Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 31 Ogos 2016

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 26 - ASMAH HASHIM



Sebulan berlalu dengan begitu pantas. Dia sudah dapat menguasai bidang kerjayanya yang terbaharu, malah semakin cekap.   Maznah sudah mula mempercayainya.  Alhamdulillah.  Bekerja biar jujur dan bertanggungjawab.   Dia juga sudah cekap membantu di ruang hadapan restoran itu.  Kalau tiada siapa di kaunter bayaran, dia akan mengambil pesanan pelanggan.  Zaiton sering juga turun melepak di restoran itu sehinggalah restoran itu tutup.  Kesetiaan Zaiton mengusik hati kecilnya.  Manalah nak dapat sahabat sebaik Zaiton.
            Pelanggan datang dan pergi, berbagai kerenah boleh dilihat.  Sesekali ada juga para pekerja yang dimarahi kerana lambat menghantar minuman yang dipesan.  Ada juga mengadu makanan kurang sedap, macam-macam ragam manusia.  Kalau tidak sabar, rasanya sudah lama  restoran itu tutup.  Ditambah dengan kerenah pekerja yang ada ketika banyak songeh.  Datang lambat, ada kerja yang tidak beres dan lambat diselesaikan.  Kalau dia jadi majikan mahu cepat mengidap sakit jantung atau darah tinggi naik bertangga-tangga. 
            Rose membantu mengemas meja makan yang masih tidak dikemaskan.  Dia tidak boleh duduk dan tengok sahaja, memanglah ada pelayan yang akan melakukannya.  Kalau sudah dua tiga meja terbengkalai dan tidak berkemas, tidak mungkinlah dia akan tengok sahaja.  Dia perlu bantu mana yang perlu dan ringan baginya.  Segala sisa makanan dikutip dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Pinggan di isi ke dalam singki. 
            “Pelayan!”  panggil seorang pelanggan. 
            Rose memandang sekeliling. Beberapa orang pekerja yang lain sedang mengambil pesanan pelanggan yang ada.  Mahu tidak mahu, terpaksalah dia yang mengambil pesanan pelanggan yang baharu sahaja tiba.
            “Nak pesan apa cik?”  tanya Rose. Matanya langsung tidak memandang pelanggan tersebut. Ambil pesanan dahulu, perkara lain fikirkan kemudian. 
            “Hey, saya kenal awak?  Gadis hitam dari kampung, bercita-cita nak jadi setiausaha.  Takkan jadi pelayan restoran pula?” sindir seorang perempuan yang bergaya, cantik dan pasti sesiapa yang memandang akan tergoda dengan penampilannya.
            Rose mengerut dahi, bagaiku kenal suara itu, tetapi di mana ya? Bisik hati kecilnya sambil matanya terus memandang kepada empunya suara.  Cis! Perempuan ini lagi?  Kenapa dia ada di sini.  Rose memandang sekeliling. 
            “Ya  cik, nak makan apa?”  Rose masih berlagak biasa. Dia tidak mahu membuat kecoh di dalam restoran majikannya.   Bersabar sahajalah dengan penghinaan. Bukan luak dan sakit pun.  Cuma sakit hati sahaja. 
            “Kasihannya, jadi pelayan restoran?  Kalau Haikal tahu pasti dia ketawa berguling-guling.  Mak kau tahu ke kau jadi pelayan restoran?  Jangan sampai jadi GRO sudahlah ya.  Eee… siapa pula nak langgan perempuan hitam legam macam kau ni, kan?”  Ain terus menyindir tanpa ada perasaan belas ehsan di hadapan  rakan sekerjanya.
            “Kau kenal pelayan ni?” tanya salah seorang kawan Ain.
            “Tentulah kenal Min, perempuan inilah yang aku ceritakan tu.  Sudahlah buruk, sombong pula.  Sudahlah tak cantik berangan nak jadi setiausaha, agak-agak kaulah siapa yang sudi ambil dia jadi setiausaha mereka?  CEO mana yang sudah gila agaknya? Pengurus mana yang sudah buta warna?” Terus menyindir tanpa memikirkan perasaan Rose.
            “Laa, memang tak lawa langsung!”  kata Min tukang nasi tambah.
            Rose tidak berganjak dari meja itu. Kakinya berasa terkunci  dan tidak mampu digerakkan.
            “Hey, pelayan hitam legam.  Tengok kau pun aku tak selera nak makan, boleh panggilkan pelayan yang lain tak?” jerkah Ain dengan mata membuntang.  Pandangan yang penuh perasaan benci dan jijik.
            “Kenapa ni cik?  Ada masalah?” sapa  Maznah yang sejak tadi memerhatikan sahaja perangai dua orang perempuan dan Rose.  Dari kaunter bayaran dia dapat mendengar kata-kata kedua-dua perempuan itu. 
            “Awak pula siapa?” tanya Ain agak kasar.  Dia memerhati penampilan Maznah dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.  Dia mencebik.
            “Saya puan punya restoran, ada masalah ke?”  tanya  Maznah sekali lagi.
            “Ooo… pemilik restoran?  Saya nak buat aduan, saya tak suka  pelayan hitam legam ni ambil pesanan saya.  Boleh ganti dengan orang lain tak?  Buat loya tekak saja,” kata Ain kasar.
            “Pelayan?  Rose, berapa kali akak dah bagi tahu, awak tu pemilik restoran ini.  Kenapa buat kerja kuli?  Tak sesuai langsung!  Dah, pergi tengok budak-budak buat kerja.  Biar orang lain yang ambil pesanan jelitawan yang ada ni,” kata Maznah sambil mengetap bibir.  Sesedap rasa sahaja menghina orang.  Ingat dia lawa sangat, kata Maznah dalam hati. 
            “Erk…”  Rose semakin blur.  Apa kena pulalah dengan Kak Maznah ini, salah makan ubat ke apa?  Bila pulalah dia jadi pemilik restoran ini? 
            “Pemilik restoran?”  Ain hampir menjerit.  Dia seperti tidak salah dengar rasanya.
            “Ya, Rose ni, rakan kongsi saya, kenapa? Ada masalah?”  Maznah memaniskan muka.  Dia tersenyum dalam hati melihat wajah terkejut perempuan yang berlagak dan sombong itu.  Sedap sahaja mulutnya menghina pekerjanya. 
            “Rakan kongsi?”  kata kedua perempuan itu serentak.  Terkejut dan lebih kepada tidak mempercayainya.
            “Takkan kut!” Ain mengerut dahi.
            “Tak perlulah cik puan mengerutkan dahi, nanti berkedut pula dahi dan muka sekali.  Nak tengok ke lesen perniagaan dan pendaftaran syarikat? Kalau nak makan buatlah cara nak makan, kalau tidak cik-cik  berdua boleh cari restoran lain. Banyak lagi di luar sana,”  kata Maznah tegas.  Sakit benar hatinya.  Sewenang-wenangnya menghina orang seolah-olah diri itu hebat sangat.
            “Macam mana puan boleh percayalah perempuan buruk ini?  Jangan dia tipu puan sudahlah! Nanti menyesal menangis air mata darah sekalipun dah tak berguna tau!”  Ain mengherotkan bibirnya.  Dia mengambil beg tangannya dan mengajak rakannya keluar dari restoran itu.  Sakit pula hatinya mendengar cerita terbaharu daripada pemilik restoran itu.  Tidak mungkin Rose sekarang jadi pengusaha restoran. Hari itu pulang ke kampung baru nak berjinak-jinak berniaga.  Mana boleh jadi! Dia hanya makan gaji, sedangkan perempuan hitam legam itu sudah menjadi ahli perniagaan.  Memang memalukan! 
            “Kak Maznah!” Rose memandang wajah majikannya tidak berkelip sebaik sahaja Ain dan rakannya berlalu meninggalkan restoran itu.  Dia menarik nafas lega.
            “Akak dengar kata-kata nista perempuan itu terhadap Rose. Jangan  sedih ya,”  pujuk  Maznah lalu tangannya menepuk bahu Rose.
            “Terima kasih kak,”  ucap Rose.  Masih ada orang yang sudi menjernihkan maruah dirinya. 
            “Nanti kita sembang lagi, mesti ada sejarah hitam Rose dengan perempuan tu. Benci amat dia dengan Rose, akak nampak dari pandangan matanya.  Gerun akak tengok.”
            “Entahlah kak… penat saya fikirkan soal tu. Entah apa yang dia bencikan sangat dengan saya.  Kalaulah saya ni lawa lebih daripada dia tak apalah, ini… akak tengoklah sendiri,” keluh Rose.
            “Jangan merendah diri, ALLAH  tak suka! setiap kejadian yang diciptakanNYA pasti ada hikmah dan kebaikannya, jangan sesekali menyesal,” nasihat Kak Maznah.
            “Terima kasih sekali lagi kak,”  ucap Rose.  Terasa lega dan lapang hatinya mendengar nasihat dan pujukan majikannya itu. Baik sungguh hati majikannya.  Dia berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh biarpun hanya menjadi pembantu restoran sahaja.  Tetap satu pekerjaan yang baik dan halal. 
            Hujan renyai-renyai di luar restoran menyejukkan sedikit hatinya yang sedang panas.  Entah bagaimana dia mampu bersabar dengan sindiran Ain tadi.  Kalaulah dibuatkan dia hilang sabar tadi, mahu berkecai restoran ini. Mungkin dia sudah mampu menerima dan bersabar dengan penghinaan orang lain atau dia memikirkan dirinya sedang bekerja di tempat orang.  Apa pula kata majikannya jika dia mengamuk dan menjahanamkan tempat itu.  Nampak sangat perangai buruk dan salahlaku dirinya.  Biar buruk rupa, jangan buruk tingkahlaku.  Itulah nasihat emaknya.  Cuma, kadang-kadang dia tidak sabar dengan penghinaan orang terhadap dirinya. Mula hari ini dia perlu jadi penyabar dan semoga hatinya terus tabah. 

JALAN PULANG - BAB 7 - ASMAH HASHIM.



Segala perancangan membangunkan semula persatuan belia kampung itu berjalan lancar.  Biarpun ada yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Malek sebagai pengerusi persatuan tersebut.  Haji Shauki ada matlamatnya sendiri.  Bukan sengaja dia melantik anak buahnya sendiri apatah lagi bekas banduan.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Bukan menongkah arus, past ramai yang akan berkata dia sudah hilang akal.  Daripada dibiarkan persatuan belia itu mati tidak berkubur, baiklah dia menggerakannya semula.  Perancangan sepanjang tahun akan diaktifkan perlahan-lahan.    Fail yang terisi dengan agenda, perancangan dan nama ahli jawatankuasa yang dilantik siang tadi dibiarkan di atas meja kopi. Dia menarik nafas lega. 
            “Orang kampung sudah bising, mereka kata abang sudah nyanyuk, lantik Malek sebagai Pengerusi Belia di kampung kita ini,”  adu Hajah Rokiah.  Secawan kopi diletakkan di hadapan suaminya.  Matanya masih lagi melekat di wajah suaminya itu. Dia sendiri berasa pelik dengan sikap suaminya.  Jangan-jangan memang buang tabiat agaknya?  Berkali-kali Hajah Rokiah beristighfar.  Bukan menidakkan kematian yang sememangnya akan menjemput diri, tidak kira siapa pun, tua atau muda.
            “Biarkanlah, saya tahu apa yang saya lakukan.  Awak pekakkan sahaja telinga,”  ujar Haji Shauki.
            “Masalah, mampukah si Malek itu menguruskan persatuan itu?  Anak-anak muda di kampung kita ini, boleh tahan samsengnya,” luah Hajah Rokiah bimbang. Kes penagihan dadah semakin menjadi-jadi.  Kecurian juga begitu. Biarpun orang kampung sering mengadakan rondaan, kecurian tetap berlaku. Sudah pening kepala Haji Shauki sebagai ketua kampung dan imam di masjid kampung tersebut hendak  menyelesaikan masalah  yang ada. 
            “Sebab nak bertemu dengan samsenglah, saya bawa ketua samseng ke mari, biar kena buku dengan ruas.  Anak-anak muda kampung ini, hidup pun minta belas ehsan orang tua, ada hati nak jadi samseng!” tempelak Haji Shauki.
            “Ikut suka awaklah, saya tidak mahu orang kampung kata awak itu sudah buang tabiat!”  Hajah Rokiah mengeluh berat.  Suara orang memberi salam membuatkan dia bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. 
            “Halim? Nak jumpa pak ajikah?” tanya Hajah Rokiah ramah.  Dia kenal hampir keseluruhan penduduk di kampung itu, maklumlah isteri ketua kampung dan imam masjid. Tentulah dia banyak bergaul dengan penduduk di situ.
            “Ha ah Mak Kiah, pak aji adakah?” tanya Halim dengan wajah gelisahnya. 
            “Ada, jemput naik,” pelawa Hajah Rokiah. 
            Halim melangkah masuk ke dalam rumah.  Rumah batu setingkat itu kemas dan tersusun rapi. Mata Halim terpacak pada kelibat Haji Shauki yang sedang bersantai di ruang tamu.
            Hajah Rokiah pula berlalu ke dapur.  Adat orang bertamu, sediakan sesuatu untuk tetamu walaupun hanya segelas air kosong.
            “Halim?”  sapa Haji Shauki kehairanan.  Kenapa lelaki itu datang ke rumahnya lewat malam ini.
            Halim menghulur tangan bersalaman dengan Haji Shauki.  Dia terus melabuhkan punggung di sofa.  Dia mengeluh berat.
            “Apa hal engkau datang malam-malam ini?” soal Haji Shauki.         
            “Pasal si Malek!”  kata Halim agak keras. 
            “Kenapa pula dengan anak buah aku itu?” soal Haji Shauki.
            “Kenapa pak aji lantik dia jadi pengerusi belia? Pak aji nak rosakkan anak-anak kampung inikah?” soal Malek.
            “Kenapa?  Sudah ramaikah yang rosak?  Bukankah masalah sosial di kampung kita ini memang teruk sebelum kehadiran si Malek itu lagi?” tempelak Haji Shauki.
            “Itu bukan masalahnya pak aji, kehadiran dia boleh mengundang masalah,”  ujar Halim, dia menjeling.
            “Masalah apanya Halim?  Engkau kawan dia sejak kecil. Berilah dia peluang untuk berubah.  Halim… manusia dijadikan ALLAH ada baik dan buruknya.  Kalau engkau sayangkan anak-anak kampung ini, kau berganding bahulah dengan Malek. Bantu anak-anak kampung kita ini agar mampu bersaing dengan anak-anak muda di bandar sana, jangan hanya tahu cari kesalahan orang lain sahaja.  Kalau kita asyik cari salah orang, sampai bila pun kita tetap di takuk lama,” nasihat Haji Shauki.
            “Kalau jadi apa-apa, pak aji jangan salahkan saya dan orang kampung kononnya tidak beri nasihat dan amaran!”   Halim mengetap bibir.
            “Hendak jadi apanya?  Kalau kita semua bekerjasama, tidak mungkin berlaku perkara yang tidak baik, kalau jadi apa-apa, sudah tentulah engkau yang melakukannya.  Jangan engkau nak sabotaj pula program yang sedang kami rancangkan nanti,”  kata Haji Shauki sinis.  Orang seperti Halim harus diajar, tidak mudahlah dia hendak menyalahkan orang lain.  Mentang-mentang Malek itu bekas banduan, pasti ada sahaja pandangan negatif daripada penduduk kampung.
            “Kenapa pula tuduh  saya? Uh! Pak aji berat sebelah!”  Halim mendengus kasar.
            “Baliklah Halim, hari pun sudah jauh malang.  Aku sudah mengantuk.  Pandangan engkau itu nantilah aku fikirkan,”  kata Haji Shauki seraya menguap.
            “Saya balik dahululah pak aji.”  Halim melangkah turun dari rumah Haji Shauki. Tidak guna mengadu kepada orang yang tidak mahu mendengar aduannya.  Melangkah laju meninggalkan rumah itu.
            Haji Shauki menutup daun pintu. Dia duduk semula di kusyen.  Mengeluh berat.  Dia tidak boleh terpengaruh dengan kata-kata orang kampung yang tidak senang dengan Malek.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Keadaan di kampung itu sudah semakin tenat. Penagihan dadah, pengedaran semakin menjadi-jadi. Pihak polis sudah beberapa kali melakukan serbuan.  Hari ini serbu, esok muncul tapak baharu tempat mereka melepaskan gian. Mentang-mentanglah kampung ini jauh dari bandar. Seenaknya sahaja mereka gunakan sebagai markaz.  Hanya Malek yang sesuai membantunya melenyapkan konco-konco pengedaran  dadah itu.  Kampung ini harus dibersihkan daripada semua anasir jahat. Itulah azamnya sebagai imam dan ketua kampung.
            Sekali lagi dia bingkas bangun.  Menutup lampu dan menuju ke bilik.  Penat seharian bertugas. Tugas yang diamanahkan kepadanya.  Tanggungjawab yang begitu besar buat insan sepertinya. Hanya berkelulusan sekolah pondok. Mula-mula jadi imam kemudian dilantik menjadi ketua kampung.  Dialah tempat masyarakat kampung merujuk jika ada apa-apa masalah. Baik dunia mahupun akhirat.  Semoga setiap langkahnya diredha ALLAH dan sentiada dibawa perlindungan dan rahmatNYA.  Usai mengambil wuduk, membaca empat Qul serta doa tidur.  Haji Shauki terus melelapkan mata. Biar mimpi yang indah-indah sahaja.  Aduan Halim biarlah menjadi halwa telinganya sahaja.