Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 2 Ogos 2019

BAGAIMANA MENAMBAH ILMU BANTU DALAM KARYA?

 Dalam sebuah buku, selain menyajikan kisah yang pelbagai, kita sewajarnya memasukkan satu ilmu lain dalam karya kita.

Contoh:

Watak utama adalah seorang arkitek. Apa yang perlu pembaca tahu tentang dunia seorang arkitek? Bagaimana ingin menjadi arkitek? Apa kelulusan yang melayakkan watak menjadi seorang arkitek? Bagaimana cara kerja seorang arkitek?

Caranya:

Anisah sudah lama bercita-cita ingin menjadi seorang arkitek. Setelah habis SPM,dengan kelulusan 6A1, dia mendapat A untuk subjek Matematik tambahan, Sains, B. English, Geografi, Lukisan Visual dan B. Malaysia melayakkan dia menyambung pelajarannya di universiti tempatan dalam bidang Seni Bina.

Setelah masuk universiti, dia perlu menghabiskan masa sekurang-kurangnya lima tahun hanya untuk belajar sebelum melayakkan dia digelar seorang arkitek. Tiga tahun pertama dia perlu mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Bina dan mengikuti peperiksaan dengan Lembaga Arkitek Malaysia, setelah lulus, sekali lagi menyambung pelajaran Ijazah Sarjana pula dan lulus peperiksaan dengan Lembaga Arkitek Malaysia, barulah dia bergelar Arkitek bertauliah.
Kalau ingin gelaran 'Ir' di hadapan namanya sebagai arkitek profesional, ambil Master dalam bidang Seni Bina dan menduduki peperiksaan khas, setelah lulus, barulah dia boleh digelar Ir Anisah.
Selama ini Anisah fikir, menjadi seorang arkitek hanya perlu tahu melukis gambar bangunan di atas kertas. Rupanya tugasan yang diamanahkan lebih daripada itu. Dia perlu tahu, bagaimana hendak melakar sebuah bangunan dengan harga yang rendah tetapi bermutu. Begitulah caranya. Mungkin bukan diletakkan dalam satu bab, boleh dipecah-pecahkan mengikut kesesuaian jalan cerita.

Penulis perlu bijak menyusun agar pembaca tidak bosan membacanya dan tidaklah seperti membaca buku ilmiah. Wahai adik-adik manis, Bercerita watak kita bekerja sebagai itu, ini, begitu begini akan lebih nampak kecerdikan dan kita buat kerja apabila memasukkan bagaimana seseorang itu bekerja, dan pembaca kita yang tidak tahu akan cara kerja satu-satu jawatan itu akan lebih memahami dan manalah tahu ilmu yang mereka perolehi boleh diguna pakai dalam kehidupan. Bukankah kita ingin menjadi penulis yang bermanfaat kepada masyarakat? Mulakan langkah yang terbaik untuk menjadi yang bermutu. Selamat menulis!

MENULISLAH DENGAN HATI...

Saya ada juga baca karya-karya penulis muda di Wattpad. Ya, ada yang bagus penulisannya. Ada yang main tangkap muat, asalkan boleh tulis. Banyak sangat kesalahan dan teknik penulisan. Bagi sesetengah penulis, memang tidak ambil kisah. Tetapi, percayalah, penulisan kita adalah cermin diri kita.

Wahai penulis yang bijaksana. Dalam buku kita, kita sebenarnya menjadi 'pendidik' tanpa kita sedar. Mendidik, mengajar, apa yang manusia tidak tahu. Kalau kita memberi cerita, mengajar sesuatu yang salah, maka salahlah juga apa yang ingin diketahui oleh pembaca.

Adik-adik, dunia penulisan bukan dunia mengejar populariti, tetapi dunia yang penuh tanggungjawab menjaga imej sebagai seorang penulis. Menjaga adab dan akhlak, menjaga kehormatan Bahasa Kebangsaan, adat dan budaya.

Penulis itu, bersih jiwanya.
Penulis itu bijak orangnya.
Penulis itu tenang hatinya.
Penulis itu cinta kepada Bahasa Ibunda.

Sebelum mahu dan ingin menjadi penulis, belajarlah teknik menulis yang sebenar. Bukan main hentam kromo, tidak tahu hujung pangkal cara menulis. Dalam tidak sedar, kau sedang 'membunuh' industri ini dengan menghasilkan karya yang cacat segala-galanya.

PENULIS MASA HADAPAN?


Bukan semua orang mampu menjadi penulis yang mempunyai idea seperti penulis-penulis lama yang idea atau penulisan mereka menjangkau zaman. Orang seni berkarya, bukan sahaja kerana ingin mencari duit, tetapi kerana bakat anugerah Ilahi yang ada dalam diri.
Adakalanya, sentuhan mereka menjadi. Ada masa, tiada apa-apa kesan kepada pembaca. Karya yang baik mampu mengubah minda pembaca lebih terbuka, terarah dan bijaksana jauh lebih baik daripada penulis itu sendiri. membijakan mereka yang sudah sedia bijak.
Seperti seorang guru, mendidik, mengajar dan membimbing anak-anak muridnya sehingga menjadi jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Begitu juga seorang penulis. Dunia imaginasi yang dianugerahkan, bukan suatu yang sia-sia, pasti ada sebabnya. Namun, ramai yang menggunakannya hanya ingin mencari keuntungan dunia semata-mata.

Tidak salah menulis karya ringan. Buya Hamka juga menulis karya ringan, cinta , seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah. Cerita yang tidak lapuk ditelan zaman dan bukunya masih dibaca sehingga ke hari ini. Tulislah kisah cinta apapun, tetapi, biarlah cinta yang mampu memberi kekuatan fizikal dan rohani sebaik sahaja habis membaca.
Kita mahu menjadi penulis yang bagaimana? Yang kekal 'hidup' karya-karyanya sehingga kiamat atau hanya ujud setahun dua, kemudian dilupakan?

Wahai adik-adik semua, penulis itu melakar masa depan sebuah kehidupan. Penulis itu melukis kisah yang bakal terjadi di masa depan. Penulis itu menjadi mata-mata kepada pembaca. Penulis itu orang yang memberi peringatan kepada manusia di luar sana agar berhati-hati menjalani kehidupan. Ya penulis adalah mereka yang sentiasa memberi amaran demi amaran agar kehidupan manusia tidak menjadi sia-sia.

Tepuk dada, tanya selera, penulis bagaimanakah kita hari ini?