NADIA
mendengus kasar. Dia memandang wajah Amran yang sedang tenang memandu. Lelaki
yang berstatus duda itu tetap kacak di matanya. Tetapi hatinya langsung tidak
tergoda, sesuai sangatkan duda dan janda, detik hati kecilnya. Tidak sangka
sama sekali, Aleeya adalah sahabat Amran ketika kecil dahulu. Pernah juga
lelaki itu bercerita tentang zaman kanak-kanaknya dan sering menyebut nama
seorang perempuan, tetapi dia tidak ingat nama itu. Rupanya perempuan itu
adalah Aleeya. Amran sudah lama mencari perempuan itu. Rupanya perempuan itu
ada di depan mata Nadia sendiri.
“Bila awak bertemu dengan kawan awak
tu? Dah lama jumpa semula ke?” Nadia mengerling.
“Siapa? Leya? Ooo… baru aje
berjumpa. Secara kebetulan, di tempat kerja saya,” jelas Amran jujur.
“Dah pernah keluar bersama ke?” Nadia
terus bertanya.
“Hari kami bertemu itu jugalah… dia
dah kahwin. Mana boleh keluar dengan isteri orang kerap-kerap. Nanti benjol
dahi saya. Kalau dengan awak tak apalah. Saya duda, awak janda. Tak ada siapa
yang nak marah!”
“Yalah tu!” Nadia mencebik. Tidak
suka dia dengan perkataan ‘janda’.
“Kenapa Nadia? Tak suka dengan
gelaran ‘Janda’?” Amran menggeleng.
“Taklah… saya yang pilih. Bukan
salah sesiapa pun,” ujar Nadia, sebal.
“Kita berkawan dah lama tau… rasanya
saya kenal nada suara awak tu.” Amran menyengih. Perempuan di sebelahnya mudah
beremosi. Pantang terkecil hati, pasti marahnya berjam-jam, kadang-kadang
berhari-hari. Rajuknya sukar dipujuk. Itu sebab agaknya rumah tangganya gagal
separuh jalan.
“Yalah…” Nadia mencebik. Malas
berlawan cakap dengan lelaki yang suka menegur tindak-tanduknya. Kalaulah
lelaki itu tahu yang dia sedang dalam proses memujuk bekas suaminya berbaik
semula, dan bekas suaminya itu kini adalah suami Aleeya, sahabat kepada Amran,
pasti kecoh. Pasti berkodi-kodi bebelan yang akan singgah di telinganya. Mahu
berkilo-kilo pula tahi telinganya nanti. Nadia mengeluh.
“Awak macam kenal aje dengan Leya
dan rakan-rakannya? Awak memang kenal mereka, kan?” Amran mengerling Nadia yang
memandang bahu jalan.
“Taklah… mungkin mereka pernah jadi
pelajar saya agaknya,” jawab Nadia. Tidak mungkinlah dia berkata benar. Macam
dia fikirkan tadilah. Boleh deman panas jadinya jika mendengar nasihat dan
motivasi diri daripada rakannya itu. Malaslah!
“Mungkin jugalah, kan?” Amran
tersenyum. Usai menghantar Nadia pulang, dia terus pulang ke rumah.
IKMAL
gelisah. Dia memerhati keluar rumah. Ternampak Nadia dengan seorang lelaki. Siapa
pula lelaki itu? Rasanya macam kenal? Amran ke? Ikmal berteka-teki. Nadia yang
sudah pun berada di laman rumah di dekati.
“Bukan Amran ke tu?” tanya Ikmal
sambil matanya memandang kenderaan yang dipandu Amran berlalu pergi.
Nadia memandang wajah Ikmal. Hari
ini, Ikmal menjaga anak-anak sementara dia keluar membeli barang dapur. Dia
pergi menaiki teksi sahaja tadi. Lagipun bukan jauh sangat pasar raya itu
dengan rumahnya. Tidak sangka bertembung
dengan Amran yang juga sedang membeli barang dapur. Lantas, lelaki itu
mempelawa untuk menghantarnya pulang. Tidak sangka pula akan bertemu Aleeya
dengan geng poyonya itu. Buat sakit kepala dan sakit hati sahaja.
“Ha’ah… saya terjumpa dia di mall tadi,” terang Nadia dengan muka
selamba.
“Kenapa tak ajak masuk? Kan saya
juga rakan sekolej dengan dia,” jelas Ikmal, takut-takut Nadia terlupa.
Nadia tepuk dahi. Kenapa dia
terlupa? Aduh! Mereka bertiga berkawan baik sewaktu belajar dahulu. Macam mana
dia boleh lupa? Teruk sangatlah ingatannya. Pening, pening. Nadia pula kawan
baik Amran. Aduh! Nadia mengeluh.
“Kenapa muka awak pucat? Jangan
cakap, awak nak sambung balik hubungan awak dengan Amran? Kan dia dah
berkahwin?”
“Kalau ya pun, kenapa? Tak boleh?
Awak cemburu?” Nadia menjeling.
“Saya? Cemburu? Tak ada masa! Lagi
cepat hal kita selesai, lebih baik. Tak payah tengok muka awak. Kalau awak nak
berbalik dengan Amran jadi isteri kedua dia pun, peduli apa saya? Tapi, saya
tak izinkan awak jaga anak-anak.” Ikmal mendengus kasar.
“Saya tak nak orang lain. Bukan
lelaki lain, bukan juga Amran. Tetapi awak! faham tak? Saya nak awak sebab awak
ayah anak-anak saya! Saya tak nak anak-anak saya ada ibu tiri atau ayah tiri. Itu
pun awak tak boleh nak faham ke?” lenking Nadia. Matanya berkaca. Rasa hendak
menangis di situ juga. Benci benar lelaki itu dengan dirinya.
“Mana boleh? Saya dah kahwin! Awak
suka buat saya peninglah! Lama-lama boleh dapat migrain saya ni… sakit orang
perempuan sebab banyak sangat fikir.”
“Urusan awak dah selesai, kan? Saya
nak balik… entah-entah Leya dah lari dari rumah sebab merajuk dengan saya,” bentak
Ikmal.
“Tak ada merajuknya, ada di mall tu… sedang berseronok dengan
kawan-kawan dia yang tiga suku tu,” cerita Nadia tentang seterunya itu.
“Hah? Aleeya ada di mall? Dia tak minta izin saya pun?” Ikmal
kehairanan. Biasanya kalau Aleeya hendak ke mana-mana akan SMS atau WhatsAppnya.
Hari ini, kenapa tidak pula? Wah, isterinya sudah pandai keluar pintu belakang,
detik hati kecil Ikmal.
“Tak payah nak kerutkan dahi awak tu
fikirkan isteri awak tu. Fikirkan hal anak-anak awak ni juga!” tengking Nadia,
dia menolak Ikmal ke tepi dan melangkah masuk ke dalam rumah.
Ikmal memandang langkah kasar Nadia.
Pening, pening. Cakap Melayu pun tidak faham, dia nak cakap bahasa apa? Mana
mungkin dia berkahwin semula dengan Nadia? Kenapalah susah sangat bekas
isterinya hendak mengerti.
“Ikmal… kalau macam tu, apa kata
awak ceraikan Leya? Biar dia kahwin dengan Amran. Amran pun dah menduda,
kematian isteri,” cadang Nadia.
“Hah? Apa awak cakap tadi? Awak gila
ke, apa? Cadang yang bukan-bukan. Ingat kahwin ni macam tukar baju ke? Awak
bolehlah. Tak pun awak ajelah kahwin dengan Amran!” kata Ikmal kasar. Amboi!
Main tukar-tukar pula. Ingat jawatan kosong ke?
Kahwin dengan Amran? Nadia mencebik.
Degil betul bekas suaminya ini. Tak mahulah! Nadia mendengus geram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan