Debaran
di dada menghenyak rasa duka. Empangan air mata bagaikan pecah dan tidak
bertepi, mengalir tanpa henti. Rasa tersusuk duri berbisa, mampu melumpuhkan
segenap anggota tubuhnya. Bibirnya bergetar menahan sebak. Hembusan angin dari
kipas siling yang berputar, menyamankan seketika tubuhnya yang diulit kepanasan
hati yang sedang membara. Mahu terbakar kalbunya, merayap disetiap rasa dan
batinnya. Bukan ini yang dipinta, bukan ini yang diharap. Inginkan kehidupan
cinta bersulam bahagia, namun kenapa derita yang menyapa? Di mana salah dan
silapnya?
Razif, cinta pertama yang bertahta di hati sekian
lama. Kenapa berubah? Sedangkan orangnya sama? Kenapa dia terjebak ke lembah
hina? Apakah rasa cinta dan sayang tidak mampu membahagiakan dirinya?
Semakin
difikirkan, semakin dia tidak mengerti. Razif yang dikenali amat santun
orangnya. Rajin dan berhemah tinggi, sejak bila dia menagih? Riana sendiri
tidak pastii? Tahu-tahu sudah ketagih ditahap kritikal yang tidak mungkin
dipulihkan lagi, melainkan diri sendiri ingin berubah menjadi manusia kembali.
Tubuhnya sudah bagaikan manusia yang tidak cukup zat. Matanya cengkung jauh ke
dalam. Bibirnya hitam bak dipukul sehingga lebam. Pada mulanya dia tidak syak,
namun sikap suaminya yang begitu ketara berubah membuatkan dia mencari punca
masalah, ada kerja diberhentikan. Ada duit, entah ke mana dihabiskan. Hati
siapa yang tidak sakit?
Bertambah
duka menghimpit diri, ketika melihat suaminya melepaskan gian di dalam kamar
tidur sendiri. Disaksikan oleh kedua-dua orang anak yang tidak mengerti
apa-apa. Riana mengeluh deras. Siapa yang boleh tahan. Mahu gugur jantung, mahu
mati terkejut jika dibiar berlarutan.
Riana
mengalihkan pandangan ke arah anak-anak yang lena di ruang tamu. Dia memerhati
sekeliling. Sofa yang telah dimamah tahun, bantalnya juga sudah lembik dan
tidak gebu lagi. Sarungnya sudah bertukar warna, suram dan muram. Televisyen 14
inci menjadi tempat penghilang duka nestapa. Hanya itu sahaja yang mampu disediakan
untuk anak-anaknya. Kereta Toyota Vios terlalu mewah untuknya, diperolehi sewak
menjual barang jualan langsung. Syarikat Jualan langsung yang disertai hanya
bayar duit muka, dia yang terpaksa menyambung bayarnya. Sudah lama perkara itu
berlalu, beberapa tahun yang lalu.
Sakit
kepala memikirkan kehidupannya sekeluarga. Tanggungjawab semakin membesar,
suami pula tidak boleh diharap. Buntu fikirannya. Tidak tahu di mana harus
bermula. Serba tidak kena sahaja.
Ketukan
kuat di pintu menyentap khayalannya. Dahinya berkerut. Risau tiba-tiba
bertandang. Razif!? Riana serba-salah. Dia tidak mahu Razif kembali ke rumah
itu. Pergilah ke mana sahaja suaminya mahu. Bukan di rumah ini. Daun pintu
semakin kuat diketuk.
“Rin…
Riana…!” sayup-sayup suara memanggil namanya.
“Kau
ke Feah?” Riana menghampiri pintu.
“Ya,
aku…!” jawab Rafeah di sebalik pintu.
Riana
memutar tombol pintu dan membukanya perlahan. Terpacul wajah sahabat dan
jirannya. Riana menarik nafas lega.
“Pucatnya
muka kau? Kau demam ke Rin?” tanya Rafeah sambil melangkah masuk. Matanya
singgah pada anak-anak Riana yang lena tidurnya.
“Ini…
aku bawa makan malam untuk kau,” 3 bungkus makanan bertukar tangan.
“Kau
ni… buat susah sahaja,” Riana benar-benar serba-salah. Rafeah sudah banyak
membantunya. Wajah Rafeah yang asyik memerhati anak-anaknya tidur ditatap
seketika. Rafeah berseluar panjang, blaus lengann panjang dan bertudung senada
dengan warna baju, biru laut.
“Makanlah…!”
suruh Rafeah apabila melihat Riana masih berdiri kaku merenungnya.
“Aku
ke dapur sekejap.” Riana berlalu ke dapur.
Rafeah
melabuhkan punggung di sisi anak-anak Riana.
“Kau
dah makan ke?” tanya Riana yang kembali bersama dua gelas air dan sepinggan
nasi goreng yang dibeli oleh Rafeah tadi. Dia duduk menghadap Rafeah.
“Razif
mana?” mata Rafeah mencari seseorang.
“Sudah
berambus setelah ambil duit simpanan aku!” kata Riana berterus-terang. Buat apa
berselindung. Rafeah sudah tahu perangai suaminya. Hilang sudah rasa malu
dengan sahabatnya untuk bercerita tentang apa yang berlaku.
“Duit
simpanan? Maksud kau?”
“Duit
modal untuk aku mulakan perniagaan, dan belanja dapur,” cerita Riana sayu.
“Ya
ALLAH, macam mana dia boleh jumpa? Kau sorok di mana?” Rafeah menggeleng kesal.
Kalau sudah penagih, begitulah keadaannya. Kehendak sendiri lebih penting dari
memikirkan hal keluarga.
Malas
hendak bercerita, buat sakit hati sahaja. Hanya keluhan berat dilepaskan
menanda apa yang berada di jiwa. Nasi goreng di dalam pinggan langsung tidak
disentuh. Biarpun perutnya lapar namun hati yang galau tidak mampu mengamit
selera.
“Aku
datang ni nak bagi tahu, ada kawan aku nak beli kereta kau tu… esok dia datang
tengok. Ini dia bagi duit deposit tanda jadi. Harganya pun aku dah bagi tahu.
Dia tak minta kurang bila aku ceritakan tentang masalah kau,” cerita Rafeah.
Dia mengambil beg tangannya. Dompet berisi duit di keluarnya. Secekak duit
pelbagai warna diserahkan kepada Riana.
Tergamam
Riana seketika. Rezeki kurniaan ALLAH di waktu dia sedang susah. Alhamdulillah.
Duit tadi bertukar tangan. Subhana-ALLAH RM1000.00, lega rasanya. Dapatlah
digunakan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Duit jualan kereta itu
nanti, akan digunakan untuk membayar tebus talak terhadap suaminya. Nasib baik
duit peguam tidak perlu dibayar kerana dia menggunakan khidmat biro guaman,
sudah tentulah percuma. Manalah dia mampu hendak membayar duit upah peguam.
“Terima
kasih ya, Feah.” Matanya dilirikkan pada sahabatnya, satu-satunya insan yang
sering mendatanganinya dan banyak membantu.
“Hanya
ini yang mampu aku bantu Rin, harap kau bersabar dengan ujian yang mendatang.
Kau kena kuat ya, jangan putus asa,” nasihat Rafeah.
Malam
itu duka yang menyapa, perlahan-lahan reda sendiri. Duit yang ada akan
digunakan sebaik mungkin. Janganlah suaminya pulang menganggu lagi. Setelah
Rafeah pulang, Riana cuba melelapkan mata. Makanan yang tidak bersentuh
disimpan dalam peti sejuk yang telah berkarat di bawahnya. Selagi masih boleh
guna, dimanfaatkan sepenuhnya. Matanya berkaca apabila terlihat wajah anak-anak
yang masih lena tidurnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan