Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 18 Oktober 2019

DUNIA TANPA SEMPADAN - ASMAH HASHIM.

Hari ini, dunia tanpa sempadan ini telah melahirkan ramai manusia yang tidak beradab dan berakhlak.
Manusia semakin berubah, menjadi raksasa tanpa diduga. Buruk tingkahlaku. Tidak tahu malu. Hilang rasa hormat kepada orang lain, atas nama kebebasan bersuara seperti yang dilaung-laungkan oleh orang barat. Apa sahaja datang dari sana kita anggap bagus dan tepat.
Biarpun dunia akhir zaman yang sering kita sebut-sebutkan tetapi bukan semua perkara kita boleh letakkan kesalahan itu kepada dunia yang telah uzur ini.
Ada manusia semakin suka memperlekehkan dan mempersoal kepakaran orang lain hanya berasa segala ilmu di dunia ini dia sudah hadam dan baca. Segalanya di hujung jari, oleh itu kita berasa bijaksana dan betul dalam segala hal. Sehingga kita lupa, merujuk sesuatu perkara itu perlulah daripada yang pakar.
Zaman dahulu, mereka yang menghina raja akan dikenakan hukuman pancung. Zaman ini, anak-anak rata-ratanya sudah pergi ke sekolah dan masuk universiti, sepatutnya semakin bijak dan tinggi integriti. Rupanya, ilmu dunia membuat manusia lupa diri dan bongkak dengan lidah yang tidak bertulang itu, sehingga tidak tahu membezakan, apa ini, siapa itu.
Menghina satu perkara yang seronok dilakukan. Di mana adab sebagai seorang yang berpelajaran? Inilah bahananya, belajar hanya kerana nak lulus periksa dan dapat kerja. Ilmu bukan lagi menjadi perkara yang perlu dihadam dan diguna pakai untuk kebaikan.
Begitu juga peniaga barangan makanan tambahan. Banyak keburukan daripada kebaikan. Anti-vaksin ujud sehingga menyukarkan kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat agar tidak menghidapi penyakit yang berjangkit.
Sejak vaksin diwajibkan kepada penduduk negara ini, penyakit seperti batuk kering, kecacatan polio sudah semakin tiada lagi. Apa yang ingin kita banggakan dalam hidup ini, menjadi pelampau dan penentang yang tidak menguntungkan sesiapa?
Allahuakbar! Wahai manusia, kita menjadi bongkak hanya kerana kita berasa hebat dengan ilmu yang sedikit berada dalam dada.
Kita kalah dengan nafsu sehingga kita tidak nampak kebenaran. Kita gelojoh mencari kekayaan sehingga tidak memperdulikan apa sahaja keburukan yang bakal terjadi dek kerana perbuatan kita itu.
Jadilah manusia yang beradab dan berakhlak! Kerana kemuliaan manusia ada di situ.

ULASAN ADA JIWA RESAH TANPA DIRIMU AYAH - ASMAH HASHIM.

Ada Jiwa Resah Tanpa Dirimu Ayah
Writer Write ( terbit sendiri)
Penyelenggara: Puan Sri Diah Shaharuddin
2019
298 muka surat
****/5
Siapa yang tidak sayang kepada lelaki bernama ayah. Tanpa ayah, tiada kita di dunia ini. Terlalu istimewa insan bergelar ayah/abah/bapa/papa ini.
Terkenangkan abah yang sudah lama meninggalkan kami pasti ada sebak di hati. Rindu yang tidak bertepi. Hanya doa pengganti diri, semoga arwah abah aman di sana.
Itulah intipati cerita dalam buku ini, 27 penulis, 27 cerita yang pasti mengusik hati. Boleh berjujuran air mata, akan terlahir sebak di dada. Hero yang jarang didendang, itulah ayah kita.
Karya yang bagus untuk dijadikan bahan bacaan buat semua golongan dan peringkat umur. Jasa ayah tiada tepinya. Kasih sayang mereka, kadang-kadang tidak terlihat dek mata, tetapi percayalah, dalam hati mereka tetap ada kasih sayang yang terlalu banyak buat insan bernama anak kepada mereka
Tahniah buat semua ahli kumpulan yang berjaya menerbitkan buku ini.
Tahniah buat semua penulis. Tahniah juga buat Puan Sri Diah kerana berjaya dan berusaha menerbitkan buku ini.

JADILAH ORANG BAIK- ASMAH HASHIM.

Menjadi orang baik, menegur orang berbuat baik, belajar menjadi manusia yang baik, bukan kerana seseorang itu berlagak 'alim, tetapi kerana Allah swt suka kepada orang yang baik.
Baik bukan bermakna seseorang itu tidak melakukan dosa, tetapi seseorang yang baik itu, adalah mereka yang menjaga hubungannya dengan Allah. Menjaga hubungannya sesama manusia. Tiada rasa dengki, iri hati dan suka mengadu domba.
Seseorang yang baik, adalah mereka yang beradab dan berakhlak. Menyayangi orang lain seperti menyayangi dirinya sendiri.
Seseorang yang baik, tidak cepat melenting apabila ditegur. Boleh menerima dan memberi nasihat.
Seseorang yang baik sentiasa mengajak orang lain melakukan kebaikan.
Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi orang yang baik-baik agar Allah pandang dan diterima masuk ke syurga-Nya. Insya Allah.

DIDIKLAH ANAK-ANAKMU - ASMAH HASHIM.

Anak adalah amanah daripada Allah swt kepada kedua orang tua. Bagaimana cara orang tua mendidik, maka hasilnya akan dihadap sendiri.
Beruntunglah orang tua yang mendidik anak-anak berjaya di dunia dan akhirat. Orang tua yang gagal menjadikan anak-anak mereka yang taat perintah Allah, perlu muhasabah diri. Kerana, anak yang diberi bukan hak sendiri, tetapi dipinjamkan Allah kepadamu.
Kegagalan mengenalkan mereka kepada Allah swt sejak dalam kandungan, kesannya akan terlihat setelah mereka membesar. Solat tidak mahu, mengaji tidak tahu. Belajar pun malas.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal ketika di sana nanti kau ditanya akan amanah ini. Anakmu, hak Allah, dihantar kepadamu agar kau didik mengenal dan mencintai penciptanya.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal, ketika kau sudah kembali mendekati Allah swt, anakmu liat untuk sujud kepada Allah swt.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal, setelah tuamu, anak-anak tidak mahu berbakti kepadamu dan menjadi derhaka kerana kau terlebih dahulu derhaka kepada Allah apabila kau biarkan anak-anakmu tidak taat dan sujud kepada Allah.
Wahai ibu ayah, usah kau kesal apabila anak-anakmu tidak beradab dan berakhlak kerana kau sendiri membentuk mereka menjadi tidak beradab dan berakhlak.
Perjalanan kita masih jauh, bukan di dunia, tetapi di akhirat. Bagaimana cara kita menyemai benih di dunia ini, akan kita lihat hasil tanaman ketika di sana. Ketika itu usah kesal jika tanamanmu tidak subur dan segar. Usah kau kesal ketika itu. kerana benihnya kau sendiri yang tabur, bajanya kau sendiri yang letak, airnya kau sendiri siram.
Wahai teman-temanku, kalau inginkan tanamanmu yang subur dan segar, taburlah benih keimanan, kesolehan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt.
Jagalah hubunganmu dengan Allah swt.

KALAULAH AKU BERKUASA... - ASMAH HASHIM.

Mata kasar melihat. Mata hati menangis sedih. Kalaulah diri ini berkuasa untuk mengubah keadaan, akanku paksa semua manusia beriman kepada Allah.
Kalaulah aku berkuasa, akan kupaksa semua manusia saling berkasih sayang dan saling menghormati.
Kalaulah aku berkuasa, akan kupaksa semua manusia berbuat kebajikan, yang kaya membantu yang miskin.
Kalaulah aku berkuasa, akan kutentang negara yang rakus membunuh sesama manusia.
Kalaulah aku berkuasa, akan kubimbing anak-anak dunia menjadi manusia beradab dan berakhlak.
Kalaulah aku berkuasa, tidak akan kubiarkan manusia merosakkan diri mereka menjadi jahat tanpa sempadan...
Kalaulah aku berkuasa, tidak akan kubenarkan wanita-wanita menjadi hamba sex dan berpakaian seksi di jalanan.
Kalaulah aku berkuasa... 

BAHAGIA TIDAK DATANG SENDIRI - ASMAH HASHIM.

Kehidupan rumahtangga dahulu dan sekarang banyak bezanya. Isteri-isteri dahulu, hampir ke semuanya tidak bekerja. Suami-suami pula kerja buruh sahaja, belum ada lagi berjawatan tinggi, kecuali memang dilahirkan dari keluarga yang kaya raya. Jarang berlaku penceraian kerana isteri - isteri dahulu sudah biasa hidup susah. Apa sahaja yang diberi dan disediakan oleh suami, mereka redha dan terima apa adanya. Bahagia hidup sehingga ke akhir hayat.
Taraf kehidupan di zaman ini banyak mengubah cara pemikiran pasangan yang sudah berumah tangga. Lelaki ramai yang semakin tidak bertanggungjawab hanya kerana isteri mereka bekerja dan boleh uruskan sendiri segala urusan rumah tangga. Mereka boleh pula lepas tangan, tidak ambil peduli.
Isteri pula, sering berasa besar diri kerana menyara keluarga, sehingga hilang rasa hormat kepada suami. Ada masalah, mudah sahaja minta cerai, kerana berasa mampu menyara diri sendiri dan anak-anak.
Sebuah rumah tangga, bahagia, derita biarlah bersama. Susah senang bersama. Bersengketa, berkecil hati, itulah asam garam kehidupan ini. Terima dia seadanya. Hiduplah dengan apa yang disediakan, hidup bersederhana dalam semua perkara. Paling penting sentiasa bersatu hati, supaya kasih sayang tidak berkurang.
Bahagia tidak datang sendiri.

AJARLAH ANAK BERCAKAP BENAR- ASMAH HASHIM.

Sukarnya mendidik anak-anak agar bercakap benar. Sifat semulajadi anak-anak adalah akan bercakap benar. Tetapi, dalam situasi tertentu mereka akan bercakap bohong. Terutama ingin melepaskan diri daripada dihukum.
Bercakap benar merupakan akhlak. Bukan mudah untuk mereka yang melakukan kesalahan berlaku jujur kepada orang lain dan diri sendiri. Bercakap soal kesalahan dan mengaku melakukannya perlukan kekuatan hati yang padu. Sikap dan akhlak ini semakin hari semakin terhakis dalam diri mereka.
Seorang anak yang berakhlak mulia sudah pasti berani mengaku biarpun kecil sahaja kesalahannya, ia mencerminkan keperibadian yang utuh, jujur dan bertanggungjawab.
Bukan mudah memiliki anak-anak yang mampu bersikap seperti ini. Keperibadian mulia ini, ia perlu dibentuk, dididik dan diasuh sejak kecil agar berani berkata benar. Berani menerima hukuman biarpun sekeras manapun hukuman yang diterima.
Sekali berbohong dan kita terima pembohongan itu tanpa kita sedari ia membentuk keperibadian dan akhlak yang tidak baik dalam diri mereka. Lama-kelamaan mereka tahu bagaimana hendak melepaskan diri daripada dihukum.
Perhatikan sikap anak-anak kita sewaktu ditangkap melakukan kesalahan, apa reaksi mereka? Apa pula yang kita lakukan untuk memastikan anak-anak sentiasa bersikap jujur biarpun pahit buat mereka.
Didiklah anak-anak agar sentiasa berani mengaku melakukan kesalahan. Tidak takut menerima hukuman. Nasihatilah kenapa mereka wajib berlaku jujur. Mereka yang berani mengakukan kesalahan adalah seorang yang bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan merupakan satu sikap seorang yang berakhlak mulia.

SANTUNI ANAK-ANAK YATIM- ASMAH HASHIM

Beruntungnya mereka yang mempunyai anak yatim dan mendidik mereka menjadi anak yang soleh, beriman dan bertakwa.
Ruginya mereka yang dikurniakan anak yatim tetapi mensia-siakannya terbiar dan tidak terdidik.
Tahukah ibu-ibu yang kematian suami, anak-anakmu itu telah menjadi yatim dan kau menjaga mereka dengan baik, mendidik dan menyantuni mereka sehingga dewasa, pahala mengalir seperti air terjun yang tiada hentinya. Merekalah ladang pahala buatmu. Hidupmu diberkati dan dirahmati oleh Allah swt.
Tahukah wahai suami-suami yang berkahwin dengan balu-balu dan mempunyai anak-anak yatim, betapa bertuahnya dirimu kerana memiliki ladang pahala. Tetapi sayang, ramai yang mensia-siakan mereka.
Mereka yang menjaga anak yatim, mendidik, mengajar mereka menjadi hamba Allah beriman, beramal soleh, beradab dan berakhlak diakhirat nanti akan bersama Nabi Muhamad saw.
Oleh itu, ibu-ibu, ayah-ayah, saudara mara kalau ada anak yatim dikalangan keluargamu, peliharalah mereka kerana besar manfaat buatmu dan kehidupanmu di akhirat kelak.

