Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 31 Disember 2017

IKATAN KASIH - EPILOG

EPILOG

Di sebuah hospital…

    Keadaan tempat itu sunyi sepi.  Hanya kedengaran bunyi troli yang bergerak keluar masuk wad ICU itu. Detikan mesin penyambung hayat untuk pesakit yang masih koma itu  jelas di pendengaran mereka yang berada di wad tersebut. Di situlah bermastautin sekujur tubuh kaku tidak bergerak-gerak sejak berbulan yang lalu. Tidur bagaikan tidak mahu bangun-bangun lagi. Mata tertutup seperti tidak mahu dibuka lagi. Mungkin selesa  berkeadaan seperti itu.   

      Wayar berselirat di seluruh tubuh untuk memberinya nadi bagi meneruskan hidup. Suara azan yang berkumadang di luar bilik itu masuk menerja ke cuping telinganya.  Tangannya bergerak-gerak. Mata yang tertutup kelihatan mengalirkan air mata. 

    “Encik Zaheer! Encik dengar suara saya?” tanya jururawat itu, apabila melihat tangan pesakit itu bergerak-gerak.

“Encik Zaheer! Encik Zaheer Imran. Dengar suara saya tak?” panggil jururawat itu apabila melihat bebola mata lelaki itu meligat di balik kelopak.

    “Doktor! Doktor!” laung jururawat itu lalu bergegas keluar. 
       
                                             TAMAT


   

