Tercungap-cungap
dia berlari. Sesekali dia menoleh belakang. Bukan ada sesiapa yang mengekorinya. Namun
entah kenapa, dia cuma tidak mahu sesiapa pun melihatnya. Penat berlari, dia
berjalan pantas. Dia perlu segera sampai ke rumah. Dia perlu pulang sebelum
ibunya dan kakaknya pulang. Waktu sedang menunjukkan jam 6.00 petang. Ibu dan
akak hanya akan pulang sekitar jam 7.30 petang. Itupun jika ibunya tidak kerja overtime. Jika ibu dan kakak kerja lebih
masa, mungkin mereka akan pulang sekitar jam 10.00 malam. Selalunya pada hari
Jumaat, ibu dan kakaknya akan bekerja lebih masa kerana mereka akan bercuti
pada hujung minggu. Hatinya merasa puas. Entah bilalah dia dapat memakai
pakaian yang baru dibelinya sebentar tadi.
Sebelum pulang ke rumah,
dia singgah sebentar di rumah sahabatnya.
“Dik… Adik… Assalamualaikum,
Adik,” dia memberi salam.Adik muncul di muka pintu sedang dia hanya berdiri di
bawah tangga. Kelihatan sahabatnya itu sedang memegang sebuah buku lukisan dan
pensel. Pasti Adik sedang melukis lagi. Sahabatnya itu memang tidak pernah
berjauhan dengan pensel dan buku lukisan.
“Waalaikumus salam,
kenapa, Ri?” tanya Adik kepada sahabatnya yang tercungap-cungap seperti baru
lepas dikejar anak anjing kurap.
“Dik… aku dah beli,
dah,” jawab sahabatnya sambil tersengih dan menunjukkan bungkusan beg plastik
yang di dalamnya terdapat dua helai pakaian.
“Kau beli apa? Baju raya?”
tanya Adik kehairanan sambil menjengah bungkusan beg plastik berwarna hitam
pekat yang disuakan kepadanya.
“Bukanlah, apa pulak baju raya! Ahh kau ni, kan aku dah bagitahu kat
sekolah semalam, aku nak beli hari ni,” rengus Ri. Tidak puas hati kerana Adik
terlupa.
“Beli apanya? Aku lupalah,” kening
Adik berkerut.
“Itulah kau…makan banyak kepala ikan kembung
lagi. Dah jadi pelupa macam mak nenek!” Marah Ri kepada sahabatnya itu.
Adik hanya tersenyum.
Dia tidak pernah sekali-kali berkecil hati dengan kata-kata Ri. Walau Ri
bermulut lepas, namun hatinya baik. Ri adalah sahabatnya dari kecil hinga
mereka sama-sama di sekolah rendah dan hingga kini.
“Meh turun sini, aku
bisik dengan kau,” ajak Johari kepada Adik yang hanya berdiri di muka pintu
sementara dia masih lagi berdiri di bawah tangga rumah Pak Ghani.
“Alah…cakap sajalah.
Nak bisik-bisik pulak kau ni,” Adik memuncungkan bibirnya.
“Tak boleh, ini
rahsialah. Nanti Abang Din kau dengar ke, mak kau dengar ke, kak Nora dengar
ke, susahhh…,” jawab Ri sungguh-sungguh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Untuk menjaga hati
kawannya itu, Adik menuruni anak tangga kayu rumahnya dan menghampiri Johari
yang tersengih-sengih macam kerang ternganga.
Johari menghampiri Adik
dan berbisik di telinga kanan sahabatnya.
“Tadi…sok sek…sok sek…lepas
itu…sok sek…sok sek… malam…sok sek…,” Kamal Arif yang memasang betul-betul
pendengarannya ketika Johari membisikkan cerita dan perancangannya. Kadang-kadang
kening Johari berkerut. Kadang-kadang dia tersenyum. Kemudian dia
mengangguk-angguk.
“Faham?” tanya Ri meminta
kepastian.
“Tahulah aku,” tegas
Adik sambil tersenyum.
Johari akhirnya
meninggalkan Adik dan berlalu pulang ke rumah. Janji telah dimetri antara dia
dan Adik. Ketika Johari berjalan keluar dari kawasan rumah Adik, di hujung
jalan, dia terserempak dengan Khalid yang baru pulang dari kerja. Khalid kini
berumur 19 tahun dan bekerja di salah sebuah kilang elektronik di Sri Gading.
Kilang tempat Khalid bekerja berdekatan dengan kilang tempat ibu dan kakak
Johari bekerja. Cuma ibu dan kakak Johari diambil setiap hari dengan van kilang
yang disediakan oleh pihak syarikat. Sementara Khalid pula menaiki motor. Dari
atas motor Honda EX5 yang dibeli oleh Tok Bidin, Khalid menjeling tajam wajah
Johari. Khalid tahu, Johari baru sahaja pulang dari bertemu adiknya, Kamal
Arif.
‘Apa jeling-jeling? Aku cucuk mata
kau dengan garfu macam Kassim Selamat, baru tahu!’
Johari membalas jelingan Khalid. Dia
tahu, Khalid tidak suka dia berkawan dengan Adik. Entah apa yang dia buat
hingga Khalid benci padanya, Johari tidak tahu.
Adik sedang menjirus pokok-pokok
bunga kertas emak ketika Khalid memarkir motornya di tepi rumah. Abang
sulungnya itu sudah jadi lelaki bujang yang bertubuh sasa. Rupa parasnya
seperti wajah Tok Bidin. Garang semacam. Kulit Abang Long sawo matang. Lirikan
matanya tajam menikam. Mata Khalid macam mata helang. Kalau merenung orang,
boleh lari lintang-pukang orang dibuatnya. Memang sesuai sangat kalau Khalid
masuk askar. Tetapi, Khalid tidak mahu pula jadi askar macam Atok, macam Pak
Usu. Puas sudah Pak Usu Ghaffar memujuk
Abang Long isi borang jadi askar. Sekurang-kurangnya bila kerja jadi askar,
bila sudah tua nanti, boleh dapat duit pencen. Mati-mati Abang Long tidak mahu.
Abang Long hanya mahu jadi gangster kampung macam Sharip Dol – samseng Kampung Dusun.
Memang Abang Long buah hati Atok. Semasa Abang Long berumur 18 tahun, Abang cari kerja
di kilang Sharp di Sri Gading. Apabila Abang dapat kerja sebagai operator
pengeluaran, terus sahaja Atok Bidin belikan sebuah motorsikal. Apa yang Abang
hajatkan, semuanya Tok Bidin turutkan. Semua orang kampung tahu hal itu. Tapi
Adik tahu, Atok sayangkan semua cucu-cucunya, termasuklah Adik. Masa Adik dapat
5A dalam UPSR tahun 1992 pun, Atok Bidin hadiahkan Adik dengan basikal baharu. Basikal
berwarna merah yang ada bakul di hadapan. Memang merah warna kegemaran Adik. Abang
Din pun dapat basikal racing selepas
Abang Din berjaya dapat 13 aggreget dalam Sijil Rendah Peperiksaan (SRP) pada
tahun yang sama.
“ Baru balik, bang?” tanya Adik
sambil memegang gayung dan baldi air.
“ Iyalah, takkan aku nak pergi
kerja, pulak? Inikan dah petang.”
Adik diam.
‘ Tanya pun salah.’ Keluh Adik
sambil mencebik dan meneruskan kerjanya menjirus pokok-pokok bunga emak.
“ Dik…mak kau kemana?” tegur Kak
Nora yang berdiri dari tingkap rumahnya ketika Adik menjirus pokok- pokok bunga
yang diletakkan di antara sempadan rumah Kak Nora dan rumahnya.
“ Mak pergi rumah Atok, Kak Nora. Ayah hantar lepas ayah balik makan tengahari tadi,” jawab Adik.
“ Mak pergi rumah Atok, Kak Nora. Ayah hantar lepas ayah balik makan tengahari tadi,” jawab Adik.
“ Oh, padanlah senyap saja. Emak
bawa Alia eh?”
“ Haah Kak Nora,” jawab Adik sambil
terus menjirus pokok-pokok bunga kertas ibunya yang mempunyai pelbagai warna.
Tujuh tahun lepas, Salimah dan Abdul
Ghani dikurniakan seorang anak perempuan. Berakhirlah penantian mereka yang
memang menantikan kehadiran seorang puteri untuk menghiasi rumah tangga mereka.
Kasih Alia nama anak bongsu Salimah dan Abdul Ghani. Ketika Kasih Alia lahir,
Kamal Arif berusia tujuh tahun. Gembira bukan kepalang dia kerana mendapat
seorang adik perempuan. Adik sudah berangan-angan hendak mengajak Alia bermain
masak-masak, bermain anak patung dan main solek-solek.
“ Dik…minggu depan ikut Kak Nora
pergi mengandam, nak tak?” tanya Kak Nora yang masih berdiri di tingkap kayu
rumahnya yang terbuka luas.
“ Nak!” jawab Adik tersenyum lebar.
“ Kampung mana, Kak Nora?” Matanya bersinar dengan pelawaan Kak Nora.
“ Alah dekat saja. Dekat- dekat rumah
Atok kau, di Simpang Lima,” jawab Kak Nora. Sejak Adik berumur 12 tahun, Kak
Nora memang selalu membawa Adik dan Ri ke tempat dia mengandam. Selalunya Kak
Nora akan bagi mereka upah, lima ringgit seorang. Jika Kak Nora tidak beri
apa-apa pun, mereka berdua memang suka mengikut Kak Nora pergi mengandam.
“ Siapa kahwin, Kak Nora?”
“ Bukan kahwin, majlis tunang saja.
Hari Sabtu petang eh, Dik. Kalau kau nak ajak Johari, ajaklah sekali, teman Kak
Nora.”
“ Ok boleh, nanti kita beritahu Ri,”
jawab Adik sambil tersenyum memandang Kak Nora. Jiran dan kakak angkat yang
akrab dengannya. Jika Kak Nora membawa dia dan Johari, mereka akan membantu
mengangkat beg solek Kak Nora yang besar. Mereka juga akan menolong Kak Nora
menghias pelamin. Kerja-kerja menggantung bunga-bunga di atas dinding, semuanya
dibantu oleh Adik dan Johari. Kak Nora hanya akan beri arahan sahaja. Jika ada
pelamin, Kak Nora akan beri upah lebih dari lima ringgit. Duit itu Adik akan
gunakan untuk belanja sekolah dan Johari pula akan gunakannya untuk membeli
kaset-kaset lagu kegemarannya.
Adik memang selalu akan mendahului
abang-abangnya untuk ke surau. Rutin hariannya sebelum masuk maghrib adalah
menolong Pak Bilal dan Pak Noja Hassan yang sudah tua, membentang sejadah. Adakalanya,
Adik menyapu lantai surau yang berhabuk dengan penyapu lidi. Jika ada usrah
atau mesyuarat ahli jawatankuasa surau, Adik akan tolong ayah bancuh air teh atau
kopi. Ayah juga salah seorang ahli jawatankuasa surau kampung.
Abang Din yang masih dengan hobinya,
berendam di dalam bilik air, hanya akan muncul ketika Pak Bilal sudah mengambil
tempat untuk melaungkan azan. Kadang-kadang, Pak Imam sudah ambil tempat, barulah
Abang Din muncul termengah-mengah. Ketika itu, Adik sudah pun berada di saf
nombor dua. Abang Khalid pula, kadang-kadang berjemaah, kadang-kadang tidak.
Tetapi, selalunya tidak. Khalid hanya akan solat sendirian di rumah dan
kemudian akan keluar rumah semula selepas waktu maghrib.
Tepat jam 8.00 malam, ketika Hajah
Wan Cik Daud dan Harjit Singh Hullon hendak mula baca berita di RTM 1, Khalid
sudah menghidupkan enjin motornya dan berlalu pergi. Kemana destinasi Khalid,
Adik tidak pernah ambil tahu. Yang dia tahu, Khalid akan pulang ke rumah ketika
jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.00 malam. Tanpa bersalin pakaian, abangnya
itu akan terbongkang tidur dan hanya akan bangun ketika dia dan Abang Din
bersiap sedia untuk ke sekolah pada pukul 6.30 pagi.
“ Ayah kamu tidak ada malam ni, Arif
?” tanya Pak Noja Hassan ketika melihatkan Abdul Ghani tidak muncul-muncul
ketika mereka semua selesai melakukan ibadah solat maghrib berjemaah.
“ Ayah dengan emak ke rumah Atok, Pak Hassan. Nenek tidak sihat. Jadi,
Atok minta emak masakkan bubur malam ni,” jawab Adik yang duduk bersila
berdekatan dengan guru mengajinya.
Setelah Adik khatam Al-quran pada umurnya 10 tahun, dia masih lagi
mengulang pembacaannya dengan Pak Noja Hassan. Tahun ini, sudah tiga kali Adik
khatam kitab peninggalan Rasulullah.
“Kasihan nenek kamu, sudah uzur juga dia, macam Mak Chom kamulah,”
ujar Pak Hassan. Hajah Kalsom adalah orang rumah Pak Hassan.
Adik hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Syukur Pak Hassan ini ada anak perempuan duduk sama-sama Pak
Hassan. Kalau Kak Milah tak ada, susah juga,” ujar Pak Hassan kepada Adik. Anak
itu memang rapat dengannya. Sedari umurnya lima tahun dan kini, sudah berumur
14 tahun pun, Adik itu jarang berjauhan dengannya.
Adik pada kebiasaannya akan duduk di surau hingga dia menyempurnakan
solat isya’ berjemaah bersama penduduk kampung. Abang Din pula, jika ada kelas
tambahan waktu malam di sekolah, selepas solat maghrib, dia akan terus
berbasikal ke sekolah bersama-sama dengan kawan-kawannya yang lain. Malam ini,
Abang Din tidak ada kelas malam. Tetapi kerana sakit perut, selesai solat
maghrib, dia terus pulang ke rumah setelah bersalaman dengan para jemaah. Tahun
ini, Abang Din akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia. Abang Din adalah anak
harapan emak dan ayah. Abang Din memang seorang pelajar yang pintar. Dua tahun
lepas, ayah dan emak sungguh kecewa dengan keputusan SPM Abang Khalid. Khalid
hanya berupaya mendapat pangkat 3 di dalam SPM.
Usai solat isya’, Adik segera bersalaman dengan para jemaah. Telah
diberitahu pada Abang Din yang dia akan terus ke rumah Johari untuk membuat
kerja sekolah bersama. Beg sandang yang diletak di bahagian tepi dinding surau
segera diambil. Dia pasti, Johari sedang menantinya.
Demi cintaku padamu, ke
mana saja kan kubawa
Ke hujung dunia, ke bintang kejora
Demi cintaku padamu, ku korbankan jiwa dan raga
Biarpun harus ku telan, lautan bara
Adik tersengih-sengih ketika
mendengar lagu Fantasia Bulan Madu dari kumpulan Search berkumandang dari rumah
Johari. Rakannya itu, memang amat meminati kumpulan Search dan Wings.
“ Buuulan madu di awan biru, tiada
yang mengangguuuu. Buuuulan madu di atas pelangi, hanya kita berduaaaa…,”
terdengar suara sumbang Johari mendendangkan lagu Amy Search.
“ Assalamualaikum…Ri! Assalamualaikummm,”
hingga hendak keluar anak tekak Adik memberi salam sambil mengetuk pintu rumah
Johari. Kawannya itu, kalau mendengar radio, macam kedai elektrik hendak jual
televisyen. Adik pasti Johari memulas punat stereo radio kesayangannya ke tahap
maksimum.
“ Waalaikumus salam…oiiii…kejap
kejap…aku bukak,” terdengar sayup suara Johari dari dalam rumah.
Pintu rumah kayu Mak Bedah terkuak
luas. Adik tersenyum memandang Johari.
“ Mak kau tak balik lagi eh?”
“ Biasalah, hari Jumaat. Mak aku
dengan kak ngah mesti kerja ‘overtime’,” jawab Johari sambil menutup pintu
rumahnya ketika Adik melangkah masuk.
“ Adik-adik kau, mana?”
“ Dalam bilik, buat kerja rumah
agaknya.”
“ Ohhh.”
Johari adalah anak ketiga dari lima
adik-beradik. Dia mempunyai dua orang kakak dan dua orang adik perempuan.
Johari adalah anak yang tengah. Ayahnya pula memang jarang ada di rumah kerana
ayah Johari bekerja di pelabuhan Pasir Gudang. Ayahnya hanya akan pulang dua
minggu sekali. Cakap-cakap orang kampung mengatakan ayah Johari itu ada isteri
kedua di Pasir Gudang. Tetapi, tiada siapa pun yang dapat mengesahkannya. Adik
faham benar dengan perangai penduduk kampung tempat lahirnya itu. Mulut mereka
macam mulut murai. Ada sahaja gossip orang-orang kampung. Kak Nora itu, sudah
lali dengan gossip orang kampung. Mereka kata Kak Nora ada pakai susuklah.
Mereka kata, Kak Nora hendak mengorat Tok Penghululah. Mentang-mentanglah Kak
Nora itu janda lawa dan mak andam, ada sahaja orang yang suka mengumpat Kak
Nora.
Kakak sulung Johari pula sudah mengikut
suaminya tinggal di Kuantan, Pahang. Tinggallah Johari, kakak keduanya dan dua
orang adik perempuannya yang masih bersekolah rendah. Kiranya, Johari adalah
anak lelaki tunggal Mak Bedah.
“ Kau dah makan, Dik? Aku masak
mihun goreng petang tadi,” tanya Johari kepada Adik yang memeluk sebuah fail dan sebuah buku
sejarah tingkatan 2. Beg sandangnya diletakkan di sebuah kerusi rotan di ruang
tamu.
“ Kenyang lagi, Ri. Aku dah makan
petang tadi. Mak aku pun masakkan mihun untuk minum petang.”
Apabila Mak Bedah dan anak keduanya
keluar bekerja, Johari ditugaskan menjaga kedua orang adiknya di rumah.
Selalunya Mak Bedah akan siap menyediakan makan tengahari untuk ketiga-tiga
anaknya yang pulang dari sekolah. Johari hanya akan menyediakan makanan petang
atau malam untuk dirinya dan adik-adiknya. Jika Adik gemar melukis, menggubah
bunga dengan Kak Nora, Johari pula gemar memasak. Air tangan Johari memang
sedap. Jika Johari masak mee goreng basah, Adik akan tambah dua pinggan. Jika
Johari menggoreng cucur udang atau ikan bilis, Adik akan makan sehingga 10
ketul. Itulah kelebihan Johari sahabatnya sedari kecil.
“ Ri, cepatlah tunjukkan aku benda
yang kau beli tu?” tanya Adik tidak sabar-sabar lagi meminta Johari menunjukkan
pakaian yang dibeli dari pasar malam petang tadi.
Setiap hari Jumaat, memang akan ada
Pasar Malam di Jalan Peserai. Macam-macam jualan penjaja kecil di Pasar Malam
tersebut. Dari pakaian, makanan, minuman, barang-barang pasar seperti ikan,
sayur,buah-buahan dan juga aksesori wanita.
“ Meh masuk bilik. Nanti aku takut, adik
aku nampak,” jawab Johari sambil mengajak Adik memasuki bilik tidurnya.
“ Ri, Sabtu minggu depan, Kak Nora
ajak kita teman dia pergi mengandam tau.”
“ Iya ke? Bagus juga. Kalau ikut Kak
Nora, mesti dapat upah !” Johari tergelak-gelak kecil sambil membuka pintu
biliknya yang tertutup rapat.
Oleh kerana Johari seorang sahaja
anak lelaki Mak Bedah, dia mempunyai bilik sendiri. Kak Ngah dan kedua orang
adik perempuannya berkongsi bilik tidur yang sama.
Ketika Adik melangkah masuk ke bilik
Johari, kelihatan gambar-gambar artis dalam dan luar negeri ditampal di kiri
kanan bilik tidurnya. Ada gambar Noorkumalasari, Melissa Saila, Julia Roberts,
Richard Gere, Tom Cruise dan beberapa poster kumpulan Search dan Wings. Adik
tahu, Johari gunting gambar-gambar itu dari majalah URTV yang dibelinya setiap
bulan. Adik juga mempunyai hasrat untuk mempunyai bilik sendiri supaya dia juga
boleh meletakkan poster-poster artis pujaannya. Tetapi, Adik berkongsi bilik
dengan Abang Din. Yang ada di dinding biliknya adalah kalendar tahun 1994,
gambar-gambar motor scrambler,
basikal racing dan jadual waktu sekolah
dia dan Abang Din.
Johari membuka pintu almari bajunya.
Pakaian yang dibeli
masih lagi berada di dalam bungkusan plastik hitam.
“ Cepatlah Ri…kau ni, buat aku suspen aje, tau.”
Johari tersenyum menoleh ke arah
Adik yang berada di belakangnya. Dengan perlahan-lahan Johari mengeluarkan dua
helai pakaian dari beg plastik hitam itu. Kelihatanlah sehelai blaus tanpa
lengan berwarna merah dan sehelai skirt pendek berwarna hitam.
Adik tergamam ketika Johari
menunjukkan dua jenis helai pakaian itu kepadanya.
“ Gila kau, Ri? Bila kau nak pakai?”
tanya Adik sambil membelek-belek skirt dan blaus itu.
“ Bila-bilalah. Masa aku belajar
dengan kau ke, masa aku tidur ke, masa aku duduk seorang di rumah ke,” jawab
Johari selamba.
“ Oh…aku ingatkan kau hendak pakai
keluar rumah,” Adik tersenyum kelat.
“ GILA KAU?” sergah Johari. “ Kau
nak mampos pakai masa keluar rumah?” Terbelalak mata Johari memandang Adik.
“ Itulah yang aku tanya kau, tadi,”
Adik menghulurkan semula pakaian yang dibeli Johari.
“ Aku pakai sorok-soroklah. Aku
pakai depan kau aje,” Johari tersenyum memandang sahabatnya. Adik juga membalas senyuman sahabatnya itu. “
Dik, kau tahu tak, ini macam baju siapa?”
“ Entah,” Adik mengangkat bahu.
“ Cuba kau tengok poster Julia
Roberts dengan Richard Gere tu,” Johari memuncungkan mulutnya ke arah sehelai
poster yang ditampal di dinding biliknya. Adik menoleh ke arah yang ditunjukkan
Johari. Kelihatan sebuah poster filem Pretty Woman lakonan Julia Roberts dan
Richard Gere. Mereka berdua pernah menonton filem itu dari video tape yang dibeli oleh Faezah, anak cikgu Zakiah.
“ Amacam? Sama tak?” tanya Johari
lagi sambil mengangkat-angkat keningnya meminta kepastian
“ Hmm, lebih kuranglah,” jawab Adik
sambil tersengih-sengih mengiakan.
“ Kalau rambut aku panjang,
Dik…mesti serupa macam Julia Roberts tu.”
Adik tersenyum dan mengangguk lagi.
Sememangnya Johari mempunyai jenis
rambut yang beralun. Adik pasti, jika dibiarkan panjang, rambutnya akan
kelihatan kerinting, beralun. Sama seperti Julia Roberts dalam filem itu.
Berbeza dengan dirinya yang mempunyai rambut lurus dan tegak. Tubuh mereka juga
seakan sama. Cuma kulit Johari sedikit gelap dari Adik yang putih melepak.
“Berapa ringgit kau beli semua ni,
Ri?”
“Murah saja, dua puluh ringgit.
Nyonya tu tanya aku, beli untuk siapa?”
“Habis? Apa kau jawab?” Kening Adik
berkerut.
“Untuk adik akulah! Nyonya tu, kenal dengan mak aku. Takkan aku hendak cakap aku beli untuk
aku? Buatnya dia beritahu mak aku? Gila kau?”
Adik mengangguk-angguk.
“Kau jangan bagitahu sesiapa tau!”
pesan Johari sambil menunjukkan jari telunjuknya di hadapan mata Adik.
“ Tahulah aku.”
“ Kau tu, janji-janji dengan aku,
tak pasal-pasal, Kak Nora kau beritahu, Faez kau beritahu, mak kau pun, kau
beritahu! Yang lain-lain aku tidak kisah, Dik. Tapi yang ini, rahsia kita, tau,
” pesan Johari bersungguh-sungguh.
“ Iyalah. Aku tahulah. Aku simpan
rahsia kau.”
“Yes…ini
yang aku sayang dengan kau ni. Esok aku buatkan kau jemput-jemput udang special untuk kau eh?”
Adik tersenyum lebar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan