Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 31 Januari 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 29



            Keadaan tenang di kawasan rumah kedai yang menjadi tempat dia menunggu seseorang langsung tidak menenangkan hatinya yang kacau bilau.  Resah menunggu.  Ain  mengerut dahi.  Dia menunggu dengan sabar di hadapan restoran tempat Rose bekerja.  Dia ingin menyiasat sendiri, siapa musuhnya di situ.  Tidak mungkinlah rakan kongsi?  Mana perempuan gelap itu ada duit! Bukan keluar senang pun.  Biasa-biasa sahaja. Lainlah dirinya.  Boleh buka restoran sendiri, bebel Ain dalam hati.  Sengaja dia mengambil cuti hari ini, semata-mata ingin menjadi penyiasat.  Ain mencebik.  Terintai-intai dan tercongok sahaja di tempat letak kereta berhampiran restoran.
            Ain  terpandang seorang lelaki sedang membersihkan ruang hadapan restoran. Dia tidak nampak bayang  Rose.  Datang lewatkah? Fikirnya sendiri.  Ah! Dia bukan nak bertemu perempuan hitam itu.  Dia cuma nak tahu benarkah perempuan itu menjadi rakan kongsi di restoran itu.  Itu sahaja.  Kalau benar, dia tidak boleh kalah sama sekali.  Dia perlu buat sesuatu.  Rose tidak boleh menang dan lebih daripadanya. Ain mengetap bibir.
            Ain menyeberang jalan.  Langkahnya semakin mendekati lelaki itu. Mungkin usia lelaki  itu dalam hujung belasan tahun. Masih kelihatan muda.  Tetapi kerja di restoran.  Malas belajarlah agaknya, kata Ain dalam hati.  Hanya mereka yang tidak berpelajaran sahajalah bekerja di restoran, termasuklah lelaki itu.  Dia mencebik.
            “Akak nak sarapan ke?  Restoran baru buka, lagi lima belas minitlah kak,” sapa lelaki itu bila ternampak kelibat Ain.
            Ain menggeleng. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, memerhati jika ternampak Rose.
            “Habis tu?” lelaki itu kehairanan.  Gelagat Ain agak mencurigakan. 
            “Majikan adik mana?” tanya Ain.
            “Ada kat dapur, memasak.  Kenapa?” soal lelaki itu semula.
            “Perempuan yang hitam tu?” Ain memandang kiri dan kanan sekali lagi, nada suaranya diperlahankan.
            “Hitam? Yang mana?”  Lelaki itu kehairanan.
            “Ala… yang jaga kaunterlah!” 
            “Ooo…  Kak  Rose?” 
            “Ya… Rose! Siapa dia di sini?” Semakin teruja Ain ingin tahu. 
            “Juruwanglah!” jawab lelaki itu perlahan.  Dahinya berkerut semula.
            “Bukan rakan kongsi di restoran ini, kan?”  tanya Ain laju.
            “Entahlah, hal tu saya tak tahulah pula,”  jawab lelaki itu jujur. Memang dia tidak tahu dan tidak pernah diberitahu.  Malah tidak perlulah dia mengambil tahu.
            “Takkanlah tak tahu?” Ain tidak percaya.
            “Betul kak, kalau akak tak percaya, akak pergilah tanya majikan saya sendiri.  Dia ada di belakang tu,”  jelas lelaki itu.
            Ain menjeling.  Jawapan yang belum diperolehi dari soalan yang ditanyakan tadi.
            “Kau buat apa kat sini Ain?  Pagi-pagi  ni?” Rose memandang wajah Ain tidak berkelip. Sejak dia sampai, dia memerhatikan sahaja Ain mendekati rakan sekerjanya. Dia sengaja mencuri dengar perbualan rakan sekerjanya dengan Ain. Perempuan ini memang tidak pernah kenal putus asa.  Nak juga dia mencungkil rahsia dirinya. Pasti masih tidak berpuas hati lagi.
            “Erk… nak sarapanlah! Kau sibuk kenapa?”  Ain pucat. Bila pula perempuan hitam ini muncul? Kenapa tak nampak? Sedangkan dia berhati-hati tadi.
            “Lagi sepuluh minit baharu buka.  Kau datang kawasan ni kenapa? Bukankah pejabat kau di daerah lain?” soal Rose. Dia memeluk tubuh dan melayan Ain yang sedang terpinga-pinga, kena tangkap, kantoilah!
            “Ikut suka akulah! Kau peduli apa?”  Aian mencebik.
            “Pergi restoran lainlah! Kau memang sengaja nak cari nahas dengan aku, kan?  Kau suka sangat ganggu aku?  Cerita zaman sekolah, dah lama berlalulah! Lupakanlah.  Lagipun kau dah berjaya, lainlah aku, masih ditakuk lama. Tak payahlah kau nak rosakkan hati kau tu, cemburukan aku!” leter  Rose.  Bertambah meluat dia melihat perangai Ain.   Kenapalah  berdengki dengan dirinya?
            “Hey,  perempuan… selagi aku tak mati, selagi itulah dendam aku dengan kau takkan padam, tahu tak?”  jerkah Ain dengan mata membutang memandang Rose.
            “Apa yang aku dah buat kat kau?  Kalau setakat kena gantung sekolah, tak ada maknanya.  Kau  tak tamatkan persekolahan kau ke? Yang kau marah kat aku sampai ke lubang kubur?”  tempelak Rose.
            “Bagi kau kecillah! Bagi aku besar!”  Ain menjegilkan mata. Malu dia dengan rakan-rakan sekolah yang lain.  Dia digantung seminggu oleh pihak sekolah kerana mencuri kertas soalan milik gadis hitam itu.
            “Aku minta maaf, okey.  Lupakan saja,”  pinta   Rose.
            “Minta maaf? Kau ingat cukup ke?”  Ain memuncungkan bibirnya.
            “Habis tu? Kau nak aku buat apa?  Sembah kau! Rayu dan bersujud pada kau?  Hey..  kau ingat tak kenapa kau digantung sekolah?” 
            “Ah!  Peduli apa aku!”  Ain tidak mahu mengingatkan kejadian itu.  Dia telah mencuri kertas jawapan Rose dan menukarnya dengan kertas jawapannya yang tidak berjawab. Kosong.  Sebab perkara itu Rose kalah di tangannya.  Dia mendapat tempat pertama dalam sekolah.  Rose tempat kedua, tetapi kena marah dengan cikgu kerana menghantar kertas kosong. 
            Tidak berapa lama kemudian, kejadian itu bocor, Rose mengamuk dan menyebabkan dia digantung persekolahannya. Malu dia dengan orang kampung juga. Sejak itulah api dendam membara di hati.  Tidak pernah padam.
            “Pergilah baliklah!  Buang masa saja kau  kat sini,” halau Rose. Orang seperti Ain tidak akan tahu memaafkan orang lain. 
            “Aku pun tak ingin nak tengok muka kau yang hitam macam bontot kuali, bikin hati panas saja!” bentak Ain sambil berlalu pergi.  Tidak sampai tujuannya ke situ.  Kenapalah dia tidak  nampak Rose datang?  Budak lelaki itu pun satu, jawapan sahajalah soalannya, ini tidak, soal dia semula.  Habis gagal rancangannya.  Ini semua budak itu punya pasal, bentaknya dalam hati.  Dia terus masuk ke dalam keretanya dan memandu laju meninggalkan kawasan rumah kedai itu. 
            Dia menghentak stering kereta.  Wajah Rose yang berani melawannya itu membuatkan dia kecut perut juga.  Tidak padan dengan kecil,  dia lebih tinggi daripada si hitam itu.  Haikal pula ke mana?  Sudah dua  hari tidak menghubunginya, sejak dia ajak menyiasat tentang Rose. Kalau tidak setiap malam mereka akan berbual mesra, bergurau ketawa, berjanji setia, tanpa dibayangi wajah si hitam legam itu.    Sejak dia tahu si hitam itu jadi rakan kongsi pemilik restoran serba besar itu, buat hatinya panas. Kalau nak bercakap dengan  Haikal pun dia akan membentak keras.  Langsung hilang kelembutan yang ada dalam dirinya.    Kenapalah perempuan hitam itu masih hadir dalam hidupnya. Erk.. si hitam itukan sekampung dengannya.  Kalau balik pada hari raya, pasti bertemu muka  ada ketika duduk sebelah menyebelah waktu solat  sunat hari raya. Memang bikin hatinya panas menggelegak. 
            Keretanya dipandu  perlahan membelah jalan raya yang semakin sesak dengan kenderaan.  Dia terus kepejabat tempatya bekerja.  Dia tidak akan membiarkan Rose berjaya. Dia jauh lebih hebat daripada Rose. Ucapan yang sering berlegar di akal fikiran.  Boleh membunuh rasa ketenangan dalam diri. Giginya saling berlaga. Berkeriut  bunyinya. Kalau boleh dilapahnya si hitam itu, sudah lama dilapah dan disiat-siat.  Kenalah hatinya sakit sangat dengan si hitam itu pun dia tidak tahu.  Yang pasti dendam lama masih bertahan dalam diri.  Sukar betul nak dinyah jauh-jauh.  Macam badi pula, asyik mengekor. 
            Rasa benci membuak-buak dalam hati.  Telefon bimbit dicapai. Dia mendail nombor Haikal.  Tiada jawapan. Ke mana pula lelaki ini pergi?  Takkan larikan diri kut?  Fikirnya dalam hati.   Sekali lagi stereng kereta menjadi mangsa tangannya, melepaskan geram yang membuku di hati.  Penghawa dingin yang terpasang tidak mampu menyejukkan hatinya.  Wajah Rose yang dapat menangkap dirinya tadi membuat hatinya bertambah geram.   Perkara itu tidak akan selesai, detik hati kecilnya.

Isnin, 30 Januari 2017

JALAN PULANG - BAB 24



            Malek mendekati rumah banglo tinggal yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Semak samun memenuhi kawasan banglo dua tingkat yang terletak di hujung Kampung Seberang itu.  Dia mendengus kasar.  Melihat keadaan rumah itu, seperti sudah lama ditinggalkan.  Adakah selepas dia dan kawan-kawannya melakukan rompakan dan… Malek menunduk malu untuk menyebut perkataan yang telah mengheretnya ke dalam penjara selama 25 tahun itu.
            Sesungguhnya kehidupan masa mudanya begitu menjijikkan.  Dia membuka pintu pagar besi yang sudah berkarat it. Jalan yang bertal cantik itu sudah pun pecah-pecah, bumbung atap genting juga sudah retak dan ada yang sudah tiada.  Dinding pula berlumut, rumput tumbuh panjang hampir sama tinggi dengannya.  Pokok daun kapal terbang tumbuh melata di setiap penjuru sudut rumah itu, menjalar dengan kasar sehingga meninggalkan ruang yang sedikit sahaja di bahagian dinding.
            Ke mana Tuan Harun pergi? Anak gadis Tuan Harun yang telah dirosakkan itu, di mana dia berada sekarang?  Kalau boleh dia ingin melutut dan bersujud kepada keluarga Tuan Harun, memohon ampun dan maaf, terlalu besar dosa yang telah dilakukannya.  Tidak tertanggung dek dosa yang besar itu.  Dosanya kepada Allah, hanya Allah yang akan mengampunkannya, bagaimana dengan dosanya sesama manusia? Apatah lagi Tuan Harun, kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu perbicaraan kesnya, Tuan Harun dan anak gadisnya menjadi saksi pendakwaraya.  
            “Encik! Encik buat apa di sini?” sapa seseorang.
            Malek menoleh, seorang gadis muda, mungkin sebaya Zakuan berdiri memandangnya dengan kehairanan.
            “Maaf, saja lihat-lihat,” jawab Malek.
            “Anak siapa?” tanya Malek.
            “Saya cucu Tuan punya rumah ini,”  jawab gadis itu lembut.
             Wajahnya! Saling tak tumpah seperti wajah anak gadis Tuan Harun. Malek mendekati gadis tersebut.
            “Setahu saya, Tuan Harun hanya ada seorang anak,” ujar Malek.
            “Ya, dia emak saya,” jawab gadis itu perlahan.
            “Oh, di mana Tuan Harun dan keluarganya sekarang?” tanya Malek.  Dia masih mengamati wajah gadis itu. Cantik dan manis, persis emaknya.
            “Datuk dah lama meninggal, selepas emak melahirkan saya, saya tinggal dengan nenek, tapi nenek baru sahaja meninggal bulan lepas,” jawab gadis itu, ada nada sendu dalam kata-katanya.
            “Innalillahi…”ucap Malek.  Dia mengurut dada.  Tidak sempat dia meminta ampun dan maaf. Allah! Nampaknya dia terpaksa bertemu mereka di akhirat nanti, entahkan di syurga atau neraka nasib dirinya.  Malek menunduk.
            “Pak cik ni siapa? Buat apa di sini?” tanya gadis itu.
            “Pak cik orang kampung sini juga.  Waktu sedang berjalan-jalan, ternampak rumah terbiar ini, itu yang singgah.” Sengaja mereka cerita.
            “Bermakna anak  gadis Tuan Harun berkahwin jugalah ya?”  soal Malek.
            Gadis itu menunduk seketika, kemudian menggeleng perlahan. Wajahnya yang tenang bertukar muram.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
            “Emak tidak pernah berkahwin,” jawab gadis itu tersangkut-sangkut.
            “Kalau tidak pernah berkahwin? Anak ini…” Malek terkedu. Dia memandang wajah gadis itu.
            “Panjang ceritanya pak cik. Maaflah, saya telah membuka pekung di dada keluarga saya.”  Gadis itu menyeka air mata yang mula menitis di pipinya. 
            Malek terdiam seketika, otaknya ligat berfikir.  Apakah? Ah! tidak mungkin! Takkanlah?  Ah! Apa yang telah dia lakukan?
            “Emak anak di mana?” tanya Malek, ingin benar dia bertemu dengan gadis yang telah diperkosanya dahulu.
            “Emak?” gadis itu diam seketika.
            “Ya, emak anak,” kata Malek. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu.
            “Emak ada di Hospital Mental di Tanjung Rambutan.  Baru kelmarin masuk semula, entah apa yang mengganggunya, baru keluar beberapa bulan yang lalu, dah masuk semula. Sejak saya dikandungkan, sampailah sekarang, asyik keluar masuk rumah sakit jiwa sahaja,” cerita gadis itu tanpa ada rasa syak wasangka terhadap Malek.
            “Ya Allah!” Malek berasa sebak.
            “Mak anak jadi gila? Kenapa?”
            “Menurut cerita nenek, rumah mereka pernah dirompak, habis segala duit dan barang kemas diambil, emak pula, waktu itu masih dara sunti, dirogol oleh salah seorang perompak sehingga mengandung. Mak malu, tidak mahu pergi sekolah, tidak mahu keluar rumah, menangis sahaja setiap hari, datuk bawa emak berubat merata tempat, namun tetap tidak mahu sembuh.  Menurut doktor yang merawat emak, jiwa emak tertekan dan fobia, tidak mampu melupakan peristiwa tersebut. Sakit emak bertambah teruk apabila mendapati dirinya mengandung. 
            Datuk dapat tahu emak  mengandung pun agak lewat, doktor tidak mahu menggugurkan kandungan emak, sehinggalah saya lahir.  Saya dilahirkan di wad gila, emak diikat sepanjang mengandungkan saya, jika dia dilepaskan, dia akan menumbuk-numbuk perutnya seperti mahu membunuh bayi di dalam kandunganya.  Akhirnya, saya dilahirkan juga, emak tak nak saya. Nenek ambil jaga saya, datuk meninggal sebaik sahaja saya dilahirkan,” cerita gadis itu, setitis air mata pun tidak lagi mengalir di pipinya.  Dia hanya tersenyum sekali sekala sepanjang waktu dia bercerita.
            Allah! Menjerit-jerit  perasaan kesal di hati Malek.  Rasa seperti jantungnya ditoreh-toreh dengan kasar sewaktu mendengar cerita gadis itu.  Gadis manis yang berdiri di hadapannya itu adalah benih yang ditaburkan dengan paksa kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Dia cuba berpaut di pagar, terasa lemak lutuhnya.  Terasa hendak menjerit memohon ampun dan maaf kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Lahir tanpa ayah, emak pula gila, datuk meninggal dan sekarang tinggal dengan neneknya.
            Malek cuba berwajah tenang, sedangkan fikirannya berserabut dengan dosa semalam.
            “Anak tak rasa kesal dengan apa yang berlaku?  Anak tak nak jumpa lelaki yang telah merosakkan emak anak?” uji Malek.  Air mata sudah merembas keluar dari hatinya.  Torehan pisau tajam daripada cerita gadis itu sedang menghiris jantungnya.
            Gadis itu memandang wajah Malek, dia tersenyum sinis.
            “Pak cikkah orangnya?” tanya gadis itu.
            Pucat muka Malek.  Dia terkedu seketika.  Dia cuba tersenyum, tapi tawar.
            “Takkan pak cik, kan?  Pak cik nampak seperti orang baik-baik. Biarlah pak cik.  Saya takkan simpan dendam, kata ustaz tempat saya belajar, dendam itu adalah milik syaitan. Orang yang berdendam akan masuk neraka.  Biarlah, mungkin sudah takdir saya dilahirkan dalam keadaan begini.  Saya terima, mesti ada hikmahnya,” kata gadis itu lembut. Tudung labur yang kemas di kepalanya sekali-sekala menari-nari ditiup angin. Jubah yang dipakai agak besar menutup keseluruhan susuk tubuhnya. 
            Allah! Hanya itu sahaja perkataan yang mengalir keluar dari mulut Malek.  Baiknya hati gadis itu. 
            “Kenapa tidak tinggal di rumah ini, dan dibiarkan terbiar sahaja?” tanya Malek.
            “Nenek tidak mahu tinggal di sini, saya datang ini sebab nak letak papan tanda, untuk dijual, sudah tiba masanya kenangan perit ini dikuburkan terus,” kata gadis itu lagi. Matanya menerawang memerhatikan rumah banglo itu. 
            Malek turut memerhati.  Sesekali matanya mengamati wajah gadis itu.  Langsung tidak seperti wajahnya, lebih persis wajah gadis yang telah diperkosanya itu. Ya, Allah! Gadis ini adalah darah dagingnya sendiri, biarpun bukan anak yang sah, tetapi dia yang bersalah.  Malek menelan air liur sendiri terasa pahit di tekaknya.  Dosa yang dilakukan terus subur tumbuhnya.  Apa yang harus dia lakukan? 
            Anak gadis itu pula, sopan dan kelihatan baik orangnya.  Kalaulah dia tidak bersikap rakus pada malam kejadian rompakan itu, sudah pasti anak itu tidak akan lahir dan terpaksa menanggung malu seumur hidupnya, serta anak Tuan Harun tidak akan menjadi gila sehingga ke hari ini.  Dia telah memusnahkan banyak hati dan jiwa orang lain.
            “Saya minta diri dulu pak cik, semoga kita jumpa lagi!’ ujar gadis itu sebelum berlalu dengan keretanya. 
            Malek hanya menunduk hormat, terkuncinya lidahnya untuk memberitahu anak gadis itu bahawa dialah manusia yang telah merosakkan emak anak gadis itu dan dialah ayah kandung anak gadis itu. Malu! Dia benar-benar malu!