Mentari semakin redup dan merangkak perlahan-lahan meninggalkan kamar
petang. Kadangkala, kedengaran sayup suara pipit riuh berkicauan di sebalik
belukar berdekatan dengan surau kampung. Entah apa yang diriuhkan oleh
pipit-pipit itu, hanya ALLAH yang tahu. Angin semilir berhembus lembut
menampar-nampar pipi Salimah yang sedang duduk bersila di pangkin bawah pohon
mempelam. Pohon mempelam yang rahat buahnya itu terletak di hadapan rumah Nora,
janda cantik, tukang andam terkenal di Kampung Peserai Pantai.
Kira-kira lima ratus
meter dari tempat Salimah duduk, kelihatan air sungai Simpang Kanan bersinau-sinau
dengan limpahan mentari petang. Air sungai Simpang Kanan yang menjadi
penghubung di antara Kampung Peserai Pantai dan bandar Penggaram mengalir
perlahan-lahan menuju ke laut Minyak Beku. Dua sampan yang menjadi penghubung
antara Kampung Peserai Pantai dan Jalan Shahbandar di Bandar Batu Pahat,
kelihatan teroleng-oleng ditambat di jeti. Mungkin Sahak dan Ajis, pemilik
kepada kedua-dua buah sampan berkenaan sedang berehat di hujung minggu. Minggu
hadapan, mereka pastinya tidak akan dapat bersenang-lenang kerana sekolah mula
dibuka. Jika sekolah
mula dibuka, Sahak dan Ajis akan sibuk mendayung ulang-alik dari kampung ke
pekan.
Sambil melihat anak-anak bermain di
sebuah kawasan lapang bersebelahan dengan
rumah Nora, Salimah memerhatikan gerak-geri Nora. Janda muda itu sedang
terdongak-dongak meninjau buah-buah mempelam muda yang bergayutan. Sambil
mendongak, tangan kanan Nora memegang sebatang buluh panjang yang diikat dengan
sebatang pisau pendek dihujungnya. Salimah yang memakai kain batik dari
Kelantan dan baju kurung Kedah yang dijahit sendiri sudah siap sedia menanti
buah mempelam yang dikait Nora. Sepinggan kicap masin yang dibubuh dua sudu
gula pasir dan sebatang cili padi yang dipotong kecil-kecil juga sudah
disiapkan untuk dibuat cicah.
“Pang pang kopang
kopang, geding geding geding…pang pang kopang kopang kopang geding geding
geding,” suara anak-anak kecil yang berumur antara empat tahun hingga sembilan
tahun seramai sepuluh orang sedang melagukan lagu kompang. Meriah benar
bunyinya di halwa telinga Nora dan Salimah.
Salimah menjeling ke
arah anak-anak itu dan tersenyum.
“Pang pang pang kopang kopang,
geding geding geding…”
Bedebuk! Segugus mempelam muda
akhirnya jatuh di hadapan pangkin kayu tempat Salimah duduk bersila. Nora yang
akhirnya berjaya mengait segugus buah mempelam muda yang jatuh ke tanah itu, membongkok
mengutipnya sambil ketawa kecil dan mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak bosan-bosan agaknya budak-budak tu main kahwin-kahwin. Kalau
tak main pondok-pondok, mesti main kahwin-kahwin. Kalau tidak, main polis
sentri dengan ram-ram rep,” kata Nora sambil memanjat pangkin kayu dan
kemudiannya duduk bersila seperti Salimah.
“Alah Nora, tu namanya budak-budak. Kalau dah
tua macam kita, takkan nak main-main pulak? Nanti orang kata, buang tabiat! Dah
tua, nak kerja, nak urus itu ini,” Salimah menyambung sambil tangannya tangkas
mengupas kulit buah mempelam muda yang baru dikait.
“Seronok jadik
budak-budak eh Kak Uda?” Tanya Nora kepada Salimah. Uda adalah panggilan
Salimah di kampung.
“Main-main aje yang dia orang tahu. Tak payah banyak fikir. Sudah
penat, dia orang tidur. Lapar, makan. Haus, minum. Senang aje hidup dia orang,”
sambung Nora sambil mencicah pelam muda yang dipotong Salimah dengan kicap
masin manis pedas yang sudah tersedia.
“Kau ni cakap-cakap macam ini, macam ada
masalah aje, Nora?”
“Tak adalah Kak Uda.
Saja aje. Nora terfikir kalaulah Nora dapat jadi budak-budak balik,” keluh Nora
sambil memandang keriangan kanak-kanak yang bermain itu.
Kak Uda atau nama
penuhnya Salimah binti Musa, memandang Nora yang leka melihat gelagat
budak-budak yang bermain di tepi rumahnya.
“Adik…adik…adik kena
duduk macam ni,” ujar seorang budak perempuan yang berumur sembilan tahun yang
bernama Aminah. Aminah menunjukkan cara bagaimana seorang pengantin perempuan
duduk di pelamin kepada budak yang dipanggil Adik.
Budak yang dipanggil Adik
itu kemudian membetulkan duduknya di atas sebuah bangku kayu panjang. Anak-anak
itu bermain di bawah pepohon nyiur yang rendang. Adik merapatkan kedua-dua
belah kakinya sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas pehanya yang
putih gebu. Budak yang dipanggil Adik itu, kulitnya halus cerah dengan alis
mata yang melentik. Matanya bundar dengan dagu yang runcing. Memang amat comel
jika dipandang. Di kedua-dua belah telinga Adik telah diselitkan dengan bunga
raya warna merah.
“Awak Faez, awak kena
duduk macam ni…haaa, kaki awak kena bukak luas sikit macam pengantin
lelaki…baru betul,” ujar budak perempuan yang berumur sembilan tahun itu lagi.
“Kak Nora, Kak Nora,
bunga kita dah jatuh ni,” Adik memberitahu kepada anak gadis sunti yang
mengajarnya cara-cara duduk sebagai pengantin perempuan itu.
“Oooiii…panggil Kak
Nora ke?” Nora menoleh ke arah Adik yang memanggilnya sambil menoleh ke arah
kanak-kanak yang sedang bermain itu. Mulut Nora masih mengunyah mempelam yang
masam.
“Eh…bukan Kak Nora
sanalah. Kak Nora yang kat sini,” jawab Adik sambil bibir mungilnya menjuih ke
arah budak perempuan berumur sembilan tahun yang bernama Aminah tadi.
Salimah ketawa
terkekeh-kekeh dengan gelagat anaknya dan anak-anak kecil yang lain.
“Watak kau pun ada
dalam main kahwin-kahwin tu, Nora! Hahahaha!” seloroh Salimah.
Nora mengeleng-geleng
kepala sambil tersenyum.
“Bertuah punya budak,” Nora tersengih-sengih dan menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Anim! Anim! Dah petang
ni, meh balik.” Datang pula Cikgu Zakiah ke tempat anaknya bermain dengan
kumpulan anak-anak itu.
“Alah mak ni, kejap
lagilah mak, kita tengah main kahwin-kahwin ni, ” jawab Anim, anak Cikgu
Zakiah.
“Oooiii cikgu, marilah
sini Cikgu Zakiah, makan pelam muda cicah kicap,” laung Nora bila melihatkan
kelibat Cikgu Zakiah yang datang mencari anaknya.
Cikgu Zakiah tersenyum
dan berjalan menuju ke pangkin tempat di mana Salimah dan Nora duduk
bersembang.
“Adui, pelam muda cicah
kicap pedas… kecur air liur saya,” ujar Cikgu Zakiah sambil melabuhkan
punggungnya di pangkin kayu itu sambil kakinya berjuntai ke bawah. “Kenapa si Adik
yang pakai bunga dan anak saya yang pakai tengkolok kertas tu?”
“Hmmm… si Adik yang
jadi pengantin perempuan, Faezah jadi pengantin lelaki,” jelas Nora. Salimah
pula tersengih-sengih.
“Laaa hau laaa wala…,”
berderai ketawa Cikgu Zakiah sambil tangan kanannya pantas mencicah pelam muda
dengan kicap masin manis pedas.
* * * *
Langit senja melimpahkan warna jingga yang mengasyikkan ketika Salimah
memimpin anaknya, Adik pulang ke rumah. Nora juga sudah mula menutup
tingkap-tingkap di keliling rumah pusaka ayah dan ibunya. Cikgu Zakiah, Faezah
Hanim dan anak-anak yang bermain bersama tadi kesemuanya sudah meninggalkan
kawasan lapang tempat mereka bermain kahwin-kahwin.
Ketika bayang bulan
sudah mula mengambil alih tugas mentari dan suara pipit yang berkicauan menjadi
senyap sepi, kelihatan Pak Noja Hassan pula sedang menaiki tangga surau Kampung
Peserai Pantai. Tugasnya sebagai noja bermula sebelum Pak Bilal, melagukan
ayat-ayat suci Al-Quran menanti masuknya waktu maghrib.
Ketika penduduk-penduduk Kampung Peserai Pantai sedang membersihkan diri
untuk menanti waktu maghrib dan ada diantara para ibu sudah mula menyiapkan
santapan makan malam, yang kedengaran hanyalah arus sungai Simpang Kanan yang
mengalir perlahan.
Salimah menceduk air di
dalam kolah bilik air rumahnya dan menjirus perlahan-lahan ke tubuh Adik yang
kurus keding. Kemudian dia mengambil syampu rambut berjenama murah dan
dilumurkan ke rambut anaknya yang lebat. Adik memejam-mejamkan matanya ketika
ibunya menyampu rambutnya. Salimah kemudiannya menceduk air kolah yang sejuk
itu lalu dicurah lagi ke atas kepala Adik. Sebelum Salimah menyuruh Adik
menggosok gigi susunya yang putih tersusun, Salimah mengambil sabun buku berwarna
merah jambu dan dilumurkan ke tubuh anak bongsunya itu.
“Mak, lambatnya ayah dengan abang balik hari ni, ya?”
“Banyak barang yang abang long
dengan abang ngah nak beli agaknya,” jawab Salimah kepada pertanyaan Adik.
“Ohhh… Mak, nanti kalau Adik
sekolah, mak yang teman adik pergi barang sekolah, ya?”
“Kenapa? Adik tak suka pergi dengan ayah?”
“Bukan… Adik lagi suka
beli barang dengan emak,” terang Adik sambil memandang tepat mata Salimah.
“Adik nak sekolah, ke?”
sengaja Salimah bertanyakan soalan itu kepada anak bongsunya. Dia bersyukur
anak-anaknya tidak mendatang apa-apa masalah seperti beberapa anak orang
kampung yang merengek menangis di hari pertama persekolahan mereka.
“Nak,” jawab Adik
pendek.
“Baguslah kalau Adik
nak pergi sekolah. Nanti
belajar pandai-pandai, masuk universiti, kerja bagus-bagus eh nak ?”
“Nanti Adik nak belikan
mak kereta macam Cikgu Zakiah,” buntang mata Adik memandang wajah kasih ibunya.
Salimah tersenyum
memandang anak bongsunya yang amat dikasihi.
Suara deruman motor
suaminya yang kedengaran di hadapan rumah, memaksa Salimah menangguhkan niatnya
untuk bersolat maghrib. Salimah yang sudah lengkap memakai telekung putih
bersulam bunga biru kecil-kecil membuka pintu rumah kayunya yang berkunci. Adik yang sedang duduk di
sejadah di sebelah ibunya juga bangun dan berlari ke muka pintu. Dia ingin
menyambut kepulangan ayah dan kedua orang abangnya.
“Lambat balik, bang?”
tanya Salimah sambil memerhatikan suaminya mengambil beg-beg plastik yang terletak
di dalam raga motorsikal. Kedua anak lelaki Salimah, Khalid dan Kamaruddin
berdiri disebelah motor ayah mereka untuk mengambil barang-barang peralatan dan
keperluan sekolah yang baru dibeli.
“Uish… ramai benar orang
di Jalan Penggaram. Kedai kasut Champion penuh. Kedai kasut Bata pun penuh.
Kena beratur tunggu budak kedai tu ambil saiz kasut. Kedai beg penuh… itu yang
lambat. Semua mak bapak pergi beli barang hari ni agaknya. Mengalahkan musim
raya,” rungut suami Salimah sambil memberi bungkusan-bungkusan plastik yang
berisi kasut, beg sekolah dan buku-buku tulis.
“Orang lain pun tunggu
gaji macam kita juga agaknya, baru beli barang sekolah,” Salimah memberi komen
atas kenyataan suaminya, Abdul Ghani bin Bidin.
“Abang Long, Abang Ngah… dah cepat
naik, mandi. Nanti waktu maghrib habis,” pesan Salimah kepada kedua anak lelakinya.
“Adik… Adik dah
sembahyang?” tegur Abdul Ghani kepada anak bongsunya yang berdiri di sebelah
isterinya.
“Belum… Adik tunggu
mak,” jawab adik yang sedang memakai kopiah putih melepak. Kopiah itu agak
besar untuknya. Jadi kopiah itu menutupi dahinya yang luas.
“Ohhh… baik anak ayah
ni,” Abdul Ghani tersenyum sambil mengusap-usap lembut rambut anak lelaki
bongsunya. “Ayah ada
belikan buku warna dengan kaler pensel untuk Adik tau.”
Adik tersenyum lebar
dan memberi laluan kepada ayahnya untuk masuk ke dalam rumah dan Abdul Ghani
kemudiannya menutup pintu rumah mereka.
“Mah… awak sembahyang dululah,
ya. Jangan tunggu saya, nak mandi puas-puas, berlengas benar badan saya ni.”
“Iyalah, bang. Adik, meh sini ikut
mak sembahyang. Bang, awak tengokkan along dengan angah tu, ya. Kalau dibiarkan
nanti, berjam-jam pulak dia orang mandi,” pesan Salimah sebelum memulakan niat
solat maghribnya di ruang tamu rumah kayu mereka.
Malam itu, keluarga Salimah
menikmati lauk ikan kembung masak kicap, sambal belacan, sayur bayam goreng dan
ikan sepat masin. Nasi yang dimasak juga ditanak sedekit lembik. Mengikut
kegemaran suaminya Abdul Ghani dan juga anak-anaknya.
“Nanti, hari Ahad ni, saya hantar
budak-budak ke sekolah, awak naik sampan saja untuk ke seberang, ya, Mah?” ujar
suaminya ketika Salimah menyendukkan nasi untuk anak sulungnya yang amat
berselera malam itu. Mungkin Khalid kepenatan berjalan dengan ayahnya untuk
mencari dan membeli peralatan sekolahnya petang tadi.
“Hmm… iyalah bang. Hari pertama,
saya tunggu budak-budak balik sekolah, kami balik sama-sama. Mesti banyak
buku-buku teks yang hendak dibawa balik hari pertama nanti,” Salimah memberi
cadangan.
Kedua-kedua anak Salimah dan Abdul
Ghani bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Batu Pahat yang terletak di Jalan
Mesjid. Bagi penduduk-penduduk Kampung Peserai Pantai, jalan yang mudah untuk
mereka ke pekan Batu Pahat, adalah dengan menaiki sampan. Jika menaiki motor
atau kereta, mereka perlu melalui jalan besar dan melalui jambatan Batu Pahat.
Jalan itu memang agak jauh untuk penduduk-penduduk yang menetap di tepi Sungai
Simpang Kanan. Sejak dari zaman Salimah bersekolah dahulu, bersampan untuk
pergi ke sekolah adalah perkara biasa. Dia juga bersekolah di Sekolah Bandar
Batu Pahat hingga ke darjah enam. Kemudian menyambung persekolahannya di
Sekolah Menengah Dato’ Onn di Peserai hingga ke tingkatan tiga. Oleh kerana
kemiskinan ayah dan ibunya, Salimah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja
menolong ibunya menjahit baju.
Abdul Ghani pula, pada zaman
kanak-kanaknya bersekolah di Kluang. Ayahnya, Bidin, seorang anggota tentera
berpangkat Kopral. Abdul Ghani dan keluarganya tinggal di berek Angkatan
Tentera Darat Di Raja Malaysia, di Bandar Kluang. Hanya ketika ayahnya bersara,
mereka sekeluarga akhirnya pulang menetap di kampung asal ayah mereka di
Simpang Lima. Abdul Ghani kemudian menyambung persekolahannya di Sekolah
Menengah Dato’ Onn, sama seperti Salimah. Cuma, nasib Abdul Ghani lebih baik
dari isterinya. Dia dapat menamatkan persekolahannya hingga ke tingkatan lima.
Dengan berbekalkan pangkat tiga Sijil Peperiksaan Malaysia itu, Abdul Ghani
pergi mendaftar namanya di Jabatan Buruh dan akhirnya berjaya mendapat kerja
sebagai Pembantu Am di Jabatan Kerja Raya.
Salimah dan Abdul Ghani berkenalan
di kilang kerepek Haji Jalil, antara orang-orang yang ‘berada’ di Kampung
Peserai Pantai. Abdul Ghani membantu ayahnya pada waktu hujung minggu mengusahakan
kebun pisang mereka seluas dua ekar. Kebun pisang yang dibeli oleh ayahnya
menggunakan duit pencen tentera itulah yang menampung kehidupan keluarga Kopral
Bidin, isteri dan dua orang anak lelakinya. Adik Abdul Ghani, Abdul Ghaffar
mengikut jejak langkah ayahnya menjadi anggota tentera dan menetap di Kem
Terendak, Melaka. Kopral Bidin sentiasa bersyukur kerana kedua-dua anak
lelakinya dapat bekerja dengan kerajaan.
Setiap hari Jumaat dan Sabtu, Abdul
Ghani menghantar pisang nipah, pisang tanduk dan pisang lilin yang muda ke
kilang Haji Jalil untuk digoreng menjadi kerepek. Salimah yang pada ketika itu
berumur lapan belas tahun menjadi pembantu kepada Kak Piah, isteri kepada Haji
Jalil. Sambil menolong ibunya menjahit di rumah, Salimah juga bekerja di kilang
kerepek Haji Jalil pada waktu siangnya
Di kilang kerepek Haji Jalil,
Salimah dan Abdul Ghani berkenalan, berutus surat dan akhirnya jatuh cinta.
Pertengahan tahun 1971, Abdul Ghani menyampaikan hasratnya untuk meminang
Salimah. Akhirnya kedua mereka diijabkabulkan pada akhir tahun 1971. Pada
ketika itu, Abdul Ghani berumur 21 tahun, memang waktu yang amat layak untuk mendirikan
rumahtangga pada ketika itu.
Setelah berkahwin, mereka berdua
menetap di rumah pusaka ayah Salimah yang telah meninggal dunia pada tahun 1970
kerana sakit lelah. Oleh kerana, kesemua adik beradik perempuan Salimah telah
berpindah mengikut suami masing-masing, Salimahlah yang bertanggungjawab
menjaga ibunya. Salimah anak ketiga dari empat adik beradik. Di rumah, dia
dipanggil Kak Uda dan begitulah panggilan orang-orang kampung kepada Salimah.
Pada tahun 1975,
Salimah melahirkan anak sulung lelakinya yang dinamakan Khalid. Atas permintaan
ayah mentuanya, Pak Bidin kopral pencen, Khalid dijaga oleh ibu Abdul Ghani
ketika Salimah bekerja di kilang kerepek. Dua tahun selepas itu, Salimah
melahirkan seorang lagi bayi lelaki yang dinamakan Kamaruddin. Kali ini, ibu
Salimah pula yang menjaga dan mengasuh cucunya kerana dia tidak lagi menerima
tempahan menjahit.
Pada tahun 1980 pula, Salimah dan
Abdul Ghani sekali lagi menerima kehadiran bayi lelaki walau kedua-dua mereka amat
mengharapkan seorang puteri dalam keluarga mereka. Namun, mereka akur dengan
pemberian ALLAH. Mereka menerima kehadiran Kamal Arif seadanya. Pak Bidin
kopral pencen telah menumbangkan dua ekor kambing untuk akikah cucu lelakinya
yang ketiga itu. Kenduri kesyukuran dengan juadahnya nasi beriani berlaukkan
dua ekor kambing akikah telah diadakan di rumah pusaka Allahyarham Pak Musa.
Pak Bidin kopral pencen menanggung semua perbelanjaan kenduri tersebut.
Berjamulah seluruh kaum keluarga Salimah, Abdul Ghani dan jiran tetangga mereka
ketika Kamal Arif berusia empat puluh empat hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan