Jasmina
terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Langkah diatur laju. Wajah muramnya
akan menimbulkan seribu tanda tanya. Dia tidak mahu kedua orang tuanya
mengetahui apa yang berlaku. Keluarganya membantah dia memilih Zaheer. Kalaulah
mereka mengetahui berita yang disampaikan oleh mamanya tadi, pasti ayahnya akan
memintanya memutuskan tali pertunangan itu.
Daun pintu dibuka perlahan. Dia
terus merebahkan diri di katil yang kemas rapi. Dia menangis lagi. Hiba yang
mendatang bagaikan tidak mahu mengnyah
pergi. Rasa pilu dan sakit di hati menghiris kalbu. Adakah dia telah
salah memilih? Semakin laju air matanya mengalir.
Kenapa
mereka kejam sangat dengannya? Kenapa
tergamak mereka memberitahu dia tentang keburukan Zaheer, sedangkan saat-saat
dia menyulam bahagia semakin hampir.
Benarkah apa yang diceritakan along dan mamanya?
Semua cerita itu baginya hanya satu
pembohongan. Mesti semua ini kerja ayahnya, mengupah mama, dan lelaki itu
kononnya seorang anggota polis. Kalau
sudah tahu tunangnya itu jahat, kenapa tidak ditangkap sahaja? Ah! Jasmina mengeluh kesal.
Kamarul berlari anak melangkah masuk
ke dalam rumah. Hampir sahaja dia terlanggar sofa yang berada berhampiran pintu
utama. Tidak perasan pula, di ruang tamu, ada keluarganya sedang berehat.
“Kenapa ni long? Macam dikejar hantu
saja?” tegur Aida. Wajah cemberut anak
tirinya dipandang dengan kehairanan. Apa pula masalah anak tirinya itu?
“Dari mana long?” tanya Ramadan. Dia
menoleh.
“Dari KL ayah,” jawab Kamarul. Dia
menunduk sedikit. Tidak mahu mempamerkan kegelisahan di wajahnya.
“Ayah… mama…
erk… angah dah balik ke?” tanya Kamarul. Melihat kereta adiknya ada di
garaj, dia pasti adiknya telah balik ke rumah.
“Baharu saja balik, ada di bilik
agaknya,” kata Aida, dia pun hairan
dengan sikap anak tirinya itu. Menonong
sahaja naik ke bilik.
“Kamarul naik dulu ya.” Tanpa
menunggu jawapan daripada kedua orang tuanya. Kamarul terus melangkah menuju ke
biliknya. Dia tidak akan memujuk, biarlah Jasmina memikirkannya sendiri. Dia sudah melarang, segala bukti telah
dilihat sendiri oleh adiknya itu. Kenapa sukar benar hendak percaya? Cinta
memang buta, perkara benar disangka fitnah.
Kamarul mengeluh keras.
“Kenapa dengan budak-budak tu bang?
Lain macam saja saya tengok.
Jangan-jangan mereka pergi jumpa Eta tak?” teka Aida. Walaupun mereka hanya anak tirinya, apa sahaja yang
berlaku kepada mereka, tetap merisaukannya. Dia yang menjaga mereka sejak kecil
lagi.
“Takkan kut? Saya dah larang, mereka
takkan berani,” jawab Ramadan. Anak-anaknya tidak akan berani bertemu Rabeta.
Dia sudah melarang keras mereka bertemu bekas isterinya itu. Selama ini
kata-katanya tidak pernah dibantah. Anak-anaknya taat dengannya.
“Manalah tahu…” Aida mengeluh. Dia sendiri rindu dengan sepupunya itu. Ingin
benar bertemu dan berbual seperti dahulu, tetapi terasa juga janggalnya, kerana
dia telah mengambil suami sepupunya sendiri. Apa agaknya yang difikirkan oleh
Rabeta tentang dirinya.
“Jangan fikir bukan-bukan. Mereka
takkan berani!” Ramadan masih percaya kepada anak-anaknya.
***
“Alhamdulillah.” Panggilan telefon
yang diterima sebentar tadi membuatkan Rabeta menarik nafas lega. Jasmina sudah
pulang ke rumah. Dia berharap sangat, anak gadisnya tidak menghubungi
Zaheer. Kalau tidak pasti kecoh jadinya.
“Kalau
Zaheer tahu yang kita dah pecahkan tembelang dia pada Jasmina, macam mana?”
Rabeta bimbang, lelaki itu akan melakukan sesuatu terhadap anaknya.
“Cuba Eta bertenang, jangan risau
tak bertempat,” nasihat Fakhrul. Rimas pula dia. Mundar-mandir di depannya.
Angin
petang melegakan sedikit tubuhnya yang melekit dek peluh. Panas yang membahang
terasa membakar setiap inci tubuhnya. Biarpun duduk di bawah pondok yang
berbumbung tetapi bahang kepanasan matahari yang terik tetap terasa.
“Mana boleh nak tenang? Entah macam
mana keadaan anak Eta tu!” luah Rabeta. Dia duduk di sebelah Fakhrul.
Bulan
hadapan mereka akan disatukan. Tiada sebarang majlis besar, sekadar akad nikah
dan majlis kesyukuran sahaja. Itu permintaan Rabeta sendiri. Keluarga Fakhrul tidak membantah. Mereka duda
dan janda, tidak perlulah buat majlis besar, ala kadar sahaja sudah cukup,
asalkan sampai hajat masing-masing.
“Awak tak percayalah kan saya? Saya
akan suruh orang-orang saya ekori Jasmina dan jaga keselamatannya.” Fakhrul
mengangguk, meyakinkan Rabeta. Dia tidak akan membiarkan bakal anak tirinya itu
diapa-apakan. Itulah sahaja caranya untuk menyelamatkan Jasmina, jika dia masih
lagi berkeras ingin meneruskan hajatnya itu.
“Saya takut sangat-sangat, Fakhrul.
Entah apalah rancangan Zaheer tu…” keluh Rabeta.
“Akak akan bantu juga Eta. Takkanlah
akak nak biarkan anak Eta jadi mangsa pula?” Nazatul merenung wajah Rabeta yang
jelas terpancar kebimbangannya.
“Terima kasih kak, Fakhrul.”
“Malam ini, kita akan serang sarang baru
Zaheer. Dengar kata, tempat dia memproses dadah. Sebelum ini, tak pernah pula
akak dengar dia buat dadah sendiri. Selama ini dia ambil bekalan di negara
seberang.” Nazatul menukar topik bicara. Ada tugas lain yang menanti.
“Bagus Kak Naz. Pihak polis sedia
bila-bila masa sahaja membantu. Maklumat daripada RIKA banyak membantu kami. D7
dan bersedia. Kita akan serbu malam ini. Eta nak turun juga ke? Baik tunggu di
sini, Biar Kak Naz saja yang turun.” Fakhrul melirik ke arah Rabeta yang sedang
meneliti fail-fail yang ada di atas meja bulat di hadapannya. Cepat sangat dia
bertukar angin. Sudah hilang agaknya
rasa marah dan bimbang di hati.
“Eta tak kisah, di mana-mana pun
boleh!” jawab Rabeta sambil tersenyum.
Dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat masalah anaknya. Takut hilang
pertimbangan dalam diri. Mahu sahaja dia membunuh Zaheer, biar mati sahaja. Hidup pun tiada erti, jika hanya menyusahkan
orang lain.
“Okeylah,
kalau begitu. Eta tunggu di sini. Biar Kak Naz yang turun ke lapangan dengan
Ravi dan Hadi,” jelas Nazatul. Sejak ‘merdeka’,
dia semakin bersemangat.
“Kalau begitu, malam nanti kita
jumpa kat sana ya, Kak Naz,” janji Fakhrul.
Tugas
para petugas RIKA hanya mengesahkan lokasi. Kemudian pihak berkuasa yang akan
mengambilalih.
“Insya-ALLAH, Fakhrul dah jumpa tempat
persembunyian Zaheer?” tanya Nazatul lagi.
“Sudah kak, sejak dia kena angau ni,
mudah sangat kami nak kesan tempat tinggal dia,” jelas Fakhrul, matanya mencuri
pandang wajah Rabeta. Bimbang Rabeeta tersinggung. Jasmina, tunangan Zaheer,
anak perempuan Rabeeta. Ironinya hidup.
Berputar di situ sahaja. Tidak ke mana-mana.
***
Panggilan telefon daripada seseorang
membuatkan wajahnya berubah. Dia terdiam seketika. Memikirkan kewajaran
tindakannya nanti. Perlukah dia
bertenang dengan apa yang berlaku.
“Joe! Joe!” jeritnya. Sudahlah duduk
menyewa di sebuah bilik yang langsung tak selesa. Ditambah masalah yang datang bertimpa-timpa.
Memang menyakitkan hatinya.
“Ya bos!” jawab Joe, dia membuka
cermin mata hitam yang sentiasa melekat di hidungnya, menutup matanya yang kuyu
bagaikan orang tidak cukup tidur.
“Malam ini kita pindah! Aku takut,
polis dah tahu tempat persembunyian aku ni!” kata Zaheer
“Pindah lagi?” Joe mengeluh keras. Sudah tujuh kali
ketuanya itu berpindah-randah sejak
isterinya terlepas daripada cengkaman mereka.
“Jangan buat muka poyo kau tu!”
marah Zaheer.
“Baik bos!” Joe menggeleng, kesal. Penatlah, duduk sehari
dua, lepas tu pindah lagi. Pindah lagi, sampai bila? Agaknya, sudah masuk kubur
baharu selesai.
Pakaian Zaheer dikemaskan dan
dilipat sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian. Barang-barang peribadi milik
Zaheer dimasukkan ke dalam beg lain pula.
“Bos kena cari rumahlah, nanti dah
kahwin takkan nak tinggal dalam bilik sempit macam ni?” cadang Joe, lelaki Melayu berketurunan Jawa.
“Apa masalahnya? Isteri aku tu kan nanti kena ‘kerja’ jugak.”
Dia
tidak bercadang hendak menyewa rumah. Berada dalam keadaan begini, memudahkan
dia hendak bergerak ke sana, ke mari. Lagipun, polis tentu sukar hendak
mengesannya. Jasmina boleh sahaja berkongsi bilik itu dengannya nanti. Hendak
selesa, tinggal sahaja di rumah bapa mertuanya, selesai masalah. Malah selesa
juga dan sudah tentu selamat. Dia tersenyum lebar. Nasib kaulah Jasmina, bisik
hati kecilnya sendiri.
“Bos, kalau macam ni selalu, boleh
gulung tikar kita,” ujar Joe. Dia
memandu kereta menuju ke hotel lain pula. Dia sendiri risau melihat
perkembangan yang berlaku. Operasi besar-besaran membanteras pusat-pusat
pelacuran di sekitar Lembah Kelang sedang digerakkan oleh pihak berkuasa. Dia
hanya mampu mengurut dada sahaja apabila diberitahu oleh orang-orang
bawahannya. Wajah tenang Zaheer
dipandang dengan hati yang bimbang. Air yang tenang, jangan sangka tiada
buaya. Tenang-tenang berisi.
“Bertenanglah, 10 mereka tutup, kita
buka lagi 20, selama mana mereka nak kejar kita? Yang penting kita tak ada di situ.” Zaheer
menyengih.
Langsung
tiada kesukaran di hatinya. Apalah yang hendak disusahkan. Tutup di sini, buka
di sana. Itulah yang berlaku selama ini.
Dia tersenyum sumbing. Selagi ada
penjualan pasti ada permintaan. Selagi
wujud orang sepertinya,selagi itulah pusat hiburan dan pelacuran terus tumbuh.
Deringan telefon bimbitnya
membuatkan dia mengalihkan perhatiannya. Zaheer segera menjawab panggilan
tersebut.
Joe hanya memandang melalui ekor
matanya. Sekejap wajah Zaheer tersenyum,
kemudian masam, kemudian ceria semula. Akhir sekali telefon itu di letakkan di
atas ribaan dan dia mengeluh.
“Malam ini, aku tidur di hotel. Esok
kau keluar cari rumah untuk disewa,” arah Zaheer.
“Aik! Ubah fikiran pula bos?” Joe
kehairanan. Susah betullah buat kerja dengan manusia yang tidak tetap
pendirian.
“Jangan banyak ceritalah. Ikut saja
arahan!” kata Zaheer sedikit keras. Kacau seketika hatinya. Panggilan tadi mengganggu perasaannya.
Panggilan daripada seseorang yang sudah lama tidak menghubunginya.
Dia
mengeluh. Sudah berbelas tahun menghilangkan diri, baharu sekarang berani
pulang ke mari? Zaheer mencebik. Perkara yang mendatang, tanpa diduga.
“Bos! Isteri bos ada di rumah tu. Tak
nak tangkap dia semula ke?” tanya Joe. Dia mencuri pandang wajah Zaheer yang
muram. Bagai memikirkan sesuatu.
“Kau nak suruh polis cekup aku?” marah
Zaheer. Itu sebab dia tidak ke sana. Polis pasti akan memburunya di situ. Dia
tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Terpaksa melepaskan Nazatul, buat
seketika. Tunggu sahajalah Nazatul, masa
kau akan tiba juga. Zaheer mencebik
lagi. Rasa menyampah terhadap masa lalunya membuku di hati.
“Takkan nak biarkan saja bos? Boleh
jatuh miskin kita nanti.” Sengaja meracun perasaan Zaheer. Dia sendiri nyaris-nyaris ditangkap oleh
pihak polis sewaktu berada di salah satu rumah urut milik Zaheer. Nasib baiklah
sempat meloloskan diri, kalau tidak, jawabnya tidur di dalam lokaplah.
“Kau jangan bagi aku pening kepala,
Joe! Kepala aku dah cukup sakit ni!” lengking Zaheer. Kurang senang dengan omelan pembantu kanannya
itu. Orang-orangnya bersepah merata tempat, menjaga kepentingannya dalam dunia
perniagaan yang penuh kekotoran, daki dosa dan noda.
“Ala, bos, janganlah marah. Saya
peringatkan saja. Kalau dah papa, baharu bos nak bertindak, dah lambat. Kita
juga yang gigit jari!” Joe membebel
lagi.
Zaheer membuang pandang. Pihak polis
asyik menyambar anak-anak helangnya hingga dia kekurangan kakitangan. Mahu
bertukar kerjaya pula, apa yang dia pandai lakukan. Sekolah pun setakat darjah
enam sahaja. Dia tiada apa-apa, kosong.
Bagaimana mungkin dia mencari kekayaan tanpa perlu bekerja keras.
Nazatul…Nazatul, dia tersenyum
sendiri. Dengan bermodalkan Nazatullah
empayarnya mula berkembang. Ramai pelanggannya sukakan Nazatul. Nazatul
pernah jadi lubuk emasnya.
Sejak Nazatul berjaya melarikan diri
dan menubuhkan pusat yang ingin mengubah nasib para pelacur miliknya,
membuatkan perniagaannya semakin merosot. Nazatul musuhnya. Musuh
perniagaannya. Semakin memikirkan isterinya itu, semakin sakit hatinya. Kau
tunggulah Nazatul, ngomelnya sendiri dalam hati. Rasa bengkak di hati
menahan getar kemarahan yang menggunung
tinggi.
Joe pula masih membebel. Dibiarkan
sahaja pembantu kanannya itu meluahkan gejolak di hati. Mungkin lelaki itu juga
risau pendapatannya merosot nanti. Joe juga banyak membawa balik anak-anak ayam
untuknya. Joe jugalah tulang belakang yang memantau perniagaannya. Kalau tiada Joe, dia boleh patah kaki.