R
|
osni tidak meninggalkan rumah Ahmad Adham
dengan langkah kosong. Sakit hatinya kerana diperlekehkan oleh abangnya itu
tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api hasad yang menyala dalam dirinya tidak
akan dibiarkan hanya membakar dirinya. Ia perlu membakar Kartina, Muhayat dan
ayah kandungnya. Mesti.
“Awak
tahu, kakak ipar I dah bawa balik bekas suaminya tinggal bersama.
Mentang-mentang abang I sakit, dia buat sesuka hati saja di rumah itu.
Sekarang abang I dah serahkan separuh dari hartanya kepada anak tirinya
itu. I bimbang kalau satu hari nanti, abang I dihalau dari rumah
itu dalam keadaan sehelai sepinggang.”
Itu
yang dijaja oleh Rosni kepada rakan dan teman yang tinggal di taman itu dan
kepada yang mengenali keluarga Ahmad Adham.
Dia
menelefon dan menghantar mesej ke sana sini.
Desas
desus dan angin fitnah itu, akhirnya bertiup perlahan ke seluruh taman itu.
Kehadiran Kamaruzaman ke rumah banglo Ahmad Adham telah dijadikan bahan untuk
warga setempat mengumpat.
Setiap
ada peluang, mata mereka mengintai keakraban Kamaruzaman dan Kartina. Hal itu sampai
ke telinga menambahkan lagi rasa sakit hati Muhayat memang sudah lama berdarah.
“Abah,
orang dah mula bercakap dan bercerita mengenai keluarga kita,” kata Muhayat
kepada Ahmad Adham pada satu malam. Dia rasa dia perlu meluahkan kesakitannya
kepada abahnya.
“Pasal
apa, Hayat?” tanya Ahmad Adham. Muhayat
diam mencari kekuatan. Sebenarnya bibirnya tidak mampu melafazkan apa yang
didengarnya. Dia rasa sangat aib dan memalukan!
“Pasal
Abah Zaman dan ibumu? Itu abah dah dengar,” kata Ahmad Adham, selamba.
Muhayat
segera berpaling dan merenung wajah Ahmad Adham. Dia kehairanan. Ahmad Adham
selamba dan tenang sahaja. Langsung tidak ada segores calar pun pada wajah itu.
“Jadi, abah tak rasa
apa-apa? Abah tak rasa malu?”
“Nak
rasa malu kenapa? Bukannya kita ada buat salah.”
“Tapi, apa yang
mereka kata itu bukankah benar?”
“Apa
yang benarnya?” Ahmad Adham cuba menguji hati Muhayat.
“Hubungan
ibu dengan orang itu, tidak baik. Orang itu sedang mengurat isteri abah. Itu sangat
tidak baik! Malah ia berdosa!”
“Orang
mana?” Suara Ahmad Adham mula berubah. Ia seperti guruh membelah langit. Begitu
juga dengan wajahnya mula merah seperti udang di panggang api.
Muhayat tidak berani angkat muka. Tiba-tiba
kelancangannya terpancung. Lidahnya menjadi kelu untuk terus bertikam kata
dengan Ahmad Adham.
“Hayat, abah tak
sangka Hayat juga berfikiran jahat seperti mereka. Abah harapkan Hayat muncul
sebagai perisai yang melindungi kami dari fitnah itu. Rupanya Hayat ikut merodok hati kami,” kata Ahmad Adham. Ada
tangis yang sedang ditahan.
“Abah, saya tak
berniat macam tu.” Perlahan suara Muhayat meniti bibir.
“Kalau Hayat tak berniat, dah pasti Hayat
tak timbulkan hal ini depan abah. Kami dah lama tahu akan fitnah ini. Tapi,
kami rasa ia tak perlu dilayan. ALLAH Maha Tahu akan ketulusan hubungan kami
ini.”
“Abah…”
“Sudahlah Hayat. Untuk pertama kali
abah kecewa dengan Hayat.” Ahmad Adham mengalihkan pandangan ke arah lain. Kehampaan menerjah
hati.
Muhayat tidak
mampu bersuara lagi. Dia tahu, suaranya memang tidak akan didengar oleh Ahmad
Adham. Pendapatnya tidak akan dipertimbangkan. Lebih baik dia diam walaupun
hatinya memberontak dan tidak mampu menerima semuanya begitu sahaja.
Abahnya tidak tahu
apa yang berlaku dalam rumah itu. Dia yang lebih tahu. Dia tidak dengar fitnah
orang tetapi matanya yang melihat ada hubungan sumbang sedang terjalin di rumah
itu. Kalau seorang wanita keluar dari bilik seorang lelaki pada waktu malam,
apakah erti semua itu?
Sehari dua,
Muhayat masih boleh diamkan diri. Namun setiap kali dia melihat kelibat
Kamaruzaman, darahnya mendidih. Bencinya kepada lelaki itu membuak-buak. Kadang-kadang
dalam tidur pun dia diganggu mimpi yang jahat, melihat Kamaruzaman dan Kartina
bergurau senda!
