Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label TRAVELOG UMRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TRAVELOG UMRAH. Papar semua catatan

Ahad, 15 Oktober 2017

ZIARAH MADINAH



            Kami bertolak ke Madinah  usai solat zohor.  Bas yang dinaiki bergerak laju, jalan yang dilalui, lurus sepanjang empat jam perjalanan.  Berhenti di satu kawasan seperti R&R,  kami dijamu dengan  nasi arab seusai solat asar.  Seronok bukan main kami.  Makanannya enak, harganya juga murah.  Paling penting ada yang belanja.  Terima kasih Pihak Andalusia.
            Perjalanan diteruskan, melalui kawasan padang pasir yang luas. Berbukit bukit.  Tanah tandus di kiri kanan kami.  Mata tidak mahu terlelap, kalau tertidur, apa lagi yang boleh dilihat.  Bukan mudah datang ke tanah Arab itu.  Perlukan ongkos yang banyak.  Nanti tidur di hotel sahajalah.  Sepanjang perjalanan kami beberapa kali terlihat kereta berhenti di bahu jalan yang sunyi dan sepi itu, mereka berhenti untuk solat maghrib, bukan ada tempat berhenti pun, hanya tanah tandus dan berpasir.  Tanggungjawab sebagai hamba tidak mereka lupakan.
            Dari kejauhan sudah kelihatan kerlipan lampu bergermelapan.  Berbeza sungguh keadaan di Mekah dan Madinah.   Madinah nampak lebih moden.    Kami sampai di hotel lebih kurang hampir pukul 9.00 malam.  Sementara menunggu nombor bilik, kami berehat di lobi sambil bercerita.  Perut juga sudah mula terasa lapar.  Kami naik makan malam dahulu yang sudah siap tersedia. Turun semula ke lobi untuk mengambil kunci bilik dan juga mendengar taklimat daripada mutawif  Ustazah Aisyah yang akan bawa kami kaum wanita ke Makan Rasulullah saw.  Pukul 7.00 pagi kami diminta berkumpul di lobi hotel.  Ya Allah!  Sebak rasa dada, tidak sabar hendak melihat sendiri Makan Baginda.  Nak tengok Masjid Nabawi, nak tengok payungnya yang besar dan sering diperkatakakan itu.  Macam-macam nak tengok.  Keghairahan biasa buat orang yang pertama kali datang ke Madinah.
            Orang lelaki dan wanita akan pergi berasingan menziarahi  makam Rasulullah saw.  Di Madinah semuanya diasingkan.  Jemaah wanita ada  kawasan tempat solat yang dikhaskan, begitu juga lelaki.  Kami berpisah di dataran sahaja, berjanji akan bertemu di sekian pintu.  Kalau tidak pasti takkan jumpa, sesak dengan lautan manusia.
            Paling menyentuh hati dan perasaan adalah ketika menziarahi Makan Rasulullah saw.  Allah!  Siapapun akan menangis, sayu, hiba, rasa rindu yang teramat amat sangat.  Terasa Baginda melihat kita.  Seronoknya berada di dalamnya, dapat solat di bahagian Raudhah.  Menangislah, berdoalah.  Tempat paling mustajab untuk berdoa.  Usah difikirkan perkara yang bukan-bukan.  Ingatlah Allah itu Maha segalanya.
            Saya sempat solat taubat sebelum rombongan kami berangkat masuk ke dalam Raudhah.  Jemaah wanita begitu ramai, kehadiran mereka hanyalah ingin menyatakan rasa rindu dan selain itu berdoa sebanyak-banyaknya kerana tempat itu dikatakan adalah tempat yang paling mustajab untuk berdoa.  Saya memandang sekeliling.  Allah! Langsung tiada ruang untuk mendirikan solat.  Penuh dan bersesak dengan manusia yang berhimpit-himpit. 
            Ada yang duduk di kerusi sambil membaca doa.  Ada yang berpaut pada pagar makam sambil berdoa, menangis dan merayu.  Dalam hati saya, tidak berhenti-henti berdoa agar Allah memberi saya ruang untuk bersolat di kawasan Raudhah.  Sambil memandang kiri dan kanan, depan dan tepi, Allah! Di hadapan saya terbentang satu kawasan lapang, saya menarik tangan anak gadis saya, terus saya suruh dia solat di sebelah saya.  Saya berada betul-betul di tengah-tengah kawasan antara empat tiang di kawasan Raudhah dan tidak jauh dari Makan Rasulullah, tetapi untuk mendekati makam bukanlah mudah,  Jemaah wanita masih berpusu-pusu ke situ.  Saya terus melakukan solat  taubat empat rakaat, selepas itu berdoa apa sahaja yang terlintas di hati.  Paling saya harapkan adalah keampunan dan kasih sayang Allah serta kebahagian seluruh kaum keluarga saya. 
            Setiap kali selepas bangun dari sujud, terbau haruman yang menyinggah hidung saya.  Allahu Akbar! Semoga Allah menerima doa-doa saya.  Tidak dilupakan juga doa buat sahabat-sahabat yang menitipkan doa mereka serta salam mereka kepada Baginda saw. Sudah saya sampaikan.   Bukan sekali saya dan beberapa orang Jemaah wanita satu rombongan melakukan ziarah ke makam  Rasulullah saw.  Kami sempat pergi buat kali kedua.  Masuk akhir sekali, kali ini agak jauh sedikit daripada makam, tetapi masih di dalam kawasan Raudhah.  Lapang dan orang pun tidak berapa ramai, sempat solat taubat beberapa kali, sepuas-puasnya berdoa.  Menangis sepuas-puas hati. 
            Di Madinah kami juga dibawa menziarahi beberapa tempat bersejarah, antaranya Bukit Uhud di mana tempat terjadinya Perang Uhud.  Bukit yang berwarna merah kemerahan jika dilihat waktu siang.  Kawasan persekitarannya juga dipenuhi ramai manusia yang datang melawat.  Di mana ada pengunjung, pasti ada orang berniaga.  Siapkan duit sahaja.  Usah terburu-buru membeli.
            Kami juga pergi ke Ladang Kurma, kebetulan bukan musimnya, buah ranum sukar ditemui.  Biasanya buah kurma masak ranum sekitar bulan Julai.  Jika beli di ladang, harganya agak tinggi, kami juga dibawa pergi ke Pasar Kurma, harga jauh lebih rendah dan tidak berapa jauh tempatnya dari Masjid Nabawi.
            Kedai atau pusat membeli belah di Madinah tidaklah sesibuk  pusat membeli belah kita di Malaysia, tidak akan bersesak atau berebut dengan orang.  Kedainya tersusun dan kemas.  Mudah, paling mudah pandai bercakap Bahasa Arab, pasti dilayan dengan penuh bangga.  Harga barangan juga tidak terlalu mahal, harga mampu milik, jangan sampai ‘gila’ sudahlah.  Harga jubah yang cantik, jauh lebih murah berbanding negara kita. Kalau sudah sampai, baiklah beli beberapa helai, takut balik ke negara kita, menangis tidak sudah.
            Tapi, bukan semua suka jubah Arab, terutama mereka yang kurang memakai jubah untuk kegiatan harian atau keluar berjalan-jalan.  Apapun, amat sesuai dijadikan buah tangan buat keluarga di Malaysia.
            Berhampiran Masjid Nabawi juga ada beberapa buah Muzium yang boleh dilawati.  Kalau hendak tengok dan menyaksikan bagaimanakah rupa rumah Rasulullah saw, bolehlah  ke Muzium yang ada.  Ada Muzium al-Quran dan Asma Al Husna.  Ada pasar tani juga, barangan jualan dijual dengan harga lelong.  Berbaloilah.  Paling saya suka tengok adalah deretan kedai emas.  Berkilaun menyentuh mata.  Hendak beli?  Tak mampu juga, harganya emas lebih kurang sahaja di mana-mana negara pun, cuma  hasil seni ukirannya sahaja yang berbeza. Kalau berminat, bolehlah bawa wang bersama untuk beli emas Arab.
            Sepanjang tujuh hari di Madinah, saya ditimpa musibah, demam beberapa hari, akhirnya rebah juga.  Ingatkan  akan sehat sehingga pulang ke tanah air.  Asyik telan ubat, agar cepat sehat dan bolehlah berjemaah di Masjid semula.  Sepanjang masa di Madinah, selalunya, saya dan anak  akan dapat solat berjemaah di bahagian dalam, biarpun berhimpit dengan lautan manusia, tetap boleh masuk dan solat di sana. Tetapi, sebelum pulang, buat  ziarah wida’ atau ziarah perpisahan kepada Baginda Rasulullah saw, hari itu jugalah, kami tidak boleh masuk ke dalam masjid, langsung tiada ruang untuk kami bersolat, penuh sepenuh penuhnya.  Ditambah dengan cuti umum warga Madinah.  Akhirnya kami bersolat di dataran Masjid Nabawi.   
            Usai solat, kami pulang ke hotel, berkemas dan bersiap untuk berangkat pulang ke tanah air.  Allah, air mata para Jemaah pasti mengalir apatahlah terpaksa berpisah dengan Baginda Rasul yang amat dirindui dan kasihi.  Berasa beratnya hati, berasa hiba yang tidak mampu ditahan.  Sendu dan sayu hati kami semua.  Akhirnya kami ucapkan juga salam perpisahan kepada Baginda Rasul, dan berdoa, semoga kami dijemput lagi.
            Setelah semua Jemaah rombongan berkumpul dalam bas.  Ada dua tiga orang wanita muda  Arab, entah dari mana datangnya, meminta sedekah, mereka adalah sindiket, berhati-hatilah.  Bukan seorang dua, ramai, jadi jika hendak memberi,  jangan beri sampai habis.  Apapun, kenangan berada di  kedua tanah suci itu adalah saat yang paling menyeronokkan.  Sudah pasti, sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki, pasti ingin datang dan datang lagi.  Melihat lautan manusia, sama-sama bersujud kepada yang Esa, benar-benar menyentuh hati.  Biarpun dipenuhi lautan manusia setiap ruang yang ada, tetapi cukup mendamaikan.  Dalam hati puluhan ribuan manusia yang berada di kedua-dua tanah suci itu tidak lain, tidak bukan hanya untuk beribadat kepada Allah swt.
            Semoga kita akan sentiasa dipanggil kembali ke sana.  Duit bukan segalanya, tetapi jemputan Allah swt tidak mengira tua muda, kaya atau miskin, ada duit atau tidak, jika diajak, pergilah dengan hati yang penuh kegembiraan. 

Jumaat, 14 Julai 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 10



Pihak pengurusan Andalusia membawa para Jemaah melakukan umrah selang sehari.  Hari Sabtu adalah hari bebas untuk para Jemaah melakukan aktiviti masing-masing. Jika ingin membeli-belah atau melawat kawasan persekitaran masjid dibenarkan, jangan lupa bawa kad pengenalan diri, usah bawa duit yang banyak, berhati-hati dengan barangan atau beg yang dibawa.  Biarpun kawasan itu adalah kawasan suci, tetapi hati manusia yang berada di dalamnya tidak semuanya suci bersih.  Adajuga tukang copet dan penyeluk saku.   Usah tunjukkan kita bawa banyak duit, hendak buka beg duit itu hati hatilah.  Pendek  kata, berhati-hatilah di mana sahaja.
            “Bang, takkan nak duduk dalam hotel aje, jomlah keluar ke mana-mana, kita ambil teksi,” kata saya sambil memandang wajah suami yang sedang leka melayan telefon bimbitnya. 
            “Nak ke mana?” tanyanya kembali.
            “Ke mana sahaja, asalkan keluar dari bilik hotel ini,” kata saya lagi.
            “Kakak nak ikut tak?” tanya suami kepada anak perempuan kami.
            Dia menggeleng laju. 
            “Hish! Takkan nak duduk berkurung sehari suntuk kak?” ujar saya. 
            “Sakit kakilah mak! Mak dengan abah ajelah yang pergi, kakak tak nak ikut,” jawabnya.
            “Jomlah, kita ajelah yang pergi,” ujar suami saya, dia sudah pun bersiap dengan jubah dan beg kecil yang berisi kad pengenalan diri, duit dan telefon serta buku panduan haji dan umrah.
            Kami terus turun ke lobi, hari masil awal, baru jam 8.00 pagi.
            “Ait! Nak ke mana ni?” sapa Kak Lina dan suaminya Baxtiar.
            “Nak jalan-jalan ke Tanaimlah kut,” kata suami.
            Saya memandang wajah suami, Tanaim, buat apa? Detik hati kecil saya.
            “Boleh kami ikut?” tanya Kak Lina dengan wajah manis manjanya.
            “Jomlah!” kata saya. Maka terjadilah cerita, kami terus keluar dari hotel dan mencari teksi yang boleh membawa kami ke Bandar Tanaim, semalam sudah pergi, hari ini pergi lagi.  Apa yang hendak dicari, kami belum pasti, ingat hati hendak meninjau-ninjau bandar kecil itu. Manalah tahu ada sesuatu yang menarik di hati. 
            Setelah berkira harga sewaan sebuah teksi pergi dan balik dari Mekah ke Tanaim, kami terus melangkah masuk dan bergerak  menuju ke Bandar Tanaim.  Sampai di masjid kelmarin, tempat kami bersolat dan berniat ihram.  Teksi berhenti betul-betul di hadapan masjid. Kami terus keluar dan berjalan mengikut kaki.  Allahu Akbar! Hendak ke mana?  Pandang kiri, pandang kanan, sebuah pekan kecil. Ada pejabat seperti TNBlah agaknya, jalan ke hadapan sedikit, ada sebuah hospital, tidak pula pasti sama ada hospital swasta atau kerajaan.  Sebelum hujung masjid, ada jejantas  untuk menyeberang ke sebelah sana bandar kecil itu.  Kebanyakkan kedainya masih tutup, mungkin masih awal.  Terkebil-kebil kami di kawasan itu, tidak tahu hendak ke mana.  Saya terasa ingin ketawa sahaja di dalam hati, memandai hendak berjalan-jalan, ingat  bandar di Tanah  Arab ini seperti bandar Bangi ke Puchong agaknya. Aduhai!  Berlagak pandai, kan pelik jadinya.  Agaknya pemandu teksi itu sendiri kehairanan melihat kami yang hendak ke Bandar Tanaim. 
            Akhirnya kami mengambil keputusan mendapatkan semula teksi yang kami naiki tadi, kebetulan pemandu teksi itu masih lagi menunggu di hadapan masjid, agaknya dia sendiri tahu, kami pasti akan berpatah semula.
            “Kita nak ke mana ni?” tanya saya kepada suami.
            “Kita naik teksi dulu,” kata suami.
            “Boleh bawa kami ke mall!” dalam BIlah.  Pemandu teksi berbangsa Pakistan itu boleh bercakap BI sedikit-sedikit. BM bolehlah juga tapi kurang faham, Bahasa Arab dia fasihlah, masalahnya kami tidak pandailah. 
            Apa ke jadahnya nak ke Mall?  Ikutkan sahaja, memang sengaja hendak buang masa.  Akhirnya pemandu teksi itu membawa kami ke sebuah kawasan bandar yang dipenuhi bangunan pasaraya. Orang tidak ramai, kawasan yang agak lengang. Mungkin orang Arab tidak membeli belah di siang hari. Hanya orang Malaysia seperti kami ini yang gila pergi ke pusat membeli belah mereka jauh  beberapa kilometer dari Bandar Mekah. 
            Pemandu teksi itu menurunkan kami di sebuah pusat membeli belah yang dikatakan murah barang-barang di situ. Dia akan datang mengambil kami semula sejam selepas kami berjalan-jalan di kawasan tersebut.  Dia juga menitipkan kami nombor telefonnya.  Kenderaan bertali arus, bas, teksi dan kenderaan awam.  Apa yang pasti, tiada pemandu wanita, usah berkira-kira nak jadi pemandu uber atau grab di Mekah jika kita berjantina perempuan.
            Terlupa pula nama pusat membeli belah pertama yang kami melangkah masuk.  Sebaik kami melangkah, terlihat pakaian kanak-kanak yang beraneka fesyen, jenama usah cerita ya. Tiadalah kiki lala, Baby kiko dan sebagainya seperti di negara kita.  Namun, fesyennya masih cantik dan menarik.  Harganya?  10 riyal, 20 riyal sepasang atau sehelai.  Kau rasa? Mahal tak?  Pakaian wanita pula ada pelbagai jenis juga, moden sungguh, rasanya saya takkan pakailah.  Pakaian dalam wanita pula tersusun di dalam tempat yang bertutup sedikit.  Bukan tergedang luas di tengah-tengah pasaraya seperti di tempat kita.  Kalau hendak memilih pun tidaklah malu sangat.  Pekerja wanita?  Tidak kelihatanlah!  Para petugas pusat membeli belah itu adalah LELAKI.
            Memandangkan tiada yang menarik di pusat membeli belah itu, kami menyeberang jalan menuju ke pusat membeli belah yang sebuah lagi. Bukan hendak membeli sangat pun, sengaja cari pasal nak tahu keadaan di sebuah pusat membeli belah di tanah suci Mekah.  Saya berasa hendak ketawa sahaja melihat gelagat diri sendiri. Teruk bebenarlah.
            Aryan Mall, sebuah pusat membeli belah setingkat yang agak luas dan banyak barangan di dalamnya.  Ada jual jubah lelaki, kain shawl dan barangan rumah serta perhiasan diri.    Di pintu masuk terlihat pekerja-pekerja pusat membeli belah itu duduk menghadap ke dalam pasaraya.  Saya ingatkan mereka adalah penjual kedai komputer atau telefon bimbit seperti di Malaysia, rupanya juruwang, lelaki semuanya.  Okay, nampaknya tidak ramai perempuan yang bekerja di negara Arab ini. 
            Jubah lelaki, pelbagai jenis, jenama dan paling terkenal di Malaysia adalah Haramain.  Harga sehelai dari 20 riyal sehingga 90 riyal yang paling mahal.  20 riyal untuk sehelai jubah Haramain, di Malaysia harganya beratus ringgit!  Kalian rasa?  Begitu juga dengan barangan dapur atau apa sahaja yang terjual, murahlah!  Kami beli sehelai jubah Haraimain untuk anak buah suami yang belajar di Maahad Tahfiz, sudah lama dia minta untuk kami belikan, di Malaysia paling murah pun 70 atau 80 ringgit Malaysia. 
            Belek sana, belek sini, hanya beli dua helai jubah dewasa dan sehelai jubah kanak-kanak lelaki  yang berharga  10 riyal.  Hampir setengah jam berada di dalam pusat membeli belah itu, kami terus menelefon kembali pemandu teksi itu. Hampir lima belas minit menunggu barulah dia muncul. Seperti biasa, kami akan berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut. Suami  bertanyakan harga minyak di tanah Arab itu, lebih kurang 1 riyal lebih untuk satu liter,  jika banyak isi, harganya semakin murah.  Bolehlah, negara yang menghasilkan minyak, kalau mahal, tak payahlah ada telaga minyak di situ, kan? 
            Kak Lina dan suaminya, hanya mengikut kerja gila kami.  Apa nak dikata, terjumpa dengan kami, kan?  Sudah terlajak, ikutkan sahaja.  Aduhai! Terima kasih kawan!
            Pengalaman yang menarik bagi saya, berasalah juga melawat kawasan luar dari tanah Mekah, lihat sendiri aktiviti harian rakyat Arab Saudi yang rata-rata kurang melepak di pasaraya jika tidak benar-benar ada keperluan atau mungkin mereka lebih suka membeli belah di waktu malam.  Tidak serabut dengan orang ramai yang berpusu-pusu membeli belah.  Siang hari adalah waktu yang aman untuk membeli belah di pusat membeli belah di luar Kota Mekah.  Usah ikutlah ya.  Tapi, kalau hendak berasa pengalaman sendiri sudi-sudikanlah.  Jangan pergi sendiri! Bawalah kawan beberapa orang bersama demi keselamatan sendiri.  Usah memandai-mandi hendak kendiri.  Orang Arab itu pun pelik agaknya lihat kami, dua orang wanita yang sibuk memilih dan membeli di siang hari.  Kalau di Kota Mekah adalah perkara biasa, memang ramai Jemaah wanita akan keluar membeli belah untuk dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Punyalah jauh berjalan, rupanya di Zam Zam Tower dan Hotel Hilton ada pusat membeli belah di dalamnya.
            Sebelum zohor kami sampai kembali ke Hotel, pemandu teksi tidak mengambil tambang lebihan, rupanya pergi balik dari Kota Mekah ke Tanaim adalah 25 riyal, singgah di kawasan mall tadi, dia tidak kenakan caj tambahan. Namun, kami tetap hulurkan 10 riyal sebagai balasan atas kebaikannya.  Kami naik kembali ke bilik dan bersiap untuk solat zohor pula.  Hari Sabtu berlalu dengan penuh kenangan.  Sebelum asar kami bertolak ke masjid kembali. Selepas Isyak barulah balik ke hotel.  Esok awal pagi sebelum subuh balik semula ke masjid.  Berjalan ulang alik antara masjid dan hotel, tujuh hari berturut-turut, sedikit pun tidak mengurungkan berat badanku. Uh! Ironinya.  Ahad usai sarapan, kami akan buat umrah kali ketiga pula, kali ini ke bandar yang jauh sedikit dari Kota Mekah. Ke mana?