Dua bulan berlalu. Belum ada apa-apa jawapan
dari Siti Solehah kepada lamaran Kamaruzaman. Pak Tahir dan Mak Jah pun tidak
mendesak dan tidak pernah menyebut lagi mengenai hal itu. Mereka
membiarkan Siti Solehah berfikir dan
membuat keputusan sendiri.
Siti Solehah duduk
termenung di tangga. Merenung langit yang memutih dengan awan yang bergerak perlahan.
Dia seperti sedang merenung nasib dan masa depannya. Dulu, dia selalu memasang
impian untuk mengubah kehidupan keluarganya.
“Kalau Siti dah kerja, Siti tak akan
izinkan mak dan ayah kerja lagi. Duduk rumah, berehat dan buat amal ibadat.”
Itu janjinya dulu. Namun, janji itu
berkubur bersama cita-citanya yang tidak mampu digapai. Ayahnya sakit. Dia
harus memikul tanggungjawab sebagai anak sulung. Lalu, dia terpaksa melupakan
semua impiannya sendiri.
“Assalamualaikum kak!” ucap Hafiz yang
termengah-mengah.
Siti Solehah menoleh. Rintikan peluh di
wajah adik bongsunya membuatkan hatinya jatuh belas. Hafiz terpaksa berjalan
kaki ke sekolah.
“Kak, kasut Hafiz ni dah terkoyak,” kata
Hafiz sambil mengangkat kasut.
Mata Siti Solehah melihat kasut yang
putih bersih kerana Hafiz rajin membasuhnya. Namun di hujung kasut itu, sudah
berlubang!
Hati Siti Solehah semakin belas.
“Nanti kalau akak dapat duit jualan kuih
kita beli kasut baru ya Fiz,” kata Siti Solehah cuba memberi harapan.
“Hafiz nampak Kak Inah?”
“Tak kak. Mungkin dia ke rumah kawannya. Kenapa akak cari
dia?”
“Akak baru dengar
berita di radio tadi. Hari ini keputusan SPM keluar. Dia tak ke sekolah ke?”
“Oh, mungkin dia ke sekolah. Kak, Hafiz naik dulu
ya. Laparlah!”
Siti Solehah angguk.
Hafiz naik ke rumah dan meninggalkan kasutnya di tangga. Siti Solehah merenung
kasut Hafiz yang berlubang itu. Dia mengeluh sedih. Dia ingin memberikan yang
terbaik kepada Hafiz. Namun, dengan pendapatan yang tidak seberapa dia memang
tidak mampu.
Dari atas rumah,
kedengaran batuk Pak Tahir semakin menjadi-jadi. Ubat yang diberikan oleh
doktor sudah tidak mampu meredakannya. Sejak keluar dari hospital, sudah dua
kali dia membawa ayahnya ke klinik swasta. Namun, batuknya masih berterusan.
Kalau dia mampu,
sudah pasti dia akan menghantar Pak Tahir mendapatkan rawatan pakar. Apa
dayanya, dia memang tidak mampu.
Lama dia bermenung.
Lama dia cuba mencari jalan dan haluan. Tetapi, fikirannya tetap buntu.
“Kak! Kak!” Tiba-tiba
Siti Mukminah muncul di halaman dengan riangnya.
“Kenapa Inah?” Siti Solehah terkejut.
Menungannya lerai.
“Kak, Inah lulus kak. Inah dapat 10A. Inah
lulus cemerlang kak!” Siti Mukminah memeluk Siti Solehah dengan gembira.
“Ya ALLAH!
Alhamdulillah... ” ucap Siti Solehah, membalas pelukan adiknya. Air matanya
menitik. Dia sangat gembira. Kejayaan Siti Mukminah adalah kejayaannya juga.
Kemudian Siti
Mukminah meninggalkannya sendirian. Suara riang adiknya itu kedengaran bergema
ke seluruh ruang. Ayahnya gembira. Ibunya juga begitu.
‘Aku mesti lakukan
untuk Inah dan Hafiz. Inah mesti masuk universiti. Hafiz juga. Mereka mesti
dihantar belajar setinggi yang boleh. Aku mesti buat sesuatu. Aku mesti
berkorban apa saja demi keluargaku ini…’ bisik hati Siti Solehah.
Tetapi bagaimana?
Hasil kebun dan hasil jualan kuih mungkin tidak akan cukup untuk merealisasikan
semua impian. Fikirannya menerawang lagi, mencari akal dan jalan. Akhirnya, Siti
Solehah mendapat kekuatan dan semangat. Dia tidak boleh berlengah lagi.
Malam itu dia
bertindak nekad. Hanya itu jalan yang dia ada. Walaupun nampak mudah dan rakus,
namun ia adalah sebuah pengorbanan yang sangat besar.
Dia duduk bersimpuh
mengadap Pak Tahir dan Mak Jah. Semua hajatnya diluahkan. Keputusannya segera
dikhabarkan. Dia ikhlas. Tidak dipaksa oleh sesiapa melainkan rasa
tanggungjawabnya kepada keluarga. Dia tidak mahu adik-adiknya menerima nasib
sepertinya, cemerlang tetapi kandas!
Pak Tahir yang uzur
itu merenung wajah anaknya dengan dada sebak. Sementara Mak Jah mengesat air
mata yang tidak putus-putus mengalir.
“Sudahkah kamu fikir
habis-habis Siti?” tanya Mak Jah, di celah esakan.
“Sudah mak. Hanya
ini yang mampu Siti buat untuk kebaikan keluarga kita. Inah dapat keputusan yang cemerlang. Dia
mesti masuk universiti mak. Hafiz juga akan menduduki PMR tahun ini. Siti tahu
dia juga akan berjaya. Ayah dah lama terlantar. Kalau kita ada wang, kita boleh
hantarkan ayah ke hospital pakar,” jawab Siti Solehah dengan tenang dan penuh
yakin.
Dada Mak Jah semakin retak.
“Siti, ayah harap kamu tak menyesal.
Masih ada masa untuk tarik balik keputusan kamu ini, Siti. Ayah tak harapkan
pengorbanan sebesar ini dari kamu. Ini soal masa depan kamu. Jangan kau fikir
sangat fasal keluarga ini,” kata Pak Tahir pula.
“Tak ayah. Siti ikhlas nak buat semua ni.
Siti rela ayah.”
Pak Tahir terdiam.
“Siti, fikirlah sekali lagi. Mak tak nak
Siti terburu-buru. Kamu masih muda. Kamaruzaman tu dah tua. Kamu tak malukah
kalau orang mengejek kamu,” kata Mak Jah.
“Mak, tolonglah
terima keputusan ini. Siti sayangkan keluarga kita. Masa depan Inah dan
Hafiz lebih penting dari nasib Siti sendiri. Siti tak lakukan kesalahan dan
menyusahkan orang kampung. Jadi, biarlah mereka ejek. Siti akan terima
semuanya,” balas Siti Solehah, bersungguh-sungguh. Pak Tahir dan Mak Jah saling
berpandangan.
Jika itulah
keputusan Siti Solehah, apa lagi upaya mereka untuk menegahnya.
Siti Solehah bangun
dan menuju ke dapur. Dia harus menyiapkan jualan untuk esok. Nasi lemak dan
kuih muih perlu dihantar ke warung Kak Muna untuk menambahkan rezeki.
“Kak, betulkah apa
yang akak nak buat ni?” tanya Siti Mukminah yang sedang mengelap daun pisang.
“Ini yang terbaik untuk kita.” Siti
Solehah tidak menoleh. Dia tidak mahu adiknya melihat keterpaksaan yang ada di
matanya.
“Kita kena cari jalan lain,” kata Siti
Mukminah lagi.
“Ini saja cara yang kita ada. Ini yang
tak menyusahkan orang. Kalau kita berhutang pun, kita kena bayar juga nanti.”
“Tapi akak menggadai masa depan akak
sendiri!” Siti Mukminah semakin tidak puas hati.
“Masa depan Inah dan
Hafiz lebih penting.”
“Akak nak jual diri
akak kepada orang kaya itu kerana kami? Akak nak minta dia biayai hidup kita
sementara hidup akak sendiri akan merana?”
“Mana kau tahu akak
akan merana?”
“Kak, dia tu sebaya
ayah. Bahagiakah akak nanti dengan orang tua tu?”
Siti Solehah
tersenyum. Dia menghidupkan api. Kuali segera dipanaskan. Sambal nasi lemak
kena disiapkan. Dia membiarkan persoalan itu tergantung di situ.
Biarlah. Biar masa
depannya diserahkan kepada urusan ALLAH. Jika ini jalan yang dia ada, dia
pasrahkan diri kepada Yang Maha Esa. Hidup dan matinya, bahagia
dan deritanya serta suka dan dukanya nanti biarlah ALLAH yang menentukannya.
Yang diharap hanya
kesejahteraan keluarga. Biar semua kepayahan hidup keluarganya bertukar menjadi
kesenangan.
Keputusan Siti
Solehah segera disampaikan kepada Amin dan Rukiyah.
“Kami memang kurang setuju dengan keputusan
ini. Tapi, dah itu yang dia nak. Kami ikut sahaja. Kami tak tahu apa yang dia
fikir. Tapi, kami amat berharap agar Abang Zaman tak akan sia-siakan dia,” kata
Pak Tahir.
“Abang Zaman tu
orang baik-baik Pak Tahir. Dia pasti tak akan aniaya Siti,” balas Rukiyah pula.
“Entahlah, aku pun
tak tahu apa tujuan sebenar dia. Jadi, aku serahkan kepada ALLAH. Asal anak aku
tak dipukul bantai, sudahlah.”
Berita itu
menyenangkan hati Kamaruzaman. Dia mengucap syukur dengan perlahan.
Akhirnya hal itu
juga terpaksa diceritakan kepada Ahmad Adham dan Kartina.
“Baguslah,
sekurang-kurangnya awak ada kawan untuk menemani hari tua awak,” kata Ahmad
Adham, dengan segala senang hati.
“Saya nak berkahwin
dengan Siti bukan kerana nafsu dan kepentingan diri saya, Adham.”
“Habis tu, kerana
apa?” Ahmad Adham, sengaja menduga.
Walaupun dia sudah mengetahui semuanya dari mulut Amin, tetapi dia juga ingin
mendengar dari mulut Kamaruzaman sendiri.
Kamaruzaman tidak
mahu berselindung apa-apa. Dia menceritakan semua yang dia hajati. Semua yang
ada di hatinya.
“Saya bangga dengan
niat awak tu, Zaman.”
“Saya tahu kenapa
Siti terima lamaran saya sekarang. Bukan kerana dia nak sangat jadi isteri
saya,” kata Kamaruzaman lagi.
“Habis tu, kenapa?”
Ahmad Adham semakin keliru.
“Dia nak berkorban
untuk keluarganya. Adiknya baru mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Mereka
pasti perlukan banyak duit untuk kemasukannya ke universiti. Saya kagum dengan
pengorbanan Siti,” jawab Kamaruzaman. Dia terima keputusan Siti Solehah dengan penuh
syukur. Apapun alasannya, itu tidak penting. Yang penting, dia akan hulurkan
bantuannya.
PIHAK
pengantin
perempuan dan pihak lelaki bersetuju bahawa urusan pernikahan akan disegerakan.
Perkara yang baik usah dilengahkan. Kamaruzaman menyerahkan semua keputusan
kepada Ahmad Adham dan Firdaus. Kartina, Amin dan Rukiyah menjadi pembantu yang
akan menguruskan majlis dengan baik.
“Fir nak abah bersanding. Kita buat kat
hotel,” kata Firdaus.
“Ish, apa yang Fir merepek ni?”
“Betul tu abah. Apa salahnya kita
raikan dengan meriah. Kita pun dah lama tak adakan apa-apa majlis,” kata Zurie
pula.
“Abah malulah, Zurie. Buat diketawakan orang
sahaja,” Kamaruzaman tersenyum-senyum.
“Apa nak fikir orang
ketawa. Lagipun, awak kena ingat. Siti tu anak dara. Ini adalah kenangan sekali
saja dalam hidupnya. Dia mesti diraikan,” kata Ahmad Adham pula.
Kamaruzaman diam
berfikir. Hatinya
memang sangat berat untuk menunaikan permintaan Firdaus. Namun, dia terpikat
dengan kata-kata Ahmad Adham. Siti Solehah harus diberi peluang merasakan saat
manis menjadi raja sehari.
“Nak ke Siti tu?”
tanya Kamaruzaman.
“Hal Siti tu
serahkan saja pada Ru dan Tina. Tahulah orang perempuan macam mana nak buat kerja,”
balas Ahmad Adham.
Akhirnya Kamaruzaman
akur pada keputusan mereka. Kartina dan
Ahmad Adham ikut gembira dan senang hati dengan apa yang sedang berlaku
dalam hidup Kamaruzaman.
“Awak tak nak jemput
Muhayat?” tanya Ahmad Adham ketika mereka berdua sahaja di ruang tamu.
“Mahukah dia datang?
Dia sangat bencikan saya,” jawab Kamaruzaman.
“Kalau awak izinkan,
saya akan cuba,” balas Ahmad Adham pula.
“Kalau dia sudi
datang, inilah detik paling bahagia dalam hidup saya. Tapi, kalau dia tak sudi
saya pun tak akan rasa kecewa dan hampa. Saya tak nak fikir yang buruk dan
sedih lagi. Saya nak lalui hidup saya dengan aman dan tenang,” kata Kamaruzaman
perlahan.
Ahmad Adham menepuk
belakangnya.
“Saya harap dia tak
akan sia-siakan peluang ini. Saya dan Tina akan balik semula ke rumah kami
kalau Muhayat datang ke sini. Ini janji saya.”
Kamaruzaman hanya
mendengar. Dia tidak mahu memberi apa-apa komen. Muhayat anak kandungnya. Ahmad
Adham telah menjadi sahabat karibnya. Kedua-dua ada dalam hatinya, dalam
kedudukan yang berbeza.
Ahmad Adham segera menghubungi
Muhayat. Deringan telefon Muhayat didengarnya jelas. Lama. Namun
tidak ada yang menjawab. Ahmad Adham menelefon pula ke nombor telefon rumah.
Dia bercakap dengan Bik Suratmi, pembantu rumahnya yang setia sejak lama.
“Bik, Hayat ada kat rumah?”
“Pagi lagi dia sudah
keluar, tuan.”
“Dia sihat ke?”
“Nampaknya sihat. Tapi,
dia asyik termenung. Dia ada tanya sama saya, ke mana tuan dan nyonya besar
pergi? Saya bilang saya memang tak tahu,” jawab Bik Suratmi.
Ahmad Adham diam.
Tiba-tiba rindunya mengalir lembut dalam nubari. Dia tidak pernah berpisah jiwa
begini dengan Muhayat sebelum ini. Semasa Muhayat berada di luar negeri, mereka
hanya berpisah jasad tetapi hubungan hati tetap tidak berpisah. Mereka saling
menghubungi. Saling bertukar khabar dan saling pula melepaskan rindu walaupun
melalui telefon. Namun kini...
“Ada nak pesan apa-apa,
tuan?” tanya Bik Suratmi.
“Tak apa bik. Nanti
saya cuba telefon dia. Bibik jaga rumah saya baik-baik ya.”
“Bila tuan dan
nyonya besar nak balik?”
“Saya akan balik
kalau Hayat datang ke sini menjemput kami,” jawab Ahmad Adham.
“Maksudnya? Tuan
memang tak nak berahsia lagi di mana tuan berada sekarang?”
“Saya akan cakap
dengan dia sendiri. Bik jangan susah hati ya. Semuanya akan pulih nanti. Bik
berdoa saja agar hati Muhayat berubah. Dia anak yang baik. Cuma sekarang dia
keliru dengan kasih sayang kami,” jawab Ahmad Adham sebelum mematikan talian.
Lama dia bermenung.
“Bang, kenapa?
Muhayat tak nak datang?” tanya Kartina yang datang dari dapur.
“Dia tak jawap panggilan abang pun. Mungkin
dia sibuk di pejabat. Abang akan telefon lagi nanti.”
“Habis yang abang termenung ni kenapa?”
“Entahlah Tina. Walau bagaimana marah pun
abang pada dia, abang tetap rindukan dia. Sejak kecil, dia manja dengan abang.
Sekali pun abang tak pernah marah dia.”
Kartina mengakui kasih sayang dan belaian Ahmad Adham
kepada Muhayat. Itu yang membuatkan dia semakin rasa bersalah.
“Abang, maafkan Tina...” kata Kartina
dengan sebak.
“Kenapa pula?” Ahmad Adham segera
menoleh. Wajah Kartina yang berubah rona itu menggamit pilunya.
“Muhayat dah hancurkan hati abang.”
“Siapa kata? Hati abang tak pernah
hancur. Abang hanya merajuk. Selagi Tina ada bersama abang, hati abang tak akan
hancur. Sudahlah. Mari kita doakan agar kali ni Muhayat lembut hati,” ujar
Ahmad Adham. Dia menarik Kartina ke dalam pelukannya. Dia cuba menahan
gelora di dada Kartina dari pecah menjadi ombak air mata!
Malam itu, selepas
balik dari masjid Ahmad Adham tidak terus makan malam.
“Saya nak telefon
Hayat. Awak makanlah dulu, Zaman.”
“Tak apalah. Saya tunggu awak. Kalau awak
tak makan, tuan puteri pun tak akan makan. Jadi, lebih baik saya tunggu awak.
Pergilah, kami tunggu,” kata Kamaruzaman dengan senyum senang.
Ahmad Adham segera
menekan nombor telefon Muhayat. Dia tahu waktu begitu biasanya Muhayat sudah
berada di rumah.
“Assalamualaikum,
Hayat. Abah ni.”
“Abah? Abah kat
mana? Bila abah nak balik?” Suara Muhayat kedengaran ceria mengharap.
“Ermm... kami ada di
kampung Abang Zaman di Johor. Kami akan balik, tapi kami nak Hayat datang ke
sini hujung bulan ni. Boleh?”
“Ada apa?”
“Abah Zaman nak
kahwin. Abah nak kita semua berkumpul. Syila dan Syid pun dah setuju nak
datang. Datang ya Hayat. Nanti abah berikan alamatnya,” kata Ahmad Adham penuh
mengharap.
Diam. Tidak ada
jawapan dari Muhayat.
“Hayat...”
“Tengoklah nanti
abah. Saya tak nak janji apa-apa. Kerja saya di pejabat tu banyak.”
“Kerja tu boleh
tangguh. Syarikat kita tak akan rugi hanya kerana Hayat tak ada sehari. Tapi,
Abah Zaman akan gembira kalau Hayat sudi memeriahkan majlisnya.”
“Abah, majlis itu akan meriah walaupun
tanpa saya. Sebaliknya, saya malu nak datang dan tengok orang tua macam dia
masih ada hati nak kahwin!”
“Hayat! Jangan cakap macam tu. Jodoh
pertemuan ALLAH yang tentukan. Apa salahnya dia berkahwin. Sekurang-kurangnya
ada orang yang temankan dia,” balas Ahmad Adham meninggikan suara. Dia kurang
senang dengan kata-kata Muhayat. Kegembiraan yang cuba dikongsi dengan Muhayat,
tiba-tiba tercalar.
“Abah suka dia nak kahwin sebab abah dah
tak perlu nak bersaing lagi dengan dia!”
Tut!
Ahmad Adham mematikan talian. Dadanya berdebar.
Jantungnya berdegup kencang. Serta merta pula tubuhnya bergetar. Dia dalam
keadaan marah!
kartina segera
mendekat. Dia tahu suaminya sedang berada dalam situasi yang sangat cemas.
“Abang, sabar bang.
Bertenang bang,” kata Kartina memeluk bahu Ahmad Adham.
“Sampai hati dia...”
rintih Ahmad Adham.
Kartina hanya mampu memeluk
seerat-eratnya. Dia tahu pasti ada perkataan yang telah diucapkan oleh Muhayat
yang menyakitkan.
“Adham. Janganlah macam ni. Kan saya dah
kata, saya tak akan kecil hati kalau dia tak nak datang. Awak jangan seksa diri
awak kerana dia, Adham.” Kamaruzaman yang berdiri tidak jauh dari situ segera
mendekat.
Namun ketika itu, Ahmad Adham sudah tidak
mampu bernafas lagi. Dia tercungap-cungap.
“Abang, tolong bang.
Kita kena bawa dia ke hospital. Tolong bang!” Kartina menoleh kepada Kamaruzaman
dan merayu.
Kamaruzaman tidak
berlengah.
“Amin! Cepat
keluarkan kereta. Kita mesti ke hospital sekarang!” laung Kamaruzaman kepada
Amin di dapur.
Amin keluar dan
terpinga-pinga.
“Apa tercegat lagi? Cepat keluarkan
kereta!”
“Mana kita ada
kereta, bang?” tanya Amin yang kebingungan.
Kamaruzaman mengurut
dada dan beristighfar. Lantaran panik, dia terlupa bahawa mereka tidak ada
kereta. Kereta miliknya tidak dibawa. Ada di rumahnya di Johor Bahru. Dia ke
situ dihantar oleh Firdaus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan