A
|
hmad Adham dan Kartina memilih satu hari yang baik untuk
mempertemukan ayah dan anak itu. Yang carik perlu dicantumkan. Yang renggang
perlu didekatkan. Hubungan kasih yang tidak pernah terjalin itu perlu
dijalinkan dengan penuh kasih sayang.
Sekali lagi Kamaruzaman diminta datang ke
Ipoh. Dia akur dengan permintaan Ahmad Adham dan Kartina. Kali ini membawa
hajat yang besar dan hati yang sangat teruja. Bertemu Muhayat!
“Fir
harap abah gembira bertemu dengan dia, anak kandung abah,” ujar Firdaus ketika
menyalami tangan Kamaruzaman.
“Abah sebenarnya dah lama hidup gembira dengan
kasih sayang Fir.”
“Abah, Fir juga gembira dan bahagia dengan
hidup Fir selama ini. Abah memang bukan abah kandung Fir. Tapi Fir sangat sayangkan
abah.”
Kamaruzaman menarik Firdaus ke dalam pelukannya. Hatinya sangat
terharu. Bukan tidak pernah mendengar pengakuan
Firdaus itu. Namun setiap kali mendengar kata-kata Firdaus itu, hatinya
melara sebak.
Bas mula bergerak. Kamaruzaman melihat lambaian tangan Firdaus
dengan pilu. Firdaus anak yang tulus. Kasih sayang Firdaus penuh keikhlasan.
Firdaus dan Naimah, adalah dua jiwa yang sangat berbeza
kewujudannya. Lalu semuanya terimbau lagi …
“Yang abang nak termenung ni kenapa? Abang masih ingat bekas bini abang
tu ke?” tengking Naimah selepas beberapa hari dia melafazkan talak kepada
Kartina.
Dia berdiam diri. Dia bingung memikirkan
tindakannya. Talak yang dilafazkan bukan sahaja menggetarkan bibirnya tetapi
juga menggetarkan hatinya. Tiba-tiba terselit rasa kesal dan tiba-tiba
hatinya dilanda gelisah. Kartina isteri yang tidak pernah bersalah sudah
diceraikan dengan mudah!
“Tak payah nak ingat-ingat lagi bang. Abang
kan ada saya dan Firdaus? Kenapa masih nak ingat dia?” Naimah menyergah
lagi.
Dia buntu. Sungguh akalnya hilang daya fikir. Dia belum pernah
rasa seperti itu. Kematian Natasya membuatkan dia banyak dihumban rasa kesal.
Kemudian dia membilang kesilapannya kepada Kartina. Rasa simpatinya tiba-tiba
melimpah ruah.
“Abang masih sayangkan dia? Atau hati abang ni
memang tak nak lupakan dia?”
Dia hilang arah. Kartina sudah dilepaskan.
Kartina sudah pergi meninggalkannya. Segala kenangan manis bersama Kartina pula
kerap muncul di hatinya. Kadang-kadang dia menitiskan air mata. Saban malam dia
diganggu dengan
bayangan wajah Kartina yang tenang. Senyum Kartina yang manis dan layanan
Kartina yang amat sopan.
“Abang ni kenapa? Gila talak ke?”
Seminggu selepas melafazkan talak, dia tidak
dapat menahan diri dari merindui Kartina. Lalu dia kuatkan diri untuk
pulang ke rumah Kartina. Tidak
mengapalah kalau Kartina tidak mahu menjadi isterinya semula, tetapi dia tetap
ingin dekat dengan Kartina. Dia tetap ingin menyayangi wanita itu. Itu niatnya.
Namun semuanya tidak berlaku. Rumah Kartina
sudah kosong.
“Dia dah pindah tiga hari lepas,” kata Kak
Imah, jiran mereka.
“Ada tak dia beritahu dia nak ke mana, kak?”
“Tak pula diberitahu. Dia hanya kata nak
merantau jauh,” kata Kak Imah lagi. Ketika itu dia kehilangan kata-kata. Dia
terduduk. Dia menangis. Tanpa silu dia teresak-esak di hadapan pintu rumah.
Baru terasa dia sudah benar-benar kehilangan Kartina.
“Encik Zaman, Tina ada tinggalkan ini untuk
encik.”
Huluran Kak Imah diambil. Sebuah sampul surat
dan sebuah kotak kecil.
“Terima kasih kak.” Dia segera ke kereta. Dengan tangan yang
terketar-ketar, dia membuka sampul surat itu. Sepucuk surat tulisan tangan
Kartina ditatap dengan hati yang retak dan jiwa yang sangat melara duka.
