A
|
min
sedang membersihkan dahan-dahan kayu yang bergelimpangan di bawah pokok
buah-buahan. Kamaruzaman ikut membantu walaupun berkali-kali dilarang oleh
Amin.
“Berilah peluang saya keluarkan peluh,
Min. Tak sihat tubuh saya ni kalau asyik makan tidur sahaja. Jangan takut.
Firdaus dan Zurie tak ada di sini. Mereka tak boleh nak marahkan awak,” kata
Kamaruzaman dengan ketawa.
Akhirnya Amin terpaksa membenarkan juga.
“Kamu dah cari orang untuk
diupah memetik buah-buahan ini, Min?”
“Dah bang. Petang ni
ada dua tiga orang budak kampung ni akan datang untuk memetik rambutan dan
manggis ni. Banyak buahnya tahun ni,” jawab Amin dengan senyum senang. Dia
bersyukur kerana tugasnya menjaga kebun dan rumah pusaka itu dapat dilakukan
dengan baik.
“Alhamdulillah, Min.
Ini semua rezeki ALLAH. Jangan lupa bahagi-bahagikan kepada orang kampung ni,
Min. Selebihnya baru boleh dijual. Saya nak orang kampung merasanya dulu, itu
sebagai sedekah saya.”
“Baik bang. Nanti saya akan hantarkan
sebakul ke warung Kak Muna.”
“Hantar ke warung tu buat apa? Saya suruh
bahagi-bahagikan kepada orang kampung!” Suara Kamaruzaman sedikit meninggi.
“Biasanya saya akan hantar ke situ. Nanti
Kak Muna akan tolong agihkan. Bila ada orang lalu atau datang ke warungnya,
dia akan beri. Kalau saya nak hantar ke setiap rumah dalam kampung ni teruk juga saya, bang.” Amin menyengih.
Kamaruzaman mula tersenyum.
Dia membayangkan Amin keliling kampung dengan motornya untuk mengagihkan
buah-buahan itu.
Tiba-tiba
Kamaruzaman berpaling ke arah kebun getahnya di seberang parit. Tidak ada
bayang Mak Jah dan anak gadisnya hari itu.
“Mereka tak menoreh
ke hari ni, Min?”
“Ada kat sebelah
sana agaknya,” tunjuk Amin.
“Tapi, basikalnya
tak ada.”
Amin menoleh sekali
lagi. Biasanya Siti Solehah akan menongkat basikalnya berdekatan bangsal tempat
menyimpan barang-barang.
“Tak pernah pula
Siti ponteng. Agaknya Pak Tahir diserang semput lagi.” Amin mengandaikan dengan perlahan.
“Nanti kita singgah
di rumah Pak Tahir, Min. Mungkin ada yang boleh kita tolong,” kata Kamaruzaman.
Amin angguk. Memang itu yang ada dalam fikirannya ketika itu. Keluarga Pak
Tahir sudah seperti keluarganya sendiri. Susah senang mereka adalah susah
senang dia juga.
Selepas selesai
membersihkan kawasan kebun itu, Amin memboncengkan Kamaruzaman ke arah rumah
Pak Tahir. Sepanjang jalan itu, fikiran Kamaruzaman menerawang
dengan rasa simpati dan ingin menolong keluarga itu.
Ketika mereka
sampai, rumah itu lengang. Amin menongkat motornya dan memberi salam
berulang-kali namun tidak ada yang menjawab.
“Ke mana semua orang
pergi ni?” rungut Amin dengan cemas. Biasanya kalau semua orang tiada di rumah,
Pak Tahir tetap ada. Ketika mereka tertinjau-tinjau dan menunggu, bunyi tapak
kaki dan suara orang berbual kedengaran dari belakang.
Amin dan Kamaruzaman
menoleh. Mata mereka singgah pada susuk tubuh Siti Mukminah dan Muhamad Hafiz
dalam seragam sekolah berjalan ke arah mereka.
“Tak ada orang di
rumah. Kak Siti dan Mak Jah tak menoreh hari ni. Mana mereka, Inah?” tanya Amin
kepada Siti Mukminah.
“Ayah masuk wad,
bang. Mak menjaganya. Kakak pun mungkin ada di sana,” jawab Siti Mukminah.
“Bila?” Kali ini
Kamaruzaman pula yang bertanya.
“Malam tadi.”
“Habis Inah tak
pergi hospital?”
“Kakak suruh tunggu
di rumah sebab kami mesti ke sekolah,” jawab Siti Mukminah.
“Kalau macam tu mari
kita melawat Pak Tahir, Min.”
Dengan perlahan Amin
mengangguk. Dia menghidupkan enjin motornya dan terus menghala balik ke rumah.
Selepas meninggalkan Kamaruzaman di halaman rumahnya, Amin tergesa-gesa balik
ke rumahnya pula.
“Eh, kenapa kelam
kabut ni bang?” tanya Rukiyah yang sedang menyapu halaman.
“Pak Tahir masuk
wad. Kami nak pergi melawat. Ru nak ikut, cepatlah bersiap.”
“Nak naik apa?”
“Kita naik teksi sajalah.” Amin segera
masuk ke rumah untuk bersiap. Rukiyah mengekorinya.
Tidak lama, sebuah teksi berhenti di
hadapan rumah. Kamaruzaman sudah ada di dalamnya.
“Cepatnya abang
dapat teksi,” kata Amin tersengih malu. Sepatutnya dia yang uruskan mencari
teksi.
“Kebetulan abang
keluar dari rumah, teksi lalu depan rumah. Rezeki kita,” jawab Kamaruzaman
pula.
Mereka sampai di hospital
tepat pada waktu melawat.
Mata Kamaruzaman terpaku
belas melihat kesengsaraan dan penderitaan Pak Tahir berdepan dengan penyakitnya.
Amin dan Rukiyah juga ikut bersimpati melihat Pak Tahir yang lemah, pucat dan
hanya bergantung kepada alat pernafasan.
“Sabarlah Kak Jah,”
kata Amin ketika melihat air mata Mak Jah menitik apabila melihat mereka datang.
“Jah, beritahulah
saya kalau ada apa-apa yang boleh saya tolong,” kata Kamaruzaman pula.
“Kalau Abang Zaman
nak tolong, ada satu saja yang saya nak minta,” kata Mak Jah.
“Apa dia Jah?”
“Tolong jangan buang
kami dari menoreh di kebun tu. Kami tahu ramai orang yang nak menoreh di kebun
abang tu. Untuk sehari dua ni, mungkin kami terpaksa bercuti kerana nak jaga
Abang Tahir ni.”
“Ya ALLAH Jah! Takkanlah
saya begitu zalim. Jah cutilah berapa lama pun. Jangan fikirkan sangat pasal
kebun tu,” balas Kamaruzaman menepuk dahi. Memang dia langsung tidak terniat
begitu. Melihat kedaifan keluarga itu, kalau boleh dia tidak mahu ambil
langsung hasil jualan getah yang mereka toreh.
Mak Jah menarik
nafas lega.
“Mana Siti, Kak
Jah?” tanya Rukiyah selepas lama duduk di situ tetapi tidak nampak bayang Siti
Solehah.
“Tadi dia kata nak
ke surau. Agaknya tertidurlah tu sebab malam tadi dia langsung tak tidur kerana
keadaan ayahnya ni.”
Ketika hendak
meninggalkan wad itu, Kamaruzaman menghulurkan sekeping wang seratus ringgit
kepada Mak Jah.
“Ambillah duit ini
buat belanja, Jah. Jangan susah hati pasal budak-budak yang kat rumah tu. Ru
boleh uruskan mereka. Bolehkan Ru? Nanti saya beri duit belanja. Awak tolong
tengok-tengokan budak berdua tu,” kata Kamaruzaman.
Sekali lagi Mak Jah
menitiskan air mata. Kebaikan budi Kamaruzaman yang selama ini didengarnya,
kini dirasainya!
Kamaruzaman juga meninggalkan
nombor telefonnya kepada pihak hospital. Jika ada apa-apa bayaran untuk rawatan
Pak Tahir, dia minta mereka menghubunginya.
“Min, apa jalan kita
nak bantu mereka. Terutamanya Siti tu. Sayang kalau dia terus dibiarkan menoreh
sahaja sedangkan dia ada peluang yang lebih baik,” katanya kepada Amin ketika
dalam perjalanan pulang.
“Entahlah,
bang. Saya pun tak tahu. Kalau saya ni
kaya, mungkin saya akan tanggung Siti tu belajar. Tapi, abang tengoklah keadaan
saya ni. Manalah saya mampu. Nasib baik juga abang ambil saya kerja dengan
abang,” balas Amin dengan jujur.
Kamaruzaman
termenung. Kata-kata Amin menjentik tangkai hatinya. Lama dia diam
berfikir.
“Min, kalau saya
bantu Siti tu macam mana?”
“Maksud abang?”
“Apa pendapat Min kalau
abang tanggung dia belajar.” Itu yang terselit di celah hati Kamaruzaman. Dia
jujur. Kalau diberi peluang, dia memang ingin sekali melihat Siti Solehah
menyambung pelajarannya.
“Cadangan abang tu
baik. Ru suka. Tapi...” kata Rukiyah.
“Kenapa Ru?” tanya
Kamaruzaman.
“Ru kenal sangat
dengan Siti tu. Dia jenis orang yang tak suka nak terima bantuan orang begitu
saja. Dia lebih suka berusaha sendiri. Jadi, dia tak akan terima bantuan abang
ni,” jawab Rukiyah.
Amin masih berdiam
diri. Dia sedang berfikir. Kata-kata isterinya memang benar. Dalam keadaan Pak
Tahir yang semakin uzur dan Mak Jah yang selalu kurang sihat, tidak mungkin
Siti Solehah akan meninggalkan mereka untuk pergi belajar.
“Hanya ada satu
jalan saja bang.” Tiba-tiba Amin bersuara.
Kamaruzaman segera berpaling ke arah Amin. Dia menanti jalan yang dikatakan
oleh Amin itu. Namun Amin tidak menjawab. Dia mengulum senyum dan membiarkan
Kamaruzaman bertambah bingung!
SEJAK beberapa bulan terakhir
ini, Muhayat rasa gelisah dan resah tidak menentu. Dia sendiri tidak tahu apa
puncanya. Walhal, semua urusan di pejabat tidak ada masalah. Pendapatan
syarikat semakin melonjak naik sejak dia mengambil alih pentadbiran dari
abahnya, Ahmad Adham.
“Saya nampak awak berubah sekarang.
Kenapa?” tanya Asyikin, ketika mereka keluar makan bersama.
“Apa maksud awak? Apa yang berubah? Saya tak rasa
apa-apa pun?” Muhayat membelek dirinya.
Ketika itu Asyikin juga
sedang meneliti wajah Muhayat. Wajah itu tidak seceria dulu. Dia seperti
orang yang sedang susah hati. Malah wajahnya nampak sedikit cengkung.
“Mungkin awak ni terlalu
banyak bekerja. Sekali-sekala awak perlukan rehat. Pergilah bercuti.”
“Saya risaukan
hubungan kita. Semua rancangan kita tergendala. Semuanya gara-gara ...”
“Bukan salah dia.
Mungkin belum masanya kita bersama. Masa masih panjang. Kita selesaikan satu
per satu masalah kita,” potong Asyikin dengan cepat. Dia tahu siapa yang
dimaksudkan oleh Muhayat.
Sebuah keluhan
mendesah dari bibir Muhayat.
“Ibu dan abah saya dalam mood yang
kurang baik. Saya tak berani nak bincang hal kita dengan mereka. Saya harap
awak faham,” balas Muhayat pula.
“Saya faham. Malah, kalau boleh saya nak
awak selesaikan masalah awak tu dulu.”
“Masalah apa? Saya
tak ada masalah apa-apa dengan mereka.” Muhayat
berpaling ke arah Asyikin.
“Awak janganlah ikutkan hati awak. Jangan juga ikutkan
ego awak. Tak salah kita mengaku salah dan minta ampun. Ibu bapa itu syurga
untuk anak-anak.”
“Jadi, awak pun nak salahkan saya? Awak tahu tak apa
dosa mereka?” Muhayat rasa jengkel
dengan teguran Asyikin. Sebaliknya Asyikin hanya tersenyum. Wajah Muhayat yang
merah padam, ditatap dengan rasa simpati. Dia tahu Muhayat sedang dibelit
dendam dan marah yang tidak sepatutnya.
“Awak
tak boleh nak buat hukuman sendiri. Berdosa awak tuduh ibu awak begitu. Bukan
awak yang tentukan mereka berdosa atau tidak, tapi ALLAH.”
Muhayat
diam.
“Saya bukan nak
masuk campur urusan keluarga awak. Tapi kalau awak anggap saya ni bakal isteri
awak, awak kena dengar pendapat saya.”
Muhayat
terkebil-kebil. Dia semakin bingung dan resah. Kata-kata Asyikin amat menikam
jantungnya, namun dia tidak mahu luahkan kesakitan itu.
“Saya perasan sejak
akhir-akhir ni awak sangat tidak tenteram dan sering resah. Awak tahu kenapa?”
Asyikin semakin tidak mahu berhenti menilai diri Muhayat.
Geleng.
“Sebab awak tak mendapat keredaan ALLAH.
Kenapa awak tak dapat? Sebab awak dah lukakan hati orang tua awak. Awak nak
marah saya pun marahlah. Saya tak kisah. Tapi saya memang berkata benar. Awak
dah buat air mata seorang ibu menitik!”
Hati Muhayat semakin berdenyut. Asyikin
kekasih hatinya, sanggup berkata begitu kepadanya. Alangkah sedihnya.
Tiba-tiba dia bangun. Kakinya melangkah
meninggalkan Asyikin. Dia membawa hatinya yang berdarah. Dia melarikan gundah
jiwanya yang parah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan