Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 11 Januari 2020

APA DOSANYA? - BAB 3


Adira menuam pipi Ain yang kemerahan bekas dilempang oleh ibu siang tadi dengan telur yang direbus dan masih suam-suam kuku.  Sesekali adiknya merengek kesakitan.  Ali pula entah kemana perginya.  Sebaik sahaja makan malam terus menghilangkan diri.  Ke sekolah juga sudah jarang-jarang.  Waktu sehariannya banyak dihabiskan membantu ibu di kebun.
            “Sakit ya?  Ain jangan marahkan ibu ya?  Ibu tak sengaja.  Kan akak dah pesan, jangan campakkan  mainan merata-rata.  Dah kena kaki ibu, tentulah ibu marah,”  ujar Adira. Dia menahan sebak di dada  Airmatanya boleh gugur bila-bila masa sahaja. Tidak tertahan melihat wajah adiknya yang bersahaja, masih boleh bermain lagi. Bagaikan tidak berlaku apa-apa kepadanya siang tadi.  Padahal pipinya sedikit membengkak.  Kuat agaknya lempangan ibu tadi.  Kelihatannya, marah sangat ibu dengan Ain.
            “Ibu?” kata Ain perlahan.
            Adiknya itu juga lambat bercakap.  Hanya sepatah-sepatah sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Ain lebih banyak mendiamkan diri.
 “Ibu ada, tidur agaknya,” jawab Adira sambal tersenyum. Senyum dalam tangisan. Ya, hatinya sedang menangis sendiri.  Sejak siang tadi, ibu tidak keluar-keluar dari biliknya.  Adira mengusap wajahnya.Mampukah dia menghadapi ujian hidup ini berterusan?  Ibu! Adira mendengus kasar.  Kami masih perlukan ibu, luah Adira dalam hati.  Sejak arwah ayah meninggal, kehidupan mereka sekeluarga seperti anak ayam kehilangan ibu.  Ayah sudah lama meninggal.  Ibu tiba-tiba melahirkan Ain,sedangkan ketika itu ayah sudah tiada. Adira menekup mulut.  Dadanya berombak. Nafasnya berhembusan kasar. Air matanya mula mengalir.  Wajah Ain menjadi santapan matanya tidak berkedip. Ain… Ain bukan anak arwah ayahnya? Dia mengira usia Ain. Terketar-ketar bibir Adira menahan gelora dilubuk hatinya.
            Terasa membahang kepanasan suhu badannya  Dia menjarakkan dirinya daripada Ain yang leka bermain.  Ain seperti berada dalam dunianya sendiri. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa ibu membenci Ain?  Adakah kerana Ain bukan anak arwah ayah?  Jadi, anak siapa?  Ibu melahirkan anak siapa?  Siapa ayah Ain?  Adira memandang wajah Ain sayu.  Kasihan kau dik, detik hati kecil Adira.Siapapun kau, kakal tetap sayang, bisik hati Adira lagi.
            Tapi kenapa ibu benci sangat dengan Ain? Adakah kerana kelahiran Ain bukan kehendak ibu?   Selama ini, Adira  sering mendengar sindiran orang kampung terhadap ibu, mereka kata ibu jual maruah sampai dapat anak cacat.  Itu balasan Allah kepada ibu.  Benarkah?  Adira mengerut dahi.  Permasalahan orang dewasa yang sukar difahami.
            Suara cengkerik  jelas kedengaran.  Suara katak sesekali menyapa, mungkin memanggil hujan turun. Kata ustaz di sekolah, setiap yang dijadikan Allah swt,tiada satu pun sia-sia.   Adakah kejadian Ain satu yang sia-sia?
            “Ain, kita pergi gosok gigi dan lepas itu tidur ya,” ajak Adira. Tiada secubit kebencian pun di hatinya terhadap adik bongsunya itu.  Siapapun Ain, dia tetap adiknya.  Adira mendekati Ain semula. Diraih dalam pelukan.  Diciumubun-ubunnya berkali-kali.  Air matanya gugur lagi.
            “Ada dosa kau dik, sehingga kau dibenci?”  soal Adira.
            Ain memandang wajah Adira lalu tersenyum.
            Semakin gugur jantung Adira.  Ain terlalu kecil untuk memahami.
            Adira menarik Ain ke dalam pelukannya. Diangkat dan diletakkan di atas katil bersaiz queen. Dibaringkan kepala adik  berlapik bantal yang sudah mengempis, kekabunya sudah mampat. Ditarik selimut yang berlipat kemas di atas bantalnya.  Ain diselimutkan, ditepuk-tepuk punggungnya agar cepat tidur.  Perlahan-lahan Ain memejamkan mata.  Adira mengelap airmata dengan hujung t-shirt muslimah yang dipakai. Dia bergerak turun dari katil dan keluar dari bilik itu.  Adira memandang ke  arah bilik ibu yang bersebelahan biliknya.  Tertutup rapat. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam Takkan ibu tak keluar mandi atau makan? Fikir Adira sendiri.
            Perlahan-lahan langkah di atur rmendekati pintu bilik yang berkunci rapat dari dalam.  Adira berdiri seketika.  Mencari ruang untuk memulakan gerak kata,bimbang juga ibu menerpa dan marahnya belum reda.  Takut amukan ibu kembali semula, dan Adira tidak mahu Ain menjadi mangsa kemarahan ibu.
            Adira tidak mahu beban persoalan dalam diri yang sedang berlegar-legar difikiran mengganggu jiwanya.  Dia perlu jawapan segera. Hanya ibu yangboleh menjawabnya.  Ruang tamu yang hanya bertikar getah, tidak berperabut dipandang kosong.  Lima belas tahun hidup dalam keadaan serba kekurangan. Celik-celik mata kehidupannya sudah begitu, serba tiada.  Sedikit pun tidak merisaukan hatinya.  Sudah terbiasa tidak punya apa-apa. Tiada televisyen, tiada radio, tiada telefon bimbit seperti sesetengah kawan-kawannya di sekolah.
            Sudahlah tiada ayah, tiada pula harta benda.  Hidup ada-ada sahaja.    Ayah meninggal kerana serangan jantung. Meninggal ketika tidur.  Usia muda atau tua, bukan penentu seseorang itu tidak jatuh sakit kata ibu kepadanya.  Mereka sudah cukup redha akan kehilangan itu.
            “Ibu!  Ibu!” panggil Adira sedikit kuat.
            Daun pintu dibuka  perlahan-lahan.  Sebaik terbuka, terpacul ibu dengan rambut kusut masai, mata yang membengkak.  Baju kurungnya sedikit terangkat, dibiarkan. Tuala berwarna kelabu tersandang dibahu.  Adira berundur ke belakang sebaik sahaja ibu berjalan keluar dari bilik.
            “Siapa ayah Ain?” tanya Adira.  Pertanyaan itu keluar spontan sebelum sempat dia berfikir akan tindakannya itu.
            Maria berhenti mengarut langkah.Wajah anak sulongnya dipandang agak lama. Bibirnya terkumat-kamit seperti ingin mengatakan sesuatu.  Dia meneruskan langkahnya untuk ke bilik air.
            “Ibu!  Benarlah kata orang kampung, ibu membuat onar sehingga melahirkan Ain?”  Adira tidak mampu bertahan lagi.  Suara-suara sumbang yang sering kedengaran menyapa telinganya. Ingin saja dia membiarkan suara itu berlalu seperti angin lalu.  Tetapi tidak mampu, orang yang dikata oleh mereka di luar sana, adalah ibu kandungnya sendiri.
            Maria memusingkan tubuhnya.   Wajah Adira yang muram dan beriak keruh ituditenung lama.
            “Kau tuduh ibu?  Tergamak kau tuduh ibu!?”  Maria mengetap bibir.  Dia masih boleh bertahan kalau tuduhan itu daripada orang lain, tetapi bukan daripada anaknya sendiri.
            “Dira bukan sengaja nak tuduh!  Dira nak kepastian!”  jawab Adira. Air matanya sudah pun bersedia di tubir matanya. Hanya menunggu waktu untuk mengalir keluar.
            “Siapa pun ayah Ain, bukan urusan Dira!” tengking Maria.  Fikirannya sudah cukup kusut dengan apa yang telah berlaku dengannya selama lima tahun ini.  Tidak cukupkah lagi penderitaan yang ditanggung selama ini?  Kenapa Allah berterusan menduganya? Bisik Maria dalam hati. Dia sudah tidak sanggup lagi menerima cemuhan dan umpatan orang sekeliling yang tidak berhenti bercakap tentangnya. Ingatkan setahun dua ini akan berlalu dan mereka melupakannya. Tetapi tidak, ia masih dinyanyikan setiap waktu.  Penat untuk menafikannya.
            Adira terdiam mendengar tengkingan ibu.  Dia mengetap bibir dan hanya memerhatikan ibunya berjalan menuju ke bilik air.   Sampai bila agaknya ibu nak berahsia daripadanya?  Adira mendengus kasar.  Dia kembali ke biliknya.  Tubuh kurusnya dibaringkan bersebelahan Ain yang lena tidurnya.  Wajah itu dipandang lama sehingga matanya terlelap.

PENGALAMAN SEWAKTU KECIL.


Emak jual pisang goreng di Jalan Bangsar sejak saya sekolah rendah. Setiap hari, selepas balik sekolah saya akan membantu emak berjualan. Sewaktu zaman awal 80-an siapa yang nak motivasi diri kata berniaga itu bagus. Saya sering berasa malu apabila kawan-kawan bertanya, "Mak kau jual goreng pisang ya?"
Saya anak yang sulong, urusan di rumah selalunya mak akan serahkan kepada saya. Teruk tau buat kerja. Kadang-kadang tak sempat nak bermain dengan kawan-kawan. Balik sekolah saja, tukar baju, terus pergi ke tempat mak berniaga. Tolong mak sampai pukul 6.00 petang.
Di rumah pula, kupas keledek, rebus dan tumbuk sampai sejuk. Kupas pula pisang untuk buat cucur pisang. Mak pula sibuk memasak lauk untuk makan malam kami sekeluarga.
Lepas makan dan siapkan semua kerja, basuh baju sekolah pula. Terasa letih yang amat sangat. Itulah rutin saya setiap hari sampai saya berkata dalam diri, tak nak terlibat dalam dunia yang berbentuk perniagaan.
Kadang-kadang berasa, mak terlalu kejam kerana asyik menyuruh saya melakukan kerja rumah. Belum lagi memantau adik-adik lagi empat orang itu. Mak sudahlah garang, kedekut pun ya. Jangan haraplah nak minta apa-apa tak perlu buat kerja.
Nak duit, buat kerja dahulu. Saya benar-benar berasa mak sangat kejam waktu itu. Maklumlah kita budak lagi, mana faham apa niat dan kebaikan yang mak kita lakukan kepada kita dalam usaha mendidik, mengajar kita menjadi manusia serb boleh.
Kekejaman itu amat bererti sekarang ini kerana saya mampu menjadi manusia yang boleh buat semua kerja rumah. Pandai sesuaikan diri di mana saja berada. Terima kasih mak!
Tapi, saya tidak mampu mendidik anak-anak saya dengan cara yang sama kerana anak-anak tinggal di asrama.
Namun, saya berpesan dengan anak-anak kalau pergi ke rumah sesiapa sahaja, ringankanlah badan. Buat kerja apa yang boleh. Bimbang saya, jika anak-anak tidak pandai bawa diri, nama saya dan suami juga yang buruk.

Sabtu, 4 Januari 2020

APA DOSANYA? - BAB 2 -Asmah Hashim.


Biarlah Adira membencinya, asalkan peristiwa malang itu tidak diketahui oleh anak sulongnya.  Allah! Ujian yang terlalu berat bagiku, detik hati kecil Maria, tangisannya bergema di dalam hati. Jeritan hanya dia yang mendengarnya. Terlalu parah, namun dia pasrah. Biarlah seberat Gunung Kinabalu yang menghempap tubuhnya, rahsia tetapakan menjadi rahsia.
Bagaimana mungkin dia melupakan kejadian awal pagi itu yang telah meragut maruah dirinya.  Sebagai seorang janda, belaian lelaki tidak lagi diperlukan.  Pinangan yang ditolak rupanya menyimpan dendam kesumat yang akhirnya mencemarkan maruah dirinya.  Maruah diri yang dijaga setelah kematian suaminya bertahun-tahun yang lalu. Kelahiran Ain mengundang bencana dan petaka dalam hidupnya.  Kata-kata nista dan hinaan orang kampung begitu menghiris hatinya. Dia anak beranak dipulaukan.  Tidak ada seorang pun yang sudi mengambil tahu.  Ceritanya dianggap hanya rekaan seorang janda yang kehausan.  Allah!Kejam sungguh tuduhan mereka.
Apakah dia buta hati, tidak kenal dosa dan pahala? Kalau sudah menggila nafsu berahi, dia rela bernikah sahaja.  Tetapi, itu bukan tuntutan nafsu kalau bukan kerana dipaksa oleh seorang lelaki durjana yang tergamak memusnahkan hidupnya.Lahirlah Ain yang tidak berdosa.  Anak luar nikah yang dibenci dan tidak diterima akan kelahirannya. Maafkan aku wahai anak! Bisik hati kecil Maria dalam sendu yang tidak sudah.  Tidak rela mengaku Ain anaknya.  Tidak sanggup memandang wajah kecil itu.Maria tahu, anak itu tidak berdosa. Namun, hatinya begitu keras tidak mampu menerima kehadiran Ain.  Hendak dibuang terasa kasihan.  Apa dosa Ain?
Lima tahun Ain hidup tanpa kasih sayang seorang ibu, biarpun ibu itu sentiasa ada di hadapannya.  Sakit demam Ain hanya Adira yang menjaga.  Tidur Ain Bersama Adira, mandi Ain, Adira segala-galanya.  Maria membuka mulut, gumpalan kain segera dikeluarkan setelah tangisannya semakin dapat ditahan. Matanya berasa bengkak dan perit. Sampai bila harus dia hidup begini? Hidup tertekan apatah lagi melihat wajah Ain, semakin rimas dirasakannya.
Kejamkah dia?  Ya! Benar, bukan dosa Ain, bukan salah Ain. Tetapi, dia tetap tidak boleh terima kehadiran anak itu.  Hendak hantar ke mana?  Siapa yang sudi menjaganya?  Rumah anak-anak yatim?  Ah! Adira tentu melarang.  Maria dapat melihat kecintaan yang teramat sangat Adira terhadap adiknya itu. Itu bukan adik Adira!  Ain bukan sesiapa.  Ain bukan adik Adira!
Lelaki durjana itu sebaiknya mati!  Berkerut wajah Maria.  Air matanya tumpah lagi.  Dia menarik-narik cadar yang telah usang warnanya itu.  Mengelodak jiwanya  Kalaulah masa boleh beralih,sudah pasti digodok sahaja lelaki itu dengan pisau menoreh getah. Biar mati!Mati! Mati! Jeritnya dalam hati.
Sejak itu dia selalu berhati-hati. Parang panjang sering dibawa sebagai senjata untuk mempertahankan diri.  Tidak kira siapa yang menerpa ke arahnya. Akan dicincang sehingga lumat. Tidak dibiarkan dirinya menjadi mangsa kebuasan lelaki jahanam yang hanya tahu memusnahkan!  Dia sudah tidak peduli.  Maruah diri akan dipertahankan biarpun nyawa menjadi galang gantinya. Peduli dengan kata nista, pergi mampus dengan penghinaan.  Apa yang berlaku sekarang, sudah cukupmemeritkan.  Pisang tidak akan berbuah dua kali.  Tubuhnya tidak akan dibiarkan disentuh oleh tangan-tangan jahat yang durjana, kejam dan menjijikkan!  Ah! Kenapa semua ini berlaku kepada dirinya? 
 Tangisannya berlagu sayu,sempit dadanya.  Terasa sesak nafasnya.  Laju degupan jantungnya.  Tubuhnya bergetar menahan kemarahan.  Masih terbayang akan wajah setan yang bertopengkan manusia itu.  Meragut maruah dirinya dengan rakus, tanpa berperikemanusian biarpun  dia merayu minta dilepaskan.  Janda miskin yang teraniaya, itulah dirinya.  Hembusan nafasnya kasar.  Berapi-api dadanya menahan amarah yang amat sangat.  Kalaulah lelaki itu berada di hadapannya sekarang, sudah pasti digodoknya dengan parang panjang. Biar mampus!Mampus! Jerit Maria dalam hati.
Dia memeluk lutut, menangis dan  meraung perlahan, biarlah derita itu ditanggungnya sendiri.  Keluarga membuangnya kerana berasakan dia perempuan sundal yang menjalang kerana tiada suami.  Kejamnya tuduhan mereka!  Tidak kenalkah mereka dengan darah daging sendiri? Apakah dia manusia asing yang tidak perlu diberi simpati?  Adik beradik menjauhkan diri sebaik sahaja Ain lahir ke dunia ini. Langsung tidak dipedulilan oleh mereka.  Rayuan dan ceritanya hanya dianggap sandiwara untuk menutup kejahilan diri.  Ah! Dia bukan seperti itu.  Dia masih manusia serupa yang punya Tuhan, ada hati, ada maruah diri.
Maria mengetap bibir.  Jari jemari dikepal sekuat hati.  Wajah lelaki itu bermain-main dalam fikirannya.  Jantan tak guna! Jerit suara dalam hatinya. Aku benci kau! Aku benci kau! Ulang suara di hati berkali-kali. Ain! Kenapa kau tak mati saja! Semakin kuat suara itu bergema di hati Maria.
Tidak lagi kedengaran suara Ain menangis. Sunyi sepi.  Katil besi yang semakin dimamah usia berkeriuk bunyinya apabila Maria bergerak.  Daun pintu bilik yang tertutup rapat dibuka luas, terasa lemas berada di dalam bilik yang hanya mampu memuatkan sebuah katil dan almari baju dua pintu. Segala-galanya usang di dalam rumah itu.  Maria sebak. Sampai bila dia harus hidup begini? Keluhannya tidak terjawab.  Akhirnya Maria melelapkan mata. Letih memikirkan kelangsungan hidupnya sekeluarga.





Khamis, 2 Januari 2020

PENGAMBILAN PELAJARA BAHARU


KEMURUNGAN SELEPAS BERSALIN . Asmah Hashim


KEMURUNGAN SELEPAS BERSALIN (Postpartum Depression- PPD)            
                Setiap pasangan yang berkahwin, pasti tidak sabar menyambut kelahiran seorang ahli baharu dalam keluarga.  Kehadiran si kecil ibarat pengikat kasih antara  suami isteri.  Pada mulanya ibu akan berasa bahagia saat si kecil berada dalam kandungan.  Semuanya berubah apabila sewaktu proses melahirkan pelbagai perkara terpaksa mereka lalui.  Perkara yang tidak pernah mereka bayangkan dan tidak pernah diceritakan kepada mereka.  Setiap ibu di dunia ini melalui proses melahirkan yang berbeza-beza.  Tidak akan sama.  Kesakitan ketika melahirkan.  Ada yang terpaksa dibedah pada saat akhir apabila si kecil sukar dilahirkan secara normal.  Kepenatan yang dirasakan ada ketika membuatkan si ibu berasa serik untuk mengandung dan melahirkan lagi.

                Menurut artikel yang dimuat naik dalam Asianparent. Tingkatan tekanan ada tiga.  Postpartum Blues adalah kemurungan selepas bersalin, antara tanda-tandanya  sering berasa sayu, mudah menangis, sentiasa berasa letih, mudah tersingung, biasanya akan hilang jika ada sokongan daripada ahli keluarga yang lain terutama suami.

                Kemurungan yang kedua pula berlaku apabila kemurugan pertama tidak ditangani dengan baik.  Ahli keluarga menganggap ibu muda ini mengada-ngada dan tidak mahu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu yang sedang dialami.  Jika dibiarkan akan membuatkan si ibu berasa semakin tertekan.  Ibu akan mula menangis seorang diri, mudah tersinggung dengan kata-kata ahli keluarga yang lain. Kurang tidur dan bimbang tidak kena pada tempatnya.

                Ketika kemurungan yang ketiga mendekati, ahli keluarga perlu bertindak segera dengan membawa ibu bertemu dengan pakar psikiatri agar masalah yang dihadapi boleh diselesaikan segera. Di saat terlihat ibu ini bercakap seorang diri, terdengar suara-suara halus yang menyuruh membunuh dan mencederakan bayi, usah dibiarkan sehingga perkara itu berlalu baharu hendak bertindak. Ia telah menjadi masalah mental kepada ibu. 
                Setiap perkara ada jalan penyelesaiannya.  Sebagai seorang ibu beragama Islam, sejak awal kehamilan lagi, ibu digalakkan perbanyakkan ibadah, seperti membaca al-Quran, berzikir dan membuat solat hajat serta berdoa agar diberi ketenangan, dipermudahkan segala urusan dan diberi kesabaran ketika menghadapi saat-saat melahirkan. 
                Kepada yang bukan beragama Islam pula, perbanyakkan membaca, bertanya dan berbual dengan mereka yang jauh berpengalaman, agar dapat melalui proses melahir dan berpantang berjalan dengan lancar. 
                Setiap ibu muda perlu tahu bagaimana keadaan bayi selepas dilahirkan. Perlu tahu bagaimana menangani masalah anak yang mula menangis, sukar didiamkan.  Ketika dan saat inilah pertolongan daripada seluruh ahli keluarga amat diperlukan, supaya ibu dan anak berjaya menempuh saat-saat yang sukar ini dengan hati yang tenang dan sabar.  Sokongan daripada  ahli keluarga sangat-sangat diperlukan.


ULASAN NOVEL CINTA ATAS KERTAS karya SHARIFAH ABU SALEM.

Cinta Atas Kertas.
Sharifah Abu Salem.
Alaf 21.
2015.
994 muka surat.
Watak: Adira, Zarul, Nasreen, Mia, Qhalif. Watak-watak tambahan.
Sinopsis: Zarul menerima bunga daripada bekas isterinya. Dia benar-benar marah dan tidak mahu menerimanya. Sejak bercerai, jandanya asyik datang mengganggu. Zarul rimas dengan keadaan itu.
Adira seorang gadis yang sudah berumur lewat 30-an, menerima panggilan daripada adiknya, Mia memberitahu kedua orang tua mereka minta mereka pulang segera. Rupanya, sahabat lama orang tua mereka ingin mencari calon menantu. Adira teruja mendengarnya. Mia juga begitu.
Qhalif, berharap Adira akan menerima pinangan emaknya.
Adira pula tidak sampai hati menerima pinangan keluarga Qhalif setelah mengetahui Mia juga mencintai lelaki yang sama.
Kehadiran Zarul secara tidak sengaja mengubah jalan cerita hidup Adira. Dia cuba menjadikan Zarul sebagai alasan menolak pinangan Qhalif.
Zarul pula mengambil kesempatan dengan kehadiran Adira untuk menjauhkan diri daripada gangguan Nasreen.
Nasreen pula masih berharap untuk kembali kepada Zarul. Cintanya masih mendalam kepada bekas suaminya itu.
Setelah berkahwin, Qhalif dan Mia terlibat dalam kemalangan menyebabkan Qhalif menjadi cacat. Mia pula mengalami kecederaan ringan.
Cinta bersegi-segi. Apa yang berlaku seterusnya? Mampukah Qhalif bahagia dengan Mia, sedangkan cintanya hanya kepada Adira?
Mahukah Adira menerima Zarul yang jauh lebih muda daripadanya? Adakah hubungannya dengan Zarul duda beranak satu diterima keluarganya? Mampukah Adira mencintai Zarul seperti mana dia mencintai Qhalif?
Mampukah cinta Mia bertahan setelah Qhalif yang dicintai menjadi cacat?
Kenapa Nasreen dan Zarul bercerai? Kenapa Zarul tidak mahu kembali kepada bekas isterinya dan mengejar Adira?
Kekeluargaan dan cinta.
Gaya Bahasa Malaysia Tinggi. Mudah difahami dan pembaca mudah menjiwai jalan cerita.
Plot yang kemas dan teratur. Tidak mengelirukan biarpun melibatkan kisah tiga keluarga, ada juga imbas semula.
Ulasan: Karya penulis yang saya minati ini tidak pernah menghampakan. Jalan cerita, konflik antara watak-watak buatkan pembaca tidak sabar-sabar ingin habiskan pembacaan. Ingin segera tahu penamatnya bagaimana. Nak tahu, apa yang berlaku kepada watak-watak yang ada.
Tahniah buat penulis. Semoga terus berkarya.

ULASAN NOVEL -SEPATU QUEEN karya MARIA QAY.

Sepatu Queen.
Maria Qay.
Aurora Creative.
2013.
308 muka surat.
Watak utama: Fina, Ray.
Sinopsis: Mengisahkan Fina seorang gadis kampung yang bekerjaya sebagai jurujual di sebuah kedai serbaneka 5 ringgit.
Fina seorang yang amat meminati kasut. Satu hari kedai kasut berjenama yang dia minati mengadakan jualan murah kasut PC200 yang amat diminatinya dan kasut itu merupakan edisi terhad.
Biarpun diberi potongan harga, Fina tetap tidak mampu membelinya. Harga kasut itu melebihi gajinya. Dia sanggup buat kerja lebih masa pada hujung minggu demi mengumpul duit untuk membeli kasut idaman hatinya.
Dengan bantuan kawan baiknya Salman, Fina dapat bekerja sementara dengan sebuah syarikat yang mengadakan jualan gudang. Dia bertemu demgan seorang lelaki yang menguruskan syarikat tersebut. Sering lelaki itu membantunya mendapatkan pekerjaan ketika hujung minggu.
Siapakah bos sementara Fina? Kenapa beliau baik sangat dengan Fina? Dapatkah Fina membeli kasut edisi terhad itu?
Jalan cerita yang tersusun, ikut kronologi. Menggunakan POV 1. Ada imbas semula, hanya diceritakan sambil lalu oleh watak utama.
Gaya Bahasa Malaysia Tinggi, biarpun diselitkan juga Bahasa Inggeris. Ada dailog dan naratif jenaka yang mampu buat kita ketawa seorang diri.
Latar tempat digambarkan dengan baik membuatkan pembaca mampu membayangkan kejadian yang berlaku.
Pengajaran yang dapat dikutip daripada novel ini, adalah kesungguhan seseorang yang kuat bekerja demi memenuhi impiannya tanpa meminta-minta daripada orang lain. Sesiapapun akan berjaya kalau yakin, berusaha dan berdoa. Pasti berjaya.
Genre cinta.
Ulasan: Buku ini sudah lama saya beli dengan penulisnya. Baru sekarang sempat baca. Maklumlah, buku yang tak terbaca beratus buah.
Biarpun hanya kisah seorang gadis yang gilakan kasut, tapi gaya penceritaan, gaya bahasa yang santai, mencuit hati membuatkan saya membaca sambil ketawa seorang diri. Nasib baik masih boleh tahan ketawa, kalau tidak mahu orang kata saya mereng.
Novel cinta yang santai tapi mencuit hati. Geram dengan perangai lurus bendul Fina.
Tahniah buat penulis.