Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label APA DOSANYA?. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label APA DOSANYA?. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Januari 2020

APA DOSANYA? - BAB 3


Adira menuam pipi Ain yang kemerahan bekas dilempang oleh ibu siang tadi dengan telur yang direbus dan masih suam-suam kuku.  Sesekali adiknya merengek kesakitan.  Ali pula entah kemana perginya.  Sebaik sahaja makan malam terus menghilangkan diri.  Ke sekolah juga sudah jarang-jarang.  Waktu sehariannya banyak dihabiskan membantu ibu di kebun.
            “Sakit ya?  Ain jangan marahkan ibu ya?  Ibu tak sengaja.  Kan akak dah pesan, jangan campakkan  mainan merata-rata.  Dah kena kaki ibu, tentulah ibu marah,”  ujar Adira. Dia menahan sebak di dada  Airmatanya boleh gugur bila-bila masa sahaja. Tidak tertahan melihat wajah adiknya yang bersahaja, masih boleh bermain lagi. Bagaikan tidak berlaku apa-apa kepadanya siang tadi.  Padahal pipinya sedikit membengkak.  Kuat agaknya lempangan ibu tadi.  Kelihatannya, marah sangat ibu dengan Ain.
            “Ibu?” kata Ain perlahan.
            Adiknya itu juga lambat bercakap.  Hanya sepatah-sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Ain lebih banyak mendiamkan diri.
 “Ibu ada, tidur agaknya,” jawab Adira sambal tersenyum. Senyum dalam tangisan. Ya, hatinya sedang menangis sendiri.  Sejak siang tadi, ibu tidak keluar-keluar dari biliknya.  Adira mengusap wajahnya.Mampukah dia menghadapi ujian hidup ini berterusan?  Ibu! Adira mendengus kasar.  Kami masih perlukan ibu, luah Adira dalam hati.  Sejak arwah ayah meninggal, kehidupan mereka sekeluarga seperti anak ayam kehilangan ibu.  Ayah sudah lama meninggal.  Ibu tiba-tiba melahirkan Ain,sedangkan ketika itu ayah sudah tiada. Adira menekup mulut.  Dadanya berombak. Nafasnya berhembusan kasar. Air matanya mula mengalir.  Wajah Ain menjadi santapan matanya tidak berkedip. Ain… Ain bukan anak arwah ayahnya? Dia mengira usia Ain. Terketar-ketar bibir Adira menahan gelora dilubuk hatinya.
            Terasa membahang kepanasan suhu badannya  Dia menjarakkan dirinya daripada Ain yang leka bermain.  Ain seperti berada dalam dunianya sendiri. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa ibu membenci Ain?  Adakah kerana Ain bukan anak arwah ayah?  Jadi, anak siapa?  Ibu melahirkan anak siapa?  Siapa ayah Ain?  Adira memandang wajah Ain sayu.  Kasihan kau dik, detik hati kecil Adira.Siapapun kau, kakal tetap sayang, bisik hati Adira lagi.
            Tapi kenapa ibu benci sangat dengan Ain? Adakah kerana kelahiran Ain bukan kehendak ibu?   Selama ini, Adira  sering mendengar sindiran orang kampung terhadap ibu, mereka kata ibu jual maruah sampai dapat anak cacat.  Itu balasan Allah kepada ibu.  Benarkah?  Adira mengerut dahi.  Permasalahan orang dewasa yang sukar difahami.
            Suara cengkerik  jelas kedengaran.  Suara katak sesekali menyapa, mungkin memanggil hujan turun. Kata ustaz di sekolah, setiap yang dijadikan Allah swt,tiada satu pun sia-sia.   Adakah kejadian Ain satu yang sia-sia?
            “Ain, kita pergi gosok gigi dan lepas itu tidur ya,” ajak Adira. Tiada secubit kebencian pun di hatinya terhadap adik bongsunya itu.  Siapapun Ain, dia tetap adiknya.  Adira mendekati Ain semula. Diraih dalam pelukan.  Diciumubun-ubunnya berkali-kali.  Air matanya gugur lagi.
            “Ada dosa kau dik, sehingga kau dibenci?”  soal Adira.
            Ain memandang wajah Adira lalu tersenyum.
            Semakin gugur jantung Adira.  Ain terlalu kecil untuk memahami.
            Adira menarik Ain ke dalam pelukannya. Diangkat dan diletakkan di atas katil bersaiz queen. Dibaringkan kepala adik  berlapik bantal yang sudah mengempis, kekabunya sudah mampat. Ditarik selimut yang berlipat kemas di atas bantalnya.  Ain diselimutkan, ditepuk-tepuk punggungnya agar cepat tidur.  Perlahan-lahan Ain memejamkan mata.  Adira mengelap airmata dengan hujung t-shirt muslimah yang dipakai. Dia bergerak turun dari katil dan keluar dari bilik itu.  Adira memandang ke  arah bilik ibu yang bersebelahan biliknya.  Tertutup rapat. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam Takkan ibu tak keluar mandi atau makan? Fikir Adira sendiri.
            Perlahan-lahan langkah di atur rmendekati pintu bilik yang berkunci rapat dari dalam.  Adira berdiri seketika.  Mencari ruang untuk memulakan gerak kata,bimbang juga ibu menerpa dan marahnya belum reda.  Takut amukan ibu kembali semula, dan Adira tidak mahu Ain menjadi mangsa kemarahan ibu.
            Adira tidak mahu beban persoalan dalam diri yang sedang berlegar-legar difikiran mengganggu jiwanya.  Dia perlu jawapan segera. Hanya ibu yangboleh menjawabnya.  Ruang tamu yang hanya bertikar getah, tidak berperabut dipandang kosong.  Lima belas tahun hidup dalam keadaan serba kekurangan. Celik-celik mata kehidupannya sudah begitu, serba tiada.  Sedikit pun tidak merisaukan hatinya.  Sudah terbiasa tidak punya apa-apa. Tiada televisyen, tiada radio, tiada telefon bimbit seperti sesetengah kawan-kawannya di sekolah.
            Sudahlah tiada ayah, tiada pula harta benda.  Hidup ada-ada sahaja.    Ayah meninggal kerana serangan jantung. Meninggal ketika tidur.  Usia muda atau tua, bukan penentu seseorang itu tidak jatuh sakit kata ibu kepadanya.  Mereka sudah cukup redha akan kehilangan itu.
            “Ibu!  Ibu!” panggil Adira sedikit kuat.
            Daun pintu dibuka  perlahan-lahan.  Sebaik terbuka, terpacul ibu dengan rambut kusut masai, mata yang membengkak.  Baju kurungnya sedikit terangkat, dibiarkan. Tuala berwarna kelabu tersandang dibahu.  Adira berundur ke belakang sebaik sahaja ibu berjalan keluar dari bilik.
            “Siapa ayah Ain?” tanya Adira.  Pertanyaan itu keluar spontan sebelum sempat dia berfikir akan tindakannya itu.
            Maria berhenti mengarut langkah.Wajah anak sulongnya dipandang agak lama. Bibirnya terkumat-kamit seperti ingin mengatakan sesuatu.  Dia meneruskan langkahnya untuk ke bilik air.
            “Ibu!  Benarlah kata orang kampung, ibu membuat onar sehingga melahirkan Ain?”  Adira tidak mampu bertahan lagi.  Suara-suara sumbang yang sering kedengaran menyapa telinganya. Ingin saja dia membiarkan suara itu berlalu seperti angin lalu.  Tetapi tidak mampu, orang yang dikata oleh mereka di luar sana, adalah ibu kandungnya sendiri.
            Maria memusingkan tubuhnya.   Wajah Adira yang muram dan beriak keruh ituditenung lama.
            “Kau tuduh ibu?  Tergamak kau tuduh ibu!?”  Maria mengetap bibir.  Dia masih boleh bertahan kalau tuduhan itu daripada orang lain, tetapi bukan daripada anaknya sendiri.
            “Dira bukan sengaja nak tuduh!  Dira nak kepastian!”  jawab Adira. Air matanya sudah pun bersedia di tubir matanya. Hanya menunggu waktu untuk mengalir keluar.
            “Siapa pun ayah Ain, bukan urusan Dira!” tengking Maria.  Fikirannya sudah cukup kusut dengan apa yang telah berlaku dengannya selama lima tahun ini.  Tidak cukupkah lagi penderitaan yang ditanggung selama ini?  Kenapa Allah berterusan menduganya? Bisik Maria dalam hati. Dia sudah tidak sanggup lagi menerima cemuhan dan umpatan orang sekeliling yang tidak berhenti bercakap tentangnya. Ingatkan setahun dua ini akan berlalu dan mereka melupakannya. Tetapi tidak, ia masih dinyanyikan setiap waktu.  Penat untuk menafikannya.
            Adira terdiam mendengar tengkingan ibu.  Dia mengetap bibir dan hanya memerhatikan ibunya berjalan menuju ke bilik air.   Sampai bila agaknya ibu nak berahsia daripadanya?  Adira mendengus kasar.  Dia kembali ke biliknya.  Tubuh kurusnya dibaringkan bersebelahan Ain yang lena tidurnya.  Wajah itu dipandang lama sehingga matanya terlelap.

Sabtu, 4 Januari 2020

APA DOSANYA? - BAB 2 -Asmah Hashim.


Biarlah Adira membencinya, asalkan peristiwa malang itu tidak diketahui oleh anak sulongnya.  Allah! Ujian yang terlalu berat bagiku, detik hati kecil Maria, tangisannya bergema di dalam hati. Jeritan hanya dia yang mendengarnya. Terlalu parah, namun dia pasrah. Biarlah seberat Gunung Kinabalu yang menghempap tubuhnya, rahsia tetapakan menjadi rahsia.
Bagaimana mungkin dia melupakan kejadian awal pagi itu yang telah meragut maruah dirinya.  Sebagai seorang janda, belaian lelaki tidak lagi diperlukan.  Pinangan yang ditolak rupanya menyimpan dendam kesumat yang akhirnya mencemarkan maruah dirinya.  Maruah diri yang dijaga setelah kematian suaminya bertahun-tahun yang lalu. Kelahiran Ain mengundang bencana dan petaka dalam hidupnya.  Kata-kata nista dan hinaan orang kampung begitu menghiris hatinya. Dia anak beranak dipulaukan.  Tidak ada seorang pun yang sudi mengambil tahu.  Ceritanya dianggap hanya rekaan seorang janda yang kehausan.  Allah!Kejam sungguh tuduhan mereka.
Apakah dia buta hati, tidak kenal dosa dan pahala? Kalau sudah menggila nafsu berahi, dia rela bernikah sahaja.  Tetapi, itu bukan tuntutan nafsu kalau bukan kerana dipaksa oleh seorang lelaki durjana yang tergamak memusnahkan hidupnya.Lahirlah Ain yang tidak berdosa.  Anak luar nikah yang dibenci dan tidak diterima akan kelahirannya. Maafkan aku wahai anak! Bisik hati kecil Maria dalam sendu yang tidak sudah.  Tidak rela mengaku Ain anaknya.  Tidak sanggup memandang wajah kecil itu.Maria tahu, anak itu tidak berdosa. Namun, hatinya begitu keras tidak mampu menerima kehadiran Ain.  Hendak dibuang terasa kasihan.  Apa dosa Ain?
Lima tahun Ain hidup tanpa kasih sayang seorang ibu, biarpun ibu itu sentiasa ada di hadapannya.  Sakit demam Ain hanya Adira yang menjaga.  Tidur Ain Bersama Adira, mandi Ain, Adira segala-galanya.  Maria membuka mulut, gumpalan kain segera dikeluarkan setelah tangisannya semakin dapat ditahan. Matanya berasa bengkak dan perit. Sampai bila harus dia hidup begini? Hidup tertekan apatah lagi melihat wajah Ain, semakin rimas dirasakannya.
Kejamkah dia?  Ya! Benar, bukan dosa Ain, bukan salah Ain. Tetapi, dia tetap tidak boleh terima kehadiran anak itu.  Hendak hantar ke mana?  Siapa yang sudi menjaganya?  Rumah anak-anak yatim?  Ah! Adira tentu melarang.  Maria dapat melihat kecintaan yang teramat sangat Adira terhadap adiknya itu. Itu bukan adik Adira!  Ain bukan sesiapa.  Ain bukan adik Adira!
Lelaki durjana itu sebaiknya mati!  Berkerut wajah Maria.  Air matanya tumpah lagi.  Dia menarik-narik cadar yang telah usang warnanya itu.  Mengelodak jiwanya  Kalaulah masa boleh beralih,sudah pasti digodok sahaja lelaki itu dengan pisau menoreh getah. Biar mati!Mati! Mati! Jeritnya dalam hati.
Sejak itu dia selalu berhati-hati. Parang panjang sering dibawa sebagai senjata untuk mempertahankan diri.  Tidak kira siapa yang menerpa ke arahnya. Akan dicincang sehingga lumat. Tidak dibiarkan dirinya menjadi mangsa kebuasan lelaki jahanam yang hanya tahu memusnahkan!  Dia sudah tidak peduli.  Maruah diri akan dipertahankan biarpun nyawa menjadi galang gantinya. Peduli dengan kata nista, pergi mampus dengan penghinaan.  Apa yang berlaku sekarang, sudah cukupmemeritkan.  Pisang tidak akan berbuah dua kali.  Tubuhnya tidak akan dibiarkan disentuh oleh tangan-tangan jahat yang durjana, kejam dan menjijikkan!  Ah! Kenapa semua ini berlaku kepada dirinya? 
 Tangisannya berlagu sayu,sempit dadanya.  Terasa sesak nafasnya.  Laju degupan jantungnya.  Tubuhnya bergetar menahan kemarahan.  Masih terbayang akan wajah setan yang bertopengkan manusia itu.  Meragut maruah dirinya dengan rakus, tanpa berperikemanusian biarpun  dia merayu minta dilepaskan.  Janda miskin yang teraniaya, itulah dirinya.  Hembusan nafasnya kasar.  Berapi-api dadanya menahan amarah yang amat sangat.  Kalaulah lelaki itu berada di hadapannya sekarang, sudah pasti digodoknya dengan parang panjang. Biar mampus!Mampus! Jerit Maria dalam hati.
Dia memeluk lutut, menangis dan  meraung perlahan, biarlah derita itu ditanggungnya sendiri.  Keluarga membuangnya kerana berasakan dia perempuan sundal yang menjalang kerana tiada suami.  Kejamnya tuduhan mereka!  Tidak kenalkah mereka dengan darah daging sendiri? Apakah dia manusia asing yang tidak perlu diberi simpati?  Adik beradik menjauhkan diri sebaik sahaja Ain lahir ke dunia ini. Langsung tidak dipedulilan oleh mereka.  Rayuan dan ceritanya hanya dianggap sandiwara untuk menutup kejahilan diri.  Ah! Dia bukan seperti itu.  Dia masih manusia serupa yang punya Tuhan, ada hati, ada maruah diri.
Maria mengetap bibir.  Jari jemari dikepal sekuat hati.  Wajah lelaki itu bermain-main dalam fikirannya.  Jantan tak guna! Jerit suara dalam hatinya. Aku benci kau! Aku benci kau! Ulang suara di hati berkali-kali. Ain! Kenapa kau tak mati saja! Semakin kuat suara itu bergema di hati Maria.
Tidak lagi kedengaran suara Ain menangis. Sunyi sepi.  Katil besi yang semakin dimamah usia berkeriuk bunyinya apabila Maria bergerak.  Daun pintu bilik yang tertutup rapat dibuka luas, terasa lemas berada di dalam bilik yang hanya mampu memuatkan sebuah katil dan almari baju dua pintu. Segala-galanya usang di dalam rumah itu.  Maria sebak. Sampai bila dia harus hidup begini? Keluhannya tidak terjawab.  Akhirnya Maria melelapkan mata. Letih memikirkan kelangsungan hidupnya sekeluarga.





Isnin, 3 Disember 2018

APAKAH DOSANYA? - BAB 1





Lakaran senyumannya bagaikan sekuntum mawar yang sedang kembang apabila disinari pancaran matahari pagi.  Gelak tawanya sesekali berderai memecah suasana pagi yang nyaman dan damai.  Tubuh kurusnya melintuk liuk ketika percikan air dari besen besar itu terpercik ke wajahnya.  Suara si kecil yang riang bermain air membuatkan jiwanya tenang.  Terasa bahagia melihat senyuman yang terukir dari bibir yang kecil itu.  Sesekali terdengar suara si kecil mengekek.  Terlalu seronok bermain air. 
Mentari pagi semakin terik pancarannya. Awan putih berarak lalu.  Bumi disirami warna keemasan.  Sesekali angin menyapa lembut, terasa kesejukannya.  Burung kelicap saling bekerjaran mencari makan di celahan rumput. Cuaca semakin meninggi, pakaian yang dibasuh sambil membiarkan si kecil bermain air sudah pun selesai.  Adira segera mengangkat baldi yang penuh berisi pakaian yang sudah siap dibasuh. Si kecil masih lagi bermain air.  Adira membiarkan saja adiknya itu bermain air.  Dia segera bergerak keluar rumah untuk menyidai pakaian.
            Ampaian terletak  tidak jauh dari pintu bilik air, hanya beberapa langkah sahaja.  Sambil menyidai pakaian, sambil menjengah ke dalam bilik air. Dia takut dan berhati-hati kalau-kalau adiknya itu tergelincir ke dalam besen. Malang tidak berbau.   Berwaspada demi keselamatan adik bongsunya itu.  Di belakang bilik air, ibu ada menanam pelbagai jenis pokok seperti daun pandan, pokok daun kari, serai, daun kunyit, halia dan lengkuas.  Semuanya diguna pakai untuk memasak.  Tidaklah lagi perlu dibeli.
            “Dahlah dik, nanti ibu balik, marah pula nampak adik berendam lama-lama dalam besen.  Esok, kita main lagi,”  pujuk Adira.  Dia mengangkat si kecil, dipeluk dan diselimutkan dengan tuala.
  Adira menuju ke ruang tengah rumah.  Si kecil didudukkan.  Dilap tubuh si kecil  yang basah.  Dicium berkali-kali, geram melihat wajah comel itu persis wajah ibu, detik hati kecil Adira.  Disarungkan pakaian yang bersih.  Dibedakkan, rambut disisir rapi.
“Kalaulah adik boleh berjalan, kan seronok,” ucap Adira.  Kaki adiknya yang mengecut dibahagian betis diusap perlahan-lahan dengan minyak kelapa yang dimasak sendiri.  Dia sering membayangkan bermain dengan adiknya itu.  Berlari, berkejar-kejaran. Sebak dadanya.  Air mata tidak mampu ditahan, gugur membasahi pipinya. 
“Kak!  Ibu suruh masak.  Ibu kata jangan main sangat dengan adik,” laung adik keduanya yang baru saja sampai di rumah,  Mungkin turut membantu ibu di kebun getah milik Haji Kassim agaknya.
“Ali dari mana?” tanya Adira, sekadar inginkan kepastian.
“Tolong ibu,” jawab Ali.
Adira berumur 15 tahun.  Ali pula berumur 14 tahun.  Mereka tiga beradik sahaja.  Ayah sudah lama meninggal. Ibulah yang menjaga dan membesarkan mereka adik beradik. Umur adik?  Adira beralih memandang wajah kecil yang tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa itu.  Tangannya mengusap pipi adik.  Dilonggokan mainan di hadapan adik.  Biar dia leka bermain.  Bolehlah Adira ke dapur menyediakan makanan tengahari.
 Setiap hari Sabtu dan Ahad terpaksalah dia ke dapur mengguruskan makan minum di rumah ini.  Jika hari bersekolah ibu akan masak siap-siap sebelum ke kebun.  Adik pula dibiarka  di rumah bersendirian. Kata ibu, tiada siapa yang sudi jaga adik yang cacat itu.  Sebenarnya, dia tidak sampai hati hendak tinggalkan adik sendirian.  Kalaulah berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini, bagaimana? Malang itukan tidak berbau.  Apabila diajukan kepada ibu tentang kebimbangannya tentang adik, ibu akan jawab, Allah ada.
Menurut doktor yang merawat adik, adik menghidapi penyakit polio.  Penyakit yang menyebabkan jangkitan virus polio dan merosakkan system saraf pusat boleh melumpuhkan badan dan menyebabkan kecacatan kekal.  Penyakit ini boleh dicegah kalau adik ambil vaksin polio ketika bayi.  Sekarang adik sudah berumur lima tahun.  Mungkin, sudah terlambat untuk adik mendapatkan suntikan vaksin itu.  Ia diambil ketika bayi berumur 2, 3, dan lima bulan. Kemudian setelah setahun setengah. Itu kata doktor kepadanya, ketika membawa adik ke klinik desa.  Ibu tidak mahu ambil tahu  Biarlah dia yang menguruskan adik.  Adira mengeluh.
Sewaktu lahir adik tidak pernah ibu bawa mendapatkan pelalian.  Ibu biarkan saja adik terus membesar.  Sekarang, adik berumur lima tahun.  Ibu lahiran adik pun di rumah dengan bidan kampung.  Ibu tak pernah bawa adik ke klinik atau hospital kalau adik demam atau sakit.  Ibu cuma beri adik minum air saja.  Kadang-kadang dia tidak faham dengan sikap ibu.  Bulan lepas, adik kena demam campak.  Ibu hanya beri air kelapa, selepas itu dialah yang menjaga adik.  Ibu hanya bertanyakan sudah sembuh ke belum. Semakin dia tidak faham.  Seolah-olah, ibu tidak sayangkan adik.  Tapi kenapa?  Adira bingung memikirkannya. 
“Kak! Menung apa lagi tu?” jerkah Ali yang masih bersandar di dinding rumah.  Melepaskan kelelahan membantu ibu tadi.
“Ya, ya!”  Adira mencebik.
“Ain, main sorang-sorang ya. Kakak nak masak.  Jangan nakal-nakal tau,” Adira mencium pipi Ain dan berlalu ke dapur.
Adira menyediakan lauk makan tengahari seadanya saja.  Tidak bermewah,, cukuplah untuk menjadi pengalas perut mereka berempat.  Ibu tidak pernah memilih makanan.  Ali juga begitu.  Ain usah cerita, asalkan tidak pedas, semua dijamahnya.
Sejam kemudian, masakan air tangan Adira sudah siap terhidang.  Dapur sudah pun dibersihkan.  Rumah kayu bertiang itu sudah lama menjadi tempat tinggal mereka.  Hanya bilik air berlapikkan tanah.  Hanya terdapat dua buah bilik. Satu bilik Adira dan Ain.  Satu lagi bilik ibu.  Ali tidur di ruang tamu. Rumah papan yang semakin mereput itu tetap menjadi tempat tinggal mereka berempat.  Hendak ke mana lagi?  Itulah rumah peninggalan arwah ayah. Dibina jauh dari kawasan penempatan penduduk kampung. 
 
Bunyi seperti benda jatuh membuatkan Adira terkejut. Disambung dengan suara tengkingan dan jerita Ain.  Adira segera menutup makanan yang terhidang dengan tudung saji dan terus ke ruang tamu.
“Ali!”  Baru saja hendak menjerkah adiknya itu, suaranya mati tiba-tiba.  Ibu!
“Ibu!” panggil Adira dengan dahi yang berkerut. 
“Sakit kaki aku ni terpijak longgokan mainan ni, kau biarkan dia bermain di luar ni, buat apa?  Kan aku dah pesan, main dalam bilik!” jerkah ibu. 
Adira mendekati Ain, diangkat adiknya yang menangis.   Kelihatan lebam pipi Ain, mungkin ibu menamparnya agak kuat.
“Ingat tak pesan ibu?”  soal Maria sebelum berlalu ke dalam bilik air.
Adira tidak menjawab, hanya memeluk Ain yang masih menangis  Diusap lembut belakang si adik, cuba memujuk.  Apa yang telah merasuk ibu sehingga tergamak menampar Ain dengan begitu sekali?  Bukan baru sekarang, tetapi sikap dingin ibu sejak adik bongsunya itu berada di dalam perut ibu  Ibu hanya menangis dan bersedih.  Tidak gembirakah ibu dengan kelahiran adik? 
Berbeza dengan Adira, sejak mengetahui ibu mengandung lagi dialah yang paling bahagia.  Sudah lama dia teringinkan seorang adik.  Adiknya Ali, sudah remaja. Tidak lagi seronok untuk bergurau senda. Adira membawa Ain masuk ke dalam bilik.  Tangisan Ain sudah berhenti, rupanya dia tertidur dalam pelukan Adira.  Setelah membaringkan Ain di atas katil, Adira keluar semula.
Ibu dan Ali sedang menikmati makan tengahari.  Wajah ibu selamba, hanya memandang Adira sekali imbas.  Adira mendekati meja makan, melihat ibu berselera makan, selera Adira mati ketika itu juga. 
“Kenapa ibu benci sangat dengan Ain?  Apa dosa dan salah Ain?”  soal Adira.  Dia ingin benar tahu, kenapa ada benci di hati ibu terhadap adik bongsunya itu.
“Kakak!” Ali menarik tangan Adira.  Ketika itu Adira berdiri hampir dengan Ali.
Adira menepis tangan Ali.
Maria memandang wajah anak sulongnya.  Dia hanya mencebik dan menyambung makannya.  Tidak teringin langsung menjawab pertanyaan  Adira.
“Ibu!” jerit Adira.  Matanya sudah berkaca.  Air mata sudah bergenang di kelopak mata.  Dadanya berombak, turun naik.  Sanubarinya bergetar menahan kesedihan  Dia inginkan jawapan.  Jawapan yang tentu sekali untuk memuaskan hatinya.  Sudah terlalu lama dia memendam rasa melihat sahaja kekasaran ibu terhadap Ain.  Kenapa ibu membisu?  Kenapa ibu tidak mahu merungkai persoalan yang selama ini bermain di benaknya.  Kenapa ibu suka membisu setiap kali pertanyaan itu terlahir dari mulutnya?  Adira mendengus kasar. Ibu sudah  pun selesai makan dan terus masuk ke dalam biliknya.  Dibiarkan lauk dan pinggan kotor di atas meja. Ali mencebik.  Alilah yang mengemas meja makan.  Adira mengesat air mata yang sudah pun mengalir keluar.  Ibu kejam! Detik hati kecilnya.