SETIAP
petang, Ikmal akan datang menjemputnya di universiti. Nadia benar-benar rasa
bahagia. Kemudian, mereka akan menjemput anak-anak pula. Usai mandi dan
bersolat, mereka akan keluar makan bersama. Terasa hidupnya bagaikan mempunyai
keluarga semula. Itu perjanjian antara dia dan Ikmal. Setiap hari, seolah-olah
mereka adalah sebuah keluarga yang bahagia. Tidak boleh saling bertelingkah
atau mempertikaikan apa sahaja. Cuma, Ikmal tidak boleh menginap di rumah. Tiga
bulan, jika dia berasa puas hati, dia tidak akan mengganggu Ikmal dan rumah
tangganya lagi. Itupun jika Ikmal menurut segala kehendaknya.
“Seronok kalau selalu macam ni,
terasa macam kita seperti satu keluarga. Sama seperti dulu,” luah Nadia. Wajah
Ikmal yang selamba dan jarang tersenyum itu langsung tidak mengganggu
impiannya. Anak-anak pula bukan main riang lagi. Bersorak gembira kalau
ternampak kelibat Ikmal ada bersama sewaktu mengambil mereka di sekolah atau
pusat asuhan. Hiba juga hatinya melihat gelagat mereka.
“Dah dua minggu kita macam ni. Saya
terpaksa korbankan rumah tangga saya. Harap tidak berlebihan permintaan awak
tu.” Ikmal mengerling.
“Saya berpegang pada janji, jangan
awak tu mungkir janji.”
“Ayah, hari Sabtu ni kita nak ke
mana? Tak naklah duduk rumah aje,” kata along. Mulutnya pantas mengunyah chicken chop kegemarannya.
“Nantilah ayah fikirkan,” jawab
Ikmal. Hendak ke mana pula? Nanti apa pula kata Aleeya. Setiap malam dia pulang
lewat, awal pagi sudah bertolak keluar dari rumah. Langsung tidak sempat
berbual atau bertanya khabar isterinya itu. Dia pula sudah berjanji tidak akan
bercerita tentang rancangan Nadia itu kepada Aleeya. Tentu isterinya
tertanya-tanya akan perubahan dirinya. Sabarlah, sayang... hanya tiga bulan
sahaja. Mampukah Aleeya bersabar dengan semua ini?
“Ingat tak waktu saya melahirkan
along, terasa macam baru semalam aje perkara itu berlaku. Awak pula
menggelabah, takutlah konon,” cerita Nadia tentang kenangan lalu. Mana mungkin
dia melupakan itu semua. Kelima-lima anaknya disambut oleh Ikmal. Lelaki itu
berada di sisinya sewaktu melahirkan mereka.
“Hmm… saya masih ingat.” Ikmal
tersenyum. Menyambut kelahiran anak sulung begitu bermakna dalam hidup. Terasa
bahagia, pertama kali menjadi seorang ayah. Wajah along dipandang sekali imbas.
Sudah besar anak sulungnya. Begitu cepat masa berlalu.
“Waktu melahirkan angah pula, awak
pengsan sebab darah banyak sangat.” Nadia menutup mulut. Dia ketawa teringatkan
peristiwa itu. Kecoh keadaan di dalam bilik bersalin. Doktor terpaksa
memapahnya keluar. Nasib baik sempat juga menyambut kelahiran anak keduanya
dengan wajah pucat lesi.
“Ya tak ya. Saya terkejut tengok
darah banyak, waktu along dulu, taklah sebanyak itu,” sambung Ikmal
menyeronokkan lagi penceritaan mereka mengenang kisah lama.
“Alang pula, bersalin di kampung,
hari raya pula tu. Mak bidan membebel sebab tak dapat beraya.” Nadia ketawa
mengenangkannya. Jangka dia melahirkan anak ketiga, sebulan lagi. Entah kenapa
anaknya tidak sabar mahu keluar melihat dunia. Akhirnya, bersalin di rumah,
tidak sempat hendak ke hospital.
“Acik pula, terlewat dua minggu,
takut saya. Ingatkan awak nak kena bedah. Nasib baik bersalin normal juga,” cerita
Ikmal pula, seronok mengenangkan kelahiran anak-anaknya. Kenangan yang amat
indah dalam hidupnya. Mana mungkin dia melupakan saat-saat itu.
“Usu pula mudah melahirkannya. Tak
banyak masalah,” cerita Nadia tentang kelahiran anak bongsunya yang sudah
berusia dua tahun.
“Ha’ah, kan. Ikmal memandang wajah
kelima-lima anaknya. Simpati menyinggah. Anak-anaknya terpaksa hidup dan
membesar tanpa dirinya di sisi. Semua kerana kesilapan dia dan Nadia. Terlajak
perahu bolehlah diundur. Terlajak perbuatan dan kata, terpaksalah mereka terima
padahnya.
Nadia mencuri pandang wajah Ikmal
yang tersenyum bahagia, bergurau dan ketawa dengan anak-anak. Betapa dia
rindukan saat-saat dia dan Ikmal menjadi suami isteri. Kenapa dia gelojoh
sangat? Kenapalah dia melayan rasa cemburu yang mendatang? Akibatnya, dia
kehilangan Ikmal.
“Hisy, ada makanan kat bibir
awaklah.” Nadia mengambil tisu dan mengelap bibir Ikmal.
“Tak apa, saya boleh bersihkan
sendiri.” Ikmal cuba menolak, tetapi tangan Nadia lebih pantas mendahuluinya. Terkedu
seketika. Tangan Nadia sudah berada di genggamannya. Mereka saling
berpandangan. Terkesima seketika.
“Ehem…” Along berdehem.
Ikmal dan Nadia tersedar. Terlalu
jauh Nadia mengharap. Terkejut Ikmal seketika.
“Makan cepat. Boleh cepat kita
balik,” kata Ikmal. Dia termalu sendiri.
Nadia tersenyum. Terasa bahagia
seketika mengamati pandangan tajam Ikmal yang menikam matanya. Semakin dia
mendekati bekas suaminya itu, semakin sayang menebal di hati. Mampukah dia
melepaskan Ikmal pergi setelah tiga bulan berlalu nanti?
HAMPIR
tengah malam barulah Ikmal sampai di rumah. Keadaan di ruang tamu sudah gelap-gelita.
Tentu Aleeya sudah tidur. Dia tidak mahu mengganggu waktu rehat isterinya itu. Dia
terus melangkah ke dalam bilik. Memang benar. Aleeya sudah pun dibuai mimpi
indah. Dia pula terpaksa menghadapi kerenah Nadia dan anak-anak.
Usai
membersihkan diri, dia terus merebahkan tubuhnya di sebelah Aleeya. Terdengar
dengkuran kecil daripada isteri tercinta. Ya ALLAH, aku berdosa kepadanya. Tidak
tergamak menghancurkan hati dan perasaan Aleeya yang begitu baik dengannya.
Belum sekalipun Aleeya bertanyakan kenapa dia pulang lewat. Mungkin juga
isterinya itu resah, tetapi tidak pula bertanya. Serba salah jadinya.
Ikmal memandang siling. Ingatkan
setelah bercerai, dia hanya perlu memberi nafkah untuk anak-anaknya, rupanya
tidak. Dia harus membayar keperluan bekas isterinya juga. Siap main ugut-ugut
lagi, seperti sekarang. Pening betul kepalanya memikirkan keadaan ini. Penat
juga terasa. Macam ada dua buah rumah pula. Pagi-pagi lagi sudah pergi ambil
Nadia di rumah, hantar anak-anak ke sekolah dan tempat mengasuh. Dia pula
berkejar ke pejabat. Memanglah penat terpaksa pula berlawan dengan kesesakan
jalan raya. Ah! Terasa hendak menjerit sahaja. Duit pula laju perginya. Pandai
sungguh Nadia mempergunakannya. Dia pula bagaikan tidak mampu dan berdaya untuk
melawan. Ikmal memejamkan mata. Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat dia,
Nadia, anak-anak dan Aleeya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan