M
|
alam itu makan malam yang paling indah dan manis buat
Muhayat dan Asyikin. Malam itu telah terukir sebuah janji untuk hidup bersama.
Setelah bertahun-tahun bercinta, akhirnya
malam itu mereka mengambil kata sepakat untuk mengakhiri hubungan mereka dengan
perkahwinan. Mereka rasa sudah bersedia. Dalam samar api lilin di Cendana
Coffee House, Muhayat menyuarakan hasrat menjadikan Asyikin sebagai suri
rumahnya.
“Ikin, sudikah awak jadi isteri saya?”
“Kalau awak sudi jadi suami saya, kecil tapak tangan dulang saya
tadahkan,” jawab Asyikin dengan ketawa riang.
“Saya akan segera uruskan majlis pertunangan,” kata Muhayat dengan
senyum senang.
“Saya akan tunggu awak dengan sabar. Tapi, kalau boleh kita tak
payah nak bertunang lama-lama,” balas Asyikin.
“Kenapa?” Muhayat tersenyum, menduga.
“Kita bukan remaja lagi. Kita dah ketinggalan keretapi.”
“Awak dah tak sabar nak jadi isteri saya atau awak dah tak sabar
nak jadi ibu?” gurau Muhayat dengan ketawa santai. Asyikin mencubit lengan
Muhayat. Suasana malam itu lebih indah dari pertemuan mereka yang sebelumnya.
Malam itu Muhayat pulang membawa hasrat dan hajat yang besar untuk
dipersembahkan kepada keluarganya. Sepanjang jalan, dia sudah mereka-reka ayat
yang akan diucapkan. Hatinya sangat gembira kerana akhirnya dia dan Asyikin
akan bersatu juga.
Ketika dia sampai, rumah itu sudah gelap. Lampu di bilik atas
juga sudah malap. Yang ada hanya cahaya lampu tidur. Ibu dan abahnya tentu
sudah tidur.
Dia membuka pintu dengan perlahan. Ketika dia
berjalan masuk, dia lihat cahaya lampu dari bilik tetamu masih menyala. Dia
berjingkit berjalan ke arah bilik itu. Namun, sebelum sempat dia sampai ke muka
pintu, susuk tubuh ibunya keluar dari situ.
Hatinya berderau. Dia mengintai. Dengan jelas matanya melihat
ibunya keluar dari bilik itu. Kemudian dia berdiri di pintu dan merenung ke
dalam dengan pandangan berat sebelum menutup pintu bilik itu.
Ibunya berjalan naik ke bilik tidurnya di
tingkat atas dengan langkah perlahan. Hati Muhayat cuak. ‘Apa yang dia buat di
bilik itu malam-malam macam ni?’
Sepanjang malam itu dia gelisah. Berbagai tohmahan keji menerjah hatinya.
Akhirnya dia tertidur dalam kemarahan dan geram!
KEESOKAN paginya, Muhayat duduk
di meja makan dengan muka masam. Matanya tidak berani menoleh ke arah Kartina
kerana hatinya penuh dengan rasa marah dan curiga.
“Hayat, Abah Zaman demam. Boleh tak Hayat bawakan
dia ke klinik,” kata Kartina sambil menuangkan minuman ke dalam cawan yang ada
di hadapan Muhayat.
“Hari ni Hayat ada banyak kerja nak buat di
ofis, bu. Ibu je yang bawakan,” jawab Muhayat tanpa mengangkat muka dan melihat ke arah
Kartina. Hatinya masih dihantui peristiwa malam tadi. Dia rasa keji dan malu
untuk bertentang mata dengan ibunya.
“Apa kena dengan Hayat ni? Kenapa masam saja
ni? Bergaduh dengan Asyikin ke?” tanya
Kartina, cuba menduga.
“Tak baik nak gaduh-gaduh. Hal kecil selesaikan dengan baik,” celah
Ahmad Adham pula.
Muhayat mengunyah tanpa reaksi.
“Tina dah berikan sarapan dan ubat untuk Zaman?” tanya Ahmad Adham
selepas lama keadaan senyap.
“Dah bang. Dia tak selera. Hanya minum air sikit dan makan ubat.”
“Ubat-ubat untuk jantung dia tu, Tina dah berikan?”
“Dah. Tu yang dia tidur tu.”
“Tak apalah kalau Hayat tak sempat sempat. Nanti tengah hari sikit,
Tina saja yang bawa. Mursyid pun tak ada. Biar dia yang temankan,” balas Ahmad
Adham sambil mengunyah makanan yang ada dalam mulutnya.
Hati Muhayat bergetar. Mulutnya rasa ringan untuk bercakap. Dia
rasa kurang senang dengan sikap tulus abahnya dan sikap curang ibunya. Namun,
mulutnya terlalu berat.
“Hayat pergi dulu abah, ibu.” Muhayat bangun dari kerusi. Tidak
sanggup dia berlama-lama lagi dengan sendiwara cinta tiga segi itu.
“Pergilah jengah Abah Zaman tu dulu sebelum pergi kerja. Tanya
keadaannya tu,” suruh Ahmad Adham.
“Hayat dah lambat ni abah,” balas Hayat sambil melangkah pergi.
“Apa kena anak kita tu Tina?
Pagi-pagi dah masam
macam tu.”
“Entahlah bang. Ditanya pun bukannya nak
jawap,” kata Kartina dengan sebuah keluhan.
Muhayat pula memandu dengan fikiran yang
sangat terganggu. Sebenarnya hari itu, dia tidak ada apa-apa agenda penting dan
tidak ada kesibukan seperti yang didakwa. Cuma dia sedang melayan fikiran yang
sedang keliru. Apa yang dilihatnya malam itu menjadi igauan ngeri dalam tidur
siang dan malamnya. Setiap hari dia resah gelisah.
Sebenarnya sejak Kamaruzaman tinggal bersama
mereka, hatinya sering terasa cuak dan curiga. Pergaulan ibu dan ayah
kandungnya itu sangat disangsikan.
“Apa yang aku bimbangkan dah berlaku. Memang
kurang ajar orang tua tu. Dah diberi susu dia membalas dengan tuba!” Muhayat
melepaskan geramnya.
Dia menelefon Asyikin dan menunda hajat hendak
ke pejabat. Dia perlu melepaskan kesakitan yang sedang ditanggungnya.
“Apa yang mengganggu fikiran awak ni? Saya
lihat awak tak ceria pagi ni. Kalau ada masalah, boleh kongsi dengan saya.
Jangan nak tanggung sendiri,” tegur Asyikin ketika sampai di restoren tempat
Muhayat menunggunya.
“Entahlah Ikin. Saya semakin geram dengan
orang tua tu,” kata Muhayat.
“Orang tua mana? Abah kandung awak tu?”
Muhayat angguk. Straw minuman dikuis-kuis dan ais yang ada dalam
minuman itu bergerak perlahan. Dia memerhati pergerakan ais itu dengan
pandangan kosong.
“Kenapa dengan dia?” Asyikin ikut curiga dengan anggukan dan wajah
muram kekasih hatinya.
Sekali lagi Muhayat mengeluh. Kali ini, ia amat berat dan mendesah.
“Sepatutnya awak gembira kerana di saat kita akan kahwin awak ada
dua abah. Hidup awak lebih bermakna dan kegembiraan bertambah-tambah.”
“Sepatutnya begitu. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya.”
“Awak buat saya semakin keliru. Apa yang terjadi ni?” Asyikin
merenung wajah Muhayat. Dia tahu Muhayat sedang berdepan dengan masalah. Selama
beberapa tahun mengenali Muhayat, dia faham benar akan sikapnya.
Lalu dengan segala berat hati, Muhayat menceritakan segala resah
hatinya termasuk apa yang dilihatnya.
“Awak mungkin salah sangka. Tak baik menaruh syak kepada mereka.
Awak juga yang kata mereka tu sangat rapat,” kata Asyikin selepas mendengar
semuanya.
“Takkan rapat sampai boleh masuk ke bilik tidur bekas suaminya?”
“Hayat! Orang yang awak syak itu ibu awak. Sanggup awak anggap dia
berlaku sumbang begitu?”
“Sebab saya melihatnya dengan mata saya
sendiri. Saya
bukan dengar fitnah orang.”
Asyikin mengeluh. Dia sudah lama mengenali emaknya Muhayat.
Selain lemah lembut dia juga seorang yang beriman. Tidak mungkin hal yang
difikirkan Muhayat itu sanggup dilakukannya.
“Ikin, awak boleh cakap apapun sebab awak tak
berada di tempat saya. Saya ni, tinggal serumah dan melihat kelakuan mereka
setiap hari,” kata Muhayat, cuba membuat Asyikin yakin.
Namun, hati Asyikin tetap menidakkannya. Dia
tidak mampu menerima cerita itu begitu sahaja tanpa tahu kebenarannya.
“Macam nilah, apa kata awak bersemuka dengan
mereka. Itu lebih baik daripada awak hidup dalam syak wasangka macam ni.”
Muhayat diam berfikir. Mampukah dia berdepan
dengan Kartina, Ahmad Adham dan lelaki itu?
“Jangan sampai ibu awak berkecil hati dengan awak. Jangan sampai
yang keruh akan bertambah keruh,” sambung Asyikin lagi.
“Tengoklah nanti,” kata Muhayat perlahan. Dia
berjanji pada dirinya yang dia akan kuatkan hati untuk bersemuka dengan ibunya.
“Kalau awak tak berani, biar saya temankan.”
“Ish, janganlah. Nanti apa ibu saya kata
pulak. Saya akan selesaikan sendiri masalah ini. Lepas tu, saya akan selesaikan
hal kita.”
“Jadi, awak belum beritahu keluarga awak
tentang rancangan kita?” tanya Asyikin.
Geleng.
“Saya serabut dan tak sanggup nak berdepan
dengan ibu. Saya kena bersihkan hati saya ni dulu. Saya harap awak sabar ya,”
balas Muhayat sambil menarik tangan Asyikin dan menggenggamnya.
Asykin angguk dengan lirikan senyum senang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan