Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 15 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 6- SASYA ZAINAL.




Ketukan pintu dari emak membuatkan dia segera membuka mata. Adik mengerling jam loceng di meja tulis hujung katilnya, tepat jam 5.30 pagi. Abang Din masih lagi dengan dengkurannya. Selalunya, memang Adik yang akan mandi dahulu. Diikuti dengan Kasih Alia, adiknya dan kemudian barulah Abang Din. Adik dan Alia rela mandi awal kerana jika Abang Din masuk bilik air terlebih dahulu, maka setengah jam kemudian, barulah dia akan selesai. Jika Abang Din mandi dahulu, maka Adik dan Kasih Ali akan terkocoh-kocoh mandi hingga tidak sempat bersyampu rambut.

Ayah sejak sebelum masuk subuh lagi sudah lama bangkit, mandi dan terus bersiap untuk ke surau. Ayah akan menunaikan solat subuh berjemaah dengan beberapa orang penduduk kampung. Adik mencapai tualanya dan berjalan menuju ke bilik air yang terletak berdekatan dengan dapur. Semerbak aroma nasi lemak yang dibubuh daun pandan dan sambal tumis telur menusuk masuk ke rongga deria bau hidungnya.

“ Mak masak nasi lemak?” tanya Adik sebelum masuk ke bilik air.
“ Haah. Tok Bidin yang pesan semalam. Sudah lama benar dia tidak makan nasi lemak,” jawab Salimah sambil mengesat daun-daun pisang yang di ambil dari pokok pisang belakang rumah mereka.
Walau nasi lemak Salimah bukan untuk dijual namun dia tetap membungkus nasi lemak itu di dalam daun pisang. Nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang akan memberikan aroma yang menyelerakan. Setiap bungkus akan diberi kepada anak-anak dan suaminya untuk dibawa bekal ke sekolah dan tempat kerja.

Seorang demi seorang anak Salimah masuk ke bilik air untuk mandi dan bersedia untuk ke sekolah. Yang terakhir sekali nanti adalah Khalid. Anak bujangnya itu cuma akan masuk ke bilik pada pukul 7.00 pagi.

“ Mah, sudah siap nasi lemak untuk abah dan mak?” suaminya bertanya ketika dia juga sudah sedia untuk ke tempat kerja. Sebelum ke pejabat, Abdul Ghani akan menghantar Kasih Alia ke sekolah terlebih dahulu.
“ Abang hendak hantar sekarang, ke?” Salimah menjeling jam di dinding dapurnya baru menunjukkan jam 6.30 pagi.
“ Haah, hantar sekaranglah. Lepas tu, saya terus hantar Alia. Leceh hendak berpatah balik semula nanti.”
“ Dah, dah siap dah semua. Dalam mangkuk tingkat ni, untuk abah. Dalam mangkuk yang ini, untuk abang. Yang ini pula untuk Alia,” Salimah memberi penerangan kepada suaminya.

Salimah kemudiannya berjalan mengiringi Abdul Ghani ke motorsikal. Dibantu suaminya meletakkan mangkuk bekalan nasi lemak ke dalam bakul motor.
“ Mak, mak bawakan kita punya, banyak tak?” tanya Alia ketika dia menyinsing kain baju kurung birunya untuk menaiki tempat duduk belakang motosikal Honda Boonsiew, milik ayah.
“ Banyakkkkk, sambal tumis telur ada 3 biji mak bekalkan,” Salimah menjawab sambil tersenyum.
“ Badan keding, makan banyak,” Abdul Ghani menyakat anak bongsu kesayangannya.
“ Alaaa, bukan kita makan seoranglah, yah. Kita nak bagi kawan-kawan kita masa rehat nanti,” petah Kasih Alia meningkah kata-kata ayahnya.

