Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label KARYA MEROYAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KARYA MEROYAN. Papar semua catatan

Isnin, 4 Disember 2017

Mudahnya Mengundang Dosa Mengumpat Berjemaah.


Waktu kejahilan melanda, bercerita dan bercakap/ mengumpat/ mengadu domba tentang orang lain seronok belaka, apatah lagi, orang yang kita kata itu kita cemburu dan dengki dengan kehidupannya.
Kita mulalah, bercakap, berbuih-buih mulut. Sedikit pun tidak berasa bersalah di hati. Malah puas hati,ditambah orang yang kita kata itu pernah meluahkan masalahnya kepada kita, janjinya jangan beritahu orang lain. Tapi, kita tak amanah, kita tak jujur. Bertaburanlah cerita itu tersebar dek kerana mulut kita.

Waktu itu skop bercerita dan orang yang menjadi mangsa kita adalah jiran tetangga, orang yang kita kenal, buruk-buruk pun waktu Hari Raya masih boleh minta maaf dan ampun.
Apabila sudah belajar, faham, tahu dosa pahala, perlahan-lahan berubah. Bila saja ada datang sipenyampai, cepat-cepat teringat akan adegan makan daging mentah dan busuk di neraka nanti. Nau'zubillah...

Hari ini, dunia mengumpat dan mengata tersebar luas. Orang yang kita kata dan kutuk itupun kita tak kenal. Terlihat saja satu cerita yang kita rasa orang itu salah dan tidak betul, maka ramai-ramai kita kutuk berjemaah. Tidak kira, orang itu tua atau muda. Kita hilang rasa hormat, hilang rasa belas sesama kita.

Ya Allah! Bagaimana kita nak minta maaf kepada orang yang kita umpat, keji dan kutuk itu? Tidakkah kita tahu bahawa dosa kita takkan terampun selagi orang yang kita umpat itu ampunkan.
Lalu, kita bawa bersama dosa tersebut ke akhirat. Waktu dihisab, orang yang kita umpat itu akan ambil pahala kita. INGAT! Jangan sampai MUFLIS di akhirat nanti!

Berapa banyak kisah tular kita kongsikan? Berapa banyak perkara yang tidak berfaedah kita kongsi dan orang lain sama-sama mengeji dan mengata? Tahukah teman-teman semua, itu termasuk dosa Mengumpat dan Mengata.

Banyak sangatkah amalan kita? Baik sangatkah kita? Maksumkah kita? Tanamlah azam tidak mahu lagi berkongsi cerita yang boleh membuatkan kita terpalit dosa. Berazamlah hendak menjadi sebaik-baik insan seperti mana kita diciptakan oleh Allah Swt.

Kalau ingin TULARKAN sesuatu, tularlah kisah orang miskin dan susah yang memerlukan bantuan. Atau rumah anak yatim, sekolah pondok yang memerlukan sumbangan. Atau mereka yang sakit memerlukan derma. Carilah yang baik-baik saja.

Sebelum dosa kita terus menimbun, bawalah insaf dan sedar diri, bahawa AKU JUGA INSAN YANG LEMAH DAN BERDOSA!

Dosa dengan Allah terampun dengan ISTIGHFAR, tapi dosa kita dengan manusia lain tidak akan terampun selagi kita tidak diampunkan oleh orang yang kita sakiti.

#muhasabahdiri
#insafdengandosasendiri
#takutmurkaAllah

Sabtu, 2 Disember 2017

SIHAT SEBELUM SAKIT

Sihat sebelum sakit.

Waktu sihat, kita lupa diri, apabila sudah sakit mulalah tanam nazar kononnya setelah sehat akan benar-benar beribadat. Betulkah? Atau kita akan kembali ke asal ketika kita tidak sakit?

Manusia mudah lupa. Tetapi, Allah tidak. Kita cepat mengalah, cepat bosan, mudah putus asa, kecuali mereka yang benar-benar beriman.

Wahai teman, rebutlah peluang ketika sehat ini untuk betul-betul mengabdikan diri kepada Allah. Jangan tunggu sehingga tangan kita sudah tidak mampu diangkat baru kita berfikir untuk berdoa.

Jangan tunggu sehingga kaki kita tidak lagi mampu melangkah baru kita nak mencari ilmu dan ke majlis ilmu.

Jangan tunggu sehingga mulut kita tidak mampu dibuka baru kita hendak berzikir membaca al Quran.
Hidup di dunia hanya sementara, jangan tunggu nyawa kita dicabut baru kita hendak berasa sesal.

Setelah berada di alam barzakh kita ingin kembali ke dunia serta berjanji akan beribadat hanya kepada Allah, ketika itu segalanya sudah terlambat wahai teman.

Jangan kita menjadi manusia yang akan menyesal kerana tidak menurut perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Untuk berubah ke arah kebaikan, usah ditangguh lagi. Kita tidak tahu bila akan meninggalkan dunia ini.

#nasihatdirisendiri

DI PADANG MASYAR

Di Padang Masyar nanti setelah mendapat kitab amalam, maka akan bertayanganlah segala perbuatanmu ketika di dunia, sejak dilahirkan sehinggalah ke hari kau meninggal. Terlihatlah segala kebaikan, dosa dan keaibanmu.

Ketika itu rasa malu tidak bererti lagi, hanya akan tertunduk menunggu hukuman daripada Yang Esa.
Segala amalan dan perbuatanmu akan dihisab. Beruntunglah mereka yang baik sejak baligh sehinggalah pada hari pengakhiranmu.

Sentiasalah berasa berdosa, agar kita sentiasa beristighfar dan dekat dengan Allah swt. Berbuat baiklah sentiasa, jangan buang masa. Setiap saat nafas ini akan dikira.

Beribadatlah, berdoalah, keluarlah mencari ilmu akhirat, amalkanlah. Kasihanilah diri sendiri.
Mati itu pasti! Seksaan kubur itu benar! Syurga neraka juga benar! Bukan cerita dongengan? Bukan kisah mitos! Allah Ada!

Mohonlah kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan bawa keluargamu ke neraka! Bawalah mereka ke syurga.

#muhasabahdirisendiri

MUDA SEBELUM TUA


Muda Sebelum Tua

Jangan tunggu tua baru nak bertaubat dan beramal ibadat. Kita tak tahu, adakah kita akan sihat selamanya? Takkan sakit? Tetap segar bugar seperti waktu usia muda? Kita juga tidak tahu bila ajal akan tiba?

Wahai teman-teman, ketika usia kita masih muda, usahlah sia-siakan waktu sedang kuat, tegap, masih laju berlari dan berjalan untuk melakukan perkara yang sia-sia.

Gunakanlah waktu masih boleh mendaki,memanjat, laju berjalan, kuat berfikir, tidak lupa untuk cari ilmu, beramal ibadat, buat baik kepada orang lain, bekerja untuk agama.

Jangan sesekali berkata, 'Dah tua nanti ibadatlah'. Allah! Kita takkan tahu masa hadapan kita. Jangan sampai menyesal.

Jangan sampai kecewa. Kerana, ketika tua kita terlantar dan tidak berupaya lagi untuk bergerak. Makan disuap, mandi orang mandikan? Jika itu terjadi, bagaimana kita hendak bergerak? Beribadat? Hadir majlis ilmu?

Nasib kita tidak sama, keadaan diri kita juga berbeza, usah tunggu sehingga terlewat untuk melakukan semua kebaikan dan beribadat.

Tepuk dada, tanya diri sendiri jalan yang mana harus dipilih?

#salamzohor
#muhasabahdiri
#kejarlahsyurga

BELAJARLAH AKHLAK

Belajar adab dan akhlak cukupkah hanya tiga hari dua malam atau dua hari semalam? Ajarlah adab dan akhlak kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Perlukah pukul anak jika tak solat? Wajib, itu yang disuruh oleh Rasulullah saw, jika umur 9 tahun anak-anak tidak solat. Allah akan pelihara hamba-hambaNya yang tidak meninggalkan solat dan melakukannya dengan sempurna.

Ajarilah anak-anak ada sikap malu kepada orang lain. Malu jahat, malu pakai ketat, malu tak solat, malu tak pandai membaca al Quran. Malu adalah separuh daripada iman. Malulah Allah.

Jika kita tidak tahu menghormati orang lain, adakah anak-anak akan menghormati orang di sekelilingnya? Hormatilah sesiapa sahaja walaupun tukang sapu sampah.
#muhasabahdirisendiri
#islamituindah

BERIBADATLAH

Beribadatlah, hadirlah majlis ilmu, mengajilah, berbuat baiklah sesama kita. Bantu-membantulah sesama kita. Kerana, satu hari nanti ketika kita terlantar tidak berdaya, kita takkan mampu berbuat apa-apa.

Usah tertipu dengan godaan syaitan, usah terpengaruh indahnya dunia kerana yang menunggu kita di sana jauh lebih baik dari dunia dan seisinya.

Tidak salah menjadi kaya, tidak berdosa bekerja bersungguh-sungguh kerana mengumpul harta, tetapi ingatlah kepada yang memberimu kekayaan dan harta itu.

Kita selalu lupa, Allah sentiasa ada di sisi kita. Kita sering lupa, Allah itu Maha segalanya. Kita sering lupa, Allah melihat perbuatan dan tingkahlaku kita. Kita sering lupa, Allah akan membalas semua perbuatan kita tidak kira baik atau buruk.

Sebaik-baik antara kita, adalah mereka yang suka membuat amal jariah.

Marilah wahai teman-temanku sayang, kita sujud kepada Allah swt. Marilah wahai teman-temanku sayang, kita kejar kasih sayang Allah swt. Biarlah kita menjadi hamba Allah yang di rahmati, aamiin.

#cintaAllah
#cintarasul
#maulid

HIDAYAH ITU MILIK ALLAH

Hidayah itu milik Allah, kita tidak mampu mengubah hati-hati manusia, kita hanya mampu menasihatinya sahaja, yang mengubah hati-hati mereka hanya Allah swt.

Hidup ini penuh dengan ujian. Hanya mereka yang tabah dan kuat sahaja akan tetap teguh keimanan dan ketakwaannya.

Kehidupan bersyariat itu indah, nyaman dan tenang bagi insan-insan yang bertakwa dan berimanan, yakin dengan janji Allah swt.

Kehidupan bersyariat itu menyusahkan bagi manusia yang leka dan lalai dengan godaan dunia. Mengejar kenikmatan hidup yang hanya sementara sehingga lupa mencari bekal untuk dibawa ke sana.

Mencari redha Allah itu mudah asalkan ikhlas melakukan ibadah dan amal jariah hanya kerana Allah swt.
Cinta Allah, Allah cinta kita.
#muhasabahdirisendiri
#Islamituindah.

CINTA REMAJA

Usia berapa anak remaja mula tertarik dengan berlawanan jantina? Perkara yang perlu emak ayah ambil tahu dan perhatikan perubahan anak-anak remaja kita yang sedang meningkat dewasa.

Cinta zaman sekolah, cinta monyet, cinta suka-suka. Kita sendiri pernah alaminya. Namun, zaman dahulu, emak ayah sudah berpesan awal-awal jika kita sudah mula kelihatan 'mengedik' tanpa sebab. Tanda perasaan cinta sudah bermula.

Pada usia seawal 10 tahun ke atas perasaan tertarik kepada rakan sekelas yang berlainan jantina akan mula berlaku. Ketika ini emak ayah perlu tahu, serta perhatikan anak-anak remajamu. Kalau boleh, ambil tahu.

Dalam zaman serba canggih dan penuh dugaan ini, kita tidak mahu perkara yang tidak baik berlaku. Jika zaman kita dahulu, kita berasa malu jika orang tahu perasaan kita kepada seseorang, tetapi tidak pada zaman ini. Anak-anak kita jauh kehadapan, malah lebih berani lagi.

Wahai emak ayah, biarpun ramai yang terbuka dalam soal menangani masalah cinta remaja ini, tapi jangan terlalu 'membiarkan' mereka bergaul bebas.

Berbuallah tentang 'cinta' dan 'perasaan' dengan mereka. Ajarilah apa yang boleh dan tidak dalam hubungan lelaki dan perempan yang bukan mahram. Jelaskan juga perkara yang lebih utama daripada melayan perasaan cinta yang sedang bermain dalam hati dan fikiran mereka.

10 tahun hingga 18 tahun, adalah waktu perasaan dan jiwa remaja yang sedang mencari identiti diri. Waktu inilah emak dan ayah perlu tekankan tentang adab dan akhlak kepada anak-anak. Ajar mereka menghormati orang lebih tua, kawan-kawan dan perempuan.

Ingatkan mereka agar tidak buat perkara yang tidak baik dengan kawan-kawan perempuan mereka. Ajar mereka hormati kawan-kawan perempuan mereka, jaga maruah kawan-kawan perempuan mereka seperti mereka menjaga maruah emak dan saudara perempuan mereka.

Marilah kita mulakan langkah ini, selamatkan generasi masa hadapan, selamatkan masa depan anak cucu kita.

Di sekolah, buatlah kempen menyekat pergaulan bebas tanpa batas ini, demi melahirkan remaja yang suci murni hati dan cara pergaulannya.

Emak ayah, periksa telefon bimbit anak masing-masing, terutama anak-anak remaja. Kita tidak mahu lahirnya semakin ramai anak luar nikah lantaran kita tidak menyekat pergaulan bebas anak-anak kita.
Bercinta boleh, tunggulah sehingga sampai masanya. Tidak kira anak-anak itu bersekolah agama atau sekolah biasa, perasaan mereka tetap sama.

Ayuh teman-temanku, usah kebaratan daripada orang barat. Kita pertahankan maruah anak-anak lelaki dan perempuan kita. Cegah pergaulan bebas mereka sebelum mudarat sehingga kita menyesal di kemudian hari.

Atasilah masalah cinta remaja dengan kata-kata nasihat dan garis panduan yang betul. Cinta lahir tanpa diduga tapi boleh diatasi dengan cara yang betul tepat.

Biarlah mereka bercinta dengan Allah, Rasullah dan ilmu terlebih dahulu.
#cintatakkenalsiapa
#cintamonyet
#cintaremaja.

KISAH SEORANG ANAK YATIM


Dia sebaya dengan anak bongsu saya, anak kedua dari lima beradik. Kematian ayah ketika usianya terlalu muda. Ketika usianya 10 tahun dan adik lelakinya dihantar tinggal di sebuah rumah anak yatim. Segala keperluan diri disediakan.

Setelah usianya menjangkau 13 tahun, dia dihantar belajar ke tempat lain oleh pemilik rumah anak yatim tersebut dengan segala keperluan seperti yuran dan barangan peribadi disediakan.
Dia mempunyai seorang kakak yang masih belajar, dua orang adik perempuan yang tinggal dengan datok dan nenek di kampung, seorang adik lelaki yang masih tinggal di rumah anak yatim tahfiz.
Ibunya, pendapatan tidak menentu, berbagai pekerjaan dilakukan, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada ketika sewa rumah pun tidak mampu dijelaskan.

Berbalik kepada anak itu tadi, melihat kawan-kawan yang ada ayah dan ibu, disediakan segala keperluan, mintalah apa sahaja, pasti diperolehi. Sebagai anak remaja yang sedang membesar, pasti dia juga ingin miliki apa yang kawan-kawannya ada, tapi ditahan nafsunya kerana memikirkan ibunya bukan orang 'ada-ada'.

Diajar juga adik-adiknya bila mereka bertemu agar tidak meminta-minta kepada ibu, kerana dia tahu ibu takkan dapat memenuhinya. Makan apa sahaja yang ada. Pakailah apa yang tersedia. Hidup harus diteruskan juga selagi ada nyawa.

Bayangkanlah kita berada dalam situasi anak ini. Nak beli seluar yang koyak, baju yang sudah sendat, barang keperluan harian yang sudah habis, pada siapa dia nak minta? Pada ibu yang dia tahu takkan mampu memberi apa yang diminta?

Siapa sahaja yang mendengar keinginan hatinya pasti akan berasa sedih, nak beli cantik-cantik, takkan dia seorang saja, kakak dan adik-adik bagaimana? Nak makan yang sedap-sedap, takkan dia saja, bagaimana dengan kakak dan adik-adik?

Anak-anak yatim Allah tarbiah hati mereka melawan nafsu dan kehendak sendiri.
Semoga Allah buka jalan rezeki yang melimpah luas buat ibu mereka agar dapat mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Buat anak gadis ini, semoga tetap kuat dan bersemangat untuk berjaya di masa hadapan.
Semoga Allah memberi yang terbaik buat mereka sekeluarga, Aamiin.

Kita merancang, Allah juga merancang. Namun, perancangan Allah adalah yang terbaik.

JANGAN MENGADU DOMBA

Saya paling benci orang cakap tentang saya di belakang! Kalau ada masalah beritahu saya sahaja, tak perlu bercerita dengan orang lain. Saya jenis yang terbuka dan boleh menerima teguran.

Pernahkah kawan-kawan berasa seperti di atas? Bukan mudah seseorang itu hendak berlaku jujur. Kalau ada masalah dengan seseorang, selalunya, si dia akan mencari seseorang untuk bercerita dan meluahkan perasaan. Adakalanya orang yang si dia cari akan menjadi pendengar setia, adakalanya tidak.

Maka, berlakukan cerita sampai menyampai. daripada seorang kepada seorang yang lain. Begitulah seterusnya, sehinggalah sampai kepada orang yang empunya diri. ketika itu, si dia akan berasaa apa? Dan kawan yang menjadi 'Mangsa' pertama akan berasa apa?

Hal dirinya dijaja, diceritakan keburukannya, ditambah ada kawan-kawan si dia yang memang tidak suka dengan 'Mangsa' itu tadi, maka bertambah perasalah jalan cerita.

Sedarkah kita, tindakan kita sudah menjadi umpatan? Orang yang suka mengumpat ini umpama makan daging sendiri? Saya pula, jika datang kepada saya cerita kisah seseorang, saya akan menjadi pendengar, kemudian, orang yang bercerita akan menjadi 'Mangsa' nasihat saya.

Jangan berani-berani cerita hal orang kepada saya. Takut nanti kena leter dengan saya. Ada faham? Kalau ada masalah dengan saya, terus pm sahaja, usah pandai-pandai bercerita dengan orang lain. Sarang tebuan jangan dijolok. Tebuan yang sedang lena tidurnya usah dikejutkan.

Saya sudah banyak berubah, tidak suka meroyan tidak tentu pasal. Tetap tenang biarpun kadang-kadang berasa hati juga dengan sikap orang lain. Tapi, lantak kaulah! Malas nak tambah kedut di muka.

Hidup kita singkat sahaja, tak mahu tambah dosa yang ada. Kepada yang suka sangat 'bawa' mulut, biarpun mulut itu memang terpaksa dibawa sebab dalam satu badan, tapi usahlah jadi batu api, musang berbulu alam, talam dua muka, api dalam sekam, gunting dalam lipatan.

Masalahkah untuk jadi manusia yang baik? Mulut jangan manis hanya ketika di hadapan, di belakang juga biarlah manis, kerana yang berada di sisi kita Malaikat yang mencatit, dan Allah melihat hati-hati kita. Behati-hatilah. Apa yang kita cakapkan, pasti akan sampai kepada empunya diri. Usah ingat orang sekeliling kita jujur semuanya.

Jangan cakap saya tak ingatkan! Hidup ini Allah ingatkan selalu, agar saling tegur menegur jika ada buat salah, nasihat menasihati jika tersalah langkah. Jadilah insan yang baik, yang bermanfaat untuk orang lain.

Status sentap. Sesekali!

Sabtu, 18 November 2017

ANAK TERBIAR

Anak terbiar?



Masa ini, Jam 11.00 malam, anak-anak lelaki dan perempuan masih berpeleseran di luar rumah. Emak ayah tidak bimbang, tidak kisah, dan beranggapan anak-anak melepak dengan kawan-kawan mereka. Terbuka sangatkah kita hari ini, atau sudah tidak kisah lagi? Penat sangatkah kita?  Letih sangatkah? Sibuk sangatkah, atau sibuk main telefon?  Berasa selesa anak-anak tidak menganggu aktiviti malam kita. Kita nak berehat, kita nak meregangkan tubuh badan.  Banyak urusan kita sehingga kita biarkan sahaja anak-anak kita di luar sehingga lewat malam.

Tidak terfikirkan kita, jika anak-anak yang sebaya atau lebih tua ini, masih muda, masih mencari keseronokkan, masih tidak dapat membezakan baik dan buruk, akan ajar anak-anak kita buat perkara yang bukan-bukan seperti merokok, menagih dadah, menghidu gam? Hey! Tanamlah rasa cemburu sedikit terhadap anak-anak kita! Jangan terbuka sangat, pandang-pandang, lihat-lihat, tengok-tengok, hati-hati, biar berperasaan negatif terhadap anak-anak selain berasa positif sahaja.

Anak-anak kita ini,di hadapan kita pijak semut pun tak mati, di belakang kita, banyak projek mereka. Kasihanilah mereka, bimbinglah, didiklah. Jangan dibiarkan mereka mencari arah sendiri, jangan dibiar mereka mencari jalan sendiri. Perhatikan siapa kawan mereka. Selidiki mereka berkumpul itu selalunya buat apa? Jangan lepas tangan, jangan ambil mudah. Jika sekali terjebak dalam jenayah, selamanya anak-anak kita akan merana, terutama dadah, mencuri, merompak, kongsi gelap. Allah! fikir-fikirkanlah!

Denda bagi mereka yang mengabaikan anak-anak di bawah jagaan ibu ayah:

20 tahun penjara,
RM50 ribu denda akan dikenakan.

Agaknya sudah terasa lama bebas di dunia luar dan terasa nak duduk dalam penjara, boleh makan percuma dan ditanggung selama 20 tahun. Terasa banyak duit? Bolehlah sedekah 50k kepada mahkamah. Dipersilakan.


Dahulu, ibu ayah kita akan bimbang jika hampir masuk waktu maghrib tidak pulang ke rumah. Malam hari tiada siapa pun dibenarkan keluar rumah kecuali pergi kelas mengaji al-Quran. Jika masih tidak pulang ke rumah, mulalah emak atau ayah akan mencari. Bimbangnya mereka.  Kita akan dicari sehingga ditemui. 
 
 Sampai di rumah.  Siaplah!  rotan sudah tersedia menunggu dibalik pintu.  Jadi jahatkah kita?  Burukkah perangai kita setelah diajar dengan penuh berhati-hati oleh kedua orang tua kita?  Tidak berjayakah kita?  Jadi samsengkah kita apabila tidak keluar malam? 

Bukankah kita jadi baik dan bagus atas didikan ibu ayah kita yang tidak berpelajaran? Bukankah kita jadi terbaik seperti hari ini kerana tunjukajar mereka, ketegasan mereka, kegarangan mereka.

Fikir-fikirkanlah demi masa depan generasi akan datang.  Anak-anak kita adalah pewaris negara ini.  Pewaris masa hadapan.  Isikan waktu mereka dengan aktiviti berfaedah. Belailah mereka, sayangilah mereka, didiklah mereka. 

Jangan jauhkan mereka daripada kita. Jangan dibiarkan mereka memilih jalan hidup sendiri tanpa dibimbing, tanpa ditegur apa yang betul dan tidak betul, apa yang benar dan tidak benar, apa yang baik atau tidak baik.  Hey! Mereka darah daging kitalah!  Tolonglah! 

Lihatlah generasi hari ini, ramai tidak beradab, ramai tidak berakhlak.  Berani melawan guru, orang tua dan sesiapa sahaja.  Seawal umur sembilan tahun sudah menagih, sudah pandai menonton filem lucah.  Sudah pandai merompak dan mencuri.  Sudah pandai memukul dan menjadi samseng. Aduhai! anak-anak kitakah itu?

Generasi apakah yang sedang kita didik?  Generasi jenis apakah yang sedang kita lahirkan?  Ya Allah!  Wahai teman-teman semua, marilah kita memainkan peranan bersama-sama  jaga anak-anak bangsa kita ini.  Tegurlah mereka jika melihat mereka buat perkara yang tidak diingini, susah sangat panggilkan sahaja polis apabila melihat ramai yang duduk bersantai di tengah-tengah malam.  Halau mereka balik rumah. 

Ketua kampung, ketua masyakarat, penduduk persekitaran, jiran tetangga semua memainkan peranan pasti segalanya berjalan dengan baik.  Lihatlah anak-anak generasi hari ini, mereka seperti tiada arah, tiada pedoman.

Beruntung anak-anak yang punya ibu ayah prihatin, penyayang dan pengasih. 

#beritatv3


Sabtu, 31 Oktober 2015

SUDAH PANDAI?




            Hujung minggu itu aku dan suami pulang ke kampung.  Ada kenduri kahwin di rumah bapa saudaraku. Anak sulongnya berkahwin.  Mana boleh tidak pulang, kalau tidak pasti pak long aku tu berleter tujuh hari tujuh malam. Mahu pecah gegendang telingaku.  Dari dibiar pecah dan terbakar, aku ajak suamiku balik, terpaksalah guna cuti yang ada.  Kebetulan anak-anak juga sedang cuti sekolah.
            Kalau sudah namanya kenduri di kampung, amalan rewang dan bekerjasama tidak pernah hilang.  Riuh rendah rumah pak long dengan kehadiran jiran sekampung.  Tidak termasuk adik beradik dan saudara mara.  Memang meriahlah.
            “Anak mak long yang bongsu dah habis SPM, kan? Sekarang dia buat apa?” tanyaku sambil tangan mengupas bawang.  Pedih juga mataku, tidak pasal-pasal berair.
            “Mana ada ambil! Berhenti waktu tingkatan empat lagi.  Tak minat belajar katanya,” adu mak long seraya memandang wajah anak lelaki bongsunya yang sedang duduk santai sambil main telefon tangannya.
            Mataku turut memandang ke arah pemuda harapan bangsa itu. 
         “Sayangnya! Kenapa pula dia tak minat mak long?  Teruk sangat ke pelajaran sekarang?” soalku.
           “Entahlah, mak long suruh dia belajar semula, dia tak nak.  Katanya buang masa sahaja, sebab tak minat. Malas mak long nak paksa,” luah mak long.
         “Dia dah kerja ke?” Aku memandang wajah kusut mak long, mungkin sebab letih menguruskan hal kenduri kendara ditambah dengan perangai anak lelaki bongsunya itu.
           “Tak, siapa nak bagi kerja?  Mana ada kelulusan?  Nak kerja apa? Umur pula muda lagi, tanam anggurlah kat rumah,”  bebel mak long.
         “Hish, mana boleh macam tu mak long, dia anak lelaki, nak jadi ketua keluarga.  Kalau dibiarkan macam itu, tak ubah hidup dan nasibnya nanti.
          “Kau nasihatkanlah dia, mak long dah tak sanggup!”  kata mak long sambil mengangkat tangan tanda menyerah.
         Hish, tak baik berputus asa dengan anak. Selagi ada kudrat dan tenaga, jangan berhenti mengharap dan berdoa.  Aku mengeluh, susah betul anak-anak generasi hari ini.  Kita dulu takut kalau tak ke sekolah, kata arwah abah, orang yang tak nak sekolah sama dengan lembu. Uh! Tak naklah jadi lembu, itu sebab tak pernah culas ke sekolah.  Melainkan demam atau ada hal yang tidak boleh dielakkan.  Anak hari ini, kita cakaplah apa pun, buat tak tahu sahaja. Macam bercakap dengan dinding batu. 
         “Pergilah cakap dengan dia! Risau mak long fikirkan masa depan dia,” pinta mak long dengan wajah penuh mengharap.
            Aku mengeluh berat.  Kenapalah asyik perlu jadi penasihat tidak bertauliah ini. Mak long tak tahu, kalau aku menasihat, boleh pecah gegendang telinga  sesiapa sahaja.Nak pergi ke tidak ini?  Aduh! Susah betullah.  Tengok wajah sepupuku itu pun buat hati sendiri bengang.  Orang lain sibuk dengan pelbagai urusan kenduri-kendara, dia boleh duduk goyang kaki sambil main telefon bimbit.  Pakai telefon punyalah canggih.  Macam sudah bergaji besar.  Tentu pak long yang belikan.  Ikut sangat kehendak anak sendiri yang memang pemalas dan tidak boleh diharap  itu.
            “Pergilah!” suruh mak long sekali lagi. 
           “Yalah, yalah!”  kataku, lantas bangun berdiri dan  berjalan ke arah adik sepupuku yang duduk santai bersendirian, macam tiada orang lain di sekelilingnya.
           Aku terus duduk di sebelahnya. Dia pula hanya memandangku sekali imbas dan melihat  telefon bimbitnya semula. Memang tak tahu hormati orang tua ke?  Kalau anak aku buat macam itu, sudah kuketuk kepalanya. 
           Kau fikir, kau siapa?  Besar kepala ya?  Aku ini kakak sepupu kau, hormatlah sikit, berhentilah tengok telefon itu.  Tengok aku ini, pernah tengok dan nampak aku ke? Bebelanku bermula.  Cantik telefon?  Tentu mahal? Siapa beli? Ayah? Sudah kerja?  Mengganggur? Tak nak sekolah?  Sudah pandai ya?  Nak jadi lembu ke?  Jangan nak jegilkan mata! Duduk situ diam-diam!  Aku menarik tangannya sebab dia sudah mula hendak melangkah pergi.
            Kau tak sekolah, kenapa?  Malas?  Kau tahu tak, orang yang tak ada ilmu selamanya akan dipandang bodoh!  Kau nak jadi budak bodoh ke?  Mak dan ayah kau jaga, belai, beri kasih sayang sejak dalam kandungan lagi, bila besar mereka harap kau jadi manusia berguna, berpelajaran, ada cita-cita, ada impian.  Bukan duduk rumah goyang kaki, besarkan badan!
            Masa mereka hidup, bolehlah layan kehendah dan keinginan kau, kalau mereka tutup mata, kau ingat ada orang akan kutip kau?  Sudahlah malas tak berpelajaran. Kau nak kerja apa?  Apa sahaja kerja sekarang ini, semuanya nak SPM, tak nak belajar sampai ke universiti, cukuplah sekadar ada SPM! Jangan nak degil! Jangan nak berlagak! Kena fikir 10 tahun dari sekarang. Kau waktu itu ada di mana? Sedang buat apa? Entah-entah sedang jadi gelandangan, tiada rumah, tiada keluarga, sebab orang malas ini, semua orang benci, orang meluat! Faham tak!?
            Kau ingat  abang dan kakak-kakak kau tak sakit mata tengok badan kau yang membulat macam tong dram terbaring seperti ular sawa kekenyangan.  Tangan pula tak henti-henti menekan telefon bimbit.  Kalau kau guna telefon itu untuk mencari info atau perkara yang bermanfaat tak apa juga! Ini buang masa, buang duit! Mak dan ayah kau juga yang menjadi mangsa untuk membajar top-up telefon kau!
            Kalau tak nak belajar, pergilah kerja! Jangan duduk goyang kaki macam putera raja. Kau ingat, kau siapa? Anak raja?  Tuan besar?  Mak dan ayah kau orang gaji? Pembantu rumah?  Hey… Kalau  kau anak aku, aku tembak dengan senapang patah! Hidup menyusahkan orang lain.  Memburukkan nama bangsa dan agama. Malukan mak dan ayah!  Memanglah muka kau muka tak malu, orang kutuk kau kata anak pemalas pun kau tak rasa apa-apa. Kau bangga digelar seperti itu agaknya.
            Ilmu perlu, bukan suruh jadi pandai, tetapi jadi bijak, jadi orang berilmu. Orang yang disegani adalah mereka yang tinggi ilmunya, bijak bertindak. Macam mana kau nak jadi bijak, kalau tak sekolah? Kau ingat boleh belajar sendiri?  Memanglah boleh tapi kau akan sesat jika belajar tanpa seorang guru.  Jangan sia-siakan usia muda kaulah!  Orang lain berlumba-lumba nak muda sebab nak terus nikmati kehidupan di dunia, kejar kejayaan, orang tua berlumba-lumba nak belajar, kau yang muda malas nak cari ilmu! Bosanlah, buang masalah!  Yang kau buat ini, tak buang masa ke?  Ini dipanggil apa? Memenuhi masa lapang?
            Nanti bila kau dah dewasa, keperluan kau sudah bertambah, kau ingat ada orang akan sediakan semua keperluan kau ke?  Kau ingat ada ke anak gadis yang akan suka dengan orang pemalas, tak sekolah seperti kau?  Cerminlah diri dulu, jangan ingat hidup di dunia ini hanya makan tidur dan bersuka ria sahaja.  Kita ada tanggungjawab yang tergalas di bahu.  Kau anak lelaki, kau bakal jadi ketua keluarga, kalau kau tidak ada ilmu apa yang akan kau ajar pada anak-anak kau nanti?  Kalau tidak berilmu, sekurang-kurangnya kau rajin bekerja, kau berusaha untuk membuktikan orang yang malas sekolah seperti kau pun boleh berjaya.  Tapi, nak berjaya macam mana, kalau asyik makan tidur sahaja!
            Satu kerja pun kau tak buat, umur muda lagi sudah nak hidup bersenang lenang tanpa berbuat apa-apa. Nanti kawan-kawan kau berjaya dalam kehidupan mereka, kau tidak jadi apa-apa hanya menjadi pengemis kepada kedua orang tua.  Selama mana kau nak hidup menyusahkan mereka?  Sedarlah diri, kembalilah ke sekolah.  Jangan fikir keadaan kau sekarang, kau kena fikirkan masa hadapan kau.  Fikirlah dengan tenang.  Ilmu penting, pelajaran penting.  Kembalilah ke alam remaja, kembalilah ke sekolah. Cuba tengok wajah kedua orang tua kau, kalau kau di tempat mereka, apa agaknya kau rasa jika anak kau nanti berperangai sama dengan kau, malas sekolah! Waktu itu kau nak marah pada siapa?  Kau sendiri malas, jangan haraplah anak-anak kau akan rajin belajar.  Nak dapat yang baik, kenalah jadi contoh yang baik kepada orang lain juga.  Ini tidak, kau menjadi contoh yang tak baik kepada orang lain.  Aku malas nak berleter panjang lebar. Kalau kau tak faham juga, aku tak tahulah.  Kau tahu tak, Islam pun menggalakan kita rajin belajar.  Kalau tak belajar, manakan  datang ilmu dan pengetahuan kita mengenai Islam. Ayat yang pertama turun pun berkisah tentang ‘BACA’. Baca bermakna belajar.  Faham tak!

           Kau ikut kawan-kawan kau yang malas belajar, kaki ponteng sekolah.  Kalau kau susah, agak-agak kau mereka akan tolong tak? Kau kenalah cari sendiri.   Kau ingat kawan-kawan kau akan bantu kau? Kalau mereka sendiri malas macam mana nak beri semangat pada kau? Carilah kawan yang mampu beri kau semangat untuk berjaya dalam hidup.  Jangan tersalah memilih, nanti sendiri yang rugi.  Sebelum terlambat, kembalilah ke pangkal jalan.
            Aku memandang wajahnya yang sudah bertukar muram. Telefon bimbit sudah dilepaskan dan diletak ke tepi.  Dia memandangku, matanya berair.  Takkan sedih sangat? Fikirku dalam hati. 
            Dia bingkas bangun dan berjalan menuju ke arah mak longku. Dia memeluk mak longku dan memohon maaf.  Wah! Hebatnya nasihatku.  Boleh mengubah orang dalam sekelip mata.  Bukan aku yang mengubahnya tetapi ALLAH yang telah mendengar doa mak longku yang tidak henti-henti untuk anak bongsunya itu.   Aku menarik nafas lega.  Kuharap tidak ada lagi saudara maraku yang malas belajar.  Aku melepaskan keluhan berat dan perasaanku berasa lega.

          

Khamis, 29 Oktober 2015

ASAP KELUAR BERBUNGA-BUNGA






            Aku memandang ke kiri, pandang ke kanan,  tercari-cari tempat duduk yang tidak diganggu gugat dengan hembusan asap rokok yang keluar asapnya berbunga-bunga.  Aku mendengus kasar.  Menyusahkan betul kalau makan di kedai mamak. Tiada tanda     DILARANG MEROKOK! Sedangkan sudah dimaklumkan oleh kerajaan bahawa tidak boleh merokok di tempa awam.
            “Duduk sini ajelah,” kata suamiku sambil menarik kerusi, sudah bersedia melabuhkan punggungnya.
            “Tak nak!” jawabku sambil memuncungkan bibir. 
            Dia menoleh ke belakang.
            Empat orang remaja sedang sedap menghayati keenakkan menyedut asap rokok  dihisap.  Bukan main lagi.  Macam orang besar sahaja lagaknya.  Aku kira umur mereka tidak kurang daripada 15- 17 tahun. Masih bersekolah.  Amboi! Sedut, lepas, sedut, lepas! Hebat! Hebat! Kataku dalam  hati.  Bergelak ketawa, langsung tidak menghiraukan pandanganku yang tajam merenung mereka.
            “Duduk sinilah!” ajak suamiku.
            Aku menggeleng laju.  Uh! Tak sanggup menjadi salah seorang pesakit kanser paru-paru. 
            “Habis tu nak duduk kat mana?” soal suamiku agak kasar. Dia sudah mula menjegilkan mata.
            Aku mengangkat kening dan terus berdiri di meja anak-anak remaja tersebut.  Aku menghentak meja. 
            Sudah lama hidup?  Bukan main sedap kau hisap ya?  Kau nak mati sangat, baik terjun sungai atau laut!  Kau tahu tak rokok tu haram! Tak belajar di sekolahkah?  Tak baca bukukah? Suratkhabar? Kau tahu tak, orang sekeliling kau lebih berisiko dan tinggi  peratusnya untuk mendapat kanser paru-paru berbanding penghisap rokok! Ingat jantan sangatlah ya!
            Hei! Duit nak belanja sekolah pun minta mak bapak, ada hati hisap rokok?  Mula-mula hisap rokok, lepas tu lebih berani, hisap dadah pula.  Berhentilah! Usia kalian masih muda, usah dijahanamkan dengan benda-benda haram ini.  Belum pun usia mencecah 40-an sudah mengidap kanser paru-paru, bukan kau sahaja yang akan mengidap, orang yang sering bersama-sama dengan kau pun akan terbabitlah.
            Kasihanlah dengan diri sendiri, kasihanlah dengan mak bapa.  Tak sedap mana rokok tu, membazir sahaja.  Kau bakar duit dalam tidak sedar.  Kenapalah kau ikut kehendak manusia yang jahat dan banjingan betullah mereka yang ajak kau menghisap rokok.  Biar tutup syarikat yang menjual rokok ini.  Mereka merosakkan kesihatan orang awam, anak-anak muda apalah mereka tahu. Mereka nak sahaja mencuba.  Kononnya, macholah kalau merokok ini.  Macholah sangat.  Nak jadi anak jantan bukan dengan hanya pegang batang rokok dan keluarkan asap berbunga-bunga.  Itu bukan jantan!  Itu berlagak jadi jantan!  Kalau nak tunjuk jantan sangat, jadilah orang berani yang berjuang membawa kebaikan. Bukan hanya pada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. 
            Kau sedar tak, dalam waktu yang sama, kau sudah menjadi pembunuh! Kau bunuh orang sekeliling kau yang menghidu bau asap rokok tersebut! Kau mana sedar, kau sedap sahaja menyedutnya. Kau peduli apa, jika orang itu jatuh sakit. Ada kau kisah?
            Aku cakap sebab aku kasihan dengan umur kau yang muda itu.  Jangan bazirkan masa dengan buat kerja-kerja yang tidak diredhai ALLAH.
            Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”. 
            Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
            Cuba tengok dan bacalah! Jangan besar kepala sangat. Kau itu masih belajar, buatlah cara masih belajar.  Tak usah nak cuba jadi orang dewasa yang kadang-kadang bongok juga. Entah apa sedapnya merokok? Bila usia sudah sampai  peringkat tua, barulah nak berhenti, sebab dah sakit.  Masa itu sudah terlambatlah.  Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Takkan itu pun tak tahu!
            Aku benci perokok dan aku tak suka berada di persekitaran mereka yang merokok! Memang tidak selesa. Nafasku sesak jika terbau asap rokok.  Boleh tak kalian berambus sebelum aku panggil polis, panggil mak bapa kalian.  Entah-entah mak dan bapa kalian pun tak tahu yang kalian berempat ini merokok.
            Nasib baik kalian anak orang, kalau anak aku sudah lama kusepak sahaja muka itu. Tidak layaklah jadi manusia jika kalian sudah menjadi pembunuh dalam senyap.  Tak bunuh apanya?  Asap rokok itu mampu membunuh manusia, tak tahukah?  Itulah orang suruh belajar, kalian ponteng sekolah.  Lepas itu menyusahkan mak bapa.  Duit habis digunakan untuk beli rokok. 
            “Sudahlah tu!” suamiku menarik tanganku.
            Aku menolaknya perlahan.  Terkebil-kebil budak-budak remaja itu memandangku. Beberapa orang dewasa yang turut ada rokok di tangan mereka, angkat kaki berlalu pergi.  Terasalah agaknya.  Biarlah! Ada aku kisah?  Jangan mereka juga bunuh anak-anak dan isteri mereka sudahlah.  Mana tidaknya, kalau sudah hisap rokok dalam rumah.  Yang anak dan isteri pula, janganlah duduk dekat dengan mereka yang jadi penghisap rokok tegar ini.  Memang ada kesannya.  Seorang teman baik suamiku waktu di zaman sekolah, meninggal dunia kerana menghidap kanser paru-paru.  Arwah seorang perempuan, dia bukan penghisap rokok. Bila diselidiki, suami arwah adalah penghisap rokok tegar dan dia selalu duduk disamping suaminya yang sedang merokok.  Kesannya bukan kepada si perokok tetapi yang menjadi mangsa adalah mereka yang kita sayang.
            Beringatlah sebelum terjadi perkara yang tidak baik, beringat sebelum kena.  Berhentilah, tidak rugi apa-apa pun. Malah bermanfaat untuk semua. Kita memberi persekitaran yang baik kepada manusia yang lain, itu juga pahala. Memberi keselesaan kepada manusia  lain juga akan dapat pahala. 
            “Dah, berambus!” halauku. 
            Terkocoh-kocoh keempat-empat remaja itu keluar dari restoran tersebut.
            Suamiku pula mencubit lenganku.  Tanda proteslah itu.  Ada aku kisah?  Sekurang-kurangnya leteranku tadi buat mereka yang menghisap rokok di dalam restoran itu berlalu pergi  Tenang dan aman rasanya.  Aku tersenyum dalam hati. Dengan muka selamba, aku terus duduk dan memesan makanan. Mata-mata yang memandang tidak kupedulikan.  Kalau tidak ada menegur, siapa yang akan sedarkan anak-anak remaja itu tentang  bahaya merokok ini.  Mungkin mereka tidak ikut sekarang, mungkin satu hari nanti mereka akan ingat juga.