Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 20 Jun 2015

ULASAN PILO TOQ



PILO TOQ
PUTEH PRESS
GABUNGAN TIGA PENULIS – OP ZAHARIN, AZZAM SUPARDI, BAHRUDDIN BEKRI.
RM18.00
2015
4.5 bintang.

                Pernah tengok pos tentang buku ini, waktu itu langsung tak berminat nak beli.  Cerita bantal, pasal apa? Kan, kan, kan. Waktu ke Nilai, biasalah kedai buku ada di situ.  Kebetulan anak cakap, voucher bukunya masih berbaki lagi.  Aduh!   Ingat nak posa tak nak beli.  Tapi itulah, kan, kan, kan.  Orang yang minat membaca ni, kalau tak beli pun, jengah-jengah dan belek-belek buku yang ada di  kedai buku satu kemestian.  Kalau tak percaya tanyalah pada kawan-kawan yang memang kentang gila dengan buku, kan, kan, kan.  |

                OKey berbalik pada buku ini.  Wah!   Santai, menarik, tak ada 18 sx walaupun kisah manis-manis masam suami isteri.  Tetap menarik di hati, tetap buatku ketawa sehingga mengalirkan air mata, makna suka sangatlah tu.  Buat aku tersenyum sendiri waktu membacanya.  Rugilah kalau tak beli, dan berbaloilah pelaburanku menghabiskan voucher buku yang diterima oleh anak perempuanku.  Tahniah penerbit dan penulis yang terlibat dalam menghasilkan buku ini. Karya seperti ini semakin mendapat perhatian para pembaca.  Erk… tapi jangan semua penerbit keluarkan buku seperti ini pulalah ya.  Biarlah setiap penerbit ada identitinya tersendiri agar pembaca punya banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan.

                Gaya bahasa yang digunakan juga mudah dan bukanlah bahasa pasar atau BI bercampur aduk dengan BM.  Masih terjaga tatasusila berbahasa, walaupun terselit juga beberapa perkataan BI.   Ayat yang paling aku suka adalah SEE… nak tahu kenapa perkataan itu digunakan oleh Tuan Azzam Supardi, kenalah dapatkan karya ini.

Sabtu, 13 Jun 2015

ULASAN MEMOIR ANAK SETINGGAN



MEMOIR ANAK SETINGGAN
PTS FORTUNA SDN. BHD.
M.S. ANUAR MAHMOD.
RM14.00
*****
                Membaca karya ini buat saya terkenangkan waktu saya kecil-kecil dahulu.  Membesar di kawasan setinggan di tengah-tengah bandayara Kuala Lumpur.  Ramai kawan, ramai jiran tetangga yang tidak lagi dapat bersua muka.  Entah di mana dan ke mana mereka.  Masa berlalu usia yang semakin meningkat dewasa tidak pernah sekalipun saya melupakan kenangan sewaktu menjadi penghuni setinggan.  Kawasan Kampung Paya, Kampung Haji Abdul Hukum, sedangkan kawasan itu adalah kawasan lama yang dibuka oleh Tuan Haji Abdul Hukum satu ketika dahulu.  Banyak kenangan dan memori yang tersemat kukuh di hati.  Semua yang terkandung di dalam buku ini benar-benar terjadi.  Kisah perebutan giliran mengambil air. Banjir kilat dan rumah terbakar, semuanya saya alami. 

                Permainan waktu kanak-kanak, konda-kondi, polis centre, galah panjang dan paling buat saya tersenyum lebar bila sekumpulan remaja bermain bola sepak, bola masuk ke dalam salah sebuah rumah jiran yang tinggal berdekatan pasti akan keluar bola yang telah dipotong empat.  Semua kenangan itu terlukis di dalam karya ini.  Buat saya tidak sabar menghabiskan karya ini dan teruja amat membacanya.  Biarpun berlainan tempat, namun situasi tinggal di kawasan setinggan sama sahaja.  Tiada bezanya.  Ingat lagi waktu hujan bermain air hujan di bawah atap rumah jiran tetangga amat seronok sekali.  Berkongsi dinding antara satu rumah ke satu rumah itu perkara biasa buat keluarga yang tinggal di kawasan setinggan.     


                Kini setinggan sudah banyak yang terhapus.  Masih berkongsi dinding dan bumbung rumah orang lain, rumah flat atau apartment yang semakin banyak sekarang ini, bagaikan menggantikan setinggan yang sudah semakin lupus di sekitar Kuala Lumpur.  Karya seperti ini bagus dibaca oleh anak-anak kita untuk merasakan betapa kita hidup dalam kesederhanaan dan berkongsi apa sahaja sesama kita.  Tahniah penulis kerana berjaya membawa kembali memori silam dalam hidup saya.

Isnin, 8 Jun 2015

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS

Dalam karya terbaharu saya, saya buat kisah seorang gadis yang berkulit hitam tetapi bercita-cita nak jadi setiausaha. Memanglah dia berjaya tetapi hanya sementara. Kecantikan pakej utama untuk pekerjaan yang serba sempurna itu. Saya juga cipta watak Rose seorang gadis yang tidak cantik tetapi bercita-cita besar. Tidak pernah patah semangat untuk terus berjaya dalam kehidupannya. Kekecewaan dan penghinaan bukan penghalang kejayaan. Kalau terus lemah dan termakan dengan penghinaan yang diterima, seseorang itu tidak akan jadi sesiapa dan kejayaan akan jauh perginya. Yang tinggal hanyalah kehampaan dan kedukaan.
kenapa gadis hitam? kenapa tidak putih ke? Ramai sangat heroin cantik di luar sana. Sesekali kita layan bagi gadis yang kurang cantiknya jadi subjek utama. Saya juga masukkan pekerjaan sebagai pembantu kedai di dalam karya ini. Kenapa pembantu kedai? atau Juruwang di sebuah restoran. Bukan mudah bekerja sebagai pembantu kedai tau.
Saya pernah membuka restoran dan tahu bagaimana rasanya bekerja sebagai pelayan. Membantu para pekerja saya yang rata-rata anak muda yang layak dipanggil anak. Ada 20 orang semuanya. Sejak buka kedai 2 tahun setengah, pekerja keluar masuk. Ada yang kekal sehingga restoran saya ditutup, malah sehingga sekarang kami masih berhubung. Ada yang sudah beralih kerjaya, tidak kurang juga masih bekerja sebagai pelayan restoran. Mungkin sudah minat mereka atau tidak suka beralih pada kerjaya yang lain.
Syarat utama suami saya sewaktu mengambil mereka bekerja adalah solat lima waktu. Walaupun tahu bukan semua mampu melakukannya tetapi kami tetap paksa agar mereka tahu tanggungjawab mereka dengan ALLAH SWT. Ada yang masih berhubung dengan kami sehingga ke hari ini. Jika rindu menyapa mereka akan menelefon dan bertanya khabar. Ada yang sudah pun berkeluarga, kami mengucapkan syukur yang teramat kerana mereka menghargai kami bukan sebagai majikan tetapi bagaikan orang tua mereka sendiri.
Hari ini saya menangis gembira kerana ada yang sudah berubah menjadi manusia yang beriman dan bertakwa sedangkan sewaktu melangkah ke restoran kami solat pun mereka tidak tahu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang saya dan suami berikan kepada mereka.
Jemput baca karya terkini saya di protal Ilham...
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx…

MELAYU JANGAN LUPA

Saya bukan seorang pahlawan untuk melawan dan menyelamatkan negara. Saya juga bukan seorang pemimpin, untuk memimpin orang bawahan saya agar lurus jalannya. Saya hanya anak Melayu yang dilahirkan pada tahun dan bulan di mana rusuhan kaum berlaku. 13 Mei 1969 mencatit sejarah hitam, sebulan selepas itu lahirlah saya ke dunia ini. Menurut kata emak saya, sewaktu dia dibawa ke hospital ASSUNTA Petaling Jaya ada kereta polis yang mengiringi kerana ketika itu keadaan masih panas.
Saya minat pelajaran sejarah terutama sejarah Melaka sehinggalah sejarah pembentukan Tanah Melayu yang memang ada kena mengena dengan diri kita. Walaupun ada yang saya lupa dan tidak ingat akan rentetan peristiwanya dan paling sukar untuk mengingati tahunnya. Sewaktu saya belajar, saya simpan info dalam kepala, sebagai warga negara saya perlu sayangkan negara saya. Sayangkan Bahasa saya. Sayangkan budaya, pakaian dan bangsa saya sendiri. Jiwa patriotik dalam jiwa saya terlalu tinggi. Ini semua kerana saya masih ingat betapa sukarnya kehidupan datuk nenek saya dahulukala. Sejak penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris kemudian Bintang Tiga dan akhirnya kembali kepada Britis. Penjajahan yang membawa luka dan duka.
Tetapi hari ini kita lupa tentang sejarah asal-usul kita. Melaka musnah kerana pengkhianatan. Melaka musnah kerana pemimpinnya suka bermukah dan berfoya-foya. Rasa marah, dendam dan sakit hati memusnahkan sebuah Empayar. Ketidakjujuran memusnahkan perhubungan. Nilai kasih sayang kepada negara, budaya dan bahasa semakin terhakis dalam diri. Kita bagaikan lupa diri, lupa asal-usul. Bangga dengan budaya orang lain, bangga dengan bahasa negara lain. Kita boleh mengikut peredaran zaman, tetapi kita kena tahu dan kekal berpijak pada akar yang menunjang di Tanah air kita ini.
Jangan gadaikan BAHASA, BUDAYA DAN PAKAIAN SERTA BANGSA kita hanya kerana kita berpemikiran moden dan terkini. Biar siapa pun kita, jadilah MELAYU yang sebenar. Biar siapa pun kita, jangan jadi MELAYU MUDAH LUPA.
Kalau saya laser, laser saya bersebab. Itulah pendirian saya yang tidak mungkin boleh diubah. Saya tetap saya, ANAK MELAYU + JAWA.