Buat tatapan abang yang
pernah Tina cintai,
Tina mohon ampun kalau selama menjadi isteri abang,
Tina tidak menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai isteri dengan baik. Tina juga sudah maafkan
semua kesalahan abang kepada Tina. Selebihnya abang mintalah ampun pada ALLAH.
Bersama ini Tina pulangkan semula cincin yang abang
pernah belikan untuk Tina. Tina nak pergi jauh dan tinggalkan semua kenangan
pahit manis bersama abang.
Semoga abang berbahagia
selalu.
Kartina.
Dia melipat surat itu. Dia mengucupnya.
Kemudian dia membuka kotak kecil itu. Sebentuk cincin berlian dikeluarkan. Dia
masih ingat, cincin itu disarungkan ke jari Kartina ketika mereka menyambut
ulangtahun perkahwinan yang pertama.
“Kenapa Tina pulangkan cincin ini? Ini pemberian ikhlas
abang kepada Tina. Tina...” Tiba-tiba dia rasa sangat sayu. Dia mengucup cincin
itu. Dia menangis sungguh-sungguh kerana amat sedih melihat cincin itu.
Dengan perlahan dia memandu ke rumah ibunya.
Dia perlu membawa kesedihan itu ke pangkuan ibunya. Dia tidak akan membawanya
pulang ke rumah kerana dia sedia tahu apa yang akan dia dengar dari mulut Naimah.
“Selepas apa yang kau buat kepada dia. Selepas
kau hancurkan hatinya, baru kau nak menangis?” tempelak Hajah Rahidah ketika
dia menangis teresak-esak tanpa malu ketika menceritakan kerinduannya terhadap
Kartina.
“Mak, saya menyesal dengan perbuatan saya.
Saya menyesal mak.”
“Sesal itu tak berguna apa-apa lagi. Kau dah
ceraikan dia. Dia dah pergi dari hidup kau. Sekarang, kau hiduplah dengan bini
yang kau sayang-sayang itu.”
Dia ingin meraung sekuat hati mendengar
kata-kata ibunya.
“Mak, saya mengaku saya bersalah. Tapi saya
masih cintakan dia. Saya tak
sangka begitu cepat kami berpisah.”
“Cinta? Jangan nak berbohong lagi. Bukankah kau cintakan Naimah?
Bukankah kau pilih Naimah kerana Tina itu tidak sesuai dengan jiwa kau. Itu
yang kau katakan pada mak tempoh hari kan?” Hajah Rahidah berkata dengan senyum
yang sangat sinis.
Akhirnya dia tidak mampu menegakkan benang yang memang sudah basah
dengan air mata Kartina dan air matanya juga. Namun, dia bertekad dalam hati.
Dia akan menyimpan cinta dan kasih sayang Kartina dalam kotak kenangan hidupnya
bersama cincin itu!
Kebahagiaan yang diharapkan selepas ketiadaan Kartina tidak pernah
berlaku. Memang tidak pernah. Yang berlaku adalah tekanan dan rasa sakit hati
yang bercambah saban hari. Kelakuan Naimah semakin hari bukan menyenangkan
hatinya, malah amat menyakitkan.
“Awak tak masak ke? Saya ni lapar,” katanya ketika pulang dari
kerja. Naimah sedang terbaring di sofa.
“Saya penatlah. Awak beli saja nasi bungkus. Saya dan Firdaus dah
makan di rumah mak saya tadi.” Naimah langsung tidak berganjak dari situ. Malah
matanya semakin dipejamkan.
“Kalau hari-hari nak makan nasi bungkus, matilah saya!” rungutnya
sambil berlalu ke dapur.
Dia mencari apa yang boleh mengalas perutnya yang sudah
berkeroncong. Dia tidak tahu kenapa Naimah berubah. Sejak dia bercerai dengan
Kartina, baru Naimah menunjukkan sikap sebenarnya. Sikap pemalasnya
menjadi-jadi.
“Kenapa dengan awak ni? Apa yang tak kena hingga semua urusan rumah
tangga awak dah tak peduli lagi?” tanyanya ketika mendapati kain baju
berlonggok tidak dibasuh. Yang sudah dibasuh berlonggok tidak berlipat. Yang
sudah berlipat, berlonggok tidak disusun dalam almari.
Dia terpaksa mencari kain bajunya dari dalam
bakul. Atau kadang-kadang mencucinya sendiri. Dia terpaksa
merendam mi segera kalau perut terasa lapar. Dia terpaksa mengacau sendiri minumannya
kalau terasa haus. Lalu dia mula bertanya kepada dirinya : Untuk apakah dia
berkahwin?
“Kalau awak tak puas hati, terserahlah pada
awak. Saya pun dah tak kuasa nak fikirkan.” Itu kata Naimah bila hal ini
diungkitkan. Dia bosan dengan kehidupan yang langsung tidak ada kesempurnaan.
“Nak fikirkan apa?” Dia membalas kata-kata
Naimah dengan suara yang sengaja ditinggikan nadanya. Seboleh-bolehnya dia akan
cuba membuat Naimah faham keinginannya sebagai suami.
“Awak tu memang sedang angau dan gila talak
dengan bekas isteri awak. Kalau awak rasa dia memang terbaik untuk awak dan
saya ni semuanya tak betul, awak pergilah cari dia. Duduk saja dengan dia!” Suara
Naimah memang kasar dan tidak pernah sopan ketika bercakap dengannya.
“Apa yang awak cakap ni? Saya tak pernah pun
terfikir macam tu!”
“Awak tak perasan diri awak. Saya ni yang
mengadap muka awak siang malam. Awak berubah muram dan pendiam sejak bercerai.
Tidur malam pun, awak selalu gelisah. Saya layan awak macam raja pun dah tak
guna kalau hati awak melekat kat janda awak tu.”
Dia diam. Dia malas untuk bergaduh. Dia simpan
semuanya dalam hati. Benarkah dia merindui Kartina sedangkan Naimah dalam
pelukannya?
Hubungannya dengan Naimah semakin renggang.
Rasa cemburu Naimah yang melampau telah membuatkan hubungan mereka menjadi
dingin sedingin ais. Dia ingin kembali hidup seperti dulu. Namun, dia tidak
tahu bagaimana caranya.
“Saya ni bukan orang gaji di rumah ini. Saya
ni bekerja. Balik kerja, saya nak rehat. Abang ambillah pembantu rumah.
Sekurang-kurangnya saya tak perlu lagi terkejar-kejar menghantar Firdaus ke
rumah pengasuh,” kata Naimah sambil bersolek. Langsung tidak menoleh kepadanya.
Kemahuan Naimah dituruti. Seorang pembantu rumah diambil
untuk menguruskan rumah dan menjaga Firdaus.
Dia berharap agar sikap Naimah
akan berubah. Dia berharap Naimah
tahu bahawa dia memang benar-benar ingin menyusun semula corak hidupnya
yang porak poranda itu.
Namun, semuanya tidak juga terjadi.
Naimah semakin tidak faham. Dia semakin
mencari alasan untuk merenggangkan diri darinya.
Akhirnya, takdir menentukan segalanya.
Selepas tiga tahun menjadi suami isteri.
Naimah meninggal dunia dalam kemalangan
jalan raya. Ketika itu titik-titik air matanya gugur juga.
“Siapa yang nak jaga Firdaus. Kesian dia masih
kecil untuk menerima perpisahan ini,” rintihnya kepada ibunya Hajah Rahidah.
“Pulangkan dia kepada ayah kandungnya,” balas
ibunya.
“Tidak mak. Dah tiga tahun dia membesar di
hadapan mata saya. Biarlah saya terus menjaganya.”
“Tapi, dia tu bukan darah daging kau. Dulu
masa kau ada anak sendiri, kau tak nak sayang. Anak orang pula kau nak sayang!”
tengking Hajah Rahidah, geram.
“Mak, yang lepas tu biarlah lepas. Sampai saat
ini saya memang menyesal kerana melukakan hati Kartina dan …” Ketika itu
tangisannya semakin mendodoi.
Bayangan wajah Natasya yang keletah dan comel
menghantuinya. Kasihan Natasya… kasihan
Natasya… kasihan Kartina.
Dia terus membela Firdaus seperti anaknya
sendiri. Sungguhpun Firdaus bukan dari benihnya, namun kasih sayangnya kepada
anak itu sangat mendalam. Rasa bersalahnya kerana mengabaikan Natasya dulu,
digunakan untuk membesarkan Firdaus.
Firdaus dihantar belajar setinggi yang mampu.
Kebetulan Firdaus anak yang bijak dan pintar. Jadi dia melalui jalan yang
sangat mudah untuk ke menara gading dan pulang membawa segulung ijazah.
Selepas setahun bekerja, Firdaus bertemu jodoh
dengan Zurie. Kamaruzaman rasa hidupnya semakin lengkap selepas lahirnya dua
cucu, Dayana dan Haziq.
Sungguh dia tidak menduga bahawa dalam meniti
hari-hari akhir hidupnya itu, ALLAH membukakan sebuah rahsia hidup masa
lalunya.
Kini fikirannya tertumpu kepada Kartina dan
Muhayat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan