Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 15 Jun 2017

-TRAVELOG UMRAH - BAH 7- ASMAH HASHIM




            Sebelum bertolak, ada kawan-kawan yang datang ke rumah, menghulur sedikit buat belanja. Ada juga dari kejauhan mengirim duit untuk kami buat belanja di tanah suci nanti, pesannya, makan sahaja apa yang ada di sana, usah makan di hotel, duit yang dititipkan cukup untuk seminggu.  Wajib habiskan.  Hari kedua, tengahari, kami keluar awal, konon tidak mahu makan di hotel.  Kami singgah salah sebuah restoran, Zam Zam Restoran yang terletak berhampiran Masjidil Haram.  
            Kami mengintai ke dalam kedai.  Saya memandang wajah suami.  Dia mengangkat kening.
            “Mana ada tempat duduk nak makan?” kata saya.
            Saya memandang sekeliling, ramai yang hanya makan di kaki-kaki lima, di tepi tangga.  Konsep restoran di sini agaknya, tiada tempat untuk duduk sambil makan-makan. 
            “Kita beli, kita makanlah di tepi jalan juga,” kata suami.
            Saya hanya mengangguk. Ada pelbagai jenis makanan arab dan Pakistan, roti pun ada, suami membeli dua jenis lauk, dua keping roti dan sebungkus nasi beriani kambing. Harga boleh tahan, tetapi kerana banyak, boleh makan lima orang tidaklah terasa mahal sangat. 
            Usai membeli, kami menapak mencari tempat strategik untuk duduk sambil menjamu selera.  Tengok kiri, tengok kanan. Pandang tepi, pandang depan, semuanya ada orang, penuh.  Seronok pula tengok mereka makan, tidak kira lelaki dan perempuan. Kebanyakkkannya mungkin ada hubungan kekeluargaan.
            “Nak duduk kat mana ni? Semuanya penuh?” soal anak perempuan saya.
            Kami berjalan lagi sehingga sampai di dataran Masjidil Haram, tidak mungkin bawa makanan itu ke dalam masjid, sudah tentu tidak akan dibenarkan. Kami terus berjalan dan berjalan, sehingga sampai hadapan  Al Rajhi Bank.  Ada tempat kosong di tepi kaki lima itu.

            “Kat situ pun bolehlah,” kata saya.

            Suami akur, kami terus duduk di tepi kaki lima tersebut.  Dua  helai plastik yang dibekalkan oleh restoran tadi, kami bentang dan letakkan makanan.  Orang yang lalu lalang menoleh tidak berhenti. Hairan? Mungkin? Kerana tiada orang Melayu yang duduk makan kecuali kami agaknya.  Biarlah mata yang melihat, asalkan dapat rasa masakan yang terhidang.
            Sedang enak menikmati makanan yang dibeli, datang seorang perempuan Pakistan, mungkin, dilihat pada caranya berpakaian.  Dia duduk di sebelah kami, membuka bekas makanan yang dibawa.  Saya hanya menjeling dengan ekor mata.  Nasi arab, tetapi tiada lauk di dalamnya,  Allah! Hanya tulang ayam. Mungkin dia perolehi sewaktu beratur mendapatkan makanan yang disedekahkan, kebetulan cedukan nasi itu terkena di bahagian tulang ayam tidak ada isinya.  
            “Kasihannya bang, tidak ada lauk, hanya nasi dan tulang ayam,” bisik saya kepada suami.
            Suami menoleh.  Dia menceduk lauk ayam yang kami beli, masih berbaki dan masih banyak.  Diletakkannya ke dalam bekas makanan perempuan tadi.  Dengan bahasa yang kami tidak faham, mungkin dia mengucapkan terima kasih. Kami menghabiskan nasi dan roti yang dibeli, lauk? Memang banyak dan tidak mungkin mampu dihabiskan.  Sekali lagi suami mengisi bekas nasi perempuan Pakistan tadi denga nisi ayam, pada mulanya ditolak, mungkin perempuan itu sudah biasa makan nasi tidak berlauk.  Saya menunjukkan isyarat tangan menyuruh dia makan sahaja. Sekali lagi dia mengucapkan terima kasih dengan bahasa yang tidak kami fahami.  Sebelum berlalu masuk ke dalam masjid, suami menghulurkan wang rial kepadanya.  Dia memandang wajah kami silih berganti, menadah tangan dan berdoa.  Allahu Akbar! Kecil sahaja pemberian kami itu. Mungkinkah dia orang susah? Mungkinkah dia dalam keadaan musafir seperti kami?  Tidak kami ketahui.  Sudi-sudikanlah bersedekah tetapi jangan dilihat oleh orang lain, takut tidak terberi nanti. Ramai juga yang susah di sana. Terutama pekerja-pekerja asing, mereka tidak meminta, tetapi menunggu untuk diberi sedekah.
            Seminggu makan nasi arab dan India?  Rasanya tidak tertelan dek tekak.  Nasi putih juga sedap di mata dan tekak.  Hanya tiga kali sahaja kami merasa makan nasi arab, India dan Pakistan.  Selebihnya kami makan apa yang ada di hotel.  Tak boleh telanlah, biarpun sedap. Ayam bakar yang menyelerakan  dari Restoran Makkah yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram, berhampiran dengan hotel tempat kami menginap.  Di restoran tersebut ada tempat makan di bahagian atas, tidak ramai orang yang makan di situ.   
            Jangan harap hendak duduk bersantai ya, konsep restoran di sana, bungkus dan makanlah di mana sahaja, di tepi jalan atau di dalam bilik sendiri.  Jangan beli banyak, perut kita, perut orang Asean, jumlah yang mereka hidangkan rasanya untuk perut orang-orang sebelah Asia Barat, banyak, boleh makan tiga orang, kalau perut kecillah.
            Kalau datang ke Mekah, jangan lupa merasa ais krim dan jus buah-buahannya yang pekat dan manis.  Sempat beli dua kali sahaja ais krim, terlalu manis.   Kebetulan saya kurang makan makanan yang manis-manis, sesekali bolehlah.  Kalau tengok buah pisang yang terjual di kedai-kedai serbaneka mereka, memang mengiurkan.  Begitu juga dengan aneka jenis roti yang terjual.  Kenalah cuba, tak cuba tidak tahu selera mereka.  
            Sepanjang perjalanan hendak ke Masjidil Haram, kita akan menjamu mata melihat barang kemas yang tersusun, harga emas sama sahaja, aneka jenis jubah pelbagai fesyen, lip lap, lip lap… barang-barang cenderhati berharga dua riyal, boleh kering poket dibuatnya. Ingat boleh pandang sahaja?  Kalau tidak kuat iman, boleh habis duit yang dibawa. Jangan pandang-pandang, nanti tergoda!
            Kalau hendak beli Jubah, baik lelaki atau perempuan, belilah di Madinah, sebab harganya lebih murah dan lebih cantik. Tapi… kalau barang-barang cenderhati, baik beli di Mekah, lebih murah dan banyak pilihan.
            Di Mekah, orang boleh tidur di mana sahaja, di kaki lima dataran masjid, di dalam masjid. Tidak akan dihalau kecuali ketika kawasan masjid akan dibersihkan.  Jadi, usah berasa hairan, raikan sahaja, bukan semua mampu tinggal di hotel.  Seronok melihat perangai manusia yang berbagai ragam.  Senyum sahaja, tidak perlu kata apa-apa.

Sabtu, 10 Jun 2017

TRAVELOG UMRAH- BAH. 6 - ASMAH HASHIM.



Jam 5.00 pagi kami sudah bersarapan, usai sahaja solat subuh berjemaah di surau hotel.  Seperti biasa, sejak dua hari lepas, menu roti bakar bagaikan wajib menjadi hidangan pembuka  selera, di sini, makanan yang dihidangkan memang masuk dengan selera.  Boleh tahan sedapnya biarpun yang memasaknya adalah  petugas-petugas dari Indonesia.  Usai sarapan dan berbual dengan rakan-rakan satu Jemaah, kami naik ke bilik untuk bersiap-siap.  Hari ini kami akan ke Tanaim, sebuah bandar kecil untuk bermiqat di situ. 
            Hari Jumaat, hari nisfu syaaban, kami akan melakukan umrah buat kali kedua.  Saya mengeluh, terasa sakit di kaki masih ada, mampukah untuk buat umrah lagi hari ini? 
            “Macam mana? Boleh ke?” tanya suami.
            “Kakak macam mana? Nak buat tak?” tanya saya kepada anak perempuan.
            “Kalau ikutkan, memang sakit kaki ni, tapi…” dia terdiam.
            “Sayang tak buat, kita datang jauh, tak tahu bila lagi boleh datang lagi,” selarku.
            “Ikutlah, terpulang,” kata suami.
            “Nak buat jugalah! Insya-Allah kita berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan urusan ibadat umrah kita,” ujar saya dengan wajah ceria. Matlamat datang ke mari adalah ingin beribadat, itulah yang akan saya lakukan. Lawan rasa sakit, lawan rasa malas, letih dan tidak bersemangat, detik hati kecil saya.  Akhirnya kami ambil keputusan akan buat umrah buat kali kedua.  Semoga Allah permudahkan urusan ibadah kami.  Saya tidak berhenti-henti berdoa dan berzikir.  Bimbang tumbang sebelum selesai melakukan umrah.
            Jam 8.00 pagi kami sudah berkumpul di lobi hotel, menunggu Ustaz Hisyam memanggil kami bergerak menaiki bas yang akan membawa kami ke Tanaim, yang terletak tujuh kilometer dari bandar Mekkah.  Suami sudah siap memakai ihram, saya dan anak pakai seperti biasa, telekung sahaja yang disarung, kain telekung tidak perlu, yang penting masih menutup aurat. 
            “Hajah, Haji, mak cik,  pak cik, sila tunggu di lobi, nanti mutawif atau ustaz yang bertugas akan panggil mak cik-mak cik kalau ada bas, tidak perlu pergi cari bas.  Itu bukan kerja mak cik- pak cik, sila tunggu di sini!”  terdengar suara Haji Arif membebel di awal pagi. Sudah pasti ada yang sedang berlaku di luar sana.
            Saya dan suami hanya menggelengkan kepala.  Empat puluh orang, ada empat puluh perangai kena  perhati. Alahai., kasihan para petugas dan ustaz yang diminta memantau keperluan kami.  Susah benarlah para Jemaah hendak ikut peraturan yang telah ditetapkan. 
            Tepat jam 8.30, Ustaz Hisyam sudah mula memanggil kami untuk menaiki bas yang telah disewa khas untuk membawa kami ke Tanaim.  Sebaik sampai sahaja di hadapan sebuah masjid, kami turun dan diminta untuk terus masuk ke dalam masjid, buat solat sunat ihram, sunat dhuha dan tahiyatul masjid, hampir setengah jam kami berada di kawasan tersebut.  Seperti pekan kecil yang tidak punya apa-apa, terdapat juga barisan rumah kedai yang masih belum dibuka, mungkin masih awal lagi.  Hanya kawasan masjid itu sahaja dipenuhi manusia. Usai melakukan apa yang patut di situ, kami menaiki semula bas dan bergerak menuju ke Mekkah kembali, di dalam bas niat umrah dibaca oleh Ustaz Hisyam dan diikuti oleh kami semua. 
            Bas tadi terus membawa kami ke terowong bawah tanah, boleh menaiki eskilator menuju ke kawasan Masjidil Haram.  Bermakna jika datang dari jauh, bolehlah naik teksi atau bas dan turun di situ. Betul-betul berhadapan dengan bangunan Bin Dawod.  Ustaz Hisyam mendahului, dan para Jemaah mengikut dari belakang.  Kami masuk semula ke kawasan masjid untuk melakukan ibadah umrah buat kali kedua.  Hari Jumaat yang penuh keberkatan, sungguh bermakna buat saya.  Seperti biasa pintu 89 menjadi pilihan. Sampai di muka pintu, baca doa, niat beriktikaf dan langkah dengan penuh yakin untuk melakukan ibadah kepada Allah swt.
            Seperti biasa, para petugas akan memeriksa beg sandang atau apa sahaja beg yang dibawa, demi keselamatan.  Rutin biasa.  Ikutlah peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan masjid.  Pemandangan di dalam masjid masih seperti biasa, ada para Jemaah yang berehat, berbaring dan mendengar kuliah, tidak kurang juga yang melakukan solat dan mengaji.  Tiada ruang yang kosong. Ada sahaja Jemaah di setiap kawasan.  Kami singgah minum air zam zam, kemudian terus melangkah masuk, berhenti  seketika untuk berdoa ketika terpandangkan Kaabah.  Langkah diatur menuruni anak tangga menuju ke hadapan Kaabah. Ustaz Hisyam mencari ruang dan tempat untuk mula melakukan tawaf. Niat dibaca, kami mula menggelilingi Kaabah sebanyak tujuk pusingan.  Kali ini sedikit berasa tenang, mungkin sudah memahami apa yang perlu dilakukan.  Saya tidak lagi terkejar-kejar mengikut langkah Ustaz Hisyam.  Baca doa apa yang tahu, berzikir, bertakbir, bertahlil dan bertahmid, bacalah doa yang kita inginkan sepanjang tujuh kali pusingan itu, mintalah apa sahaja, semoga Allah swt menunaikannya.
            Orang tidak begitu ramai, mungkin masih awal pagi, tengahari nanti pasti orang ramai semula, sebab Hari Jumaat, suasana tidak sesibuk malam tadi.  Matahari memancar garang, biarpun baharu pukul 10.00 pagi.  Peluh yang mengalir tidak terasa melekit, tubuh masih segar, suara para Jemaah membaca doa mengusik cuping telinga.  Sesekali mata singgah di Makam Ibrahim, pesanan   Ustaz Hisyam masih terngiang-ngiang di telinga.  Tidak boleh menyentuh semua yang ada di hadapan mata.  Kerana bimbang terkena bau-bauan atau wangi-wangian yang disapu di dinding Kaabah, Hajar Aswad, Makam Ibrahim, Hijir Ismail tidak boleh dimasuki selagi belum selesai tawaf.  Kalau boleh carilah peluang untuk solat di dalam Hijir Ismail tetapi setelah melakukan tawaf.  Jika ingin masuk dan memegang Kaabah, lakukan ketika kita bukan di dalam keadaan ihram.
            Selesai melakukan tawaf dalam masa singkat sahaja, kemudian kami terus menuju ke kawasan yang boleh melakukan solat sunat tawaf, selalunya berhadapan dengan Makam Ibrahim, di situlah kawasan Multazam, antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah.  Berdoalah, menangislah, mintalah apa sahaja, Allah itu Maha Mendengar. Usai solat, kami singgah sekali lagi di kawasan air zam zam di hidangkan.  Minum untuk menghilangkan dahaga.  Alhamdulillah, dalam keadaan kaki masih sakit, saya selesai juga melakukan tawaf.  Hanya kepada Allah swt saya letakkan sandaran.  Ya, Allah yang memberi kekuatan untuk saya melakukannya.  Kesakitan bukan asbab untuk tidak beribadat, selagi mampu berjalan dan masih berdaya, lakukanlah sahaja. Usah berkira-kira.  Niat kita datang ke Mekkah, bukankah untuk beribadat?  Bukan untuk melayan rasa sakit yang dihadapi.
            Seperti sudah biasa dengan kawasan masjid biarpun hanya baharu tiga hari kami di sini.  Syukur sangat-sangat sebab Allah tidak tutupkan mata dan ingatan ketika berlegar di kawasan Masjidil Haram, cerita kawan-kawan tentang pengalaman mereka tersentuh juga di hati.  Rezeki masing-masinglah.  Paling penting sentiasa berdoa agar Allah permudahkan segala urusan kita ketika di sini.
            Ke tempat Saie pula, kali ini Ustaz Hisyam membawa kami bersaie di tingkat dua pula, terdapat kawasan berbukit lebih sikit berbanding hari pertama.  Sambil melakukan saie, saya membayangkan keadaan Siti Hajar berlari-lari antara Bukit Safar dan Marwah untuk mencari dan melihat jika ada kabilah yang datang hanya untuk meminta sedikit air buat membasah tekak dan diberikan kepada Nabi Ismail  a.s yang masih lagi bayi ketika itu.  Dalam keadaan panas terik, di kawasan yang kering kontang, berpasir dengan tidak berkasut, sudah tentu habis pecah telapak kakinya dan sudah tentu letih tubuh dan seluruh urat sarafnya. Hari ini, kawasan saie berhawa dingin, bertal, boleh dilakukan dalam keadaan berkerusi roda kepada yang tidak mampu berjalan, ada kipas angin juga, boleh berhenti minum air zam zam yang disediakan, begitu mudah dan senang, tetapi Allah swt tidak beri begitu mudah. 
            Entah mana datangnya keletihan yang dialami, sedangkan hanya berjalan sahaja pun. Entah mana datang rasa sakit di kaki, ada Jemaah yang sudah mula berkerut wajah kerana menahan rasa sakit di kaki.  Itu semua rahsia Allah swt, mungkin Allah ingin kita berasakan sedikit rasa kesusahan yang dirasai oleh Siti Hajar sewaktu melakukan saie antara kedua-dua bukit itu.  Tapi, kali ini tidak berasa letih sangat, kerana saya sekeluarga tidak mengejar atau mengikut langkah Ustaz Hisyam, kami sudah mampu lakukan sendiri, biar perlahan, asalkan selesai.   Ada kawasan yang diletakkan lampu berwarna hitam, di situ disunatkan berlari-lari anak kepada yang mampu berlarilah.  Jika tidak, berjalan sahaja juga boleh. 

             Akhirnya tujuh pusingan berjaya kami selesaikan dengan rasa syukur yang tidak henti-henti meniti di bibir.  Nafas lega ditarik sedalam-dalamnya.  Terus mendaki ke Bukit Marwah, bertahlul dan sudah selesai ibadah umrah kami.
            Kami tidak terus pulang ke hotel, kerana waktu Jumaat sudah semakin hampir. Usai minum air zam zam, kami terus mencari ruang untuk bersolat Jumaat, tempat yang paling mudah, saya dan suami akan bersolat di belakang Multazam, menghadap Makam Ibrahim.  Mata meliar mencari kawasan kosong yang boleh kami duduk sambil menunggu waktu solat. Jangan putus asa mencari, nanti pasti berjumpa.  Akhirnya… 
            Suara bilal yang sentiasa merdua di telinga benar-benar mengusik hati.  Mata saya pejamkan sambil menikmati laungan azan yang berkumandang.  Allahu Akbar! Alhamdulillah kerana Allah swt mengizinkan saya hadir di sini, melihat Kaabah, melakukan umrah serta ibadah sunat yang lain.  Tiada kata yang mampu saya luahkan, hanya air mata menjadi pencerita rasa gembira, sayu dan syahdu ketika berada di bumi bertuah ini. Hari yang penuh berkah, pertama kali melakukan solat Jumaat di bumi Mekkah, lautan manusia usahlah fikirkan, sudah menjadi rumah ibadah, ditambah hari Jumaat adalah hari cuti masyakarat di Mekkah, maka berpusu-pusulah lautan manusia entah dari mana datangnya memenuhi setiap ruang yang ada.  Usah berkisah jika dihimpit, usah mengeluh jika terpaksa duduk dalam keadaan saf yang rapat, jangan harap boleh dapat duduk tahiyat akhir setiap kali solat di dalam Masjidil Haram.
            Sebenarnya, masyarakat di Mekkah ini amat suka dengan rakyat Malaysia, sebut sahaja dari Malaysia, pasti mendapat pujian.  Terasa bangga pula.  Malaysia Boleh! Malaysia Baik! Kata mereka.  Senyumlah, kerana senyuman itu adalah sedekah.  Jangan lupa berdoa, berdoalah, berdoalah, di sini, doa tidak akan dibaca oleh Imam yang bertugas. Kitalah kena baca sendiri.  Mintalah apa sahaja, biarpun kita tidak tahu sama ada akan diterima, dipenuhi atau ditolak, doa itukan senjata orang-orang mukmin.
            Usai solat Jumaat, kami kembali ke Hotel untuk makan tengahari, perut mula berbunyi, usah kata apa-apa kerana sarapan pukul 5.00 pagi ya.  Pukul 11.00 pagi perut sudah berbunyi.  Duduk di Mekkah asyik berasa lapar sahaja.  Kalau dahaga, minumlah sebanyak-banyaknya air zam zam, air terbaik di dunia. Dua kali melakukan umrah, sudah faham dan terasa ringan sedikit ketika melakukannya, tidaklah sesusah mana, yang penting diri kita kuat dan bertenaga, dalam hati tanamkan  tekad, ibadah yang kita lakukan ini adalah kerana Allah swt.  Pasti seringan kapas ketika melakukannya.  Saya tidak lagi mengeluh kepenatan, malah semangat dan berkobar-kobar untuk menghadirkan diri ke masjid. 
            Sambil berjalan, mata seronok melihat panorama manusia yang pelbagai bangsa ini.  Inilah Islam, indah dan harmoni sebenarnya, jika tidak diganggu gugat oleh mereka yang cemburu akan agama yang suci ini.  Islam boleh  bersatu jika hati-hati kita bersatu kerana ALLAH swt. Allahu Akbar! Nikmat yang mana lagi yang akan kami nafikan?