Hajah Kemboja memandang wajah kakak sulungnya
yang masih lagi menangis di hadapannya.
Cerita yang didengari daripada mulut perempuan itu cuba dihadam
perlahan-lahan. Tahulah dia, Rabeta sudah sampai ke rumah bekas menantunya.
Kenapa anaknya tidak pulang ke rumah?
Mendengar cerita Hajah Kamalia tentang
besannya, membuatkan Hajah Kemboja hanya mampu beristighfar. Mulut Hajah Aminah
bukan boleh ditutup, kalau marahnya datang, bagaikan taufan, habis ditelan
segala yang ada di sebelah. Dia tidak
mahu anak buahnya, Aida yang kini menjadi menantu bekas besannya itu menerima
tekanan pula.
“Kalau
ikutkan hati along, nak saja along ganyah mulut si Minah tu. Sanggup dia
malukan Rabeta? Rabeta pula langsung tak melawan, biarkan saja orang menghina
dia. Kalaulah along berada di tempat dia, mahu along mengamuk di situ juga.”
Air matanya yang mengalir dilap perlahan
dengan hujung baju. Perasaan hiba menyentap jantungnya. Perasaan pilu dan sedih
mengamuk di hati. Ringan saja mulutnya hendak menyerang besannya ketika itu, tapi memikirkan cucu-cucu dan anaknya,
dia pendamkan sahaja. Panas tangan dan kakinya ketika itu.
“Ngah dah malas nak bising dengan Kak Minah
tu, along. Perangainya tidak pernah berubah. Ikut suka dia nak kata kat orang,”
luah Hajah Kemboja tentang bekas besannya itu.
“Along
pun tak nak ambik kisah sangat, ngah.
Menyesal pula along izinkan Aida berkahwin dengan Ramadan. Kalaulah
along tahu nak jadi macam ni…” keluhnya.
“Tak
baik along cakap macam tu, dah jodoh mereka. Niat kita pada mulanya nak Aida
jaga anak-anak Eta, along dah lupa ke? Betullah tindakan kita tu. Jangan pula
along menyesal?” Hajah Kemboja memegang tangan kakaknya dengan mata
berkaca.
Biar sebab apa pun perkahwinan Aida dan Ramadan,
ketika itu dalam minda mereka hanyalah memikirkan masa depan anak-anak Rabeta.
Mereka tidak mahu anak-anak Rabeta beribu tirikan perempuan yang mereka
tidak kenali. Sekurang-kurangnya Aida boleh menjaga anak buahnya sendiri dengan
baik.
“Along
tak jumpa Eta?” tanya Hajah Kemboja.
“Along
tak nak keruhkan keadaan, waktu mereka sedang sakan bertengkar, along terus
balik rumah. Tengok Eta peluk anak-anaknya buat hati along hancur. Berbelas
tahun mereka terpisah. Bila dah bebas, tak boleh pula bertemu mereka. Kita juga
seorang ibu, tentulah kita dapat rasakan kepedihan hatinya,” luah Hajah Kamalia.
“Angah
rindu sangat dengan Eta, kenapa dia tak balik, long?” tangis Hajah
Kemboja.
“Sabarlah
ngah… nanti along tanyakan Kamarul. Kamarul yang jemput Rabeta ke majlis
tempohari,” janji Hajah Kamalia.
“Kamarul
ada datang rumah ni minggu lepas. Dia
ada minta gambar Eta. Rupa-rupanya dia nak cari mamanya. Jumpa juga dia dengan
Eta, ya.” Hajah Kemboja menarik nafas lega. Cucu-cucunya masih mengenang dan
mengingati mama mereka.Cuma, Riyana mungkin tidak perasan, sewaktu
ditinggalkan, dia masih kecil sangat lagi.
“Waktu
Eta tinggalkan Jasmina dan Kamarul, mereka dah besar, tentulah mereka masih
ingat.”
“Yalah,
long. Ramadan saja yang tidak mahu anak-anaknya ingatkan Eta. Habis semua
gambar Eta dibuang,” cerita Hajah Kemboja. Itulah yang diceritakan oleh Kamarul
kepadanya.
“Jangan
sampai Abang Mail tahu Eta balik ke sini, sudahlah. Bising pula dia nanti.”
Kalaulah suaminya tahu, tentu membebel berhari-hari.
“Angah
ingat, bekas besan angah tu akan diamkan diri? Mesti dia cari Mail di masjid.”
Hajah Kamalia mencebik. Dia faham benar sikap
besannya itu. Suka mencari salah orang lain.
Salah sendiri langsung tidak nampak. Hingga ke hari ini, cerita perihal
Rabeta masih lagi dijaja sekeliling kampung.
“Entahlah
along, tak tahu angah nak cakap apa.” Dia hanya mampu mengeluh dan memendamkan
semua perasaan terluka dan sedih jauh di lubuk hatinya. Tidak mampu diluahkan.
Bunyi
deruman enjin motor mematikan perbualan mereka. Lantas mata mereka terarah ke
pintu utama yang tertutup rapat. Kemudian
mereka saling memandang. Ada getar di hati masing-masing.
“Tak
guna! Kenapa dia balik ke kampung ni?”
jerit seseorang mendekati pintu.
“Itu
suara Mail, kenapa dia menjerit?” Hajah Kamalia bingkas bangun. Bunyi enjin
motosikal dimatikan menyapa telinganya. Daun
pintu dibuka perlahan. Terpacul adik iparnya dengan wajah mencuka.
“Along
ada di sini? Apa halnya?” tanya Haji Ismail sedikit kasar. Marah masih berbaki hingga
terkeluar nada yang tidak sepatutnya terhadap kakak iparnya.
“Abang
kenapa? Balik rumah marah-marah?” Hajah Kemboja kurang senang dengan sikap
suaminya. Dia bangun berdiri. Mata suaminya ditatap lama. Mencari jawapan dari
mata yang sedang bengis itu.
“Yalah
Mail, kenapa marah-marah? Along yang tak tahu apa-apa ni pun, kau nak marah?” Hajah
Kamalia mengerut dahi. Dia kembali duduk di sofa. Memandang wajah adik iparnya, menunggu
jawapan setiap pertanyaan yang dilontarkan.
“Along
tanyalah besan along tu. Buat bising di masjid. Menceceh pasal Rabeta
mengganggu majlis pertunangan Jasmina. Tak habis-habis lagi dendam dia dengan
anak kami? Perkara dah lama
berlalu. Si Ramadan tu masih sihat dan
hidup lagi. Kenapa dia masih tak puas hati?” Geram pula dia dengan sikap bekas
besannya. Nama sahaja lelaki, tapi mulut macam perempuan. Suka sangat mengata
dan membawa cerita, seolah-olah keturunan dia sahaja yang baik-baik belaka.
“Mansor?
Atau si Minah?” soal Hajah Kamalia.
“Dua-dua
sama saja, baik si Mansor dan si Minah. Tak habis-habis burukkan Eta.”
“Along
dah agak, mesti dia buat cerita memburukkan Eta lagi. Buat malu saja.” Hajah
Kamalia mengeluh kesal.
Lagipun hubungannya dengan besannya itu
bukanlah mesra sangat. Duduk sahaja dekat tapi jarang berjumpa. Dia sendiri
tidak suka melayan mulut murai besannya itu.
Kalau datang rumah, tiada kisah lain yang akan jadi bahan bualan, pasti
kisah rumah tangga orang lain. Menambah
dosa sahaja.
“Along
tahu Eta ada balik sini?” Haji Ismail memandang wajah kakak iparnya meminta
kepastian.
“Along
ada dalam majlis tu, Eta tak salah pun. Dia datang sebab ada yang menjemput.
Takkan nak tolak?”
“Siapa yang jemput?”
“Cucu
kitalah, Kamarul. Dia dah jumpa Eta, itu sebab tu dia jemput.” Dia pasti tentu
Kamarul ada sebabnya tersendiri, sedangkan dia tahu, keluarga ayahnya tidak
suka dengan Rabeta.
“Kamarul?
Mana dia jumpa mamanya?” Haji Ismail mengusap janggutnya yang sejemput
itu. Sudah mula memutih dipenuhi uban.
“Tak
tahulah Mail… Along sendiri belum sempat bertemu Kamarul, nak juga bertanya di
mana dia bertemu Rabeta. Malas pula along nak ke rumah Ramadan, masih bersisa
sakit di hati along ni. Lepas apa yang mereka buat pada Rabeta.”
“Kenapa
dia datang? Takkan dia tak tahu alamat itu alamat kampungnya sendiri? Tak
tengok ke nama di kad? Tak mungkinlah dia lupa nama anak-anaknya sendiri?”
rungut Haji Ismail Dia bukan tidak sayangkan Rabeta, sayang sangat-sangat.
Cuma, dia tidak mahu maruah anaknya diinjak-injak oleh orang seperti bekas
besannya itu, tidak ada hati dan perasaan.
“Kalau
along jadi Eta, along datang. Nak tengok anak along bertunang. Berbelas tahun
tak bertemu, tentulah rindu. Takkan itu pun tak boleh?” Bagai dapat merasakan apa yang tersimpan di
hati anak buahnya itu. Hati seorang ibu. Dadanya sesak, pilu menghimpit keras.
“Entahlah
along, susah nak cakap. Bukan kami tidak simpati. Tapi along tengoklah sendiri,
apa dah jadi? Mahu bertahun pulalah
besan along tu menceceh cerita yang sama.”
Resah mengusik hatinya. Hiba mengenangkan nasib anak perempuan
tunggalnya. Sudahlah zuriat hanya ada
dua orang sahaja. Terpaksa pula berpisah jauh lantaran mulut orang.
“Sabarlah
Mail. Along pun tak tahu nak cakap apa
pasal perangai besan along tu.” Sesak
dadanya. Malu pun ada, yang dihina itu adalah anak buahnya sendiri, yang
mengata pula adalah besannya. Serba salah
jadinya.
Mereka
terdiam. Masalah yang tidak akan selesai. Mereka melayan perasaan
masing-masing. Dendam yang bertakhta kalau tidak dibuang akan terus
membakar. Barang yang lepas usahlah
dikenang. Masing-masing melepaskan keluhan berat.
***
Ramadan
memandang tajam wajah Kamarul yang menunduk merenung lantai. Geram dan marah bercampur jadi satu. Kalau
ikutkan hatinya, mahu sahaja dia pukul anak bujangnya yang pandai-pandai
menjemput bekas isterinya datang ke rumah. Sengaja Kamarul hendak memalukan dirinya,
sudahlah Jasmina bertunang dengan lelaki sebaya dia. Ini, anak sulungnya pula
buat perangai tidak semenggah. Dia sudah cukup malu sejak bekas isterinya dipenjara.
Pelbagai spekulasi bertiup di kampung itu.
“Kenapa
Kamarul buat apa macam ni? Apa salah ayah pada Kamarul?” jerkah Ramadan. Wajah
muram anaknya langsung tidak mengusik hatinya. Malah bertambah marah dan sakit
hati. Belum cukup dewasa, sudah memandai
buat keputusan sendiri. “Mama berhak
datang! Jasmina kan anak mama juga?”
“Kamarul
dah lupa ke? Mama pernah cuba bunuh ayah!” Ramadan menjegilkan mata.
“Bukan mama yang cederakan ayah! Mama takkan
buat! Semuanya fitnah, mama teraniaya!” Kamarul keras mempertahankan mamanya
sendiri. Dia benar-benar yakin, mamanya tidak akan melakukan perkara seperti
itu.
“Bukti
dah ada, Kamarul. Takkan nak nafikan
lagi?” sampuk Aida yang membatu sejak tadi. Mendengar sahaja pertengkaran kedua-dua
beranak itu. Pada mulanya dia malas nak masuk campur. Silap cakap, dia pula
yang kena marah nanti.
“Mama
Aida pun percaya ke? Takkan Mama Aida tak kenal dengan sepupu sendiri? Adakah
mama, orang seperti itu? Tergamak ke mama nak bunuh orang yang dia cintai? Apa
motifnya?” Matanya tajam menikam Aida yang duduk di sebelah ayahnya.
“Jas
sendiri dah lama ingin bertemu dengan mama, tapi tak berani. Nasib baik along
bawa mama pulang. Dapat jugalah Jas melepaskan rindu.” Jasmina memandang wajah ahli
keluarganya. Bimbang melihat
pertengkaran mereka. Padahal perkara itu boleh diselesaikan dengan cara yang
baik. Bukan dengan bertenang urat
seperti itu. Itu belum masuk datuk dan neneknya lagi. Kalau ada mereka berdua
pasti pecah rumah itu.
“Sudah
Jas! Nasib baik waktu kejadian, rombongan lelaki belum sampai. Kalau tidak malu
kita semua! Ayah dah cukup dimalukan. Saudara-mara dah mula mengata. Malu tahu
tak?” tempelak Ramadan. Dia menumbuk meja, melepaskan rasa marah di hati.
Dia tidak suka anak-anaknya rapat dengan
Rabeta. Biar mereka tidak kenal siapa Rabeta. Biar mereka lupakan Rabeta.
Itulah yang dia mahu, seperti mana dia membunuh Rabeta dari hatinya dan
menghilangkan terus dari mindanya.
“Kenapa
ayah, datuk, nenek dan Mama Aida kejam sangat? Takkan tak ada sedikit pun rasa
simpati di hati terhadap Mama? Mama tentu dah cukup terseksa dan diseksa sejak
berpisah daripada kami?” Kamarul mengetap bibir. Perasaannya hancur dan kecewa.
Hubungan yang ada kenapa harus diputuskan?
“Simpati?
Ayah nyaris mati, tahu tak Kamarul!” Ramadan menahan geram. Susah betul hendak
memahami diri anak bujangnya itu. Masih berkeras dengan pendapatnya. Semakin
menjadi-jadi menyokong Rabeta.
“Ayah
tak mati, kan? Mama pula dipenjara 15
tahun. Tak cukup lagi ke? Kalau benci sekalipun, sekurang-kurangnya ada
sedikit perikemanusiaan di hati ayah terhadap Mama.”
“Kamarul!
Jangan biadap!” jerkah Ramadan. Wajahnya merah padam menahan marah.
“Kamarul
bukan berniat nak biadap dengan ayah, tapi tolonglah, simpatilah sedikit dengan
Mama. Benarkanlah kami bertemu dengannya. Kami anak-anak dia.” Kamarul
menundukkan kepala. Hiba mencanak-canak datang. Tubir matanya mula berair.
Pada hari pertama dia bertemu mamanya, dia melihat
ada kesedihan di wajah mamanya. Matanya suram bagaikan ada kerinduan yang
bersarang. Wajah yang penuh dengan
kesedihan, biarpun tidak henti-henti melakarkan senyuman. Senyuman kepura-puraan
untuk menggembirakan orang lain.
“Ayah
takkan benarkan! Tiada siapa boleh berjumpa dengan dia! Titik! Noktah! Faham!?”
Menyebut namanya pun kalau boleh Ramadan tak mahu.
“Ayah!”
Kamarul tidak setuju. Ini tidak adil.
“Jangan membantah, Kamarul!”
“Ayah
tak mahu kamu terikut perangai dia!”
“Mama
Eta seorang ibu yang lembut, penyayang dan baik.” Kamarul kesal dengan tuduhan
ayahnya.
Tidak mungkin mamanya akan mengajar perkara
yang tidak baik pada mereka. Mamanya mampu menjadi permata di perlimbahan. RIKA
buktinya. Pengaruh tidak baikkah itu? Remuk hatinya. Ayah tidak cukup mengenali hati budi mamanya.
“Kamarul,
cuba jangan membantah!” tegur Aida lagi.
“Inilah
pengaruh buruknya, Kamarul dah pandai melawan ayah! Tidak hormat ayah
lagi! Pernah ke Kamarul begini, sebelum
ini?” kata Ramadan, tidak mahu berundur. Masih dengan pendiriannya.
“Ayah!
Kejam sungguh tuduhan ayah terhadap mama. Apa yang Kamarul katakan, hanya lahir
dari hati Kamarul sendiri. Tak ada kena mengena dengan mama.” Kamarul bingung. Diluah mati bapa, ditelan
mati emak. Serba salah jadinya. Kedua-duanya insan yang disayang dan dihormati.
Bukan berniat hendak bertegang urat dengan ayahnya. Dia sekadar meluahkan hati
seorang anak yang rindukan mamanya, itu sahaja.
“Ayah,
benarkanlah kami bertemu mama. Sekalipun
jadilah,” rayu Jasmina, kalau boleh dia tidak mahu menambah kemarahan ayahnya. Apa
yang berlaku ketika ini membuatkan dia takut. Belum pernah mereka bertengkar
seserius ini, anak-beranak. “Tak boleh!
Tak faham lagi ke?” tengking Ramadan. Susah betul bercakap dengan anak-anak
yang sudah meningkat dewasa.
“Tolonglah
ayah! Riyana langsung tidak kenal mama,”
rayu Kamarul lagi.
“Jangan
libatkan Riyana dalam hal ini! Dia tidak boleh tahu? Faham! Ayah rasa, Kamarul
masih boleh dengar!” Mata Ramadan membulat memandang Kamarul yang masih
merenungnya dengan penuh harapan. Kamarul melepaskan keluhan. Tergamak ayahnya
melukakan hati mereka adik beradik.
Namun,
biar tanggal gigi ayahnya melarang dia bertemu mamanya. Dia tetap berdegil. Dia
hanya ingin merasai pengalaman beribu kandung seperti dahulu. Biarlah ayahnya
marah atau benci terhadapnya, asalkan dia membahagiakan hidup mamanya.
Dia
menoleh ke arah Jasmina yang masih merenungnya. Dia faham, adiknya juga
rindukan Rabeta. Dia bertekad, akan
mempertemukan Jasmina dengan mama mereka, sekali lagi. Hubungan yang terputus
biarlah bertaut kembali. Biar mamanya bahagia dan ceria semula.
“Jangan
sesiapa pun berani buat perkara yang ayah larang tanpa pengetahuan ayah!” kata Ramadan
seperti dapat membaca niat Kamarul. Tidak mahu berlama-lama memandang wajah
anak-anaknya yang muram itu. Hatinya turut terdera dan sakit.
Aida
mengeluh dalam hati. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan. Emaknya
pula sudah berpesan, jangan mencampuri urusan yang bersangkut-paut dengan
sepupunya. Memang boleh jadi gila kalau begini. Bukan setakat serba-salah lagi,
dia boleh hilang arah. Sebelah sana sepupunya sendiri, di sebelah sini pula,
suaminya tercinta. Alahai…