Kata putus telah dibuat. Kamaruzaman akan
pulang ke Johor Bahru. Firdaus juga sudah dihubungi menyatakan hajatnya itu.
Namun dia tidak memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Fir di sini sentiasa tunggu abah balik.” Itu kata
Firdaus. Itu kata anak yang bukan dari benihnya!
Kamaruzaman
berangkat pulang tanpa kata maaf dari Muhayat. Malah bayangnya pun tidak nampak
ketika Kamaruzaman meninggalkan halaman rumah itu.
“Tina, tolong jangan
bencikan dia. Tolong sayang dia seperti mana Tina sayangkan dia sebelum abang
hadir di sini,” kata Kamaruzaman kepada Kartina.
“Adham,
saya harap awak tak benci dia. Awaklah yang lebih berhak terhadapnya. Tolong berikan
kasih sayang awak pada dia. Dia perlukan kasih sayang dan perhatian awak. Saya
minta maaf ... ” Kamaruzaman tidak mampu meneruskan kata-katanya. Dengan segera
dia masuk ke dalam kereta yang sudah siap menunggu.
Dia
menoleh, mencari-cari susuk tubuh dan wajah Muhayat. Namun bayangnya tetap tiada.
‘Selamat
tinggal anakku. Maafkan
ayahmu yang serba daif ini. Kalau panjang umur,
kita jumpa lagi. Kalau ALLAH tak izinkan kita jumpa, abah dah ampunkan semua
perbuatan dan kata-katamu. Tinggallah anakku... hiduplah dengan aman ...’ bisik
Kamaruzaman dalam hati. Titik-titik air mata menjurai jatuh walau cuba ditahan!
Mursyid
memandu dengan perlahan menuju ke stesen bas. Sepanjang jalan itu tidak sepatah
kata yang mampu terucap oleh kedua-duanya. Masing-masing melayan perasaan sayu
dan lara.
“Abah,
tolong maafkan abang saya,” kata Mursyid ketika menghantar Kamaruzaman ke pintu
bas.
“Kenapa Syid cakap macam tu? Dia tu anak
abah. Walaupun kami baru saja bertemu namun abah sayang dia sepenuh hati,” kata
Kamaruzaman dengan senyum terpaksa. Dia menarik tubuh Mursyid dan memeluknya
erat. Sungguh tulus kasih sayang Mursyid kepada abangnya Muhayat. Kamaruzaman
rasa kagum dengan kasih sayang itu.
“Tolong jaga abang kamu, demi abah,”
bisik Kamaruzaman ke telinga Mursyid. Kemudian dia melepaskan pelukannya dan
melangkah naik ke dalam bas tanpa menoleh lagi. Dia tidak mahu Mursyid yang
baik itu melihat air matanya. Air mata seorang ayah yang tersisih dari kasih
anaknya!
Sepanjang jalan,
sepicing pun Kamaruzaman tidak tidur. Sekejap pun wajah Muhayat tidak hilang
dari pandangan matanya. Dia teringin memeluk anak itu walau hanya sekali. Dia
ingin mengatakan sayang kepada Muhayat. Dia ingin Muhayat tahu bahawa walaupun
dia tidak menjaga Muhayat, kasih sayangnya tetap ada di sudut nubari.
Aduhai anak!
SUDAH sebulan
Kamaruzaman pulang dari Ipoh. Sejak itu dia banyak menghabiskan masanya di
bilik bacaan. Dia membaca dan terus membaca. Dia cuba menyibukkan diri. Seolah-olah
dia sedang berusaha mengubati luka hatinya dengan cara itu. Apa yang berlaku,
langsung tidak diberitahu kepada Firdaus dan Zurie. Dia menyimpan dengan baik
dalam hatinya.
Namun, Firdaus
mampu mencium ketidaksempurnaan perasaan Kamaruzaman.
“Abah, apa yang
abah cuba sembunyikan dari kami sebenarnya.”
“Kenapa Fir tanya
macam tu?”
“Abah,
Fir dah lama hidup dengan abah. Sejak kecil lagi Fir dapat menyelami perasaan
abah. Pasti ada yang berlaku di sana hingga abah berkeadaan macam ni.”
“Fir,
abah tak apa-apa. Abah biasa saja.” Kamaruzaman berbohong.
“Bibir
abah boleh berkata dusta tapi mata hati kami tidak akan berkata bohong,” ujar
Firdaus.
Kamaruzaman
terkedu. Sebenarnya dia bukan hendak berahsia tentang apa yang berlaku di Ipoh.
Dia hanya rasa malu dengan aib yang dikatakan oleh Muhayat. Lebih-lebih lagi
yang meraguinya adalah anaknya sendiri. Sungguh, dia tidak melakukan aib itu.
Demi ALLAH, dia bukan lelaki yang rakus dan tidak berperasaan. Kebaikan Ahmad
Adham memang tidak akan sekali-kali dikhianati!
“Tak
apalah kalau abah tak nak cerita. Tapi abah tolong jangan ikutkan perasaan
hingga memudaratkan diri sendiri. Fir tak sanggup nak tengok abah dalam keadaan
sedih dan muram,” kata Firdaus sambil memeluk tubuh Kamaruzaman dengan
ketulusan seorang anak.
Akhirnya
Kamaruzaman berusaha untuk mengubati sendiri luka dan kesedihannya.
Rupa-rupanya ia bukan mudah. Kemelaratan jiwanya membuatkan Kamaruzaman semakin
lemah dan tidak berdaya. Awalnya dia hanya demam biasa. Namun kemudian demamnya
tidak kebah hingga berhari-hari.
Hal itu membuatkan
Firdaus dan Zurie begitu cemas dan bimbang.
“Kita
kena hantar abah ke hospital. Kita tak boleh biarkan dia dalam keadaan ini,
bang,” kata Zurie dengan wajah belas.
Firdaus
setuju dengan usul Zurie. Dia tidak berlengah lagi. Kamaruzaman segera dihantar
ke hospital. Dan seperti yang diduga, dia akhirnya ditahan di wad. Keadaannya memang
sangat lemah. Tekanan darah sangat rendah. Denyutan jantung sangat lemah.
“Kita
kena beritahu bang. Muhayat itu anak abah juga. Dia nak datang atau tidak, itu
bukan urusan kita. Tugas kita ialah menyampaikan berita ini kepada dia,”
kata Zurie.
Sekali
lagi Firdaus rasa usul Zurie itu betul dan dia bersetuju. Dengan segera, dia menelefon
Ahmad Adham. Semuanya dikhabarkan.
“Bagaimana
keadaan dia, Fir?” Suara Ahmad Adham gementar dan panik.
“Dia
sangat lemah. Demamnya tak kebah sejak dua tiga hari ni.”
Ahmad
Adham mendengar dengan gundah. Suara Firdaus sangat menggamit keinginannya
untuk segera menziarahi Kamaruzaman.
“Terima
kasih Fir. Insya-ALLAH, kami akan segera ke sana,” kata Ahmad Adham memberi
janji. Dengan segera pula perkhabaran itu disampaikan kepada Kartina.
“Kita mesti segera ke sana, Tina.
Abang mesti jumpa Zaman. Kasihan dia.”
“Tapi,
abang sendiri sedang uzur. Bagaimana kita nak ke sana?” tanya Kartina dengan
ragu-ragu. Sejak kejadian hari itu, nampaknya bukan hanya Kamaruzaman yang tertekan.
Ahmad Adham ikut tertekan. Kartina juga hidup dalam kemurungan.
“Minta
Mursyid hantarkan kita ke Johor. Atau… atau kita cuba ajak Muhayat,” kata Ahmad
Adham.
“Mahukah
dia pergi? Benci benar dia kepada abahnya itu,” kata Kartina bernada kesal.
“Cubalah. Mana tahu dah lembut hatinya.”
Kartina akur. Dia
segera menelefon Muhayat. Tidak salah untuk mencuba walaupun sebenarnya dia
sendiri keberatan.
“Abah Zaman sakit
di hospital. Marilah kita pergi JB, menziarahi dia.” Kartina cuba
berlembut. Semua rasa sakit selama ini dilupakan seketika.
“Ibu,
Hayat tak boleh pergi. Ada banyak kerja di ofis,” jawab Muhayat, tegas.
“Kerja
boleh ditangguh, Hayat. Kita tak tahu urusan ALLAH. Mana tahu masanya dah
sampai.”
“Kalau
ibu nak pergi, ibu pergilah dengan abah.”
“Masalahnya,
abah kamu kurang sihat.”
“Kalau
macam tu, buat apa nak paksa diri? Tengok diri kita dulu sebelum nak tengok
diri orang lain” Suara Muhayat tiba-tiba meninggi.
Sakit
hati Kartina yang belum sembuh itu, berdenyut-denyut kesakitan. Luka yang masih
merah menyembur darahnya. Ia lebih sakit dari biasa. Bisanya meracuni darah
yang mengalir dalam tubuh Kartina.
Tidak
apa yang mampu dibuat untuk meredakan kesakitan itu melainkan menangis. Lalu air mata
seorang ibu menitis tanpa dapat ditunda lagi. Dengan pantas talian diputuskan. Telinganya
tidak sanggup lagi dia mendengar suara Muhayat. Suara yang dahulu menyenangkan
halwa telinganya kini menjadi petir yang menyambar dan menyakitkan.
“Kalau dia tak nak
pergi, tak apalah. Tina tak usah nak menangis. Abang lebih hiba tengok air mata
Tina,” kata Ahmad Adham sambil mengesat air mata Kartina.
“Sampai
hati dia …” rintih Kartina sambil teresak.
Ahmad
Adham mengerti apa yang sedang ditangisi isterinya. Lalu dia segera menarik
tubuh itu ke dalam pelukannya.
“Kita
tetap akan pergi walau tanpa dia. Diamlah. Jangan bazirkan air mata kerana dia.
Lebih baik kita menangis kerana rindukan ALLAH,” bisik Ahmad Adham ke telinga
Kartina.
Hati
seorang ibu memang sedang tercalar luka. Namun, Kartina tetap mendoakan
kesejahteraan Muhayat. Dia tetap berharap agar ALLAH menentukan sesuatu yang
baik untuk anaknya itu.
Selepas
berbincang dengan Mursyid, akhirnya dia bersetuju untuk memandu ke Johor Bahru
memandangkan Ahmad Adham tidak mahu menaiki kapal terbang.
“Lebih
baik kita naik kereta sebab abah tak payah banyak berjalan. Tak mengapa kalau
kita lambat sampai, asalkan abah rasa selesa dan dapat bertemu Abah Zaman,”
kata Ahmad Adham kepada Mursyid.
“Kalau
macam tu, baiklah abah. Mursyid akan hantar abah ke sana. Selagi Mursyid ada,
abah dan ibu akan sampai ke mana sahaja. Asal jangan minta nak ke bulan,” jawab
Mursyid dengan ketawa. Dia cuba meredakan suasana. Juga melegakan perasaan ibu
dan ayahnya.
“Abah
pun tak nak pergi ke bulan. Abah gayat,” jawab Ahmad Adham ikut ketawa.
Gurau
senda dua beranak itu langsung tidak menjentik hati Kartina untuk ketawa.
Sungguh dia berduka hati dengan sikap Muhayat. Mereka sampai ke Hospital Sultan Ismail
ketika hari hampir malam. Lantaran keletihan, mereka terus bermalam di hotel.
“Abah berehatlah
dulu. Esok baru kita melawat Abah Zaman di hospital. Syid dah telefon Abang
Firdaus. Dia kata abah dalam keadaan stabil,” kata Mursyid.
“Terima kasih
kerana Syid faham perasaan kami. Abah bangga dengan Syid,” kata Ahmad Adham.
Dia jujur. Dalam hatinya ada segumpal rasa ketika melihat kesungguhan Mursyid
menguruskan perjalanan mereka ke Johor Bahru terutama ketika dia menelefon
Firdaus.
Walaupun belum
pernah saling mengenali, mereka mampu berbual mesra!
“Abah, Syid juga
sayangkan Abah Zaman tu. Dia tu baik. Hanya Abang Hayat yang tak berikan dia
peluang untuk mencurahkan kasih sayangnya.”
“Kita
doakan hati abang kamu berubah ya,” kata Ahmad Adham.
Mursyid
angguk.
“Sebenarnya
abang tu suka dengar cakap orang tak usul periksa. Abah tahu siapa yang
sebarkan fitnah busuk tu?” tanya Mursyid.
“Siapa?”
“Mak
usu. Dialah yang canangkan cerita yang bukan-bukan mengenai Abah Zaman.”
“Mana Syid tahu. Jangan Syid pulak nak
buat fitnah. Takkan begitu jahat mulut mak usu kamu tu? Lagipun, apa salah Abah
Zaman pada dia?” Ahmad Adham menoleh dengan wajah keliru.
“Abah, ini bukan
fitnah. Untie Hariza yang beritahu Syid yang mak usu ada telefon dia dan cerita
macam-macam mengenai ibu dan Abah Zaman. Takkan Untie Hariza nak
bohong. Abah pun kenal, dia tu macam mana.”
Ahmad
Adham termenung. Hariza adalah jiran mereka. Sudah berpuluh tahun hidup
berjiran tidak pernah ada masalah dengannya. Hariza adalah wanita contoh untuk
taman itu. Dia bukan sahaja seorang guru pencen tetapi seorang yang sangat
aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
Ahmad
Adham tahu Rosni memang tidak sukakan Kartina. Sejak awal berkahwin
pun, memang Rosni sudah mula menunjukkan tanda benci. Namun dia tidak percaya
kalau adiknya itu sanggup menabur fitnah. Sedangkan fitnah itu, dosanya sama
dengan membunuh. Apa yang tidak difahaminya, apa salah Kartina kepada Rosni
selama ini. Kenapa Rosni benci sangat hingga sanggup memfitnah begitu?
“Mak
usu tu memang cemburukan keluarga kita, abah.”
“Nak
cemburu kenapa? Dia ada semuanya malah hartanya mungkin lebih banyak dari kita.
Anak-anaknya semua berjaya. Bisnesnya juga begitu. Apa lagi yang dia tak puas
hati dengan kita?” Ahmad Adham semakin keliru dengan sikap Rosni.
“Abah,
dia cemburukan kebahagiaan kita. Dia mungkin kaya tapi dia tak bahagia. Dia
mungkin berjaya tapi dia tak gembira,” balas Mursyid, bersahaja.
Ahmad Adham terkesima
dengan kata-kata Mursyid. Untuk pertama kali dia mendengar ungkapan kata-kata
yang begitu matang dari Mursyid. Dan dia mengakui kebenarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan