Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label ADUH PENING!. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ADUH PENING!. Papar semua catatan

Isnin, 24 April 2017

BAGAIMANA ADUH, PENING! DIREKA.



            Seorang penulis, jika mendengar cerita, dia tidak akan duduk sahaja, pasti idea mula bermain-main difikiran.  Begitu juga saya, ketika mendengar cerita seorang kawan tentang perkahwinannya yang dilanda badai.  Akal sudah mula menari-nari, kebetulan sedang mencari intipati novel ketiga.  Aduhai, pucuk dicita ulam mendatang, bukanlah hendak ambil keseluruhan cerita, tetapi sebagai asas untuk saya mula menulis cerita terkini untuk manuskrip terbaharu saya.

            Kisah apa ya?  Apalah yang saya hendak tuliskan?  Kawan saya itu ada masalah rumah tangga, suaminya sudah mula gila talak.  Orang lelaki gila talak, biasalah.  Kalau saya buat kisah rumahtangga juga, tetapi perempuan yang gila talak? Bagaimana agaknya ya?  Mulalah akal saya menyimpul jalan cerita. 
            Kisah seorang perempuan beranak lima gila talak dengan bekas suaminya yang sudahpun berkahwin lagi.  Itulah mula langkahnya bagaimana saya  mendapat idea menulis cerita untuk naskah ADUH, PENING!  Saya  sendiri yang menulisnya juga pening.  Bukan mudah untuk saya menulis sebuah kisah yang jarang-jarang berlaku, biarpun ada.  Ketika menulis satu cerita, para penulis bukan sahaja untuk mencari keseronokkan atau memberi kegembiraan berganda kepada para pembacanya tetapi juga ingin menurunkan nasihat buat para pembaca atau masyarakat di luar sana, jangan mudah untuk melafazkan cerai, apatah lagi ada anak-anak yang masih memerlukan belaian manja ayah dan ibu.
            Hati kita sakit, terus minta cerai, memang mudah.  Tetapi, lihatlah wajah-wajah kecil yang berada di sisi kita.  Apa nasib mereka? Hidup tanya kasih sayang seorang ayah atau ibu.  Kita? Mudahlah, sudah lepas beban di kepala lantaran sikap dan perangai yang menyakit pasangan kita sudah tidak lagi terlihat di mata. Kita sudah mampu menarik nafas lega.  Tetapi anak-anak? Pernahkan kita tanya akan perasaan mereka?    
       
            Itulah yang ingin saya sampaikan di dalam ADUH, PENING! Jika rumahtangga menghadapi masalah, cubalah selesaikan dengan baik.  Bersengketa, bermasam muka, perkara biasa dalam rumahtangga, tetapi janganlah sampai bercerai berai.  Jika ada cara untuk berdamai, usahakanlah.  Kasihanilah anak-anak.  Apapun yang ingin kita lakukan, tolonglah fikirkan masa hadapan anak-anak.  Sebagai seorang penulis, tiada satu pun karya yang ditulis tidak diselitkan pengajaran buat para pembaca di luar sana.  Tidak sedikit banyak, pasti ada.


Selasa, 19 Julai 2016

ADUH, PENING! - BAB 50 - ASMAH HASHIM



MAK JEHA menyambut kedatangan Nadia dan anak-anaknya dengan wajah gembira. Tetamu datang, perlulah disambut. Bukankah tetamu yang datang membawa rezeki? Kebetulan Nadia datang sewaktu dia sedang menyediakan makanan tengah hari, bolehlah dijamukan pada tetamu. Kebetulan suaminya, Haji Mansor ke bandar ada urusan kerja. Tinggalkan dia sendirian di rumah.
          “Saya datang ni bawa hajat, mak cik.” Nadia memulakan bicara. Sesekali matanya menyinggah pada anak-anak yang duduk di sisinya, berhimpit mereka berenam.
            “Hajat? Hajat apa, Nadia?” tanya Mak Jeha kehairanan.
            “Nadia nak minta tolong mak cik pujuk Aleeya agar benarkan Ikmal bernikah semula dengan Nadia, demi anak-anak, mak cik...” pinta Nadia tanpa rasa segan. Buat apa segan dan malu? Bukan dia minta kahwin dengan lelaki bujang, tetapi dengan bekas suaminya sendiri, salah ke? Kalau ada yang tidak setuju, duduk diam-diam! Ini soal keluarga dia, soal masa depan anak-anaknya.
            “Hah?” Mak Jeha terkejut. Dia menekup mulut. Dia ingatkan masalah sudah selesai. Pernah Aleeya memberitahunya, tapi dia buat tak faham dan tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga anak menantunya. Nanti dikata jadi penyibuk pula. Aleeya pula tidak kata apa-apa pun tentang Nadia dan Ikmal. Kehadiran Nadia tengah hari ini membawa ceritanya sendiri.
            “Mak cik janganlah terkejut. Saya nak minta tolong ni, kasihankan anak-anak saya, mereka perlukan ayah mereka,” rayu Nadia.
            “Kenapa minta tolong dengan mak cik? Berbincanglah dengan Ikmal.” Mak Jeha mengerut dahi. Hairan benar dia dengan sikap Nadia. Kenapa datang ke mari? Kenapa minta tolong daripadanya? Kenapa tidak jumpa Ikmal terus.
            “Sebab dah bincanglah saya minta tolong dengan mak cik. Dia tak nak berbaik dengan saya kembali. Dia nak hidup bersama Aleeya aje. Saya dan anak-anak macam mana? Kalau dia tak fikirkan saya pun, fikirkan anak-anak kami ni.”
            “Kalau dia tak nak, takkan mak cik mampu pujuk dia?” Mak Jeha mengeluh berat.
            “Tolonglah mak cik, saya rayu sangat-sangat ni,” kata Nadia dengan penuh mengharap.
            “ALLAH! Mak cik nak buat macam mana, Nadia?” Mak Jeha serba salah. Ini melibatkan rumah tangga anak menantunya juga. Ikmal adalah suami anaknya. Berani Nadia datang bertemu dengannya.
            “Kenapa Nadia buat macam ni? Apa pula kata Aleeya nanti?” Mak Jeha kurang senang dengan tindakan Nadia. Bagaimana dengan rumah tangga anak menantunya? Takkan dia nak tengok anak perempuannya dimadukan? Rasanya Aleeya tidak mngkin bersetuju.
            “Demi masa depan anak-anak saya, mak cik... cubalah mak cik tengok mereka. Anak saya ramai, mana ada lelaki yang sudi menjaga mereka? Saya tak sanggup tengok mereka membesar tanpa seorang ayah,” luah Nadia dengan mata berkaca.
            “Kenapa dulu tak nak fikir semua ni? Dah bercerai baru nak fikir? Tak pasal-pasal orang lain menjadi mangsa sama,” bebel Mak Jeha.
            “Saya minta tolong dengan mak cik pujuk menantu mak cik tu berbalik dengan saya, bukan suruh marah saya.” Nadia kurang senang dengan teguran Mak Jeha.
            “Mak cik bukan marah, tapi Nadia kena fikirkan juga nasib anak perempuan mak cik. Jangan fikir diri sendiri aje,” bentak Mak Jeha.
            “Saya datang secara baik, mak cik... bukan suruh mak cik bentak-bentak saya,” kata Nadia agak marah.
            “Mak cik takkan bantu Nadia. Biarlah Ikmal buat keputusannya sendiri. Mak cik tak nak masuk campur urusan rumah tangga mereka,” jelas Mak cik Jeha. Bukan urusannya. Lagipun untuk apa? Kalau Aleeya tidak mahu dimadukan, bagaimana? Takkanlah dia nak suruh Aleeya dan Ikmal bercerai pula? Mustahil! Dia tidak akan membiarkan rumah tangga anaknya runtuh begitu sahaja.
            “Mak cik tak kasihan ke dengan anak-anak saya?”
            “Kalau kau fikirkan anak-anak kau, kau tak mintak cerai dulu. Kenapa baru sekarang kau nak fikir? Kau nak susahkan hidup orang lain ke?”
            “Susahlah nak cakap dengan mak cik ni. Saya minta tolong aje, bukan suruh nasihat saya semula. Saya tahulah salah saya… tolonglah mak cik,” rayu Nadia tidak berputus asa.
            “Pergilah balik, Nadia! Mak cik kena fikirkan juga masa depan anak mak cik.” Mak Jeha mendengus kasar.
            “Mak cik!” Nadia hampa. Dia mengeluh kesal. Wajah anak-anak dipandang seketika.
            “Nenek, tolonglah… bantulah kami dapatkan ayah kami kembali,” rayu along memohon simpati.
            “Along, bukan nenek tak nak tolong. Kenapa along tak nak cuba hidup dengan Ibu Leya, mungkin along dan adik-adik boleh serasi dengan dia.  Along sepatutnya beri peluang pada ibu Leya agar menjadi seorang ibu yang baik untuk kau orang, bukan menjauhkan diri daripadanya,” jelas Mak Jeha. Wajah cucu-cucu tirinya dipandang seorang demi seorang. Mereka masih kecil lagi, apalah yang mereka tahu.
            “Sepatutnya, Nadia benarkan mereka mengenali Aleeya, bukan memburukkan anak mak cik tu. Itukan tak bagus? Aleeya juga ibu mereka, biar pun bukan Aleeya yang melahirkan mereka. Takkan itu pun Nadia tak faham. Aleeya punya hak untuk bersama anak-anak tirinya. Berilah dia peluang untuk menjadi seorang ibu yang baik pada mereka,” kata Mak Cik Jeha. Dia berharap Nadia lembut hati membenarkan Aleeya hidup bersama anak-anak tirinya. Bukan Aleeya tidak sayang, tetapi tidak pernah diberi peluang.
            “Langkah mayat saya dulu! Mereka anak-anak saya! Tak semudah itu saya nak beri pada orang lain,” tolak Nadia.
            “Bukan orang lain, ibu mereka juga!”
            “Maafkan saya, mak cik!” Nadia mendengus kasar.
            “Maafkan mak cik juga. Tak mungkin mak cik menghancurkan rumah tangga anak mak cik sendiri. Nadia pandai-pandailah pujuk Ikmal. Mak cik takkan masuk campur!”
            “Mak cik kejam!” kata Nadia. Air mata berjujuran mengalir. Dia sebak. Harapannya tinggi sewaktu dia melangkah ke rumah itu. Dia sanggup memandu jauh demi merealisasikan impiannya dan anak-anak untuk kembali ke pangkuan Ikmal. Harapannya kini hanyalah bekas mertuanya. Dia berharap mereka berjaya memujuk Ikmal untuk kembali bersamanya.
            “Pergilah balik! Mak cik tak nak berlaku kejam pada anak mak cik sendiri,” luah Mak Jeha.
            “Uh!” Nadia mendengus berat. Dia menarik tangan anak-anaknya keluar dari rumah itu. Hatinya bernanar pilu. Bertalu-talu rasa kesal terlahir di hatinya. Resah memikirkan masa depan anak-anaknya. Kesilapan masa lalu yang meranapkan kehidupannya sendiri. Air matanya mengalir laju. Rasa sebak di dada menekan berat di hati. Sesal mula bersarang di jiwa. Kekesalan yang tiada penghujungnya. Harapannya berpaut kepada bekas mertuanya. Semoga mereka berjaya memujuk Ikmal. Semoga impian dan harapan anak-anaknya termakbul. Semoga dia dapat menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan.

Isnin, 18 Julai 2016

ADUH, PENING - BAB 49 - ASMAH HASHIM




HAJI RAUB dan Hajah Hanizah terkedu seketika. Apa pula halnya ini? Apa yang Nadia dan cucu-cucunya inginkan sehingga sanggup datang ke rumah tiba-tiba? Wajah mereka muram, macam ada masalah yang bertandang. Nadia pula bagaikan orang sedang berduka, suram, muram langsung tidak ceria. Apa yang sudah berlaku? Adakah Ikmal tidak menghulurkan duit belanja kepada anak-anaknya?
            Kipas berputar laju, menyejukkan tubuh yang sedang panas membara. Hati yang panas tidak semudah itu nak disejukkan. Haji Raub membuka kopiahnya dan diletakkan di atas meja kopi di hadapannya. Dia mengeluh berat. Masalah anak menantunya ini tidak pernah selesai.
            “Nadia nak ayah dan emak pujuk Abang Ikmal agar berbalik dengan Nadia. Tolonglah mak, ayah,” rayu Nadia dengan pandangan penuh mengharap.
            “Kenapa Nadia tak tanya Ikmal sendiri? Kenapa tanya emak dan ayah?” soal Hajah Hanizah.
            “Abang Ikmal menolak, mak!” Nadia menunduk. Puas dia memujuk Ikmal, lelaki itu tetap berdegil dan masih dengan keputusannya. Langsung tidak mahu berganjak.
            “Kalau Ikmal tak setuju, apa yang harus mak dan ayah lakukan?” Haji Raub mengeluh.
            “Cuba mak dan ayah pandang wajah cucu-cucu mak dan ayah, tak kasihan ke kat mereka?” kata Nadia.
            Haji Raub memandang wajah cucu-cucunya, lima orang semuanya.
            “Siapa yang nak kahwin dengan Nadia? Janda anak lima mak, ayah.”
            Hajah Hanizah memandang wajah suaminya yang duduk di sisi. Betullah kata Nadia. Mana ada lelaki yang sanggup berkahwin dengan janda yang ada lima orang anak. Kalau ada pun, belum tentu mahu bela kesemuanya.
            “Mak pun tak tahu nak cakap apa, Nadia. Ikmal tahu kau datang ke sini?” Hajah Hanizah memandang wajah bekas menantunya itu. Hubungan antara mereka tidak akan putus sehingga ke akhir hayat.
            Nadia menggeleng. Mana mungkin dia memberitahu Ikmal dia pulang ke kampung, mahu dimarahi oleh Ikmal kalau dia tahu.
            Hajah Hanizah mengeluh. “Mak nak pujuk macam mana lagi? Nadia bukan tak kenal Ikmal, kalau dia dah kata tak nak, tak naklah. Tak guna dipaksa.”
            “Tolonglah mak, Nadia rayu… Nadia dah tak tahu nak buat apa. Anak-anak terus memaksa. Mereka tak mahu ayah tiri, mereka nak Ikmal juga,” luah Nadia. Wajah anak-anak dipandang seorang demi seorang. Hiba menghantui diri. Ini bukan cerita dongengan. Anak-anak memang nak Ikmal berbalik dengannya. Keputusan semua. Bukan keputusan dia seorang.
            “Atuk, nek… tolonglah pujuk ayah,” sampuk along yang sejak tadi hanya mendengar butir bicara mamanya dengan datuk dan nenek.
            “ALLAH!” Haji Raub bersandar di sofa. Matanya berkaca melihat wajah cucu-cucunya. Berat! Memang berat masalah yang menimpa. Bukan mudah menyelesaikannya.
            “Ya tok, nek… kami nak ayah dan mama kembali bersama. Kami tak nak hidup tanpa ayah. Malu tau, nek. Kawan-kawan selalu ejek kami tak ada ayah!” sambung angah pula.
            “Ya ALLAH! Cucu-cucuku...” Hajah Hanizah sebak. Tidak mampu memandang wajah cucu-cucunya. Mereka tertekan juga rupa-rupanya.
            “Nadia nak anak-anak hidup ada keluarga sempurna mak, ayah. Bukan untuk diri Nadia, tapi untuk anak-anak,” pinta Nadia.
            “Itulah... waktu bertengkar dan minta cerai, kalian berdua tak fikirkan hal anak-anak. Pentingkan diri sendiri aje. Bila dah jadi macam ni, siapa yang susah? Anak-anak juga yang menjadi mangsa,” tempelak Haji Raub.
Orang dewasa selalu buat keputusan ikut nafsu. Bila tak suka, tergores hati sedikit, mulalah cerai meniti di bibir. Pasangan muda hari ini, jarang sangat hendak berbincang jika ada masalah. Hanya tahu ikut rasa hati sendiri, langsung tidak mahu fikirkan masa depan anak-anak. Bila sudah sejuk, sudah boleh berfikir, barulah nak berbaik semula. Waktu itu mungkin semuanya sudah terlambat.
            “Mak dan ayah dah dengar sendiri, kan? Bukan Nadia ajar mereka pun, mereka dah tanya Ikmal berkali-kali, masih tak ada jawapan,” luah Nadia.
            Haji Raub dan Hajah Hanizah saling memandang. Pening juga jadinya ini. Masalah, masalah!
            “Nantilah, kami cuba bercakap dengan Ikmal,” kata Haji Raub. Betul juga, cucu-cucunya perlukan seorang ayah. Mereka masih kecil, masih memerlukan bimbingan seorang ayah. Ikmal tidak boleh lepas tangan. Ini tanggungjawabnya sebagai ayah mereka.
            “Terima kasih, ayah,” ucap Nadia sambil tersenyum bahagia. Semoga usahanya ini akan berhasil. Anak-anak pula sudi membantu. Dia memandang wajah anak-anaknya dan mengenyitkan mata. Semoga ada cahaya gembira di penghujung cerita.
            “Kalau Ikmal setuju nak berbalik semula, Nadia sanggup ke bermadu?” tanya Hajah Hanizahh. Dia tidak mahu menantunya lupa yang Ikmal sudah ada isteri lain.
            Nadia terdiam seketika. Mahukah dia?
            “Kalau boleh, Nadia tak nak berkongsi Abang Ikmal dengan sesiapa, tapi jika sudah ditakdirkan Nadia terpaksa berkongsi dengan perempuan lain, apa yang mampu Nadia buat lagi?” ujar Nadia. Kalau boleh, dia mahu Ikmal ceraikan Aleeya. Dia tidak sanggup berkongsi suami. Tidak mungkin!
            “Kalau boleh berkongsi, mudahlah jalan ceritanya. Masalahnya, jika tak mahu berkongsi. Pening juga jadinya,” kata Hajah Hanizah lagi.
            Nadia hanya tersenyum. Aleeya Aneesa, perempuan itu harus disingkirkan. Dia tidak mahu perempuan itu menjadi penghalang kebahagiaannya. Kau tunggulah, Aleeya. Jangan ingat aku nak diamkan sahaja kau rampas kebahagiaan anak-anak aku! bentak Nadia dalam hati.
Wajah bekas mertuanya dipandang seketika, lalu dilakarkan sekuntum senyuman paling manis. Maafkan Nadia mak, ayah... tidak mungkin Nadia berkongsi kasih dengan perempuan lain, bisik hati kecilnya. Dia bukan seorang yang mampu mengawal rasa cemburu. Dia juga bukan seorang yang ikhlas dalam semua perkara.  Ikmal hanya untuknya dan anak-anak sahaja. Muktamad. Aleeya Aneesa selamat jalan!
            Sekali lagi Haji Raub memandang wajah cucu-cucunya yang ceria semula, begitu juga bekas menantunya. Kepalanya masih ligat berfikir, memikirkan cara untuk memujuk Ikmal agar kembali pada Nadia dan anak-anaknya. Mahukah anaknya itu? Itu persoalan yang sudah mula berlegar di kotak fikirannya. Kalau Ikmal setuju, selesai masalah. Bagaimana jika Ikmal menolak? Haru-biru jadinya. Bagaimana pula dengan Aleeya menantunya itu? Bolehkah Aleeya menerima keputusan Ikmal nanti? Aduhai! Peninglah kalau macam ini!