Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 8 Oktober 2015

POLIGAMI!? kENAPA SAKIT HATI?





                Saya sendiri tidak tahu kenapa saya sering bertemu rakan-rakan yang hidupnya berkongsi suami dengan orang lain.  Satu-satunya kawan yang saya tahu, hidupnya bahagia bersama dengan madu-madunya adalah isteri Salleh Yaakob.  Kebetulan isteri keduanya rakan sekolah saya.  Alhamdulillah, semoga mereka terus kekal bahagian sehingga ke Jannah.

                Bercakap soal kahwin dua, ramai yang tidak suka, bukan kaum Adam tetapi Kaum Hawa. Bagaikan duri dalam daging.  Madu, pahitnya bagaikan hempedu.   Bagi saya hidup berpoligami jika tiada ketulusan hati daripada semua pihak, tidak akan terjumpa bahagia. Merananya sahaja yang nampak.  Hidup berendam air mata, tidak kiralah yang tua, muda, ketiga atau keempat.  Mana nak datangnya bahagia, jika masing-masing saling bermusuhan.  Isteri tua mengugut suami agar jangan balik ke rumah isteri  kedua.  Isteri ketiga pula berpakat dengan isteri pertama agar isteri kedua disingkirkan.  Musuh yang sebenar adalah kaum kita sendiri. 
                Sebab untuk berpoligami juga harus di ambil kira.  Orang lelaki hanya tahu nak kahwin sahaja, bila datang masalah, dia yang lari dulu.  Yang menjadi mangsa adalah isteri-isteri dan anak-anak yang tidak berdosa.  Kadangkala saya tak faham sikap dan perangai orang lelaki ini, isteri sudahlah punya cantik, gebu dan menarik, tetapi masih lagi pasang isteri baharu.  Ketentuan jodoh pun ia juga.  Tidaklah boleh salahkan takdir jika sudah ditentukan jodoh kita dengan suami orang.  Tetapi sebagai  perempuan kita boleh mengelaknya.   Kalau bolehlah, kalau sudah jodoh kita kuat dengan suami orang, apakan daya kita. Mungkin juga ujian buat kita bernama isteri, dan ALLAH hendak menguji kesabaran kita.
                Bercakap soal poligami ramai yang akan tersentap.  Kita buka minda, kita cuba cari solusi untuk mengubah keadaan. Mungkin yang terlibat adalah kawan-kawan kita, saudara mara atau kenalan.  Kita juga berasa sedih, teringat kisah seorang kawan saya yang berkahwin dengan seorang lelaki yang disangkanya duda.  Rupanya suami orang. Mujur sudah bercerai, tetapi hidupnya tidak bahagia kerana suaminya yang tidak pun tampan atau kacak, tetapi kaki perempuan.  Menangis saya apabila kawan saya memberitahu yang suaminya sudah berkahwin lagi.  Saya simpati sebabnya, duit belanja tidak cukup, dia baru sahaja melahirkan anak.  Bayangkanlah kehidupannya bagaimana, dan paling menyedihkan dia berkahwin dengan sindiket.  Kesnya pernah masuk suratkhabar.  Kami sudah lama terpisah, tidak tahu dia berada di mana sekarang.

                Kawan atau kenalan saya yang seorang lagi adalah isteri ketiga, suaminya hadir ke rumah apabil maghrib menjelang.  Paling sedih, anak sendiri tak kenal ayah, dan anak itu tidak mempunyai surat beranak.  Hidup bagaikan tiada suami.  Baiklah tidak payah berlaki.  Namun dia sabar dan tabah.  Sudah lama juga kami tidak berjumpa sejak saya berpindah kembali ke Selangor. Teman saya itu tinggal di Kedah.

                Kawan saya yang lain pula, jadi isteri ketiga juga. Hidupnya bagaikan perempuan simpanan.   Jika suaminya bertemu isteri kedua, dia kenalah menyorok di mana-mana, takut bertemu muka.   Isteri pertama juga tidak suka. Isteri pertama dan kedua sewaktu hanya berdua sahaja bermadu.  Bagaikan musuh, jumpa pun tak boleh, kalau terpaksa, seorang duduk pandang kiri, dan seorang lagi pandang kanan.  Memang tak pernah aman.  Biarpun tidak bertarik-tarik rambut, tetapi orang boleh nampak mereka memang tak harmoni.  Bila suami kahwin  lagi seorang, baharulah terhegeh-hegeh mereka berbaik-baik.  Yang ketigalah menjadi musuh mereka.  Suami pula macam singa dicabut ekor, takut benar dengan isteri kedua, kalau nak berjumpa dengan anak-anak daripada isteri kedua, isteri ketiga tidak boleh ikut, kalau bertembung hendak diganyangnya.  Simpati benar saya dengan kawan saya itu.

Kadangkala isteri tua baik, yang muda pula buat perangai.  Yang muda baik, yang tua pula tidak mahu berkompromi. Kenapalah  orang lelaki suka mencari masalah?  Main sorok, kahwin di sempadan siam.  Sedihkan?  Sampai bila hendak bertekak, bergaduh dan bermasam muka?  Kita sesama perempuan sepatutnya bersatu hati.  Yang bersalah adalah sang suami yang suka-suka sahaja nak tambah bini, yang menjadi mangsa adalah isteri-isteri dan anak-anak yang memerlukan tempat berkasih sayang.

Saya bukan pengamal poligami, menentang tidak, setuju pun tidak.  Sebuah perkahwinan yang bahagia adalah hubungan yang berasaskan kejujuran, keikhlasan, bukan kerana ikut kehendak sesiapa.  Jika suami mampu berpoligami sekalipun, kenalah kaji banyak sudut. Bukan hanya tahu kahwinnya sahaja.  Banyak lagi, mampukah dia mendidik keluarganya menjadi keluarga Islam yang sejati? Mampukah dia berlaku adil bukan hanya dalam memberi kasih dan sayang tetapi ruang, masa dan peluang.  Jangan mendabik dada, kononnya hero dapat menundukkan isteri-isteri yang ada.  Kaum wanita dikahwini bukan untuk dijadikan hamba tetapi amanah yang amat besar kepada seorang lelaki. 

Kepada  kaum Hawa,  cuba pandang dari sudut positif, kenapa kita dipilih untuk berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Setiap apa  yang berlaku  pasti ada hikmahnya.  Cuma, kita tak tahu apakah hikmahnya.  Cuba kita renung, tenung dan fikirkan. ALLAH tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, pasti ada sebabnya.  Wanita yang suaminya berkahwin lebih daripada satu mempunyai ruang dan peluang yang banyak untuk diri sendiri dan anak-anak.  Malah ada ruang dan peluang yang banyak untuk sujud kepada Yang Maha Esa. Bermunajat, berzikir, bertahmid dan bertakbir tanpa ada gangguan daripada suami yang sedang berada bersama isteri mudanya.  Bila sampai giliran kita, layanlah sebaik mungkin.  Pergaduhan, permusuhan, akan membuatkan kita tertekan dan cepat dimamah usia.  Kesabaran dan ketabahan wanita yang berpoligami amat saya kagumi.  ALLAH tidak akan menguji mereka,  jika mereka tidak mampu menghadapinya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan