DI
RUMAH mereka seperti orang asing. Bercakap tidak, kalau hendak bertanya,
sepatah yang keluar, sepatah yang dijawab. Kenapa hubungan mereka menjadi
dingin? Apa masalahnya? Aleeya memerhati sahaja tingkah laku suaminya dengan
ekor mata. Baru petang tadi suaminya pulang dari kampung. Sepatah dia tidak
bertanya, kenapa lambat. Emak teruk sangat ke? Nadia ikut balik sekali ke? Soalan
lagi. Itulah yang dia pandai. Pandai reka soalan yang tiada jawapan.
“Abang, apa nak jadi dengan kita ni?
Abang buat hal abang, Leya buat hal Leya. Sampai bila? Abang kenapa? Apa dah
jadi?” Akhirnya, dia bersuara juga. Bukan apa, malas nak layan persoalan yang
tiada jawapannya. Dia inginkan jawapan. Itu hak dia.
“Kenapa? Awak tak suka?” Ikmal
mengerling.
“Memanglah Leya tak suka! Leya nak
abang yang dulu, yang ceria, yang penuh dengan kasih dan sayang, bukan macam
ni!” bentak Aleeya. Tidak bermaksud hendak meninggi suara, tetapi dia sudah
tidak mampu mendiamkan diri.
“Abang kan ada ni? Mana abang pergi
mana-mana? Mana ada masalah?” Ikmal mendengus kasar.
“Abang sengaja nak permainkan Leya
ya? Abang dah tak suka dengan Leya ke?” Aleeya menjegilkan mata. Bertikam
pandangan dengan suami sendiri.
“Kenapa cakap macam tu? Abang dah
buat apa dengan Leya?” soal Ikmal. Wajahnya mencuka.
“Abang buat apa? Abang tak tahu ke,
yang abang dah abaikan Leya?”
“Tak pun, abang balik rumah juga. Abang
sediakan makan pakai Leya macam biasa. Apa yang kurang?” Ikmal mendengus kasar.
“Abang nak berbalik dengan bekas
isteri abang tu ke?” jerkah Aleeya sudah hilang kesabarannya. Hendak jaga
tatasusila perempuan Melayu dan Islam sudah melayang pergi. Rasa marah dalam
diri memang tidak berguna langsung. Merosakkan hati naluri seorang perempuan
yang baik budi pekertinya.
“Hai! Dah pandai meninggi suara? Dah
pandai jerkah abang?”
Ikmal menjegilkan mata. Membulat matanya memandang wajah Aleeya.
“Siapa pun akan marah, bang… kalau
dirinya dipersia-siakan. Leya tak pernah melarang abang mendekati anak-anak
abang. Layan mereka sebaik mungkin, sebab itu dah jadi tanggungjawab abang
sebagai ayah mereka. Tapi, bukan sampai mengabaikan Leya!” kata Leya bertegas.
Biarpun
dia tidak suka bertengkar dengan suaminya, kalau boleh memang dia tidak mahu. Tidak
menarik langsung jika asyik bercakaran. Kalau cakar Harimau tidak mengapa,
mengeratkan lagi kasih dan sayang. Ini tidak, cakar musang agaknya. Aleeya
mencebik.
“Awak tu saja terperasan diabaikan. Abang tak rasa pun mengabaikan Leya.” Ikmal berdehem. Layan
orang perempuan bertekak, tujuh hari, tujuh malam takkan habis.
“Hah? Terperasan?” Aleeya mencekak
pinggang. Dia boleh kata aku terperasan? Helo, aku duduk dalam dunia mana ya? Adakah
aku bermimpi?
“Yalah! Dahlah, abang dah mengantuk. Kalau awak
rasa tak puas hati, ikut suka awaklah abang tak pernah abaikan Leya! Faham!” Ikmal terus naik atas
katil dan merebahkan tubuhnya.
Aleeya mengetap bibir. Dia membuka
mulut seluas-luasnya. Cukup tak, nak telan suaminya itu hidup-hidup! Dia
berpusing kiri, berpusing kanan. Mulutnya masih terbuka luas. Eeii! Geramnya!
Boleh buat tak tahu sahaja? Mana boleh macam ini. Kalau nak lepaskan geram dan
marah, kena perang betul-betul. Bukan boleh sikit-sikit. Erk… pukul dengan besi
paip? Berkesan tak? Eeii… mana boleh, nanti jadi kes dera. Terpampang di dada
akhbar, isteri dera suami… siapa itu? Dialah! Tak nak, tak nak! Kalaulah dia menjerit
betul-betul, pasti bergema sehingga ke luar.
Matanya
tepat memandang wajah suaminya yang kononnya sudah pun terlelap. Aleeya
membaling bantal yang berada di tangan. Gedebuk jatuh di tubuh suaminya. Dia tak
sedar? Tak guna! Tak guna!
“Leya kenapa? Main baling-baling
pulak?” jerkah Ikmal.
Aleeya terkejut. Ingatkan tak sedar.
Rupanya sudah bangun. Hmm… ada dia kisah. Aleeya memandang ke arah lain.
“Tidurlah! Esok nak kerja,” marah
Ikmal.
‘Dia marah aku? Abang marah Leya? Sampai
hati abang. Apa salah Leya pada abang? Mahu
sahaja dia menangis dan meraung ketika itu. Apalah punya suami, dia minta
dipujuk pun tak faham-faham juga. Datanglah pujuk! Aleeya menghentak kaki di
lantai, macam budak kecil. Uh! Dia sudah tidur balik? Memang kena pujuk diri sendirilah
nampaknya.
Aleeya
duduk di sofa yang terdapat di dalam bilik tidur itu. Dia memandang sahaja
tubuh suaminya yang sudah mula berdengkur. Sudah betul-betul tidurlah, agaknya.
Aleeya mendekati. Apalah dia nak buat
untuk lepas geram ini. Tidak boleh lawan suami, berdosa. Tidak boleh berkasar,
berdosa. Aleeya mendekati meja solek. Dia menyengih. Lima minit kemudian,
tugasnya selesai. Dia menyengih sendiri. Tubuhnya direbahkan di sebelah
suaminya yang lena. Senyuman masih mekar di bibirnya. Tahulah suaminya esok! Aleeya
memejamkan mata setelah membaca doa tidur dan berzikir dalam hati sehinggalah
dia terlena sendiri.
Azan subuh berkumandang, sayup-sayup
kedengaran di cuping telinganya. Suara yang paling menyakitkan telinganya
adalah…
“Leya!? Buat apa ni?!” jerit Ikmal
dari dalam bilik air.
Terbuntang mata Aleeya. Dia cuba
mengingati semula apa yang telah dia lakukan. Apa yang dia telah buat? Perlahan-lahan
dia tersenyum. Kemudian, ketawa sekuat hati… erk… Cuma dalam hati sahaja tahu,
tak berani ketawa kuat-kuat nanti kena jerkah. Matanya memandang ke arah bilik
air yang masih tertutup. Tiba-tiba muncul seraut wajah yang telah siap
bersolek. Pecah gelak Aleeya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan