HARI
yang sungguh tidak bermaya buat dirinya. Suaminya masih belum balik dari
kampung. Telefon pun tidak. Takkan emak mertuanya masih tidak sihat? Aleeya
mengeluh kesal. Terasa hidupnya sepi dan kosong. Sikap Ikmal membuatkan dia
tertanya-tanya sendiri. Apa yang sedang berlaku? Adakah hubungan Ikmal dan
Nadia sudah berbaik semula? Sudah seperti belangkas pula. Malu hendak bertanya,
nanti dikatakan cemburu dan menyibuk pula. Kalau tidak bertanya, dia pula yang
bersyak wasangka. Susahnya hidup.
Serba tidak kena saja hari ini. Data
yang dimasukkan ke dalam komputernya asyik salah. Malas mula menjalar di hati. Bosan
menggamit tiba. Resah membuai rasa. Rindu yang menyapa bagaikan tidak ada
pasang surutnya. Rindu mendengar suara suaminya, rindu dengan senyuman dan
gelak ketawa suaminya. Ah! Kenapalah
susah benar hidupnya? Banyak pula dugaannya. Bukan dia ambil suami orang. Bukan
dia kacau rumah tangga orang lain. Bukan dia minta suaminya memutuskan hubungan
dengan anak-anaknya. Dia masih bertolak ansur. Dia masih ada rasa belas ihsan. Tetapi
kenapa Nadia kejam sangat? Kenapa suaminya seperti menjauhkan diri? Apa
salahnya?
“Kak! Menung lagi?” Lin menyergah.
Aleeya memandang selamba.
Ait! Tidak terkejut. Boleh tahan
brutal akak sorang ni?
“Akak ni, kenapa? Muka macam ayam
berak kapur aje? Atau akak tertelan kapur barus?” gurau Lin, sengaja mencipta
ayat poyo untuk menggembirakan hati rakan sekerja yang sedang ditimpa masalah
rumah tangga yang tidak kunjung padam. Susah juga kahwin dengan duda ini.
“Entahlah, Lin. Pening kepala akak
fikirkan masalah rumah tangga akak. Tak habis-habis dugaan datang menimpa. Apa
salah akak ya?”
“Inilah dugaan namanya, kak. Nak uji
ketahanan mental dan fizikal akak aje tu. Sabarlah, kak. Bertenang. Jangan ikut
hati, jangan ikut rasa. Bawa-bawalah berdoa agar semua masalah ini akan selesai
segera,” nasihat Lin. Macam pakar motivasi rumah tangga pula, sedangkan dia
sendiri belum berkahwin. Entah mampu, entah tidak jika diuji dengan ujian seperti
ini. Semoga dia tabah dan kuat jika ditakdirkan bertemu jodoh juga akhirnya.
“Malam ni kita tengok wayang nak
tak? Ada cerita baru di panggung. Hilangkan tekanan dalam diri akak,” ajak Lin.
“Ros dan Ina ikut sekali ke?” Aleeya
tersenyum.
“Oh! Sudah tentulah!” sampuk kedua
insan yang disebut namanya tadi.
“Uh! Macam Jenny dalam botol pula,
muncul tiba-tiba,” usik Aleeya. Dia ketawa nipis.
“Kalau saya Jenny dalam botol tu,
saya lenyapkan terus si Nadia tu kak, biar tak ganggu akak lagi,” kata Ina dengan
dahi berkerut.
“Ha’ah kak... akak jangan susah
hatilah. Nanti semua kerja tak jalan. Kita makan gaji kak, kalau kerja tak
siap, dipanggil oleh orang atas. Nahas kita,” nasihat Ros.
Mereka bertiga berkumpul di hadapan
meja Aleeya seperti biasa. Rakan-rakan sekerja yang lain sudah faham sangat
dengan perangai mereka.
“Kau orang ni asyik keluar berjalan
aje. Cemburu akaklah!” Rozita mencebik. Dia tidak berpeluang ikut rakan-rakan
sekerjanya sebab suaminya tidak benarkan. Terpaksalah dengar cakap suami, kan?
“Alah, kak… akak ada suami, kami
lagilah cemburu. Kami bertiga ni dara pingitan yang kesunyian. Tak tahulah di
mana kurangnya. Nak kata tak cantik, kalah Neelofa. Nak kata tak menarik, kalah
Emma Maembong.” Ina menyengih. Memuji diri sendiri. Siapa lagi nak puji, kalau
bukan diri sendiri, kan?
“Masalah lagi ke, Leya?” Rozita
memandang wajah Aleeya yang muram.
“Biasalah, Rozita.”
Aleeya tersenyum nipis.
“Inilah asam garam rumah tangga, kau bersabar dan berdoa. Itu ajelah yang mampu aku bagi tahu. Tabah ya,” nasihat Rozita sebelum
kembali ke tempatnya.
Ya, dia akan bersabar dan berdoa,
semoga ALLAH SWT memberi petunjuk dan hidayah serta kesabaran yang tinggi
padanya.
“Macam mana, kak... jadi nak tengok
wayang malam ni?” Lin beralih cerita.
“Insya-ALLAH, nanti akak mesej suami
akak. Kalau dia benarkan akak ikut.” Aleeya riang semula. Rakan-rakannya memang
pemberi semangat yang baik. Mereka tidak pernah menasihatinya yang bukan-bukan.
Malah, sentiasa menyuruhnya bersabar dan tabah menghadapi ujian ini. Mereka
bukan penabur garam dalam lukanya yang dalam. Luka yang bernanah pun akan
sembuh kalau baik ubat yang diterima. Merekalah ubat yang terbaik buatnya.
Penenang yang mendamaikan jiwa.
“Okey, pukul 8.00 malam kami tunggu
panggilan daripada akak.” Ina mengenyit mata. Dia terus kembali ke tempatnya.
Kalau lama-lama bersembang, alamat kena panggil dengan pihak yang
bertanggungjawablah.
“Okey, kak… tenang dan jangan susah
hati. Hidup harus ceria. Nanti lekas tua, kak... kalau asyik berkerut dan
bermuram aje. Jatuh pipi tu nanti, dah tak cantik,” usik Lin. Dia memeluk bahu
Aleeya erat.
“Terima kasih, Lin…” Aleeya
tersenyum semula.
Bolehlah dia tersenyum lama. Pasti
ke dia tidak akan ingat semula dengan apa yang sedang berlaku dalam rumah
tangganya? Mana boleh lupa? Ini masalah dia. Mungkin boleh mengurangkan sedikit
beban di hati jika ada teman sekeliling yang mampu memberi semangat.
Tabahlah Leya, bisik hatinya. Terasa
rindu pula dengan emak di kampung. Sudah lama juga dia tidak bertanya khabar
kedua orang tuanya. Bukanlah dia tidak ingat, tetapi kekangan waktu membuatkan
dia tidak sempat untuk melefon dan bertanya khabar. Alasan seorang anak yang
mudah lupa pada orang tua sendiri.
Dia memandang jam tangan. Sudah menginjak
petang. Tidak lama lagi, masa untuk pulang ke rumah. Suaminya, entah di mana. Tiada
khabar berita. Kalau dia menelefon, ada masalah tak? Bermain dengan soalan demi
soalan, jawapannya tentulah tidak seindah yang diharapkan. Akhirnya, dia
menghantar pesanan ringkas kepada suami tercinta. Hanya untuk memberitahu, dia
akan pulang lewat kerana bersantai bersama kawan-kawan. Usah dirisaukan ke mana
dia pergi. Tahulah dia mencari jalan pulang. Sebak mencengkam hati.
Abang, Leya rindukan abang. Hatinya berlagu
sendu. Air mata yang mula nak gugur, cepat-cepat diseka dengan hujung baju.
Malu dilihat oleh rakan-rakan sekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan