ALEEYA
menunggu dengan sabar di hadapan fakulti tempat Nadia bekerja. Dia melihat
sendiri suaminya menghantar Nadia ke situ. Jadi, selama ini suaminya menghantar
Nadia ke tempat kerja? Kenapa dia tidak tahu? Kalau diikutkan hati yang tidak
waras mahu sahaja dia menghempuk perempuan yang tidak tahu malu itu. Hoi, itu
suami akulah! Sampai bila hidupnya harus begini?
“Nadia!” panggil Aleeya yang keluar
dari celah sudut bangunan fakulti tempat Nadia mengajar.
“Kau!?” Nadia mengerutkan dahi. Dia
memandang sekeliling, takut-takut kalau Aleeya ada membawa gengnya. Datang
seorang diri ke? Beraninya. Tentu Aleeya melihat adegan mesranya dengan Ikmal
tadi. Nadia menyengih sendiri. Hari ini, Ikmal bukan main mesra lagi dengannya.
Baguslah kalau begitu. Biar Aleeya tahu, Ikmal sudah berbaik dengannya dan
kemungkinan mereka akan berbaik semula.
“Boleh kita bercakap sekejap?” tanya
Aleeya. Dia ingin selesaikan masalah yang tidak pernah kunjung padam itu. Kalau
rumah terbakarlah, bukan sekali hangus, malah mampu jadi abu.
“Aku ada kelaslah. Lain kalilah,” tolak
Nadia.
“Aku dah periksa dengan bahagian
pentadbiran, kelas kau bermula sejam lagi. Jangan nak bohong aku!”
“Kau nak apa ni? Antara aku dan kau,
tak ada perkara yang ingin kita sembangkan.”
“Of
course ada. Aku nampak apa yang berlaku tadi. Kau ingat aku
tak terasa? Tak tahu cemburu? Kalau kau nak anak murid atau rakan sekerja kau
dengar apa yang kita bincangkan, aku tak kisah kita berbual di sini.” Aleeya
mengangkat bahu. Memang dia tidak kisah pun. Sudah penat asyik menjaga hati
orang lain, sedangkan hatinya direntap dengan kasar tanpa belas kasihan.
“Jomlah, masuk bilik aku,” ajak
Nadia. Dia pun tidak mahu kecoh-kecoh. Tidak pasal-pasal jatuh maruah dan harga
dirinya.
Aleeya mengikut langkah Nadia menuju
ke pejabat perempuan itu. Seram juga duduk dalam satu bilik. Buatnya Nadia bawa
keluar parang panjang, keris, pisau atau tukul besi, jenuhlah dia. Hendak lari
ke mana? Alahai, sepatutnya dia duduk berbual di kawasan awam sahaja. Jika Nadia
bertindak agresif, pasti ada orang membantu dan ada saksi yang melihat. Ini
dalam bilik, macam-macam boleh berlaku. Aduh, ketar juga lututnya!
Dia
bukanlah berani sangat. Tetapi terpaksa demi rumah tangganya. Dia bukan pernah
bergaduh dengan orang. Tidak pernah sama sekali. Sejak berkahwin dan diganggu
oleh bekas isteri suaminya membuatkan sikap semulajadinya berubah. Manusia
boleh berubah mengikut keadaan agaknya. Tidak mengapa. Kalau Nadia main kasar,
dia juga tidak akan berdiam diri.
“Kau nak apa?” Nadia memeluk tubuh. Dia
duduk bersandar di dinding pejabatnya.
Aleeya memandang bilik yang tidak
begitu luas, mungkin sizenya 10x10. Terdapat sebuah rak buku yang dipenuhi
dengan fail dan buku-buku yang tersusun kemas. Meja kerja, kerusi dan sebuah
komputer riba. Di atas meja tersusun fail-fail. Boleh tahan juga bilik
pensyarah ini. Kemas dan tersusun rapi. Bersih. Kalaulah perangai sama bersih
dengan bilik ini, kan bagus?
“Aku nak mintak, kau jangan ganggu
suami aku lagi! Itu aje. Lagi satu, aku harap kau tak pengaruhi anak-anak kau supaya
membenci aku. Kau ni manusia ke? Sepatutnya, kau ajar anak-anak kau hormatkan
aku. Aku ni isteri ayah mereka, tak kisahlah emak tiri pun. Kenapa kau kejam
sangat? Lepas tu, kau asyik berkepit dengan suami aku. Kau ingat aku tunggul,
tengokkan aje?” kata Aleeya, macam pistol yang terlepas pelurunya. Bertaburan
ke lantai tanpa sempat terkena sasaran. Kalau boleh biarlah perempuan itu sedar
akan kesilapannya mengganggu rumah tangga orang lain.
“Kalau kau tak suka, kau berambuslah!
Aku lebih berhak dalam hidup Ikmal daripada kau. Ikmal, ayah anak-anak aku. Mereka
berhak untuk hidup bersama Ikmal. Bukan kau!” Nadia tersenyum sinis. Kalau
ikutkan hati mahu sahaja ditinju isteri bekas suaminya itu.
“Kenapa pula aku kena berambus? Kau
tu yang sepatutnya berambus! Kau dah pun bercerai dengan suami aku. Kenapa
masih terhegeh-hegeh nak berbalik pada dia? Kau kahwin sajalah dengan Amran. Dia
pun duda, sesuailah sangat dengan kau!”
“Amran? Bukan selera aku! Kau ajelah
kahwin dengan dia!” Nadia tersenyum sumbing.
“Ewah, ewah! Main cadang-cadang pulak.
Kau ingat tukar baju ke apa?” Aleeya menyinsing lengan baju. Kalau perlu
bergomol pun, dia sudah tidak kisah. Perempuan degil seperti Nadia perlu
diajar. Buat malu kaum hawa sahaja.
“Hei, Leya… aku takkan berdiam diri.
Aku akan dapatkan Ikmal semula. Aku akan ambil balik hak anak-anak aku, kau
faham tak? Kalau kau tak suka, kau boleh berambus. Jangan ganggu kebahagiaan
anak-anak aku!” tengking Nadia.
“Nadia, tolonglah! Anak-anak kau
masih boleh bahagia, kalau mereka bersama dengan aku juga. Yang penting, kau
redha dan biarkan mereka bersama-sama aku. Jangan tamak, tolonglah!”
“Jangan harap! Kau langkah mayat aku
dulu! Mereka anak-anak aku dan takkan jadi anak-anak kau!” Nadia mengetap
bibir. Tidak akan sesekali dia membiarkan anak-anaknya tinggal bersama Aleeya. Dia
yang lebih berhak. Perempuan itu pengacau sahaja.
“Kenapa kau tamak sangat? Kau kejam,
Nadia!” Aleeya mendengus kasar. Bercakap dengan orang bijak pandai ini, susah
rupanya. Ikutkan perasaan sendiri sahaja, langsung tidak memikirkan hal orang
lain.
“Ikut suka akulah! Okey, boleh tak
kau berambus sekarang! Menyampah aku tengok muka kau!” halau Nadia.
“Aku akan pergi, Nadia... tapi aku
takkan biarkan kau rampas Ikmal! Dan aku takkan tinggalkan dia!” kata Aleeya
tegas. Ingat semudah itu? Dia tidak akan mengalah. Dia akan pertahankan rumah
tangganya sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.
“Kau takkan menang, Aleeya…
senjataku lebih utuh daripada kau! Anak-anak,” kata Nadia sambil tersenyum
sinis.
“Jika ALLAH tak izinkan, semua itu
takkan berlaku. Aku serahkan semuanya kepada ALLAH.” Aleeya melangkah pergi,
meninggalkan Nadia sendirian di ruang kerjanya. Hatinya sudah cukup sakit
dengan apa yang berlaku. Nadia tetap berkeras. Dia juga tidak akan mengalah.
Kalau terpaksa berperang pun, berperanglah! Dia sudah tidak peduli.
“Ikut suka kaulah!” Nadia menendang
meja.
Aleeya melangkah laju menuju ke
keretanya. Hatinya sarat dengan rasa geram dan marah. Jiwanya meronta, rasa
hendak dibunuh sahaja bekas isteri suaminya itu. Rasa hendak dihentak-hentak
kepala perempuan itu biar berkecai. Aduh! Apa yang aku merepek ini? Macam orang
tidak ada agama pula. Jangan berfikir yang bukan-bukan. Aleeya mengeluh berat. Langkahnya
semakin laju. Cuaca panas, matahari mengganas membakar setiap inci perut bumi. Agaknya
sama panas dengan hatinya sekarang ini. Berasap jadinya.
“Leya! Leya!” laung seseorang.
Aleeya menoleh. Uh! Mana pula
datangnya lelaki ini? Buat apa dia di sini? Aleeya mengerut dahi. Masalah,
masalah, masalah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan