Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label NOVEL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NOVEL. Papar semua catatan

Khamis, 26 Disember 2013

SUAMIKU, DI MANAKAH KAU? 3







DI MANAKAH SUAMIKU 3


                Mastura memandang sepi kenderaan milik suaminya berlalu meninggalkan laman rumah emaknya.  Mak Yam di sisi hanya menepuk bahu anaknya tanpa berkata apa-apa.  Dia tidak mahu  memaksa anaknya.  Biarlah mereka sama-sama membuat keputusan sendiri.  Maria pula masih menangis kerana ingin mengikut ayahnya.  Mastura menarik tangan Maria  dan cuba memujuk.
                “Nanti ayah baliklah, kejap lagi kita ke kedai, beli ais krim.  Maria suka ais krimkan?”  pujuk  Mastura.  Hatinya masih marah.  Masih geram, apa yang terjadi benar-benar mencabar kesabarannya.  Dia tahu benar sikap ibu mertuanya.  Tidak berkenan dia menjadi menantu.  Sejak awal lagi hubungan  dia dan suaminya tidak disukai.  Namun mereka degil.  Tetap juga ingin berkahwin.  Natijahnya sehingga ke hari ini kehadirannya dengan Maria tidak direstui.  Dia redha.  Buat apa paksa orang yang tidak menyukai dirinya.  Biarlah.
                “Kenapa tak ikut Hassan balik tadi?”  tanya Mak Yam.  Mastura memandang wajah emaknya.
                “Balik ke mana mak?  Rumah kamikan sudah  tidak ada?”  Mastura sebak.  Sudahlah kehilangan rumah dan harta benda, kini dia kehilangan suami pula.  Musibah yang bertimpa-timpa. Dia tidak boleh menyerah kalah.  Dia perlu bersabar dengan apa yang terjadi.  Semoga ada hikmah disebalik kejadian yang terjadi kepadanya.
                “Jadi, apa cadangan, Mas?” Mak Yam mengusap lembut rambut Maria yang sudahpun lena di pangkuan Mastura.
                “Masih tidak fikir apa-apa lagi mak.  Otak ini dah kosong, tak tahu nak fikir apa lagi.  Masalah yang datang  buat fikiran Mas buntu,” keluh Mastura.  Mak Yam mengeluh.
                “Sabarlah Mas,” hanya itu sahaja yang mampu dia perkatakan. 
                Mastura  mengeluh kesal.  Kalaulah suaminya menolak untuk berkahwin lagi, apalah salahnya.  Selama inipun ibu mertuanya tidak pernah suka kepadanya. Ada dia kisah.  Selama mereka berkahwin tidak pernah sekalipun dia pulang menjenguk ibu mertuanya.  Amaran orangtua itu sendiri.  Jijik benar dirinya.  Maria, anaknya langsung tidak pernah  tengok neneknya di sebelah suami.  Hanya Maria tahu Mak Yam sahajalah neneknya.  Mastura mengesat air mata yang mula menitis di pipinya.
                Dia sedar siapa dirinya, gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi.  Dalam zaman moden ini masih ada lagi manusia yang menilai darjat dan pangkat.  Tidak tahukah mereka yang harta dan kekayaan itu boleh dicari.  Apa yang penting usaha.  Kalau setakat mengaku kaya tetapi harta kepunyaan orangtua buat apa?   Walaupun dia tidak berpelajaran namun fikirannya tidaklah sempit seperti ibu mertuanya.  Menilai orang hanya pada harta dan kedudukan. 
                Dia benar-benar kecewa dengan suaminya.  Mudah sahaja menerima cadangan ibu mertuanya.  Sanggup berkahwin lagi atas alasan supaya ibu mertuanya menerima kehadirannya.  Benarkah?  Sampai sekarang tiada langsung orangtua  itu menelefon bertanyakan khabarnya.  Terimakah itu?  Sengaja ingin memisahkan dia dan suaminya.  Lelaki, kata mulut tidak, dalam hati mahu.  Mastura mendengus kasar.  Sebal rasa di hati.  Geram rasa di jiwa.  Ketenangannya dirampas  dengan begitu mudah sahaja.  Semuanya kerana suaminya yang gatal  ingin bernikah lagi.  Bila disuakan oleh ibu mertuanya terus  setuju.  Dasar lelaki, tidak tahu diuntung.  Mastura mengomel sendiri.
                Hassan memandu keretanya  dengan hati yang kecewa.  Tiada beban cari beban.  Terasa menyesal pula berkahwin lagi.  Nasi sudah menjadi bubur, hendak diapakan lagi. Isteri muda sudahpun menunggu di rumah mamanya.  Perjalanan dari Klang ke Kelantan bukannya dekat.  Hendak pulang ke rumahnya, rumahnya telah hangus dijilat api.  Hendak menumpang di rumah mertuanya, Mastura sedang  dalam keadaan marah.  Tidak guna tunggu jika orang tidak suka.  Biarlah Mastura bertenang dahulu. 
                Dia keluar dari rumah emak mertuanya,  sudah  lewat petang.  Hampir tengah malam baharulah dia sampai di rumah ibunya.  Hassan terbayangkan wajah Mastura yang lesu dan marah.  Tiada langsung senyuman di bibir isterinya.  Dia tahu dia bersalah.  Tidak mahukah Mastura diterima oleh mamanya.  Maria diakui cucunya.  Sukar sangatkah hendak berkongsi kasih dengan perempuan lain?  Orang perempuan selalu tamak.  Hassan mendengus sendiri.
                Susah betul hendak menjaga hati seorang perempuan.  Ada sahaja rajuknya.  Kalau tidak kerana hal besar, hal kecil-kecilpun mereka ambil kira.    Entah berapa lama Mastura hendak merajuk.  Entah berapa lama Mastura harus ambil masa  untuk bertenang dan menerima  perkahwinan keduanya.  Biarlah… biar berapa lamapun.  Mastura berhak.  Jangan sampai mereka berpisah sudahlah.
                Bunyi deringan telefon, Hassan terus menjawabnya.  Suara perempuan disebalik sana amat dikenalinya.
                “Ada apa ibu?”
                “Kau di mana?”
                “Dalam perjalanan balik ibu.”
                “Kau pergi jumpa Mastura?”  suara mamanya kedengaran agak kasar.
                “Yalah ibu.  Dia kan isteri Hassan juga.”
                “Kalau aku tidak suka, sampai bilapun aku tak suka!”
                “Ibu!  Bukankah ibu sudah berjanji akan terima Mastura sebagai menantu, jika Hassan kahwin dengan pilihan ibu!”  Hassan benar-benar terkejut.  Ibunya sanggup menipu dirinya.
                “Kalau ibu tak buat seperti itu, adakah Hassan akan setuju?” 
                “Sampai hati ibu!”  Hassan sedih mendengar kata-kata ibunya.
                “Kau lupakan sahaja isteri kau itu.  Baik kau layan isteri baharu kau yang setia menunggu di rumah ibu ini.”
                “Ibu kejam! Kejam!”  Hassan mematikan panggilan tersebut.  Dia menghentak-hentak stereng kereta.  Geramnya hati hanya ALLAH yang tahu.  Bagaimana mungkin dia melupakan Mastura dan anaknya, Maria.  Apa yang ada di dalam fikiran mamanya.  Hassan kesal.  Dia terlalu mempercayai mamanya.  Dia ingatkan mamanya benar-benar telah berubah.  Mamanya sudah mahu menerima  kehadiran Mastura, itu sebab dia bersetuju berkahwin lagi.  Rupanya ini hanya sandiwara mamanya sahaja.    Kepalanya berat.  Dia pening secara tiba-tiba.  Jantungnya berdegup kencang.  Terlalu laju sehingga… Phang!

                Mastura hampir pengsang apabila menerima panggilan telefon  bahawa suaminya sudah meninggal dalam kemalangan.  Air matanya laju mengalir.  Musibah lagi.  Aduhai, nasib badan.  Mak Yam memeluk erat anak perempuannya.  Dia sendiri sedih dengan apa yang berlaku.  Tidak disangka sama sekali.  Pertemuannya dengan menantunya siang tadi adalah yang terakhir.  Maria masih enak dibuai mimpi.   Bagaimanalah nanti reaksi anaknya apabila terjaga nanti. 
                “Mak, Abang Hassan sudah tinggalkan Mas!”  Mastura menangis sayu di bahu Mak Yam.
                “Sabarlah, Mas,”  pujuk Mak Yam.  Dia sendiri tidak mampu menahan sedih.  Kehilangan menantu secara tiba-tiba.   Masih terasa kehangatan bibir menantunya bersalaman dengannya tadi.  Pergi tanpa pesan, membawa terus hati yang lara.  Mak Yam hanya mampu mengeluh.
                “Mas hendak ziarah jenazah Hassan ke?” tanya Mak Yam perlahan.  Mastura memandang wajah emaknya tidak berkutik.  Dia termenung jauh.  Haruskah dia pergi?  Dia tidak berani berhadapan dengan keluarga mertuanya.  Kalau  dia tidak pergi…

                Mastura melangkah perlahan.  Dia masih berkira-kira sama ada hendak masuk atau tidak ke dalam rumah itu.  Rumah di mana jenazah suaminya masih ada.  Dia isteri, itu suaminya.  Dia berhak menziarahi suaminya.  Mastura memberanikan diri.  Dia ingin melihat wajah suaminya buat kali terakhir.
                “Buat apa kau datang ke sini? Kerana kaulah anak aku mati!” jerit Puan Halijah sebaik sahaja melihat kelibat Mastura.  Mak Yam yang turut bersama Mastura memandang wajah besannya dengan penuh tandatanya.  Kenapa begitu benci besannya terhadap anak perempuannya itu? 
                “Ibu!”  seorang wanita muda menahan Puan Halijah.  Mastura memandang wajah itu tidak berpaling lagi.  Tentu isteri muda arwah suaminya.
                “Masuklah kak,” pelawa perempuan muda itul  Mastura mengangguk lemah.  Air mata berjujuran  mengalir.
                “Kenapa kau benarkan dia masuk, Rina?  Dia pembawa malang!” jerkah Puan Halijah.
                “Ibu, kak Mastura tetap isteri Abang Hassan.  Biarlah kak Mastura melihat arwah buat kali terakhir.  Jangan bising-bising macam ini, malu didengar oleh orang lain.”  Nasihat Rina.  Puan Halijah menjeling tajam.
                “Kau pun hendak menentang aku, Rina?” lengking suara Puan Halijah.  Tidak menghiraukan kehadiran para tetamu yang datang menziarahi . Dia benar-benar  membenci menantunya itu.  Langsung tiada sedikitpun perasaan sayang atau kasih.  Kerana Masturalah Hassan langsung tidak balik menjengahnya bertahun-tahun.
                “Ibu!” Rina menarik tangan Puan Halijah jauh dari situ. 
                “Lepaskan ibu, biar ibu bamboo perempuan itu puas-puas!”
                “Ya, ALLAH, ibu… ingat kepada ALLAH, bawa mengucap.  Buat apa ibu terus membenci kak Mastura?  Abang Hassan sudahpun tunaikan permintaan ibu.  Rina sudah menjadi isteri dia.  Perkara yang lepas jangan dikenang, ibu.  Maafkanlah Kak Mastura.  Terimalah kehadirannya dalam hidup ibu.”  Rayu Rina.  Puan Halijah memeluk tubuh.  Dia mendengus kasar.  Dia melangkah masuk ke dalam bilik.  Daun pintu ditutup kuat.
                Rina kembali ke ruang tamu.  Para tetamu masuk dan pergi, seorang demi seorang menziarahi jenazah.  Mastura dan Mak Yam masih berteleku di hadapan jenazah.  Maria menangis sedih di sisi mamanya.  Rina menghampiri.
                “Kak, saya Rina… isteri muda arwah Abang Hassan.  Maafkan ibu, ya.  Terima kasih kerana sudi datang.” Rina  menghulurkan tangan ingin bersalaman. Mastura menghulurkan tangan.  Mereka saling berkenalan.  Mastura menatap seketika wajah madunya.  Cantik, memang sesuai dengansuaminya yang kacak.   Mastura menunggu sehingga  jenazah dibawa ke tanah perkuburan.  Selama itulah juga ibu mertuanya tidak keluar dari bilik.  Hiba benar hatinya.  Hancur lulur jiwanya dengan sikap ibu mertuanya.  Buruk sangatkah dia sehingga begitu sekali  kebencian ibu mertuanya terhadap dirinya. 