Cis! Perasaannya menjadi durjana kerana lelaki
itu. Dia tidak mahu terus sengsara didera perasaan benci, marah dan geram itu.
Lalu
malam itu, selepas makan malam dan ketiga-tiga sahabat itu sedang menikmati
suasana santai di ruang tamu, Muhayat muncul membawa hajatnya.
“Abah
Zaman, boleh saya cakap sikit dengan abah?”
“Cakaplah
Hayat. Tak perlu nak minta izin,” jawab Kamaruzaman dengan senyum senang kerana
akhirnya, Muhayat sudi juga berbual dengannya.
Muhayat
mencari kekuatan. Dia sedar dia sedang berdepan dengan enam mata, yang sedang
teruja dan merenung tepat ke arahnya.
“Ada
apa Hayat? Apa yang Hayat nak cakap dengan abah?” Kamaruzaman berwajah ceria.
Kuntuman kasih di hatinya kian memekar.
“Abah,
saya bukan nak kurang ajar dengan abah. Tapi kalau abah datang ke sini untuk
merampas kebahagiaan kami, tolonglah abah pergi dari sini!” kata Muhayat,
selepas dia yakin dengan kekuatan hatinya untuk berdepan dengan kemarahan
mereka.
Kamaruzaman
tersentak. Senyumannya terlepas dari bibir. Keceriaannya lebur. Pandangan
matanya tepat kepada wajah Muhayat. Telinganya cuba menidakkan apa yang
didengarnya.
Ahmad
Adham juga sangat terkejut mendengar kata-kata Muhayat. Begitu juga dengan
Kartina. Mereka saling berpandangan dalam rona yang sama. Jengkel.
“Apa
maksudmu anakku?” Kamaruzaman masih cuba bertenang. Sungguhpun dadanya berdebar
kencang, namun dia cuba melembutkan suara dan menyembunyikan rasa gementarnya.
“Tak
payahlah nak berpura-pura baik. Tak payah nak berlakon dengan saya. Orang di
luar sana semua dah tahu niat abah datang ke sini!” Muhayat semakin lantang.
“Niat
apa Hayat? Abah datang ke sini semata-mata nak dekat dengan kamu. Tak ada niat
lain. Tak ada hajat yang lain,” kata Kamaruzaman dengan jujur. Debaran di hatinya sangat menyakitkan.
“Nak
dekat dengan saya, atau nak dekat dengan ibu?” Suara Muhayat sangat sinis. Di
bibirnya juga terselit sebuah senyuman memperli.
“Hayat!
Kenapa kurang ajar sangat ni?” tengking Ahmad Adham. Wajahnya berubah, marah. Dia
tidak menyangka, kusut hati Muhayat terhadap Kamaruzaman belum pulih selepas
percakapan mereka tempoh hari.
Kartina
pula merenung wajah Muhayat dengan mata sangsi. Dia kurang faham dengan apa
yang berlaku kepada Muhayat. Kenapa susah sangat Muhayat hendak terima Kamaruzaman dalam
hidupnya? Sedangkan sejak kecil dia memang tahu bahawa ayah kandungnya ialah
Kamaruzaman. Tercatat pada sijil kelahirannya nama itu.
“Memang
benar apa yang Hayat cakap ni abah. Sebelum dia muncul di sini, hidup kita aman bahagia. Tak pernah ada jiran
yang berani bercakap hal kita. Tak pernah ada umpatan. Sekarang? Abah tak malu
ke bila jiran kata abah ni dayus kerana biarkan isteri buat hubungan dengan
bekas suaminya?” Sungguh lantang suara Muhayat. Bergema ke setiap ruang dalam
rumah itu.
Ahmad
Adham tidak mampu lagi menahan sabar. Dia bangun. Tangannya dengan ringan
melayang ke pipi Muhayat.
Pang!
Kekecewaannya
terhadap sikap Muhayat semakin memuncak. Dia rasa sangat keji ketika mendengar fitnah itu keluar dari mulut
Muhayat, anak yang disayangnya.
Begitu
juga dengan Kartina. Kata bicara Muhayat itu telah membuatkan jiwanya lemah
menunggu relai. Dia tidak mampu menahan tangis.
“Ibu
ingat Hayat lebih faham tentang kami. Ibu ingat Hayat akan membela kami dari
cercaan orang lain. Tetapi rupanya Hayat
lebih jahil tentang kasih sayang dari mereka.”
“Hayat
cuba nak faham. Tapi Hayat masih tak boleh faham. Abah masih nak bela dia
sedang dia sedang menikam abah dari belakang. Dia sedang mencari peluang
merampas hak abah! Dan ibu, tidak jujur pada abah dan bersikap sumbang!”
“Apa
maksudmu Hayat? Kau nak tuduh ibumu curang dengan abah? Kau nak tuduh ibumu
yang mulia ini berselingkuh dengan lelaki lain di belakang abah?” Ahmad Adham
menjerit. Dia tergamam dengan apa yang
ada dalam kotak fikiran Muhayat.
Muhayat
diam. Dia mengulum kata-kata yang memang ingin diluahkan semuanya. Namun melihat api kemarahan dalam mata
Ahmad Adham, dia bekukan hasrat.
Tangisan Kartina semakin
kuat. Tuduhan Muhayat dirasakan terlalu berat. Seluruh kegembiraannya terhumban
jatuh ketika itu. Dia tidak tahu kenapa Muhayat berfikir sekeji itu. Belum
pernah dia rasa terluka seperti itu.
“Sampai hati
Hayat… Sampai hati buat ibu macam ni. Sampai hati anakku...” rintih Kartina di celah-celah esakannya.
Ahmad Adham
memeluk Kartina. Dia menyerahkan bahunya untuk Kartina melepaskan dukanya.
Kamaruzaman pula terpaku
lama. Senak dadanya. Remuk jantungnya. Sungguh dahsyat tuduhan yang baharu
diterimanya. Namun dia tidak boleh mengalah pada keadaan. Dia tidak mahu
menyalahkan Muhayat semata-mata.
“Adham, Tina, tolong
maafkan dia. Dia masih muda. Akalnya masih pendek. Sayalah yang bersalah. Saya
minta maaf kalau benar seperti katanya, sayalah perosak kegembiraan di rumah
ini. Saya minta maaf,” kata Kamaruzaman, dengan linangan air mata. Tangisan
Kartina menyentuh hatinya. Kata-kata Muhayat menyentuh jiwanya. Aduhai anak!
“Tidak
Zaman. Saya tak pernah anggap awak macam tu. Kita bertiga dah berjanji untuk
sama-sama berkongsi rasa gembira dan bahagia ini bersama. Kita dah semakin tua
untuk terus saling menyalahkan. ALLAH dah temukan kita. Inilah takdir kita.
Tolong jangan cakap macam tu, Zaman. Anak ini yang tersalah tafsir akan erti
kasih sayang kita. Anak ini yang berdosa kerana memfitnah kita... ” kata Ahmad
Adham dengan suara sebak, menahan sedih.
Muhayat
menarik muka masam. Kata-kata Ahmad Adham menikam jantungnya. Dia segera bangun
dan meninggalkan ruang yang sedang berladung kedukaan itu.
Kartina
masih belum berhenti menangis. Benar-benar hatinya terhiris. Dia mengharapkan
Muhayat menarik balik tuduhan itu. Dia mengharapkan Muhayat akan memohon maaf
atas ketelanjuran kata dan kelancangan tuduhannya.
Namun
semuanya tidak berlaku. Muhayat langsung tidak menoleh dan bersimpati. Dia
pergi tanpa belas kasihan. Akhirnya mereka bertiga terpaksa memujuk perasaan
sendiri. Esakan Kartina semakin perlahan. Air mata Ahmad Adham pula tidak
menitik lagi. Kamaruzaman tahu, dia perlu jernihkan keadaan yang sudah keruh
itu.
“Nampaknya,
saya telah memecah-belahkan hubungan baik orang di sini. Adham, untuk itu awak
izinkan saya pergi dari sini. Saya tak nak suasana bertambah keruh,” kata
Kamaruzaman selepas semangatnya kuat.
“Jangan Man. Saya akan berdepan dengan
Hayat. Awak tolong jangan buat keputusan itu. Awak lupa kenapa awak sudi
tinggal di sini? Kerana awak nak berbaik-baik dengan anak awak. Sekarang, kita
sedang diduga. Janganlah awak rasa kalah, Man.” Ahmad Adham cuba menghalang
niat Kamaruzaman.
“Memang itu niat
saya. Tapi, apa yang saya hajatkan itu tak berlaku. Yang berlaku adalah sebaliknya.
Kalau saya terus tinggal di sini, keadaan akan bertambah buruk. Adham, Tina,
saya minta maaf. Saya tak boleh teruskan hubungan ini. Saya tak nak terus
sakitkan hati Hayat. Mungkin benar kata dia, kita sedang melakukan perkara yang
tak pernah dibuat orang.”
“Man, tolong
jangan pergi ...” rayu Ahmad Adham.
“Kali ini saya
minta maaf kerana terpaksa tolak permintaan awak. Saya kena balik ke tempat di
mana saya datang. Hanya ini yang mampu selamatkan keadaan,” kata Kamaruzaman. Matanya merenung
wajah kedua-duanya silih berganti. Dia mencari pengertian. Dia mengharapkan
sebuah keizinan.
“Baiklah
kalau itu keputusan awak. Tapi, berjanjilah dengan saya bahawa awak tak akan
sekali-kali lupa pada persahabatan kita ini. Saya masih mengharapkan semuanya
akan berubah menjadi baik tapi saya tak harapkan hubungan kita terputus sampai
di sini saja,” kata Ahmad Adham. Dia menggenggam tangan itu dengan erat. Ada
getaran halus dalam genggaman itu. Getaran itu mewakili hati...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan