Ain
memerhatikan sahaja tingkahlaku Rose dari kejauhan. Sukar benar dia nak berbaik dengan gadis
hitam itu. Bertambah-tambah kebencian
menebal di hati. Kalau ikut hati
marahnya, mahu sahaja dihunus pedang panjang, biar tercabut keluar semua urat
dan nadi gadis itu. Biar hilang ditelan tanah.
Tidak bernyawa lagi. Tidak
bernafas lagi. Kalau bernyawa dan
bernafas pun hanya membuatkan hati orang tidak selesa, buat apa? Kejadian hujung minggu hari itu masih bermain
di benaknya. Masih terbayang kegembiraan di wajah yang dibencinya itu.
Ain melangkah keluar dari keretanya
dan mendekati Rose yang sedang mengemas kawasan restoran. Dia menolak Rose sehingga hampir
terjatuh. Tangan diangkat mula nak
menampar gadis itu. Belum sempat Ain buat apa-apa, satu tangan sasa sudah
menghalang tujuan tidak baiknya itu.
“Amboi! Amboi! Berani ya?” kata lelaki itu. Dahinya berkerut,
renungannya tajam. Tangannya tegap.
“Lepaslah!” marah Ain.
Terhalang maksudnya nak mengerjakan Rose yang sudah berdiri di
hadapannya. Mereka saling memandang
antara satu sama lain.
“Kau nak buat apa ni? Nak sepak
teman wanita aku?” marah lelaki
itu.
“Teman wanita?!” jawab Rose dan Ain serentak.
Rose memandang lelaki itu tidak
berkelip. Kejap, kejap… dia tidak
bermimpi, pagi tadi dia bangun seperti biasa. Datang ke tempat kerja seperti
biasa. Buat kerja pun seperti
biasa. Bila pula dia jadi teman wanita
kepada lelaki ini? Siapa pula lelaki
ini? Kacak, mampu menawan mana-mana
wanita yang melihatnya. Dia jadi teman
wanita lelaki ini? Lelaki ini pasti
silap tengok. Tidak tengok
dirinyakah? Pelik, pelik… leter Rose
dalam hati. Masih tidak hilang rasa terkejutnya.
Ain mengerut dahi. Biar betul?
Punyalah kacak jadi teman lelaki gadis hitam legam ini? Ini mesti kena bayar, kalau tidak, tak
mungkin lelaki sekacak ini memilih gadis seperti Rose. Tidak mungkin! Jerit Ain
dalam hati. Boleh mati terkejut.
“Awak kenapa? Macam tengok hantu aje?” lelaki itu menarik Rose dekat dengannya.
Terkebil-kebil Rose mengikut. Aduhai… mimpi apakah ini? Kata hati kecil Rose.
“Hey, jantan. Awak tengok sikit muka dia ni? Gadis hitam legam macam ni awak jadikan teman wanita? Awak buta warna ke?” sindir Ain geram.
“Kenapa? Apa masalah awak? ikut suka sayalah,” marah lelaki itu.
“Saya tak percaya! Berapa dia bayar
kat awak untuk jadi teman lelaki dia?” tempelak Ain geram.
“Bayar? Uhuhuh… ingat saya spesis gigolo ke apa?”
tengking lelaki itu.
“Manalah tau!zaman sekarang orang
nak duit, sanggup buat apa saja.” Ain
mencebik.
“Jaga sikit mulut tu, kang
berterabur gigi tu saya kerjakan!” ugut
lelaki itu.
Rose tidak berkutik berdiri
memerhatikan lelaki yang tidak dikenali dan Ain saling bertikam lidah. Nasib baik lidah, kalau parang, pasti ada yang menemui ajal. Macam kena gam sahaja
seluruh tubuhnya. Sebenarnya akibat terkejut, kejung terus.
“Cubalah, kalau berani!” Ain mencabar.
“Eee… perempuan tak sedar
diri!” Lelaki itu nak menyerang Ain.
Rose menarik tangan lelaki itu. Bukan sebab nak menghalang tetapi takut
berlaku pembunuhan di dalam restoran itu.
“Kalau nak bergaduh, pergilah tempat
lain,” kata Rose macam orang bingung.
“Awak!” kata lelaki itu manja-manja.
Hah!
Rose mengerut dahi. Biar betul? Pening lalat sekejap.
“Eee… nak muntah aku!” Ain buat muka meloya.
“Nak muntah sangat, pergi main
jauh-jauh. Ini pesanan saya, jangan awak ganggu bakal tunang saya ni! Kalau
awak berani apa-apakan dia, awak terpaksa berhadapan dengan saya!” ugut lelaki itu berani.
“Ada aku hairan!” lawan Ain.
Sedikit dia tidak rasa hairan.
“Awak jangan cabar saya! Saya bukan
dayus suka pukul perempuan!” Lelaki itu
mencebik pula.
Beberapa orang pekerja sudah
mengelilingi ketiga-tiga mereka. Nasib
baik Maznah tiada, kalau tidak bertambah kecoh jadinya. Rose mengurut dada.
“Ain, pergilah balik! Jangan ganggu
saya lagi,” pinta Rose.
“Kau jangan ganggu tunang aku!
Faham!” amaran Ain keras. Jari telunjuk
tepat berada berhampiran mata Rose.
“Hoi!” Lelaki itu sudah menggenggam penumbuk.
“Ini hari kau…!” Ain berlalu dengan
hati yang berbukit-bukit marah. Tidak
dapat melepaskan rasa marahnya terhadap gadis hitam itu. Ada pula yang datang membantu, siap mengaku
teman lelaki dan bakal tunang! Uhuhu… tak sesuai langsung!
***
Rose memandang lelaki itu atas bawah,
bawah ke atas. Datang dari mana lelaki
ini? Pandai-pandai mengaku teman lelaki dan bakal tunangnya. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia mengamuk sama. Memang sudah menyusahkan dirinya. Ikut suka hati sahaja buat pengakuan. Ingat dia alat permAinn? Kalaulah Ain berita Mak Limah CNN itu,
mahu malu besar dirinya.
“Awak ni siapa? Awak nak malukan
saya ya? Awak tahu perempuan tu siapa?
Jiran merangkap rakan sekolah saya! Perbuatan awak bukan membantu saya,
malah menjahanamkan saya, faham!” marah Rose.
Kenapalah dia menjadi manusia mudah marah sejak dibuang kerja. Kenapalah
ramai sangat yang datang mengganggunya sejak akhir-akhir ini. Kenapa mereka
tidak membiarkan dia hidup aman damai seperti orang lain. Kenapa dia?
Ain tidak sudah-sudah datang menyerangnya. Ini muncul pula seorang lagi makhluk yang
entah datang dari mana?
“Erk… saya niat nak tolong awak aje,” kata lelaki itu terkebil-kebil dimarahi Rose.
“Tolong? Itu bukan tolong, tapi
menyusahkan!” Hampir air matanya
mengalir keluar. Dia mula
mundar-mandir. Sedang berfikir bagaimana
nak menapis berita besar yang bakal tersebar.
“Awak risau sangat tu kenapa? Cuba bawa saya air untuk menghilangkan dahaga
yang sedang memuncak di tekak saya ni,” kata lelaki itu selamba dan terus duduk
di kerusi.
“Air! Air ludah nak?” marah Rose.
Masalah yang baharu saja timbul masih belum selesai, ditambah adegan baharu
pula.
“Oit! Garangnya, ucap terima kasih
tidak, tahu-tahu nak marah pula. Saya
dah selamatkan awak dari kena lempang tau.
Ucapkanlah terima kasih dulu.”
“Banyak awak punya terima kasih.
Awak sedar tak, awak baharu saja membunuh saya dalam senyap!” tengking Rose.
“Hah?” Lelaki itu terkejut. Biar betul, dia sekadar membantu, tidaklah
terfikir sampai nak membunuh. Salah terjah agaknya.
“Pelayan!” panggil lelaki itu
melambai kepada salah seorang pekerja yang berdiri tidak jauh dari situ, masih
memerhatikan kedua-dua manusia yang bertengkar tanpa sebab itu.
“Ya encik?” tanya pelayan lelaki itu
lembut dan penuh hormat.
“Jus oren satu, air kosong satu,”
pesannya.
Pelayan lelaki itu mengangguk dan
berlalu pergi.
Rose masih lagi kebingungan. Apa
yang harus dia lakukan. Malu keluarganya nanti jika berita itu tersebar. Kalau kedua orang tuanya bertanya, bagaimana?
Takkan nak beritahu, baharu sahaja putus hubungan. Nampak sangat dia menipu.
Lelaki yang duduk di hadapannya rasa nak ditelan hidup-hidup. Bikin hidupnya
susah sahaja.
“Awak! peninglah kepala saya. Kalau besar sangat pun masalah awak tu, bukan
tak boleh diselesaikan. Bawalah
bertenang. Nanti kita fikirkan bagaimana
nak selesaikan masalah awak tu, ya?” pujuk lelaki itu.
Rose memandang wajah lelaki itu
tidak berkelip. Sedapnya bercakap. Entah
datang dari planet mana terus terjah mengaku teman lelakilah, bakal
tunanglah. Lepas tu suruh
bertenang? Banyak kacak dia punya muka!
Erk... memang kacak pun. Perasanlah,
kalau puji berhadapan. Rose mendengus
kasar.
Air yang dipesan sudah pun sampai.
Lelaki itu mengamit Rose duduk.
“Cubalah bawa bertenang. Awak mengelabah sampai tercabut ekor pun tak
boleh buat apa-apa. Sudah terlajak kata.”
“Senanglah awak cakap! Saya yang
menjadi mangsa tau!”
Rose mengetap bibir. Kena mula buat skrip untuk menangkis segala
tohmahan yang bakal diterimanya nanti.
Kena teliti setiap butir bicaranya jika bercakap dengan kedua orang
tuanya. Memang menyusahkan. Rose
mengeluh berat. Seberat kepalanya ketika
itu. Wajah lelaki yang duduk di
hadapannya di pandang sambil menggeleng penuh kekesalan.