IKMAL
terus pulang ke rumah setelah selesai urusannya di rumah Nadia. Kereta Aleeya
sudah ada di tempat letak kereta. Sudah petang pun. Ikmal melangkah masuk ke
dalam rumah. Terbau masakan isterinya. Dia terus ke dapur. Aleeya sedang
memasak. Isterinya itu memang rajin ke dapur. Itulah yang dia sayang sangat
dengan Aleeya. Rumah tangganya juga bersih. Tidak dibiarkan bersepah. Tenang
dan damai sewaktu berada di rumah. Masalahnya dengan Nadia membuatkan dia tidak
berada di rumah selalu.
“Hai, masak apa?” sapa Ikmal.
Aleeya yang sedang menggoreng ayam,
menoleh dan hanya secubit senyuman disedekahkan. Sedekahlah, baharu dapat
pahala. Kalau sekadar senyum kosong, tak dapat apa-apa, rugilah.
“Ayam masak merah dan sup sayur…
cukuplah, kan?” Aleeya menyengih secubit juga. Dia masih kenyang lagi, tengah hari
tadi dia sebat KFC sehingga tiga ketul. Masak itu pun untuk Ikmal. Itu pun jika
suaminya makan di rumah. Kalau tidak dijamah, dia simpan sahaja di dalam peti
sejuk. Esok, boleh dijadikan sarapan, jimat belanja. Jangan sesekali membazir.
Ikmal hanya mengangguk dan duduk di
meja makan. Menunggu Aleeya siap memasak. Dia memerhatikan sahaja isterinya itu
bekerja. Cekap dan cepat. Keluhan tidak pernah terlepas daripada mulutnya. Macam
orang yang tidak tahu bersyukur sahaja. Hanya tahu mengeluh dan mengeluh kalau
menghadapi masalah. Nampak sangat tidak kuat semangat dan tidak penyabar
orangnya.
“Abang nak makan sekarang ke?” tanya
Aleeya sambil menghidangkan makanan yang sudah siap dimasaknya.
Ikmal memandang dan mengangguk laju.
Perutnya sendiri sudah berbunyi. Masalahnya dengan Nadia tidak tahu bila akan
bertemu penghujungnya.
“Leya dah kenyang. Leya temankan
abang makan ya?” jelas Aleeya ketika mengisi nasi ke dalam pinggan.
“Leya makan apa? Tadi keluar ya?” tanya
Ikmal.
Aleeya mengerut dahi. Hmm… macam
mana Ikmal tahu dia keluar? Dia tidak sempat memberitahu Ikmal tadi.
“Ha’ah, keluar dengan geng Leya aje…
abang kenal mereka semua,” terang Aleeya, dia tidak mahu suaminya memikirkan
yang bukan-bukan.
“Kenapa tak beritahu abang? Biasanya
Leya minta kebenaran abang?” Ikmal mencedok ayam masak merah ke dalam pinggan. Matanya
tidak langsung mengusik wajah Aleeya yang berkerut seribu, kalau sempat
dibilanglah.
“Leya ada telefon abang, tapi tak
berangkat. Abang kan sibuk dengan anak-anak dan bekas janda abang tu,” kata Aleeya
sedikit merajuk.
“Kalau abang tak jawab, tinggalkan
pesanan atau SMS aje,” ujar Ikmal, nasi disuap ke mulut. Matanya masih lagi
menunduk memandang nasi yang berada di dalam pinggan.
“Abang nak cari masalah dengan Leya
ke? Abang nak gaduh?” tanya Aleeya sedikit keras. Apa masalahnya? Memanglah dia
tidak sempat bercakap dengan Ikmal dan meminta kebenaran, tetapi bukan salah
dia. Dia sudah cuba menghubungi Ikmal, tiada jawapan. Dia bosan tinggal seorang
diri setiap hujung minggu. Hendak suruh dia mati kering di rumah agaknya?
“Leya merepek apa ni?” Ikmal
mengangkat kening.
“Dah tu, tegur Leya macam Leya buat
salah besar,” bentak Aleeya.
“Bukan marah, kalau Leya tak
beritahu abang keluar ke mana-mana, jadi apa-apa di jalan, mana abang nak cari
Leya? Abang perlu tahu Leya keluar dengan siapa? Ke mana? Faham? Itu pun takkan
tak faham. Abang tegur sebab tak mahu Leya buat kesilapan yang sama lagi,” bebel
Ikmal.
“Kalau Leya semua tak boleh? Nadia
boleh pula berkepit dengan abang setiap hari? Siapa isteri abang ni? Leya ke
Nadia?” Hilang sabarnya. ALLAHUAKBAR! ucap Aleeya dalam hati. Dia beristighfar.
Tidak baik melawan dan berkasar dengan suami. Berdosa. Malaikat pun marah.
“Amboi! Dah pandai melawan nampak?” Ikmal
menjegilkan mata. Dia memandang tajam ke arah Aleeya yang terkedu merenungnya.
“Leya tak nak bergaduh dengan
abang!” Aleeya bingkas bangun dan meninggalkan suaminya sendirian di meja
makan.
“Leya! Leya!” laung Ikmal. Dia
mengetap bibir. Terasa rumah tangganya tidak aman kini. Semuanya gara-gara
Nadia. Aduh! Peninglah kalau macam ini. Ikmal menghabiskan nasi di pinggan. Dia
menuju ke singki, meletak pinggan di dalam singki, basuh tangan, tutup
lauk-pauk dengan tudung saji yang ada. Dia terus ke ruang tamu, Aleeya sedang
menonton televisyen. Keluhan dilepaskan sekali lagi. Dia menghampiri Aleeya
yang bermuka cemberut. Matanya hanya memandang peti televisyen. Kehadirannya
langsung tidak dihiraukan.
“Leya perasan tak, sejak akhir-akhir
ini kita sering bertekak?” luah Ikmal, dia duduk tenang di sebelah isterinya.
Tiada sebarang kata keluar daripada
mulut Aleeya. Hanya nafasnya turun naik.
“Abang tak sukalah dengan keadaan
macam ni,” sambung Ikmal lagi.
Aleeya masih membisu. Berkutik pun
tidak. Dia membiarkan sahaja Ikmal bercakap seorang diri. Dia buat-buat tidak
dengar. Perhatiannya hanya ke kaca televisyen.
“Leya dengar tak abang cakap ni?” jerkah
Ikmal, hilang sabarnya bila Aleeya buat endah tak endah.
Masih tidak ada sebarang reaksi
terhadap jerkahan suaminya. Hatinya jauh lebih sakit dengan apa yang sedang
berlaku dalam rumah tangganya. Ikmal hanya tahu sakit hatinya sahaja. Bagaimana
dengan sakitnya hati ini? Dia tidak mahu bertegang urat. Takut terputus pula
urat nadinya. Biarlah! Dia tidak akan bersuara. Tanda boikot! Boleh tak boikot
suami sendiri? Aleeya memuncungkan bibirnya. Biarlah, asalkan tidak bertekak
dan buat riuh di dalam rumah itu. Maklumlah tiada anak kecil, pasangan suami
isteri boleh sahaja meriuhkan suasana, bagaimana? Bergaduhlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan