Zaheer mungkin hodoh. Namun dia tidak bodoh,
kalau itu yang Nazatul fikirkan. Melepaskan Nazatul seumpama menempah set tali
gantung. Nazatul, isterinya. Hakikat, isteri memang mengetahui rahsia suami.
“Lepaskan
kau? Supaya mudah kau lapor pada polis?
Kau ingat aku bodoh ke, Naz? Mimpilah
kau!” Zaheer menolak tubuh Nazatul yang tadinya duduk dengan kuat. Hampir Nazatul
tersembam semula di dada katil.
Pastilah jika Nazatul lepas bebas, perempuan
itu akan membuat laporan polis. Dia boleh sahaja menamatkan riwayat isterinya,
bila-bila masa sahaja. Namun dia punya agenda yang lebih besar daripada itu.
“Jangan
harap!!!” Zaheer menambah lagi. Kedua-dua belah telinga Nazatul diramasnya.
Panas nafas Nazatul beradu menentang kulit muka Zaheer. Kemudian ditolaknya
Nazatul kasar hingga Nazatul perempuan cengkung itu jatuh terlentang. Sejak
akhir-akhir ini dia seakan-akan menikmati kemenangan abadi saat dapat
menyakitkan Nazatul. Emosi dan fizikal. Tangannya mula meraba tubuh isterinya.
Dia ketawa.
“Kurus… tak selera aku tengok. Nak jual pun
tak laku,” ejek Zaheer.
“Aku
tidak pernah reda tubuhku kau sentuh! Aku tak pernah reda. Aku akan tuntut di
Padang Mahsyar!!” jerit Nazatul.
“Kau
ingat aku teringin ke? Dah berapa ratus jantan kau layan? Kalau aku nak pegang
atau sentuh pun, kau boleh buat apa?” marah Zaheer.
Dia menyepak pinggan tadi hingga bertaburan nasi
dan ikan goreng di lantai. Rambut panjang berkerakah isterinya disentak tanpa
belas. Nazatul terjerit. Dia tersenyum sumbing. Kepala Nazatul ditunjal-tunjal.
“Kau
tahu tak? Aku tahu kat mana rumah kau tu. Aku tahu Zara ada kat siiiituuuuu.”
Zaheer mencebik. Pipinya yang licin digaru. ‘Muka cari makan’ miliknya itu
memang dipupuk dan dibelai. Amat berguna sebagai jaring memerangkap anak ikan
sunti.
“Kau jangan usik anak aku!” Nazatul menggila.
Rasa mahu diludahnya dengan kahak wajah lelaki gila itu.
“Kalau aku jual dia mahu laku beribu ringgit
tu. Kalau tidak kerana kau, dah lama aku jual dia!”
“Kau boleh buat apa aje pada aku, Zaheer.
Tapi kau jangan sentuh Zara. Zara anak aku!” Nazatul menjerit dan
menendang-nendang. Zaheer mengundur.
“Kerana kau usaha aku gagal! Kau tahu tak, Naz.
Aku akan jadi jutawan. Kau dengan rumah kau tu takkan dapat halang aku,” kata Zaheer
angkuh.
“Jutawan?
Apa ertinya duit yang kau dapat? Kau buat kerja haram, kau jual anak dara
orang, anak kau sendiri pun kau sanggup gadaikan. Isteri sendiri kau lacurkan!
Kau memang bajingan! ALLAH laknat perbuatan kau!” Air matanya mengalir laju.
Tanpa Rabeta yang beria-ia hendak
menyelamatkan Zara dulu, sudah tentu masa hadapan anaknya telah lama musnah.
Lelaki itu langsung tidak ada perasaan belas ehsan terhadap darah dagingnya
sendiri. Terkadang dia terfikir, orang tuanya sudah dipukau sewaktu menerima
pinangan Zaheer dahulu.
“Sayang
abang… janganlah marah. Isteri yang baik, kena bantu suami dia….baru boleh
masuk syurga.” Zaheer menggelegakkan tawa.
“Kau
syaitan Zaheer!!”
Zaheer, tanpa perasaan terus ketawa
berdekah-dekah. “Nasib baik kau kurus kering. Dah tak cantik, kalau tidak sampai
sekarang kau kena kerja untuk aku.”
“Zara tu anak kau. Darah daging kau…”Nazatul
bersuara kesal.
“Dalam bisnes, keluarga, kasih, sayang
semuanya tolak tepi. Hanya ada duit. Duit dan duit. Faham! Kau faham tak?” Zaheer
kerasukan. Ketawa dan melompat-lompat.
“Kenapa
kau buat aku macam ni? Lepaskanlah aku, Zaheer. Kalau kau ada sedikit perasaan
belas kasihan!” rayu Nazatul. Dia tidak akan berputus asa.
“Kau
ni pekak badak, agaknya. Kau akan mati di sini, perlahan-lahan. Dalam makanan
kau tu aku letak dadah. Lama-lama kau akan ketagih dan pop! Otak kau akan
meletup….”
“Bangsat kau, Zaheer!”
“Tak mahu. Tak mahu cakap begitu pada
suami…berdosa tau.” Zaheer berdecit-decit. Kepala digelengnya. Telunjuk
digoyang. Pandangan dipicing pada Nazatul tanpa belas kasihan.
“Lepaskan aku!!!”
“Itulah degil sangat, tak nak dengar
cakap. Kau biarkan anak kau lari, lepas
itu kau bawa lari perempuan-perempuan aku. Kau jahanamkan bisnes aku. Kau ingat
semudah itu aku nak lepaskan kau?” Zaheer mencubit kedua belah pipi Nazatul.
Sekuat-kuat hati hingga Nazatul menjerit kesakitan.
“Aku doakan kau mati celik, Zaheer!” sumpah
Nazatul.
“Aku doakan kau tak mati-mati supaya kau
boleh saksikan macam mana aku hancurkan orang-orang yang kau sayang, satu
persatu!” Zaheer mengenggam jemarinya satu persatu sebelum tapak kasut kulitnya
menerajang tubuh kurus keding itu. Nazatul jatuh tergolek di atas lantai yang
sama kotor dengan hati Zaheer.
***
Rabeta
yang baru keluar dari pejabat, berhenti menapak. Matanya menghala ke arah
sebuah kereta yang baru sahaja dipandu masuk ke perkarangan Rumah Ikatan Kasih.
Banglo yang terletak di dalam kawasan seluas satu ekar itu telah diubahsuai
oleh Nazatul. Maka tertubuhkan RIKA atau Rumah Ikatan Kasih.
Sebuah bangunan dua tingkat juga telah dibina
bagi menempatkan asrama dan dewan kuliah. Bangunan pejabat pula berhadapan
dengan bangunan dua tingkat itu. Mudah
untuk memantau penghuni yang ada. Lebih-lebih lagi, jumlah penghuni sentiasa bertambah.
Dia berjalan mendekati Proton Iswara hitam
yang telahpun diparkir di tempat letak kereta pelawat. Tersenyum, dia menunggu
pemilik kereta itu keluar dari perut kereta.
“Apa
mimpi datang hari ini, inspektor?” sapa Rabeta usai menjawab salam pemilik
kenderaan itu. Wajah lelaki yang tua beberapa tahun daripadanya itu dipandang
sekali imbas. Bertubuh sasa, selayaknya sebagai seorang anggota polis.
“Mimpikan
awaklah,” usik Fakhrul, senyuman dilakar buat Rabeta. Dia mendekati perempuan yang sudah dua tahun
dikenalinya. Mereka berjalan seiringan menuju ke pondok wakaf yang terletak
tidak berapa jauh dari bangunan pejabat.
“Amboi!
Mimpi saya jadi hantu ke?” Rabeta ketawa senang. Lelaki itu sering menceriakan
suasana. Walaupun wajahnya tampak serius tetapi pandai berjenaka.
“Buruk sangat agaknya orang di
sebelah saya ni, sampai dalam mimpi pun jadi hantu?” Fakhrul ketawa.
Rabeta
hanya tersenyum. Mereka duduk di kerusi batu yang tersusun kemas di wakaf yang
sering menjadi tempat Rabeta dan penghuni pusat itu berehat dan berbual santai
sesama mereka.
“Inspektor
dah jumpa Kak Naz? Ada apa-apa berita tentang dia?” tanya Rabeta. Cerianya
mati. Dia mengeluh. Mengenangkan sahabatnya itu membuatkan hatinya risau. Dia
memandang wajah Inspektor Fakhrul tidak berkelip. Mengharapkan sangat kehadiran
lelaki itu membawa berita gembira.
“Masih
belum apa-apa berita lagi, Eta. Orang-orang saya sedang berusaha mendapatkan
maklumat tentang Kak Naz. Kita sama-samalah berdoa, semoga kita dapat bertemu dengannya
semula.”
“Dah
setahun, inspektor. Saya bimbang jika Kak Naz tidak sempat diselamatkan.” Rasa
hiba menghentak hatinya. Bagaimanalah keadaan Nazatul sekarang ini? Entahkah hidup, entahkan tidak.
“Eta
jangan bimbang. Dapat saja berita tentang Kak Naz, saya akan terus beritahu
Eta,” janji Fakhrul. Wajah kerisauan Rabeta mengusik hatinya. Sayang benar Rabeta kepada Nazatul.
“Harapan
saya begitulah, inspektor.”
Rabeta
tidak mahu berputus asa. Dia amat pasti, Nazatul masih berada di Kuala
Lumpur. Kehilangan sahabatnya itu sudah
lama dilaporkan kepada pihak polis. Tidak mungkin Zaheer membawa Nazatul keluar
dari negara ini. Sahabatnya itu masih berada di dalam negara. Cuma tidak tahu
berada di mana.
Rumah
lama mereka sudah tidak berpenghuni, malah sudah dijual kepada orang lain. Oleh sebab itu pencarian mereka semakin
sukar. Tidak mungkin Nazatul disorokkan di rumah pelacuran yang dikendalikan Zaheer
dan konco-konconya.
“Keadaan
di sini bagaimana? Syarikat Ikatan Kasih
pula bagaimana? Ada masalah tak?” tanya Fakhrul ramah.
Setelah mengambilalih pengurusan pusat itu,
Rabeta memberanikan diri menubuhkan syarikat pembekal pekerja tempatan.
Bagaimanapun dia hanya menumpu kepada sektor tertentu yang memerlukan pekerja
seperti buruh kasar, pembantu rumah, pembantu restoran, tukang masak dan
pengawal keselamatan. Jika ada kilang yang memerlukan pekerja pun dia akan
berusaha dapatkan.
“Alhamdulillah, berkat kerjasama dengan pihak
penjara. Syarikat tidak pernah kekurangan tenaga kerja. Mana yang dirasakan
sesuai untuk bekerja di sektor yang telah kita pilih, mereka akan diserapkan ke
situ.”
“Bakeri pulak, macam mana? Tak menang tangan
nampaknya, Eta.” Inspektor Fakhrul memandang wajah Rabeta yang tenang.
“Bakeri kita pun dah mendapat sambutan. Saya
bercadang nak buka nurseri pulak…” cerita Rabeta dan cadangannya untuk masa
hadapan.
Kelihatan sukar tetapi enteng. Dia hanya
perlu bekerja keras. Sering turun padang, membantu apa yang perlu. Menerjah
rumah-rumah pelacuran dan kelab-kelab malam, lorong-lorong sempit,
mendekati mereka yang ingin mengubah
kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.
“Eta asyik selesaikan masalah orang, masalah
sendiri bagaimana? Dah cari anak-anak Eta?” tanya Fakhrul.
Rabeta seperti tersentak. Siang malam dia hanya memikirkan hal orang lain. Hal sendiri
tidak pernah dapat diselesaikan. Bohonglah kalau Rabeta katakan dia tidak
merindui mereka.