tak
sudah kerana tidak begitu mengambil berat akan diri anaknya. Jarang dijengah di
asrama. Tidak pernah ditanya aktiviti anak gadisnya itu. Apa sahaja yang
diceritakan oleh Rina, didengar dan diterima bulat-bulat. Hanya duit dikirim, hanya diberi nasihat. Tidak pernah dilarang bergaul dengan
teman-teman lelaki. Baginya tiada apa
yang salah. Kalau sekadar keluar sekali-sekala
dan berbual mesra. Hanya kawan, apalah salahnya. Rupanya, anak gadisnya tidak pandai
membezakan, baik dan buruk, dosa dan pahala.
Hubungan lelaki dan perempuan ada batasnya. Bukan begitu caranya. Dia tidak melarang jika berjumpa
beramai-ramai dan di tempat yang terbuka!
Rupanya tetap tidak boleh. Anak
gadisnya tidak tahu keterbatasan itu rupanya?
Aduhai anak! Cetek sungguh
fikiranmu, dangkal sungguh akalmu, Hanim terus menangis duka. Berdarah hatinya, luka yang teramat dalam,
terasa pedih dan peritnya. Tidak matang
rupanya. Umur sahaja besar, tetapi akal belum masak lagi. Apa yang harus dia
lakukan? Hanim terkedu sendiri.
***
Berminggu-minggu dia keluar daerah,
mencari rezeki untuk untuk menyara keluarga.
Berhempas pulas di tempat kerja demi menggembirakan seisi keluarga. Orang berada, dia juga ingin begitu. Orang ada duit berkepuk, dia juga nak. Orang berumah besar, dia juga teringin. Orang
berkereta menjalar, takkan nak tengok sahaja.
Berusahalah dia siang dan malam memenuhi kehendak sendiri dan membuat keluarganya bahagia dan senang
hidupnya.
Kepulangannya kali ini membawa
cerita duka, cerita pedih dan sedih. Dahinya yang sudah berkedut, bertambah
kedutnya. Kepenatan yang terasa semakin
lelah rasanya. Sukar untuk dia mempercayainya,
kalau tidak dilihat dengan mata kepala sendiri.
Perut anaknya telah membuncit?
Bukan makan terlebih, ada nyawa
yang sedang membesar di dalamnya. Ada
insan yang bakal lahir melihat dunia ini
Tidak tahu siapa ayahnya? Tidak
tahu siapa yang telah merosakkan anak gadisnya itu. Terhenyak dia disofa ketika melihat kelibat
anak gadisnya yang sudah berbulan tidak ditemui. Hanya isterinya sahaja yang pergi menziarahi
anaknya di asrama. Dia sibuk bekerja.
“Ya ALLAH!” Hanya perkataan itu
sahaja yang mengalir keluar daripada bibirnya.
Wajah isterinya yang bengkak mata dan tidak terurus itu dipandang
sekali-sekala berselang-seli dengan wajah anaknya yang monyok.
“Apa yang harus kita lakukan bang?”
tanya Hanim, sudah berhari-hari dia sukar untuk melelapkan mata. Hilang kantuknya. Berserabut dan bercelaru fikiran. Hendak disorok ke mana? Di universiti? Silap haribulan anaknya bakal
dibuang. Hendak dihantar ke kampung,
silap haribulan berkilo-kilo leteran kedua orang tuanya. Ke mana?
Di mana? Hanim semakin tidak
keruan, galau di hati semakin menyakitkan.
“Rina?” Wajah yang tidak beriak itu dipandang
tajam. Tidak tahu perkataan apa yang
harus keluar daripada mulutnya. Hatinya
panas terbakar. Anak gadisnya telah
menghancurkan perasaan dan hatinya.
Isterinya turut berasakan perasaan yang sama. Jelas terpampar perasaan itu di wajah
isterinya. Duka telah menghimpit keluarganya.
Perasaan remuk redam, meranapkan semuanya.
Rina tidak menjawab, sama sahaja
reaksinya, tiada perubahan. Apa yang
terlahir hanya ucapan ampun dan maaf.
Berkali-kali dia mengucapkannya.
Biarlah jemu orang tuanya mendengar.
Biar benci orang tuanya mendengar.
Dia yang salah! Dia sendiri
tidak tahu apa yang harus dia lakukan.
Untung dia masih ingat jalan pulang ke rumah orang tuanya. Kalau cetek fikirannya, melahirkan anak itu
di mana-mana dan kemudian membuangnya, bagaimana? Ah! Tidak sanggup melakukan dosa lagi. Apa yang dibawa sudah cukup membebankan
dirinya, membebankan kedua orang tuanya.
Inilah padahnya ikut hawa nafsu!
Bila mamanya memberitahu dan menasihati, dia buang endah tak endah. Tidak mungkin dia akan mengikutnya, dianggap
nasihat yang diterima ketinggalan zaman. Bila sudah terjebak, baharu dia sedar…
kawan-kawan telah memasukkan sesuatu dalam minumannya. Dia khayal, dia mabuk dalam keseronokkan
dunia. Konon tidak mengapa, takkan jadi
apa-apa, sekadar menghilang tekanan pelajaran.
Inilah padahnya! Mencari
keseronokkan sementara. Seronokkan
sangat! Rina menangis lagi.
***
Malam yang gelap gelita, bersaksikan cahaya bulan dan
lampu jalan, dia mengisi beg baju dengan pakaiannya. Tidak mahu lagi menyusahkan kedua orang tua.
Sebelum masyarakat sekeliling mengambil tahu dan mengetahui apa yang berlaku,
biarlah dia pergi jauh daripada keluarganya.
Biarlah dia menyelesaikan sendiri masalahnya. Biarlah dia bawa diri ke
mana sahaja. Apa yang penting tidak
menyusahkan keluarganya. Tidak memalukan kedua orang tuanya. Biarlah dia tanggung sendiri, masalah yang
telah dicipta ini.
Perlahan-lahan langkah diatur. Berhati-hati agar tidak didengari oleh kedua
orang tuanya. Abang dan adiknya tiada
di rumah, mereka tinggal di asrama. Dia
memandang sekeliling. Belum pun melangkah, rasa rindu sudah menjelma. Kalaulah dia… hanya itu perkataan yang terlahir
difikiran. Salah diri sendiri. Tersilap percaturan, tersilap langkah dalam
mencari kedewasaan. Keremajaan bukan
untuk disia-siakan atau mencari hiburan dan keseronokkan semata-mata. Keremajaan seharusnya dipelihara, dijaga,
disemai dengan adab 2dan akhlak agar tumbuh dengan subur dan membesar sihat dan
segar. Dia menjadi tumbuhan yang layu
sebelum berkembang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, besar
musibahnya.
Dia memandang bilik kedua orang
tuanya. Harapan mereka tinggi ingin melihat
dia berjaya. Hanya tinggal setahun
sahaja lagi, dia akan menamatkan pelajarannya.
Hanya setahun lagi, dia akan menggenggam segulung ijazah yang didambakan
oleh orang tua dan dirinya sendiri. Dia
telah musnahkan harapan itu! Dia telah menghancur leburkan impian itu. Dia
telah mengkaramkan kapal yang
dikemudinya sebelum sampai ke pelabuhannya.
Selamat tinggal semuanya, biarlah
kenangan itu tersimpan kemas di hati.
Biarlah dia bawa diri agar tidak menyusahkan orang tuanya. Jangan orang tuanya malu kerana kebodohan
dirinya sendiri. Sudah terhantuk
baharu hendak sedar! Kalaulah dia hantuk
kepala sendiri sebelum terjebak, alangkah bagusnya. Rina mengeluh berat. Langkahnya semakin menghampiri pintu. Beg pakaian ditarik perlahan-lahan, jangan ada
yang terdengar langkahnya untuk melarikan diri.
Daun pintu dibuka perlahan. Sesekali dia menoleh dan memandang pintu
bilik kedua orang tuanya. Dia menarik
nafas panjang, berhati-hati kali ini.
Biarlah dia dilupakan oleh kedua orangnyanya, dia sanggup. Dia hanya membawa duka di hati mereka, dia
hanya membawa sengsara dalam hidup mereka. Biarlah dia bawa pergi dosa yang
dicipta sendiri. Biar tenang hati orang
tuanya.
“Rina? Nak ke mana?” sapa satu suara yang amat
dikenalinya.
Ya ALLAH, belum sempat dia
melangkah. Sudah disapa oleh mamanya.
Perlahan-lahan dia menoleh. Ruang
tamu yang samar-samar diterangai cahaya lampu luar menjadi terang-benderang. Dia tidak berani menoleh. Berdiri kaku bagaikan patung tidak
bernyawa. Terasa berhenti jantungnya
berdegup. Terasa sesak nafasnya.
“Bawa beg sekali? Nak ke mana?” tanya Hanim sekali lagi. Dia menarik tangan dan bahu anak
gadisnya. Wajah kelat anak gadis
dipandang seketika.
“Abang! Abang!” laung Hanim. Tahulah dia, anak gadisnya itu berniat
melarikan diri. Dia menggeleng kesal.
“Kenapa Hanim?” Terpisat-pisat Rudi mendekati isterinya bersama anak
gadisnya, beg pakaian yang berada
berhampiran anak gadisnya turut menjadi lirikan matanya.
“Kenapa Hanim? Rina nak ke mana?” tanya Rudi, hairan menerjah. Hendak melarikan dirikah anak gadisnya
itu? Malam-malam begini?
“Rina nak lari dari rumah, bang!”
adu Hanim. Semakin kecewa hatinya.
“Ya ALLAH! Rina nak menyusahkan mama
dan ayah lagikah?” tanya Rudi, turut berasa hati dan benar-benar kecewa. Melarikan diri tidak menyelesaikan masalah
pun. Malah membebankan lagi.
“Rina dah buntu ayah, mama… Rina
tidak tahu apa yang harus Rina
lakukan?” tangis Rina, dia menyandar di
dinding. Dia menunduk, tidak berani memandang wajah kedua orang tuanya. Rasa bersalah yang tidak pernah surut di hatinya.
Semakin menajam, menikam jantung hati, membunuh dalam senyap. Mampu melumpuhkan akal dan fikiran. Boleh berlaku apa sahaja jika sudah terdesak
dan mendesak.
“Melarikan diri tidak menyesalkan masalah
Rina! Apa mama dan ayah nak jawab dengan abang dan adik, dengan nenek dan atok
di kampung? Dengan kawan-kawan dan jiran tetangga? Tentu mereka akan
bertanyakan Rina, ketika itu apa yang ingin kami jawab?” kata Hanim.
Dia duduk di sofa, mencari kekuatan diri.
“Maafkan Rina… mama, ayah!” rintih Rina dalam sendunya.
“Nasi sudah menjadi bubur, anakku…
tidak mungkin mama dan ayah membiarkan Rina terus hanyut sendiri. Rina nak ke mana dengan keadaan begini? Adakah dengan melarikan diri, Rina terlepas
daripada masalah ini?” soal Rudi. Hatinya terbakar kecewa.
“Ya, Rina… tidak guna kami marahkan
Rina, segalanya sudah berlaku. Nanti
sama-samalah kita fikirkan solusinya ya nak,”
pujuk Hanim lembut. Memarahi,
menengking dan menjerit tidak berguna lagi.
Segalanya sudah berlaku. Dia
terpaksa menerimanya biarpun parah. Biar
berdarah dipukul anaknya itu, keadaan
tetap tidak berubah. Yang membesar akan
terus membesar dan bakal lahir juga ke dunia ini. Bangkai gajah tidak mungkin dapat
ditutup. Terpaksa juga
ditempuhinya. Biar bernanah telinga,
terima sahajalah. Inilah dugaan yang
terpaksa dihadapinya. Semoga ada jalan
keluar terbaik buat mereka sekeluarga.
Salah dirinya juga, tidak memberi
pelajaran agama, hanya mementingkan ilmu dunia.
Hanya mengajar bagaimana berjaya, tidak mengajar bagaimana menjaga diri
sebagai seorang perempuan yang terbatas pergaulannya. Tidak memaksa dan menyuruh anaknya solat dan
menutup aurat sebaik-baiknya. Semua
perkara diambil mudah, akhirnya memakan
diri. Duit boleh dicari, maruah dan
harga diri tidak akan ada galang gantinya.
“Mama… ayah… maafkan Rina!” Rina menerpa memeluk Hanim yang menangis
sayu. Biar apapun berlaku, dia sudah
menjahanamkan dirinya sendiri, tetapi masih ada jalan keluar, sokongan keluarganya
amat diperlukan kini.
Hanim mengeluh kesal. Biar berat
bahu yang memikul, terpaksalah dia hadapinya juga. Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat
mereka sekeluarga. Ya ALLAH, ampunkanlah kejahilan kami… doa Hanim dalam hati. Tubuh anaknya yang semakin berisi dipeluk
erat. Bukan menyetujui perbuatan noda
dan dosa anaknya tetapi tidak mahu menambah dosa yang ada. Kembali kepada ALLAH jalan yang terbaik buat
keluarganya.
Allah berfirman:
Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati zina;
sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang
buruk,” (al-Israa': 32)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan