Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 29 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 17 - SASYA ZAINAL



Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat

Nora masih asyik menggubah bunga-bunga ros merah jambu dan putih di dalam pasu besar yang juga berwarna putih usai solat isya`. Sedari petang tadi dia sudah membelek-belek beberapa buah majalah untuk mencari idea. Berselerak beberapa naskhah majalah Nona, Jelita dan Wanita di atas karpet rumahnya. Selesai berzikir dan berdoa, dia mendapat ilham dari ALLAH swt. Segera dia mendirikan sujud syukur, melipat sejadah dan bersila di ruang tamu rumahnya yang luas. Dia ingin menghasilkan sebuah pelamin dengan tema bunga ros. Warna temanya pula adalah merah jambu yang lembut. Tentu tema itu akan mendapat sambutan ramai. Jika Adik ada, sudah tentu mereka dapat bertukar-tukar idea. Orang muda, ideanya memang lebih segar dan kreatif.

Adik.
Rasa rindu menyelinap di dalam jiwa Nora. Bulan lepas, Adiklah yang meneman dia ke Ayer Hitam untuk membeli pasu-pasu, bunga-bunga dan dedaunan plastik untuk membuat gubahan yang baharu. Adik jugalah yang memberi cadangan untuk Nora membuat pelamin alaf baru. Pelamin yang bercirikan moden kontemporari. Nora bersetuju dan mereka akhirnya membeli-belah di Ayer Hitam, pusat menjual pasu-pasu dan bunga-bunga plastik. Nora mahu idea gubahannya menepati citarasa dan mengikuti peredaran zaman. Jika Adik ada, sudah pasti dia akan bersama-sama Nora menggubah bunga-bungaan yang baharu dibeli ini.

Adik itu sudah dianggap sebagai anak sendiri walau anak itu memanggilnya dengan panggilan kakak. Sedari kecil, rumahnya itulah tempat anak itu dan rakan-rakannya berkumpul. Nora pula tidak kekok melayan anak-anak yang suka datang ke rumahnya. Pada Nora, kehadiran anak-anak itu mendatangkan rezeki kepadanya. Apatah lagi, dia tidak mempunyai zuriat sendiri. Anak-anak saudara pula jauh dan hanya bertemu di hari lebaran. Pada Adik, Johari dan Faezah Hanimlah, Nora memberikan kasih sayangnya. Kehadiran anak-anak itu membawa bahagia dan keceriaan pada hidupnya. Gelak tawa mereka, gurau senda mereka menghidupkan suasana rumahnya yang sunyi.

Nora akui, hidup menjanda sedari muda membuatkan dia merasa keseorangan. Namun, entah kenapa, dia tidak mahu berkahwin lagi. Bukan menolak jodoh cuma Nora selesa hidup sendiri. Walau pun dia sudah menguruskan puluhan majlis perkahwinan, ratusan majlis pertunangan...tetapi dia sendiri tidak ada perasaan untuk mendirikan rumahtangga lagi. Bukan tidak ada orang bujang atau duda mahupun suami orang yang berkehendak padanya. Tetapi entah...hati Nora seakan-akan sudah tertutup untuk berkahwin lagi.
“ Biarlah Nora kahwin dengan bidadara syurga nanti, kak,” itulah jawapannya jika soalan-soalan tentang bila hendak makan nasi minyak lagi diajukan kepadanya.

Seperkara lagi yang Nora takutkan adalah, suami baharu nanti, bukan mahu menjaga kebajikannya, tetapi mengaut duit simpanannya. Terlalu banyak cerita yang Nora dengar tentang lelaki sekarang ini mencari janda kaya. Bukan perempuan sahaja yang materialistik, lelaki pun lebih kurang sama juga.Walaupun Allahyarham Haji Talib, suaminya dahulu banyak meninggalkan wang pusaka untuk Nora, namun dia tidak betah untuk duduk diam dan tidak bekerja. Nora gembira kerana dapat mengandamkan gadis-gadis yang bertunang dan bakal-bakal pengantin yang akan menjadi ratu sehari. Dia gembira melihat insan lain gembira. Dia gembira dan puas kerana air tangannya dapat menyerikan majlis pertunangan, majlis khatam al-Quran dan majlis persandingan orang lain.

Perkahwinannya dengan Haji Talib itu adalah perkahwinan yang diaturkan oleh Allahyarham ayah, ibu dan ibu saudara Nora yang menetap di Parit Sulung. Itu pun Haji Talib yang beria-ria hendakkan Nora. Duda kaya itu sudah kematian isteri beberapa tahun sebelum dia melamar Nora. Nora yang tidak mahu menghampakan harapan dan hajat ayah dan ibu menerima lamaran Haji Talib dengan redha. Cakap-cakap orang, ibu saudara Nora itu mempunyai hutang dengan Haji Talib, jadi Nora dipadukkan supaya hutangnya dilangsaikan. Wallahu alam, Nora tidak tahu tentang hal itu dan Nora tidak mahu ambil tahu. Jika benar, hanya ALLAH sahaja yang akan membalasnya. Tetapi setelah bernikah dengan Haji Talib, Nora memang ada bertanyakan hal itu. Suaminya itu menafikan. Haji Talib memang inginkan Nora. Katanya, dia jatuh cinta pandang pertama ketika Nora menghidang makanan semasa menghadiri kenduri rumah ibu saudara Nora di Parit Sulung itu. Nora berpuas hati dengan jawapan suami yang lebih berumur darinya. Pada Nora, Haji Talib seorang lelaki yang beriman. Orang lelaki yang tidak pernah tinggal solat jemaah di masjid, jadi Haji Talib tidak akan berdusta padanya.

 Memang sudah suratan hidup Nora, ayahnya meninggal dunia setelah sebulan mewalikan Nora. Menyusul pada bulan ketiga, ibunya pula pergi menemui Penciptanya. Syukurlah Nora sudah berkahwin. Haji Taliblah tempat dia mengadu dan menjadi bahu tempat dia menangis.

Oleh kerana anak-anak Haji Talib sudah dewasa dan semuanya merantau, Nora hanya tinggal berdua dengan Haji Talib di rumah suaminya yang terletak Kampung Batu Putih. Nora bersyukur, anak-anak Haji Talib tidak membantah ayahnya berkahwin lagi. Walaupun janggal bagi Nora mempunyai anak-anak tiri yang sebaya dengannya malah anak tiri yang sulung dan kedua berumur lebih tua darinya, Nora redha dan melalui hidup sebagai seorang isteri dengan tabah.  Mungkin mereka tahu, mereka jarang sekali pulang ke kampung untuk menjenguk ayah mereka. Jika ayah beristeri, dapatlah isteri baharu itu menjaga kebajikan ayah.

Haji Talib itu memang seorang yang gemar mengumpul harta. Zaman mudanya, dia adalah seorang guru dan akhirnya pencen sebagai seorang Guru Besar sekolah. Sedari muda, Haji Talib sudah memiliki beberapa keping tanah pusaka. Kemudian, melalui wang simpanannya, dia membeli beberapa bidang kebun dan membuat beberapa rumah sewa. Niat Haji Talib mahu setiap anaknya memiliki sebidang tanah kebun. Dia mahu anak-anaknya berbakti kepada tanah. Selepas bernikah dengan Nora, dia membeli sebidang lagi tanah kebun untuk dihadiahkan kepada isteri baharunya. Beberapa tahun sebelum pencen, isteri Haji Talib pulang ke rahmatullah dan tinggallah dia seorang diri di kampung. Entah kenapa, setelah pencen, jodohnya dibukakan ALLAH swt semula. Lalu berkahwinlah dia dengan Nora yang ketika itu baru berumur dua puluh satu tahun.

Sesungguhnya jodoh, ajal, maut, rezeki adalah ketentuan yang Esa. Setelah enam bulan mendirikan rumahtangga dan bergelar isteri kepada seorang guru besar pencen, Haji Talib pula pulang menemui Yang KHALIK ketika sedang menebas lalang di dusun durian. Pulanglah Nora ke rumah pusaka ayah dan ibunya di Kampung Peserai Pantai. Walaupun anak sulung Haji Talib meminta Nora menetap terus di rumah ayahnya, Nora tidak mahu digelar pengikis harta. Segala harta benda, tanah kebun Haji Talib dibahagikan mengikut faraid. Rezeki Nora yang mengikut kata-kata Allahyarham ayah dan ibu, pencen Haji Talib menjadi miliknya. Dusun durian hadiah hari perkahwinan mereka dipajakkan kepada peraih durian. Duit kutipan rumah sewa, anak sulung Haji Talib meminta Nora yang menguruskan dan memberi bahagian Nora setiap akhir bulan. Nora bersyukur walaupun dia tidak mempunyai zuriat dengan Haji Talib, dia mendapat pencen kerajaan dari Allahyarham suaminya itu. Setelah habis iddah, Nora meminta izin anak tiri sulungnya untuk pulang ke rumah pusaka ayah dan ibu di Peserai Pantai.

Dengan wang pencen Allahyarham Haji Talib, wang sewa rumah, duit jualan durian dan perniagaan andamannya, hiduplah Nora sendirian bertemankan barang-barang andaman dan gubahan di rumah pusaka ayah bonda. Salimah dan keluarganya yang menjadi jiran sejak kecil sudah seperti kaum keluarganya sendirinya. Anak Salimah yang ketiga, Adik itu sudah seperti anaknya sendiri. Apabila pulang ke kampung, beberapa penduduk kampung yang memang gemar mengata-ngata, mencucuk-cucuk Salimah yang Nora itu hendak memikat Abang Ghani, suami Salimah. Nora hanya pekakkan telinga, butakan mata. Dia sentiasa ingat pesan arwah ayah “ kita tidak akan mati dengan cakap-cakap orang! Kita tidak minta makan dengan mereka.”

Mujurlah Salimah, Kak Bedah dan Cikgu Zakiah sentiasa bersama-sama Nora mengharung kehidupan yang berliku ini di kampung tempat tanah lahirnya. Lama kelamaan, orang yang bercakap-cakap itu akhirnya penat. Ingat lagi Nora dengan kata-kata orang rumahnya Pak Hassan “Nora sabar dengan fitnah dan umpatan orang, maka ALLAH akan beri ganjaran yang besar pada kita. Nora sedang dianiaya dan doa orang yang teraniaya, tidak akan ditolak.”

Iya, Nora redha. Nora sabar. Setiap kali selepas solat, dia mendoakan orang yang memfitnah dan mengumpatnya diberi hidayah dan kesedaran. Dia juga berdoa agar ALLAH mengurniakan dia rezeki yang banyak dan melimpah ruah. Ternyata, doa insan yang teraniaya itu memang tidak akan ditolak. Andaman Nora menjadi salah sebuah andaman yang terkenal di Batu Pahat dan Muar. Nora digelar janda kaya.

Nora terbatuk-batuk. Lama juga dia terbatuk-batuk hingga dia terpaksa berhenti menggubah. Dia bangun lalu ke dapur. Dicapainya ubat batuk cap ibu dan anak yang terletak di dalam peti sejuk. Diambil sebatang sudu lalu dituang ubat batuk itu ke sudu besar dan meneguknya. Reda sedikit kerongkongnya. Seingat Nora, sudah hampir sebulan dia masih belum pulih. Sudah berbotol-botol ubat batuk cap ibu dan anak yang ditelannya. Redanya cuma seketika. Kemudian batuk-batuk itu datang lagi. Salimah mencadangkan Nora meminum madu dengan air suam. Sudah juga Nora mencubanya. Segar tubuh badannya dengan meminum madu asli yang dibeli dari pasar Jalan Ibrahim itu. Namun batuk-batuknya masih ada. Cikgu Zakiah pula mengusulkan untuk minum kicap yang dicampur perahan limau nipis. Petua ini selalu diamalkan oleh guru-guru kerana tidak mahu mengambil ubat batuk yang menyebabkan mengantuk. Pun Nora mencubanya. Masih belum juga berhasil.

Nora memang malas hendak ke klinik atau ke hospital. Dia tidak suka dengan perubatan moden. Pada Nora, perubatan moden itu adalah bahan-bahan kimia. Nora lebih suka menggunakan bahan-bahan alami seperti madu, limau nipis dan kicap. Setelah meneguk ubat batuk cap ibu dan anak itu, Nora kembali semula ke ruang tamu tempat dia menggubah tadi. Dia hendak menyiapkan dua pasu besar bunga ros merah jambu dan putih itu. Semasa tangannya mengerat dedaunan dan batang-batang bunga tersebut, Nora terbatuk-batuk lagi. Terasa gatal kerongkongnya dan sempit dadanya. Nora terbatuk-batuk hingga terkeluar air matanya. Dia mengurut-ngurut dadanya sendiri. Dia sedar, dia sudah dimamah usia. Jika di zaman mudanya, dia boleh berjaga hingga ke pukul 3.00 atau 4.00 pagi untuk menyiapkan dulang-dulang hantaran ataupun gubahan bunga. Tetapi kini, tenaganya sudah tidak seperti dahulu lagi. Kerana itu, Nora amat bersyukur yang Adik menjadi pembantunya. Kini, Adik pula telah ke Kuala Lumpur.

Dia memberhentikan lagi kerjanya dan bangun untuk menuju ke bilik tidur. Dibuka almari baju dan dicapainya sebotol Vicks. Nora mencapai bantal tidur dan berjalan ke ruang tamu. Diletakkan bantal dan dia menghantar tubuhnya ke karpet empuk berwarna coklat yang dibeli di kedai arab Jalan Penggaram penghujung tahun lepas. Nora menyapu dadanya dengan minyak vaporab Vicks itu. Disapu juga di tengkuk dan hidungnya. Nora menarik nafas panjang. Terasa nyaman. Jika sampai minggu hadapan, masih belum pulih, nampaknya, dia perlu ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan. Nora tidak mahu sakitnya berlarutan. Lebih-lebih lagi sudah dekat dengan cuti sekolah. Musim cuti sekolah, maka banyaklah tempahan untuk pelamin bersanding, mengandam dan menggubah dulang hantaran.

Sambil berbaring, matanya menatap berita di televisyen. Pasu-pasu, bunga-bunga dan dedaunan plastik dibiarkan tidak berkemas. Ketika zaman mudanya, Nora jarang sekali membiarkan barang-barang gubahan seperti gunting, gam, reben-reben, dedaunan dan bunga-bungaan itu bersepah-sepah. Sebelum tidur, dia akan memastikan semuanya berkemas. Tetapi, setelah usia meningkat, Nora seperti sudah tidak larat untuk memastikan semuanya teratur dan tersusun. Dia cepat penat dan mudah letih jika kerja berterusan. Mata Nora semakin layu. Semakin lama, matanya semakin ralip. Berita di TV3 kedengaran sayup-sayup di halwa telinga. Akhirnya, belum pun warta berita pukul 12.00 malam tamat dan pembaca berita mengucapkan selamat malam, Nora sudah berada di alam mimpi.




Sekolah Menengah Tinggi, Kluang.
Pagi Sabtu.

Jalanraya masih lagi lengang ketika dia memandu kereta perlahan-lahan untuk menuju ke sekolah tempat dia mengajar. Setelah menunaikan solat subuh, dia berkemas ala-kadar. Dilipat telekung, tuala, dua helai seluar trek, empat helai kemeja ‘T’ lengan panjang siap dengan logo sekolah dan alatan untuk mandi. Semua barang-barang itu akhirnya dimasukkan ke dalam sebuah beg yang sederhana besar. Dia hanya meneguk segelas air suam sebelum mengunci pintu rumah. Dua orang rakan guru yang menyewa rumah yang sama telah pulang ke kampung petang semalam. Tinggallah dia tidur seorang diri di rumah malam tadi. Sebelum tidur, sempat juga dia menelefon ayah dan ibunya di Batu Pahat. Bertanya khabar kepada kedua orang tuanya dan memberitahu mereka yang dia akan ke Kulai esok pagi.

Satu pesanan ringkas yang bertulis:-  Salam Arif, minggu ini saya tidak balik BP. Nanti minggu depan, insya-Allah, saya balik. Kita jumpa ya.

Hingga ke pukul 11.00 malam dia menanti sang penerima membalas SMSnya, namun, hampa. Dia akhirnya menutup suis televisyen, kipas dan lampu kalimantang di ruang tamu. Faezah Hanim berlalu masuk ke bilik tidur dengan perasaan yang kecewa.
Takkanlah berat sangat masalah sampai hendak balas SMS pendek pun tak boleh?’ Dia mengeluh.

Pelajar-pelajar yang akan dibawa ke Kulai sudah siap sedia menanti ketika dia memarkir keretanya di dataran sekolah. Seorang guru pengiring untuk pelajar-pelajar juga sudah ada. Analogi di pergelangan tangan kiri menunjukkan tepat pukul 7.00 pagi. Dia hanya perlu menanti seorang lagi guru pengiring dan jika tidak ada apa aral, tepat jam 7.30 petang, mereka akan bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Mungkin, mereka akan berhenti di mana-mana restoren mamak untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan ke Kulai.

“ Assalamualaikum cikgu,” dua orang pemain bola jaring memberi salam sejurus dia membuka pintu keretanya.

“ Waalaikumus salam. Awak semua dah sarapan?” terus sahaja Faezah Hanim bertanya kepada pelajar-pelajar yang menyambutnya.

 Terasa mulia dan berkat apabila bergelar pendidik. Menjawab salam dan bersalaman dengan para pelajar saban hari. Bukan seorang dua malah berpuluh atau mungkin mencecah ratusan pelajar saban hari memberi salam kepada guru. Teringat ajaran Pak Hassan, guru mengajinya di kampung. Assalamualaikum bermakna, selamat sejahtera ke atas kamu. Assalamualaikum warahmatullah bermaksud, selamat sejahtera dan semoga ALLAH merahmati kamu. Itulah salam yang disambut dari pelajar saban hari. Memang rahmat dan berkat apabila bergelar cikgu.

“ Ada yang sudah, ada yang belum, cikgu,” jawab salah seorang pelajar itu.
“ Takpelah. Nanti sebelum ke Kulai, kita berhenti kat mana-mana untuk sarapan dulu. Panggil lagi dua orang kawan awak untuk masukkan beg-beg awak dalam bonet kereta saya eh,” Faezah Hanim memberi arahan. Tengahari semalam,telah diberitahu kepada sepuluh pelajar yang akan bermain untuk pihak sekolah, kereta guru mana yang mereka akan naiki. Dia sendiri akan membawa empat orang pelajar. Sementara rakan-rakan guru pengiring, Cikgu Dila dan Cikgu Ina pula akan membawa tiga orang pelajar dengan kereta masing-masing.

Cikgu Dila datang menghampirinya. Mereka bersalaman. Sungguh muhibbah hubungan guru-guru di sekolah ini. Semua tindak-tanduk mereka akan menjadi contoh teladan kepada para pelajar.

“ Kak Ina dalam perjalanan,” pendek penjelasan Cikgu Dila. Seorang guru yang lebih muda darinya yang berasal dari Tapah, Perak. Baru tamat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah setahun lalu.
“ Dila dah sarapan?”
“ Belum kak Faez. Minum Milo segelas saja tadi.”
“ Nanti kita berhentilah di mana-mana kedai roti canai atau dekat hentian lebuhraya bawa budak-budak sarapan ek. Akak pun tak sarap lagi ni. Semalam, GPK Koko ada beri duit belanja untuk kita dan budak-budak,” dia tersengih ketika memberitahu Cikgu Dila tentang hal itu. Cikgu Dila membalas senyuman.

Setelah empat orang pelajar memasukkan beg-beg mereka ke dalam bonet kereta Faezah Hanim, kelihatan dari pagar sekolah, kereta Cikgu Ina memasuki perkarangan sekolah. Cikgu Ina pula sebaya dengan Faezah Hanim. Baru mendirikan rumahtangga bulan Disember lepas. Oleh kerana kedua-dua guru pengiring dan para pelajar telah menanti, Cikgu Ina tidak membuang masa untuk turun dari kereta. Dia hanya menurunkan cermin tingkap untuk bersalaman dengan Faezah Hanim dan Cikgu Dila lalu menyuruh pelajar-pelajar yang akan menaiki keretanya untuk meletakkan beg masing-masing di dalam bonet.

Ketiga-tiga guru pengiring dan sepuluh orang pelajar yang mewakili sekolah  untuk perlawanan bola jaring peringkat negeri akhirnya bertolak meninggalkan kawasan sekolah. Perlawanan bola jaring peringkat negeri itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan, Kulai- SMKK. Dalam perjalanan, seperti yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga guru pengiring, mereka berhenti seketika di kawasan Rehat dan Rawat di kawasan Simpang Renggam untuk menikmati sarapan pagi.

Perjalanan ke Kulai hanya mengambil masa kurang dari dua jam. Setibanya di sana, sudah kelihatan van-van sekolah dan ada juga bas sekolah yang diparkir di perkarangan tempat letak kereta SMKK. Selaku ketua guru pengiring, Faezah Hanim mendaftarkan nama sekolahnya di meja pendaftaran. Mereka kemudian diiring oleh pengawas SMKK untuk meletakkan beg-beg di sebuah kelas yang akan dijadikan tempat tidur dan tempat berehat para pelajar dan guru-guru pengiring. Menurut guru-guru SMKK di meja pendaftaran tadi, ada juga guru-guru yang akan menginap di hotel. Tetapi, Faezah Hanim dan dua orang rakan guru sudah berbincang untuk menginap bersama-sama pelajar mereka.
Setelah menyarung pakaian pasukan sekolah, ketiga-tiga guru dan sepuluh pelajar itu bergegas pula ke padang bola jaring. Perlawanan pertama akan bermula pada pukul 10.30 pagi.

Sedang para pelajar dan guru-guru pengiring menyaksikan perlawanan antara sekolah daerah Mersing dan Muar dari tempat duduk astaka SMKK, Faezah Hanim membelek-belek telefon bimbitnya ketika seorang pelajarnya membisikkan, “ Cikgu, saya rasakan, ada seorang cikgu lelaki tu, dia asyik tengok cikgu aje dari tadi.”
Faezah Hanim menjeling pelajarnya dengan ekor mata.

 “ Heh awak ni... mata tu jaga sikit. Jangan asyik tengok orang lelaki aje, jaga maruah awak, jaga maruah sekolah kita. Kan tidak manis orang perempuan merenung orang lelaki,” Faezah Hanim menegur secara baik. Dia tidak suka pelajar-pelajarnya digelar yang bukan-bukan, lebih-lebih lagi ketika mereka berada di sekolah lain. Mereka membawa nama baik sekolah dan nama baik guru-guru ketika berada di luar.

“ Bukan saya tengok dia, cikgu. Tapi, saya tengok dia sebab dia asyik tengok cikgu,” ujar pelajar itu sambil tersengih-sengih. Kenyataan dari pelajar itu membuatkan hati Faezah Hanim menggeletek juga ingin mengetahui siapakah dia gerangan guru lelaki yang merenungnya dari jauh. Mungkin juga guru lelaki itu mengenali dirinya. Untuk perlawanan bola jaring, biasanya tidak ramai guru lelaki yang akan turut serta melainkan guru itu adalah guru pengiring kepada pelajar-pelajar atau pun guru sukan SMKK yang bertindak selaku tuan rumah.

“ Mana cikgu yang tengok saya tu? ” Perlahan suara Faezah Hanim bertanya kepada pelajar yang duduk di sebelahnya. Dia tidak mahu Cikgu Dila atau Cikgu Ina menyangka yang bukan-bukan.
“ Yang kat hujung padang tu, cikgu. Pakai baju biru tua. Pakai topi tu. Dia masih tengok cikgu lagi tu,” sungguh-sungguh pelajar itu menerangkan.

Perlahan-lahan Faezah Hanim mengangkat wajah dan memandang ke arah yang ditunjukkan oleh pelajarnya. Ketika memandang ke arah hujung padang, memang guru lelaki yang memakai baju kemeja ‘T’ berwarna biru gelap itu masih lagi sedang memandang ke arahnya. Ada debaran di dada Faezah Hanim. Guru lelaki itu, kemudiannya tersenyum kerana dia juga yakin yang Faezah Hanim sedang memandangnya. Dia mengangkat tangan, melambai kepada Faezah Hanim.

Faezah Hanim pula serba-salah ketika guru lelaki itu seperti berjalan menuju ke arahnya. Dia malu dengan para pelajarnya kerana dia selalu berpesan supaya para pelajar menjaga maruah, tingkah laku dan tatatertib ketika berada di sekolah orang. Semakin hampir guru lelaki itu kepada Faezah Hanim, debaran di dada semakin menggila.

Iya.
Dia amat kenal pada guru lelaki itu. Sangat kenal. Malah, mereka sangat rapat satu masa dahulu. Dia sama sekali tidak menyangka yang dia akan bertemu lagi dengan guru lelaki itu. Dia serba-salah dan seolah-olah menyalahkan dirinya atau keadaan kerana mereka bertemu kembali hari ini.

Faezah Hanim senyum kelat ketika guru lelaki itu semakin menghampirinya. Guru lelaki itu, masih seperti dahulu. Masih seperti mereka rapat dahulu. Tubuhnya tinggi lampai dan tegap kerana dia adalah seorang atlet. Faezah Hanim yakin, dia kini adalah guru sukan juga. Dia tersenyum lebar. Pelajar yang berada di sebelah Faezah Hanim tersengih-sengih. Ingin sahaja Faezah Hanim mencubit peha pelajar itu.

“ Assalamualaikum Hanim, ” guru lelaki yang memakai baju biru tua dan bertopi itu akhirnya memberi salam ketika dia betul-betul berada di hadapan Faezah Hanim.
Cikgu Ina, Cikgu Dila dan sepuluh pasang mata pelajar memandang mereka berdua.
Faezah Hanim bangun menghormati guru lelaki yang memberi salam padanya itu. Bukan ramai yang memanggilnya dengan nama ‘ Hanim’. Hanya ayah, ibu, kaum keluarga dan Kak Nora sahaja yang memanggilnya dengan nama keduanya. Tetapi, jejaka yang berada di hadapannya ini, adalah salah seorang teman yang memanggilnya Hanim sejak mereka berkenalan.

“ Waalaikumus salam Ilyas.” Faezah Hanim memberikan senyuman.

Ilyas Kahar.
Rakan karibnya semasa di Universiti Perguruan Sultan Idris. Rakan regu badmintonnya.Teman yang akan mengajaknya berjogging tiap-tiap petang. Teman yang sama-sama akan menaiki bas untuk pulang ke Johor ketika cuti semester. Siapa sangka, mereka akan bertemu kembali di SMKK setelah kedua-duanya bergelar guru.

“ Aku perhati saja kau dari jauh. Macam tak percaya aku jumpa kau hari ni, ” Ilyas tersengih-sengih. Hatinya girang dapat bertemu dengan Faezah Hanim.

“ Kak Ina, Dila...ini Cikgu Ilyas. Kawan saya masa di UPSI dulu,” Faezah Hanim memperkenalkan Ilyas kepada Cikgu Ina dan Cikgu Dila dan secara tidak langsung memberitahu kepada pelajar-pelajarnya yang tersengih-sengih memandang mereka berdua.
“ Kau mengajar di sini ke? ” Soalan pertama Faezah Hanim kepada Ilyas setelah guru lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya dan melabuhkan punggungnya di bangku astaka.
“ Taklah. Aku mengajar di sekolah menengah Skudai. Aku tolong cikgu bola jaring bawa budak-budak ke sini .”
“ Aku ingat, kau dapat mengajar di Serawak? ”
“ Memang pun. Tapi lepas tiga tahun, kata kawan aku di PPD Johor, ada kosong di Johor. Aku cuba mohon. Alhamdulillah...dapat. Mak ayah aku pun dah tua. Sudah selalu sakit-sakit. Tak dapat di bandar JB, di Skudai pun jadiklah. Dekat juga dengan JB. Aku berulang hari-hari, JB ke Skudai,” Ilyas menerangkan panjang lebar. “ Kau pula? Memang dapat mengajar di kampung ke?”

“ Tak lah. Aku dapat di sekolah Kluang. Tapi, aku sewa rumah di Kluang. Mak ayah aku tak beri aku berulang hari-hari. Buang minyak dan masa kata mereka. ”
“ Ohh...tak sangka aku jumpa kau hari ni eh? Lepas grad saja, kau tukar nombor semua. Kawan-kawan yang lain pun tak dapat cari kau, ” Ilyas menjeling ke wajah Faezah Hanim yang ada peluh-peluh kecil kerana matahari sudah tegak terpacak waktu itu.
Faezah Hanim hanya senyum dan mengeluh kecil.
‘ Sebab kaulah aku tukar nombor, Ilyas.’

“ Ermm...Nim, kau masih marah dengan aku ke?”
Faezah Hanim menjeling Ilyas dengan ekor matanya.

‘ Hish dia ni. Perlukah tanya perkara tu di tengah-tengah padang hari ni?’

“ Marah apa pula?” Faezah Hanim pura-pura tidak tahu sedangkan peristiwa Ilyas memberi bunga di hari konvokesyen dengan pertanyaan pada sekeping kad itu, masih lagi jelas di ingatannya.
“ Manalah tahu, kau masih marah pada aku,” Ilyas tersengih-sengih. “ Baguslah kalau kau tak marah lagi.”
Faezah Hanim hanya tersenyum. Serba-salah. Matanya memandang ke tengah padang. Cuba memfokus kepada perlawanan yang sedang berlangsung, namun ternyata gagal.
“ Aku dapat rasakan kau marah. Aku harap, kau maafkan aku eh Nim. Aku hormati keputusan kau,” Ilyas masih terus mahu memperkatakan hal yang berlaku pada hari konvokesyen mereka walau sudah hampir lima tahun perkara itu berlaku. Sebagai seorang lelaki budiman, dia merasakan yang dia perlu minta maaf kepada sahabatnya itu.

Inilah Ilyas Kahar. Seorang lelaki yang amat berterus-terang. Memang seorang yang gentleman kata kawan-kawan perempuan yang lain.

Faezah Hanim mengangguk dan memandang Ilyas dengan senyuman.
“ Dah jangan nak lari-lari menyorok lagi, tukar nombor telefon semua. Aku rindu nak main badminton dengan kau, tau!” Ujar jejaka itu sambil berseloroh.
Faezah Hanim juga tergelak kecil.

Iya. Dia akui, dia juga merindui Ilyas. Di UPSI dahulu, mereka adalah pasangan regu badminton yang digeruni. Semua rakan sekuliah sering menyatakan yang mereka itu serasi. Ilyas dan Faezah amat cocok bersama. Namun bagi Faezah, Ilyas hanya sebagai seorang kawan. Tidak lebih dari itu.

Lima tahun dahulu, di majlis konvokesyen mereka di Universiti Perguruan Sultan Idris, Faezah Hanim menerima sejambak bunga mawar merah dari Ilyas. Dia gembira. Gadis mana yang tidak gembira menerima sejambak bunga ros segar. Hampir dua puluh kuntum semuanya. Tersenyum lebar Faezah Hanim. Ibu dan ayahnya juga merasa gembira dengan senyuman yang tidak lekang dari wajah anak gadis mereka.Tetapi, kad yang disertakan dengan jambangan ros merah itu membuatkan Faezah Hanim serba-salah. Timbul perasaan marah. Benci juga ada kerana dia menganggap Ilyas sebagai teman karib yang amat memahami dirinya.

Kad yang dibaca selepas mereka berdua dan rakan-rakan yang lain mengambil foto kenang-kenangan membuatkan wajah Faezah Hanim berubah tiga ratus enam puluh darjah. Wajahnya yang tersenyum ceria, menjadi masam kelat. Dia tidak mahu pertemuan akhir dengan rakan-rakan universiti itu menjadi kenangan pahit, tetapi ayat-ayat yang tertera pada kad pemberian Ilyas benar-benar membuatkan dia terkilan. Oleh kerana pertanyaan yang begitu berterus-terang dari Ilyas itu, Faezah Hanim mengajak ayah dan ibunya pulang sejurus selepas sessi fotografi bersama dengan rakan-rakan kuliah. Walau berbelas pesanan SMS yang Ilyas hantar semasa di dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat, Faezah Hanim tidak mengendahkannya.

Pulang ke rumah, jambangan mawar merah itu, diletakkan di ruang tamu. Kad yang diberi bersama-sama dengan jambangan bunga itu sahaja yang Faezah Hanim ambil. Kad yang bertulis tangan itu, begitu menganggu perasaannya

Hanim, 
tahniah kerana awak berjaya bergelar siswazah dan akan bergelar cikgu tidak lama lagi.
Terima kasih juga kerana menjadi kawan baik saya selama ini J
Terima kasih kerana menjadi teman regu badminton yang terkuat J
Terima kasih kerana mengingatkan saya untuk belajar J
Terima kasih atas segala-galanya J
Cuma Hanim, saya tidak mahu kehilangan awak :-(
Hanim,
sudikah awak menjadi teman istimewa saya? :-/
 I guess, I have falled in love with you my sweet Hanim J

                                                                                    Lots of love,
                                                                                    Ilyas

Faezah Hanim memejamkan matanya rapat-rapat setelah selesai membaca ayat terakhir yang tertulis pada kad itu.
Mana mungkin...mana mungkin dia menerima cinta Ilyas yang selama ini dianggap sebagai seorang kawan? Mana mungkin?
Di dalam hati Faezah Hanim cuma ada seorang lelaki bernama Kamal Arif.

Kalian mampu membuatkan aku ketawa,
kalian buat aku tersenyum
kalian mengisingi kekosongan hati,
Namun aku,
masih lagi rindu dengan
daerah yang meninggalkan parut kecewa
itu...kerana disitu
adalah tanah tumpah
darahku.


                                    Kay, 2006




Tiada ulasan:

Catat Ulasan