Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 28 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 41

Bab 41

HUJAN yang turun membasahi bumi semakin melebat. Dalam sehari dua ini, hujan kerap benar menyirai bumi Janda Baik. Kadang-kadang turunnya disertai dengan angin kencang serta ribut petir, kadang-kadang turunnya tak disangka-sangka membuatkan Siti Asiah terkejar-kejar menyelamatkan pakaian yang tersidai di ampaian.
Desahan hujan yang turun menenggelamkan bunyi sebuah kenderan pacuan empat roda yang menghampiri rumah tersebut.
Siti Asiah yang sedang menyediakan roti bakar untuk hidangan minum petang juga tidak menyedari kehadiran dua orang manusi yang sedang mendaki tangga menuju ke serambi.
“Wah, wah, wah!”
Suara yang tiba-tiba menyapa gegendang telinganya membuatkan Intan Juliana terkejut besar lalu membelingas. Matanya bertentangan dengan renungan tajam milik Sahara, isteri Johan yang ternyata membencinya.
Sahara menoleh ke arah anak muda yang berada di sisinya.
“Tengok tu, Hambali. Nilah rupanya tuan puteri yang bersemayam kat sini selama ni!” Dan, kata-katanya sarat dengan nada ejekan serta kebencian.
Anak muda yang dipanggil Hambali itu hanya mendiamkan diri.
“Sampai bila kau nak berada di sini?” sergah Sahara.
Intan Juliana tidak menjawab.
“Kenapa kau diam? Hey, dah dua bulan kau bersemayan kat sini wahai Tuan Puteri. Kau tahu tak cuti sekolah akan tiba tak lama lagi dan anak-anak uah aku nak datang kemari. Aku ni bukannya nak menghalau kau, Ju, tapi kau faham-fahamlah sendiri.”
Intan Juliana menyengih.
“Kalau aunty nak halau saya keluar dari sini kenapa tak tunggu sampai uncle Johan pulang dari KL? Saya ke sini atas jemputannya dan tak manis rasanya kalau dia pulang nanti saya tak ada. Kalaupun nak halau saya keluar, tunggulah sampai dia balik dulu,” jawabnya.
Jawapannya itu membuatkan Sahara semakin marah.
“Hey, kau tu tak sedar diri ke yang aku tak pernah sukakan kau? Aku isteri Johan tau, dan aku jugak berhak terhadap rumah ni. Kalau aku nak kau keluar dari sini, kau kena keluar tau!” Suaranya melengking di ruang tamu.
“Dasar muka tak tahu malu. Rumah kita nak dijadikan macam rumah dia pulak!”
“Okey, saya akan keluar dari sini tapi macam yang saya katakan tadi... saya kena tunggu sampai Uncle Johan balik dulu!” Intan Juliana berkeras.
“Hei, perempuan! Kau tu siapa dengan laki aku, hah? Sementara aku berpeluang jumpa kau ni, cuba kau terangkan pada aku sikit apa hubungan kau dengan dengan laki aku? Kau dengan dia ada hubungan sulit ke?”
“Ma, cukuplah tu, ma. Mari kita balik.” Anak muda yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara.
“Kau diam, Hambali! Selama ni mama dah cukup bersabar dengan kerenah mereka berdua ni. dulu papa kau tergila-gilakan emaknya sampai sanggup tunggu perempuan yang sedang nazak tu dikatil hospital, sekarang dah tak ada emak dengan anaknya pulak!” Sahara mengirai-ngirai kainnya.
“Ma, sudahlah tu ma. Kalau papa tahu kita...”
“Kau takut apa kau marahkan kita, Hambali? Papa kau tu jantan tak berhati perut, tahu tak! Perasaan mama ni dah hancur, Hambali. Dah hancur! Semuanya gara-gara perempuan ni dan emak dia. Hey betina, kalu kau masih ada maruah, kau berambus ajelah dari rumah ni! Faham tak!”
Hambali segera memaut tubuh ibunya dan memimpinnya turun dari rumah itu. Siti Asiah yang baru menyedari kehadiran mereka segera merapati Intan Juliana yang tunduk merenung lantai.
“Sabarlah, Cik Ju.” Pujuk Siti Asiah.
“Kenapa mereka benci Ju, Kak Siti? Kenapa? Apa salah Ju? Berdosakan kalau Ju menumpang kasih seorang ayah pada Uncle Johan?” rintihnya.
“Maafkanlah mereka, Cik Ju. Mereka dah salah faham dengan Cik Ju.” Pujuk Siti Asiah.
“Tapi memag betul cakap aunty Sahara tu. Dia pun berhak terhadap rumah ni. Malam nanti kak Siti kemaskanlah pakaikan kita, ya. Sebaik aje Uncle Johan pulang dari KL, kita tinggalkan rumah ni.”
“Kita nak ke mana, Cik Ju? Balik ke KL?”
Intan Juliana hanya mendiamkan dirinya.

DIA hanya memandang dari jauh gelagat lelaki itu. Lelaki yang bukannya muda lagi. Lelaki yang sudah memutih uban di kepalanya dan jalur-jalur usia sudah meniti di wajahnya. Bak kata orang, dunia dah kata pergi, kubur dah kata mari.
Tapi gelagat lelaki itu tidak selari dengan usianya yang sedang menuju senja. Lagaknya bagaikan orang muda. Dia tanpa segan silu bergurau senda dan bergelak ketawa dengan seorang perempuan muda yang selayaknya dipanggil anak.
Johan geleng kepala. Wajah arwah Nuraini menjelma di ruang fikir. Secebis kekesalan muncul di jiwanya tatkala hati kecilnya tertanya-tanya apakah yang pernah dilihat perempuan itu dulu dalam diri Datuk Kamarul hingga tega membiarkan cintanya berkelana ke dasar yang infiniti?
Kenapakah Nuraini hanya mahu menjadi temannya dan bukan kekasih?
“Nur, kau takkan bahagia dengan Kamarul. Aku tahu siapa sebenarnya dia, Nur.” Itulah kata-kata kejam yang pernah keluar dari mulutnya dalam usaha untuk merebut kasih Nuraini.
Entahlah, dia yang mula-mula mengenali gadis keturunan Melayu-Pattani itu. Dia yang mula-mula menyemai cinta, tetapi setelah munculnya Kamarul, cinta Nuraini berpaling kepadanya pula. Alangkah tidak adilnya!
Mungkinkah ini yang dinamakan tiada jodoh? Ada keserasian, tapi tiada jodoh? Dan berdosakah dia kalau sesekali menyalahkan takdir yang masih tidak mempertemukan jodohnya dengan perempuan itu walau setelah dia bergelar janda Datuk Kamarul?
“Jangnlah kau kesali permainan takdir, Jo.mungkin kita hanya sesuai sebagai teman baik, dan bukannya sebagai teman hidup. Aku tau kau sayangkan aku. Tapi antara kita jodoh yang memisahkan.” Itulah yang pernah diucapkan Nuraini padanya.
“Aku sanggup memperisterikan kau, Nur!”
“Apa yang kau cakapkan ni, Jo? Aku tak sanggup digelar sebagai perampas. Jodoh kau dengan Sahara. Pulanglah pada isteri dan anak-anak kau, Jo. Cuma satu aje yang aku minta, Jo. Intan Juliana tak pernah dapat kasih sayang seorang ayah. Aku harap kau dapat berikan kasih seorang ayah pada dia.”
Dia menggenggam jari-jemari sejuk Nuraini. Dan mereka menitiskan air mata bersama-sama. Itulah kali terakhir dia melihat senyuman Nuraini kerana keesokan harinya dia menerima panggilan telefon menyatakan bahawa perempuan itu telah kembali ke alam yang kekal abadi.
Wajah Intan Juliana menyapa ke ruang mata. Kalau ibunya menderita bergelar janda dalam usia yang muda, nasib Intan Juliana pula lebih malang lagi. Dia telah diperkosa entah oleh siapa dan kini mengandungkan pula anak ‘haiwan’ yang telah memperkosanya.
Alangkah malangnya nasib kau, Ju.
Dan mengenangkan penderitaan Intan Juliana itu, dia tiba-tiba diamuk marah terhadap lelaki yang sedang bergurau senda dengan seorang gadis seusia Intan Juliana. Dengan perasaan geram, dia mengepal penumbuknya lalu menghentak meja. Meja yang tidak berdosa itu bergegar.
Beberapa orang pengunjung coffee house yang menyedari api amarah yang membuak-buak di dadanya itu, menoleh ke arahnya. Dia tidak menghiraukan mereka, sebaliknya melangkah menghgampiri lelaki yang mencetuskan kemarahan di hatinya itu.
“Jo, kau pun ada kat sini. Duduklah... aku kenalkan kau dengan Melissa.” Selamba Datuk Kamarul memperkenalkan perempuan berketuranan Cina yang menemaninya itu kepada Johan.
“Marul, I ada hal nak cakap dengan you ni... tentang anak perempuan you, Intan Juliana.”
Nama yang baru disebut oleh Johan itu tadi bagaikan merenggut kegembiraanya. Dia menggoyang-goyangkan tangannya. Menyedari yang dirinya tidak diperlukan lagi, perempuan yang menemaninya segera meninggalkan meja itu kepada mereka berdua.
“Kenapa kau bangkitkan tentang dia lagi, Jo? Kan aku dah terima dia sebagai anak aku. Tak cukup lagi ke? Sejak dia lahir, aku memang tak pernah rapat dengan dia kan? Apa yang kau orang semua mahu? Hubungan mesra macam mana lagi yang harus aku tunjukkan pada dia?” Datuk Kamarul berkata sambil mengurut-urut dadanya.
Melihat keadaan itu, Johan menjadi cemas. Dia tahu bahawa lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung. Namun, dia tidak akan berundur lagi. Dia harus meluahkan segalanya-galanya kepada lelaki itu.
“Marul, masih belum terlambat lagi untuk kau jalankan kewajipan sebagai seorang ayah pada dia.” Kata Johan.
“Tapi aku dah ada Suzi... cukuplah!”
“Suzi anak kau. Intan Juliana pun anak kandung kau, Marul. Kenapa kau nak sisihkan dia pulak? Hanya kerana ibunya isteri kedua dan telah kau ceraikan maka kau sisihkan dia? Dia sendirian sekarang ni setelah ibunya meninggal, Marul. Kasihanilah dia.”
“Ya, arwah Nuraini memang pernah jadi isteri aku. Aku pernah memilikinya, tapi kau tak tahu betapa seksanya kalau hanya memiliki sekujur tubuh sedangkan hatinya dah diberikan pada orang lain!”
“Jo, aku ceraikan dia dulu bukan atas desakan keluarga atau bini tua aku, tahu tak! Aku ceraikan dia sebab nak bagi laluan pada kau. tapi aku pelik kenapa kau tak kahwin dengan dia sedangkan dia dah aku ceraikan?” suara garau Datuk Kamarul menerjah ke gegendang telinga.
“Kenapa kau tak kahwin aje dengan janda aku, Jo? Kenapa? Kenapa kau sia-siakan ruang yang dah aku kosongkan tu? Kenapa?” soal Datuk Kamarul bertalu-talu.
Johan bungkam. Situasi itu benar-benar mencengkam perasaannya.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 40

40

JOHAN tergelak kecil melihat Intan Juliana terkial-kial menarik kailnya yang dipagut ikan. Dia bersyukur kerana gadis itu sudah mula menerima hakikat kehidupannya walaupun hakikat itu amat perit untuk ditelan. Perempuan mana yang dapat menerima hakikat bahawa dirinya sedang mengandungkan benih perogolnya? Perempuan lain mungkin akan mengikut nasihat doktor supaya kandungan itu digugurkan. Tapi Intan Juliana pula mengambil keputusan untuk melahirkan benih perogolnya yang masih bebas. Jelaslah bahawa Intan Juliana bukan sembarangan perempuan. Dia juga seperti ibunya, lambang seorang wanita yang kuat dan tabah!
Telah hampir sebulan setengah Intan Juliana dan pembantunya yang setia, Siti Asiah, menumpang di rumah rehatnya yang terletak di sebuah kampung berhampiran Tasik Chini walaupun mendapat tentangan keras daripada isterinya sendiri. Memang sejak dahulu Sahara mencemburui hubungan baiknya dengan arwah Nuraini. Kini setelah kematiannya, cemburu itu beralih pula pada anak perempuannya, Intan Juliana. Nyata sekali, perempuan dan perasaan cemburu memang tak boleh dipisahkan walaupun dia menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada menaruh hati pada anak bekas kekasihnya itu.
Dia telah menganggap Intan Juliana bagaikan anaknya sendiri. Lebih-lebih lagi setelah dia dan Sahara tidak dikurniakan anak perempuan. Setelah insiden di malam jahanam itu, dia tak akan mengabaikan Intan Juliana walau bagaimana hebatnya halangan dan larangan isterinya. Perempuan itu kini telah menjadi tanggung jawabnya. Alangkah baiknya kalau Sahara dapat berbaik-baik dengan Intan Juliana, desis hatinya sambil segera menghampiri Intan Juliana yang masih terkial-kial hendak menarik mata kailnya.
“Ikan haruan ni kalau dibuat gulai darat memang sedap.” Kata Siti Asiah apabila Intan Juliana menayangkan dengan bangga hasil tangkapannya.
“Masak ajelah apa-apapun, Kak Siti. Asalkan sedap sudahlah, betul tak uncle?” soalnya dengan manja ke arah Uncle Johannya. Lelaki itu angguk sambil tergelak kecil.
“Ju, sampai bila Ju nak berada di sini?” soal Johan setelah Siti Asiah berlalu.
“Kenapa? Uncle tak suka Ju kat sini?”
“Bukan macam tu. Ju jangan salah faham.”
Intan Juliana merenung jauh. “Ju rasa tenang berada di sini, uncle. Jauh dari hiruk-pikuk kota dan jauh daripada manusia-manusia yang ganas.”
“Tapi bagaimana dengan kerjaya Ju? Bagaimana dengan galeri lukisan Ju di KL tu? Uncle tak kisah selama mana pun Ju nak tinggal di sini tapi suatu ketika nanti Ju kena juga tinggalkan tempat ni dan berdepan dengan realiti. Kerja Ju... client dan kawan-kawan Ju selalu tanya tentang Ju. Yusuf pun selalu call uncle tanya tentang Ju.” Terang Johan.
Intan Juliana menoleh ke arahnya. Nama yang baru saja meluncur keluar dari mulut lelaki itu nyata menyentak emosinya.
“Yusuf?”
“Ya, Yusuf Hakimi. Dia benar-benar risau tentang Ju.”
“Uncle tak cerita apa-apa pun tentang kejadian yang menimpa Ju tu pada dia kan, uncle?” soalnya dengan gusar.
“Tak! Kan uncle dah janji nak tutup mulut pasal tu.”
“Ju tak mahu dia jatuh kesian dengan Ju. Ju tak mahu susahkan hatinya, uncle.” Rintih Intan Juliana. Dada Johan turut sebak. Dia tahu hanya Yusuf Hakimi saja kunci keceriaan perempuan itu. Malangnya, lelaki itu telah berpunya. Alangkah baiknya kalau dinyahkan saja perempuan bernama Zulaika daripada muka bumi ni, hatinya mendesis.
“Tapi dia kan kawan baik Ju. Apa salahnya berkongsi masalah? What’s friends are for?”
“No!!!” jeritan Intan Juliana benar-benar mengejutkan Johan.
“Okey... okey! Uncle minta maaf. Uncle faham dan hormat pendirian Ju. Selain daripada Yusuf ada sorang lagi lelaki yang sangat kerap menghubungi uncle untuk tanyakan tentang Ju...”
“Siapa?”
“Zack.”
“Zackhary?” soalnya. Johan mengangguk.
“Dia betul-betul risau tentang Ju. Malah dia sering merayu untuk bercakap dengan Ju.”
“No... no... no, uncle! Ju tak nak bercakap dengan sesiapa pun baik dengan Yusuf mahupun Zackhary. Ju mahu dibiarkan bersendirian.” Tingkah Intan Juliana dengan tegas. Johan hanya mampu mengangguk sahaja.

UNTUK KESEKIAN KALINYA dia berdiri di hadapan galeri yang bukan saja berkunci malah siap bermangga. Dia hairan kemanalah pemilik galeri itu pergi sedemikian lama. Bukan perangai Intan Juliana untuk meninggalkan kerjanya begitu saja.
Pasti ada yang tak kena, desis hatinya dengan perasaan risau.
Tidak cukup menziarahi galeri lukisan yang terketak di Bangsar, dia juga menjejaki Intan Juliana sehingga ke banglonya yang tersergam di Persiaran Tasik Titiwangsa. Hairan bin ajaib, pintu pagar dan rumah juga berkunci. Malah papan tanda ‘UNTUK DIJUAL’ yang terpampang besar juga semakin menambah tanda soal di hatinya.
Pelbagai cara digunakannya untuk mencari teman baiknya itu tapi semuanya gagal. Mula-mula dahulu dia dapat menghubungi Johan untuk bertanyakan tentang Intan Juliana dan jawapan yang diterimanya ialah gadis itu sedang bercuti rehat dan tak mahu diganggu. Lama-kelamaan Johan juga sudah malas hendak menjawab setiap kali dia menelefon ke talian bimbitnya.
Ke mana kau, Intan? Apa yang terjadi pada dirimu?
Bam! Tiba-tiba tubuhnya berlanggar dengan seorang lelaki.
“Sorry!” ucapnya dan mata keduanya bertentangan. Serasa macam pernah lihat lelaki ni, desis hatinya dan tiba-tiba dia teringat bahawa lelaki itulah yang pernah keluar makan malam dengan Intan Juliana di sebuah restoran mewah lama dahulu.
“Err... tak apa!” lelaki itu juga seolah-olah mengenalinya. “Macam pernah jumpa.”
“Saya... Yusuf Hakimi.”
“Saya Zack... Zackhary Iskandar.”
Mereka bersalaman. “Ya, saya pun rasa memang kita pernah jumpa. Saudara ni kawan pada Intan Juliana, pemilik galeri ni kan?” soal Yusuf Hakimi.
“Ya.” Sahut pemuda itu.
“Saudara tahu tak dia di mana sekarang? Saya... saya ada order sebuah lukisan dari dia, tapi dah hampir dua bulan dia tak datang kerja. Dia juga tak dapat dihubungi.” Yusuf Hakimi mencipta alasan yang dirasakan lojik untuk dipersembahkan pada jejaka kacak yang kelihatan gelisah di depannya itu.
“Err... saya pun sebenarnya sedang cari dia ni. Saya pun tak tahu di mana dia berada. Saya minta maaf kerana tak dapat menolong.”
Yusuf Hakimi mengeluh mendengar jawapan pemuda itu. Dia benar-benar kecewa.

“FATIN bunting pelamin.” Kata-kata Fatimah itu benar-benar mengganggu emosinya. “Kawin aje terus lekat. Dah sebulan setengah usia kandungannya. Dia mabuk teruk terutamanya waktu pagi. Mengidam asam boi aje. Hari-hari Fauzan belikan dia air asam boi.” Begitu ceria suara Fatimah di corong telefon. Ceria seorang ibu apabila mengetahui bahawa anaknya yang suatu ketika dulu adalah seorang anak gadis bermasalah, kini sedang berbahagia di sisi suami yang dapat mengawal dan menjaganya.
Zulaika tergelak. Nyata dibuat-buat.
“Ika pun tumpang gembira. Bila mak cik nak datang sini pula?”
“Nampaknya sekarang ni belum boleh lagilah, Ika. Mak cik kena jaga Fatin yang masih mabuk tu. Bila kandungannya dan nak masuk ke tiga atau empat bulan nanti mungkin baru mabuknya akan kurang.” Fatimah beralasan. “Kau jangan kecil hati pula ya!”
“Taklah, mak cik. Sampaikan salam Ika pada Fatin ya.”
“Eh, ni Si Fatin nak bercakap dengan kau.” Kata Fatimah sebelum sempat dia meletakkan telefon.
“Ika! Ni akulah, Fatin.” Suara Fatin Adiba kedengaran di corong talian.
“Ya, Fatin! Aku dengar cerita kau mengidam asam boi, betul ke?”
Fatin Adiba mengekel. “Aku suka benda-benda masamlah, Ika. Kalau pekena nasi aje rasa nak muntah. Kau tak tengok lagi badan aku ni, dah jadi kurus macam batang mancis.”
“Lebih kurus daripada aku semasa kat kampung dulu?” soal Zulaika membayangkan masa silamnya ketika tenaga mudanya diperas di warung Fatimah.
“Ala, kau ni! Janganlah sebut lagi peristiwa yang dah lalu tu.”
“Aku minta maaf.”
“Tak apa! Eh, kau dengan Abang Yusuf bila lagi? Tak teringin ke timang cahayamata?”
“Err... belum rezeki kami. Apa-apapun aku ucapkan tahniah pada kau, Fatin.”
“Yelah, Ika! Kalau difikir-fikirkan... lucu jugak. Aku dengan Abang Fauzan macam ekspres rakyat, laju je. Nikah tergesa-gesa lepas tu terus melekat.” Tutur Fatin Adiba dengan ceria.
Mereka ketawa. Lebat!
“Yelah, kau tu ekspres rakyat. Aku dengan Abang Yusuf macam kereta lembu.” Sahut Zulaika selepas tawa mereka reda.
“Dah belum rezeki korang berdua, apa nak buat? Sabar jelah!” tukas Fatin Adiba sebelum menamatkan perbualan mereka lewat petang itu.
Dia dibungkus oleh kesunyian yang mencengkam. Suaminya masih belum pulang walaupun jam hampir menuding ke pukul enam setengah petang. Dia meraba-raba perutnya yang masih kosong dan tertanya-tanya bilakah benih cinta suaminya akan melekat di situ.
Apa yang tak kena dengan aku ni, hatinya menyoal. Dia pernah mendesak suaminya agar mereka bertemu dengan doktor untuk mengetahui apa masalah sebenarnya tapi Yusuf Hakimi yang kurang bersetuju.
“Kenapa perlu tergesa-gesa nak jumpa doktor, Ika? Usia perkahwinan kita pun belum sampai lima tahun. Abang tak mahu pertemuan demi pertemuan kita dengan doktor nanti buat kita tertekan. Lagipun abang sekarang ni sedang sibuk memajukan syarikat abang. Abang rasa Ika pun sekarang ni sangat sibuk menyiapkan projek buku kanak-kanak dengan syarikat penerbitan tu kan?” kata-kata Yusuf Hakimi yang sarat dengan kebenaran itu membuatkan Zulaika terdiam.
“Ika percaya bahawa anak itu rezeki Allah Taala, tak?”
Zulaika angguk. “Ika percaya, bang.”
“Kita terus berusaha dan berdoa. Abang pasti suatu hari nanti doa kita akan dimakbulkan Tuhan.” Yusuf Hakimi memberi semangat padanya.
Dia meraba perutnya lagi. Mungkin ada hikmah di sebalik kelewatannya dan suami memiliki cahayamata sendiri, desisnya dan hati menjadi tenang.

Jumaat, 21 Februari 2014

ULASAN CINTA KUASA TINGGI

CINTA KUASA TINGGI ( ISBN 9789831249154)
AZLEYA SHADZALIN
2014
ALAF 21
697 muka surat
RM26.00
                Que bekerja di bawah El.   El jatuh hati pandang pertama kepada gadis ala tomboy yang suka  naik motosikal dan bergaul dengan mat rempit.  Que agak kasar namun hatinya lembut.  Suka berterus –terang, tidak mudah mengalah.  Keras kepala dan degil, namun punya wawasan untuk mengubah mat rempit ke arah yang lebih baik.
                El tidak berani berterus terang tentang perasaannya terhadap Que sehingga mengatur rancangan agar Que jatuh ke tangannya.  Dengan kerjasama Ray adiknya sendiri, dia berjaya membuatkan Que berkahwin dengannya.  Apakah rancangan itu?
                Dalam masa yang sama El dicintai oleh PAnya sendiri sehingga sanggup menfitnah Que mengelapkan wang syarikat. El telah mengambil tindakan tanpa usul periksa.  Que dibuang terus daripada hidupnya.    Hubungan yang terpaksa dan dipaksanya akhirnya lerai di tengah jalan.  Que membawa diri pergi meninggalkan segala-galanya.  Tanpa disedari oleh El, Que membawa zuriat El di dalam rahimnya.  Pertemuan semula Ray dan Que tanpa disangka meleraikan kisah lama yang selama ini terpendam.  Apakah kisah tersebut? 

                Keegoan seorang lelaki kadang-kala boleh memisahkan dua hati.  Itulah yang berlaku kepada El, kerana keegoannya dia memisahkan dirinya sendiri dengan isteri dan anak yang tidak diketahui keujudannya.    Mampukah kasih itu bertaut kembali?
                  Nama hero Qaid El Arash singkatan EL.  Nama heroin  Balqis Nur irish Qamal Latif singkatannya Que. 
                Wah, kisah minah rempit yang mampu mengubah kehidupan mat-mat rempit menjadi baik.  Jalan cerita yang menarik.  Banyak nilai murni diserapkan di dalam karya ini  Gaya bahasa yang bersahaja dan tidak membosankan. Plot  berkembang dengan baik.  Sesuai dibaca semua peringkat umur.  Terutama mat-mat rempit di luar sana.  Tahniah kepada penulis.



RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 39

Bab 39

HUJAN yang turun bagaikan mutiara,
berkilau bersinar berkerdipan,
Subur menghijau bumi terbentang dan bayu berpuput lembut...
Selembut hujan bercurahan begitulah cinta ini
Semesra bumi yang disirami, begitulah hati ini...

Alunan lagu Hujan yang dinyanyikan oleh arwahyarham Sudirman Haji Arshad kedengaran mendayu-dayu dari corong radio. Kebetulan pula rintik-rintik hujan yang sejak tadi menyirami bumi masih belum ada tanda-tanda hendak berhenti walaupun condong ke Barat, matahari sudah mula menyinar. Rintik-rintik hujan itu juga bagaikan menyirami sekepal hatinya sehingga kebasahan.
“Ju, betul ke tak nak ikut uncle ke bandar?” satu suara garau menyapanya dari belakang. Dia menoleh ke arah lelaki yang sudah berpakaian kemas itu lalu menggelengkan kepalanya. “Selain daripada barang-barang yang Ju dah senaraikan tadi, ada lagi tak barang-barang yang Ju nak pesan?”
Intan Juliana geleng kepala. Uncle Johannya tidak banyak cakap. Dia mencapai kunci keretanya yang tergeletak di atas meja, dan setelah menutup radio, segera beredar dari situ. Seketika kemudian enjin keretanya kedengaran menderum meninggalkan perkarangan rumah. Dan ketika bunyi enjin kereta itu tak lagi hinggap ke telinganya, alam kembali sunyi sepi kecuali bunyi rintik-rintik hujan yang menimpa dedaunan serta desahan angin yang sesekali menyapa.
Telah hampir dua bulan dia melarikan dirinya ke daerah yang jauh dari hiruk-pikuk kota itu untuk mencari ketenangan di jiwa. Tapi walau ke daerah mana pun dia melangkah, erti tenang bagaikan telah meninggalkan seluruh dirinya. Jiwa wanitanya kosong dan kesepian.
“Zack, kenapa you masih ganggu I, huh? You tak reti bahasa ke? Kan I dah katakan yang I tak sudi, kenapa you nak paksa-paksa I? Dah kering ke perempuan lain di kota besar ni, Zack?” dia sudah muak berlembut dengan lelaki bermata merah itu. Apakah Zackhary Iskandar tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia lansung tak mencintainya? Dan cintanya tak boleh dipaksa.
“Siapa lelaki yang dah potong jalan I tu, Ju? Katakan pada I! Katakan!!!” jerit jantan yang sudah dikuasai oleh minuman yang memabukkan itu. Intan Juliana semakin meluat. Kalau diikutkan hati mahu saja dia menolak keluar jantan tak guna itu dari ruang galerinya.
“Zack, I rasa baik you keluar dari sini sebelum I telefon polis. Keluarlah, Zack! Keluar!” suaranya melengking di ruang galeri. Loceng yang berbunyi di luar pintu galeri menjadi penyelamat. Dia menarik nafas lega kerana Zackhary Iskandar melangkah meninggalkan tempat itu setelah melihat kehadiran dua orang pelancong Inggeris.
Dia melayan dua orang pengunjung yang menjadi penyelamatnya itu dengan mesra. Pun begitu hatinya masih dipagut bimbang dengan sikap Zackhary Iskandar yang kerap mendesak agar dia menerima cintanya. Masakan mungkin aku menerima cinta yang kau hulurkan Zack, sedangkan hatiku ini dipenuhi oleh wajah insan lain.
Setelah kedua orang pengunjung itu meninggalkan ruang galeri, dia duduk sambil merenung lukisan yang kaku dan beku. Ketika itulah satu wajah muncul di jiwanya – Yusuf Hakimi. Sejak peristiwa dia bersemuka dengan Zulaika, lelaki itu semakin jarang menghubungi ataupun bertemu dengannya. Dia faham dan dapat menerima kenyataan bahawa Yusuf Hakimi tak boleh diganggu dan harus dibiarkan membina bahagia bersama isteri tercinta. Dia tak mahu dikatakan sebagai perosak rumah tangga orang walaupun hatinya basah dengan cinta terhadap lelaki itu.
Yusuf Hakimi sudah lama menjadi sahabat baiknya. Hubungan mereka terjalin dengan cara yang agak unik kerana ketika dia mengenalinya, Yusuf Hakimi kebetulan adalah kekasih adik tirinya, Suziana, daripada perkahwinan ayahnya dengan isteri pertama. Ketika hubungan cinta lelaki itu dengan Suziana putus, hubungannya dengan Yusuf Hakimi semakin mesra sehinggalah munculnya gadis bernama Zulaika.
“You takkan percaya wajah Ika yang I mula-mula lihat di warung buruk tu. Dia comot dan badannya kurus kering. Bajunya hapak dengan bau belacan. Paling menyedihkan kudrat mudanya diperas oleh ibu tirinya. Ya, sewaktu mula-mula terpandangkan dia dulu, I kesiankan dia... anak yatim piatu yang diseksa oleh ibu tirinya.”
“Ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya yang buatkan I sering singgah untuk makan di warung bawah pokok ketapang tu dulu. Mungkin nilah yang dinamakan jodoh. Mula-mula I memang tak perasan bilakah munculnya rasa kasih terhadap dia sehinggalah dia berhenti kerja di warung tu untuk berhijrah ke bandar dan kerja kilang di Bandar Sunway. I ingatkan I takkan jumpa dia lagi tapi you ingat tak dia muncul di meja kita sewaktu kita sedang menikmati makan malam dia sebuah gerai di Kampung Baru? You ingat lagi tak, Ju?” tekan Yusuf Hakimi. Dia mengangguk dan imbasan peristiwa lebih dua tahun lampau itu masih melekat teguh dalam ruang ingatannya.
Ketika itu dia baru saja menyiapkan potret Yusuf Hakimi. Apabila lelaki itu bertanyakan berapakah harga potret yang dilukisnya dia terus meminta lelaki itu belanja makan malam kerana dia ingin membicarakan sesuatu hal yang mustahak. Yusuf Hakimi terus bersetuju tanpa mengetahui bahawa dia ingin meluahkan rasa hatinya yang mula menyukai lelaki itu. Dia ingin memberitahu Yusuf Hakimi bahawa bayaran untuk potret yang dilukisnya akan langsai kalau cintanya terhadap lelaki itu berbalas.
Mereka menikmati makan malam di sebuah gerai. Dia cuba untuk kelihatan berselera menjamah hidangan di hadapan lelaki itu sedangkan hakikatnya, seleranya tertutup dek debaran yang menggerutup di jiwa. Malang sekali, sebelum dia dapat meluahkan isi hatinya yang terpendam sejak sekian lama, tiba-tiba muncul seorang gadis berbaju kurung lalu berdiri tanpa bergerak-gerak di bucu meja mereka. Dan ketika melihat bagaimana keduanya saling renung-merenung antara satu sama lain, dia sedar bahawa isi hati yang dipendam tak mungkin diluahkan!
Intan Juliana mengeluh. Dia menoleh jam di lengannya. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul sembilan tiga puluh minit malam. Dia segera berkemas untuk pulang ke rumah besarnya yang sunyi sepi kerana Siti Asiah masih belum pulang dari kampung halamannya. Menyesal pula rasanya dia menjual kondominiumnya di Cheras dahulu untuk berpindah ke banglo mewah yang terletak persiaran Tasik Titiwangsa itu. Malah Uncle Johannya juga pernah menasihatinya agar jangan meleburkan wang untuk membeli hartanah di kawasan itu sedangkan dia tinggal sendirian.
Dia membunyikan hon keretanya. Pak Kadir, bekas tentera yang bertugas menjadi pengawal banglo segera menghampirinya sebaik saja pintu pagar terbuka.
“Cik Ju dah makan ke?” dia menyoal.
Intan Juliana menyengih.
“Kenapa? Kalau belum, Pak Kadir nak belanja ke?”
Pak Kadir kembali ke pondok pengawalnya lalu menghulurkan mangkuk tingkat ke arahnya.
“Ni, orang rumah Pak Kadir bekalkan untuk Cik Ju sebab dia tahu Cik Siti Asiah bercuti.” Kata lelaki itu. Intan Juliana menjadi terharu. “Ada nasi, sambal ikan keli dan gulai ayam aje, Cik Ju.”
“Terima kasih, Pak Kadir. Ju pun sebenarnya tengah lapar ni.” Katanya. Dia menghalakan kereta mewahnya ke porch dan melangkah masuk ke banglo yang sunyi dan sepi tanpa mengetahui bahawa setiap pergerakan di sekitar banglo itu sedang diperhatikan.

“ALLAH!” terluah perkataan itu dari mulut Pak Kadir apabila tusukan pisau belati itu dihunjamkan tepat ke dadanya. Darah merah membuak-buak lalu membasahi lantai simen. Dia menggelupur bagaikan ayam yang disembelih sebelum badannya kaku tak bergerak. Nyawa telah keluar dari badannya.
Perasaan belas kasihan bagaikan telah terhakis dari diri dua orang penyerangnya yang bertopeng serta berpakaian serba hitam itu. Malah salah seorang daripadanya sempat menendang dan meludah tubuh kaku itu sebelum melangkah ke arah banglo yang tersergam itu.
Di dalam kesamaran cahaya lampu yang sengaja dibiarkan terpasang, mereka melangkah mendaki tangga menuju ke salah sebuah bilik. Mereka berbicara kaku dengan memberikan isyarat tangan. Salah seorang daripadanya menendang pintu bilik yang terkunci dari dalam sehingga pecah. Jeritan seorang wanita kedengaran ketika kedua orang penyamun itu menyerbu masuk.
“Lu diam! Diam!!! Kalau tak gue bunuh lu!” salah seorang penyamun itu meluru ke arah Intan Juliana lalu mencekak lehernya sehingga tak dapat bernafas sementara yang seorang lagi sibuk menggeledah laci dan almari untuk mencari barangan berharga.
“Wah... wah! Orang kaya seperti lu ni siap dengan peti besi sekali. Mana kuncinya?” soal lelaki itu dengan loghat Indonesis yang pekat. Intan Juliana menggeleng-gelengkan kepalanya. “Cakap! Kalau tak...”
Dia terus menggelengkan kepalanya membuatkan penyamun itu bertambah geram lalu menampar pipinya beberapa kali. Sekutunya yang menjumpai peti besi tersebut hanya memandang ke arah Intan Juliana yang menjerit kesakitan.
“Hey nyonya manis... lu dengar sini ya, mana lebih penting? Harta lu dalam peti besi tu ataupun harta lu di sini...?” tangan kanannya dengan pantas menyingkap gaun tidurnya lalu memegang mahkota kegadisannya. Kebetulan malam itu dia tidak memakai seluar dalam.
Intan Juliana kaget lalu melayangkan penampar ke wajah penyerangnya. Terkejut dengan tindakan agresifnya, penyerang tersebut melayangkan penumbuk tepat ke rahangnya membuatkan darah merah menyembur keluar dari mulutnya. Pandangannya berpinar-pinar lalu akhirnya menjadi gelap gelita. Dia tidak ingat apa-apa lagi sehinggalah mendapati dirinya terbaring di katil hospital keesokan harinya.
Dia meratapi nasibnya yang malang. Penyamunnya telah melarikan sejumlah wang dan barang-barang berharga dari rumahnya. Tapi yang paling malang bagi seorang gadis sepertinya ialah pemeriksaan doktor mendapati bahawa dirinya telah dirogol. Dia telah diberikan pil cegah hamil untuk mengelakkan benih perogolnya daripada melekat di rahimnya dan juga rawatan untuk mengelakkan dirinya daripada dijangkiti oleh penyakit kelamin.
Dia cukup malang kerana kegadisannya telah hilang di malam jahanam itu. Tapi dia tahu ada orang yang lebih malang nasibnya iaitu balu Pak Kadir yang terpaksa menerima hakikat kematian suaminya. Mengenangkan itu dia menjadi teramat marah. Namun dia tak tahu pada siapa dia harus melampiaskan kemarahannya – pada penyamun yang telah membunuh Pak Kadir, pada perogol yang telah meragut kegadisannya atau pada takdir malang yang membelit dirinya sejak sekian lama.
Uncle Johannya berada di sisi sepanjang masa. Dia telah meminta lelaki itu agar merahsiakan keadaannya daripada teman baiknya, Yusuf Hakimi, kerana dia tak mahu menagih simpati lelaki itu lagi. Biarlah lelaki itu bahagia di sisi isterinya.
Hari demi hari berlalu. Dia menanti dalam debar yang menyakitkan.
“Bagaimana saya boleh hamil, doktor? Sedangkan doktor juga yang beritahu saya bahawa rawatan dan pil yang doktor bagi semasa kes rogol tu, memang terbukti berkesan?” dia menyoal dengan bertalu-talu sehingga doktor yang merawatnya menjadi serba-salah.
“Mungkin ni kuasa Tuhan, Cik Juliana. Selalunya pil elak hamil yang diberikan untuk mangsa rogol memang berkesan. Tapi kalau Cik Juliana mahu kandungan tu digugurkan... masih belum terlambat.”
“Aaahhhh!!!” dia menjerit kuat dan jatuh pengsan di bilik rawatan.

DIA meraba perutnya. Walaupun bonjolan itu masih belum kelihatan tapi dia tahu satu nyawa sedang berdegup dalam dirinya. Dia keliru sama ada hendak membenci atau menyayangi nyawa tak diingini yang sedang berdegup dalam badannya itu. Tetapi dia yang tegas menolak cadangan doktor tersebut agar menggugurkan kandungannya yang baru hendak berputik itu. Kini usia kandungannya telah mencapai tiga bulan.
Nasibnya sungguh malang. Dia dirogol entah oleh siapa. Dia dirogol dan disamun. Nasib anak dalam kandungannya juga malang kerana tak akan mengenali wajah lelaki yang telah membenihkannya mungkin sampai bila-bila.
Mengenangkan binatang yang menyamun dan merogolnya masih bebas berkeliaran di luar sana, dia sering dihantui ketakutan. Dia dan pembantunya, Siti Asiah, menumpang di banglo Uncle Johannya untuk sementara waktu. Banglonya yang tersergam di persiaran Tasik Titiwangsa itu sedang dalam proses untuk dijual. Mujurlah ada Uncle Johan yang sering di sisinya dan memberikan kekuatan padanya untuk berhadapan dengan musibah itu.
“Uncle tak kisah. Semuanya tepulang pada Ju. Kalau Ju nak gugurkan kandungan tu, uncle takkan halang. Tapi kalau Ju nak terima juga kehadirannya, uncle tetap akan menyayanginya kerana nyawa yang sedang berdegup dalam badan Ju sebenarnya tak bersalah. Lelaki kejam yang dah merogol Ju tu yang wajar terima segala pembalasannya.” Ucap Uncle Johannya memberikan semangat.
“Ju dah buat keputusan, uncle. Ju akan lahirkan bayi ni.” Tingkahnya dengan berani.
“Uncle sokong keputusan Ju tu!” sahut Uncle Johannya. Intan Juliana tahu tanpa lelaki itu di sisinya, sukar untuk dia menjalani kehidupannya yang sudah tak lagi normal. Kenapa bukan Johan yang dipilih oleh ibunya sebagai suami sedangkan arwah ibu cukup tahu bahawa lelaki itu mencintai dirinya? Kenapa perlu memilih lelaki yang telah beristeri? Akibatnya ibu dibiarkan terkontang-kanting kerana perkahwinan itu tak direstui oleh isteri pertama ayahnya. Ibu menderita dan membawa diri ke luar negara. Dan sepanjang masa itu, Uncle Johanlah yang menjadi teman baiknya.
Argh... hakikat percintaan memang pelik. Dia tak mungkin menyalahkan ibunya kerana masih menyimpan cebis-cebis cintanya untuk seorang lelaki yang tak bertanggung jawab seperti Datuk Kamarul kerana dia juga kini sedang sarat mencintai Yusuf Hakimi yang juga suami seorang wanita bernama Zulaika!
Argh! Dia meraba perutnya. Alangkah bahagianya hidup kalau benih yang aku kandungkan ini adalah benih lelaki yang aku cintai, desis hatinya dan tanpa disedarinya dia tertidur di kerusi malas tersebut tatkala hujan semakin reda.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 38

Bab 38

“SEMUA orang dah bercakap yang kau ada perempuan lain. Malah ada kenalan mama yang nampak kau dengan perempuan tu. Kau nak nafikan lagi, Suf?” suara mamanya melengking di ruang tamu.
“Ma, agaknya mereka tu dah silap. Memanglah pekerjaan saya ni memerlukan saya bertemu dengan orang ramai, tak terkecuali perempuan.” Yusuf Hakimi menyahut.
Puan Kalsom menyengih. “Alah, kalau dah makan siang dan makan malam dengan perempuan yang sama...”
“Memandai ajelah mama ni!”
“Kau masih nak nafikannya lagi dengan mama, Suf. Kalau tak silap mama nama perempuan tu, Intan Juliana kan?”
Jantung Yusuf Hakimi bagaikan hendak tercabut. Entah daripada siapalah mamanya mendapat maklumat sehingga nama Intan Juliana muncul dari bibirnya.
“O... dia! memanglah mama dan penyampai maklumat tu dah salah orang. Yusuf dengan dia hanya kawan, ma. Kawan biasa!”
“Ya ke?” mamanya tergelak kecil. “Yusuf... Yusuf... janganlah kau nak berlagak baik depan mama. Isteri kau yang lurus bendul tu bolehlah kau perbodohkan, tapi tak mama, Suf. Mama tahu perempuan tu siapa, Suf, anak Datuk Kamarul dengan isteri keduanya kan? Mulanya mama macam tak percaya dengar cerita ni. Alhamklumlah kau berkawan dengan adik tiri bekas tunang kau. Tapi tak kisahlah tu. Mama akan jadi penyokong kuat kau kalau betul kau nak tambah cawangan.”
“Mama! Sanggup mama cakap macam tu. Mama tak kesian ke dengan Ika? Dia muda lagi, ma, takkan semudah tu saya nak tambah cawangan?” Yusuf Hakimi terkejut beruk mendengar luahan mamanya. Cukup tak masuk dek akal kata-kata begitu terkeluar dari bibir Puan Kalsom.
“Apa salahnya kalau kau kahwin satu lagi, Suf? Kau tak nak timang zuriat ke? Bini kau tu mandul, tahu tak!”
“Ma, sampai hati mama tuduh isteri saya macam tu.” Luah Yusuf Hakimi dengan perasaan kesal.
“Perempuan muda macam isteri kau tu sepatutnya dah timang anak sekarang ni, tau. Ni tanda-tanda nak hamil pun tak nampak. Takkan kau sanggup tunggu sepuluh atau dua puluh tahun lagi untuk timang anak, Suf?” tekan Puan Kalsom. Tiada secebis simpati pun terhadap menantu malangnya itu.
Yusuf Hakimi mengeluh perlahan lalu bangkit dari sofa. Puan Kalsom menjelingnya dengan ekor mata. Dia cukup tahu anaknya sudah panas punggung mendengar bebelannya terutamanya yang berkaitan dengan Zulaika.
“Hmmm... dah nak baliklah tu! Langsung kita tak boleh sentuh pasal isterinya yang muda belia tu.”
Yusuf Hakimi tidak mengendahkan kata-kata mamanya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mamanya. Selepas itu dia mencium pipi kiri dan kanan Puan Kalsom sebelum melangkah meninggalkan rumah.
Pasangan mana yang tak mahukan anak? Bukankah cahayamata itu anugerah Allah untuk hamba-Nya? Dan dia juga seperti pasangan suami-isteri lainnya yang cukup bahagia kalau dikurniakan zuriat yang kelak akan memeriahkan lagi kehidupan berkeluarga. Tapi dia bukanlah cukup terdesak untuk menimang zuriat. Dia juga tidak mahu memberikan tekanan pada isterinya. Baginya zuriat adalah rezeki daripada Allah. Kalau dikurniakan kepadanya dan juga isteri, dia akan bersyukur.
Dia percaya suatu hari kelak dia dan Zulaika akan dikurniakan dengan zuriat. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.

DIA memandu keretanya menuju ke Tasik Titiwangsa. Tasik buatan yang menjadi pelarian warga kota untuk mencari secebis ketenangan di jiwa itu telah ramai pengunjungnya. Dia menyusuri siarkaki dan menikmati hembusan bayu petang yang nyaman. Ketika dia melintasi kawasan permainan kanak-kanak, dia terhenti sebentar dan merenung ke arah beberapa orang kanak-kanak yang kelihatan begitu riang bermain buaian dan bergayut pada palang-palang besi.
Siapa yang tak mahukan anak, ma? Seorang anak yang akan memeriahkan kehidupan? Anak mama ini cukup pasti yang menantu mama juga begitu. Zulaika juga mengidamkan kehadiran seorang cahayamata dalam rumah tangga kami yang kini sunyi sepi. Tapi sudahkah mama lupa bahawa anak itu adalah anugerah dari Allah Taala?
Dan kenapa mama begitu membenci Zulaika? Apakah kerana statusnya sebagai anak yatim piatu maka dia perlu dibenci dan dihina sebegitu rupa? Atau apakah hanya kerana dia tak berpelajaran tinggi dan berasal dari ceruk kampung maka mama malu untuk bermenantukannya?
Dia melabuhkan punggungnya di atas bangku batu yang menghala ke arah tasik. Angin petang yang bertiup menerbitkan alunan lembut pada dada tasik. Seperti biasa di kala bersendirian begitu wajah dua orang wanita yang kini cukup penting dalam hidupnya muncul di ruang fikir – yang seorang isteri dan seorang lagi adalah teman baiknya.
Wajah mulus seorang isteri yang setia kelihatan melemparkan senyuman ke arahnya. Zulaika masih muda dan cukup cantik. Dia juga adalah seorang isteri yang cukup setia. Selama menjadi isterinya, dia tak pernah memberikan masalah padanya kecuali hal yang berkaitan dengan adik tirinya, Fatin Adiba dahulu.
Kemudian muncul pula wajah Intan Juliana, teman baiknya sehingga kini. Dia senang dengan gadis itu; selesa berada di sisinya. Intan Juliana adalah seorang perempuan yang cukup bijak dan berbakat besar. Tapi entah mengapa sejak akhir-akhir ini sekepal hati lelakinya sering berdebar-debar tatkala Intan Juliana berada hampir di sisinya. Dia seolah-olah terpesona dengan kehangatan tubuh perempuan yang hanyalah teman baiknya.
Kenapa? Kenapa dia perlu berperasaan sebegitu terhadap Intan Juliana? Dan sejak bilakah perasaan sebegitu mula terbit di hatinya? Ya Tuhan, apakah hatiku sudah terbahagi dua? Apakah cinta Yusuf yang selama ini padat untuk Zulaika telah mula hilang kepadatannya?
Kenapa? Apakah salah Zulaika sehingga hati ini mula bercabang-cabang? Tidak cukup cantikkah dia? Tidak cukup sempurnakah dia?
“Aku tahu aku memang jahat suatu masa dulu, Suf. Aku akui aku memang suka dengan perempuan. Aku mainkah hati perempuan dan tak rasa apa-apapun tatkala memutuskan hubungan dengan mereka. Aku tahu ramai lelaki cukup benci denganku kerana kekasih pernah mempedayakan kekadih mereka untuk masuk ke dalam perangkap citaku. Tapi tu kisah dulu-dulu, kisah aku semasa bujang. Kini aku dah bosan dan dah puas memperolokkan cinta, Suf. Yang aku dambakan adalah hubungan suci suami isteri dan insya-Allah aku tak akan persiakan wanita yang aku pilih untuk aku jadikan isteriku!” itulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Taufik, bekas kasanova, yang kini telah menjadi tunangan teman baik Zulaika, Atika Ayuni.
Dia tahu bahawa Taufik akan mengotakan ikrarnya itu. Taufik akan membahagiakan Atika Ayuni sedangkan dia yang bukankah termasuk dalam kategori lelaki kasanova, kini setelah mempunyai seorang wanita di sisinya sebagai isteri pula telah bercabang hatinya!
Tidak! Sungguh tidak beretika kalau ditakdirkan seorang suami yang mempunyai isteri yang tiada cacat celanya dengan begitu mudah jatuh cinta pada perempuan lain.
Tidak! Apa dosa Zulaika sehingga dia perlu mencambah harapan ke daerah lain? Kenapa hati lelaki begitu mudah bercabang? Seolah-olah seorang peladang yang merasakan bahawa padang ragut di sebelah ladangnya adalah lebih hijau rumputnya!
Hakikatnya manusia memang tak pernah puas dengan apa yang menjadi miliknya.
Tidak! Zulaika ibarat seorang perempuan tanpa dosa. Dia tak akan mempersiakan cinta mereka yang hangat membara itu. Bukankah Yusuf hanya untuk Zulaika... dulu, kini dan selamanya?
Awal senja itu dia sampai ke rumah tatkala muazzin mula mengalunkan azan. Dia bersyukur kerana isterinya masih menunggunya di muka pintu dengan senyuman bersira madu. Dia tahu hati isterinya terguris – terasa dengan keintiman yang ditonjolkan terhadap sahabat baiknya, Intan Juliana, sejak akhir-akhir ini. Dia bertekad untuk mencantas bibit-bibit perasaan yang baru muncul terhadap perempuan itu – bibit perasaan yang entah muncul dari mana dan entah muncul bila ketikanya!
Dengan mesra dia memeluk pinggang ramping Zulaika lalu menghadiahkan ciuman yang hangat di pipinya. Mulutnya turut menjalar ke telinga lalu membisikkan kata; aku sayang padamu! Dia mahu menjernihkan segala keruh yang pernah muncul di antara mereka.
“Kenapa abang ni?” soal Zulaika sambil menolak dadanya.
“Kenapa? Salah ke kalau abang cakap yang abang sayangkan Ika, isteri abang sendiri?”
“Tak... tak salah. Tapi...” Zulaika menuding jari telunjuknya ke ruang tamu. Yusuf Hakimi terkejut melihat tiga orang tetamu yang tak diundang berada di ruang tamu rumahnya.

“SAPA yang tak terkejut, Fauzan? Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba!” desis Yusuf Hakimi ketika dia dan Fauzan berehat di ruang tamu selepas selesai makan malam. “Kalau dengan perempuan lain, aku tak kisah. Tapi...”
“Aku tahu kau kurang senang sebab aku pilih Fatin Adiba sebagai calon isteri. Aku ada alasan aku sendiri, Suf. Walaupun kau tu kawan baik aku tapi aku rasa tak payahlah kau tahu alasan aku ni kerana ianya agak peribadi.” Tingkah Fauzan sambil menyisip kopi pekat yang masih berasap.
Yusuf Hakimi mengangguk. Dari arah dapur kedengaran suara isterinya dan Fatin Adiba tergelak riang.
“Tak kisahlah, tu. Walau apapun aku ucapkan tahniah pada kau dan insya-Allah aku serta isteri akan pulang ke kampung menghadiri majlis akad nikah kau dan Fatin nanti. Tapi kau tak terfikir ke perasaan anak kau, Rayzal, Fauzan? Bukankah dia dan Fatin dulu pernah jatuh cinta? Ray dah tahu ke yang kau nak kahwin dengan bekas kekasihnya ni?”
“Ni yang memeningkan kepala aku, Suf.” Fauzan menarik nafasnya dalam-dalam dan kemudian menghembusnya perlahan-lahan. “Aku memang belum bagitau dia lagi tentang hal ni. Aku rasa biarlah ianya jadi rahsia dulu. Bila Fatin dah sah jadi isteri aku nanti, aku akan jelaskan hal ni pada dia.”
Yusuf Hakimi menggeleng-gelengkan kepalanya. “Ni hal kau, Fauzan. Pandai-pandai kaulah.”
“Ray masih muda. Aku yakin dia akan jumpa perempuan yang lebih sesuai untuk dijadikan pasangan hidupnya suatu hari nanti.” Kata Fauzan seolah-olah hendak menyedapkan hatinya sendiri.
“Fatin macam mana?”
“Kalau dia tak setuju nak jadi isteri aku, takkan aku, dia dan emaknya berada di rumah kau malam ni, Suf?”
Yusuf Hakimi mengangguk. Dia berharap agar Fauzan akan berjaya mendidik Fatin Adiba, adik tiri isterinya yang agak liar itu.

“TAK sangkakan, bang? Akhirnya Fatin akan bergelar isteri pada Fauzan selepas segala peristiwa yang pernah mereka lalui tu?” tutur Zulaika ketika mereka sedang berehat di kamar tidur.
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Kalau difikir-fikirkan... rasa gelihati pulak.”
“Kenapa?”
“Selama ni Ika panggil Fauzan tu ‘encik’, kadang-kadang panggil dia ‘abang’. Tapi lepas ni nampaknya dia yang kena panggil Ika ‘kakak’ pulak!”
Yusuf Hakimi tergelak kecil. Dia menarik tubuh isterinya rapat ke dalam dakapannya.
“Dah ditakdirkan jodoh Fatin dengan Fauzan agaknya. Kita doakan ajelah agar mereka bahagia, Ika.”
“Rumah tangga kita pula, macam mana, bang?”
“Kenapa Ika tanya macam tu? Rumah tangga kita akan sentiasa bahagia. Tulah janji abang pada Ika. Sorry kalau ada salah silap abang pada Ika selama ni. Sorry kalau ada sikap abang yang dah lukakan hati Ika. Abang janji... abang akan jadi budak baik lepas ni...”
“Kenapa abang cakap macam tu? Selama ni abang budak jahat ke?”
Yusuf Hakimi mengekel. Pelukannya ke tubuh Zulaika semakin kuat. Wajah Intan Juliana yang cuba mencuri masuk ke ruang fikirnya semakin malap dan akhirnya menghilang entah ke mana. Malam itu adalah untuk dia dan isterinya, dan wajah perempuan mana pun diharamkan untuk mencelah di antara mereka berdua.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 37

Bab 37

INTAN JULIANA pulang awal ke rumahnya. Sejak dikunjungi oleh Zulaika dia hilang mood untuk terus berada di ruang galerinya. Hati yang tak tenteram membuatkan badan menjadi seram sejuk, terasa seperti hendak demam.
Dia meneguk susu panas yang dibawa oleh Siti Asiah sambil menjamah puding jagung yang manis dan enak. Walaupun dia sedang ligat memikirkan tentang pertemuannya dengan isteri Yusuf Hakimi, dia masih perasan keadaan pembantu rumahnya yang telah dua tiga kali melintas di hadapannya.
“Kenapa ni, Kak Siti? Kakak ada masalah ke?” akhirnya dia membuka mulut bertanya ketika kali keempat perempuan itu melintas di depannya. Langkah Siti Asiah terhenti. “Duduklah, kak, yang akak berkawad depan saya ni kenapa?”
Siti Asiah terus melabuhkan punggungnya di hadapan Intan Juliana.
“Memang akak ada masalah sikit, Cik Ju. Tapi bila tengok Cik Ju balik rumah dalam keadaan muram tadi akak tak sampai hati nak beritahu Cik Ju...”
“Laa... akak ni! Hmm, apa masalahnya?”
“Akak nak minta cuti beberapa hari sebab semalam adik akak di kampung telefon. Dia kata emak akak tak sihat.” Tutur Siti Asiah.
“Berapa hari Kak Siti nak cuti?” soal Intan Juliana. Prihatin.
Siti Asiah kelihatan serba salah. “Susah nak cakaplah sebab akak pun tak pasti bagaimana sebenarnya keadaan emak akak tu. Tapi kalau akak cuti siapa yang nak temankan Cik Ju kat sini? Kesian pulak...” keluh Siti Asiah.
“Akak tak perlu risau tentang saya. Saya pun pernah berhadapan dengan situasi yang sama dengan akak ni dulu. Saya faham keadaan akak. Baliklah jenguk mak akak yang sakit tu sebab soal ajal maut ni terletak di tangan Tuhan. Jangan risaukan saya. Saya ni dah besar, kak, tahulah saya jaga diri.”
Siti Asiah terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh majikannya. Hampir-hampir saja dia menitiskan air matanya.
“Terima kasih, Cik Ju. Akak janji akan balik cepat kemari.” Tingkahnya. Intan Juliana hanya mengangguk. “Cik Ju nak makan apa malam ni?”
Intan Juliana yang bagaikan telah hilang selera hanya geleng kepala. “Tak apalah, Kak Siti boleh berkemas kalau betul nak balik ke kampung esok. Pagi-pagi esok saya akan hantar Kak Siti ke Puduraya.” Katanya sambil membawa diri ke kamar tidur.
Dia baru hendak meletakkan kepalanya ke bantal tatkala telefon bimbitnya melagukan melodi Winter Sonata. Dia menoleh ke skrin.
“Ya, Suf?” soalnya.
“Awal you tutup galeri ni?” suara Yusuf Hakimi kedengaran menyoal.
“You kat galeri ke?”
“Ya!”
“Kenapa tak telefon dulu?”
“Kebiasaannya you takkan tinggalkan galeri sebelum pukul tujuh setengah? Tu sebabnya I datang kemari, ingatkan dapatlah jumpa you.”
“Selalunya you call I kalau nak singgah ke galeri. So jangan nak salahkan I ya!”
“Isy, taklah! You okey ke ni? Lain macam aje suara you? I cuma nak tahu apa yang Ika nak daripada you.”
“Supaya you senang berdepan dengannya nanti?” dia menempelak. Yusuf Hakimi ketawa kecil.
“Apa yang you dengan dia bualkan?”
“You!”
“I? Isy, ni yang buat bulu tengkuk I meremang ni!” Yusuf Hakimi tergelak lagi. “Dua orang perempuan cantik dah jadikan I yang tak berapa handsome ni sebagai isu perbualan mereka. He, he, he!”
“Hey, yang you tergelak-gelak ni, kenapa? Ni bukan masanya nak berseronok tau!” marah Intan Juliana. “Ika... isteri you tu, syak yang kita berdua ada hubungan istimewa.”
“Ya ke? Apa jawapan yang you berikan?”
“I nak tanya you sikit, Suf...”
“Go ahead, nak tanya banyak pun boleh.”
Intan Juliana menarik nafas panjang. “You rasa kenapa Ika menaruh syak terhadap persahabatan kita sedangkan selama ni dia pun tahu yang kita berkawan baik?”
Yusuf Hakimi mengeluh. “I rasa ada orang yang sengaja masukkan input negatif dalam otak wife I supaya mencurigai hubungan kita.”
“Siapa orang tu?”
“Hmm... tak payahlah you tau siapa dia, Ju.” Tingkah Yusuf Hakimi. “So apa reaksi you pada pertanyaan wife I, tu?”
“Dah tentulah I nafikannya. Tak sampai hati nak tengok airmatanya menitis.” Sahutnya. “Lagipun memang betul kata you tadi, kita tak ada hubungan apa-apa selain daripada seorang kawan karib, am I right?”
“Yes you are!” sahut Yusuf Hakimi pantas membuatkan hati Intan Juliana bersawang kecewa.

BILAKAH perasaan itu berubah kepada cinta? Intan Juliana sendiri tiada jawapan pada persoalan itu. Cuma yang dia tahu semakin hari dia semakin menyayangi teman yang selama ini dianggapnya sebagai kawan karib. Bukan dia tak cuba melawan perasaan yang menghantui ketenangan jiwanya itu, tapi dia akhirnya terpaksa mengaku kalah.
Dia hanyalah seorang perempuan biasa yang terpaksa akur dengan kehendak hatinya. Alangkah bahagianya kalau lelaki yang semakin melekap teguh di hatinya itu bukanlah milik seorang wanita lain. Alangkah bahagia kalau Yusuf Hakimi masih bujang. Tapi realitinya... ya, manusia kadangkala sentiasa tewas oleh permainan emosi.
Dia membalikkan badannya. Matanya langsung tak mengantuk walaupun dinihari semakin menjelang. Wajah Yusuf Hakimi muncul di mana-mana!

DINIHARI yang sama; Zulaika juga tak mampu melelapkan matanya. Dia menggelisah di kamar tidur, bukan kerana pendingin hawa yang rosak tapi dek hati yang bergolak. Hakikatnya dia kini tidak lagi mimpi untuk berjumpa dengan ketenangan yang abadi. Desas-desus yang bertiup di sekelilingnya membakar syak wasangka dan emosi seorang perempuan yang diamuk api cemburu.
Salahkah kalau dia mencemburui suaminya? Bukankah cemburu itu tandanya sayang? Ya, dia cemburukan teman baik Yusuf Hakimi yang bernama Intan Juliana itu. Kenapa suaminya perlu mempunyai seorang perempuan sebagai teman baik? Kenapa tak memilih saja teman baik di kalangan kaum sejenisnya iaitu kaum Adam?
Ya, dia wajar mencemburui Intan Juliana. Ada banyak sebab kenapa dia harus cemburukan perempuan itu. bukankah Intan Juliana ada segala-galanya yang didambakan olegh tiap lelaki pada diri seorang wanita? Dia cantik, bijak serta berharta sedangkan seorang Zulaika hanyalah anak yatim piatu yang berasal dari ceruk kampung, yang tiada apapun untuk dibanggakan.
Dia menoleh ke arah suaminya yang tertidur pulas di atas katil. Apakah penafian Yusuf Hakimi tadi direka sekadar untuk menyedapkan hatinya? Hati yang bagai disayat sembilu membuatkan dia terasa mahu saja mengejutkan suaminya daripada tidur dan meluahkan seribu satu persoalan yang bertapa di benaknya. Dia mahukan jawapan yang benar serta pasti dari mulut suaminya bahawa dia dan Intan Juliana tiada apa-apa hubungan istimewa selain daripada teman biasa.
Ya, Allah... berikanlah aku kesabaran dan cukupkanlah kesabaranku, hatinya merintih sendiri.

Selasa, 18 Februari 2014

ULASAN; DINDA CINTA KANDA- Karya Nur Insyirah









DINDA CINTA KANDA ( ISBN 978983124902-4)
NUR INSYIRAH
2014
ALAF 21
RM22.00
547 muka surat.
Ulasan : Oleh Asmah  Hashim

                Hadif Aufiah atau Adif  kahwin terpaksa dengan Tengku Faiq  atas kehendak orangtuanya Tengku Ismail.  Adif ada sebabnya tersendiri kenapa dia bersetuju dijodohkan dengan lelaki tersebut.  Walaupun tiada cinta antara mereka, namun berusaha juga melayari rumah tangga yang telah dibina.  Perkahwinan tanpa restu di hati bagaikan tiada sinar dan kebahagian begitu jauh  untuk dicapai.
                Tengku Faiq tidak dapat menerima kehadiran Adif yang dirasakan telah dan akan membunuh cintanya kepada arwah isteri yang sangat dicintai.  Sikap kasar, garang dan  degil  Adif  rasa begitu jauh dengan sikap arwah isteri yang taat dan menurut kata.   Tentu Faiq melepaskan geram kepada Adif  kerana perkahwinan terpaksa itu.    Berbagai perkara berlaku dalam rumah tangga yang baharu sahaja terbina. 
                Hati perempuan bagaikan kerak nasi,  bila terkena air lembut juga.  Cinta berputih terhadap suami sendiri.  Namun jiwanya hampa kerana  Tengku Faiq tidak pernah mencintainya.   Badai melanda bagaikan tidak mampu tenang semula.  Kerana suatu perkara yang dirasakan mencabar keegoan diri dan  maruah seorang suami akhirnya mereka bercerai juga.   Adif merana dalam hati, lantaran cinta yang telah bersemi.  Dia hampa kerana hanya bertepuk sebelah tangan.    Membaca hati yang luka sehingga Tengku Auni, anak Tengku Faiq merana kerana merindui mama tirinya. 
                Apa yang berlaku sebenarnya?  Apa rahsia yang disimpan oleh Adif sehingga sanggup berkahwin dengan Tengku Faiq walaupun  pada awalnya tiada cinta di hatinya?  Siapa Nadhirah yang hadir  dalam hidup mereka dan memusnahkan rumah tangga yang hampir menuju kebahagian?  Kenapa Nadhirah begitu mendendami Adif, sedangkan wanita itu langsung tidak ingat siapa Nadhirah?  Siapa pula Hisham kehadirannya bagaikan duri dalam daging memusnahkan sebuah rumah tangga tanpa ada sedikitpun rasa simpati? Bagaimana dengan Adif dan Tengku Faiq, adakah cinta antara mereka?   Apakah  hubungan yang terputus mampu bersatu kembali?  Setiap persoalan pasti ada jawapan.  Jawapannya ada di dalam Karya DINDA CINTA KANDA…
                Tahniah penulis. Karya pertama yang  menyentuh hati.  Garapan bahasa yang bersahaja dan santai serta unsur-unsur sedih digarap dengan baik sekali.  Plot berjalan lancar, ada imbas semula tentang kehidupan masa lalu watak utama.    Ada bahagian yang sedih yang membuatkan air mata mengalir.  Ada sudut yang kelakar yang mampu membuatkan kita ketawa dan senyum sendiri.  Ada bahagian membuatkan kita marah lantaran sikap ego dan sombong Tengku Faiq.  Ada bahagian yang membuatkan kita rasa hendak cekik sahaja watak tersebut pengganggu gugat kebahagian orang lain.  Penulis berjaya menghidupkan watak dengan baik walaupun pada awalnya agak sedikit keliru namun diterangkan dengan  jelas  selepas itu.  Tahniah Insyirah, semoga terus  melahirkan karya-karya yang bermutu.

Isnin, 17 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA-BAB 36

Bab 36

FATIN ADIBA menuruni tangga dengan dada yang berdebar kencang. Dalam pada itu matanya sempat jumpa membelingas memerhatikan frame-frame gambar yang teratur kemas di dinding. Gambar-gambar itu adalah gambar Fauzan dengan anak-anaknya dalam pelbagai aksi dan gaya. Gambarnya dengan Rayzal juga ada. Melalui foto tersebut, dia melihat yang lelaki itu begitu rapat dengan dua orang puteri dan seorang puteranya.
Perasaan sedih tiba-tiba menyambar hatinya sebaik saja melihat gambar Rayzal. Anak muda itu mungkin telah melupakannya. Entah-entah kini sedang berseronok dengan Minah Saleh di Australia sana. Dia di sini yang terpaksa menelan kepahitan disebabkan keterlanjuran mereka dahulu.
“Siapa kata aku tak sayangkan kau, Fatin? Aku memang sayangkan kau. Tapi papa tentang keras hubungan kita ni. Aku... aku tak boleh buat apa-apa sebab kau tau-tau sendirilah, aku pun belum lepas dari tanggungan dia lagi. Lainlah kalau aku dah habis belajar dan dah ada pendapatan sendiri.” Keluh Rayzal apabila meminta hubungan mereka diputuskan.
“Cik Fatin, jemput ke ruang makan. Tuan dah tunggu cik lama...” sapaan Susanti membuatkan imbauan wajah bekas kekasihnya hilang dari ruang kenangan.
“Pergi mampuslah dengan tuan kau!” desisnya perlahan agar tidak didengari oleh pembantu rumah itu. Dia mengekori Susanti ke meja makan dan melihat Fauzan begitu asyik merenungnya. Dia menghenyakkan punggungnya ke kerusi dan mempamerkan wajah masam.
Susanti menyendukkan mi goreng ke pinggannya.
“Cik Fatin nak minum apa?”
“Apa-apa jelah!” sahutnya hendak tak hendak.
“Tuangkan Milo untuk Cik Fatin kita ni, Susanti.” Fauzan memberi arahan. Fatin Adiba mengherotkan bibirnya.
“Ni Milonya Cik Fatin.” Kata Susanti sambil berlalu meninggalkan mereka di meja.
Matanya dan Fauzan berlaga. Lelaki itu yang telah kelihatan kemas, mungkin sudah bersiap untuk ke pejabat, sengih memanjang ke arahnya. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati.
“Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?” soalnya.
“Kalau ya pun, minumlah dulu.” Pujuk Fauzan.
“Aku tak selera nak minum selagi kau tak jawab soalan aku tadi. Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?”
“Saya ambil berat tentang awak, Fatin. Mungkin awak nak tahu kenapa saya ambil berat tentang awakkan? Sebabnya ialah Zulaika. Saya cukup kesian dengan dia. Selepas awak keluar dari rumahnya, dia datang pada saya dan merayu-rayu nak tahu di mana awak tinggal. Dia masih menyayangi awak walaupun kelakuan awak...”
“Cukup... cukup! Kau masih tak puas-puas nak menghina aku?”
“Fatin, saya tak bermaksud begitu. Saya bawa awak pulang untuk menyelamatkan awak daripada terus terlanjur. Setiap orang harus tahu jalan pulangnya, Fatin. Kalau kakak tiri awak sentiasa berfikiran positif yang suatu hari kelak awak akan berubah, kenapa saya harus bersikap negatif terhadap awak?”
“Kau... kau nak menyelamatkan aku?” Fatin Adiba terjerit. Bulat matanya memandang wajah Fauzan, bekas bosnya yang telah memecatnya dahulu.
“Ya, saya nak menyelamatkan awak. Banyak keburukannya kalau awak masih bekerja di kelab tu, Fatin. Tengoklah diri awak malam tadi... awak mabuk dan telan pil khayal.”
“Hey, orang tua! Kau yang menyebabkan aku jadi macam tu, tau tak? Kau yang pecat aku dulu, kau dah lupa ke?”
Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kalaupun saya dah pecat awak, kerana silap awak juga, Fatin. Bukankah saya dah ingatkan awak agar jauhkan diri daripada Ray? Dia masih belajar lagi. Saya sebagai papa Ray mahukan dia berjaya dalam pengajiannya. Lepas tu saya tak kisah kalau dia nak bercinta ke... nak kahwin ke dengan sesiapa aje yang dia suka.”
“Anak kau, kau hantar ke luar negara. Aku kau pecat ya? Banyak cantik!” Fatin Adiba mendengus.
“Kalau awak setuju saya nak ambil awak bekerja dengan saya balik. Macam mana?” kata-kata lelaki di hadapannya membuatkan Fatin Adiba terdiam seketika. Fauzan sengih memanjang. “Macam mana? Awak setuju tak nak kerja dengan saya?”
“Kerja apa?”
“Jadi isteri saya.”
“What!” nyaris-nyaris dia tercekik mi goreng yang sedang dikunyahnya.
Lelaki di hadapannya tergelak kecil. “Ya, saya serius ni. Saya nak melamar awak sebagai isteri saya, tu pun kalau awak setuju.”
Fatin Adiba ternganga.

MEREKA bersalaman.
“Silakan duduk, Ika.” Pelawanya. Zulaika tersenyum nipis lalu melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia turut menarik sebuah kerusi lain lalu duduk di hadapan isteri muda itu. “Apa tujuan Ika nak jumpa Kak Ju ni?”
“Maaflah kalau kedatangan Ika ni mengganggu kerja Kak Ju...”
“Isy, taklah! Kak Ju pun seronok juga Ika datang ni sebab Ika tak pernah singgah lagi ke galeri Kak Ju ni kan?” dipandangnya wajah isteri muda yang cuba sedaya upaya untuk kelihatan tenang di hadapannya itu. Hakikatnya dia tahu hati isteri muda itu sedang berkocak hebat.
Zulaika mengangguk.
“Ya, Ika belum lagi pernah singgah ke galeri Kak Ju ni. Ika kagum tengok lukisan-lukisan yang Kak Ju lukis ni, cukup cantik!”
Intan Juliana tersenyum.
“Terima kasih.”
“Kak Ju, sebenarnya Ika datang ni, bersebab.” Ujarnya dan wajahnya kelihatan benar-benar gelisah.
Intan Juliana mengangguk. “Teruskan dengan apa yang Ika nak katakan pada Kak Ju. Kalau tak ada alasan yang kukuh takkan Ika singgah ke galeri Kak Ju ni kan?”
“Err... Ika nak Kak Ju berterus-terang dengan Ika, apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kami berkawan baik. Ika sendiri dah lama tahukan tentang ni?”
“Betul ke apa yang Kak Ju cakapkan ni? Atau Kak Ju menyimpan sesuatu rahsia daripada Ika? Ika minta Kak Ju berlaku jujur dengan Ika. Ika takkan marah pada Kak Ju mahupun Abang Yusuf. Cuma tolonglah berterus-terang. Ika dah tak tahan lagi hidup macam ni, Kak Ju!” dan air matanya menitis juga dari takungan. Air mata seorang isteri yang tertanya-tanya tentang hubungan suaminya dengan seorang perempuan yang kini sedang berada betul-betul di hadapannya.
“Ika tahu Kak Ju seorang perempuan yang istimewa. Kak Ju juga seorang perempuan yang ada rupa, berpelajaran tinggi dan banyak duit. Kak Ju ada segala-galanya yang diimpikan dalam hidup ni sedangkan Ika... Ika hanya ada Abang Yusuf. Cuba Kak Ju fikir apa akan jadi pada Ika kalau ditakdirkan Ika kehilangan Abang Yusuf.”
Dan air mata seorang isteri yang goyah statusnya di sisi suami, semakin melebat lantas melemaskan hati Intan Juliana yang memandang. Wajah lelaki yang menjadi rebutan mereka berdua bertandang di ruang mata... pada renungannya, senyumannya dan bicara mesranya. Intan Juliana tak dapat membayangkan keadaannya kalau terpaksa berpisah dengan renungan, senyuman dan bicara mesra lelaki itu. Dia juga tahu wanita di hadapannya juga berada dalam situasi yang sama dengannya.
Alangkah malangnya kerana ditakdirkan mencintai lelaki yang sudah beristeri. Dan lebih malang lagi kerana saingannya adalah perempuan sebaik Zulaika!
“Apa salahnya mencintai suami orang, Ju? Bukankah Islam menghalalkan poligami?” kata-kata yang pernah diucapkan oleh Uncle Johannya menyapa ke ruang fikir. Sejak lelaki itu mengetahui isi hatinya yang mendalam terhadap Yusuf Hakimi, dia seolah-olah sengaja menggalakkannya untuk menjadi isteri lelaki itu. Memang betul, hidup bermadu dihalalkan oleh agama tapi persoalannya sanggupkah seorang isteri yang masih muda dan cukup cantik seperti Zulaika hidup berkongsi kasih?
“Kenapa Kak Ju diam? Susah sangat ke nak jawab soalan Ika ni?” Zulaika mendesak pada sebuah jawapan. “Apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kak Ju dengan dia hanya kawan.” Sahutnya.
“Betul ke ni, Kak Ju? Atau Kak Ju sengaja berselindung sebab nak jaga hati Ika?”
Intan Juliana mengangguk. “Percayalah! Bukankah Yusuf adalah milik Zulaika?” tingkahnya sambil meramas jari-jemari perempuan itu.