Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 10 Disember 2019

NUKILANKU: BERTEPUK SEBELAH TANGAN TAKKAN BERBUNYI- ASMAH HAS...

NUKILANKU: BERTEPUK SEBELAH TANGAN TAKKAN BERBUNYI- ASMAH HAS...: Berlakunya rasa cinta antara suami orang dan isteri orang, janda atau anak dara, bermula dengan hanya berbual bicara. Kemudian bertanya kh...

BERTEPUK SEBELAH TANGAN TAKKAN BERBUNYI- ASMAH HASHIM.

Berlakunya rasa cinta antara suami orang dan isteri orang, janda atau anak dara, bermula dengan hanya berbual bicara. Kemudian bertanya khabar. Disulami pula bercerita tentang masalah rumah tangga masing-masing. Kemudian menambah perisa meminta nasihat, maka salinglah nasihat menasihati.
Hubungan terus berpanjangan, dari rasa suka, timbullah dalam hati, kuch,kuch hota hai. Ketika itu baharu sedar, eh! Aku sudah bersuami! Eh! Aku sudah beristeri. Eh! dia suami oranglah!
Bagaikan tarikan magnet, tidak mampu berpisah lagi. rasa suka dan saja-saja berbual sebagai rakan sekerja, kawan sepasukan, kawan sepersatuan, kawan suka-suka, akhirnya jadi kekasih hati yang tidak mampu dipisahkan lagi.
Kalau sudah bersuami, usahlah berani mendekati lelaki lain. Usah berbual mesra, usah bercerita apa yang ada di jiwa. Akhirnya pasti akan jatuh cinta. Ketika itu tiada siapa mampu menghalang rumah tangga yang ada musnah akhirnya.
Wahai Kaum Hawa, kalau ada masalah, inginkan panduan hidup, inginkan khidmat nasihat, carilah Kaum Hawa juga, ramai ustazah dan pakar kaunseling perempuan juga. Sama pakar dengan ustaz-ustaz di luar sana.
Kalau sudah beristeri, usahlah mendekati wanita lain. Usah sibuk hendak membantu, kononnya kita manusia paling baik di dunia. Akhirnya, hati jatuh sayang, ketika itu rumah tangga yang ada takut melayang lantaran isteri tua tak nak jadi penghalang.
Kalau ada yang datang meminta nasihat, perkenalkanlah dengan isterimu, suruh nasihatkan. Usah pandai-pandai jadi kaunselor yang akhirnya kau jadi teman sebiliknya.
Usah bercakap, ini sudah ditakdirkan! Sudah jodohku! Kau yang mencari! Kau yang memulakan langkah! Allah bagi akal, Allah juga bagi nafsu. Pertimbangkan perbuatan kita, usah salahkan takdir dengan apa yang berlaku.
Kau yang mencari, ia takkan datang sendiri. Allah tentukan yang baik-baik sahaja. Kalau terjadi yang buruk, itu salahmu sendiri.
Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

HARGAI ISTERIMU- ASMAH HASHIM.

Lelaki zaman ini seperti tidak berilmu dalam urusan rumah tangga. Ada masalah sahaja, mudah sangat ucapan talak dilepaskan! Takut-takut nanti, ramailah orang perempuan takut hendak bernikah!
Wahai lelaki,
Seorang anak perempuan, akan jadi beradab, berakhlak, beriman dan beramal soleh kalau ibu ayah mendidiknya dengan baik.
Seorang perempuan akan menjadi seorang isteri yang baik, beriman dan beramal soleh kalau lelaki yang menjadi suami mengajarnya dengan baik.
Seorang perempuan lembut hatinya, rapuh jiwanya.
Seorang perempuan tinggi malunya, sabar hati, kuat semangatnya.
Seorang perempuan dijadikan daripada tulang yang bengkok, kau sebagai lelaki bergelar suami harus pandai dan bijak meluruskannya.
Seorang perempuan boleh jadi sebaik-baik makhluk kalau kau pandai menunjuk ajarnya. Dia juga boleh menjadi sejahat-jahat manusia kalau kau salah membentuknya.
Seorang perempuan sanggup berkorban apa sahaja, selagi kau pandai memikat hatinya.
Seorang perempuan akan jadi isteri yang mithali kalau kau menjadi seorang suami yang mithali juga.
Seorang perempuan akan melimpah ruah kasih sayangnya kalau kau limpahinya dengan tujuh lautan kasih sayang.
Seorang perempuan akan setia sehingga ke syurga jika nikmat cinta yang kau taburkan sepenuh jiwa.
Seorang perempuan akan sempurna kebaikan kejadiannya jika kau menjadi seorang suami yang sempurna di mata dan hatinya.
Maka, nikmat yang mana hendak kau nafikan?

MEMBACA ITU JAMBATAN ILMU- ASMAH HASHIM.

Anak yang banyak membaca, fikirannya jauh lebih matang. Biarpun tidak bijak dalam persekolahan, sekurang-kurangnya dia lebih matang berfikir dan mudah diberi tunjuk ajar. Berbanding mereka yang tidak minat membaca atau hanya membaca buku akademik saja demi untuk lulus peperiksaan.
Anak yang suka kepada buku, lebih bijak mengatur arah tuju masa hadapan sendiri. Dia juga boleh berfikir dengan kritis dan bijak berkata-kata. Berbanding dengan anak yang tidak suka kepada bahan bacaan.
Anak yang tidak suka membaca, mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak sihat kerana kurangnya pengetahuan tentang sesuatu ilmu.
Anak yang tidak suka membaca, jiwanya mudah memberontak dan sukar ditegur.
Oleh itu, ibu ayah, terapkan minat membaca dalam diri kita dan keluarga supaya kita tidak melahirkan generasi yang mudah ditipu dan suka menipu.
Terapkan dalam diri anak-anak suka membaca supaya mereka punya keyakinan.
Didiklah mereka suka membaca agar faham erti kehidupan.
Keluarga yang tidak suka membaca akan mundur fikiran dan kehidupan.
Bacalah al Quran kerana ia penenang hati dan jiwa.

PENGALAMANKU - ASMAH HASHIM.

Pertama kali terlibat membantu anak-anak yatim adalah ketika saya bekerja dengan ABIM KEDAH, berjawatan Setiausaha Kerja HELWA, merangkap Pembantu Tadbir, Sekretariat ABIM KEDAH.

Bersama dengan barisan pimpinan Helwa negeri, kami menganjurkan program Kembali Ke Sekolah dengan memberi bantuan pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis.

Saya yang menyediakan semua perancangan, surat menyurat dan bersama Naib Pengerusi Helwa ketika itu Puan Rohana, isteri kepada YDP Abim Kedah ketika itu, Tuan Haji Ahmad Kassim, kami menjelajah sekolah sekitar Kota Setar untuk mencari anak-anak yatim asnaf yang boleh diberi bantuan tersebut.

Kami juga mula menghantar surat kepada waris-waris pelajar SRI Alor Setar untuk mendapatkan sumbangan serta badan-bafan dan syarikat-syarikat yang ada di sekitar Alor Setar.

Alhamdulillah, projek tersebut berjaya dan saya berjaya membuatkan majikan kagum dengan kemampuan saya dan anggota AJK Helwa ketika itu.

Pindah ke Kuala Lumpur semula, saya diberi peluang sekali lagi oleh badan NGO ini, bertugas di sebuah rumah anak yatim dibawah kelolaan ahli ABIM juga. Dua tahun bertugas mengurus, memasak dan menjaga kewangan rumah anak yatim itu benar-benar memberi peluang saya berkhidmat dengan bersungguh-sungguh.

Sekarang, membantu suami menguruskan rumah anak yatim tahfiz, biarpun tidak terlibat secara langsung, kerana tugas saya hanya memasak untuk mereka. Berbeza ketika saya bekerja dengan orang lain dahulu.

Biarpun hanya tukang masak untuk anak-anak yatim, saya akan pastikan mereka dapat menikmati makanan yang enak dan disukai oleh mereka.

Saya yakin rezeki anak-anak yatim ini pasti ada. Allah swt tidak akan mensia-siakan mereka. Allah tidak akan berlaku kejam kepada anak-anak yang tidak berayah ini.

Anak-anak yatim jagaan kami ini sentiasa dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Sebut sahaja teringin atau terdetik ingin makan apa, pasti Allah kurniakan. Kerana Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki.

Apa amalan anak-anak ini? Mereka berqiamullai setiap hari, puasa Isnin dan Khamis. Solat awal waktu. Makanan yang terhidang di dalam talam dihabiskan semuanya, kecuali tulang. Sewaktu menjamu selera, mereka diajar mengikut adab yang betul ketika menjamah rezeki. Mereka diajar agar tidak membazir.

Ajarlah anak-anak menghargai rezeki, jangan membazir dan membuang makanan yang tidak habis. Kerana keberkatan rezeki terletak di situ. Allah akan memberi rezeki kepada yang tahu bersyukur.

Antara tanda-tanda bersyukur, kita tak membuang makanan yang ada dalam pinggan.

Jadilah hamba yang menghargai kurniaan Ilahi.

Sarapan pagi anak-anak hari ini, nasi goreng ikan sardin.

ULASAN NOVEL CINTA CAPE TOWN - ASMAH HASHIM.

Cinta Cape Town.
Nora Isma Fuad.
Buku Prima.
2013
613 muka surat.
Watak: Saiful Anuar, Nur Katrina, Nur Natra, Muhamad Adduha Adha.

Sinopsis: kisah perjalanan hidup empat watak utama sehingga bertemu erti bahagia yang sebenar.
Saiful seorang suami yang sibuk dan dingin. Sikapnya yang ambil mudah urusan rumah tangga dan perasaan seorang isteri membuatkan Katrina berasa hati. Terasa seperti dirinya tidak disayangi lagi.
Katrina pula berasa cinta suaminya sangat hambar. Kadang-kadang dia kecewa dengan sikap sambil lewa suaminya yang juga adak kedekut orangnya.
Rumah tangga mereka diuji, Saiful telah ditangkap berkalwat dengan seorang gadis yang bekerja di sebuah restoran.
Kejadian itu benar-benar mengecewakan Katrina sehingga membuatkan dia mengenang Nik Hisyam.
Nik Hisyam pula mula membeli lukisan yang dilukis oleh Katrina.
Muhamad Adduha atau Duha mencari isterinya yang hilang secara tiba-tiba. Jiwanya kacau, hatinya tidak tenteram namun dia berusaha menerima takdir yang berlaku.
Natrah berusia 30 tahun, berasa kecewa kerana masih bersendirian. Kadang-kadang terasa rendah diri kerana tidak ada lelakikah yang sudi mengambilnya sebagai isteri? Satu hari dia dipinang seorang duda bernama Sulaiman. Mereka akhirnya bernikah gantung. Adakah Natrah bertemu bahagia?
Duha pula, tiba-tiba terpikat dengan Natrah sewaktu mereka bertemu buar pertama kali. Dia kecewa sebaik saja mendapat tahu Natrah sudah berumah tangga.
Apa yang berlaku seterusnya? Dapatkan buku ini jika ingin tahu kesudahannya.
Plot: Bukan kronologi, ada imbas semula. Penceritaan lancar. Pasti pembaca tidak sabar ingin menghabiskannya dan ketahui kesudahan jalan cerita ini.
Tema: Kekeluargaan dan cinta.
Menggunakan POV 1 dan POV 3.
Gaya bahasa santai.
Pengajaran: Jodoh itu di tangan Allah. Usah mengeluh jika belum bertemu jodoh. Sentiasa hargai pasangan masing - masing.
Ulasan: Apabila seorang guru yang menulis. Latar tempat yang penuh, ditulis lengkap. Menceritakan keadaan di satu-satu tempat seperti berada di tempat kerja Saiful. Tempat-tempat lawatan seperti di Afrika dan sekitar Kuala Lumpur terasa kita turut berada di sana.
Penulis berjaya menarik hati saya ingin membacanya sehingga ke garisan penamat. Saya ingin tahu apa yang berlaku kepada semua watak.
Tahniah buat puan penulis. Semoga beliau menulis kembali. Sudah lama tiada buku baharu daripada beliau.

Rabu, 4 Disember 2019

ORANG KETIGA? - Asmah Hashim