Salimah dan Abdul Ghani tersenyum. Walau Kasih Alia baru berumur 7 tahun, namun dia kelihatan seperti anak gadis sunti yang berumur 10 tahun. Petah dan bijak berkata-kata. Mungkin kerana dia amat rapat sekali dengan abangnya, Adik yang sentiasa melayannya berbual. Apa sahaja pertanyaan Alia akan dijawab oleh Adik.

            Salimah masuk ke rumah semula setelah motor suaminya hilang dari pandangan. Dari jauh, dalam 300 meter, kelihatan Sahak dan Ajis membantu anak-anak yang hendak ke sekolah dengan menaiki sampan. Dahulu, ketiga-tiga anak lelakinya juga menaiki sampan untuk ke sekolah. Tambangnya cuma dua puluh sen sehala. Sekarang ini, Kasih Alia akan dihantar ayahnya tiap-tiap hari ke sekolah. Anak gadis suntinya itu, tidak pernah menaiki sampan. Jika adapun, pasti dia ada bersama. Salimah hanya akan menggunakan sampan Sahak atau Ajis untuk ke bandar jika suaminya sibuk dengan urusan lain.Itu pun bukan untuk ke sekolah, tetapi untuk ke Pasar Besar atau untuk ke Jalan Penggaram.

            “ Mak, kita ambil dua bungkus, ya?”
            “ Untuk siapa lagi sebungkus?” tanya Salimah kepada Adik yang sudah lengkap dengan pakaian sekolahnya.
            “ Untuk si lembut lagi satulah,” dengan tidak semena-mena, Khalid muncul di muka pintu dapur ketika Adik ingin memasukkan dua bungkus nasi lemak di dalam beg plastik Adik menjeling tajam abang sulungnya yang hanya memakai singlet Pagoda dan seluar trek. Awal pula Khalid bangun pagi ini.
            “ Hish…apalah kau ni Khalid. Pagi-pagi sudah hendak cari gaduh! Lari rezeki nanti, tau tak? Cepat mandi, sembahyang subuh! Hari-hari subuh gajah, mana rezeki hendak masuk,” leter Salimah kepada anak bujangnya yang sulung. Khalid segera berlalu ke bilik air. Adik masih lagi menjeling tajam abangnya dengan ekor matanya.
            “ Adik hendak bagi Ri, eh?”
            Angguk.
            “ Hmm…memang mak bekalkan Adik dua bungkus. Yang satu ni untuk Ri, sambalnya lebih” Salimah memberikan senyuman kepada anaknya yang sedang masam mencuka. Kemas sahaja pakaian sekolah Adik. Baju kemejanya putih melepak. Dua hari sekali, Adik akan membasuh baju sekolahnya sendiri. Dia akan merendam dahulu baju sekolah dengan klorox semalaman dan kemudian barulah dicuci dengan sabun dan nila biru. Seluar hijau sekolahnya juga digosok rapi. Adik memang amat menjaga ketrampilannya. Sentiasa smart, kata Nora. Macam Tok Bidinnya. Semasa Adik bersalaman dengan emak, haruman wangian Ginvera menusuk masuk ke hidung Salimah. Salimah tahu, anaknya itu memakai haruman wanita. Tetapi, dia dan Abdul Ghani tidak pernah menghalang. Memang sedari kecil, Adik gemar memakai bedak talkum dan wangian miliknya.

            “ Mak, Din punya nasi lemak, mana?” Tiba giliran Kamaruddin memasuki dapur dan bertanyakan bahagiannya pula. Salimah membuat bungkusan yang besar untuk anak lelaki keduanya itu. Badan Kamaruddin memang agak gempal jika dibandingkan dengan Khalid dan Adik.
            Salimah memberikan bungkusan nasi lemak bahagian Kamaruddin yang sudah siap sedia diletakkan di dalam beg plastik. Anak itu tersengih.
            “ Terima kasih, mak,” ujar Kamaruddin sambil menyalam tangan ibunya sebelum berlalu pergi.

            Jam 6.45 pagi, Adik meletakkan dua bungkus nasi lemak, botol air yang berisi air teh O pandan dan sekeping fail di dalam basikal merah miliknya. Beg sandang yang berisi buku-buku sekolah pula diletakkan dibahagian tempat duduk belakang basikal. Diikat beg sandangnya dengan tali pengikat getah. Dia menyorong basikalnya ke tepi jalan yang terletak di hadapan rumah. Dia menanti Johari dan beberapa temannya yang pergi ke sekolah yang sama. Kebanyakkan anak-anak kampungnya bersekolah di Sekolah Menengah Dato Onn ( SMDO) yang terletak di Simpang Lima. Agak jauh juga dari kampung mereka. Oleh sebab itulah, pelajar-pelajar SMDO yang tinggal di Kampung Peserai Pantai, Kampung Bintang dan kampung-kampung yang berdekatan akan keluar rumah seawal 6.45 pagi. Diantara rakan-rakan Adik, cuma Faezah Hanim anak Cikgu Zakiah sahaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim atau nama dahulunya Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) yang terletak di Jalan Kenangan, Batu Pahat. Faezah akan dihantar oleh Cikgu Zakiah menaiki kereta untuk ke sekolah.

            “ Lukaaaa yang tak terasaaa, mengalirrr dalam yang tak berwarnaaa. Bagaiii jeritannn tanpaaa suuuaaraaa. Tangisannnn dalammm ketawaaa, seduuu sedannn menjadiii syair cintaaa.” Dari jauh lagi sudah kedengaran suara Johari. Lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi nyanyian Baggio dari kumpulan Damasutra dinyanyikan sambil kakinya tangkas mengayuh.

            “ Hei kau boleh diam tak, Ri? Kalau hujan sebelum kita sampai sekolah, macam mana?” tegur salah seorang kawan yang sama-sama mengayuh basikal beriringan dengan Johari.
            Adik tersenyum memandang telatah kawan-kawannya yang berbasikal menuju ke arahnya. Ada lebih kurang enam orang kawan sekolahnya yang duduk berdekatan dengan rumah Johari. Mereka semua akan bertolak pada waktu yang sama. Mereka akan sama-sama menunggang basikal ke sekolah.
            “ Alah…suara aku sedap…takkan hujan punya,” jawab Johari membela diri dengan rasa bangga.

            Adik segera menaiki basikalnya. Dia akan mula mengayuh ketika kawan-kawan yang lain melintasi jalan hadapan rumahnya. Tidak kesemuanya berumur empat belas tahun. Ada yang lima belas tahun, ada yang enam belas tahun dan ada juga kawan kepada abangnya Kamaruddin. Ketika Adik mula mengayuh basikal beriringan dengan Johari, abangnya Kamaruddin meluncur laju mengayuh basikal racingnya. Walau Abang Din itu bertubuh agak gempal, namun stamina Abang Din memang bagus. Abang Din menyertai pasukan Kadet Polis sekolah. Tok Bidin memang bangga dengan Abang Din. Abang Din juga seorang pengawas sekolah. Sebab itulah dia perlu segera sampai ke sekolah untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas. Adakalanya Abang Din perlu berkawal di kantin, kadang-kadang Abang Din perlu berkawal di pintu masuk sekolah.

            “ Ri…mak aku bekalkan nasi lemak untuk kau, tau. Kau punya, mak aku lebihkan sambalnya” Adik memberitahu Johari sambil menjuihkan bibirnya menunjukkan nasi lemak yang terletak di dalam bakul basikalnya. Oleh kerana hubungan persahabatan mereka yang terlalu rapat, Salimah tahu yang Johari ini amat suka dengan makanan yang pedas.
            “ Iye ke? Ini yang aku sayang dengan Mak Uda ni,” lebar senyum Johari.
            Mereka meneruskan kayuhan. Melalui kebun pisang Mak Piah, rumah Faezah Hanim dan rumah Pak Khamis drebar teksi.
            “ Ri, kau dah pakai ke baju tu?” Adik bertanya ketika dia berkayuh seiring dengan Johari.
            “ Baju yang mana?”
            “Baju yang kau tunjukkan aku malam kelmarin tu?” tanya Adik ketika dia mengayuh basikalnya beriringan dengan Johari.
            “ Ohhh, baju tu, hmm…belum lagi. Bila masa aku hendak pakai? Emak dengan kakak aku ada di rumah aje. Karang, kalau mak aku nampak, dia kena heart attact kang, macam mana? Kes naya aje,” jawab Johari tersengih-sengih sambil membayangkan dirinya memakai baju yang dibeli di pasar malam kelmarin.

            Dua orang teman itu akhirnya tiba di sekolah ketika jam menunjukkan ke pukul 7.15am. Ketika sampai di tempat basikal, Adik menghulurkan nasi lemak yang dibungkus ibunya kepada Johari. Johari lantas mencium harum aroma nasi lemak yang dibungkus daun pisang itu.
            “Aduhaiii, sedapnya bau nasik lemak ni, Dik…nak aje aku makan sekarang,” Johari memejamkan matanya sambil terus menghidu aroma nasi lemak yang enak.
            “ Heh kau ni! Sabarlah, tunggu waktu rehat nanti,” Adik meningkah.
           
Mereka segera ke kelas mereka. Suasana sekolah sudah mula hangar-bingar dengan pelajar-pelajar yang berbual dan bersenda-gurau. Ketika masuk ke kelas 2 Amanah, tiga orang pelajar perempuan sedang menyapu sampah.

“Ya ALLAH, kenapa kelas kita macam kapal pecah ni?” jerit Johari yang melihat kerusi meja kelasnya yang tunggang langgang. Sampah-sampah juga kelihatan banyak yang diletakkan di dalam bakul sampah.
“Kelas kita jadi tempat tidur budak-budak sekolah yang bertanding dalam bola sepak peringkat daerah,” jawab salah seorang pelajar perempuan.
“Habis mana kawan-kawan lain? Kenapa tidak tolong kau orang kemas kelas? Pemalas benarlah budak-budak kelas kita ni,” rungut Adik sambil segera meletakkan begnya dan mula mengangkat kerusi dan meja yang diletakkan lintang pukang.
“Biarkan budak-budak lain susun kerusi meja dia orang. Kita sapu sampah dan buangkan sampah-sampah. Sekejap lagi perhimpunan dah mula,” seorang lagi teman mereka memberi cadangan.
Kesemua mereka akhirnya bersetuju. Adik dan Johari tidak segera keluar dari kelas. Mereka berdua membantu kawan-kawan yang menyapu itu membuang sampah sarap yang dibuang bersepah-sepah di dalam kelas mereka. Ada kertas tisu, kotak-kotak air minuman dan botol-botol air mineral.

“ Sudah tahu menumpang sekolah orang, jagalah kebersihan! Dia orang ingat kita ni apa? Hamba abdi?” rungut Johari ketika memungut kotak-kotak air minuman yang terletak di atas meja dan kerusi kelas mereka.
“ Inilah budak jantan, pengecah tau! Sama perangai macam Abang Khalid kat rumah tu !” Adik juga mencelah komen Johari.
“Habis, kau orang berdua tu bukan jantan?” tegur salah seorang kawan perempuan mereka yang menyapu sampah.
“Heh …kita jantan special eh, Dik?” Johari membela diri.
“Haah, kita ini jantan terpilih !” Adik menyambung.
“Hish, nak muntah aku dengan budak dua orang ni !” pelajar perempuan tadi mencebik.
“Eh…kalau takde kita dua orang, siapa nak tolong engkau orang semua? Nanti, hendak mengelap kipas, muka aku dengan Ri jugaklah yang kena panjat meja menyapu habuk sawang kelas ni,tau tak !” Bidas Adik.
“Iyalah…engkau berdua memang baik,” teman sekelas mereka akhirnya mengiakan sahaja kenyataan Adik.






Rakan-rakan yang lain hanya tersenyum-senyum sahaja mendengar ketiga-tiga rakan itu membalas kata-kata masing-masing.

            Tepat jam 7.30 pagi, loceng sekolah kedengaran dan semua pelajar berjalan menuju ke padang perhimpunan. Seperti sekolah-sekolah yang lain, setiap hari Isnin, pasti akan ada waktu perhimpunan sekolah. Adik dan Johari berada di dalam barisan yang sama. Mereka berdua memang tidak pernah berenggang. ‘Belangkas’ kata rakan-rakan yang lain. Jika mahu cari Johari, carilah Adik. Jika mahu cari Adik, carilah Johari, mereka memang sentiasa bersama.

            Ucapan Pengetua yang panjang lebar pada pagi Isnin itu membuatkan ramai pelajar yang menguap. Ada yang terangkat-angkat kening menahan ngantok. Adik dan Johari juga menggerak-gerakkan kaki mereka yang kebas kerana sudah berdiri hampir satu jam. Hampir ke pukul 8.45 pagi, barulah Pengetua menghabiskan ucapannya.
Pengetua mahu para pelajar supaya kekal bersemangat untuk belajar. Lebih-lebih lagi para pelajar tingkatan 3, 5 dan 6. Mereka bakal menduduki peperiksaan besar tahun ini. Dalam keluarga Adik, Kamaruddinlah yang akan menduduki SPM. Tetapi Adik yakin, abangnya yang kedua itu bakal membanggakan emak, ayah dan Tok Bidin.

            Pembelajaran berlalu seperti biasa. Adik memang suka dengan hari Isnin kerana ada matapelajaran lukisan dan sejarah. Itulah dua subjek kegemarannya selain bahasa melayu dan bahasa inggeris. Pukul 10.00 pagi pula, loceng rehat berbunyi. Maka suasana sekolah menjadi hingar-bingar semula dengan semua pelajar bergerak menuju ke kantin.

            Johari berlari-lari anak menuju ke kantin. Adik mengekorinya dari belakang. Seingat Adik, sejak dari kecil, Johari ini memang sentiasa berjalan laju. Lebih-lebih lagi jika dia sedang lapar atau hendak menuju ke tempat makan. Walau Johari kuat makan, tetapi tubuhnya tidak gempal, lebih kurang seperti Adik juga.
           
“ Cepatlah, Dik. Aku dah tak sabar nak makan nasi lemak mak kau ni,” Johari sempat menoleh ke arah Adik yang membuka langkahnya besar-besar mengikut Johari.
            Mereka berdua mengambil tempat di salah sebuah kerusi panjang yang tersedia. Ramai pelajar yang masih beratur hendak membeli makanan. Johari dengan segera membuka bungkusan nasi lemak yang dibekalkan oleh Mak Uda, panggilannya kepada Salimah.
            “ Ya ALLAH, sedapnya bau nasi lemak ni…bismillahir rahmanir rahim,” terus sahaja Johari menyuakan sesuap nasi lemak yang sudah digaul dengan sambal ke dalam mulutnya. Adik tersengih melihat Johari yang memejam-mejamkan matanya menikmati keenakan nasi lemak yang ditanak emak.
            “ Cakap dengan mak kau, terima kasih banyak-banyak. Mak kau patut jual nasi lemak laa, Dik. Tak payah kerja dengan Mak Piah lagi. Jual nasi lemak, lagi untung,” Johari memberi cadangan.“Akulah yang jadi pelanggan tetap mak kau tu nanti,“ sambungnya.
            “ Mana sempat mak aku nak berniaga. Hendak urus rumah lagi, hendak urus atok dengan nenek aku lagi,” Adik menerangkan.
            “Haah…nenek kau sakit lagi eh?”
            Angguk.
            “Habis, Sabtu depan, kita hendak ikut Kak Nora, macam mana?”
            “Ikut ajelah macam biasa,” jawab Adik.
            “Habis tu? Kau tak pergi rumah nenek kau?”
            “ Mudah-mudahan nenek aku sudah sihat. Semalam aku pergi pun, demam nenek aku dah kebah,” jelas Adik.
            Johari mengangguk-anggukkan kepalanya,“ Hari ini dapat makan nasi lemak menantu kesayangan dia, confirm Tok Temah sihat!”
            Adik tersenyum.

            Ketika lima minit lagi loceng sekolah dibunyikan menandakan tamatnya waktu rehat, kedengaran unit siaraya berbunyi.
           
“Perhatian kepada semua ahli Persatuan Bulan Sabit Merah, sila berkumpul di kantin pada pukul 1.00 tengahari kerana ada taklimat tentang MSSD. Diulangi, semua ahli Persatuan Bulan Sabit Merah, sila berkumpul di kantin pada pukul 1.00 tengahari kerana ada taklimat tentang MSSD.”
            Johari, Adik dan semua pelajar memasang telinga. Setiap hari, pada pukul 10.20 pagi atau 10.25 pagi, unit siaraya akan menyampaikan pesanan kepada pelajar jika ada perjumpaan, taklimat atau mesyuarat.
            “Perhatian kepada ahli Kelab Zapin. Ahli Kelab Zapin sila berkumpul di dewan sekolah pada pukul 1.00 tengahari kerana ada latihan. Diulangi,  ahli Kelab Zapin, sila berkumpul di dewan sekolah pada pukul 1.00 tengahari kerana ada latihan.”
            “ Astaga, dia orang ni, suka-suka saja hendak buat latihan. Aku tak bawa baju salinan pun,” keluh Johari.
            “ Kau ingat kau seorang saja? Aku pun tak bawa baju salinan. Mesti mengejut ni, kalau tak, takkan cikgu suruh kita buat latihan tiba-tiba,” Adik juga mengeluh seperti Johari.

            Adik dan Johari telah menganggotai kumpulan zapin sekolah ketika mereka berada di tingkatan satu. Kedua sahabat itu juga menjadi ahli Kelab Kebudayaan dan Kesusteraan sekolah. Jika Kamaruddin menjadi ahli Kadet Polis, Adik dan Johari lebih suka menari. Zapin adalah tarian asli dari Johor. Sejak mereka belajar menari zapin, banyak kali juga kelab zapin sekolah mereka diundang untuk membuat persembahan. Adakalanya kelab zapin sekolah mereka diundang untuk membuat persembahan untuk majlis-majlis pembukaan rasmi, hari kemerdekaan ataupun diundang oleh Dato’atau Datin yang membuat majlis persandingan anak mereka.

            Waktu pembelajaran bermula semula pada pukul 10.30 pagi. Selepas waktu rehat adalah matapelajaran yang Adik tunggu-tunggu- subjek seni. Subjek seni di sekolah menengah amat berbeza sekali dengan sekolah rendah. Jika di sekolah rendah, pelajar akan lebih banyak melukis dan mewarna namun di sekolah menengah, pelbagai teknik seni akan dipelajari. Adik gemar sekali ketika guru seninya mengajar teknik melukis batik menggunakan lilin, mengukir menggunakan sabun cap kapak dan membentuk sesuatu menggunakan plaster paris. Waktu seni hanya satu jam sahaja kemudian diikuti dengan dua lagi subjek. Tepat pukul 1.00 tengahari, loceng sekolah dibunyikan tanda tamat persekolah. Suasana sekolah sekali lagi hingar-bingar dengan bunyi kerusi-kerusi yang diterbalikkkan untuk diletakkan di atas meja. Pelajar-pelajar yang duduk berdekatan dengan suis kipas akan menutup suis sebelum pulang.

            Adik dan Johari juga dengan segera memasukkan buku-buku dan alatulis yang ada di atas meja. Mereka berdua perlu segera ke dewan sekolah.
            “ Kau rasa bila agaknya kita kena buat persembahan?” Tanya Johari kepada Adik yang sedang menutup zip beg sandangnya.
            “ Ah kau ni, mana kau tahu kita kena buat persembahan? Sekali cikgu minta kita bayar duit yuran kelab?”
            “Alamak! Duit yuran? Aku takde duit ni. Aku dah buat beli baju tu,” jawab Johari sambil gelabah tidak tentu pasal.
            “Ya ALLAH…aku agak saja. Mungkin cikgu sengaja hendak jumpa kita, bukan hendak buat persembahan ke apa,” Adik menggeleng-gelengkan kepala dengan sahabatnya yang panik tidak semena-mena.
            “Kus semangat…aku ingat, cikgu hendak kumpul duit yuran…aku memang belum bayar dari awal tahun lagi, ” Johari tersengih-sengih.
            “Sudah bulan empat ni, Ri! Kalau tertunggak-tunggak, makin banyak kau kena bayar nanti. Itulah, ada duit, asyik buat beli kaset!” Adik meleteri Johari. Sahabatnya itu hanya tersengih memandangnya menampakkan barisan giginya yang putih melepak.

            Kedua sahabat itu akhirnya meninggalkan kelas mereka di tingkat dua dan menuruni tangga untuk menuju ke dewan sekolah. Ketika melewati kawasan kantin, sudah kelihatan ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah berkumpul untuk mendengar taklimat. Johari dan Adik melangkah pantas untuk ke dewan.
            Beberapa orang ahli kelab zapin sudah siap sedia menanti. Namun kelibat Cikgu Amil dan Cikgu Nurhafizah masih belum kelihatan. Kedua-dua orang guru ini adalah guru pembimbing mereka di dalam tarian zapin.
            “Eh awak…ada latihan ke? Kita tak bawa baju salinan la,” terus sahaja Johari bertanya kepada salah seorang pelajar yang berumur lima belas tahun. Pelajar itu adalah salah seorang ahli jawatankuasa kelab zapin tersebut.
            “ Kalau ada pun, kita mula esok. Hari ini, kita jumpa untuk bincangkan pasal persembahan dan kutipan yuran,” jelas pelajar itu.
            “Gulp,” Johari menelan air liur sambil matanya menjeling Adik.
            Adik  pula tersengih-sengih melihat sahabatnya yang sudah mula berkeringat di dahi.
            “Err, awak…hendak kutip yuran hari ini ke?” pantas Johari bertanya.
            “Kalau bawa duitnya, boleh saja serah pada bendahari. Kalau tidak, esok masa buat buat latihan, awak boleh bawa duitnya,” ternyata pelajar itu tahu yang Johari memang sedari awal tahun belum membayar yuran kelab.
            Johari tersengih.
            “Ri…sok sek sok sek…bayarkan…sok sek sok sek…kau ada duit…sok sek sok sek…kau bayar balik,” Adik membisikkan sesuatu di telinga Johari.
            Johari tersenyum lebar, “Kau memang best in the world!” katanya sambil menunjukkan tanda thumbs up  kepada Adik.
            “Hmmm…cucur udang aku jangan lupa pulak!” pesan Adik.
            “Hehe…beres!”
            Hampir jam lima   mereka menunggu, barulah kelibat Cikgu Amil dan Cikgu Nurhafizah datang ke dewan. Benar telahan mereka, kelab zapin SMDO diminta membuat persembahan untuk acara pembukaan rasmi Majlis Sukan-sukan peringkat Daerah di Stadium Batu Pahat dan latihan persembahan akan bermula esok hari.
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan