Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Mac 2020

COVID- 19 - BAB 1


            Baju dilipat satu persatu,dimasukkan ke dalam beg beroda yang dibentang di atas katil. Passport antarabangsa bersama tiket penerbangannya terletak  kemas di atas meja sisi, bertarikh 1 Januari 2020.

Dia akan  bertolak selepas asar waktu Malaysia. Kira-kira enam jam lagi. Setelah mengemas dan menyusun pakaiannya dengan kemas ke dalam beg, Taufiq menuju ke bilik air.

Beberapa minit kemudian dia keluar dengan rambut yang sedikit basah setelah dikeringkan menggunakan tuala milik hotel tersebut. T-shirt berleher bulat berwarna putih dan jaket kulit berwarna hitam, dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam.

 Setelah menyiapkan diri dan memastikan semua keperluan untuk dia meninggalkan negara tembok China itu selesai, Taufiq mengangkat dan menarik keluar beg pakaiannya menuju ke lobi hotel. Bilik ditutup rapat.

Kelmarin, bersama tiga orang bekas rakan satu universiti ketika dia belajar di Amerika Syarikat menemani dia berjalan-jalan di bandar Wuhan sambil menikmati keindahan dan kemodenan bandaraya terbesar di tengah Negara China itu. Penduduknya padat. Pembangunan bandar itu juga pesat dan menjadi tumpuan pedagang dari dalam dan luar negara.

Taufiq  datang ke daerah itu kerana ada kursus IT, majikannya menghantar dia mendalami satu produk baharu yang bakal berada di pasaran. Syarikat tempatnya juga telah mengadakan kerjasama dengan satu syarikat IT di negara tembok besar ini.

Seminggu dia berada di negara yang padat penduduknya itu. Setelah tiga kawannya berbangsa Cina mengetahui kehadirannya di negara komunis itu, mereka terus menghubunginya dan mereka memutuskan untuk bertemu.

Mereka membawanya singgah makan di sebuah restoran makanan halal yang menyajikan mee tarik. Dia memilih mee tarik yang dimasak secara goreng dan sarat dengan sayur-sayuran. Tidak ada sebarang lauk selain rasa pedas dan  kicap manis yang enak di tekaknya.

Usai menikmati makanan popular di daerah itu, tiga kenalannya itu membawanya singgah di sebuah pasar yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan binatang eksotik.  Mereka ada urusan kerja di situ. Dia tidak dapat menolak.

 Biarpun pada mulanya bercadang hendak menunggu di dalam kereta, tetapi memandangkan pertama kali dia datang ke pasar, tentulah dia ingin melihat apa yang ada terjual di pasar tersebut.

 Terkedu Taufiq melihat beraneka jenis binatang terjual di situ. Di tambah dengan keadaan pasar yang kotor dan seperti tidak terurus, baunya juga sangat memualkan isi perut. Hampir sahaja dia memuntahkan semua makanan yang telah tersimpan kemas di dalam ususnya.

Sebelum kembali ke hotel, Taufiq dibawa membeli hadiah untuk ahli keluarganya di sebuah pusat membeli-belah terbesar di bandar tersebut. Taufiq membeli kain sutera China buat isteri tersayang. Harganya tidak terlalu mahal.

 Bukan selalu dia  memberi hadiah yang berkualiti dan jarang ditemui di negara sendiri buat keluar tersayang. Begitu juga untuk dua orang anaknya. Bolehlah mereka sedondon di pagi Hari Raya nanti. Taufiq melakarkan senyuman.

. Hampir tengah malam baharulah dia pulang ke hotel.

Taufiq ke lapangan terbang Tienhe dihantar oleh salah seorang daripada kenalannya. Mereka berpelukan dan saling berjanji akan bertemu lagi. Kenalannya itu tidak menunggu sehingga dia menaiki kapal terbang. 
Sebaik sahaja kakinya menjejaki lapangan terbang itu dia terus mendaftar masuk. Dia berbaris panjang, begitu ramai manusia di dalam bangunan lapangan terbang itu. Ada  yang berkumpulan, tidak kurang berjalan bersama keluarga. Taufiq leka memerhati, seronok melihat gelagat manusia. 
 Beg pakaiannya dimasukan ke  dalam kargo.

Dia lebih selesa berlenggang tanpa membawa apa-apa beg di tangan. Hembusan nafasnya sedikit kasar kerana kepenatan berjalan agak laju tadi. Sementara menunggu waktu berlepas, dia berehat di kerusi yang disediakan oleh pihak lapangan terbang sambil membaca whatsapp yang masuk. Semua kerusi yang ada di kawasan menunggu itu penuh.

Di sebelahnya seorang lelaki  berbangsa Cina bersin berkali-kali tanpa menutup mulut, membuatkan Taufiq berasa tidak selesa, berkali-kali dia menggerakkan tubuhnya ke arah lain sebaik sahaja lelaki itu bersin.

Tidak sopan langsung, detik hati kecilnya. Dia terlihat lelaki itu membersihkan hingusnya menggunakan  tisu, kemudian tisu itu dibiarkan di atas kerusi dan lelaki itu berlalu pergi. Hish! Pengotor  betui, bisik hatinya lagi. Kerusi itu dibiarkan kosong.

Tidak berapa lama kemudian datang seorang tukang sapu, dengan menggunakan tangan dia terus mengutip tisu tadi. Taufiq hanya mampu menggeleng kesal. Sepatutnya petugas tadi gunakan penyapu atau sarung tangan untuk mengutip benda kotor seperti tisu itu.

Sebaik sahaja kerusi itu kosong, datang seorang perempuan berbangsa Eropah duduk di kerusi tersebut.  Taufiq melakarkan senyuman, dan senyumannya berbalas. Namun, mereka tetap tidak berbual. Buat hal masing-masing.

Perjalanan lima jam yang dilalui berasa cukup panjang. Biar bagaimana cantiknya negara orang lain, tanah air sendiri jauh lebih indah dan tetap di hati apatah lagi di sinilah adanya semangat dan jiwanya.

Taufiq menarik beg pakaiannya keluar dari tempat pemeriksaan di Lapangan terbang Antarabang Kuala Lumpur, sebelum bertolak dia sudah menghantar pesanan ringkas kepada isteri  tersayang. Sudah tentulah dia mengharapkan mereka menunggunya di saat itu.
Langkahnya semakin  laju, bergetar jantungnya, tidak sabar ingin bertemu dengan insan-insan tersayang, sebaik sahaja dia keluar dari pintu pendaratan, terdengar jeritan memanggil namanya, sepantas kilat Taufiq menoleh ke arah suara itu.

 Isteri tercinta dan dua orang anaknya melambai ke arahnya dengan wajah ceria mereka. Seperti berlari anak, Taufiq menarik beg rodanya. Tidak lagi memperdulikan orang ramai yang turut berada di kawasan itu menunggu teman atau keluarga masing-masing.

Sebaik sahaja berada di hadapan isteri dan anak-anaknya, Taufiq terus memeluk mereka. Hilang rasa rindu yang dipendam selama seminggu ini. Hampir sahaja dia melanggar seorang lelaki berbangsa Arab, dia menghulurkan tangan memohon maaf.

Lelaki Arab itu segera memaafkan Taufiq, mungkin dia faham orang yang sedang  kerinduan tidak akan memperdulikan orang di sekelilingnya.

Taufiq dan keluarganya bergerak keluar dari kawasan lapangan terbang, menuju ke rumah mereka yang terletak di Selayang.

BAGAIMANA COVID - 19 MEREBAK?

(Lelaki bersin - Taufiq - Tukang Sapu - Perempuan Eropah - Dalam Pesawat - Keluarga Taufiq)?

(cerita ini hanyalah rekaan sahaja, tiada mengena dengan yang hidup ataupun mati.)

Rabu, 25 Mac 2020

SINOPSIS FILEM AHMAD ALBAB



Filem tahun 1968 yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dibantu oleh  Hashim Hamzah. Dibintangi oleh Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma dibantu oleh  Mariani, Mimiloma, A.R. Tompel, Minah Hashim, M. Suki. Karim Latiff, Tony Azman dan ramai lagi.

SINOPSIS

Di sebuah kampung tinggal seorang Saudagar kaya yang bernama Mas’hud Al Buaya mempunyai tiga orang anak gadis bernama Mastura, Zahara dan Suhara.

Beliau berniat mengahwinkan anak-anaknya dengan lelaki pilihannya.

Pada suatu hari, Mas’hud Al Buaya telah bertemu dengan dua orang kenalannya. Beliau meminang sendiri anak-anak kenalannya untuk dinikahkan dengan dua orang anak gadisnya,

Zahara dan Suhara. Mas’hud sanggup membayar wang hantaran sebanyak 88 dinar dan belanja hangus sebanyak 2000 dinar serba dua untuk setiap anaknya.

Mas’hud  sering mengatakan, kekayaan, kebahagian dan kerukunan rumah tangga bukan datang daripada Allah tetapi daripada dirinya sebagai seorang ayah.

Mastura menafikan kata-kata ayahnya sehingga dia menolak untuk dijodohkan dengan anak orang kaya. Bagi Mastura, kekayaan, kebahagian dan kerukunan rumah tangga adalah di tangan Allah SWT. Sehingga dia mencabar  Mas’hud yakni ayahnya agar mencari orang miskin dan dijodohkan dengannya.

Tanpa diketahui oleh Mas’hud Al Buaya, kedua-dua besannya memberi syarat kepada anak-anak lelaki mereka agar membolot semua harta yang dimiliki oleh anak-anak Mas’hud dalam masa tiga bulan selepas berkahwin.

 Mas’hud yang berasa tercabar telah mengahwinkan  Mastura dengan seorang pengembala kambing yang miskin bernama Syawal. Mastura reda dan tidak membantah kerana dia yakin jodohnya dengan Syawal ditentukan oleh Allah SWT.

Syawal seorang pemuda miskin yang hidup bersama ibunya adalah seorang pemuda yang, buta huruf, jujur dan bertanggungjawab. Walaupun agak terkejut dengan perkahwinan secara tiba-tiba itu, dia tetap gembira dengan jodoh yang diberi apatah lagi dia telah dikahwinkan dengan anak seorang kaya.

Majikan Syawal bernama Saudara Umar sangat gembira mendengar berita pernikahan itu. Malah turut mengadakan majlis meraikan perkahwinan pasangan mempelai tersebut.

Banyak perkara yang tidak diketahui oleh Mas’hud tentang dua orang lagi menantunya. Safar dan Muharam adalah lelaki yang suka berfoya-foya, berjudi, malah tidak bekerja.

Segala perancangan yang disuruh oleh orang tua mereka, langsung tidak dijalankan, malah habis semua barang kemas isteri-isteri mereka digunakan untuk berjoli.

Setelah habis segala barang kemas, duit dan harta isteri-isteri mereka.  Pada mulanya mereka cuba meminjam dengan kedua orang tua mereka, tetapi orang tua mereka menolak mentah-mentah. Demi kelangsungan hidup mereka mula merompak kedai emas untuk tetap hidup mewah.

Syawal pula dinaikan gaji oleh Saudagar Umar. Dengan wang itu, Syawal telah membelikan sebentuk cincin  sebagai hadiah perkahwinan kepada Mastura.

Pada suatu hari, ketiga-tiga menantu Mas’hud telah menerima surat jemputan bagi meraikan majlis ulang tahun kelahiran bapa mertua mereka.  Syarat utama kehadiran mereka harus membawa bersama hadiah.

Sebaik menerima surat tersebut. Muharam dan Safar tidak bermasalah kerana harta rompakan mereka masih banyak dan boleh dijadikan hadiah untuk dipersembahkan kepada bapa mertua mereka.

Sebaliknya Syawal, telah diberhentikan kerja kerana semua kambingnya telah dibeli oleh seorang saudagar yang lain. Semakin pening kepalanya memikirkan hadiah apa yang harus dibawa untuk diberi kepada mertuanya nanti.

Mastura adalah seorang isteri yang sangat bijaksana. Tanah lapang yang ada di laman rumah mertuanya tidak disia-siakan. Dia mula menanam pelbagai jenis sayur-sayuran.

Syawal yang pulang dalam keadaan sedih telah ditenangkan oleh Mastura agar tidak susah hati kerana hasil tanaman mereka sudah besar dan boleh dituai. Syawal gembira atas usaha isterinya itu.

Tiba saat majlis ulang tahun kelahiran Mas’hud Al Buaya, ketiga-tiga anak dan menantunya turut hadir bersama hadiah masing-masing.

Suhara dan suaminya Safar, Zahara dan suaminya Muharam telah memberi hadiah yang istimewa yang sangat disukai oleh Mas’hud sehingga memuji mereka. Beliau berasakan pilihannya adalah tepat dan kerana dialah kedua anak-anaknya itu hidup mewah dan bahagia.

Mastura dan Syawal pula membawa hadiah semangkuk garam dan gula. Mastura pula membawa hadiah berupa sekeping roti gandum tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula. Sebaik melihat hadiah tersebut,

Mas’hud terus sahaja mengherdik dan memarahi pasangan tersebut. Dia berasakan Mastura telah tersalah memilih pasangan hidup dan kerana tidak mendengar kata-katanya maka hidup anaknya itu miskin dan susah.

Syawal tidak berkecil hati. Dia pulang dan meneruskan perniagaannya menjual hasil pertaniannya di pasar pagi. Kehidupannya bertambah senang.

Pada suatu hari Saudara Umar dan Mualif telah menawarkan pekerjaan kepada Syawal dan meminta Syawal menjaga kembali kambing-kambing itu.

Pada mulanya Syawal keberatan kerana dia perlu berniaga di pasar pagi, setelah  berbincang dengan isteri dan ibunya mereka telah sepakat membahagikan kerja-kerja yang ada supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Pada suatu hari, seekor anak kampungnya telah tersesat  ke dalam gua. Syawal telah pergi menyelamatkan kambing tersebut.

Terkedu Syawal sebaik sahaja dia memasuki gua tersebut, dia ternampak harta karun di dalam gua tersebut. Sebaik sahaja Syawal cuba menyentuhnya, satu suara bergema, muncul jin bersama keluarganya.
Lalu jin itu berkata bahawa harta tersebut adalah milik AHMAD ALBAB. Syawal kehairanan, siapakah Ahmad Albab?

Atas nasihat jiran tetangganya, Syawal dan Mastura membawa anaknya berjumpa ibu dan ayah mertuanya. Mas'hud telah berjaya mendiamkan anaknya dan diberikan nama Ahmad Albab.

Mastura disahkan mengandung. Setelah cukup bulan, dia selamat melahirkan seorang anak lelaki. Sebaik dilahirkan, anak itu asyik menangis sehingga Mastura, Syawal dan ibunya tidak tahu hendak buat apa.
Sudah dibawa berubat dengan dukun dan pawing, dibawa berjumpa doktor, anak itu tetap menangis sehingga Syawal kemurungan tidak tahu hendak berbuat apa. Akibat anaknya asyik menangis Syawal sampai terlupa hendak memberi nama kepada anaknya itu.

Oleh kerana tidak tahu harus berbuat apa, majikan dan jiran Syawal telah menasihati pasangan itu agar membawa anak itu bertemu dengan bapa mertuanya, Saudagar Mas’hud Al Buaya dengan harapan mertuanya itu mampu membantu memberhentikan tangisan anak itu.

Mas’hud Al Buaya gembira dengan kelahiran cucunya itu tetapi dia turut berasa pelik kenapa anak itu asyik menangis. Pelbagai cara dilakukan sehinggalah dia memberi nama Ahmad Albab kepada cucunya.

Syawal teringat akan Jin yang ditemui di dalam gua pernah menyebut nama tersebut. Lalu dia mengambil anaknya daripada  dakapan ayah mertuanya lalu dibawa ke gua tersebut.

Jin berasa gembira dan memberi upah kepada Syawal berupa harta karun tetapi dengan syarat setiap satu bulan Ahmad Albab harus dibawa  bermain-main dengan anak jin dari kecil sehinggalah anaknya itu besar.

 Syawal seorang yang taat dan jujur, dia menurut sahaja. Sejak itu kehidupan Syawal semakin senang dan mewah. Tetapi dia tidak boros,malah menggunakan hartanya untuk membantu orang lain yang susah.

Satu hari, ipar-ipar Syawal telah ditangkap kerana merompak dipenjarakan. Kakak dan adik Mastura memohon bantuan Mastura agar melepaskan kedua suami mereka dari penjara. Syawal tidak menolak kerana baginya mereka juga ahli keluarganya.

Sebaik sahaja dibebaskan, Safar dan Muharam telah menerima surat jemputan menyambut ulang tahun kelahiran bapa mertua mereka. Kedua pasangan tersebut sangat susah hati kerana mereka sudah tidak punya apa-apa lagi.

Melihat kekayaan dan kesenangan Syawal kedua ipar duai itu bercadang merompak rumah Syawal tanpa perasaan risau atau bimbang merompak harta ahli keluarga sendiri.

Ketika itu Syawal dan Mastura membawa Ahmad Albab bermain-main dengan anak jin di gua. Sebaik pulang, Syawal diberitahu rumahnya hampir dirompak dan nasib baik perompak dapat ditangkap.

Syawal benar-benar terkejut kerana orang yang merompak rumahnya adalah ipar-iparnya sendiri.
Safar dan Muharam menceritakan kenapa mereka terpaksa merompak. Syawal memahami kerana dia tahu, ayah mertuanya sudah pasti inginkan hadiah daripada anak menantunya.

Pada hari majlis ulang tahun Saudagar Mas’hud Al Buaya, Syawal menghadiahkan Safar dan Muharam intan serta berlian untuk diberikan kepada mertua mereka nanti.

Sebaliknya Syawal membawa  sebuah replika masjid supaya ayah mertuanya itu berubah dan bertaubat serta yakin, jodoh pertemuan, ajal dan maut, kekayaan, kebahagian rumah tangga bukan terletak di tangan manusia tetapi   di tangan Allah SWT.

Pada mulanya Mas’hud tetap memandang hina kepada menantunya itu tetapi setelah diberitahu oleh Safar dan Muharam bahawa  hadiah intan dan berlian itu adalah hadiah daripada Syawal juga, membuatkan Mas’hud terkejut dan mula menyayangi Syawal dan insaf.

Dia mengakui kebahagiaan, kekayaan dan kerukunan rumah tangga bukan terletak pada  tangan manusia tetapi datangnya daripada Allah SWT.

PENGAJARAN

Pengajaran yang dapat dipetik daripada filem ini adalah bagaimana seorang manusia wajib yakin bahawa kehidupan manusia ditentukan oleh Allah SWT.

Walaupun mempunyai  kekayaan kalau tidak pandai menjaga atau menguruskannya lama-kelamaan akan habis juga.
Setiap orang harus rajin bekerja, tidak kira susah atau senang.

Orang susah juga boleh menjadi senang jika pandai memanfaatkan ruang dan peluang yang ada.

Asalkan tidak malas.

Seorang yang jujur, bertanggungjawab dan berhati baik akan sentiasa dibalas dengan kebaikan.
Walaupun sudah mempunyai harta, seseorang itu seharusnya hidup dalam keadaan bersederhana dan tidak boros.

Jangan sesekali berniat jahat terhadap orang lain, akhirnya sendiri juga rugi.

Orang jahat akan tetap dibalas akibat kejahatannya.

Sentiasa bersyukur rezeki kurniaan Ilahi. Orang yang bersyukur akan diberi ganjaran lagi.

Orang kaya harus membantu orang miskin.


Kisah masyarakat yang masih membezakan kaya dan miskin. Orang kaya ingin bertambah kaya dengan cuba merampas harta orang lain. Sikap tamak haloba tidak membawa kepada kebahagian tetapi kemusnahan.

Dalam memilih menantu haruslah diselidiki latar belakangnya, bukan dinilai dengan melihat harta kekayaan yang ada.

Dalam filem ini pada pandangan saya, Tan Sri P. Ramlee bahawa manusia harus hidup dengan sabar biarpun ditimpa pelbagai masalah.

Meneliti setiap dialog yang diucapkan oleh para pelakon ada ayat-ayat sinis berupa sindiran kepada masyarakat.

Seorang ayah mertua tidak harus membezakan  menantu tidak kira kaya atau miskin. Sepatutnya dilayan sama rata tidak dibeza-bezakan. Kerana hubungan yang terjalin adalah melalui kasih sayang bukan harta benda.



GAYA PERTUTURAN/PERCAKAPAN

Menggunakan Bahasa Melayu campur loghat Arab.



Perkongsian : Web Wikipedia.

Isnin, 16 Mac 2020

TIP BAGAIMANA MENJADI MENANTU YANG BAIK




Mempunyai keluarga yang bahagia adalah impian semua orang. Terutama kepada wanita yang sudah berkahwin.

Begitu juga dengan anda, tentu inginkan mertua yang baik dan mampu menyayangi diri anda seperti anak sendiri.

TAHU TANGGUNGJAWAB
Seorang anak yang baik berkewajipan berbakti kepada kedua orang tuanya  biarpun sudah bernikah.

Anda perlu tahu, seorang anak lelaki wajib berbakti kepada orang tuanya sehingga ke akhir hayat. 
Sebagai isteri yang baik anda hendaklah membenarkan suami terus berbakti kepada orang tuanya.

Dalam soal ini, perbincangan bersama perlu, supaya tidak mengganggu-gugat kebahagian rumah tangga sendiri.

Jangan marah kalau suami sering membantu keluarganya. Bersikap positif dalam semua perkara yang bersangkutan dengan keluarga mertua.

Begitu juga sebaliknya. Suami perlu memahami jikalau isterinya juga mahu berbakti kepada orang tuanya.

Keluarga mertua juga keluarga anda. Ibu ayah mertua juga ibu ayah anda. Tidak ada perbezaan dalam menentukan status mereka.

BERSIKAP POSITIF

Supaya anda menjadi menantu yang disayangi, cubalah berperilaku positif terhadap mertua. Terima baik dan buruk sikap mertua anda.

Mungkin mertua seorang yang kelihatan seperti tidak berpendidikan, sebagai anak, anda wajar menerima dirinya seadanya. Hormati dirinya. Terima pandangannya.

Seorang tua, suka menasihati, biarpun anda tidak setuju dengan kata-katanya, bermanis muka dan iakan kata-katanya. Biarpun anda takkan mengikut semua nasihatnya.

Berprasangka adalah sikap yang tidak baik, kalau boleh hindari perasaan sebegitu.
Jadilah pendengar yang baik kepada mertua biarpun cerita yang sama anda pernah dengar berulangkali..

Sentiasa memuji mertua dan mengucapkan terima kasih setiap kali mertua membantu memasak atau menjaga anak anda.

Belajar menghargai mertua anda kerana dialah yang telah melahirkan suami anda ke dunia ini.

Jangan meninggi suara terhadap mertua.

Jangan masuk campur urusan keluarga mertua kecuali mereka bertanyakan pendapat anda.

Mengadu domba adalah satu dosa, terutama kalau anda bercerita buruk tentang mertua sendiri, sebaiknya hindarkan.

Jangan cemburu dengan mertua kalau dia dimanjakan oleh pasangan anda lebih daripada pasangan memanjakan anda.

Sebagai orang tua, tentulah mertua anda banyak pengalaman, sentiasalah meminta pandangannya sesuai dengan masalah yang sedang anda hadapi.

Usah bercakap meninggi diri di hadapan keluarga mertua jikalau keluarga mertua berasal daripada keluarga sederhana. Usah tunjukan kemewahan anda di hadapan mereka juga.

RINGAN TULANG

Sebagai seorang perempuan, tidak manislah anda bangun ketika matahari sudah tegak di kepala. Apatah lagi berada di rumah mertua.

Kalau ibu mertua sudah bangun seawall 7.00 pagi dan tercongok di dapur. Tentulah tidak manis kalau anda masih berselimut dan berkurung di dalam bilik.

Biarpun anda tidak pandai memasak, masih banyak lagi pekerjaan lain yang boleh anda lakukan di rumah mertua.

Mungkin  anda boleh membantu mengemas rumah, menyediakan bahan-bahan untuk dimasak oleh mertua dan membasuh pinggan-mangkuk.

Belajarlah merendah diri biarpun anda pandai memasak. Emak mertua anda pasti suka anda belajar masakan kegemaran pasangan anda.

Jangan sesekali menunjukkan kemalasan anda di hadapan mertua dan ipar-duai.

LAYANAN SAMA RATA

Melayan keluarga  mertua biarlah sama seperti mana anda melayan keluarga sendiri.
Jangan pilih kasih.

Sesekali belanjalah keluarga mertua. Belikan hadiah buat mereka. Kalau anda tidak bekerja, mungkin anda boleh menyediakan masakan yang mereka suka dan bawa pulang ke kampung.

Sesuaikan hadiah dan pemberian mengikut kemampuan anda.

Sentiasalah menziarahi mereka. Sewaktu musim perayaan, janganlah hanya pulang beraya ke rumah keluarga anda tetapi turut sama pulang ke rumah mertua.

Sentiasa ikhlas membantu keluar mertua, usah mengungkit setiap pemberian atau bantuan yang anda beri kepada keluarga mertua

JANGAN BERGADUH DI HADAPAN MERTUA

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.  Biar bagaimana marah sekalipun anda terhadap pasangan, janganlah lepaskan kemarahan itu di hadapan mertua anda.
Ditakuti, mereka menyangka anda tidak suka kehadiran mereka.

Begitu juga ketika ingin menegur anak-anak anda, biarlah dengan suara yang rendah dan tidak menengking anak-anak di hadapan mertua, takut mereka berasa hati.

Jaga bahasa ketika berbicara, takut bahasa yang anda gunakan mengecilkan hati mereka biarpun anda tidak bermaksud sedemikian.

Usah bercerita keburukan pasangan anda kepada ibunya sendiri. Anda kena ingat bahawa mertua andalah yang telah mendidik dan membesarkan pasangan anda itu. Cerita anda akan membuatkan hatinya sakit dan berasa terhina.
.
Selalu melemparkan senyuman di hadapan mertua.

KEBAHAGIAN MILIK ANDA

Tidak sukar menjadi manusia yang baik, asalkan anda belajar bersabar, bersikap terbuka, tidak bermulut laser semuanya akan baik-baik sahaja.

Terima orang sekeliling anda seadanya. Usah meminta lebih, Sebagai mana keluarga pasangan menerima kehadiran anda  dengan hati yang terbuka, begitu jugalah diri anda. Kebahagian tidak datang sendiri.

Sabtu, 14 Mac 2020

TIP MENAMBAH PENDAPATAN

Gambar: Google


TIP MENAMBAH SUMBER PENDAPATAN

 Anda tentu mempunyai pekerjaan sepenuh masa, namun pendapatan bulanan tidak mencukupi untuk menampung keperluan  anda dan keluarga. 
Menjana pendapatan tambahan umpama menyediakan payung sebelum hujan. Di tambah keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Apabila bercerita tentang  menambah sumber pendapatan pula  tentulah terbayang di kepala anda adalah  melakukan satu lagi pekerjaan.

Tentu anda ingin tahu  bagaimanakah cara menambah sumber pendapatan  yang  boleh dilakukan tanpa memerlukan modal yang besar. Antara tip yang boleh anda guna pakai antaranya:

1)TAMBAH KEMAHIRAN DIRI- Bermaksud anda menambah kepandaian, kecekapan dalam satu-satu bidang yang anda minati dan ceburi.

Walaupun anda tidak mahir dalam bidang yang ingin diterokai, anda masih berpeluang untuk mempelajari dan melatih diri sehingga menjadi benar-benar mahir.

Ceburilah perniagaan yang anda benar-benar berkemahiran melakukannya.
.
2)KENALI POTENSI DIRI- Pernahkah anda terfikir akan kelebihan yang ada dalam diri anda? Atau anda tidak pernah ambil tahu tentang diri sendiri? Cuba cari potensi diri sendiri atau kelebihan yang ada dalam diri anda.

Tentu setiap manusia di dunia ini dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan diri. Anda tentu tahu apakah kelebihan diri anda? 
Adakah anda berbakat dalam bidang tertentu? 
Selidiki diri sendiri dan cari apa yang anda paling suka lakukan dan sering berjaya dalam melakukan hal tersebut. 
3) MODAL- Cari perniagaan yang tidak perlu menggunakan modal yang banyak. Kalau boleh usah berhutang untuk memulakan perniagaan.

Berniagalah secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Jangan sesekali meminjam  daripada  ceti haram.

4) KENALI  PERNIAGAAN  YANG BOLEH  DICEBURI
Di sini anda boleh lihat beberapa jenis perniagaan yang boleh anda lakukan untuk menambah sumber pendapatan yang sesuai dengan potensi dan kemahiran yang ada dalam diri anda, antaranya:

Produk Makanan–Perniagaan yang tidak susah untuk anda ceburi asalkan mahir melakukannya.

Banyak cara untuk anda terlibat dalam industri ini.  Modal pelaburan dalam bidang pemakanan tidak terlalu besar. Ia tergantung kepada jenis perniagaan makanan yang  anda ceburi..

Antara produk makanan dan perniagaan  yang paling popular adalah makanan dingin beku. Ia juga fleksibel, boleh dilakukan bila-bila masa dan mengikut permintaan pelanggan.

Kerugian juga amat minima kerana anda menyediakan pesanan pelanggan mengikut tempahan.

 Jikalau anda  pandai memasak  boleh  membuka gerai, restoran atau kedai makan mengikut kemampuan kewangan.

 Anda juga boleh menyediakan masakan  harian mengikut permintaan pelanggan  yang tidak sempat memasak lantaran kesibukan bekerja.

Kraftangan- Terdapat pelbagai jenis kraftangan yang boleh anda buat dan jual. Antaranya menjahit pakaian yang sudah siap.  Menjahit sarung bantal, langsir  dan cadar. 
Selain itu anda boleh  mengait, mengikat manik, menjahit beg dan banyak lagi yang sesuai.
 Melukis juga boleh menjana pendapatan yang lumayan asalkan pandai mencari pelanggan yang meminati hasil kerja tangan anda.

Penulisan- Dalam dunia media sosial menjadi medium penyebaran maklumat, kemahiran menulis juga boleh dijadikan sumber pendapatan.

 Anda boleh menulis pelbagai jenis buku mengikut kesesuaian dan kemahiran anda dan hantar kepada penerbit atau terbitkan sendiri.

Apabila buku diterbitkan dan terjual dari situlah anda menghasilkan pendapatan tambahan yang tidak disangka-sangka.

Anda juga boleh menjadi seorang penulis upahan di mana khidmat anda diperlukan untuk menulis di dalam blog, FB, proposal syarikat, copywriting dan banyak lagi.

Perniagaan Dalam Talian- Perniagaan ini  semakin popular kerana mudah mendapatkan pelanggan dari seluruh negara dan dunia. Hanya perlu ada, talian internet, telefon dan notebook/komputer.

Anda boleh mencuba menjadi ejen jualan produk kecantikan dan makanan kesihatan yang banyak di pasaran.

Anda juga boleh menjual produk sendiri yang diminati dan disukai oleh orang ramai.

Khidmat Penghantaran- Salah satu perniagaan yang sedang popular dan mudah dilakukan. Juga menggunakan  masa yang fleksibel mengikut  kesesuaian kehidupan  harian anda.

Kesibukan manusia hari ini yang tidak suka keluar ke mana-mana akibat kesesakan jalan raya, peluang seperti ini menanti anda untuk mencuba dan meraih pendapatan yang lumayan juga.

5)PEMASARAN- Paling penting dilakukan ialah  mengiklankan perniagaan yang anda  jalankan. Iklan yang disebarkan perlu tepat dan kena kepada sasaran bakal pelanggan anda.

Anda boleh gunakan iklan percuma di media sosial, seperti FB, twitter, Instagram, blog dan laman web.

Anda juga boleh membeli papan iklan yang terdapat di jalan raya atau di dalam majalah dan suratkhabar.

Boleh juga  menggunakan bunting, pamphlet, dan mengikuti pameran atau karnival yang sering diadakan bersesuaian dengan jenis perniagaan yang anda ceburi.

BERSYUKUR DAN SABAR

Akhir sekali, sentiasalah bersabar dan tekun melakukan sesuatu  perniagaan itu. Selalulah bersyukur dengan pendapatan yang diperolehi. Banyakkan bersedekah kerana dengan bersedekah anda mendapat rezeki yang berkat dan dirahmati Allah SWT.


KENAPA ANDA PERLU MENCARUM DALAM KWSP


KENAPA ANDA PERLU MENCARUM DALAM KWSP

Pernahkah anda mendengar tentang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP? Tahukah anda betapa pentingnya anda mencarum dalam  KWSP?

Ingin tahu kenapa anda perlu mencarum dalam KWSP biarpun anda bekerja sendiri?  Mari saya  terangkan satu persatu.

APA ITU KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA?

Satu badan yang  merupakan  antara tabung simpanan terbesar di dunia.

Tujuannya untuk  membantu semua tenaga pekerja di Malaysia menyimpan wang untuk hari tua  selaras dengan akta  yang telah ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

JENIS-JENIS CARUMAN

Ada beberapa jenis caruman:

·         Caruman wajib

·         Caruman pilihan sendiri

·         Caruman simpanan tambahan

·         I-saraan

·         I-suri

SIAPA LAYAK MENCARUM?

Mereka yang bukan bekerja dengan sektor kerajaan. Bukan warga asing, orang asli, pembantu rumah dan mereka yang telah berumur 75 tahun, selain daripada itu semua layak mencarum dalam KWSP.

Walaupun anda bekerja  dan mempunyai perniagaan sendiri, anda juga layak mencarum.

Majikan anda perlu mendaftar dengan KWSP  dalam tempoh tujuh hari anda diambil bekerja.

Jikalau anda bekerja sendiri dan ingin mencarum anda boleh menggunakan  Caruman Pilihan Sendiri. Paling penting anda adalah Warganegara Malaysia dan Ahli KWSP.

Kalau anda seorang surirumah pihak KWSP juga menyediakan skim yang dipanggil I-suri, asalkan anda adalah warganegara, mendaftar dalam pangkalan data kemiskinan  Nasional (ekasih) setakat 30 November 2019.

Isteri kepada ketua isi rumah. Belum berumur 60 tahun dan mencarum sekurang-kurangnya RM5.00 sebulan atau RM60.00 setahun ke dalam KWSP.

BAGAIMANA  MENCARUM?

 Majikan anda akan membuat potongan gaji dan membayar terus kepada pihak KWSP menggunakan borang yang telah diisi dengan nama anda serta jumlah potongan setiap bulan.

Anda juga boleh membayar melalui perbankan Internet pemindahan wang secara elektronik. Boleh juga ke kaunter  bank jika pembayaran dibuat secara tunai atau datang sendiri ke KWSP di semua cawangan seluruh negara.

Jumlah caruman adalah 11 % daripada anda,  12 % atau 13% pula daripada majikan.


CARA PEMBAHAGIAN CARUMAN

Caruman  wajib anda dikira berdasarkan pendapatan bulanan yang diterima daripada majikan.

Caruman terdiri daripada  bayaran majikan dan  syer anda  mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Caruman  wajib akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP anda di dibahagi kepada dua bahagia. Satu akaun dimasukkan 70% simpanan anda.

Satu lagi akaun dimasukkan 30% atau dipanggil akaun kedua. Akaun kedua inilah yang akan digunakan jika ada keperluan seperti membeli rumah, komputer atau sambung belajar.

Setiap tahun wang simpanan anda akan menerima dividen dan dijamin oleh kerajaan dengan kadar  2.5% bagi Simpanan Konvensional.

Kadar dividen untuk Simpanan Syariah pula berdasarkan prestasi pelaburan Syariah yang diurus dan dilaburkan opeh pihak KWSP.

CARA PENGELUARAN

Bila anda dapat menikmati duit tersebut? Setelah anda berumur 55 tahun, anda boleh mengeluarkan duit simpanan dari KWSP dengan tiga cara pembayaran:

1)Dengan mengeluarkan keseluruhan simpanan dan masuk ke dalam akaun anda.

2) Keluar separuh sahaja dan selebihnya dibiarkan dalam akaun dan simpanan tersebut masih menerima dividen setiap tahun selagi tidak dikeluarkan semuanya.

3)Dimasukkan ke dalam akaun bank anda setiap bulan  seperti menerima gaji sehingga simpanan dalam KWSP habis.

MANFAAT KWSP

Setelah bekerja berpuluh tahun, tentulah anda mengharapkan sesuatu.  Tidak mungkin setelah bersara anda masih terpaksa bekerja?

 Jikalau anda seorang yang sihat walafiat, mungkin tidak bermasalah untuk bekerja kembali.

 Bagaimana jika anda mengalami pelbagai jenis penyakit?  Tentulah sukar untuk anda mendapatkan pekerjaan sesuai dengan umur anda.

Duit ini jugalah yang boleh digunakan untuk merawat penyakit anda, sekurang-kurangnya membantu anda menjelaskan bil hospital dan ubat-ubatan tanpa perlu menyusahkan orang lain.

Selain menyara tanpa bekerja, duit ini boleh juga dijadikan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dan anda tidak perlu meminjam daripada sesiapa atau dengan institusi kewangan yang ada.

Bermakna pelaburan yang dibuat, keuntungannya akan kembali kepada anda.

Anda tidak perlu bergantung hidup dengan anak-anak yang telah bekerja. Simpanan yang ada boleh membantu anda menyara diri sendiri dan keluarga.

Ditambah jika masih ada anak-anak yang bersekolah atau masih belajar, sekurang-kurangnya simpanan KWSP ini meringankan beban untuk anda menyara mereka.

Anda juga boleh melabur dalam syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham  mengikut kemampuan kewangan anda.

 Bermakna duit simpanan itu akan terus beranak-pinak.

Pastikan pelaburan anda adalah pelaburan patuh Syariah bagi yang beragama Islam.  Supaya tidak was-was keuntungan pelaburan yang diterima nanti.

Jikalau anda berniaga, tidak selamanya anda mampu bekerja, dengan duit caruman ini semoga dapat menampung keperluan anda.

Paling penting, bijaklah memilih bagaimana hendak menyimpan dan menabung  untuk masa tua anda. Jadikan kehidupan tua anda amat bererti dan sediakan payung sebelum hujan.

https://www.kwsp.gov.my/ms/member/contribution



5 TIP MENJADI MERTUA YANG BAIK

Gambar: Google


 5 TIP MENJADI MERTUA YANG BAIK

 Sebaik sahaja  anak perempuan atau lelaki diijabkabul dengan pasangan mereka, secara automatik anda  menjadi ibu mertua, tidak kiralah anda terima menantu lelaki atau perempuan.

Bagaimana perasaan anda? Gembira? Sedih? Terasa kehilangan? Tentu perasaan bercampur-baurkan? Kalau anak kita lelaki, tidaklah kira risau sangat kecuali kita bimbang anak lelaki kita akan dikontrol oleh menantu kita.

Kalau anak kita perempuan, bimbang juga kalau suaminya tidak melayannya dengan baik. Bagaimana hubungan dengan mertua dan ipar duai? Macam-macam ada dalam kepala, kan?

Apatah lagi anda mendapat seorang mertua yang kurang mesra. Tentulah kita bimbang pisang berbuah dua kali. Sudah tentulah anda ingin mengubah keadaan itu dan menjadi mertua yang baik kepada menantu-menantu anda.

Mari saya kongsikan beberapa tip bagaimana anda boleh menjadi seorang mertua yang baik.

1)Terima Menantu Seadanya- Setiap manusia ada kekurangan diri. Terimalah menantu kita sebagai anak kita sendiri. Kalau kita ramai menantu, usah pilih kasih.

Terima kelebihan dan kekurangan mereka. Usah dicari kekurangan mereka. Belajar kenali kelebihan mereka.

Ada menantu yang mesra dan mudah menerima diri anda. Ada  pula menantu yang berasa janggal ketika bersama anda. Jangan melatah. Dekati mereka dengan kelembutan anda. Paling penting, jangan mengadili diri mereka.

2)Natural- Bersikap biasa. Anda juga ada kelemahan. Ingat kembali sewaktu mula-mula berkahwin? Adakah rumah tangga anda sempurna seperti sekarang?

 
Sudah tentulah anda melalui fasa perubahan dari satu tangga ke satu tangga sehingga anda  berjaya menjadi seorang ibu atau ayah yang baik.

Sentiasa berfikiran terbuka. Adakala menantu meninggikan suara dengan anak lelaki atau perempuan kita, jangan melatah atau berasa mereka kurang ajar.

Setelah keadaan tenang, dekati mereka, bawa bersembang dan berbincang. Ketika itulah, peranan anda sebagai seorang ibu walaupun hanya ibu mertua perlu.

Jadilah ibu mertua yang mendamaikan hati menantu. Menyejukkan jiwa mereka ketika hati mereka sedang dibakar kemarahan.

3)Pakar Rujuk- Perhebatkan kepakaran anda dalam bidang motivasi diri. Anak-anakkan baharu berumah tangga.

Tentu banyak perkara yang perlu mereka pelajari. Gunakan pengalaman anda sebagai seorang ibu dan isteri.

Menantu suka ibu mertua yang pandai menasihati mereka dengan cara berhemah. Jangan menyindir kalau mereka bermasalah.

Anda bukan sahaja boleh jadi pakar motivasi diri, tetapi boleh juga menjadi pakar masakan buat menantu. Air tangan seorang ibu tidak pernah menghampakan.

Sudah tentulah anda boleh  mengajak anak menantu perempuan main masak-masak sekali-sekala. Kalau menantu lelaki, pikatlah dirinya dengan masakan anda.

Memasak adalah motivasi diri yang terbaik. Perut yang kenyang mampu menenangkan hati yang panas.

4)Menghormati- Kalau anda ingin dihormati. Andalah terlebih dahulu menghormati. Hormati menantu anda biarpun mereka taraf anak.

Hormat bukan bermakna anda perlu takut hendak menegur kalau menantu buat perkara tidak baik. Tetapi hormat kerana merekalah yang telah mengambil alih menjaga anak anda pula.

Seringlah berbual dan bersembang dengan mereka. Ucapkan terima kasih kerana mereka menjaga anak anda. Tentu mereka akan berasa gembira kerana anda menerima diri  mereka seadanya.

Sesekali belilah hadiah biarpun yang murah tanda kasih sayang kita kepada mereka. Jalinkanlah hubungan yang baik. Seperti mana kita mahu dilayan baik oleh mertua kita begitu juga mereka.

5)Berkawan-Jadikan menantu anda sebagai kawan. Kawan yang boleh berkongsi apa sahaja. Jadikan mereka juga pendengar terbaik kita.

Mereka pasti menghargai sikap kita. Mereka akan berasa dihargai dan disayangi.

Jangan burukkan menantu kepada menantu lain. Biarpun kita menjadikan mereka tempat meluahkan perasaan, tetapi tidak semua perkara.

 Kisah menantu A, biarlah menjadi rahsia di hati kita. Usah diceritakan kepada menantu B. Begitulah sebaliknya.

 Banyakkan Bersabar

Jaga hubungan kita dengan mereka sebaik mungkin. Kita sudah banyak pengalaman. Sudah tentu kita mampu menjadi manusia yang sabar.

Usah cepat melatah apabila menantu bercerita  ada menantu lain yang menceritakan keburukan diri kita. Dengar dan diam. Usah mengamuk pula. Terima dengan tenang, aduan tentang diri kita.

Mungkin kita ada salah dan silap yang tidak kita nampak. Orang lain adalah cermin diri kita. Begitu juga menantu kita.

Kalau berasa tidak puas hati, panggil mereka. Ajak berbincang, bertanya dan berterus-terang. Bersikap terbuka.

Usah simpan dalam hati ketidakpuasan hati terhadap mereka.
Lagi lama anda simpan, pasti akan menjadi nanar dalam hati.

Tidak kira siapa anda, anggaplah menantu kita sama seperti anak anda sendiri. Bukan orang luar yang tiba-tiba hadir dalam keluarga anda.

Layan mereka dengan penuh kasih dan sayang. Ingat, apa yang kita beri, itulah yang kita dapat kembali.

 Hargai mereka seadanya seperti mana mereka menerima kita seadanya.
Semoga keluarga bahagia milik kita.