Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 11 Julai 2019

DIDIKLAH ANAK GADISMU- Asmah Hashim

Seorang anak gadis sewajarnya diberi pelbagai pendidikan dunia dan akhirat agar setelah meningkat dewasa dan menjadi seorang wanita, dia akan menjadi wanita yang matang dan berilmu.
Wanita, bakal menjadi seorang ibu, pendidik, penjaga dan guru pertama kepada anak-anaknya. Wanita yang tidak berilmu akan meninggalkan banyak kelemahan, kebodohan kepada keluarganya, kecuali dia mempunyai kesedaran untuk mengubah nasib keluarganya dan berusaha mengubah hidup anak-anaknya menjadi lebih baik.
Wanita juga perlu ada kemahiran diri seperti pandai memasak, menjahit dan ilmu bantu yang lain. Kalau berlaku sesuatu dalam rumah tangga, dia tahu mencari rezeki tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
Wanita juga perlu tahu hak sebagai seorang isteri, agar tidak mudah tertipu oleh suami yang berhidung belang.
Wanita, usah jadi lemah kerana kebodohan sendiri. Kita harus kuat, bersemangat dan berani mengubah nasib diri.
Wanita, bukan jembalang yang hanya menjadi perosak hidup orang lain.
Wanita, amat dimuliakan oleh Allah swt. Usah dibiarkan kita dipandang sebagai simbol seks semata-mata. Sedangkan kita jauh lebih mulia daripada itu.
Kitalah yang melahirkan manusia ke muka bumi ini bermula daripada ibu kita HAWA. Kitalah penggerak nadi kehidupan buat dunia ini. Tanpa kita, manusia takkan wujud. Oleh itu hargailah hidup kita dilahirkan sebagai wanita.
Wanita, bukan manusia lemah yang boleh diperkotak-katikkan. Kita manusia hebat.
Isikan diri dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat untuk anak cucu kita. Sesungguhnya seorang wanita itu amat berharga. Banyakkan membaca.
Bangunlah wanita! bangkitlah, usah menyerah kalah atas nama kelembutan. Kau lembut tapi bukan lemah! Kau lembut, namun kau gagah!

PENDIDIKAN AWAL ANAK - Asmah Hashim

Wahai ibu, didiklah anak-anakmu menjadi manusia yang baik. Mereka amanah buatmu. Usah dipersia-siakan anugerah daripada Allah swt.
Wahai ibu, sakit melahirkan tidak tertanggung. Sesungguhnya kekuatan itu datangnya daripada Allah swt. Darah yang tumpah, usah dipersiakan. Bajailah anak-anakmu roh Islam, biar mereka tahu hakikat kehidupan di dunia ini untuk apa.
Wahai ibu, anak-anak cermin dirimu. Adakah kau suka dituduh tidak pandai mendidik ya? Lihatlah mereka, bagaimana cara hidup mereka? Solat kah? Pandai mengaji kah? Taatkah kepadamu? Sudah kau ajar agar mereka taat juga kepada Allah swt?
Wahai ibu, jangan hanya tahu melahirkan, tapi kau biarkan anak-anakmu tidak beradab dan berakhlak. Jangan kau biarkan mereka leka dan lalai bergelumang dengan keseronokan dunia sehingga tiada ruang untuk beribadat kepada Allah Yang Esa.
Wahai ibu, kau tentu tak mahu kuburmu sempit dan gelap lantaran tidak ada anak yang soleh mendoakan kesejahteraanmu di alam barzakh. Jangan kau hanya tahu takut tiada anak yang akan menjagamu ketika tua tetapi takutlah kalau-kalau kau dibiarkan kelaparan di dalam kubur kerana tiada doa daripada anak-anakmu.
Wahai ibu, biar mereka menangis sekarang. Jangan kau menangis di kemudian hari kerana kecewa dengan diri sendiri apabila anak-anakmu yang kau lahirkan dari rahimmu menjadi manusia durjana.
Wahai ibu, berubahlah, jadilah ibu yang mithali. Jadilah ibu yang menjaga amanah ini sebaik mungkin. Jadikanlah anak-anakmu, anak-anak yang beriman, soleh, beramal dan bertakwa. Sesungguhnya kau akan dituntut oleh Allah swt bagaimana cara kau mendidik amanahnya yang diserahkan kepadamu.
Ingatlah, hidup ini singkat sahaja. Kepada Allah swt kita akan kembali. Jadilah ibu yang mampu membentuk generasi terbaik, beradad, berakhlak, beriman dan bertakwa. Kita penentu melahirkan generasi gemilang, terbilang di dunia dan akhirat.

ULASAN : BOHONG DI DUNIA - Karya BUYA HAMKA


BOHONG DI DUNIA
PROF. DR. HAMKA
GEMA INSANI
*****/5
ULANGTERBIT 2017
Berbohong dengan sengaja datangnya dari hati yang jahat. Membaca buku ini banyak perkara yang kita lakukan dan cakapkan pasti ada terselit rasa ingin berbohong atau terpaksa berbohong.
Penipu dan pembohong adalah perbuatan yang lahir daripada seorang manusia yang tidak jujur. Dalam buku ini diterangkan juga pembohongan yang boleh dan tidak dibolehkan. Ada juga dikongsi beberapa pandangan daripada beberapa orang ahli falsafah luar negara tentang pembohong.
Juga diterangkan kenapa kanak-kanak berbohong, sedangkan hakikat yang sebenar kanak-kanak tidak pandai berbohong.
Buku yang wajar dibaca sebagai pedoman diri agar menjauhi sifat dan sikap suka berbohong.
Seperti yang tertulis di akhir muka surat buku ini:
"Bohong satu kali adalah laksana nila setitik dimasukkan ke dalam sebelanga susu. Bohong satu kali kerap menjatuhkan harga diri seseorang di hadapan sesama manusia untuk selama-lamanya. Jujur dan benar adalah sifat semula jadi manusia. Setara hati yang asli adalah jujur dan tidak mahu berbohong. "
"Orang yang berani berkata terus terang adalah orang yang mendidik jiwanya sendiri untuk merdeka. Orang yang berani menerima perkataan yang berterus terang adalah orang yang membimbing jiwanya kepada kemerdekaan."
Usah mudah berbohong, ia mencerminkan dirimu yang tidak jujur. Menipu manusia lain sudah dikira berdosa, bagaimanakah kita mampu menipu diri sendiri? Hiduplah dengan jujur kerana kejujuran mencerminkan kesucian hati.
Berapa ramai terpaksa berbohong demi kepentingan diri sendiri.