AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 9 April 2016

BAHASA JIWA BANGSA



Bahasa jiwa bangsa.  Kita mengenali sesuatu bangsa itu dengan bahasa.  Kita bertutur pun menggunakan bahasa.  Negara ini bernama Malaysia, peratus penduduknya berbangsa Melayu. Penduduk asalnya juga berbangsa Melayu dan  bercakap menggunakan Bahasa Melayu.  Dalam  Bahasa Melayu ada dailek,  ada 14 buah negeri, ada berbelas-belas malah berpuluh bahasa dailek.  Itu belum termasuk bahasa asing yang ada di negara ini.  Kepelbagaian kaum melahirkan rumpun bahasa yang pelbagai juga. 

Bahasa kebangsaan negara ini BAHASA MELAYU, BAHASA MALAYSIA.  Sedekat ini, kita bagaikan hilang jati diri, kita bagaikan hilang halatuju dalam memartabatkan bahasa kita sendiri.  Sampai pelajaran Sains dan Matematik pun hendak diajar dalam dwi bahasa. Kenapa?  Kononnya agar anak-anak bangsa pandai berbahasa  Inggeris.  Betulkah?  Teringat zaman persekolah saya dahulu.  Waktu sekolah rendah, dalah darjah dua.  Guru BI saya seorang berbangsa India.  Setiap hari ada kelas BI, setiap minggu dia akan mengadakan kelas spelling.   10 perkataan seminggu.  Saya menjadi pandai BI hanya dengan belajar spelling dan mengetahui maknanya.  Naik tingkatan satu saya tiada masalah dalam pembelajaran BI. 

Melihat poster untuk membantah penggunaan dwi bahasa dalam pembelajaran di sekolah membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri.  Saya berada di negara mana sebenarnya?  Kenapa kita tidak boleh mengekalkan BM dalam pembelajaran? Tidak kisahlah apapun alasan.  Kalau hendak para pelajar pandan berbahasa Inggeris, ajar mereka pertuturan, galakkan mereka bertutur dalam bahasa tersebut. Usah diubah apa yang sedia ada. 

Apakah ilmu yang kita perolehi di luar negara maka kita mengubah jati diri kita?  Kita menjadi bangsa yang hilang identiti.   Kita gadaikan maruah dan harga bahasa kita hanya kerana ingin dilihat hebat di mata negara luar. Hebatkah kita?  Hebat bercakap bahasa bercampur aduk, sudah seperti rojak petis.  Kita ubah tajuk novel kepada BI campur BM, alahai negaraku.  Apa sudah jadi dengan diri kita sebenarnya?  Kenapa kita sukar hendak mengubah keadaan yang dibawa oleh bangsa penjajah?  Kita belajar di luar negara, biarlah kita bawa balik ilmunya. Jika Jepun, Korea, Perancis bangga dengan bahasa mereka? Kenapa kita tidak menjadi seperti itu?  Adakah mereka kurang maju? Adakah mereka tertinggal dalam arus pembangunan? Adakah mereka menjadi negara miskin?  Tidak bukan? 
JIka bukan kita yang menjaga nilai, maruah dan harga diri bahasa kita sendiri. Siapa agak-agaknya yang akan menjaganya? Orang Amerika?  Orang Jepun?   Marilah kita sama-sama kembalilah semangat cintakan bahasa kita sendiri.  Marilah kita kembalikan kegemilangan bahasa kita.  Bukan menambah burukkan keadaan.  Semuanya kita nak rojaknya.  Baik dalam buku sehingga kepada tajuk sesebuah buku.  Tidak cantik lagikah bahasa kita? Tidak indahkah  makna dan perkataannya? 

Kita mengemis bahasa kita sendiri di negara kita sendiri?  Jika masa boleh dipusing kembali, saya inginkan sebuah negara yang rakyatnya tinggi nilai budaya bangsa sendiri.  Bukan seperti hari ini.  Kecintaan kita kepada bahasa kita sendiri semakin hari semakin pupus.  Semakin dipandang sepi.  Semakin dipinggirkan.  Adakah Bahasa Malaysia hanya untuk orang kampung? 

Diharap penggunaan dwi bahasa dalam pembelajaran tidak diteruskan.  Hanya kepada pemimpin kita, saya berharap kekalkan identiti sendiri. Sesuatu bangsa itu akan hilang jika hilang bahasanya.  Adakah kita ingin menjadi bangsa yang hilang identitinya? Kepada para cendiakawan yang budiman, kepada para novelis, penerbit yang  budiman kembalikanlah semangat BAHASA JIWA BANGSA dalam diri kita. Kekalkan identiti kita. Kekalkan BAHASA MELAYU sebagai bahasa pengantar. Biarlah semangat cintakan bahasa terus mekar dan subur di hati setiap rakyat negara ini.  Tidak kira apa pun bangsa.  Malaysia negara harmoni, biarlah BAHASA MALAYSIA terus menyatukan kita.

No comments:

Post a Comment