Mereka
duduk mencangkung. Masing-masing gelisah. Takut dan bimbang jelas terpancar di
wajah mereka. Tidak kurang juga yang bermuka selamba, seolah-olah tiada apa
yang berlaku. Alah bisa tegal biasa agaknya.
“Encik, tolong lepaskan saya. Malu
saya kalau anak bini saya tahu,” pinta seorang lelaki tadinya tertangkap
separuh bogel. Mukanya pucat lesi. Jelas terpancar ketakutan di wajahnya.
Suasana
di spa itu riuh rendah. Beberapa orang anggota polis mengawal keadaan.Beberapa
pekerja spa juga telah ditahan dan diambil butiran diri. Pelanggan, hanya
bertuala atau tanpanya, dicekup. Beberapa keping kondom kelihatan bertaburan di
lantai. Panik!
“Lepaskan? Sabar encik, kita ke
balai dulu,” jawab Fakhrul.
“Jangan macam tu encik, berapa encik
nak? Saya sedia bayar.” Sedikit berbisik.
“Pak cik, awak dahlah buat salah. Lepas
tu nak rasuah saya?” tempelak Fakhrul. “Sarjan! Bawa mereka ke balai bila dah
siap semuanya.” pesan Fakhrul.
“Baik, Inspektor.”
***
Merah padam wajah Zaheer ketika
menerima panggilan telefon daripada Joe. Hampir jatuh jantungnya. Dia menendang meja yang terdapat di anjung
rumah. Geram, marah, semuanya bercampur menjadi satu. Boleh gila, kalau selalu
begini. Jantungnya boleh berhenti
berdenyut, jika setiap ketika mendapat berita celaka begini.
“Kau tak pergi balai ke? Lepaskan
anak-anak ayam kita tu?” tanya Zaheer. Sudahlah sukar hendak mendapatkan
bekalan, yang ada makin menyusut pula.
“Gila ke bos? Ada ke nak suruh saya
ke balai? Bos nak suruh saya kena
tangkap ke?” Joe mula berleter.
“Kau carilah jalan! Hantar orang
lain ke. Buatlah sesuatu!” perintah Zaheer lagi.
“Tak boleh bos! Mereka ada bukti!
Mana boleh lepas senang-senang. Silap haribulan masuk dalam, bos.” Joe mengetap
bibir.
“Saya nak balik ke rumah bos ni,
jangan suruh saya jamin sesiapa, cari nahas. Polis tengah buru bos tau!”
“Joe, Joe!” jerit Zaheer. Panggilan
telefon telah dimatikan.
“Tak guna, habislah orang-orang
aku!” jerkah Zaheer.
“Orang-orang abang? Kenapa bang?”
Zaki mendekati. Wajah sugul Zaheer menarik perhatiannya.
“Erk… pekerja abang, rupa-rupanya
tak ada permit. Imigresen buat serbuan di tapak projek. Habis semuanya kena tahan. Kalau begini,
boleh tertangguh la projek abang,” jelas Zaheer. “Jenuh tu bang, kalau salah pertimbangan, majikan boleh
dipenjarakan!’
“Nantilah abang cuba ke pejabat imigresen.”
“Seelok-eloknya. Setiap negara ada
undang-undang, bang. Bukan boleh langgar sesuka hati, silap haribulan kita juga yang teruk,” nasihat Zaki.
“Mana abang tahu mereka tak ada
permit, semua itu kerja penyelia abang,” hujah Zaheer. Zaki terdiam.
Bunyi
kenderaan membelok masuk dengan laju mengganggu butir bicara mereka. Kereta
berhenti di hadapan anjung rumah. Breknya mengejut dan panik. Joe keluar
tergesa-gesa.
“Macam mana?” tanya Zaheer. Tidak
sempat Joe menutup pintu kereta.
“Bos kena tengok sendiri,” ujar Joe,
matanya melirik ke arah Zaki yang turut
memandangnya.
“Jom!” Zaheer melangkah masuk ke
dalam perut kereta yang tidak dimatikan enjinnya.
“Boleh saya ikut?” tanya Zaki.
“Erk… tak payahlah.” Zaheer menolak.
“Yalah, Adik Bos. Tak payahlah!”
sampuk Joe, menggelabah. Habislah kalau Zaki ikut sekali. Hendak ke mana? Boleh bocor rahsia mereka.
“Okeylah…” Zaki akhirnya mengendur.
“Gila! Semua ini gila!” jerit Zaheer
di dalam kereta, melepaskan api kemarahannya. Segala penat lelahnya hancur
musnah. Boleh hilang akalnya.
“Sabar bos!” pujuk Joe. Dia sendiri
sakit hati melihat ‘harta karun’ Zaheer diangkut dengan lori polis tadi.
Beberapa orang pelanggan turut dicekup sama. Nasiblah.
“Kau nak aku sabar macam mana lagi?
Habis bisnes aku! Kalau macam ni hari-hari, boleh gulung tikar aku!” marah Zaheer lagi.
“Bos lepas marah dengan saya pun tak
gunalah! Bukan saya yang buat laporan, atau buat serbuan.” Joe mengetap bibir.
“Macam mana mereka tahu tempat itu?
Siapa yang bocorkan rahsia?” Zaheer menggenggam penumbuk.
“Manalah saya tahu!”
“Jangan-jangan Nazatul!” tuduh Zaheer.
“Mana pula Puan Nazatul tahu, bos.
Waktu spa itu dibuka Puan Nazatul dah keluar dari rumah sewa bos,” terang Joe.
Itulah yang dia ingat.
“Mungkin ada polis yang menyamar
jadi pelanggan kita agaknya bos?” Joe berfikir sejenak. PDRM sekarang semakin canggih. Sama hebat
dengan polis negara luar. Kalau setakat nak mengesan spa itu bukannya susah.
“Habislah aku kalau macam ni!” keluh
Zaheer. Dia menyandarkan tubuhnya,
Hatinya dilakar kemarahan yang amat sangat.
“Kita cari jalan lain bos! Di mana
kemahuan, di situ ada jalan,” pujuk Joe, memberi kata-kata semangat.
“Mana nak dapat anak-anak ayam lagi?
Cuba kau cakap?” Zaheer mendengus kasar.
“Kita bela ayam betullah bos, taklah
kena cantas selalu!”
“Kalau kau rasa nak makan sup kaki
ayam campur kaki kau, cakaplah lagi,” ugut Zaheer. Pembantunya yang suka
berjaket kulit itu menyeringai.
“Habis? Bela anak ayam kaki dua
asyik kena serbu dengan musang!”
“Minggu depan hubungi beberapa pembekal. Minta mereka hantar stok tambahan. Pendapatan
aku dah susut ni! Aku kan dah nak kahwin?”
“Kahwin? Dalam keadaan darurat ini
pun, bos masih fikirkan perempuan!” sangkal Joe.
“Hoi! Perempuan itu boleh bikin duitlah!
Kau dah lupa?” marah Zaheer. Memang sengal dan lurus bendul betullah si Joe ni.
Hanya tahu membebel sahaja.
Zaheer menahan rasa marah yang
berketul di hati. Pihak polis sedang bermain cak-cak dengannya. Pasti mereka akan meneruskan operasi
membersihkan bisnesnya.
***
***
Zaki
membelek, sehelai demi sehelai. Bingung seketika. Dia mengeluh beberapa kali.
Kain tudung pula bukan semuanya sama. Ada yang bersaiz, ada yang saiz bebas,
tidak kurang yang berbentuk selendang.
“Encik nak beli apa? Boleh saya
bantu?” tegur seorang gadis yang
bertudung dan berjubah.
Zaki menoleh dan termalu sendiri.
Beberapa orang pelanggan wanita turut sibuk memilik tudung kegemaran mereka.
“Saya nak beli tudung untuk isteri
dan anak perempuan saya. Remaja…mungkin erk…”
Zaki menyengih.
“Saya Zara,” kata gadis itu
memperkenalkan diri.
“Zara? Sama
seperti nama anak buah saya.
Mungkin sama usia dengan adik,”
kata Zaki.
“Mungkin anak buah encik lebih
cantik dan manis, berbanding saya,” puji Zara. Wajah Zaki ditatap seketika. Dia
teringatkan seseorang. Tetapi tidak ingat siapa dan di mana.
“Encik orang Kuala Lumpur ke?” tanya
Zara. Wajah itu membuatkan dia bertanya lanjut.
“Ha ah…” kata Zaki mengakui. “Cantik
kedai ini, harga tudung-tudung di sini pun murah,” puji Zaki.
“Kami baru buka beberapa minggu yang
lalu, encik. Jadi kami adakan harga
promosi,” jelas Zara.
“Bagaimana dengan pilihan saya ni?
Sesuai ke?” Sambil menunjukkan beberapa helai tudung dan selendang.
“Nama saya Zaki, panggil Pak Cik
Zakilah. Rasanya umur Zara lebih kurang
anak buah pak cik saja.” Zaki memperkenalkan diri.
“Zaki? Samalah dengan nama bapa
saudara saya yang tinggal di Australia. Tapi, dah lama kami tak berhubung
dengan dia. Entah ingat dengan kami atau tidak? Dulu waktu saya masih kecil,
kami selalu berhubung. Lepas itu senyap
saja,” cerita Zara.
“Australia? Kebetulan pula, pak cik
pun sebenarnya dari sana.” Dahi Zaki berkerut. “Siapa nama ayah Zara?”
“Zaheer,” jawab Zara, sebal. Benci
menyebut nama itu. Sakit hati.
“Zaheer?” Zaki sedikit menjerit. Sah-sahlah
gadis yang berdiri di hadapannya adalah anak saudaranya sendiri. Kecilnya
dunia, dan ALLAH memakbulkan doanya.
“Kenapa? Macam kenal saja, pak cik?”
Zara membungkus tudung dan selendang tadi.
“Memanglah kenal. Abang pak cik!”
Zaki ketawa kuat.
Zara bingung seketika. Kejap, kejap…
akalnya sedang menuju ke destinasi imbas semula. Wajah pelanggan lelaki itu
dipandang lama.
“Ini Zara, anak Kak Nazatul, kan?”
teka Zaki. Laju anggukan Zara.
“Pak Su Ki?” tanya Zara, memohon kepastian.
“Ya!” Zaki ketawa gembira. Beberapa
orang pelanggan menoleh melihat tingkah laku mereka berdua .
“Puas pak cik tanya papa, di mana korang.
Pak su tak tahu pun mama Zara dah bercerai dengan papa.” Zaki mengeluh.
“Pak su bila balik?” soal Zara.
“Sudah dua minggu,” jawab Zaki.
“Erk… kita minum di luar, boleh
sembang lama,” ajak Zaki lagi.
“Boleh juga.” Zara bersetuju,
lagipun tidak manis dia bersembang di ruang kedai itu. Banyak perkara ingin
diluahkan kepada bapa saudaranya itu.
Lagipun mamanya sedang mencari ayahnya sekarang. Tentu pak sunya mempunyai maklumat tentang papanya.
“Tak sangka kita berjumpa di sini, Zara
apa khabar?”
“Alhamdulillah, baik pak su. Pak su
macam mana? Sihat?”
“Jom pak su… kita jumpa mama,” ajak Zara.
“Alhamdulillah, tak sia-sia pak su
keluar berjalan hari ini,” jawab Zaki.
Hatinya berbunga mekar, tidak sabar hendak bertemu ahli keluarganya
sendiri.