Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 16 Mac 2019

GAMBAR KENANGAN LAWATAN KE BRUNEI 2019








SANTUNI ORANG TUA- ASMAH HASHIM

Pagi ini aku ke biliknya agak lewat untuk tengok sama ada dia sudah bersarapan atau belum. Sebaik terlihat kelibatku, emak terus bertanya.
"Ada kain buruk tak? Mak muntah lepas minum air," katanya dengan wajah sugul.
Kulihat di lantai, air berwarna kuning bertakung di celahan jari jemari kakinya.
"Kenapa warna kuning? Mak kencing ke?" Aduh! Aku hampir nak marah. Cepat-cepat aku beristighfar. Aku berhadapan dengan syurga suamiku.
"Tak! Muntah! Mak muntah!" katanya bertegas.
Aku keluar dari bilik dan masuk semula dengan dua helai kain buruk. Kuletakkan di kakinya.
Di atas meja tempat letaknya botol air dan gelas kudekati. Aku memeriksa gelas yang tertangkup, tiada kesan air di dalamnya. Kering seperti belum digunakan lagi.
"Mak kencing ya?" tanyaku sekali lagi.
Dia tetap nafikan.
"Tak apalah, biar Mah bersihkan. Mak pergi mandi, tukar baju," suruhku.
"Dah mandi, aku dah mandi. Tak nak mandi, sejuk. Aku bukan kencing. Aku muntah!" katanya agak kasar, seperti nak marah.
Aku terlihat kain batik yang dipakai basah juga.
"Kain mak tu pun basah, pergi ganti ya mak," sekali lagi aku memerintah.
"Tak nak! Aku nak salin baju aje," masih berdegil.
"Mak, janganlah degil. Mak kencing tu, takkan nak pakai baju yang kena kencing? Nanti abang bising pula kalau mak degil macam ni, " hampir hilang kesabaranku.
"Aku tak kencing! Aku muntahlah!" suaranya semakin keras.
Aku tidak mahu bertekak lagi dengannya. Wajahnya mula menyinga memandangku.
Aku berlalu keluar dari bilik. Kupanggil anaknya. Kami sama-sama masuk semula ke dalam bilik
"Mak," sapa suamiku.
"Mak kencing ni," kata suamiku. Dia mendekati emaknya.
"Aku muntah!" masih mempertahankan kata-katanya.
"Tak kisah lah, muntah ke? Kencing ke? Tapi mak kena bangun, Mah nak bersihkan tilam dan lantai ni," suruh suamiku.
Emak tetap bertegas tidak mahu bangun dan mandi. Allahu Akbar! Semoga aku dan suami mampu bersabar.
Suamiku terus bertegas dan memaksa emak bangun dan mandi. Pakaiannya sudah dikotori oleh air kencingnya sendiri.
Akhirnya dia akur setelah aku bertekad nak bawa dia masuk bilik air yang berada dekat dengan bilik.
Suamiku kembali membuat kerjanya semula. Ada tugas yang menanti buatku. Patutlah Allah kurangkan kerjaku di dapur, rupanya ada tugas lain yang diberikan. Aturan Allah selalu yang terbaik. Aku redha. Terima kasih Allah.
Aku sering terfikir mampukah aku mengguruskan najis mertuaku satu hari nanti ketika dia tidak lagi berdaya mengguruskan diri sendiri kerana aku seorang yang penggeli. Semoga aku mampu.
Setelah emak masuk ke dalam bilik air. Aku mula mengemas katilnya dan mop seluruh bilik yang sudah mula berbau.
Usai emak mandi. Dia masuk semula ke dalam bilik yang sudah siap berkemas.
"Nak pakai pampers dulu," katanya lalu duduk di atas katilnya.
Kami sudah beli tilam khas untuknya, agar mudah dicuci jika terkena najis.
Kuhulurkan pampers yang berbentuk seluar kepadanya. Kutunggu dia memakainya.
"Meh Mah bantu mak pakai," kataku lalu mendekatinya. Emak malu ala.
"Malu apa mak! Mah ni anak mak juga tau, tak perlu ada rasa malu," kataku tegas. Aku membantu emak memakai pampers tersebut dengan betul. Kalau bocor, aku juga yang kena bersihkan.
Setelah siapkan emak, aku masuk ke dalam bilik air untuk ambil kain yang terkena air kencing tadi. Allahu Akbar! Emak sudah rendam dalam baldi yang penuh dengan air. Tak terkata apa-apa, aku buang air tersebut dan ingin memerah kain tersebut. Sekali lagi lidahku kelu. Ada najis melekat di kain. Allahuakbar! Emak turut buang air besar.
"Wa, mak tok buang air besar juga!" kataku kepada menantuku.
"Mak nak buat macam mana tu?" tanya menantu perempuanku.
"Tak apalah, nak buat macam mana, mak kena bersihkan dulu, sebelum masuk dalam mesin basuh," jawabku sambil bawa baldi berisi kain ke bilik air.
Semoga aku mampu bersabar menjaga syurga suamiku ini. Emak sudah tidak boleh makan dengan sempurna, seolah2 Allah sudah tarik rezekinya. Setiap ujian ada hikmahnya.
Semoga emak kuat dan tabah. Biarpun emak selalu kata mulutku jahat, ada aku kisah? Selagi emak berada di rumah kami, kami buatlah sebaik mungkin
Wahai emak-emak semua, jangan sesekali mengata menantu kerana kita tidak tahu menantu yang mana akan jaga kita setelah kita tidak berdaya.

SUSAH ATAU SENANG? BUKAN PILIHAN- ASMAH HASHIM

Tiada siapa di dunia ingin dilahirkan hidup susah. Kita bukan boleh memilih, ada kala kita terpilih untuk bagaimanakah kehidupan yang bakal kita tempohi.
Begitu jugalah siapakah orang tua kita. Orang tua kita juga tidak semua bertuah dikurniakan orang tua yang mewah, sederhana atau susah hidup mereka.
Sewaktu kecil tidak pernah kita tahu akan kesusahan kedua orang tua kita. Apa yang kita tahu adalah meminta, memenuhi keinginan diri sendiri. Tidak peduli bagaimana mereka mendapatkannya.
Kita dijaga seperti raja, dipenuhi segala keperluan atas nama kasih ayah ibu kepada kita. Tidak pernah mereka berkeluh kesah berapa susahnya mereka menjaga kita.
Mereka juga tidak meminta balasan. Cuma, berharap satu hari nanti kita mampu menjaga mereka ketika mereka tidak lagi berdaya untuk bergerak kuat seperti ketika usia muda mereka.
Tidak akan pernah mampu kita membalas segala jasa mereka biarpun kita taburkan segala kekayaan di dunia ini.
Tapi, oleh kerana kita susah kononnya miskin tergamak kita mengeluarkan perkataan,
"Aku bukan tak nak jaga emak, tapi sebiji beras pun tidak ada kat rumah aku. Aku miskin tahu tak. Kalau aku kaya, aku boleh bela emak."
Adakah orang tua kita akan berkata seperti itu kepada kita yang telah terpilih menjadi anak mereka? Mereka senangkah ketika ditakdirkan memiliki kita? Kayakah orang tua kita?
Tidak kira susah senang, kaya atau miskin, kita juga tidak boleh memilih untuk tidak menjaga mereka. Beruntunglah jika mereka ada anak lain yang sudi menjaga mereka. Bagaimana jika hanya kita satu-satunya anak mereka?
Allah swt takkan sia2kan mereka yang berkhidmat kepada kedua orang tua kita.
Jadilah anak yang mampu membuat kedua orang tua kita tersenyuman sehingga ke syurga.

ULASAN NOVEL PULANG - ASMAH HASHIM

PULANG.
Lily Haslina Nasir.
Karya Seni.
512 muka surat.
****/5 bintang.
Kisah benar sebuah keluarga yang terpisah kerana tuntutan dunia. Kisah Othman dan Che Tom yang mengusik hati. Sebuah karya yang diadaptasi dari filem ke sebuah novel.
Ditulis oleh seorang penulis yang berpengalaman dan sudah terbukti hasil penulisannya tidak pernah menghampakan.
Othman seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan setia sanggup merantau meninggalkan keluarga demi mencari rezeki buat keluarganya. Othman sanggup meredah lautan dalam untuk mencari kekayaan dunia. Pelbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa di hadapinya sepanjang bekerja sebagai kelasi kapal. Hampir nyawanya terkorban di laut. Malah dia kehilangan wang yang dikumpul di laut.
Che Tom sanggup dan rela berkorban asalkan tujuan dan niat suaminya terkabul biarpun hatinya terluka parah menanggung rindu yang tidak pernah kunjung padam. Malah sanggup ke Hong Kong untuk mencari suami tercinta. Nyaris dia dijadikan pelacur.
Kisah cinta suami isteri yang setia sehingga ke akhir hayat. Cuma, tidak diceritakan adakah Che Tom berkahwin atau tidak dengan Cikgu Hassan.
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah ini adalah kekayaan yang dicari tidak semestinya menjadi milik sendiri kerana hidup kita ada yang mengatur. Biar bagaimana hebat sekalipun usaha kita, jika sudah ditakdirkan bukan rezeki takkan mungkin menjadi hak kita.
Namun, tidaklah boleh hanya hidup berpeluk tubuh tanpa berusaha dalam mencari kesenangan hidup. Sikap degil Othman akhirnya memisahkan dia daripada keluarganya.
Tidak salah mencari rezeki jauh di negara asing. Tetapi pulanglah demi keluarga tercinta.
Gaya bahasa yang menarik biarpun tidak seindah novel penulis ini yang pernah saya baca sebelum ini. Namun, tetap tidak menghampakan. Tetap buat hati sebak membaca kisah cinta yang menyayat hati. Perlukisan watak, latar tempat umpama melihat filem itu sendiri. Boleh bayangkan wajah pelakon dan lantonan dailog mereka.
Bagaimanakah kisah seterusnya? Mampukah Othman kembali kepada keluarganya? Terleraikah rindu Che Tom dan Omar? Berjayakah pencarian Ahmad untuk memenuhi hajat nenek kesayangannya? Jawapan hanya ada dalam novel ini.
Karya yang berjaya di panggung. Syabas buat semua team yang terlibat sehingga berjaya mengadaptasi karya ini dalam bentuk novel. Tahniah buat penulis novel ini