IKATAN KASIH - BAB 52



Aida tersenyum riang apabila Ramadan sudi menghadirkan diri ke majlis pernikahan dan kenduri Rabeta. Riyana dibawa bersama. Itulah tujuan Aida, dia ingin anak tirinya mengetahui siapa ibu kandungnya yang sebenar. 
            Kamarul dan Jasmina menitiskan air mata gembira. Sewaktu mereka hendak bertolak, Ramadan terpacul di muka pintu dengan berbaju Melayu siap bersampin. Mereka memeluk Ramadan dengan linangan air mata.  Itulah harapan mereka selama ini. 
            Aida yang melihat turut menangis sayu. ALLAH telah membuka pintu hati suaminya untuk tidak lagi menyimpan dendam terhadap sepupunya itu.  Dia juga berharap kedua orang mertuanya boleh menerima kehadiran Rabeta kembali.
            “Terima kasih bang!” ucap Aida, air mata di pipi dilap dengan jarinya.
            “Maafkan abang,” kata Ramadan pula.
Dia harus bersemuka dengan bekas isterinya. Meminta maaf diatas keterlanjurannya selama ini. Dia sendiri menahan air mata daripada mengalir.  Terasa hiba  benar hatinya di pagi itu.  Semalaman dia berfikir. Sudah pasti kedua orang tuanya akan meleterinya jika mendapat tahu. Kali ini dia tidak akan berdiam diri lagi. Sudah sampai masanya dia membela keluarganya. 
“Eh…kamu semua nak ke mana ni?” Terkedek-kedek Hajah Aminah keluar dari kereta. Pelik dia melihat keluarga itu bersiap bagai seperti hendak berhari-raya lagaknya.
“Ha’ah. Kamu nak ke mana ni Ramadan? Makan kenduri VIP mana? Tak beritahu mak dengan ayah pun.” Haji Mansor mendekati. Cucu-cucunya bersilih ganti menyalami datuk dan nenek mereka. Aida, Jasmina dan Kamarul saling berpandangan. Mereka tersenyum.
“Kami nak pergi makan kenduri kahwin Rabeta mak,” jawab Aida berani. Dikerling suaminya. Tidak mahu menjawab, biar dia yang tolong jawabkan.
“Apa? Kamu dah berbaik dengan pembunuh kamu tu? Kamu dah lupa ke dengan apa yang dia cuba buat? Kamu tak tahu malu? Jilat ludah sendiri?” Suara Hajah Aminah memecah sunyi.
“Mak…ayah. Rabeta tak bersalah. Nantilah…nanti saya ceritakan. Kami semua dah lambat ni. Kalau mak dengan ayah nak ikut, jomlah.” Ramadan bersuara tenang. Dia mara menuju ke garaj.
“Ramadan? Kau ni dah kenapa? Kamarul? Jasmina? Aida…”
“Kami pergi dulu mak, abah.” Aida meminta diri lantas memimpin tangan anak-anaknya. Hajah Aminah histeria. Terjerit-jerit di anjung rumah.
            “Terima kasih ayah!” ucap pula Jasmina dan Kamarul serentak sebelum masuk ke dalam kereta. Ramadan mengangguk-angguk.
            Riyana masih terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang berlaku. Diambil dari asrama hanya semata-mata hendak menghadiri majlis perkahwinan seseorang yang dia tidak kenali. Namun dalam hati terasa debarnya, dia sendiri tidak tahu mengapa. 
***
            Tiada kata yang mampu diucapkan usai dirinya bergelar isteri. Dengan sekali lafaz dia sah menjadi isteri Fakhrul. Malah diraikan oleh kawan-kawan sepasukan suaminya itu dengan majlis swordbearer. Simbolik bagi seorang anggota pakaian seragam berpangkat, tidak kira sama ada anggota polis atau pun tentera. Satu kenangan yang indah dan menarik bagi dirinya.  Diketuai oleh Joe dan Rudi. 
            Paling membuatkan air matanya mengalir laju adalah kehadiran ahli keluarganya. Haji Ismail menjadi wali pernikahannya. Emaknya pula bersama-sama dengan Zara, Redza, Nazatul dan Arni bertindak sebagai penyambut tetamu merangkap tuan rumah.
            Buah tangan hasil usaha sama Hajah Kemboja dan penghuni pusat itu menjadi cenderahati kepada para tetamu yang hadir. Perkahwinannya ditaja sepenuhnya oleh Tan Sri Jaafar. Tidak dapat ditolak setelah didesak berkali-kali oleh lelaki budiman itu.  Hanya mampu mengucapkan rasa syukur kepada ILAHI dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya. 
Laman RIKA dihias indah bagaikan sebuah taman  bunga dengan beraneka jenis bunga menjadi hiasan di pelamin dan di persekitaran khemah.  Nampak berseri dan indah. Lagu-lagu qasidah menyambut kehadiran tetamu menjamu selera.
            Rabeta masih menunggu kehadiran anak-anaknya. Gelisah kerana sudah separuh hari majlis berjalan, kelibat mereka tidak juga kelihatan. Ramadan buat hal lagi agaknya. Hatinya sudah diulit pilu. Soalan itu berlegar di fikirannya.
            “Mama!” jerit Jasmina dari kejauhan. Dia berlari-lari anak mendekati Rabeta dan Fakhrul yang sibuk melayan para tetamu yang datang. 
            “Angah, along…”  Rabeta memeluk mereka erat.  Hilang rasa risau di hati. Terbit air mata tanpa dipaksa. Kedua-dua beradik mengangkat tabik hormat kepada Fakhrul. Tersenyum lebar pengantin lelaki.  Sudah dapat anak yang besar panjang, tidak perlu susah payah bangun malam membancuh susu. Kamarul memeluk  Fakhrul.
            “Jaga mama baik-baik ya?” bisik Kamarul.
            “Insya-ALLAH macam nyawa ayah sendiri,” balas Fakhrul. Isteri di sebelah dijeling manja.
            “Eta!” sapa Aida.
            “Aida!” Hampir menjerit Rabeta. Kali ini dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir laju. Mereka menangis bagaikan anak kecil dan berpelukan.
            “Maafkan aku! Maafkan aku!”
            “Kau tak pernah buat salah dengan aku, Aida.”  Berkali-kali dia mengelap air matanya yang membasahi pipinya. Habis solekan di mata dan wajahnya. Fakhrul terpaksa meminta tisu untuk mengelap air mata isterinya yang mengalir laju.
            “Aku bawa seorang lagi anak kau! Riyana… ini mama kandung Rin…” Aida menarik tangan Riyana hampir dengannya.
            “Kami pernah berjumpa.” Rabeta tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya kelu. Dalam hati dia mengucapkan syukur kepada ILAHI. Ingin dipersembahkan sujud syukur di kala itu juga.
“Mama!” panggil Riyana.
            Rabeta terus menarik Riyana dalam pelukannya. 
            Semua tetamu berhenti menjamah makanan yang ada di hadapan mata  Melihat adegan itu benar-benar menyentuh hati mereka.  Ada yang tidak segan silu turut menangis sama. Bagaikan dapat merasakan, apa yang sedang dirasakan oleh Rabeta dan keluarganya. 
            “Eta!” sapa Ramadan. Dia menunduk malu, namun terpaksa juga berhadapan dengan Rabeta. Dibuang jauh-jauh rasa ego dan sombongnya itu. Dia tahu, terlalu banyak kesalahan yang telah dilakukan terhadap bekas isterinya itu. Kalau Rabeta tidak mahu memaafkannya pun, dia tidak akan terasa hati. Dia berhak menerimanya.
            “Ramadan!” Hanya itu yang terlahir di bibirnya. Wajah lelaki yang pernah disayangi dan dalam masa yang sama pernah dibenci. Ayah kepada anak-anaknya. Dia mengeluh keras. Dia menoleh ke arah Aida. 
            “Terima kasih kerana sudi datang,” ucap Fakhrul meredakan gejolak hati Rabeta ketika itu.  Tangan Rabeta digenggam erat. Dia melakarkan senyuman dan mengenyitkan mata.
            “Maafkan abang,” kata Ramadan.
            “Jemput menjamu selera ya Ramadan,”   pelawa Fakhrul setelah melihat Rabeta terbeku. Hanya menangis dan menunduk sahaja. Keadaan sedih menyelubungi laman RIKA. Bagaikan pertemuan jejak kasih sahaja.
            “Mama, janganlah menangis. Buruklah pengantin menangis.” Jasmina mengelap air mata yang masih berbaki di pipi Rabeta.
            “Yalah mama, nanti Ayah Fakhrul lari,” usik Kamarul.
            “Mama cantik,” puji Riyana.
            Semakin kuat esakan Kehadiran para tetamu yang pernah dan masih dekat di hatinya membuatkan dia menangis gembira. Majlis berlangsung dalam keadaan santai, sedih, dan kemudian gembira.  Terdengar kembali gelak ketawa mereka. 
            “Awak bahagia atau sedih?” tanya Fakhrul kepada Rabeta yang kini sudah sah menjadi isterinya.  Ahli keluarganya sudah balik. Yang tinggal ahli keluarga Rabeta dan penghuni pusat itu yang rata-rata memang tinggal di situ. Usai makan mereka sama-sama mengemas  kawasan tersebut.
            “Kedua-duanya,” jawab Rabeta sambil menunduk. 
            “Semoga saya mampu membahagiakan awak,” tutur Fakhrul lembut.
            “Semoga kita saling mampu membahagiakan antara satu sama lain,” jawab Rabeta lembut.  Mereka senyum penuh bahagia.
            ***
Hilang kewarasan Ramadan, dia menumbuk Zaki bertubi-tubi. Rasa marah  menebal di hati.  Lelaki itu telah menghancurkan keluarganya. Lelaki itu telah membunuh kebahagian keluarganya. Tidak sepatutnya dia dilepaskan.  Rasa marah mengamuk di hati.
            “Kenapa kau lari? Kenapa kau tak serah diri?” jerit Ramadan. Tangan kanannya mencekak leher baju Melayu Zaki. 
            Zaki tidak melawan. Dia reda. Dia yang mendekati Ramadan setelah mengetahui lelaki itu juga hadir di majlis itu. Niat di hati hendak meminta maaf biarpun dilarang oleh  Rabeta sejak awal lagi.  Ramadan seperti terkejut ketika diberitahu siapa dirinya, terus dia ditarik ke kawasan belakang bangunan asrama ini. 
            “Maafkan saya bang!” sarut suara Zaki. Lembik dikerjakan oleh Ramadan. Tersandar di dinding batu yang baru dicat.
            “Ramadan! Kau buat apa, nak?” jerit Hajah Kamalia yang terlihat dua orang lelaki seperti sedang bergaduh di belakang asrama pusat itu. Kebetulan dia lalu di situ untuk mengambil beg tangannya yang diletakkan di dalam bangunan asrama.
            “Lelaki ini harus diajar, mak!” kata Ramadan garang.
            “Sudahlah! Tak guna hukum dia. Perkara dah berlaku, Ramadan! Kalau mati budak tu, siapa yang akan susah!” nasihat Hajah Kamalia.
            “Biarkan mak cik! Saya bersalah! Saya berhak menerima hukuman ini!” kata Zaki dalam payah. Bibirnya membengkak. Gusinya terasa berlapik-lapik tebalnya. Dia sudah tidak berdaya untuk bergerak lagi. Dia tidak akan melawan.
            “Sudahlah! Cukuplah bergaduh tu!” jerit Hajah Kamalia. Dia menolak tangan Ramadan yang masih berada di tengkuk Zaki. Ditariknya Zaki ke belakangnya, melindungi lelaki itu.
            “Biar saya habiskan nyawanya!” tempik Ramadan lagi. 
            “Cukup Ramadan! Mengucap! Mengucap!”  jerkah Hajah Kamalia. Satu tamparan hinggap di pipi Ramadan.
            Ramadan beristighfar. Dia terduduk di tanah, menangis dan menangis. Menangisi kebodohannya. 
            “Sabar Ramadan! Bawa mengucap, nak!” pujuk Hajah Kamalia.
            “Maafkan saya bang!” kata Zaki melolot dan tercangkung di dinding bangunan.
            “Saya tidak pernah berhenti menyayangi Eta mak! Dari dulu, kini dan sekarang!” luah Ramadan.
            “Mak tahu!” Hajah Kamalia mengusap belakang menantunya lembut. Bagaimana mungkin perasaan yang dipupuk bertahun-tahun, hilang begitu sahaja.
            “Maafkan Ramadan, mak!” Ramadan memeluk Hajah Kamalia.
            “Kamu berdua sudah ada kehidupan masing-masing. Terimalah hakikat jodoh dah tak ada. Doakan kebahagian Rabeta. Mak tidak akan  berhenti berdoa untuk kau dan Aida,” nasihat Hajah Kamalia lagi.
            “Bang!” Zaki merangkak payah. Menghulurkan tangan kepada Ramadan.
            “Abang maafkan kau!” Ramadan menunduk dan menangis lagi. Dia tidak pernah berhenti mencintai Rabeta. Dalam hati dia yakin Rabeta tidak bersalah tetapi ego mengatasi segala. Ditambah dengan desakan keluarga. Dia hilang segala-galanya. 
            “Ramadan, doakanlah kebahagian Eta, ya?” pujuk Hajah Kamalia. Cuba menyelami perasaan menantunya itu. 
            “Insya-ALLAH, mak!” Ramadan bingkas bangun. Air mata diseka dengan tuala kecil yang berada di tangannya. Dia berdiri tegak. 
            “Jom, nanti orang cari kita pula,” ajak Hajah Kamalia.
             “Zaki?” Arni mendekati Zaki yang dipapah oleh Ramadan duduk di kerusi di bawah khemah yang sudah mula  dikemas oleh penghuni pusat itu.
            “Kenapa muka berdarah dan bengkak ni?” tanya Zara kehairanan.
            “Ayah!”  Jasmina mendekati, melihat ayahnya kepenatan membuatkan dia syak, ayahnya telah membelasah lelaki itu.
            “Saya pukul dia!” Ramadan berterus-terang.
            “Apa?” Arni dan Zara terkejut.
            “Kenapa ayah?”  soal Jasmina.
            “Tak apa… tak apa… tanda dia maafkan saya!” jelas Zaki.
            Ramadan ketawa. Zaki turut tersenyum.
            “Kenapa ni?” Rabeta mendekati. Tadi dia sibuk berbual dengan Aida. Banyak perkara yang ingin mererka kongsikan bersama. Bagaikan tidak terkumpul cerita 17 tahun dahulu.  Semuanya hendak diketahui hari itu juga. 
            “Kau pukul Zaki?” tanya Rabeta, matanya memandang tepat ke wajah bekas suaminya.
            “Kami berkenalan,” kata Ramadan lalu menepuk belakang Zaki. Mereka ketawa serentak.
            Hajah Kamalia menggeleng laju. Macam-macam budak-budak ini, detik hati kecilnya.
            “Kenapa Eta?” tanya Fakhrul pula.  Semua berkumpul di hadapan Zaki dan Ramadan.
            “Abang kenapa?” Aida  membersihkan muka Ramadan yang dibasahi peluh.
            “Gaduh-gaduh sayang dengan budak ni!’ Penatlah Ramadan menjawab soalan yang sama daripada orang yang berbeza.
            “Gaduh-gaduh sayang, hanya untuk orang yang dah  berkahwin saja, ayah!” Kamarul menepuk bahu Ramadan. Mereka ketawa serentak.
            “Sekali lagi saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh keluarga Abang Ramadan dan Kak Eta. Saya tahu kesalahan saya besar dan tidak layak saya dimaafkan tanpa mendapat apa-apa hukuman. Bengkak di mata saya menandakan saya sudah pun menjalani hukuman yang sepatutnya. Bagi saya ini kecil sahaja, jika hendak dibandingkan dengan dosa yang telah saya lakukan kepada keluarga ini,” ucap Zaki. Kemudiannya memandang Rabeta dan Ramadan, silih berganti “Terima kasih Kak Eta, Abang Ramadan kerana sudi memaafkan saya.” Zaki memeluk Ramadan.
            “Sudahlah! Hari bahagia dan hari yang baik, asyik menangis saja dari tadi,” ujar Nazatul. Masa bersedih sudah berlalu. Tiba saat mereka menikmati bahagia pula. Sama sepertinya. Dia benar-benar bahagia melihat kemesraan yang terjalin dalam keluarga RIKA. 
            “Jaga kawan saya baik-baik ya,” kata Ramadan kepada Fakhrul yang kini sudah sah menjadi suami kepada bekas isterinya. 
            “Terima kasih, dan Insya-ALLAH. Saya tidak akan sia-siakan dia!” janji Fakhrul.
Itulah azamnya, membahagiakan Rabeta adalah misi terkini hidupnya.
            “Apa pula yang dibisikkan oleh abang-abang ni?” usik Rabeta. Dia memeluk lengan Fakhrul.       
“Rahsia orang lelaki!”  sampuk Kamarul yang duduk tidak jauh dari situ.
            “Amboi! Sudah ada PA ya bang?” Rabeta menjeling manja ke arah anak bujangnya yang menyampuk tadi. Matanya mengerling Zara, anak sahabat baiknya. Kalau ada jodoh mereka, dia tidak akan menghalang.   



Sabtu, 30 Disember 2017

IKATAN KASIH - BAB 51



Nazatul duduk memandang wajah lelaki yang pernah menjadi suaminya itu dengan hati yang penuh simpati. Tiada siapa yang datang melawat atau ingin mengambil tahu tentang lelaki itu. Tubuhnya kaku, mulutnya bisu, hanya kedengaran degupan jantungnya yang  menggunakan mesin jangkahayat. 
            “Kau lihatlah diri kau sekarang, Zaheer.  Apa yang boleh kau buat? Tiada seorang pun mendoakan agar kau selamat, malah mereka berharap kau mati.  Pernah tak kau fikir, satu hari nanti kau akan jadi seperti ini? Bertaubatlah! Kembali ke  jalan yang benar!”  Nazatul menyeka air  mata  yang mengalir. 
Bukan dia sedih dengan apa yang berlaku kepada bekas suaminya itu, tetapi dia kesal kerana  lelaki itu memilih kehidupan yang salah.
            Nazatul membetulkan duduknya. Dia bersilang kaki. Tangannya diletakkan di lutut.  Memerhati dengan jiwa yang kosong.  Tiada perasaan sayang terhadap lelaki itu. Tiada rasa cinta di hatinya.  Semua beku, kosong dan tidak berjiwa.
            “Zara kirim salam. Katanya, dalam hatinya, kau tetap ayahnya. Baikkan anak kau? Anak yang kau pernah nak jual. Kau memang bukan manusia! Kau dengar tak Zaheer!”
***
Aida tercari-cari ayat yang sesuai untuk meminta izin daripada suaminya bagi menghadiri majlis pernikahan sepupunya Rabeta, beberapa hari lagi. Dia ingin benar turut serta meraikan hari bersejarah itu. Tidak tergamak untuk menipu. Kamarul dan Jasmina juga tidak berani meminta izin untuk dirinya. Terpaksalah dia bergantung kepada dirinya sendiri.
            Kad undangan sengaja diletakkan di atas meja. Biar dibaca suaminya. Manalah tahu terbuka pintu hati suaminya untuk turut serta, jika tidak pun mengizinkan dia pergi, sudah cukup baginya.
            “Awak ni dah kenapa? Macam ayam berak kapur saja. Gelisah tak tentu pasal! Apa  masalahnya?” Ramadan mencuri pandang. Mata Aida asyik memandang ke arahnya.
            “Erk… saya nak cakap sikit ni. Nak minta kebenaran awak pergi majlis perkahwinan sepupu saya. Boleh tak?” tutur Aida perlahan  tetap jelas.
            “Sepupu?  Anak siapa?  Mak ngah? Redza? Anak Pak Lang, baharu sajakan kendurinya? Pak tam dan mak uda, anak-anak masih belajar, sepupu yang mana satu?” soal  Ramadan. Suratkhabar di tangan diletakkan di atas meja. Matanya membulat memandang wajah Aida yang duduk berhadapan dengannya.
            “Anak mak ngahlah. Tengoklah kad depan awak tu” suruh Aida.
            “Anak mak angah?” Ramadan sedikit terkejut. 
            “Redza?”  tanya Ramadan.
             Laju  gelenggan Aida.
            “Eta?  Rabeta?” soal Ramadan.
            “Anak mak angah dua orang saja. Kalau bukan Redza, sudah tentulah seorang lagi!” Aida mencebik. Buat-buat terkejut. Sepupunya itu tak adalah buruk benar. Ingat tak laku ke? 
            “Tak boleh!” Ramadan melarang. Dia tidak mahu ahli keluarganya berbaik dengan bekas isterinya itu.   
            “Kenapa?”  Aida sudah mula panas hati.
            “Awak tahu sebabnya! Tak perlu saya terangkan berkali-kali,”  jawab Ramadan.
            “Awak ni kenapa? Eta tu sepupu saya! Emak dan ayah saya pergi, kita saja yang tak pergi! Pak lang, pak tam dan mak su saya pun pergi. Sepupu sepapat saya semuanya pergi. Kenapa kita tak boleh pergi?” soal Aida geram.
            “Awak pula kenapa? Dah lupa siapa yang nak bunuh saya?”
            “Itu sajalah ayat yang awak ulang! Tolonglah bang. Benarkan saya pergi,” rayu Aida. Dia tidak mahu melepaskan peluang melihat hari bersejarah Rabeta. Dia ingin menjadi sebahagian daripada insan yang memeriahkan majlis itu.
            “Tak boleh, tak bolehlah!” jerkah Ramadan.
            “Abang! Eta tak bersalah, tahu tak? Bukan dia yang tikam awak! Orang itu sudah pun mengaku. Eta berhati mulia, tidak mahu mendakwa lelaki itu. Dia lepaskan lelaki tu.”
“Mana awak tahu ni?” Ramadan tambah menjerkah.
“Saya sendiri terkejut mendapat tahu hal ini.  Mak ngah pesan jangan beritahu abang. Eta juga pesan kepada mak ngah jangan beritahu keluarga awak! Saya tahu kenapa dia tidak mahu awak tahu hal ini!”  Aida mengetap bibir.
            “Awak jangan nak buat cerita!” Ramadan tidak percaya.
            “Kalau awak tak percaya, apa yang boleh saya buat? Kalau awak nak jumpa lelaki tu, ikut saya. Awak akan jumpa dia di situ!” cerita Aida. Dia terpaksa memberitahu suaminya.
Fikirnya, hanya engan cara ini sahajalah dia berpeluang ke majlis tersebut. Sekaligus membersihkan nama sepupunya di kalangan keluarga Ramadan.
            “Saya juga tahu kenapa Eta tak nak beritahu awak. Dia kecewa sangat dengan awak. Sepatutnya awak kenal hati budinya. Kita kenal sejak kecil, bang.  Awak bercinta dengan dia sejak sekolah! Awak boleh bela dia. Tapi tidak… awak biarkan dia terhukum atas kesalahan yang dia tidak lakukan! Itu sebab Eta rela dia dibenci oleh awak selamanya.”
Aida mengeluh berat. Bukan ada niat untuk membuatkan suaminya rasa bersalah. Namun, itulah hakikatnya.
            “Saya tetap akan pergi, bang. Biarpun abang melarang.  Eta sepupu saya. Banyak jasanya terhadap saya. Mana mungkin saya tidak hadir sedangkan seluruh ahli keluarga saya berada di situ. Kita semua dijemput, terserah abang sama ada nak pergi atau tidak.  Anak-anak saya bawa sama,” kata Aida tegas.  Tidak perlu meminta izin kalau dalam diri hanya ada niat hendak memutuskan silaturahim sesama saudara.
            Ramadan terdiam. Tidak tahu harus berkata apa. Kalaulah benar bekas isterinya tidak bersalah, Dialah manusia pendosa yang telah menuduh tanpa usul periksa. Fikiranya bercelaru. Siapakah lelaki itu? Rabeta menjadi mangsa pula. Wajah murah Aida singgah di matanya. Dia mengeluh keras.
Isterinya itu telah nekad. Dia menyandar di kerusi laman.  Resah di hati, galau di jiwa.  Tiada siapa yang mampu memberi jawapan kepada persoalan yang sedang bermain di benaknya. 
            Cinta sejak di bangku sekolah melarat hingga ke jinjang pelamin. Selama mengenali Rabeta, gadis itu seorang yang penyayang, lembut dan penuh wawasan. Rumah tangga mereka bahagia bersama tiga orang cahaya mata hinggalah datang cerita duka yang meranapkan semuanya.
Hancur lebur istana cinta yang mereka bina.  Yang terlahir selepas itu hanyalah duka, kecewa dan hampa. Desakan keluarga membuatkan dia serba-salah dan bersetuju apa sahaja asalkan orang yang ingin membunuhnya terhukum, hingga dia tidak mampu mencerna perasaan Rabeta terhadapnya selama ini. Dia buta rasa, buta hati dan hilang kepercayaan kepada diri sendiri. 
            Jika benar seperti yang diceritakan Aida, dialah manusia yang paling hancur hatinya. Kasihnya terhadap Rabeta tidak pernah hilang. Rasa sayang yang masih tersimpan terhadap  bekas isterinya telah membuatkan dia membenci dirinya sendiri.
Benarlah kata Aida. Selama ini, dia bukan marahkan Rabeta, tetapi dirinya sendiri! Dia tidak dapat melindungi bekas isterinya itu. Dia tidak dapat  menghalang mulut kedua orang tuanya daripada terus menghina bekas isterinya itu.
Dia membiarkan mereka berbuat sesuka hati memburukkan keluarga bekas mertuanya. Dia manusia durjana yang busuk hati. Rasa bersalah menggunung hingga kini. Dia turut sama bersekongkol dengan ahli keluarganya memalukan Rabeta. Langsung tidak mempertahankan maruah bekas isterinya itu. 
            Rabeta, ibu kepada anak-anaknya. Jika tercemar nama bekas isterinya, bermakna tercemar jugalah nama anak-anaknya.  Dia sedar perkara itu, tetapi dia diamkan sahaja. Dia mengizinkan keluarganya berbuat apa sahaja. Kononnya, untuk mengembalikan maruah diri mereka. Sedangkan dia telah mengeronyok maruah dirinya sendiri. 
Kalaulah dia perempuan, sudah tentu dia akan meraung di situ juga. Kalaulah dia tidak mengikut perasaan, sudah pasti Rabeta masih bersama dengannya. Dia terlalu mengikut kata hati dan perasaan marah yang bermain di benaknya. Kini, dia akan kehilangan Rabeta selama-lamanya.