Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 30 Januari 2019

JODOH ITU KETENTUAN ILAHI.

JODOH ITU KETENTUAN ILAHI.

Dalam hidup ini ada perkara menjadi ketentuan Allah swt. Salah satunya adalah jodoh. Ada yang dipertemukan jodoh ketika usia masih muda. Saya bertemu jodoh ketika berusia 18 tahun. Usia 19 tahun sudah menimang anak pertama. Adakah saya kesal dengan perkahwinan yang terlalu muda? Tiada penyesalan dalam kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah swt sejak azali lagi. Itulah takdir yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada saya.

Hidup berumah tangga bukan perkara yang mudah. Suka duka silih berganti. Kebahagian tidak akan datang sendiri. Kitalah yang harus membaja dan menyemai serta menyiramnya dengan kasih sayang setiap hari. Meletak kepercayaan hidup kepada seorang lelaki bergelar suami. Dialah imam, ketua dan sahabat sejati. Bukan semua perkahwinan berjumpa kebahagian sehingga ke akhir hayat. Ada yang kecundang di tengah jalan. Sudah tiada jodoh bersama, usahlah dikesalkan.

Beruntunglah mereka yang bertemu jodoh sebelum meningkat usia 30-an. Ada yang masih bersendiri biarpun sudah menganjak usia 40-an. Usahlah risau dan kecewa, kerana tiada jodoh bukan bererti penamat sebuah kehidupan. Kebahagian masih bersama kita kerana masih ada keluarga di sisi yang mampu membahagiakan kita. Masih menyayangi dan mencintai kita sepenuh hati. Jodoh itu ketentuan Ilahi.

Jika sudah tercatat usia berapa kau akan bertemu jodoh, nantikanlah saat itu dengan doa dan yakin ketentuan Ilahi adalah terbaik buatmu.

Usah terpengaruh atau kecewa dengan kata-kata orang sekeliling. Mereka bukan tidak tahu, jodohmu sudah ditentukan oleh Allah swt. Lambat atau cepat, bukan berada di tanganmu. Hargailah dirimu, dekati Allah swt seperti mana cintanya Rabiatul Adawiyah terhadap Allah swt. Meninggalkan keseronokkan dunia malah menolak siapa sahaja yang meminangnya. Kau, takkanlah berbuat begitu.

Jika sudah bertemu yang berkenan di hati dan sudi menjadikan dirimu sebagai isteri, lengkapkanlah sebahagian daripada agamamu. Ikutlah sunah Nabi Muhamad saw yang juga berumah tangga. Namun, jika sebaliknya, teruskan hidupmu dengan penuh kegembiraan.Usah dibiarkan kata-kata masyarakat sekeliling mempengaruhi fikiranmu untuk segera mencari pasangan dan berumah tangga.

Sebagai seorang perempuan kau berhak memilih pasanganmu. Dalam Islam ada garis panduan yang perlu kau ikuti untuk memilih calon suami. Perkara pertama yang harus kau jaga adalah hubunganmu dengan Allah swt, jagalah agamamu. Bagaimana? Solatlah, tutuplah auratmu dengan sempurna, taat kepada kedua orang tuamu. Semoga dengan ketaatanmu kepada Allah, Rasul-Nya dan keluargamu, maka Allah swt menyediakan untukmu seorang lelaki yang mampu menjadi imammu. Mampu membawamu ke syurga Allah swt dan memberimu zuriat yang beriman dan bertakwa.

Bukan semua mendapat apa yang dia inginkan. Begitu juga dengan memilih calon suami. Jika kau tidak sempurna, bakal suamimu akan menyempurnakan. Usah memilih yang kau tahu si dia menagih dadah, kaki judi, atau kaki perempuan. Usah kalah dengan cinta, sebelum mencintai seorang lelaki sepenuh hati, cintailah dirimu terlebih dahulu. Kau berhak memilih!

Carilah kebahagianmu dengan meminta petunjuk daripada Ilahi. Usah patah semangat jika jodohmu lambat tiba. Kemungkinan Allah swt lebih mengetahui sama ada kau sesuai hidup berkeluarga atau tidak. Bukankah Allah swt lebih mengenali dirimu daripada dirimu sendiri?

Usah berkeluh kesah sambil memikirkan kawan-kawanmu yang sudah berumah tangga sedangkan kau masih bersendirian. Banyak perkara kau boleh lakukan selain berkhidmat kepada kedua orang tua, adik beradik dan saudara-maramu, kau boleh berbakti kepada agamamu sendiri dengan membantu mereka yang memerlukan pertolonganmu.Ikutlah badan-badan sukarelawan atau sibukkan dirimu dengan aktiviti yang berfaedah.

Kalau bertemu yang berkenan di hati, mintalah nasihat kedua orang tuamu terlebih dahulu. Jangan salah memilih, kalau tersalah memilih, kau akan menghabiskan hidupmu dengan orang yang akan menyusahkan hidupmu sepanjang hayat.
Usah dicari yang tidak bekerja, biarlah hanya menjadi buruh kasar, asalkan pendapatannya halal.

Pastikan calon suami/isterimu seorang yang rajin bersolat. Pastikan juga bakal calonmu tahu akan hukum-hakam, halal dan haram. Dosa serta pahala, pendek kata ada ilmu agamanya. Faham erti hidup berkeluarga.

Lelaki yang baik, untuk perempuan yang baik. Lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Lengkapkan dirimu dengan kebaikan, pasti Allah menganugerahkan jodoh yang sesuai dengan dirimu. Si dia dan kau akan saling menyempurnakan.

Gelaran anak dara tua, baiklah kau abaikan. Buat tak tahu teruskan hidup dengan berbakti kepada orang yang berada di sekelilingmu. Ketahuilah olehmu, tiada satu perkara yang berlaku itu adalah sia-sia. Hidupmu jauh lebih berharga jika kau tahu menghargainya.

Rumah tangga yang bahagia adalah rumah tangga yang terbina dengan restu kedua belah keluarga. Rumah tangga yang dirahmati oleh Allah swt.



Selasa, 29 Januari 2019

ANAK MILIK SIAPA?










Sewaktu mengikuti majlis ceramah Ustazah Halimah Alaydrus bercerita tentang keluarga Imran, kisah yang tercatat dalam Surah Al-Imran ayat 35.
'Ya Tuhanku, Aku bernazar kepada-Mu, apa( janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdikan ( kepada-Mu), maka terimalah (nazar) itu dariku. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.'
Nazar seorang ibu yang ingin melihat anaknya berkhidmat untuk agama dan berbakti kepada Allah swt. Doa yang membuatkan Maryam menjadi insan dan hamba yang dicintai oleh Allah swt. Paling saya suka adalah ayat Ustazah Halimah Alaydrus seperti ini: 'Ya Allah, ingin aku PERSEMBAHKAN anak dalam kandunganku ini untuk mengabdikan diri kepada agama-Mu, terimalah PERSEMBAHANKU ini."
Betapa mulianya hati seorang ibu yang sanggup menyerahkan anak yang dilahirkan daripada rahimnya berkhidmat untuk agama.

Terfikir di dalam benak saya saat dan ketika itu, kenapalah saya tidak berdoa seperti itu? Paling tidak doa kita adalah inginkan nak yang soleh, beriman dan bertakwa kepada Allah swt, itu pun sudah kira doa yang terbaik buat hamba Allah swt seperti diri kita ini.
Anak adalah kurniaan Ilahi kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Ada orang, baru sahaja bernikah, terus disahkan mengandung. Tidak kurang ramai juga yang setelah berkahwin belum dikurniakan seorang anak pun, biarpun sudah berbelas tahun. Tidak ada anak, bukan bererti hidup kita adalah seorang wanita malang yang tidak sempurna.
Allah swt itu lebih Maha Mengetahui akan kemampuan kita setakat mana. Bukan kerana tidak boleh mendidik atau dikatakan tidak layak menjadi ibu. Tetapi kerana Allah juga tahu, jika kita dikurniakan zuriat, anak itu akan menjadi penyebab kita ke neraka. Atau menjadi anak derhaka. Rahsia Allah, hanya Allah yang tahu. Kepada yang ada zuriat, didiklah anak itu dengan sempurna sebagai hamba Allah swt.
Kepada yang tidak punya anak, usah berduka. Allah memberi ruang dan peluang untuk kita mengabdikan diri kepada Allah swt dengan lebih banyak lagi. Punya ruang dan peluang untuk duduk di majlis ilmu, bertahajud, bersolat sunat yang lainnya tanpa ada gangguan daripada seorang insan bernama anak.
"Nanti sudah tua, siapa nak jaga kalau tak ada anak?"
Pertanyaan yang sering kita dengar. Adakah kita pasti, anak yang kita lahirkan itu akan menjaga kita setelah mereka dewasa kelak? Berapa ramai anak-anak di luar sana yang mengabaikan tanggungjawab mereka kepada kedua orang tua? Adakah kita pasti anak-anak kita mampu menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah seperti yang kita dambakan?
Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan kerana anak itu milik Allah dan kita hanya diberi pinjaman supaya kita mampu didik anak itu untuk mengenal siapa pemilik mereka. Bukan hanya patuh dan taat kepada kita semata-mata.
Jangan memandang hina mereka yang tidak punya anak kerana kemungkinan nasib mereka lebih baik daripada kita di akhirat kelak. Tiada banyak perkara yang akan diperhitungkan.
Jika Hanna ibunya Maryam dan nenek kepada Nabi Isa a.s mampu berdoa seperti itu, kenapa tidak kita cuba turut sama berdoa seperti itu agar Allah swt akan membimbing anak kita ke jalan yang diredhai-Nya. Wallahu Alam. Hanya Allah swt jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya yang amat disayangi ini.
Ingatlah teman-temanku, ANAK ITU MILIK ALLAH, kita hanya diberi amanah untuk menjadikan mereka Nasranikah? Majusikah? atau seorang yang beragama Islam yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Antara gambar satu dan dua, mana satu pilihan kita?

#muhasabahdiri

ANAK-ANAK YANG DIMANJAKAN...











Buka rumah anak yatim, macam-macam perangai anak-anak kami jumpa. Baru-baru ini kami terima lima orang anak yatim yang datang dari mukim yang sama. Bersekolah sama. Mak-mak mereka saling mengenali. Sebelum ini anak A pernah melarikan diri bersama anak B setelah masuk ke tempat saya seminggu.

Kami terima semula setelah mak-mak mereka merayu. Kasihanlah pula sebab anak-anak yatim dan ingin beri mereka peluang. Pagi semalam, anak si B beritahu suami saya nak keluar dari tempat kami sebab berasa bosan dan tak mampu nak ikut adab dan jadual pengisian kami. Suami telefon neneknya. Neneknya tak benarkan.

Malamnya, belum pun kami terlena lebih kurang pukul 12. 00 tengah malam, sekali lagi mereka melarikan diri dengan seorang lagi pelajar yang baru saja masuk ke tempat kami seminggu. Suami bersama dengan seorang pelajar lama segera mengejar mereka dan sempat menghalang mereka, lalu dibawa ke balai polis untuk buat laporan. Hampir pukul 3.30 pagi baru selesai menyerahkan anak-anak itu kepada keluarga mereka semula.

Hari ini, emak A mohon anaknya diterima semula. Namun, kami takkan terima kerana ini adalah kesalahan kedua yang telah dilakukan. Tidak kiralah dipengaruhi kawan atau tidak. Pelajar B pernah melarikan diri dari sebuah maahad tahfiz. Pelajar C baru saja masuk ke sekolah setelah dibuang dari sekolah kerana melanggar peraturan sekolah. Kemudian kami terima atas dasar anak yatim, diharap akan berubah.

Umur pelajar C baru nak masuk 11 tahun sudah membuat kesalahan yang serius sehingga dibuang sekolah. Pelajar B berusia 12 tahun. Pelajar A juga 12 tahun. Pergi sekolah, sudah pandai ponteng dan jadi samseng.

Wahai emak-emak sekalian terutama ibu-ibu tunggal, didiklah anak-anakmu dengan didikan agama, biar hati mereka lembut dan dengar kata. Tahukah kalian, orang yang memelihara, mendidik sehingga anak-anak itu menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat, kau akan dapat duduk dekat dengan Baginda Rasulullah di syurga nanti.

Berhati-hatilah terhadap kawan anak-anak kita, takut tersalah pilih. Berkawan dengan mereka yang baik, baiklah anak-anak kita.

Maahad atau sekolah pondok bukan tempat membuang anak-anak yang tak mampu dijaga oleh kedua orang tua.

Belajar, ajarlah, didik lah, supaya anak-anak menjadi hamba yang beriman, bertakwa dan beradab.

Kasihanilah anak-anak kita, masa depan mereka di tangan kita. Salah didik, hancur masa depan mereka.

Sebelum ingin anak jadi Malaikat, emak perlu jadi malaikat dahulu.

Sebelum ingin anak menjadi manusia, emak perlu jadi manusia dahulu.

Sebelum ingin anak menjadi alim, kedua orang tua perlu jadi alim dahulu.

Sebelum ingin anak beriman, kedua orang tua perlu beriman dahulu.

Jangan sampai, anak-anak menuntut hak mereka di hadapan Allah kerana kita gagal mendidik mereka.

Tidak mahu anak menjadi derhaka, kedua orang tua jangan terlebih dahulu menderhakai Allah swt.
Fikir-fikirkanlah.

Sabtu, 19 Januari 2019

SOLAT DAN HIDAYAH.- Oleh Asmah Hashim.










 “Dia kecil lagi, tak payah susah-susah nak solat. Sudah besar nanti, pandailah dia solat.”
“Aku muda lagilah, sekarang ni waktu untuk enjoy!  Nanti dah tua, tahulah aku bertaubat.”
Ayat yang sering kita dengar dan kadang-kadang kita juga berkata ayat yang sama. Dalam Islam, agama bukan hanya menjadi anutan, tanpa berbuat apa-apa.  Dalam Islam, ada ibadat, paling utama adalah solat. Di akhirat nanti perkara pertama yang dihitung oleh Allah swt, adalah solat. Baik dan sempurna solatnya maka baiklah semua amalanya ketika di dunia.
Teman, solat sewajibnya diajar ketika anak berumur tujuh tahun. Kalau anak itu sudah boleh berbicara lancar, selayaknya terus diajar cara mendirikan solat.  Setelah berumur 10 tahun rotanlah jika masih ingkar menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah.  Bagaimana mungkin kita membiarkan anak yang diamanahkan kepada kita dibiarkan membesar tanpa tunduk dan sujud kepada Allah swt. Mana mungkin, anak yang tidak solat mampu menjadi hamba Allah  yang baik, beriman dan bertakwa.  Memang ada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran walaupun tidak solat, tetapi lihatlah keperibadian, adab dan akhlaknya.  Mampukah dia menjadi manusia yang  benar-benar jujur dan bertanggungjawab? 
“Ada juga orang yang solat, tapi tetap buat jahat.”
Benar, namun…kena selidiki bagaimana solatnya? Dilakukan kerana siapa? Cukupkah rukunnya?  Bagaimana wuduknya, sempurnakah?  Atau ambil sekadar main jirus sahaja,tanpa mengikut seperti yang telah diajarkan oleh Baginda Rasul saw.  Atau solatnya sekadar ingin menunjukkan kepada orang, bahawa dia seorang yang baik dan rajin bersolat.  Hatinya pula bagaimana?  Apa sahaja yang kita lakukan, semuanya bergantung kepada niat seseorang itu.  Bukankah hatimu sentiasa dilihat oleh Allah swt. Maka, jagalah hatimu agar sentiasa bersih, suci sesuci-sucinya.  Berbuat sesuatu yang baik tetapkan hati dan niatkan hanya kerana Allah swt.
Teman, seseorang yang solat, mampu mencegah diri daripada mendekati maksiat.  Mereka yang solat juga terpelihara hatinya daripada bersikap mazmumah.  Allah swt akan memelihara hamba-Nya yang sentiasa sujud kepada-Nya daripada segala kemungkaran.  Tiada solat seorang hamba itu adalah sia-sia melainkan mendapat rahmat dan makfirah daripada Allah swt.  Jika sebaliknya berlaku, koreksilah ibadah solatmu.
“Macam mana aku nak berubah?  Hidayah masih tak sampai kepada aku.”
Hidayah takkan datang sendiri.  Hanya kepada orang yang bukan Islam sahajalah hidayah akan tiba tanpa diduga.  Tetapi kepada yang sudah tertulis beragama Islam, sejak lahirmu lagi hidayah sudah pun menapak dalam diri.  Sepatutnya semakin dirimu membesar, semakin tinggi keimanan.  Semakin cinta dan sayangkan Allah swt. Semakin  berhati-hati melangkah kerana takutnya dirimu kepada Allah swt yang sentiasa memerhati dan melihatmu.  Namun, semua itu tidak berlaku, kenapa?
Teman, jika kau bersolat sejak usiamu 10 tahun, Allah pasti mendidik dan menunjukkanmu jalan yang benar.  Jalan yang lurus yang dirahmati dan diberkati oleh-Nya.  Biarpun kau akan melakukan atau kerana kerakusan nafsumu yang lemah, kau turutkan, kepincanganmu itu pasti akan dibawa kembali ke pangkal jalan.  Bagaimana hidayah ingin sampai, sedangkan kau tak pernah pun sujud atau berdoa kepada Allah swt.  Seperti orang mengajak pergi kenduri, kalau kau tak berusaha untuk pergi, bagaimana akan sampai ke rumah kenduri?  Begitu jugalah hidayah.  Solatmu, doamu, akan membimbingmu ke jalan yang Allah berkati dan redhai.  Zikirmu, amalan tahajudmu, akan membawa cinta Allah ke hatimu.  Jika semua itu tidak kau lakukan, bagaimana kasih sayang Allah akan sampai ke hati?  Bagaimana hidayah Allah akan mendekati?  Bagaimana Allah ingin menunjukkan jalan yang benar, jalan yang lurus dan jalan ke syurga-Nya sedangkan kau menjadi manusia yang alpa dan lupa diri dengan keseronokkan duniawi?  Jangan salahkan Allah jika kau memilih jalan yang salah untuk terus hidup. Itu sebab Allah kurniakan akal agar kau tahu membezakan baik dan buruk.  Jika takdir yang bersalah, samalah seperti kau menyalahkan Allah swt atas segala keburukan yang ditimpakan kepadamu.
“Sudah tua nanti, aku bertaubatlah.  Aku masih muda lagilah, enjoy beb! Enjoy!” 
Betul, masih muda.  Sihat, cantik. Kacak.  Bergaya.  Bertenaga.
Teman, pastikah kita akan hidup sehingga usia tua? Bukankah ada bayi juga meninggal, ada remaja juga menemui ajalnya belum sempat menikmati usia dewasa. Jika ketika muda, kita kuat, mampu bergerak ke sana ke mari.Boleh buat apa saja hatta mendaki bukit dan gunung.  Mampu berlari 10 kilometer  tanpa  kelelahan.  Adakah teman-temanku semua pasti ketika berusia 40-an ke atas mampu sekuat umur seorang yang berumur 20-an?  Mungkinkah ketika usia kita berada dalam lingkungan 50-an kita akan cergas sehingga mampu berlari 10 kilometer lagi? Jika adapun, berapa keratlah sangat.  Ketika tubuh sedang bertenaga, kejarlah amal ibadat sebanyak-banyaknya. Buatlah, solatlah, belajarlah agama, pergilah ke majlis ilmu.  Bacalah al-Quran. Buatlah baik sebanyak-banyaknya kerana kita tidak tahu amalan yang mana mampu bawa kita ke syurga Allah dan diterima.

Jangan tunggu sehingga kita berkaki empat atau berkerusi roda atau badan lemah dan tidak bermaya.  Esok, belum kita tahu keadaan kita bagaimana? Hari ini, sedang masih kuat dan bertenaga,lakukanlah amal ibadat sebanyak-banyaknya. Raihlah kasih Allah swt, gapailah cinta Allah swt.  Kerana semoga ketika kita sakit dan tidak berdaya kerana ujian daripada-Nya, Dia masih lagi mencintai kita. 
Teman, hidup kita ini antara azan dan qomat sahaja.  Diazankan ketika lahir dan diqomatkan ketika kita sudah kembali kepada Allah swt iaitu meninggalkan dunia ini buat selamanya. Sudah sampai masanya kita kembali kepada fitrah  kehidupan yang dituntut oleh Allah swt.  Allah swt menjadikan kita hanya untuk sujud kepada-Nya. Ajaklah ahli keluargamu kembali kepada kehidupan seorang hamba Allah yang beriman dan bertakwa. Kerana, kita tetap akan kembali kepada-Nya juga.


Isnin, 14 Januari 2019

ALBO SLIP DISC CENTER - BAH 3






Segala penyembuhan atas keizinan Allah swt jua. Tiada daya dan upaya kita.. Kita sebagai manusia sekadar berusaha. Tidak salah mencuba. Manalah tahu ada rezeki orang-orang yang kita sayangi untuk segera sembuh dengan rawatan yang diberi. Yang Maha Penyembuh adalah Allah swt. Manusia hanya perantaraan sahaja.

Manusia disuruh berikhtiar mencari penawar penyakit.

Kepada yang ingin mendapatkan rawatan:

ALBO SLIP DISC CENTER
NO 65 KAMPUNG LANEH, LUBUK MERBAU,
33010 KUALA KANGSAR PERAK..
NO TEL: 0103084989 (PUAN SITI)
013 5197545 ( PUSAT RAWATAN)

HARI RAWATAN: SETIAP HARI SABTU SAHAJA
MASA RAWATAN: BERMULA 3 00 PETANG.

Harga: maximum RM450.00 seorang. Harga ikut sakit. Kalau ringan sakitnya, murahlah harga.

Rawatan untuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Tempatnya melalui kawasan kampung. Tidak sukar cari, waze atau googlekan sahaja.

ALBO SLIP DISC CENTER - BAH 2








Alhamdulillah, suami boleh berasa geli dan sakit di kedua-dua telapak dan jari kaki. Setelah memperbetulkan semula keadaan tulang suami yang bermasalah, kesakitan yang dialami semakin beransur baik. Kesakitan semakin berkurangan di bahagian pinggang ke bawah. Begitu juga di bahagian lengan dan bahu. Kita hanya berusaha tetapi Allah swt jua yang menyembuhkan. Kita hanya mampu berdoa dan berusaha mencari penawar dan cara yang serasi untuk menyembuhkan penyakit yang ada dalam tubuh. Tanpa izin Allah swt sudah pasti segala usaha adalah sia-sia.
Sepanjang dua kali hadir di ALBO Slip Disc Center, saya dapat bertemu dan lihat sendiri beberapa orang pesakit yang berjaya disembuhkan dengan Teknik fisio yang dilakukan oleh Tuan ALBO. Melihat, memerhati, bertanya dan mendengar membuatkan saya yakin Tuan ALBO diberi anugerah oleh Allah swt untuk membantu mengubati orang lain. Antara pesakit yang sempat saya berjumpa sepanjang menanti dan menunggu suami di rawat antaranya;

Pesakit A

Seoarang pak cik berusaha 80-an. Pernah membuat pembedahan jantung. Ada batu karang dalam buah pinggang dan tidak mampu berjalan akibat masalah tulang. Doktor tidak mahu membuang batu karang yang ada dalam buah pinggang kerana masalah kesihatan pak cik tersebut yang tidak berapa memuaskan. Pak cik hanya diberi ubat oleh pihak doktor.

Menurut Tuan ALBO, pak cik tersebut mengalami masalah sakit pinggang yang kronik. 23 tulang belakangnya perlu dibetulkan semula, bahu, tangan, kaki, lutut semuanya mengeras. Tuan ALBO menggunakan teknik yang sama untuk membuktikan kaki pak cik itu sudah tidak lagi berasa sakit jika dipulas ibu jari kakinya atau dibakar kulit kaki pak cik tersebut. Di hadapan kami bersaksikan oleh ramai orang kerana rawatan di buat di hadapan pesakit-pesakit yang lain. Tuan Albo mengambil pemetik api dan membakar telapak kaki pak cik itu. Tiada sebarang reaksi daripada pak cik kerana memang dia tidak berasa apa-apa ketika nyalaan api dari pemetika api dihalakan ke telapak kakinya.
Tuan Albo meneruskan rawatan agar kaki pak cik itu boleh dipulihkan dan seterusnya mampu berjalan. Kaki pak cik dipulas, ditekan, ditolak dan beberapa Teknik fisio yang hanya Tuan Albo sahaja mampu lakukan. Tidak sampai lima minit, sekali lagi telapak dan jari kaki pak cik di uji. Dia menjerit kesakitan ketika jari-jari kakinya ditekan oleh Tuan ALBO. Subhana-Allah! Engkau Maha Penyembuh. Pak cik itu terpaksa datang semula untuk membetulkan kedudukan tulang belakangnya dahulu dan tidak boleh dibuat sekali gus kerana bimbang pak cik itu boleh koma jika salah rawatan. Begitu juga dengan batu karang dalam buah pinggangnya.

PESAKIT B
Seorang mak cik berumur 73 tahun, sudah empat tahun mendapatkan rawatan dengan Tuan ALBO. Pada asalnya mak cik itu mengalami strok sebelah kanan badan. Pihak hospital pun menyuruh keluarga mak cik membawa mak cik balik sahaja kerana mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika pembedahan dilakukan takut memudaratkan pesakit kerana faktor usia. Namun, anak-anak mak cik tidak mahu berputus asa dan hanya melihat sahaja mak cik terlantar sakit, tidak lagi mampu berbuat apa-apa. Bayangkan orang yang kena strok, apa yang mampu dia lakukan lagi, pergi bilik air pun tidak mampu. Apatah lagi ingin melakukan urusan lain. Berasal dari Bahau Negeri Sembilan, bukan dekat hendak ke Kuala Kangsar, demi kasih seorang anak terhadap ibu dan ingin ibu itu sembuh, selama setahun mereka berulang ke rumah Tuan ALBO setiap minggu.

Mak cik yang tidak boleh bergerak itu dikendong oleh anak lelakinya, saling tak tumpah seperti sehelai kain, diletakkan di atas lantai. Setahun yang penuh mencabar. Janji Allah swt pasti, sesiapa yang berusaha mencari ubat untuk sembuh dari sebarang penyakit, pasti akan diberi. Mak cik yang sudah dikatakan tidak lagi mampu berbuat apa-apa dan hanya menunggu nyawa dicabut dari badan, setelah puas berulang-alil dari Bahau ke Kuala Kangsar, dengan izin Allah swt, sudah boleh berjalan, menyidai kain, menguruskan diri sendiri. Empat tahun yang benar-benar menguji kesabaran keluarga mak cik itu.

PESAKIT C
Seorang lelaki berbangsa Cina, lumpuh, kakinya mengeras dan tidak boleh diluruskan, pehanya terdapat kesan lebam, tidak boleh duduk dengan betul, . Tubuhnya besar, berkerusi roda. Tulang belakangnya bengkok dan terkeluar dari posisi asal. Setelah buat rawatan beberapa kali, tulang belakangya lurus kembali, dia sudah boleh berasa gatal di bahagian tubuhnya yang lumpuh sebelum ini. Sekarang ini lelaki itu masih mendapatkan rawatan dan berusaha untuk pulih sepenuhnya dan seterusnya berjalan semula.

PESAKIT D
Seorang lelaki muda 20-an. Membantu keluarganya menguruskan kedai runcit yang menyebabkan dia terpaksa mengangkat berat. Setelah sekian lama bekerja akhirnya dia berasa sakit di tulang belakang. Duduk dalam keadaan senget dan ditongkatkan tangannya ke belakang agar duduk stabil. Dia juga tidak boleh menyentuh kakinya sendiri sewaktu di suruh duduk dengan meluruskan kaki. Langsung tidak boleh menyentuh hujung jari kakinya. Tulang belakangnya keras, kakinya tidak sama panjang dan membengkok. Allahu Akbar! Sukar untuk mempercayai jika tidak melihat dengan biji mata sendiri. Pulas, pusing, tolak dan tarik, sekali lagi ujian dilakukan, kakinya sama kembali dan dia boleh menyentuh jari kakinya semula.

Ini semua atas izin Allah swt melalui Tuan ALBO.
Banyak lagi pesakit yang sempat yang lihat cara rawatan dan saya temui. Bukan magik, bukan menggunakan ubat-ubatan atau bacaan mentera, bukan bermain dengan llmu sihir atau ilmi bomohan. Tetapi dengan cara fisio kerana Tuan ALBO adalah pakarnya. Jika mendapatkan rawatan di klinik yang dibuka bersama beberapa orang doktor di Damansara, yurannya terlalu tinggi, boleh mencecah ribuan dan belasan ribu, tetapi jika di buat di rumahnya hanya ratusan ringgit sahaja.
Tak lihat sendiri, pasti sukar untuk kita mempercayainya. Tetapi tidak salah mencuba, manalah tahu jika Allah swt mengizinkan kita sembuh melalui tangan Tuan ALBO. Tiada siapa yang tahu. Pesakit strok, lumpuh slip disc, autritis dan apa sahaja yang bersangkutan dengan tulang bolehlah mendapatkan rawatan di tempat Tuan ALBO. Begitu juga penyakit seperti batu karang dan jantung. Tiada jual ubat-ubatan atau supplement yang terdapat di pasaran malah beliau tidak membenarkan pesakit-pesakitnya yang datang mengambil produk-produk yang mengaku boleh mengubati sakit tulang dan saraf itu.

DI mana tempatnya? Ingin tahu alamat dan nombor yang boleh dihubungi? Tunggu pos saya yang seterusnya!

ALBO SLIP DISC CENTER





Tiada siapa yang menyangka penyakit yang datang secara tiba-tiba akan menyebabkan diri seseorang itu lumpuh sepenuhnya. Tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan, terbatas segala-galanya. Dua tahun lepas, suami diuji tiba-tiba langkah kaki kanannya lemah dan tidak berdaya diangkat. Naik satu anak tangga pun dia tidak mampu. Setelah membuat pemeriksaan di hospital, barulah kami tahu, rupanya dia menghidap slip disc, kesakitan yang disebabkan oleh saraf tunjang dihimpit oleh tulang kesan akibat duduk terlalu lama dan factor berat badan.

Kemudian ditambah kesakitan dialami di bahu kanannya juga akibat terjatuh di bilik air. Kesakitan semakin teruk dan membataskan pergerakannya. Sebut di mana sahaja tempat yang mampu menyembuhkan, kami akan pergi. Asalkan ada ikhtiar dan doa serta keyakinan Allah pasti akan menyembuhkan. Apa yang penting usah putus asa. Berulang alik ke rumah mereka yang pandai mengurut bukan sekali dua. Bukan sedikit duit yang mengalir keluar. Tiada tukang urut yang meletakkan harga bawah RM50.00.

Sehinggalah seorang kawan yang kami kenali turut mengalami penyakit yang sama memperkenalkan kami dengan seorang lelaki yang digelar ALBO atau nama penuhnya Abdul Latif b. Osman. Seorang guru Muaythai dan seorang pakar fisio untuk ahli sukan dan mendapat pengiktirafan WHO. Pertama kali melangkah ke tempat beliau yang terletak di Kampung Laneh, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, melihat sendiri pelbagai penyakit yang disebabkan oleh tulang belakang benar-benar menginsafkan.
Bukan sahaja mereka yang berpenyakit slip disc seperti suami yang hadir tetapi mereka yang mengalami strok dan ada yang juga pesakit berumur lebih 70-an dan doktor tidak lagi mahu berbuat apa-apa kerana factor usia dan keadaan tulang pesakit jika dibuat juga pembedahan risikonya 50-50 serta membahayakan nyawa pesakit.


Sewaktu kali pertama suami menghadirkan diri, Allahu Akbar! Kami tidak pernah tahu, kedua belah kaki suami tiada rasa geli dan sakit di tapak kaki di kedua-dua belah dan rasa sakit ketika dipulas jari-jari kaki. Menurut Tuan ALBO, suami sudah mengalami lumpuh kecil. Kalau dibiarkan suami boleh lumpuh terus. Dengan menggunakan Teknik memulas, memusing tidak sampai lima minat, sekali lagi telapak kaki suami diuji…

Apa yang bakal berlaku? Ingin tahu? Tunggu coretan saya seterusnya!

BERSAMBUNG!

NERACA NISA' - BAB 3








Sebaik sahaja Munirah beredar, terasa amat betapa warna langit sudah pun kembali kelam, sekelam masa depan Rumah Kebajikan Permai yang tiba-tiba, seakan-akan sudah hilang serinya, hilang meriahnya, tidak seperti ketika suaminya ada bersama-sama, fikir Nisa’, kesayuan. Cahaya matahari juga sudah berubah ke warna jingga sebagai menandakan malam akan menyelubungi seluruh Rumah Kebajikan Permai, Pusat Anak-anak Yatim sebentar lagi. Tidak ubah seperti kegelapan yang mengancam untuk menyelubungi seluruh masa depan.
            Seperti kegelapan yang akan menyelubungi masa depan, maruah dan harga diri keluarganya. Sudah sampai waktunya malam pula mengambil alih, apakah sudah sampai masanya dia pula yang mengambil alih pengurusan rumah kebajikan? Bumi berputar dengan teratur mengikut paksinya, tidak seperti manusia yang berputar-putar dan berbelit-belit lidah mereka sehingga suaminya yang tidak bersalah, tercampak masuk ke dalam lokap.
            Begitulah hatinya yang sedang menahan kesedihan yang bertandang tidak jemu-jemu sejak suaminya ditahan oleh pihak polis. Rintihan hati, menarik-narik rasa sedih yang semakin membuak-buak mengalir lalu memancari wajahnya. Kesakitan yang amat perit, luka yang besar lubangnya, tidak mampu dijahit dengan hanya dibius sekali sahaja.
            Kesakitan yang tidak mungkin mampu diredakan, walaupun dengan menelan sebotol ubat tahan sakit. Terlalu perit dan sedih. Perasaan sehitam malam dan begitu menyesakkan hatinya ketika asyik dilambung oleh perasaan marah dan geram terhadap keluarga Seha. Masih berbuku amarahnya terhadap mereka seperti bebola api yang terbang menjunam ke dadanya. Air matanya mengalir lagi.
            Andainya ini ujian daripada-Mu, Ya Allah, akan kutabahkan hati ini! Nisa’ memujuk hati sendiri. Bibir dan hati berlagu seirama mengalun zikrullah, biar tenang hatinya. Biar sabar dirinya. Lidah mudah mengatakan, hatiku akan sabar tetapi jauh di lubuk hati, terasa semangatnya seperti sudah melayang pergi dengan membawa bersama separuh daripada nyawanya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupannya kelak, jika tanpa suaminya di sisi. Tidak sanggup dibayangkan, sungguh!           
            Hujan pun tahu akan waktu berhentinya, tetapi air matanya berterusan mengalir. Puas ditahan, disekanya dengan hujung jari. Jika boleh, memang dia tidak mahu menangisi nasib yang ditimpakan oleh malapetaka ciptaan manusia ke atas keluarganya dan Rumah Kebajikan Permai. Menangis bererti dia memberi kepuasan yang bukan alang kepalang kepada keluarga Seha yang meletakkan suaminya dalam lokap itu.
            Tetapi, siapa? Mustahil angkara opah Seha dan emak saudaranya yang kelihatan serba daif lagi naif itu. Barangkali, angkara wanita berkaca mata hitam yang turut datang bersama pihak polis untuk menahan suaminya. Dengan air muka mereka yang penuh kesombongan dan angkuh, bergaya seperti seorang yang punya kerjaya yang baik, segera dia mempersoalkan dirinya sendiri, siapa wanita itu? Kalau emak saudara Seha, kenapa sebelum ini dia tidak pernah melihatnya? Padahal, dia kenal semua ahli keluarga Seha yang hidup serba daif itu. Aneh, soalan yang sama turut ditimbulkan Munirah, sebentar tadi. Soalan yang belum berjawab, belum lagi!
            Setahu Nisa’, suaminya tidak pernah ada musuh, kalau ada pun orang yang bermusuh dengan suaminya, mungkin terdiri daripada beberapa kenalan yang iri hati dengan kesungguhan suaminya membuka rumah kebajikan itu.
            “Kau mana layak buka rumah kebajikan Harris, hafal al-Quran pula itu. Apa kelayakan kau?” tegur seorang lelaki yang sering mendengar kuliah bersama-samanya di masjid berhampiran rumah lama mereka.
            “Memang aku tak layak, tetapi semua yang aku lakukan pun dengan izin Allah SWT juga. Kalau hanya mereka yang bergelar ustaz saja yang mampu, orang seperti kita, apa sumbangannya kepada anak-anak yatim dan agama?” tukas Harris.
            Nisa’ hanya menelinga, dia mengeluh berat.
            Ketika mereka mengadakan majlis perasmian Rumah Kebajikan Permai, beberapa kenalan lama turut dijemput. Wajah sinis beberapa orang lelaki yang memandang suaminya benar-benar membuatkan Nisa’ berasa kesal. Bukannya mereka hendak memberi sokongan, malah memperlekehkannya pula.
            Empat tahun Rumah Kebajikan Permai beroperasi, empat tahun jugalah ujian yang datang tidak pernah surut. Cuma, bezanya antara kecil atau besar ujian itu. Ujian besar sebelum ini, hampir mereka tidak mampu membayar sewa, sebab pasangan yang menjadi penyumbang kepada rumah kebajikan itu tidak lagi menyumbang dan mereka menghilangkan diri. Ujian kecil pula, ketika tiga orang pelajar melarikan diri dari rumah kebajikan itu. Tetapi, ujian yang diterima kali ini, benar-benar menguji keimanan dan menggoncang semangat juang mereka berdua.     
            Masih jelas di ingatan bagaimana segala-galanya bermula. Tidak pernah dia atau suaminya berangan untuk membuka sebuah rumah kebajikan. Segala-galanya bermula ketika perniagaan suaminya dalam bidang IT menghadapi masalah.
            Keadaan kewangan yang terbatas serta ekonomi negara yang tidak menentu, tidak memungkinkan suaminya meneruskan perniagaan sedia ada. Suaminya mengenali sepasang suami isteri yang menguruskan sebuah syarikat pelancongan dan beberapa perniagaan yang lain lagi.
            Pada mulanya, hanya kenalan biasa yang sama-sama terlibat dalam dunia perniagaan, bertukar-tukar pandangan dan idea. Sehinggalah suaminya meluahkan perasaan akan impiannya untuk membuka sebuah rumah kebajikan.
            Pasangan yang sentiasa bergaya ke mana sahaja, sesuai dengan diri mereka sebagai ahli perniagaan menyatakan persetujuan untuk membiayai rumah kebajikan.  Bermulalah episod suaminya membuat kertas kerja, apa yang perlu ada di dalam rumah kebajikan yang bakal dibuka nanti. Pada mulanya, dicadangkan rumah kebajikan biasa sahaja, tetapi akhirnya menjadi rumah kebajikan berlandaskan al-Quran dan Sunnah, yang mementingkan adab dan akhlak. Pasangan tersebut tidak membantah cadangan yang diberi.
            Rumah teres semi-d dua tingkat menjadi tempat mula Rumah Kebajikan Permai mula beroperasi. Semua kelengkapan keperluan para pelajar cukup lengkap disediakan. Almari pakaian, katil dan tilam. Jubah dan kopiah turut disediakan.  Bagaimana mungkin dia melupakan saat pertama kali mereka berpindah ke rumah tersebut. Bersama anak-anak, mereka melakar perjalanan baharu dalam hidup. Meninggalkan dunia perniagaan yang hanya mendatangkan keuntungan dunia kepada perniagaan yang mendatangkan keuntungan dunia dan akhirat.
            Jelas terpancar kegembiraan pada wajah suaminya. Terlukis keriangan yang tidak terucap dengan kata-kata. Tertayang rasa bangga dengan penghasilan diri sendiri, sebuah rumah rumah kebajikan berdiri megah, biarpun tidak sebesar mana. Permulaan satu perjuangan dan perjalanan yang panjang, merentas lautan keimanan dan kesungguhan untuk mendidik anak-anak yatim menjadi insan yang berilmu, beradab dan berakhlak, berjaya di dunia dan akhirat.
            “Alhamdulillah... satu permulaan menuju kejayaan,” ujar Harris, wajahnya terlakar kepuasan.
            Nisa’ doakan usaha abang ini akan berjaya,” ucap Nisa’ dengan mata berkaca, manik-manik kegembiraan menitis pada pipi. Rasa syukur yang tidak henti-henti terucap jauh di suduh hati.
Melihatkan kegembiraan suaminya sudah cukup mencuit perasaan bangga terhadap lelaki yang menjadi imamnya itu. Dia akan terus menjadi nadi penggerak, menyokong perjalanan suaminya. Di belakang seorang lelaki, sudah pasti ada seorang wanita yang menjadi pendokong dan pemberi semangat. Dengan gaji yang diberi oleh pasangan tersebut untuk menguruskan rumah kebajikan itulah, suaminya menyara mereka sekeluarga.
            Belasan ribu dikeluarkan sebagai modal permulaan untuk menggerakkan rumah kebajikan yang diuruskan oleh suaminya, Harris. Pasangan tersebut menjadi rakan kongsi dan penyumbang tetap. Pada mulanya, Rumah Kebajikan Permai beroperasi di sebuah kawasan perumahan baharu di pinggir bandar Kuala Lumpur.  Suaminya yang mencari pelajar melalui iklan di sekitar masjid berdekatan kawasan perumahan yang menjadi tempat rumah kebajikan itu beroperasi.
            Mereka juga bekerjasama dengan pihak sekolah yang berhampiran, menawarkan tempat bagi anak-anak yatim yang tidak berkemampuan. Begitu juga dengan JKK kampung berdekatan. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Ramai yang memohon, namun bukan semuanya terdiri daripada anak-anak yatim yang datang memohon. Ada juga golongan asnaf yang tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke rumah kebajikan tahfiz meminta untuk memasuki Rumah Kebajikan Permai.
            Bermula dengan sepuluh orang pelajar, lima orang lelaki dan lima perempuan, sepasang suami isteri yang menjadi tenaga pengajar, lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Al-Quran Tahfiz. Pelajaran pertama yang diajar adalah adab dan akhlak, asas fardu ain dan mengenal huruf makraj dalam al-Quran.
            Syarat kemasukan utama, para pelajar itu mestilah anak yatim dan miskin, berumur 10 hingga 12 tahun, tahu membaca dan menulis. Tetapi, anak-anak daripada golongan asnaf turut diambil dan dibimbing. Tiada yuran pengajian dikenakan.  Borang-borang sumbangan diedarkan kepada rakan-rakan dan kenalan. Malah, Rumah Kebajikan Permai juga didaftarkan di bawah majlis agama Islam negeri, suaminya tidak mahu beroperasi secara haram dan tidak berdaftar.
            Para pelajar akan dididik menghafal al-Quran, berserta adab dan akhlak seperti adab masuk tandas, adab makan, adab belajar, adab dengan orang tua dan guru, serta banyak lagi adab-adab lain bagi membentuk insan yang berdisiplin. Mereka akan menghafal sehingga 30 juzuk al-Quran, kemudian belajar bahasa Arab dan belajar ilmu agama yang lain. Setelah berumur 18 tahun, mereka akan dibenarkan untuk mengambil SPM dan akan dihantar menyambung pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi sesuai dengan kecenderungan mereka. Mereka boleh pilih kerjaya pilihan mereka sendiri. 
            Jika mereka masih ingin meneruskan pengajian dalam bidang agama, tiada masalah. Mereka berhak memilih jurusan yang mereka minati. Tidak semestinya hanya menjadi imam masjid atau tok siak sahaja. Pilihan di tangan mereka. Itulah impian suaminya dan itulah juga tujuan Rumah Kebajikan Permai itu dibuka. Para pelajar akan dijaga dan ditanggung pembelajaran mereka sehingga mereka mampu berdikari sendiri.
            Di mana suaminya memperoleh dana untuk menguruskan rumah kebajikan tersebut? Bantuan kewangan atau dana diperoleh daripada rakan-rakan rapat dan kenalan jauh serta hamba-hamba Allah yang sudi menyumbang, termasuk Munirah yang bergegas datang sebaik sahaja dia menelefonnya. Alangkah bersyukurnya Harris dengan sokongan sepupu sendiri. Ternyata, walaupun jarang bertemu oleh kesibukan kerja hakiki masing-masing, namun, keluarga Harris tetap di hati Munirah.  Sungguh Nisa’ terharu.
            Ramai yang ingin mencari pahala, ramai yang ingin berbakti untuk agama. Pada mulanya, agak sukar mendapatkan sumbangan, lama-kelamaan semakin ramai yang mengetahui kewujudan Rumah Kebajikan Permai yang berlandaskan pengajian agama sepenuhnya terutama sekali dari mulut ke mulut. Malah, turut diiklankan dalam media sosial seperti FB dan laman web.
            Nisa’ tahu bukan mudah meyakinkan manusia di luar sana untuk membantu, rezeki anak-anak yatim sudah ditentukan oleh Allah SWT, begitu juga rezeki mereka sekeluarga. Apa sahaja yang disumbangkan, diterima dengan hati yang terbuka.  Setelah setahun membukanya, ujian pertama dihadapi mereka.
            Penyumbang yang selama ini membayar gaji Harris dan menyumbang untuk operasi rumah kebajikan tersebut telah memberhentikan sumbangan dan pemberian mereka atas alasan perniagaan mereka sedang menghadapi masalah. Mereka suami isteri terpaksa akur dan tidak mampu berbuat apa-apa. Pasangan itu juga terus menghilangkan diri. Terkapai-kapai suaminya sendirian. Bantuan yang diterima tidak mencukupi untuk meneruskan operasi. Namun, mereka harus tabah dan kuat. Inilah ujian namanya dalam usaha melakukan kebaikan untuk dunia dan akhirat.
           Kasihan melihat suaminya, kerutan pada dahinya tidak pernah hilang. Resah terlihat sewaktu tidur malamnya, ke kiri tidak kena, ke kanan begitu juga. Sesekali terdengar keluhan terlahir di bibirnya. Sebagai isteri, apa yang mampu dia lakukan selain sama-sama berdoa kepada Yang Maha Esa, Yang Maha Memberi Rezeki. Ujian yang menguji kesabaran mereka berdua. Berdebar hati memikirkannya. Risau bertandang memasuki ruang tamu di jiwa. Dia perlu kuat dan cuba bersabar dengan ujian yang dihadapinya.
            “Kalau duit dalam akaun semakin menyusut, abang bimbang kita terpaksa menutup rumah kebajikan ini,” luah Harris.
            “Isy! Jangan cakap macam itu bang, Allah kan ada. Allah tahu niat kita, tahu hati kita. Usahlah abang bimbang. Nisa’ percaya, rezeki kita pasti ada,” ujar Nisa’ memberikan semangat. Sedangkan dalam hatinya juga berkocak kebimbangan.  Bercampur-baur keyakinan dan kebimbangan bermain-main di sanubari.
            “Yalah, kita cubalah mana yang terdaya,” ucap Harris. Mukanya masih lagi mencuka. Jelas sekali terpancar kebimbangannya.
            “Sabar ya bang. Pasti ada jalan keluar. Allah pasti tolong, yakinlah!” kata Nisa’ menguatkan lagi kata-katanya. Dia yakin benar. Allah SWT tidak pernah memungkiri janjinya. Mintalah sahaja kepada-Nya, pasti akan diberi-Nya. Itulah ujian yang pernah dihadapi mereka, akhirnya semua masalah itu berjaya juga diatasi. Doa tidak putus-putus dipinta, akhirnya terjawab juga. Allah hadirkan seseorang datang memberi sumbangan.
            Selepas itu, tidak henti-henti sumbangan kewangan dan makanan diterima.  Tidak pernah mewah, tetapi tetap berkat dan cukup untuk meneruskan pengurusan Rumah Kebajikan Permai milik suaminya itu. Para penyumbang datang sendiri ke rumah kebajikan, ada juga yang masukkan terus ke dalam akaun tabung Rumah Kebajikan Permai. Semuanya diterima dengan rasa syukur kepada Yang Maha Esa.
            Empat tahun berlalu dengan pelbagai ujian, kini ujian sekali lagi membadai tiba. Ujian yang mampu meruntuhkan seluruh hasil penat lelah mereka mengusahakan rumah kebajikan itu. Ujian yang lepas mudah sahaja dihadapi dengan senyuman, masih lagi boleh ketawa, ditangani dengan senyuman lembut. Jika setakat tidak cukup duit tabungan, masih ada tempat untuk mereka usahakan. Masih boleh dicari sumbernya.  Antaranya dengan memohon sumbangan daripada syarikat-syarikat atau badan-badan korporat yang ada di Malaysia.
            Tetapi, ujian kali ini... Ya Allah! Bagaimana boleh dipercayai segala-galanya lagi? Hampir terhumban dia dari landasan keyakinan. Takut mencengkam seluruh jiwa dan raganya. Takut suaminya disabitkan kesalahan. Takut menghadapi tekanan itu.  Antara percaya dan tidak, tekanan yang amat dahsyat itu, turut cuba menusuk hatinya.  Jahatnya hati yang sebelah kiri, mampu sahaja menjunamkan kesetiaannya terhadap suami tercinta yang tertanam kukuh selama ini. Keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT juga mampu tergugat dek kerananya.
            Pada saat-saat segenting ini, tercetus persoalan yang sering disoal oleh beberapa orang individu yang mengenali suaminya. Mereka mempersoalkan mengapa suaminya membuka rumah kebajikan berlandaskan al-Quran, sedangkan suaminya bukan seorang hafal al-Quran? Sudah ada perniagaan, kenapa tutup? Soalan yang tidak dijawab oleh suaminya secara langsung. Apa yang Nisa’ tahu, perjalanan hidup mereka ditentukan oleh Allah SWT. Bagaimana ia berlaku? Bukankah semuanya ini kehendak Ilahi jua? Nisa’ sendiri tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya.  Dia sendiri tidak pernah termimpi akan membuka sebuah rumah kebajikan seperti ini.
            Yang pasti, suaminya yang amat dikenali hati budinya itu tidak ada niat untuk mengambil kesempatan ke atas sesiapa atau apa pun. Apa yang suaminya usahakan selama ini, bukan rumah kebajikan biasa. Tetapi, sebuah rumah kebajikan untuk melahirkan insan-insan yang mampu menghafal kalimah Allah dengan fasih. Bukan perkara main-main. Bukan perkara remeh-temeh.
            Bukan suka-suka. Ini soal perjanjian diri dengan Allah SWT untuk berbakti kepada agama tercinta. Mendidik dan mengasuh anak-anak yatim menjadi insan yang mampu berbakti semula pada agama, bangsa dan negara, itulah matlamat yang utama. Tujuan dan matlamat itu tidak akan mati hanya kerana dibadai gelombang fitnah yang mampu menggugat kewujudan rumah kebajika  itu. Matlamat dan tujuan itu akan terus diperjuangkan untuk terus hidup, subur, selagi nyawa dikandung badan.  Itulah janji suaminya, itulah janjinya kepada Allah SWT.
            Itulah janjiku pada diri sendiri! Terpaksa menempuh gelombang tsunami bergulung-gulung datang tanpa henti, tidak akan goyak dan tidak sepatutnya goyah.  Biar dilanda ribut taufan yang paling ganas dan berlarutan panjang, tidak akan terbang rasa semangat untuk melahirkan insan-insan yang cemerlang. Biar diugut sula dengan senjata paling ampuh sekalipun, hatinya tidak akan berubah cinta kepada Allah, Rasul-Nya dan agamanya, mengatasi segala-galanya. Itulah Harris, suaminya. 
            Adakah orang seperti itu sanggup mencemarkan dirinya dengan kekotoran? Apatah lagi kekotoran dari najis segala najis yang sama sekali tidak mudah untuk dibersihkan. Dibasuh dengan air tanah tujuh buah padang sekalipun, tidak mungkin dapat dibersihkan. Nisa’ yang tersendu keharuan segera mengetap bibir, mengawal gejolak emosinya.
            Terbayang-bayang akan wajah-wajah ahli keluarga Seha. Bayangan wajah mereka hanya membuatkan hatinya terluka, ditambah dengan siraman air limau dan garam, begitu memeritkan. Terasa menyentap sehingga ke tulang hitam. Mampu melumpuhkan seluruh jiwa raganya ketika itu. Lalu, dia beristighfar agar tidak ada dendam di hati terhadap keluarga yang jahil hatinya itu. Jahil kasih sayang, agaknya?  Jahil menghormati dan menghargai orang lain. Ah! Jangan ada marah, marah itu sifat syaitan.
            Biarlah berpuluh-puluh kali keluarganya ditembak, Nisa’ pasti ada yang memerhati, dan yang memerhati pasti tidak akan mendiamkan diri melihat kekejaman terus berlaku pada insan-insan yang berbakti untuk agama-Nya, untuk umat-Nya, untuk masyarakat. Sabar dan berdoa, itulah yang akan dilakukannya.
            Begitu juga suaminya. Dia pasti, doa yang tidak putus-putus daripada suaminya, dan daripada dirinya sendiri. Lambat-laun, pasti akan dimakbulkan-Nya juga nanti. Nisa’ melepaskan lelah hatinya. Penat berfikir dan menggeluti rasa sedih yang bertindih-tindih, bagaikan tiada penghujungnya. Hanya kepada Allah SWT dia berserah agar semua masalah yang melanda suaminya akan berlalu pergi.
            Tangisan Adira, anak bongsunya yang baru berusia 10 tahun ketika di rumah begitu menyayat hatinya yang sudah sedia berduka. Anak itu asyik bertanya, bila abahnya akan pulang. Pertanyaan anak bongsunya itu, lebih kurang sama dengan pertanyaan daripada ustaz dan ustazah, karyawan rumah kebajikan itu. Benarkah suaminya bersalah atau suaminya dipenjarakan? Soalah-soalan yang mengusik dan menambah keresahan di hati. Sesungguhnya, jawapan yang mereka minta tidak ada padanya dan dia tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya.
            Wajah murung dan limpahan air mata Adira diseka Nisa’ dengan hujung jari. Ditarik rapat ke dadanya, dipeluk dan dibelai dengan penuh kasih dan sayang. Anak bongsunya itu amat rapat dengan suaminya.
            “Dira jangan menangis macam ini, makan pun tak nak. Kalau Dira sakit, siapa yang susah? Mak juga. Sepatutnya Dira banyakkan berdoa, agar abah cepat keluar, menangis tidak membantu langsung. Berpeluk tubuh, menanti dan menunggu tak selesaikan masalah. Mak mohon Dira buat solat hajat bersama kawan-kawan yang lain, mintalah pertolongan Allah SWT,” ujar Nisa’ dengan hati yang sebak dan tidak keruan. Pelukan semakin erat. Tangisan Adira semakin kuat mengundang sebak di dadanya.
            Munirah yang setia berada di sisinya pada ketika itu kelihatan hanya menelinga, mendengar cerita kakak sepupunya dengan deraian air mata. Tidak sekalipun menyampuk, hanya mencatat apa yang mengalir keluar dari bibir pucatnya yang semakin dicengkam derita. Entah apalah yang Munirah fikirkan tatkala mendengar luahan seorang wanita yang ditimpa musibah yang amat dahsyat sepertinya. Malah, lebih parah daripada ombak tsunami yang melanggar Banda Acheh suatu ketika dahulu.
            Biar betapa indah kawasan Rumah Kebajikan Permai, tetapi kesuraman hati penghuninya menyebabkan kawasan itu hilang serinya. Wajah-wajah duka terpampang jelas pada wajah mereka. Rasa kerinduan yang menggunung kepada orang yang mereka sayangi begitu jelas terpancar di ruangan mata. Ditambah pula dengan permintaan mereka agar segera membebaskan “abah” mereka. Kata-kata itu sudah cukup mengusik hati kecilnya. Melihatkan wajah anak saudaranya yang dilanda kesedihan, menambah sesak di dada. Betapa berat tanggungan jiwa yang melanda insan-insan di Rumah Kebajikan Permai ini.
            “Ya Allah!” Hanya nama agung itu yang terluncur laju di bibir Munirah.
            Mendengarkannya, semakin laju air mata Nisa’ mengalir. Tatkala memikirkan  keadaan suaminya yang terkurung, membuatkan rasa pilu bergulung-gulung seperti taufan, gelombang besar yang sedang membadai dan menjahanamkan bumi, begitu juga yang dialaminya. ‘Kenapa sampai jadi begini? Jika ini mimpi ngeri, mengapa ia menyinggah tidurnya? Jika ia mimpi ngeri, apakah apabila dia terjaga nanti, ia akan lenyap seperti tiada apa-apa yang berlaku dan tidak akan mampu menggoyahkan jiwanya? Takkan mampu merapuhkan imannya. Jika ini mimpi ngeri, bangunkanlah aku segera dari tidur ini!’ jerit Nisa’ dalam hati.  
            Degup jantungnya semakin laju berdetak. Kalau kereta di jalan raya sudah pasti disaman oleh pihak polis kerana had laju yang amat membahayakan. Malangnya, dia sedar ini bukan mimpi ngeri. Sebaliknya, ia adalah sebuah realiti yang sangat mengerikan.     
            Mampukah Munirah membantu suaminya? Seperti mana yang pernah didengari tentang Munirah yang sering membantu dan menyelesaikan kes-kes yang lain sebelum ini? Bertabah? Kuatkah dirinya untuk menghadapi malapetaka ciptaan manusia yang tidak ada hati ini. Sekali lagi, kakinya terasa lemah untuk berdiri, seperti orang terkena angin ahmar jadinya, bergetar seluruh tubuhnya. Terasa tidak mampu menahan rasa sedih yang membuak-buak di dalam dada. Bertambah sedih dan pilu melihat para penghuni Rumah Kebajikan Permai.
Nisa’ menyeka air mata yang berbaki pada pipinya. Dia tidak boleh sedih, dia perlu kuat, kuat untuk bersama-sama adik sepupunya untuk mengharungi musibah ini. Perlu sangat-sangat!
            “Kak, usah bimbang, Mun akan lawan sehingga ke titisan darah yang terakhir.  Mun takkan biarkan orang mencemarkan maruah dan harga diri keluarga kita,” janji Munirah dengan mata berkaca digenangi air mata.
            Nisa’ memandang wajah Munirah. Dia hanya tersenyum hambar. Bibirnya tidak mungkin melakarkan senyuman bahagia lagi, kini. Jika sakit suaminya, begitu juga dirinya. Berat sungguh ujian yang menimpa. Terasa keras seperti batu kelikir yang menghempap dirinya. Mampukah suaminya menghadapi keadaan di dalam sana? Kuatkah jiwa dan keimanannya? Air mata yang mengalir diseka laju dengan hujung jari. Lalu, dia menarik nafas panjang, melepaskan rasa sebak yang tidak kunjung padam. Malah, semakin mengamuk gila di dalam hati.
            “Buatlah apa saja Mun, asalkan abang dibebaskan,” pinta Nisa’ dengan deraian air mata. Susah benar untuk diberhentikan. 
            Ya Allah, hati seorang isteri mana yang boleh bertahan? Sakit suaminya, sakit juga dirinya. Apakah ini balasan yang wajar keluarganya peroleh daripada segala kebaikan yang mereka curahkan di Rumah Kebajikan Permai? Bagaimana jika perkara ini diketahui umum? Jangan-jangan, segala pesanan ringkas di telefon bimbit, WhatsApp, Telegraf, peti masuk laman media sosial, Internet, sudah pun penuh dengan berita tentang penangkapan Harris!
Ya Allah! Mana dia dan keluarganya hendak letak mukanya? Maruah dan harga dirinya dirosakkan, dibunuh dengan kejam! Apa kata keluarganya? Apa kata keluarga suaminya? Sahabat-handai para penyumbang dana? Semuanya menghimpit benaknya. Yang pasti, ini bukan soal yang menyangkut dirinya sendiri atau suaminya sahaja, tetapi melibatkan hubungan mereka dengan masyarakat luar.
            Padahal, selama ini suaminya dipandang dengan penuh hormat oleh para penyumbang dana, sahabat-handai serta kenalan dekat dan jauh. Begitu juga ahli keluarga. Keluarga pelajar? Nisa’ mengeluh berat.
            Mahu tidak mahu, dia terpaksa berdepan dengan satu lagi masalah. Bagaimana dia hendak berhadapan dengan ahli keluarga pelajar Rumah Kebajikan Permai? Bagaimana dengan nasib rumah kebajikan itu, andai kisah ini menjadi berita besar dan tersebar? Ya Rabbi! Semakin memikirkan, semakin sebak dadanya.  Semakin bercucuran air matanya mengalir.
Ya, dia lebih daripada takut sebenarnya! Takut dengan tuduhan dan pandangan masyarakat. Takut dengan permainan para musuh halimunan yang sedang dihadapinya kini. Mampukah dia sendirian berhadapan dengan masyarakat di luar sana? Mampukah dia bersemuka dengan kawan-kawan dan para penyumbang dana yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan, orang-orang korporat dan rakan-rakan baik suaminya sendiri. Percayakah mereka dengan suaminya selepas ini nanti?  Yakinkah mereka yang suaminya tidak melakukannya?
            Bukan tidak ada berita tentang seorang pemilik rumah kebajikan mencabul pelajarnya. Ada juga guru yang dihukum kerana merogol pelajarnya. Itu mereka! Bukan suaminya. Suaminya tidak akan lakukan perkara keji itu. Tidak sesekali. Tidak akan! Dia yakin itu. Dia kenal benar hati budi suaminya. Kenal benar isi hati suaminya. Orang yang berkongsi setiap patah perkataan dengannya. Orang yang bercerita tentang impian dan cita-cita untuk berbakti kepada agama, berbakti kepada masyarakat dan anak-anak yatim. 
            Tidak mungkinlah orang yang bercita-cita seperti suaminya sanggup berlaku kejam kepada dirinya sendiri. Sanggup menjatuhkan maruah dan harga diri, lantaran terlalu mengikut hawa nafsu. Suaminya bukan begitu, sama sekali bukan! Bentak hatinya yang semakin berguling-guling dan bergulung-gulung, mengganas di hati.    
Sepanjang perjalanan pulang dari balai polis, matanya hanya memandang jalan di sisinya sahaja. Sesekali tangannya laju mengesat air mata yang mengalir.  Lalu, dia laju menggenggam tinju, membulatkan tekad untuk menghadapinya dengan tabah, walau apapun yang berlaku!
            “Bertabahlah kak,” pujuk Munirah, tidak tahu ayat apa yang boleh menenangkan hati seorang isteri seperti Nisa’. 
            Ternyata luahan rasanya benar-benar memacakkan rasa keazaman yang kuat untuk membantu membebaskan abang sepupunya itu. Munirah tekad dalam hati. Dia akan lawan habis-habisan biar siapa pun yang terlibat dalam kes ini.
            Nisa’ mengeluh perlahan. Beban yang dihempukkan ke benaknya oleh keluarga Seha, terasa ringan sedikit.