Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label CERPEN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERPEN. Papar semua catatan

Khamis, 8 November 2018

DEMI RAKYAT - Cerpen






            Sekali kaki melangkah, biar diterjah lopak, belukar atau belantara, namun berganjak tidak sama sekali.  Itulah azam di hati ketika mula-mula dia dimemasuki arena perjuangan bangsa dalam sebuah parti politik yang amat dikagumi oleh seluruh rakyat negara ini.  Biarpun ramai berkata, bergelumang dengan ahli politik seperti bercampur dengan najis khinzir yang wajib disamak sebelum ingin berhenti sepenuhnya.  Kata-kata sindiran yang langsung tidak mengusi sanubarinya.  Langkah kaki sudah ditetapkan.  Niat sudah tekad membulat di dalam hati.

           
            Ramai juga berkata, siapa nak kaya, jadilah orang politik. Boleh bina empayar dan harta.  Keluhan dilepaskan.  Dengan nada yang sama, biarpun suara berlainan, berjuang dalam parti politik adalah perkara yang sia-sia, kata mereka lagi.  Kalau masih berkuasa, engkau dipuja.  Jika sudah kalah, ditendang seperti kain buruk yang tidak berguna lagi.  Benarkah? YB Shamsul mengeluh perlahan.  Cuba menenangkan dirinya yang sedang berkecamuk sejak hari-hari kejatuhan parti politik tempat dia bersandar tumbang menyembah bumi.  Hati rakyat sudah berubah?  Betulkah?
            Dalam gelanggang politik dia bukan orang biasa. Sebagai Ketua cawangan di sebuah daerah yang besar di Negeri Selangor ini, dia amat dikenali oleh ramai orang.  Daripada tukang sapu sehingga ahli perniagaan yang bertaraf lima bintang.  Begitu juga di dalam parti yang dianggotainya. Ramai ahli-ahli parti amat menghormatinya sebagai seorang yang rajin dan ikhlas bekerja.  Bukan mengejar pangkat dan harta. Apatah lagi dia juga seorang ahli perniagaan yang terkenal dan punya harta yang melimpah ruah, tujuh keturunan tidak habis makan.  Terbukti dia masuk politik bukan kerana ingin mengkayakan diri atau mengejar pangkat dalam parti mahupun kerajaan yang memerintah. Tapi, semua itu tidak orang pandang.  Nama sahaja YB pasti yang akan beranggapan dia penipu dan hanya pandai menabur janji seperti semua wakil rakya yang ada. Menyebut perkataan ikhlas memang mudah. Ikhlaskah dia ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sewaktu nama dijulang?
            Sekarang, dia bukan sesiapa.  Tiada pangkat dalam kerajaan, tiada pangkat untuk membantu rakyat.  Harta?  Wang ringgit?  Dia ada.  Kenapa perlu susah hati?  Bantulah jika ingin membantu.  Buatlah kerja takkan tunggu orang memuji?  Atau wartawan datang bersama deretan kamera, menayangkan cerita dalam media eletronik dan media cetak?  Ah!   Pening memikirkannya. Ditambah kata kawan-kawan seangkatan.  Masyarakat kawasannya sudah ‘buang’ dia, buat apa lagi berkhidmat untuk mereka?  Ada benarnya!   Kalau mereka menghargai baktinya selama ini, sepatutnya dia menang dalam pilihanraya.  Ada pangkat dan kuasa, lebih mudah bekerja dan membantu masyarakat di kawasannya.
 
            “Usahlah abang berfikir lagi, buat apa bekerja untuk masyarakat di kawasan abang itu.  Mereka sudah ada wakil rakyat baharu.  Biarkan mereka merayu pula dengan wakil rakyat tersebut.  Abang tumpukanlah masa pada perniagaan abang semula.  Tak perlu susah hati kerana orang lain.” Kata isteri kepadanya malam tadi.
            Shamsul mengeluh.   Kata-kata perangsangkah itu?  Ya Allah!   ‘Ujian buat diriku dalam mengejar erti keikhlasan yang sering aku tutur dan laungkan kepada masyarakatku selama ini, detik hati kecil Shamsul.  Jiwanya memberontak sendiri.  Jalan keluar yang dicari terlalu bersempang siur.  Mahu pilih yang mana satu?  Ikut kehendak hati sendiri atau nasihat orang-orang di sekelilingnya?
            Kalau ikutkan hati, ingin dibiarkan sahaja masyarakat yang pernah diwakilinya itu. Biar mereka susah. Biar mereka turun naik pejabat kerajaan meminta bantuan.  Tidak perlu melalui dirinya.  Tidak usah datang merayu di kaki tangga rumahnya.  Usah meminta-minta.  Berusahalah sendiri.  Pandai-pandailah hendak hidup, bisik hati kecilnya. Uh!  Itu kata-kata orang kecewa, orang yang tidak ikhlas berbakti kepada masyarakat.  Adakah dia ingin jadi seperti itu?  Melupakan masyarakat yang pernah diwakilinya.  Pernah makan setalam bersama mereka.  Pernah melihat kesusahan dan keperitan hidup mereka. 


            Eh! Bukankah wakil rakyat baharu ada?  Kenapa dia perlu menyibuk?  YB Shamsul mengeluh perlahan.  Sofa empuk berkain baldu  menjadi tilam meletak punggungnya yang berisi terasa keras dan tajam.  Ruang bilik kerjanya yang nyaman terasa bahangnya.  Ini semua kesan akibat kekalahannya dalam pilihanraya yang lalu.  Jiwanya jadi tidak tenteram, tidurnya tidak lena. Makannya tidak kenyang.  Minumnya tidak menghilangkan dahaga.  Semuanya jadi serba tidak kena. Terbiasa didatangi masyarakat persekitaran tempat tinggalnya seawal seusai solat subuh.  Kini, tiada lagi. 
            YB Shamsul bingkas bangun dan kembali ke meja kerjanya.  Hatinya resah.  Kesibukan seharian yang dirasakan sebelum ini, sudah menghilang pergi. Hanya kesibukan urusan syarikatnya sahaja.   Tiada kehadiran masyarakat di tempatnya yang memeriahkan pejabatnya.  Setiap hari ada sahaja yang datang, bersama pelbagai borang dan meminta bantuan daripadanya.. Dia berasa dihargai, diperlukan dan dihormati.  Dia rindukan saat-saat itu.  Bukan tentang duit atau pangkat.  Dia tidak perlukan semuanya itu.
            Dalam perniagaan juga dia perlu bersaing.  Sama seperti dalam politik.  Siapa bijak dan berdaya saing pasti akan menang. Siapa kuat, pasti akan berjaya.  Perniagaan yang diwarisi daripada orang tuanya bukan setakat di Malaysia, tetapi sudah ada cawangan di beberapa buah negara.  Dia menjalankan perniagaan Pelancongan dan Pakej Umrah dan Haji.  Selain itu dia juga ada menjalankan perniagaan Kontraktor seperti membina rumah, jalanraya dan pelbagai lagi yang bersangkutan. Sesuai sangatlah dia menjadi wakil rakyat.  Berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang perniagaan, YB Shamsul mampu menguruskan syarikat dengan baik berkat tunjukajar arwah ayahnya.  Perniagaannya berjalan lancar dibantu oleh pekerja-pekerja yang jujur dan rajin.  Itu sebab dia boleh menumpukan perhatiannya sebagai wakil rakyat. 
            YB Shamsul pulang ke rumah dengan jiwa yang kosong.  Satu waktu dahulu, biarpun penat melayan kehendak masyarakat di bawah kawasannya, hatinya ceria.  Allah!   Penat memikirkannya. Tidak faham dengan kehendak masyarakat di kawasannya.  Apa yang dia tidak lakukan untuk mereka? Kenapa mereka membuang dirinya?  Kekecewaan terus bernyanyi di hati.  Terasa perit dan lukanya terlalu dalam.  Malu!  Dia benar-benar malu dibuang seperti kain buruk.  Langsung tidak dihargai. 
            Sepanjang laluan ke rumah YB Shamsul memandang kiri dan kanan kawasan yang pernah menjadi tempatnya berbakti.  Masih seperti dahulu.  Masih sibuk.  Kenderaan bertali arus.  Rumah kedai kiri dan kanan masih dibuka.  Tetapi terasa sunyi. Tiada lagi rasa bangga di hatinya setiap kali melalui kawasan tersebut.  Tidak sama, wajah orang lain yang terpampang di papan tanda. Bukan lagi mukanya.  Cepat sungguh dia dilupakan. 
            Kenangan yang tidak akan dilupakan.  Pagi-pagi lagi beberapa orang penduduk kampung sudah pun berada di hadapan rumah banglonya.  Ya, dia penduduk asal Kampung Limau Purut, salah satu kawasan dalam daerah yang diwakilinya.  Bangga sungguh mereka ketika dia dipilih sebagai wakil rakyat kawasan tersebut dan dengan begitu mudah dia memenanginya.  Dia akan membantu dengan penuh rela. Tidak berasa terbeban. 
            “YB, nak minta tolong tandatangan borang memohon biasiswa untuk anak saya.”
            “YB, bil air dan elektrik  rumah saya sudah tertunggak dua bulan, minta tolong.”
            “YB, saya nak buat pinjaman untuk berniaga, mohon luluskan.”
Itulah yang didengari setiap hari.  Sambil mengangguk setuju, dia akan cuba membantu selagi daya.  Sebagai YB, peruntukan ada untuk kawasannya berkhidmat.  Tidaklah keluar duit dari saku sendiri.   Kalau dia pandai cari penaja atau yang sudi menderma atau bersedekah, lagi mudah kerjanya.  Tidak perlu guna pakai duit peruntukan yang ada.  Sewaktu musim perayaan rumahnya penuh dengan pelbagai jenis biskut dan hadiah yang diberi oleh orang kampung atau masyarakat di daerahnya.  Jenuh nak makan.  Dia juga akan menyumbang lembu untuk korban di masjid-masjid yang terdapat di kawasannya.  Kenduri-kendara, jika dijemput dia berusaha untuk menghadirkan diri.  Biar tak makan, tak mengapa.  Asalkan hadirkan diri.  Itu sahaja sudah cukup membuatkan penduduk kampung bercerita berminggu-minggu. Mereka berasa bangga YB datang ke rumah.
 
            Perasmian  Hari Guru, dia turut hadirkan diri.  Ada bala bencana di kawasannya, dia akan segera  datang.  Bantuan akan segera diberi. Jarang  benar dia mengetepikan mereka.  Tidak pernah sesekali. Jadual utama yang sering dicatat dalam diari hariannya adalah masalah penduduk di kawasannya.  Tapi kenapa?  Kenapa dia dilupakan?  Kenapa dia kalah kali ini setelah berpenggal-penggal menjadi YB kawasan tersebut.
Soalan yang berat berlegar-legar sejak dia dijatuhkan daripada kerusi yang disandang sebelum ini. Tangan asyik mendarat di atas dahi, pening memikirkannya.   Apakah kesilapan yang telah dilakukannya?  Sehingga ke hari ini dia masih mencari dan memahami tindakan pengundi-pengundi di kawasannya.
            YB Shamsul berhenti di sebuah kedai makan yang selalu disingahinya ketika masih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.  Dia suka mee udang yang terdapat di kedai makan tersebut.  Kereta di parkir tepi kedai tersebut.  Dia melangkah masuk dan duduk di meja menghadap jalan besar.  Pelanggan tidak ramai. Sebaik melihat kelibatnya, mereka datang mendekatinya. Bersalaman dan bertanya khabar.  Oh! Masih ada orang mengenali dirinya?   Mereka bersembang seketika.  Ada juga yang mengucapkan takziah, terasa dia pula yang meninggal.  Hanya senyuman yang mampu diberi biarpun tawar. 
            “YB baharu baguskah?” tanya YB Shamsul dengan wajah yang cuba ditenangkan.
            “Baguslah YB.” Jawab salah seorang pelanggan di situ.
            YB Shamsul tersenyum lagi.  Terasa juga hatinya.  Dia tidak baguskah?  Setelah memesan mee udang dan teh Tarik, YB Shamsul terus menjamahnya.  Terasa kurang enak di tekak, bukan kerana tidak sedap tetapi fikirannya yang berserabut membuatkan makanan yang dijamah terasa kurang enaknya.  Terdengar juga mereka bercerita akan rancangan YB terbaharu mereka untuk membangunkan kawasan itu.  Kedai papan itu akan diganti dengan kedai batu?  Lama juga nak siap itu.  Bolehlah mereka menunggu dan tentu sewanya akan mahal, mahukah mereka?  Dia juga pernah terfikirkan perkara yang sama, tetapi memikirkan kos membina rumah kedai dua tingkat dan sewa yang akan dikenakan oleh pelabur menyebabkan dia membatalkan niatnya.  Takut perniagaan yang ada tidak mampu membayarnya.
            Sebaik sahaja menghabiskan suapan terakhir, seseorang menepuk bahunya dari belakang.  YB Shamsul menoleh.  Dia terkejut.  Namun, sempat YB Shamsul melemparkan senyuman.  Kehadirannya bersama pengiring.  Sudah bergelar YB tentulah ramai pengikutnya, detik hati kecil YB Shamsul.
            “Apa khabar YB?”  tanya YB Jais yang baharu sahaja mengambil alih kuasa di kawasan YB Shamsul.
            “Baik YB!” jawab YB Shamsul.
            Mereka bersembang.  YB Shamsul mendengar dengan penuh teliti.  Parti lawan berada di hadapannya.  Orang yang mengalahkannya.  Orang yang telah merampas kawasan tempat dia berkhidmat selama ini.  Eh!  Dia tidak marah.  Sesiapa sahaja berhak bertanding.  Kalau menang, itu rezeki namanya.  Bertenang, dia sudah cukup matang.  Sesiapa pun yang berkhidmat untuk masyarakat perlu disokong.  Bukan menabur fitnah, bukan memboikot, hati YB Shamsul terus berbisik.
            Hampir sejam dia duduk menghadap wakil rakyat baharu itu.  Pelbagai cadangan dan perancangan diceritakan. Banyak juga idea wakil rakyat baharu ini.  Masih muda, bersemangat dan kuat.  Berbeza dirinya yang semakin tua, biarpun bersemangat.  Masyarakat di tempatnya ingin orang muda agaknya. Tentu banyak idea untuk membangunkan daerah yang diwakilinya.  Dia hanya mantan YB daerah tersebut.  Tidak perlulah berkecil hati.  Tidak perlulah dia berasa hati.   Rakyat yang memilih, bukan salah YB Jais.
            “YB, marilah kita berganding bahu membantu penduduk di sini dan daerah yang pernah YB wakili. Bantu saya.  YB lebih kenal kawasan ini berbanding saya.  Ramai juga penduduk yang masih sukakan YB.  Janganlah jauhkan diri. Biarpun kita berlainan parti, tapi kita rakyat negara ini, satu bangsa dan satu agama.  Bukan masuk parti saya, tapi bekerjasama membangunkan daerah ini,”  ajak YB Jais bersungguh-sungguh.
            “Saya orang tua, tak banyak idea, itu sebab ditolak oleh pengundi kawasan saya,”  jawab YB Shamsul.
            “Ditolak bukan kerana kurangnya idea, tapi rezeki saya  nak jadi YB di sini,”  luah YB Jais.
            “YB, saya ikhlas dan bersungguh ini.  Biarlah apa orang nak kata.  Mari kita berganding bahu.  Perbaiki keadaan di daerah ini.  Sekarang sudah baik, kita jadikan lebih bagus lagi.  Bekerja berkumpulan lebih baik daripada bekerja seorang diri,” pujuk YB Jais lagi.
            “Nantilah saya fikirkan.  Nanti apa pula kata orang kuat parti saya,”  kata YB Shamsul.  Ya, apa pula kata ahli-ahli parti yang dia turut menjadi ahli dan diwakilinya.  Apa pula kata barisan tertinggi parti jika melihat dia sibuk bekerja bersama-sama dengan parti lawan. Nanti mereka fikir, dia melompat parti.  Hish!  Susah juga ini.

            YB Shamsul pulang ke rumah dengan tambahan subjek yang harus difikirkannya.  Membantu wakil rakyat baharu itu?  Bolehkah?  Partinya akan restukah?  Barisan Majlis Tertinggi akan merestuikah?  Jangan-jangan mereka akan fikir dia sudah berpaling tadah.  Uh!  Serba salah jadinya.  Bukankah dia masih boleh berbakti, walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat.  Kenapa pula dia tidak boleh membantu wakil rakyat baharu sedangkan mereka sama-sama inginkan kebaikan buat daerah yang pernah diwakili.
            Ah! Serabut! Serabut! Detik hati kecilnya.  Berkerut wajahnya. 
            YB Shamsul melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat yang sudah lama didiaminya.  Di bina di atas tanah setengah ekar. Di dalam kawasan kampung.  Nyaman dan selesa tinggal di situ.  Berbeza tinggal di bandar yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan kesibukan kenderaan bertali arus tidak kira siang atau malam.  Penghawa dingin sudah siap terpasang.  Tentu isterinya berada di rumah.  YB Shamsul terus melabuhkan pungguhnya di sofa.  Berehat seketika. Kepalanya berdenyut-denyut.  Asyik fikir apa orang kata, sehingga dia terlupa niat sebenarnya menyertai parti politik dan bertanding sebagai wakil rakyat.  Tanpa jawatan pun dia masih boleh berkhidmat.  Tanpa parti politik pun dia masih boleh membantu rakyat dan masyarakat di kawasannya.  Bukankah dia melakukannya kerana ikhlas?  Ah! Pedulikan apa yang bakal dikatakan  oleh anggota Majlis Tertinggi partinya.  Siapa yang lebih berkuasa?  Ahli politikkah, atau rakyat?  Rakyat sudah membuktikan mereka berkuasa dengan mudah menolaknya setelah sekian lama bergelar Yang Berhormat atau sepatutnya Yang Berkhidmat.  Ya!  Dia sudah bertekad, dia akan terus berkhidmat biarpun tanpa pangkat atau menjadi ahli politik.  Biarlah dia berkhidmat untuk rakyat dan masyarakat di kawasannya dengan wangnya sendiri. Biarlah dia bekerja sama dengan YB Jais. Tiada salahnya. Tiada dosapun.  Apa yang penting masa hadapan rakyat dan masyarakat di kawasannya.  Itulah azamnya. Ya tidak akan berganjak lagi! YB Shamsul tersenyum gembira.  Kepalanya sudah kurang berdenyut. Hatinya semakin tenang. 


Sabtu, 30 Disember 2017

MASIH ADA SAYANG- ASMAH HASHIM



Hembusan angin menyapa lembut pipinya. Deruman ombak menganggu-gugat perasaannya yang sedang  berkecamuk itu.  Dia bingung.  Fikirannya benar-benar bercelaru, ditelan mati emak, diluah mati bapak.  Itulah perasaannya ketika dan saat itu.   Iffah berjalan menyusuri pantai.  Sengaja dia melarikan diri ke pulau itu.  Pulau yang penuh dengan cerita lagendanya tersendiri. Pulau yang sentiasa menggamit pelancong untuk menjejakkan kaki ke situ.  Dia memandang jauh ke tengah laut yang terbentang luas saujana mata memandang.  Iffah  mengeluh. Kecantikkan alam dan ketenangan seisinya tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah-gulana itu. 
            Iffah menghempas badannya di atas katil.  Gambar anak dan suaminya ditatap untuk melepaskan rindu.  Dia rindukan kdua-dua insan yang telah bertahta di hatinya itu.  Dia sayangkan mereka, tetapi…! Ahh! Iffah mengeluh. Kenapa hidupnya jadi begini. Iffah mencapai telefon tangannya.  Dia membuat panggilan ke rumah.  Hatinya berdebar-debar, menanti suara yang sekian lama dirindui menjawab panggilan itu. 
            Ah! Suara itu mendayu-dayu.  Lidah Iffah kelu untuk menjawabnya.  Seribu sesalan bersarang di fikirannya.  Air mata mengalir tanpa dipaksa.    Iffa melepaskan keluhan, dia mengesat air mata dengan hujung jarinya. Iffah tahu  berdosa kerana keluar rumah tanpa keizinan suaminya, apatah lagi si kecil yang masih memerlukan  belaian daripadanya.  Iffah menangis tersedu-sedu.  Pangkat dan kedudukan yang ada belum tentu memberikan kebahagian pada rumah tangganya.

***

            “Ini rumah ke reban ayam?” sindir Datin Saodah sambil menjeling tajam ke arah Zahir. 
            Iffah mengerutkan dahi, hanya mata berkata-kata pada mamanya.
            “Mama… inilah mahligai kami, mama,” kata Iffah dengan senyuman bahagia. 
            Datin Saodah menjuihkan bibirnya.
            “Ke mana perginya gaji kau yang beribu itu, Iffah? Mana pergi wang simpanan kau yang beratus ribu itu?” tanya Datin Saodah agak keras. 
            Zahir mengeluh sendiri.  Hatinya benar-benar panas dengan sindiran dan pertanyaan daripada emak mertuanya itu.
            “Mama, tolonglah perlahankan suara mama tu, malu didengari dek jiran sebelah menyebelah.”  Iffah menarik tangan  Datin Saodah.
            “Tahu malu?  Kalau dah malu kenapa masih lagi tinggal di rumah burik ini?”
            “Mama… ini rumah Abang Zahir, gajinya hanya mampu menyewa rumah seperti ini saja.”  Iffah memandang wajah Zahir yang merah padam.  Dia tahu, suaminya  itu tersinggung dengan kata-kata hinaan daripada mulut mamamnya.
            “Duit gaji kau mana? Takkan dengan duit yang selalu papa dan mama berikan, tak cukup untuk kau membeli sebuah banglo?”
            “Abang Zahir tak mahu iffah keluarkan duit Iffah menyara keluarga ini mama.  Dia suami Iffah, Abang Zahir mahu biar dia sendiri yang menguruskan makan pakai Iffah dan anak kami.”
            “Kalau aku tahu kau hanya kerani cabuk, tak sudi aku  jadikan kau menantu aku tahu tak?  Berani kau bohong aku.  Kata kau tu pengurus bank, berkelulusan luar negara, dari keluarga berada. Rupanya habuk pun tak ada!” jerkah Datin Saodah.
            Zahir terkejut mendengarnya.
            “Zahir tak pernah tipu mama…  Zahir juga tak pernah tipu Iffah… siapa kata Zahir pengurus bank?  Siapa kata Zahir anak orang kaya?  Siapa?  Siapa?”  jerit Zahir.  Dia tidak mampu berdiam diri lagi.  Dia benar-benar rasa tercabar.
            Iffah terkejut.
            Datin Saodah mengetap bibir.  Matanya dijegilkan ke arah Zahir.
            “Iffah!” jerkah Datin Saodah sambil matanya memandang tepat ke arah Iffah yang mula resah.
            Zahir keluar dari rumah dan meninggalkan Iffah dan mamanya. Hatinya benar-benar sakit dipermainkan begitu.
            Iffah tahu dia bersalah.  Dia terpaksa berbohong agar mama dan keluarganya bersetuju dengan pilihannya.  Dia cintakan Zahir, soal kedudukan dan darjat bukan perkara besar baginya. Dia tahu Zahir boleh menjadi seorang suami yang baik.  Sikap dan kejujuran Zahir menambat hatinya. 
Namun, sejak pertengkaran mamanya dan Zahir, keadaan telah berubah.  Zahir begitu dingin dengannya.    Zahir tidak semesra dahulu lagi.  Mamanya pula tidak habis-habis mengganggu.  Hubungan Zahir dan keluarganya juga tidak lagi semesra dulu, sejak rahsia terbongkar.  Iffah menyalahkan dirinya sendiri. Dia terlalu takut dengan kenyataan yang bakal dihadapi.

***
            “Mama?  Apa mimpi mana datang hari ini?”  Iffah terkejut melihat mamanya muncul di pejabatnya.  Tidak pernah-pernah.  Dahi Iffah berkerut seribu.  Datin Saodah  masuk dengan angkuh. Dia duduk di sofa menghadap Iffah yang masih terkejut.
            “Mama mahu Iffah minta cerai daripada Zahir!  Mama tak mahu orang mengata, menantu mama hanya kerani cabuk dan penipu!”
            “Mama! Apa mama cakapkan ni?  Mama sedar taka pa yang mama ucapkan?”  Iffah tergamam mendengarnya, Bala apa pula hari ini.  Iffah terduduk mendengarnya.  Wajah Datin Saodah mencuka dan garang.  Tiada sedikit pun rasa belas kasihan di wajah itu.
            “Ingat Iffah… aku mama kau! Mama yang melahirkan kau ke dunia ini, baik kau dengar kata mama.  Jika tidak mama tutup semua akaun bank kau, dank au tak dapat satu sen pun duit mama dan papa lagi!” Ugut Datin Saodah.
            Iffah menekup telinga.
            “Minta cerai Iffah… mama tak mahu anak mama hidup macam pengemis, kau dengar tak?” jerit Datin Saodah.
            Iffah memandang  wajah mamanya.  Tiada wajah keibuan di situ, yang ada hanya kebencian dan dendam yang terpancar di wajah itu.  Iffah menangis sayu.  Rasa malu hilang sama sekali.  Mungkin stafnya turut mendengar apa yang terjadi sebentar tadi.  Hatinya benar-benar sayu.  Kenapa dia harus menghadapi semua ini?  Bukankah bagus jika dia bukan siapa-siapa, dann bukan anak orang kaua, tentulah hidupnya lebih bebas.
            Di sebelah kanan suami, di sebelah kiri mamanya. Mana satu yang harus dipilih?  Kedua-duanya dia sayang. Kedua-duanya diperlukan.  Kedua-duanya cinta hatinya.  Oh Tuhan! Berilah aku petunjuk-Mu…  Iffah menggaru kepala yang tidak gatal, hanya kebingungan sahaja yang dirasakan.


***
            Di rumah Zahir dan dirinya bagaikan musuh.  Seorang ke hulu, seorang ke hilir.  Anaknya pula lebih manja dengan Zahir.  Banyak masa si kecil dihabiskan bersama Zahir.  Iffah benar-benar kesunyian.
            “Cakaplah dengan Iffah, bang! Jangan buat Iffah begini, maafkan Iffah…”  Iffah mendekati Zahir, dia cubab memegang tangan suaminya, ingin dicium dan dipeluknya suami tercinta itu.
            “Iffah ingat abang tak ada malu apabila dituduh penipu dan pembohong?!   Apakah Iffah merasa terhina bersuamikan kerani cabuk seperti abang?  Hina ke pekerjaan abang itu, Iffah?”  Zahir memandang wajah Iffah, geram berbaur rindu.  Dalam hati perasaan sayang membuak-buak dan pada masa yang sama hati itu juga berasa geram dan marah.  Zahir sedar siapa dirinya sejak pertama kali mendekati Iffah.  Dia mendekati Iffah kerana menyenangi perwatakan Iffah dan benar-benar mencintai isterinya itu.   Bukan harta dan pangkat Iffah yang digilakannya.
            Dia tahu Iffah mampu membeli rumah besar, Iffah mampu hidup mewah. Zahir ada prinsipnya sendiri, dia lebih rela membela anak isterinya dengan hasil pendapatannya sendiri dari menumpang senang kekayaan isterinya itu.
            “Abang!”  Iffah memegang kedua-dua belah tangan Zahir.
            “Abang malu Iffah, tak tahu di mana abang nak sorokkan muka abang ini, selama kita kahwin  sesen pun duit Iffah abang tak pernah sentuh.  Abang sedar diri abang Iffah, abang tak mampu memberi kemewahan pada Iffah, hanya rumah buruk ini sahajalah yang mampu abang sediakan untuk Iffah.”  Zahir keluar dari bilik itu.  Anaknya masih lena dengan nyenyaknya.
***

            Air mata Iffah mengalir bagaikan air terjun, seolah-olah tidak mahu berhenti.   Fikiran Iffah benar-benar kacau. Si kecil yang berusia setahun tidak dihiraukan lagi.    Sehingga menyebabkan pertengkaran berlaku lagi antara dia dan Zahir.
            “Kenapa dengan awak ni Iffah? Kenapa budak itu yang menjadi mangsa?” marah  Zahir. Dia mendukung Iffan dan memeluknya erat.  Zahir memeriksa paha Iffan, terdapat kesan cubitan.  Zahir menggelengkan laju.  Dia memandang wajah  Iffah.
            “Ibu jenis apa awak ni?  Perangai awak sama saja dengan mama awak tu, tak ada sikap belas kasihan!” rungut Zahir.  Iffan didakapnya penuh dengan kasih dan sayang.   
            “Jangan hina mama Iffah pula!  Baik atau buruk perangainya, abang jangan lupa yang dia itu tetap ibu kandung Iffah!”   Iffah tersinggung dengan kata-kata Zahir.  Biar bagaimana buruk perangai mamanya, dia tidak suka ada orang yang menghina mamnya itu.
            “Kenapa? Tak puas hati?” soal Zahir.
            “Abang jangan nak naikkan darah Iffah!”
            “Kenapa?  Iffah nak buat apa?”
            “Abang!” Iffah menjerit sekuat hati.  Zahir asyik sahaja menyakiti hatinya. Makanan yang dimasak tidak dijamah. Tiada lagi usikan mesra dan gurau senda.  Iffah bebar-benar bengang.  Iffah mencapai  beg tangannya dan  keluar dari rumah itu.  Zahir tidak pula memanggilnya pulang.  Iffah benar-benar geram.


***
            Iffah mengesat air mata yang mengalir. Dia masih sayangkan kedua-dua insan tersebut. Dia masih sayangkan rumah tangganya.  Sudah berbulan-bulan dia tinggal di rumah mamanya.  Zahir tidak pula datang menjemputnya.  Mamanya pula asyik  berleter dan menyuruhnya meminta fasakh membuatkan dia melarikan diri ke pulau itu.    Dia harus menenangkan hatinya yang kusut.  Iffah mengemas pakaiannya.  Dia harus pulang kepada keluarganya.  Dia menyapu air mata dari terus mengalir.  Dia menarik nafas panjang.  Hari ini juga dia akan pulang ke Kuala Lumpur.
            Wajah Datin Saodah sugul. 
            Datuk Mansor menggeleng kesal. 
            Iffah menangis sayu. 
            Datuk Mansor mundar-mandir di hadapan Datin Saodah.
            “Ibu mertua jenis apa awak ni  Odah?!  Rumah tangga anak  dah bahagia awak porak perandakan!”  Datuk Mansor mengeluh kesal dengan perbuatan isterinya itu.  Baharu ditinggalkan seketika sudah jadi pelbagai cerita.
            “Odah tak tahan bang!  Dia penipu! Dia tipu anak kita!”  Datin Saodah membela diri
            “Bukan dia yang menipu,  Odah!  Tapi anak kita ni…”  Datuk Mansor merenung wajah muram dan surah Iffah.
            “Bua tapa seksa diri sendiri Iffah?”
            “Iffah tahu iffah bersalah papa, itu sebab Iffah balik ke sini.  Iffah nak minta supaya mama dan papa merestui rumah tangga Iffah dan Abang Zahir,”  pinta Iffah dengan pipi  yang dibasahi air mata.
            “Papa dah lama merestuinya. Iffah, papa tak kisah siapa pilihan Iffah asalkan dia dapat membahagiakan Iffah.  Itu sudah cukup untuk papa,”  luah Datuk Mansor.
            “Mama tak restu! Mama malu bermenantukan kerani cabuk dan tidak berkedudukan  itu.  Mama tak rela, Iffah!”
            “Mama… apakah mama yakin Iffah boleh bahagia jika Iffah berkahwin dengan orang yang sama taraf dengan kita?  Mama… jodoh, ajal maut ketentuan ALLAH, sudah ditakdirkan jodoh Iffah dengan Abang Zahir, malah kami sudah mempunyai  anak bersama…”  Iffah memeluk lengan Datin Saodah meminta simpati.
            “Tapi Iffah!”  Datin saodah terdiam apabila Datuk Mansor menyentuh bahunya.
            “Biarlah mereka hidup bahagia idah, usah diganggu ketenteraman mereka.  Bukankah kita akan bahagia jika anak menantu dan cucu kita juga bahagia,” nasihat Datuk Mansor.
            “Odah tak sanggup melihat iffah duduk di rumah buruk itu bang!”  keluh Datin Saodah.
            “itu hak suaminya, biarkanlah,”  kata Datuk Mansor.  Mereka saling berpandangan.
            “Tolonglah Iffah mama, restuilah perhubungan kami, restuilah rumah tangga kami,”  rayu Iffah.
            Datuk Mansor menepuk bahu  Datin Saodah.
“Iffah!”  Datin saodah menarik tangan Iffah.  Mereka berpelukan.  Mereka menangis melepaskan beban di hati masing-masing.


***
            Datin Saodah melangkah perlahan masuk ke dalam rumah separuh batu dan separuh papan itu.  Keadaan di dalam rumah itu tetap bersih. Iffah meletakkan beg pakaiannya di ruang tamu.  Di dapur terdengar suara Zahir sedang melayan anaknya.
            “Iffan rindukan mama ya? Nanti mama baliklah,” pujuk Zahir, anak kecil itu terus menangis.
            “Mama…” kata Iffan.
            “Ayah tahu Iffan rindukan mama, ayah pun rindukan mama juga,” perlahan sahaja  suara Zahir.
            Iffah menekup mulutnya dengan telapak tangan. Hatinya terasa geli pula melihat gelagat Zahir.
            “Kalau rindu kenapa tak jemput?”  sampuk Datin Saodah.
            Zahir terkejut.  Hampir sahaja si kecil itu jatuh dari dukungannya.
            Iffah menerpa hendak mendukung iffan. 
            Zahir mengundur ke belakang.
            Iffah memandang Zahir dengan penuh tanda tanya.
            “Maafkan mama, Zahir.  Terimalah Iffah semula.  Mama sedar, mama keterlaluan, mama redha dengan perkahwinan kamu berdua, mama kejam pada kamu.  Maafkan mama sekali lagi,” kata Datin Saodah penuh keinsafan di hati.  Dia menerpa ke arah menantunya.  Dia mengambil Iffan dan membawanya keluar. Tinggal Iffah dan Zahir di ruang itu.
            “Maafkan Iffah, bang,”  ucap Iffah.  Dia memandang wajah suami yang dicintainya itu. Hatinya sedih melihat keadaan Zahir yang tidak terurus itu. 
            Zahir mendekati Iffah.  Perasaan rindu terubat semula.  Dia memeluk erat tubuh  Iffah.  Tubuh yang sudah lama tidak dipeluknya.
            Di ruang tamu  Datin Saodah melayan kerenah cucunya.  Dia menyuapkan susu ke mulut Iffan.  Anak kecil itu ketawa riang dan mencium pipi Datin Saodah.  Hatinya tersentuh dengan gelagat cucunya itu.  Datin Saodah mengeluh.  Dia menyesal dengan tindakannya baru-baru ini.  Sebagai ibu sepatutnya dia menyatukan anak dan menantunya itu.  Haya Iffah anaknya, dan zahir satu-satu menantunya.    Datin Daodah mencium Iffan bertalu-talu.   Dia memeluk Iffan dengan erat.    Dia berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga anaknya lagi.  Dia akan mendoakan kebahagiaan mereka.  Oh Tuhanku, ampunkanlah dosaku, doa Datin Saodah dalam hati.
            Zahir masih tidak melepaskan Iffah yang berada di dalam pelukannya.
            “Iffah sanggup hidup susah dengan abang?”
            “Iffah sanggup bang, asalkan abang sentiasa di sisi Iffah…”
            “Betul… tak tipu?”  Usik Zahir.  Iffah mengangguk riang.
            Datin Saodah tersenyum sendiri melihat tingkahlaku iffah dan Zahir.  Semoga ada sinar bahagia untuk mereka.  Datin Saodah tersenyum gembira. 
Iffah dan Zahir tersenyum bahagia.


(URTV Julai 2002)