                “Jomlah kita balik, Mas.  Orang tak suka kita berlama di sini.  Tiada gunanya lagi kau di sini,” ajak Mak Yam.  Sebal hatinya dengan sikap besannya.  Membenci sehingga  ke tulang hitam agaknya.
                “Janganlah mak cik,  tunggu sehingga majlis tahlil mala mini.”pelawa Rina.  Mak Yam tersenyum.
                “Tidak mengapalah Rina.  Dapat melihat arwah buat kali terakhir pun sudah cukup buat kami.  Terima kasih kerana melayan kami dengan baik,” kata Mastura.  Rina mengeluh.  Kenapalah ibu mertuanya keras hati sangat.  Tentu arwah tidak tenang di alam sana.  Sudahlah arwah anak tunggal. Dia pula baharu sahaja berkahwin dengan arwah.   Mereka belum dapat bersama.  Marialah satu-satunya zuriat arwah suaminya.  Tidak mahukah ibu mertuanya memeluk satu-satunya pewaris keturunannya. 
                “Kak, jangan ambil hati dengan sikap ibu ya,  sesekali bawalah Maria ke mari.  Hanya dia sahajalah  anak arwah.” Rina menunduk.  Sememangnya arwah bukanlah jodohnya.  Baharu sahaja berkahwin arwah pergi buat selama-lamanya.
                “Insya-ALLAH, Rina.  Akak balik dahulu.  Rina jemputlah datang ke rumah akak ya, ini nombor telefon dan alamat akak.   Semoga hubungan kita terus kekal selama-lamanya.”  Maria menghulurkan sekeping kertas yang tercatat nombor telefon dan alamat rumah emaknya.  Biarlah arwah suaminya bersemadi dengan aman.  Biar bagaimana buruk pandangan ibu mertuanya terhadap dirinya, dia akan tetap menghormatinya.  Mastura berlalu dari rumah tersebut dengan hati yang tenang,  Semadilah abang dengan tenang ya, detik hati kecilnya.  Air mata mengalir laju keluar.  Semua kenangan bersama arwah akan tersimpan kemas di hatinya.

Sabtu, 21 Disember 2013

SUAMIKU DI MANAKAH KAU 2



SUAMIKU DI    MANAKAH KAU?

                Mastura termenung jauh.   Maria yang sedang bermain di laman rumah langsung tidak dihiraukan.  Sejak dia sampai di rumah emaknya, hanya air mata menjadi teman setia.  Siang bagaikan malam baginya, malam begitu sepi menghimpit diri.  Sudah dua malam dia berada di rumah emaknya.  Bayang suaminya masih tidak kelihatan.  Hendak  menelefon ibu mertuanya terasa malu di hati apatah lagi mendapat tahu suaminya sudah berkahwin lagi.
                Kenapa?  Apa salahnya?  Apa yang kurang  dengan dirinya?  Dia sendiri tidak faham.  Selama ini tidak pula dia melihat apa-apa perubahan  pada diri suaminya.  Biasa-biasa sahaja.  Ah! Orang lelaki  pandai menyorokkan diri.  Kalau hati sedang sakit seluruh tubuh merasa pedihnya. 
                “Mas… sudah, sudahlah bawa termenung.  Cuba telefon Hassan.  Dapatkan penjelasan.”  Nasihat Mak Yam.  Dia mengeluh sendiri.  Sedih melihat nasib anaknya yang tiba-tiba sahaja dimadukan.   Dia sendiri tidak faham.  Selama ini rumah tangga anak menantunya baik-baik sahaja.  Tidak pula ada pertelingkahan atau salah faham.  Kalau setakat sikit-sikit itu, biasalah.  Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
                “Kenapa mak?  Kenapa?”  soal Mastura.  Air mata masih  berembas keluar.
           “Sabarlah, bawa mengucap.  Ini ketentuan takdir  Mas.  Jangan fikirkan sangat!”  terus memujuk.
          “Siapa yang tak fikir, mak?   Sudahlah rumah hangus terbakar.  Suami pula tiba-tiba menghilangkan diri.  Tidak tahu di mana?  Eh! Dengar-dengar sudah kahwin lagi.  Tak hairan ke?” 
               “Semua ini ujian, nak!”  Mak Yam mengusap belakang Mastura.  Ditariknya anak itu ke dalam pelukan.  Sedih juga  mengenang nasib anaknya itu.
                    “Mas tak boleh terima, mak!”  tangis Mastura, sayu.
                    “Mak tahu, mana perempuan yang boleh terima.  Mak faham sangat-sangat.”
                “Tak sangka Mas, mak.  Tak pernah terfikir Abang Hassan sanggup menduakan Mas.  Tergamak dia, mak!”  pelukan semakin erat.
                “Mama… mama!” panggil Maria  Dia melangkah mendekati mamanya yang sedang memeluk Mak toknya.  Mastura menoleh, pelukan dileraikan.
                “Maria,”  semakin sayu hati Mastura apabila terpandangkan wajah anaknya itu.  Dia mengamit Maria mendekat.  Dia memeluk Maria sepenuh hati.  Dicium anak itu berkali-kali. 
                “Ayah,” kata Maria.  Mastura mengerutkan dahi.  Dia melangkah  bangun mendekati tingkap.  Berdiri di laman rumah dengan muka serba salah.  Mastura mengetap bibir, menahan geram dan marah.
                “Kau nak apa hah?  Kenapa  ke mari?”  kata Mastura, kasar.  Geram benar hatinya.  Biar terhambur segala kemarahan yang berbuku di hati.
                “Mas,” perlahan.  Mastura menjeling tajam.  Hassan melangkah naik.
                “Jangan naik! Pergilah balik ke rumah bini muda kau!”jerit Mastura bagaikan orang hilang akal.
                “Mastura,”  Hassan cuba menenangkan  isterinya.  Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
                “Duduk Hassan,” pelawa Mak Yam.  Mastura tetap berdiri di tepi tingkap sambil mencekak pinggang.  Maria menerpa memeluk Hassan. 
                “Mak, Mas..  maafkan saya,”  Hassan duduk sambil memandang wajah isteri dan  emak mertuanya silih berganti.  Maria  duduk di atas pangkuannya.
                “Apa yang  terjadi Hassan?  Kenapa?  Macam mana boleh berlaku?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Mak Yam.
                “Maafkan Hassan, mak,”  Hassan mengeluh kasar.  Semuanya salah dirinya sendiri.  Dia meraup muka.  Mengeluh lagi.
                Mastura dan Maria yang tidur di sisi  ditenung lama.  Hiba pula hatinya.  Namu keputusan sudah dibuat.  Dia sudah berjanji.  Kata putus sudah di ambil.  Kedua belah pihak sudah setuju.  Hanya menunggu hari langsungnya sahaja.   Semua sudah diatur.  Dia  cuma perlu menghadirkan diri.  Maafkan abang, Mas, detik hati kecilnya.  Akad nikah, esok pukul 10.00 pagi.  Dia harus keluar  sekarang  juga jika ingin sampai awal  ke rumah keluarganya di Kelantan.    Dia masih merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Mastura.  Dia tahu Mastura pasti tidak akan bersetuju. Hassan mencapai beg pakaian. 
                Setelah mengisinya dia terus membawanya keluar, di masukkan ke dalam kereta.  Dia terus memandu keluar dari kawasan rumah.  Nanti abang, akan terangkan kepada Mastura kenapa abang ambil tindakan ini, bisiknya di dalam hati.    Hassan tercari-cari telefon bimbitnya. Ya, ALLAH tertinggal di rumah.  Dia patah semula, kereta di letakkan di bahu jalan besar. Dia berjalan kaki kembali ke rumahnya semula.  Perlahan-lahan daun pintu dibuka.  Dia melangkah masuk.   Isteri dan anaknya masih enak dibuai mimpi.  Bau hangit menerja hidungnya.  Suara orang menjerit membuatkan dia merasa hairan.  Hassan membuka tingkap bilik.  Asap tebal menendang masuk.  Api yang sedang marak menerangkan kawasan kampung setinggan yang gelap itu.  Api! Katanya dalam hati.  Hassan cepat-cepata mengejutkan Mastura dan Maria. Nyalaan api semakin menghampiri rumahnya.  Nasib baik dia berpatah semula, kalau tidak dia hanya akan melihat mayat anak dan isterinya sahaja.
                “Mas! Mas!” jerit Hassan.  Mastura yang nyenyak tidur, terjaga.
                “Kenapa bang?” Tanya Mastura.
                “Rumah terbakar!” kata Hassan.  Maria diangkat dalam dukungan.   Api sudah mula menjamah sebahagian dinding rumah mereka.
                “Macam mana ini bang! Api tu!” jerit Mastura, ketakutan. 
                “Tak payah ambil apa-apa, jom keluar!” arah Hassan.  Mastura akur.  Nyawa lebih penting dari harta yang tinggal.  Selamatkan diri dahulu.  Hassan membawa Mastura melintas rel keretapi.  Kaki mereka berhenti melangkah.  Mata  menatap api memusnahkan rumah mereka.  Hati Mastura hiba.  Hassan hanya mampu mengeluh dan beristighfar.  Malapetaka berlaku secara tiba-tiba.  Tanpa diduga.  Apa yang harus dia lakukan sekarang.  Apakah dia perlu ke Kelantan atau menunggu di sini? 
                “Habis kampung kita, Hassan!” kata seorang lelaki yang turut berada di kawasan tersebut.  Ramai juga berkumpul di kawasan tersebut, tiada apa lagi yang mampu mereka lakukan untuk menyelamatkan harta benda mereka.  Kereta bomba sedang berusaha memadamkan api yang sedang marak membakar tanpa belas ehsan.  Bunyi letupan kedengaran, mungkin tong gas. 
                “Sudah ketentuan ILAHI, Pak Ayob,” kata Hassan.  Pak Yob mengangguk.  Dia hanya mampu mengurut dada.  Anak isteri  Pak Yob turut sedih dengan apa yang berlaku.    Pak Yob sempat juga menyelamatkan beberapa barang penting miliknya.
                Api yang marak akhirnya dapat juga dipadamkan setelah hampir sejam pihak bomba bertungkus lumus memadamkannya.  Hassan mula gelisah.   Masa semakin berlalu pergi.  Dia masih tidak bergerak lagi.  Mastura mendukung Maria yang lena di bahunya. 
                “Semua penduduk kampung diminta ke Dewan  Seroja.  Semua penduduk diminta ke Dewan Seroja!” jerit seseorang.  Hassan mengeluh.  Dewan Seroja satu kilometer dari kawasan tersebut.  Dia harus menghantar   Mastura dan anaknya ke sana.  Baharulah dia bergerak ke Kelantan.
                “Jom ke kereta!”  ajak Hassan agak tergesa-gesa.  Mastura memandang wajah suaminya. 
                “Kenapa kereta ada di sini?  Bukan ada di hadapan rumah petang tadi?”    Mastura  kehairanan atau dia tersilap pandang.  Hassan tidak menjawab  pertanyaan isterinya.  Dia terus sahaja memandu.  Mastura tidak bertanya lanjut.  Badannya masih menggigil, ketakutan.  Terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
                Mereka melangkah masuk ke  dalam dewan yang sudahpun dipenuhi oleh penduduk kampung. Ada yang menangis.  Ada juga saling bercerita apa yang terjadi.  Anak-anak kecil ada yang mula bermain, tidak kurang juga yang sudah tidur, keletihan.   
                Hassan mencari ruang untuk menempatkan Mastura dan anaknya.  Dia harus segera bergerak.  Kejamnya dia meninggalkan isterinya dalam keadaan seperti itu.  
                “Tunggu sini, rehat di sini.  Nanti abang datang balik!” beritahu Hassan.  Mastura hanya mengangguk.  Hassan bingkas bangun.  Dia menelefon seseorang.  Jawapan yang diterima cukup mengecewakan hatinya.  Dia tidak mahu jadi anak durhaka.  Anak dan isterinya telahpun selamat.  Dari kejauhan dia melihat Mastura bercakap dengan seseorang.  Dia terus melangkah keluar dari dewan tersebut.  Dengan hati yang berat dan terpaksa, Hassan memandu keretanya  menuju ke Kelantan.
                Dia sampai di Kelantan, hampir pukul 8.00 pagi.  Terus dia pulang ke rumah orangtuanya.   Sanak saudara sudahpun berkumpul, hanya menunggu kehadirannya sahaja.  Wajah Hassan muram. 
                “Macam mana dengan Mastura?  Dia tak syak ke?” Tanya  Puan Halijah.
              “Tidak ibu.  Saya tinggalkan dia begitu sahaja.  Kenapa ibu buat Hassan macam ini?  Kasihan Mastura.  Sudahlah rumah kami terbakar, ibu pula paksa saya kahwin dengan perempuan pilihan ibu, sedangkan ibu tahu rumah tangga saya dan Mastura bahagia.  Cuma ibu sahaja masih belum dapat menerima kehadiran dia,”  Hassan mendengus kasar.  Perlahan-lahan dia memakai  baju melayu yang disediakan oleh ibunya.
                “Kalau Hassan hendak ibu menerima kehadiran Mastura, Hassan ikutlah cakap ibu!”  Puan Halijah  mencebik. 
                “Okey Hassan ikut cakap ibu.  Tapi…  ibu kena berpegang dengan janji ibu untuk menerima Mastura sebagai menantu ibu.”
                “Macam itulah anak ibu.”  Puan Halijah  tersenyum puas. Kalau dari dahulu Hassan berkahwin dengan gadis pilihannya pasti kehidupan Hassan lebih baik dari sekarang.  Dia merampas semua  saham syarikat milik Hassan sebaik sahaja anak lelaki itu berkahwin dengan Mastura, gadis yang berasal dari kampung dan tidak berpelajaran itu.  Walaupun sudah ada cucu, dia masih tidak boleh menerima kehadiran Mastura.  Lebih-lebih lagi mereka tinggal di tanah setinggan yang baharu sahaja dijilat api. 
                Majlis yang sudah dirancang enam bulan yang lalu tidak mungkin dibatalkan gara-gara musibah yang menimpa Hassan dan keluarganya.  Dia tidak akan menangguhkan perkara yang baik.  Saudara-mara jauh dan dekat sudah dipanggil.  Takkan hendak dibatal. Memalukan sahaja.  Biarlah Mastura selesaikan sendiri masalahnya.  Nanti usai majlis perkahwinan ini, Hassan hendak pulang melihat keluarganya, ikutlah.  Dia tidak akan melarang.  Itulah janjinya.  Asalkan Hassan sudi berkahwin dengan Katrina, anak kawan baiknya.  Nasib baik Hassan tidak menolak.  Mudah sahaja dia memujuk.  Dia akan menerima kehadiran Mastura dalam keluarganya.  Itu sebab Hassan tidak menolak dan menerima cadangannya. 
                Majlis berjalan lancar.  Senyuman bahagia terukir di bibir Puan  Halijah.  Harapan dan impiannya sudah tertunai.  Hassan cuba berlagak riang.  Namun hati dan fikirannya asyik teringkatkan anak dan isteri yang ditinggalkan sehelai sepinggang.
                Malam pertama bagaikan tidak bererti, badannya di situ, hatinya entah ke mana pergi.   Resah dan gelisah.   Isteri yang jelita, seksi dan mampu meruntuhkan  perasaan kelelakiannya tidak langsung mengamit rasa.  Malam berlalu tanpa suara.  Tanpa rasa.  Hiba menghimpit bagaikan menyesak nafasnya.
                “Abang kenapa?  Muram sepanjang masa.  Sepatah Rina  tanya.  Sepatah abang jawab.  Apa yang tidak kena? Apakah kehadiran Rina tidak menyenangkan hati abang,”  lembut isteri baharunya bersuara.  Hassan menoleh sambil mendengus kasar.
                “Maaflan abang Rina, ada masalah yang menghenyak kalbu.  Abang sebenarnya sudah beristeri dan sudah mempunyai seorang anak.  Sebelum abang ke mari, musibah menimpa. Rumah kami hangus terbakar.  Demi janji abang ke mari juga.” Cerita Hassan.  Dia tidak mahu menipu sesiapa.  Hatta isteri sendiri, namun  terpaksa.
                “Innalillah… jadi anak isteri abang bagaimana?”  tanya Katrina, ingin tahu.  Terkejut dia mendengar berita itu. 
                “Mereka selamat, cuma tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,”  luah Hassan lagi.
                “Rina sudah tahu, yang abang sudah beristeri.  Rina setuju berkahwin dengan abang sebab, hati Rina hanya ada abang seorang.  Rina tidak kisah menjadi isteri kedua, asalkan abang berlaku adil.”  Kata Katrina.  Hassan terkejut mendengarnya. 
                “Rina!”
                “Abang, pergilah balik, tengok keadaan isteri  abang.  Rina akan tunggu kepulangan abang.” Suruh Katrina.
                “Tapi.”
                “Pergilah bang.  Rina tidak apa-apa.  Sudah ambil hak orang, kenalah pandai-pandai bawa diri.  Lebih-lebih lagi keadaan isteri abang tidak tahu bagaimana.   Uruskan hal mereka sehingga selesai.  Abang jangan bimbangkan Rina.  Terangkan kepadanya yang abang sudah mempunyai seorang lagi isteri.  Kalau dia dapat menerimanya, Alhamdulillah.  Jika tidak, pandai-pandailah abang memujuknya." 
                “Terima kasih Rina,”  Hassan memeluk isteri baharunya.  Hatinya berbunga bahagia.  Masalah ini selesai, masalah di sana belum tahu bagaimana.
                Hassan menunduk.  Wajah Mastura yang masam mencuka tidak mampu ditenung lama.  Dia tahu dia bersalah.  Tetapi demi restu ibunya, dia terpaksa.
                “Rina kena faham, kenapa abang buat begini.  Itulah syarat ibu.  Dia hendak abang berkahwin dengan gadis pilihannya, barulah dia dapat menerima kehadiran Mas sebagai isteri abang, anak kita sebagai cucunya.”
                “Ibu abang kejam.  Siap telefon emak, beritahu abang sudah bernikah lagi.  Abang tinggalkan Mas dan Maria sehelai sepinggang.  Rumah hangus, abang pergi begitu sahaja.  Apa yang ada dalam hati abang?  Kerana janji abang, abang lupakan kami?”  Mastura mengetap bibir.  Kelat wajahnya, sekelat hatinya sekarang untuk menerima kehadiran orang lain dalam hidupnya dan Hassan.  Jika perempuan itu boleh menerima dia sebagai madu, belum tentu dia dapat menerima orang ketiga dalam hidupnya dan Hassan.
                “Jangan cakap macam itu, Mas,” tegur Mak Yam.  Walaupun dia kesal dengan apa yang berlaku.  Mungkin ada hikmahnya yang terbaik untuk anak menantunya.
                “Pergilah abang balik ke rumah isteri muda abang.  Biar Mas di rumah emak.  Hati Mas masih belum dapat menerima apa yang berlaku.  Selama ini hidup Mas bahagia sahaja walaupun tanpa restu ibu abang.  Bergembiralah dia dengan menantu baharunya itu.    Abang boleh sahaja menolak, kalau abang  hendak.  Tapi… lelakikan?  Orang sudah tawar, kenapa hendak ditolak?”  kata Mastura geram.  Hassan terdiam.
                “Abang tidak akan sia-siakan, Mas. Abang akan cuba berlaku adil antara Mas dan isteri baharu abang.  Maafkan abang kerana merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Mas dan keluarga.  Maafkan saya mak!”    Hassan menghulurkan tangan bersalaman dengan emak mertuanya.  Tiada kata secubitpun keluar dari  bibir Mak Yam.  Sudah kehendak ILAHI anaknya akan hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Suka atau tidak, itulah takdir yang telah tertulis.
                Hassan berharap Mastura akan terbuka hatinya.  Dia ingin membahagiakan kedua-dua orang isterinya.  Dia hanya ingin membahagiakan semua orang.  Terutama ibu tersayang.  Salahkah tindakannya itu? 
                Mastura tidak mahu bertekak lagi dengan suaminya.  Segalanya sudah terjawab.  Segalanya sudah berlaku.  Dia perlukan masa.  Dia perlu menenangkan fikiran.  Di manakah suamiku?  Hatinya sudah bercabang, hilang bersama orang lain.  Mastura menutup mata, setitis air jernih mengalir keluar tanpa dipinta.