Nazatul
memeriksa jumlah penghuni RIKA yang berdaftar. Semakin hari semakin bertambah.
Dia perlu berbuat sesuatu. Membesarkan tempat itu. Perlu penambahan bangunan
baharu. Dia mengeluh. Malam semalam,
Rabeta membawa pulang empat orang lagi. Tiga daripadanya masih bersekolah. Kasihan, salah seorang daripadanya nyaris
dijadikan pelacur. Nasib baik sempat
diselamatkan.
Zara pula ke kedai milik RIKA,
melawat dan memastikan segala urusan berjalan lancar. Rabeta pula sibuk dengan urusan
perkahwinannya yang semakin hampir.
Lusa dia perlu ke mahkamah, kesnya meminta cerai fasakh akan
dibicarakan. Dia berharap Zaheer akan
hadir. Menurut peguamnya, Zaheer tidak dapat dihubungi dan
tidak tahu di mana lelaki itu tinggal.
Susahlah kalau begini, dia mengeluh keras.
Usai mengemas kini, dia melangkah
keluar dari pejabat. Beberapa orang pekerjanya tekun dengan tugas
masing-masing. Suasana tenang dan damai di RIKA membuatkan jiwanya
tenteram. Bunyi bising-bising di pintu
pagar membuatkan matanya beralih ke arah itu.
Kelihatan pengawal keselamatan sedang bergaduh dengan seseorang. Dia menuruni anak tangga dan menuju ke pintu
pagar. Dahinya berkerut.
Lelaki itu berpakaian lusuh, memaki
hamun pengawal keselamatan yang tidak
membenarkan dia masuk. Nazatul
mendekati.
“Ada apa encik?” tegur Nazatul.
“Bagi anak aku balik? Siapa benarkan kamu bawa mereka lari?” tengking lelaki itu sambil mencekak
pinggang. Matanya membulat memandang
wajah Nazatul.
“Anak-anak encik? Siapa nama
mereka?’ tanya Nazatul.
Nazatul pasti lelaki itu ada kena
mengena dengan empat orang mangsa yang baharu sahaja masuk semalam. Dia memandang pengawal keselamatan dan
mengarahkan sesuatu dengan ekor matanya.
Bagaikan mengerti, pengawal keselamatan terus mencapai telefon.
“Kau jangan nak bersandiwara dengan
aku! Aku tahu mereka ada di sini? Apa
hak kau nak culik mereka? Aku boleh
saman kau kerana menculi anak-anak aku!” marah lelaki itu lagi.
“Culik? Jangan sebarang tuduh ecik. Kami tak culik anak-anak encik.” Nazatul
menafikannya.
Lelaki itu menolak Nazatul dengan
kasar hingga hampir tersungkur. Pengawal
keselamatan yang masih berdiri memerhati, cuba memukul lelaki itu. Nazatul
menghalang.
“Encik jangan main kasar. Kalau encik berkasar, saya takkan berdiam
diri,” kata Nazatul sedikit kasar. Geram
pula tengok manusia yang tidak berbudi bahasa ini.
“Kau yang main kasar! Pulangkan
anak-anak aku!”jerkah lelaki itu.
“Baik encik balik!” halau Nazatul.
“Kau jangan nak halau aku! Aku
takkan balik selagi anak-anak aku tak kau pulangkan! Manusia jenis apa kau ni,
ambil anak orang tanpa kebenaran?”
“Manusia jenis apa encik ini hingga sanggup membiarkan anak
sendiri dilacurkan?” tengking Nazatul. Geram pula dengan perangai kurang ajar lelaki
itu. Tahu marah dia sahaja. Dia juga berhak marah.
“Itu aku punya pasal!” lengking lelaki itu. Mukanya cemberut.
“Punya pasal? Tunggulah hingga kami dakwa encik,” kata Nazatul.
Jika lelaki itu masih berkeras, dia tidak teragak-agak mengambil
tindakan terhadap lelaki itu.
“Aku nak tengok sejauh mana kau
berani?” kata lelaki itu keras.
“Apa bising-bising ni?” sapa seorang lelaki berpakaian seragam
polis. Dia mendekati Nazatul dan lelaki
yang bising-bising di pintu pagar RIKA.
Lelaki itu menoleh.
Fakhrul mencekak pinggang, memandang
wajah lelaki itu. Dia mengangkat kening.
“Erk… mereka ni culik anak-anak
saya, encik,” kata lelaki itu, wajahnya
pucat.
“Culik? Awak silap agaknya. Anak gadis awak yang meminta bantuan daripada
salah seorang pekerja di sini. Antara aduannya, awak telah menjual anak awak
kepada peminjam wang haram dan mereka pula telah menjualnya kepada seorang bapa
ayam. Kami jumpa anak awak di sebuah
rumah pelacuran sedang memperdagangkan diri, ada apa-apa yang ingin awak
jelaskan? Kalau tak boleh, kita boleh
berbincang di balai,” kata Fakhrul. Dia
benar-benar marah dengan ayah yang tidak bertanggungjawab. Hanya mementingkan diri sendiri.
“Erk… mana boleh macam itu
encik.”
“Awak tahu undang-undang ke?”soal Fakhrul.
“Saya ada waran tangkap terhadap
awak. Anak awak telah buat laporan polis.
Ikut saya balik ke balai.” Fakhrul mengeluarkan gari dan terus menggari
lelaki itu. Kehadirannya ke RIKA sengaja menempah masalah. Puas anggotanya mencari lelaki itu di tempat
biasa yang sering dia melepak. Rupanya
dia buat kecoh di sini. Bagaimana pula
lelaki itu tahu Rumah Ikatan Kasih? Persoalan yang sedang bermain di
benaknya. Pasti ada yang memberitahu.
“Takkan saya ditahan, encik? Lepaskan saya. Saya tak salah!’ rayu lelaki itu. Hilang sudah marahnya.
“Awak ni manusia ke? Seorang ayah
ke? Anak sendiri awak lacurkan? Awak ingat dengan berjudi, awak boleh kaya?
Senang ke hidup awak? isteri awak pun melarikan diri, anak-anak pula
terbiar? Hidup awak bererti ke? Bahagia?
Tenang? Datang sini nak marah orang lain, atas kesilapan diri sendiri? Awak
ingat negara ini tiada undang-undang?”
soal Fakhrul bertubi-tubi, sebelum memanggil orangnya membawa lelaki itu
ke kereta peronda yang sudah sedia menunggu.
“Encik! Saya tak salah!” jerit
lelaki itu. Dia meronta untuk melepaskan
diri.
“Terima kasih Fakhrul,” ucap Nazatul.
“Rabeta mana?” tanya Nazatul semula.
“Dia jumpa anak-anaknya, mereka
temankan dia membeli barang-barang hantaran,” cerita Fakhrul sambil tersenyum
bahagia.
“Akak tumpang gembira untuk kamu,
tak sabar nak jadi ‘emak’ pengantin,”
usik Nazatul.
Mereka sama-sama tersenyum.
“Bagaimana dengan Huda dan
adik-adiknya?” Fakhrul menoleh memandang
ke arah kereta peronda polis yang bergerak meninggalkan kawasan
itu. Fakhrul melambai.
“Dia akan dihantar ke rumah anak
yatim, mungkin di sana dia dan adik-adiknya boleh dapatkan pelajaran dan
pengawasan yang lebih baik. Akak sudah
pun buat laporan kepada pihak Kebajikan Masyarakat. Mereka akan ambil tindakan
segera untuk menyelamatkan budak-budak itu.
“Alhamdulillah, kalau tak ada
apa-apa, saya minta diri dulu, ada tugas lain menanti.” Fakhrul memohon
diri.
“Terima kasih Fakhrul,” ucap Nazatul.
***
Rabeta
tersenyum riang di samping kedua orang anaknya. Jasmina sudah lebih tenang.
Kamarul pula sesekali turun ke RIKA. Dia berasa lega kerana keterbukaan mereka.
“Mama tak nak balik tengok Nenek
Kemboja?” Kamarul menghabiskan nasi goreng kampung yang berbaki di dalam
pinggan.
“Nantilah dulu, mereka masih marah,”
jelas Rabeta. Siapa yang tidak rindukan orang tuannya
itu. Rindu yang menyapa di hati, kasih
sayang yang tidak pernah bertepi. Semua itu menggugat dan membuatkan hatinya
merana. Kalaulah mereka tahu apa yang dia rasakan ketika itu.
“Nenek rindu sangat dengan mama,
cubalah telefon. Sekurang-kurangnya hati nenek lega jika tahu mama sihat saja,”
ujar Jasmina. Hidupnya lebih tenang. Panggilan daripada Zaheer langsung tidak
dijawab. Tidak teringin langsung untuk bertemu lelaki itu. Lelaki yang telah
menghancurkan hatinya, menelan kepercayaannya.
“Nantilah, mama belum bersedia.”
Hatinya masih terasa pedihnya. Biarpun kasih mereka menggunung terhadapnya,
demi nama baik keluarga, dia rela hidup terbuang.
“Okeylah, barang-barang semua dah
beli. Kami tumpang gembira untuk mama,
semoga mama bahagia di samping suami baharu nanti,” ucap Jasmina, lengan
mamanya diraih, dipeluk erat.
“Terima kasih sayang.” Rabeta
mencium pipi Jasmina.
“Kamarul! Jasmina! Buat apa di
sini?” jerkah seorang lelaki. Mata lelaki itu membulat memandang Kamarul dan
Jasmina.
“Ayah!” Kamarul dan Jasmina bingkas
bangun.
Rabeta terdiam. Wajah cemberut
Ramadan dipandang dengan mata penuh simpati.
“Ayah dah pesan, jangan jumpa dia ni,
kamu degil ya?” marah Ramadan. Mati-mati dia ingatkan anak-anaknya akan
menuruti arahannya. Sakit hatinya melihat kemesraan mereka sejak dari tadi. Dia
ditipu hidup-hidup oleh kedua orang anaknya.
“Ayah, janganlah macam ni, orang
tengok tu, malulah!” tegur Jasmina.
“Tahu malu! Kamu keluar dengan
penjenayah tak malu?” soal Ramadan, geram.
“Ramadan!” Rabeta mengetap bibir.
Tidak henti-henti panggilan itu diletakkan di kepalanya.
“Pergilah balik, Kamarul, Jasmina.
Lain kali kita bertemu lagi ya.” Rabeta memujuk. Pipi Jasmina dibelai. Dia
tidak mahu mereka menjadi mangsa kebencian Ramadan terhadap dirinya. Hati kalau sudah tidak suka, semua buruk di pandangan
mata.
“Kau jangan ganggu anak-anak aku!”
tengking Ramadan.
“Tanpa saya anak-anak ini tak
ada,” balas Rabeta. Bekas suaminya hanya
tahu memarahi dirinya, dia juga tahu
marah.
“Dasar perempuan…” Ramadan menjeling tajam.
“Nak kata saya perempuan apa?”
Rabeta menjegilkan mata. Jangan sesedap rasa sahaja hendak menghina.
Para pelanggan yang berada di medan
selera itu memandang ke arah mereka. Telinga mendengar, mulut sudah mula
memberi komen.
“Padanlah Zaheer cari kau sampai ke
rumah, Habiskan masa dengan perempuan ni, rupa-rupanya.”
“Perempuan ini, mama Jas, ayah. Mama
kandung Jas. Mama berhak bertemu kami.
Kami sudah cukup dewasa untuk membezakan baik dan buruk.” Tiada langsung
berniat hendak menyakitkan hati ayahnya, tetapi sikap ayahnya terhadap mamanya
memang tidak boleh diterima. Apa lagi yang ayahnya inginkan? Berapa lama lagi harus menghukum mamanya itu?
“Dah pandai melawan ya? Kerana dia, kamu
sanggup melawan ayah yang membesarkan kau orang? Selama ini, dia buat apa,
hah?” Apa jasa dia?”
“Ayah? Kami bukan melawan. Ini
hakikat. Perempuan yang ayah benci ini adalah mama kandung kami, tidak kira
berjasa atau tidak, membesarkan kami atau tidak. Inilah perempuan yang telah
melahirkan kami ke dunia ini.” Jasmina sedih dengan kata-kata ayahnya.
“Pergilah balik, malu orang tengok
kita bertengkar seperti budak kecil. Maafkan anak-anak, Ramadan. Mereka tidak
bersalah, saya yang ajak mereka tadi.” Rabeta mengangkat beg plastik yang
berisi barang-barang hantarannya. Dia tidak menoleh lagi. Kewajarannya untuk
menunggu di situ sudah tiada. Penghinaan Ramadan keterlaluan terhadap dirinya.
“Mama!” panggil Jasmina. Dia
mengejar Rabeta.
“Jas!” panggil Ramadan pula.
Jasmina menoleh. Air matanya sudah
merembes keluar. Hiba hatinya melihat ayahnya sewenang-wenang menghina mamanya.
Tiada sedikit pun rasa simpati atau bersalah. Seolah-olah mama tidak pernah
wujud dalam hidup mereka. Yang ada hanyalah kebencian yang bertakhta di hati.
“Ayah kejam, tak baik ayah malukan
mama seperti itu. Mama juga manusia, ada perasaan, ada maruah diri,” tegur
Kamarul. Kalau dia duduk di tempat mamanya pasti hatinya terhiris luka.
“Kau diam!” marah Ramadan. “Jom
balik!” perintah Ramadan lagi.
Jasmina dan Kamarul tegak berdiri.
Berasa kecewa dengan sikap Ramadan. Tentu hati mama mereka terluka, sedih dan
pasti hari ini mama akan berendam air mata. Jasmina mengeluh keras. Kamarul menunduk dengan perasaan membuak-buak
kemarahannya. Ya ALLAH, aku tidak mahu menjadi anak durhaka, tetapi sikap
ayahnya yang tidak mahu memaafkan memang menjengkilkan.
“Kau orang nak ayah heret korang ke
kereta?” ugut Ramadan. Tidak peduli lagi dengan pandangan dan renungan orang
lain. Ini keluarganya, haknya untuk
melakukan apa sahaja.
“Jom balik Jas, jangan kita jatuhkan
maruah diri kita lagi,” ajak Kamarul, tidak mahu memanjangkan cerita. Nanti
kalah pula drama adaptasi.
“Ayah tak ada perasaan!” kata
Jasmina keras. Dia menonong jalan selaju yang boleh, meninggalkan ayah dan
abangnya di belakang, Air matanya masih lagi mengalir. Wajah sugul mamanya
menyinggah di mata. Terasa pedih di hatinya. Hdup sebagai banduan tidak pernah
mengundang gembira, hingga sudah keluar pun memanggil kedukaan duduk bersama.
Rabeta mengesat air mata yang
mengalir. Sampai bila dia harus dihina oleh orang yang amat dikenali dan pernah
bertakhta di hatinya? Kalau orang orang,
dia mungkin boleh menerima kerana mereka tidak mengenali siapa dirinya, tetapi
penghinaan diterima daripada lelaki yang pernah duduk bersama, tidur sebantal
dan makan sepinggan dengannya. Tidak kenalkah lagi dengan dirinya? Semakin
difikir, semakin laju air matanya mengalir.