Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 20 Februari 2018

ANAK ADALAH AMANAH.



Anak yang dilahirkan oleh kita bukan diberikan hanya suka-suka oleh Allah swt. Ada tanggungjawab yang terpikul di bahu kita sebagai orang tua. Amanah yang tidak seharusnya disia-siakan oleh kita sebagai pemegang amanah. Setiap amanah yang diberi pasti akan ditanya oleh Allah swt, bagaimana kita menjaga amanah kita ini.
Anak dilahirkan umpama kain putih, suci bersih, kitalah yang mencorakkannya untuk letak warna apa. Cuba lihat dan pandang anak-anak kita, tahu solat? Tahu membaca Al Quran? Sudah kenalkan anak-anak dengan Allah swt? Tahukah anak-anak siapa Nabi Muhamad saw? Itu semua tanggungjawab kita sebagai orang tua mereka.
Ibu-ibu, jangan terlalu biarkan anak-anak terlepas bebas sejak kecil lagi, apabila anak-anak meningkat remaja takut tidak terkawal nanti. Keluar malam, bergaul bebas lelaki dan perempuan. Jangan sesekali izinkan kerana kesannya kita sendiri yang akan tanggung di kemudian hari.
Anak yang tak terkawal oleh kita, mulalah kita fikir nak hantar ke sekolah tahfiz atau sekolah pondok. Tempat yang baik itu kita jadikan seperti tempat pemulihan akhlak buat anak kita. Padahal sepatutnya pendidikan bermula dari rumah. Ibu ayah guru pertama buat anak-anak.
Ubahlah cara berfikir. Ubahlah cara bertindak. Kepada ibu ayah yang masih punya anak kecil lagi, mulakanlah dari sekarang untuk mendidik anak-anak cara hidup orang Islam dan Melayu. Ada batasan, beradab, berakhlak dan bersopan-santun.
Jangan jadikan anak-anak kita mangsa kerakusan kita mengejar harta dunia sehingga lupa tanggungjawab yang sebenar. Jangan kita serahkan bulat-bulat mendidik anak-anak kita kepada guru-guru di sekolah.
Baik buruk anak kita terletak di bahu kita sendiri. Jahat atau baik anak-anak kita, kita sendiri yang membentuknya. Sentiasa muhasabah diri sendiri. Usah salahkan orang lain.
Di mana salah dan silap kita sehingga anak-anak tidak menjadi seperti yang kita harapkan. Selidiki sumber rezeki yang kita perolehi. Jaga hubungan kita dengan Allah, pasti Allah jaga mereka yang ada di sekeliling kita.
Begitu jugalah anak-anak yang kami terima di Maahad kami, bukan mudah mendidik anak-anak yang tidak terdidik sejak kecil.
Fikir-fikirkanlah!

Kredit keratan di bawah: Hjh Salmiah Alias, Mc Ani.

Jumaat, 9 Februari 2018

CERITA 3

Sewaktu menghantar anak-anak belajar di sekolah pondok atau maahad, kami jarang bertanya soal makan, atau ustazah ada pukul tak? Dua soalan yang saya rasa agak sensitif. Seperti kita tidak percaya kepada ustaz dan ustazah yang mendidik anak-anak kita.
Bukan kerana anak-anak saya tidak pernah dimarahi dan didenda, tapi kita letakkan kepercayaan kepada insan-insan pendidik ini mendidik anak-anak kita dengan cara yang telah mereka tentukan.
Dengan yuran RM300++, di situlah gaji ustaz dan ustazah, di situlah duit makan, di situlah duit fasiliti, di situlah duit sewa bangunan, berapa jumlah yang diperuntukan untuk makanan? Makan pula sehari tiga kali. Saya bersyukur, anak saya masih diberi rezeki. Kalau saya nak anak-anak saya makan enak-enak, sepatutnya sayalah yang menyumbang makanan pada pondok tempat anak saya belajar.

Saya menghantar anak-anak belajar dengan mereka yang pakar dengan ilmu masing-masing seperti menghafal al Quran dan ilmu agama yang lain. Jika saya terlalu memikirkan anak saya makan sedap ke tidak, tidur selesa ke tidak, kena pukul ke tidak, sampai bila pun saya telah menanamkan perasaan tidak percaya kepada ustaz dan ustazah mereka, dan sebaiknya saya buka pondok sendiri, biarlah anak-anak berada di hadapan mata. Itu bermakna saya telah mengajar anak saya sentiasa hidup dalam lingkungan selamat dan tidak tahu berdikari dan membawa diri, sampai bila?

Saya tahu bukan mudah untuk mereka mendidik anak-anak saya. Mereka bukan hanya menjaga anak-anak saya sahaja, tetapi puluhan, kadang-kadang ratusan. Perangai dan sikap yang berbeza-beza, ada yang beradap, ada yang bengis tak kena tempat, ada juga tak ikut peraturan, suka melawan, memilih makanan, ikan tak makan,sayur tak makan. Saya pasti, kepala ustaz dan ustazah pasti berpusing 360 darjah untuk menyelesaikan masalah anak-anak saya dan pelajar-pelajar lain.

Datang daripada latar belakang yang berbeza,pendidikan ibu ayah juga berlainan, tinggal di pondok atau ma'ahad hendak dibentuk menjadi satu, bukan mudah. Saya tetap memberi ruang dan peluang kepada ustaz dan ustazah untuk membentuk adab, akhlak dan keperibadian anak-anak saya menjadi yang terbaik disamping ilmu-ilmu yang diberi.

Begitu juga di sekolah-sekolah, sama sahaja masalahnya. Sebagai orang tua, kita letak diri kita di tempat guru-guru tersebut. Kita lihat perangai anak-anak kita, adakah kita sanggup duduk berjam-jam melayan kerenah mereka yang pelbagai ragam? Paling tidak, kita turut naik angin apabila mereka malas belajar, malas mengemas dan hanya tahu goyang kaki, nakal dan degil.

Beri kepercayaan kepada ustaz, ustazah, guru-guru dan mereka yang mendidik anak-anak kita. Letakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka seperti mana emak dan ayah kita meletakkan kepercayaan kepada mereka yang mendidik kita dahulu menjadi seperti hari ini.

Kepada ustaz, ustazah, cikgu-cikgu dan pendidik sekalian terima kasih kerana mendidik anak-anak kami.

CERITA 2

Sewaktu anak-anak belajar di sekolah agama atau sekolah pondok, saya tidak fikir apa mereka akan lakukan selepas tamat belajar. Apa yang ada dalam kepala adalah anak-anak ada ilmu agama dalam diri. Soal kerja, itu rezeki daripada Allah, biar Allah tentukan.

Biarpun yang sulong berpendidikan di sekolah agama dan pondok sehingga ke Indonesia, tapi ambil juga SPM dan STAM. Pernah menjadi guru di sebuah sekolah swasta. Kerana dia amat berminat dengan IT, akhirnya suruh dia sambung belajar dalam bidang IT.

Yang kedua, sudah tamat belajar menghafal Al Quran sehingga ke peringkat Diploma, sudah pun mengajar.

Apapun bidang yang kita pilih atau anak-anak kita pilih untuk masa hadapan mereka, usah fikir sangat nanti nak kerja apa? Makan apa? Sesungguhnya setiap rezeki anak Adam yang ada di dunia ini sudah ditentukan Allah swt.

Usah bimbang, berilah ilmu dunia dan akhirat kepada anak-anak kita agar mereka mampu untuk meneruskan hidup.

Paling penting ilmu agama, agar mereka kenal diri dan tidak berbuat onar di muka bumi.

CERITA 1


Anak sulong pernah menyambung pelajaran dalam bidang agama di Pesantren Ma'had Az Zein Al Makki Bogor, Jawa Barat Indonesia. Ketika itu usianya 16 tahun.
Dia sering bercerita bagaimana para pelajar di sana yang sangat mujahadah dengan ilmu yang mereka pelajari.
Pelajar-pelajar pula ada yang datang luar dari Jawa Barat seperti dari Kalimantan dan Sumatera, sudah tentu perjalanan pergi dan balik ke kampung halaman teramatlah jauh dan memakan belanja yang agak tinggi. Kebanyakan pelajar yang tinggal jauh hanya pulang ke kampung halaman mereka setahun sekali atau pulang setelah tamat pengajian.

Makanan di pesantren pula ala kadar sahaja. Tidak semewah sekolah-sekolah pondok kita di sini. Menurut anak saya, kawan-kawannya biasa makan nasi berlaukkan maggi dan keropok. Mereka makan penuh berselera. Pelajar tahfiz pula, makan hanya sehari dua kali sahaja.

Pelajar-pelajar Indonesia ini biarpun tidaklah terlalu berdisiplin tetapi mereka amat menghormati guru-guru mereka serta tekun menuntut ilmu. Tidak sempat nak balik mengadu kepada kedua orang tua.

Begitu juga pelajar-pelajar Kemboja yang datang belajar di negara kita. Mereka hanya pulang ke kampung setelah habis belajar.

Kesusahan dan kesempitan hidup di negara asal membuatkan pelajar di kedua-dua negara ini tekun menuntut ilmu. Tidak banyak kerenah dan tahu menghormati orang lain. Mereka lebih menghargai apa yang dimiliki.