USAH SIBUK HAL ORANG - ASMAH HASHIM.

Kuliah muslimat pagi tadi buatku terfikir. Ustazah kata, seorang isteri harus sentiasa mengembirakan suaminya tidak kira kegembiraan si suami itu yang bagaimana.
Ada suami, gembira dan suka isterinya bersolek.
Ada suami yang suka isterinya selekeh setiap hari.
Ada suami yang suka isterinya rajin memasak.
Ada suami yang suka isterinya jaga anak saja, tak perlu pandai memasak
Ada suami yang suka isterinya membebel.
Gembiranya suami terhadap isterinya tidak sama antara satu sama lain. Ia bersifat subjektif.
Apapun masalah mereka dalam rumah tangga kenapa kita orang luar suka beri komentar? Kerana kita sibuk dengan urusan orang lain.
Nasihat ustazah, JAGA HATI DAN LIDAH.

UJIAN HIDUP - ASMAH HASHIM

Ujian tiada duit dan hidup susah, perlahan-lahan kita berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang banyak. Ujian diuji dengan kesakitan, sukar disembuhkan selagi tiada keizinan Allah swt.
Ujian paling gentar adalah ujian sakit. Bukan sakit demam atau luka terkena pisau. Tetapi ujian sakit berat seperti strok, kanser dan sakit-sakit berbahaya yang lain.
Kalau melangkahkan kaki ke hospital, terlihatlah wajah-wajah manusia yang diuji Allah dengan pelbagai penyakit yang tidak pernah terduga akan dialami setelah lanjut usia.
Seperti kata Baginda Rasulullah dalam hadisnya, punca segala penyakit adalah perut. Berhati-hatilah menjamah dah memilih makanan agar tidak memudaratkan. Makanan fizikal dan rohani biarlah seiring terjaga kebersihan dan halalnya. Jaga juga, punca rezeki yang masuk ke dalam perut. Doa jangan lupa dibaca. Carilah rezeki yang halal.
Hati juga harus dijaga. Jika baik seketul daging itu, baiklah seluruh anggota tubuh kita. Hati yang ada dengki, iri hati dan khianat, akan mengalirkan racun dalam seluruh tubuh badan dan boleh membuatkan tubuh kita mudah dihinggapi penyakit. Hati yang sihat, suci bersih akan mengalirkan aura positif dalam tubuh dan membuatkannya segar dan tenang.
Umpama air sungai, kalau dibiarkan kotor dan berkeladak, sudah tentu ianya tercemar.
Kita sakit bukan hanya sebab kita berdosa, tetapi sebagai ujian tanda Allah sayang dan ingin kita sentiasa mengingatinya. Ujian sakit yang diberi adalah ladang pahala bagi mereka yang sabar dan tabah. Terimalah ujian itu dengan tenang kerana ganjarannya besar diberi Allah.
Kesakitan adalah pencuci dosa-dosa kecil yang tidak kita sedar pernah berlaku kepada diri.
Semoga teman-teman yang ditimpa sakit tetap sabar dan tabah. Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberi kesembuhan aamiin.

JALAN PULANG - ANTOLOGI SEMINAR BONDA NOR.

Jalan Pulang.
Antologi Seminar Bonda Nor.
Galeri Ilmu.
2019.
201 muka surat.
****/5 bintang.

Setiap orang pasti pernah melakukan kesalahan. Tidak kira besar atau kecil. Ketika melakukan kesalahan tetapi tiada keinsafan tanda hati mati. Ketika melakukan kesalahan, timbul keinsafan dalam diri, tanda mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah swt.

Tidak kira sebesar manapun kesalahan yang dilakukan, pintu taubat masih terbuka. Kalau sesat jalan, carilah jalan pulang.

Itulah intipati dalam buku ini. Kisah benar penulis-penulis terlibat yang pernah melakukan kesalahan, kemudian mereka menyesali dan kembali ke pangkal jalan.

Tahniah buat semua penulis yang terlibat. Boleh dijadikan sempadan buat pembaca dan memahami, dalam hidup ini tetap ada jalan pulang.