Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112
Memaparkan catatan dengan label BAHAGIA MILIK KITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BAHAGIA MILIK KITA. Papar semua catatan

Jumaat, 31 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 16





 

BAB 16          
            Mariam memandang sahaja tingkahlaku anak lelakinya  yang mundar-mandir di dalam rumah.  Wajah penuh kegelisahan.  Dia melangkah ke ruang tamu.  Terus melabuhkan punggung di sofa.  Wajah kelat anak lelakinya ditenung lama.
            “Kenapa mak?  Tengok Kadir macam nak telan aje?”  Kadir kurang senang ditenung begitu. 
            “Pergilah menyerah diri, hidup dibawah kesengsaraan orang lain, hati kita takkan tenteram.”
            “Apa mak cakap ini?  Kadir tak faham?” Kadir mengerling sekali imbas ke arah Mariam yang masih memandangnya tidak berkelip.
            “Kau jangan nak bohong mak, Kadir?  Mak tahu kau yang merompak pasaraya tempat kau bekerja.  Lepas itu kau letak barang curi di dalam bakul motosikal  arwah  Mak Cik Halimah kau dan arwah Pak Cik Hafiz, tidak pasal-pasal nama mereka buruk kerana kau!” marah Mariam. 
            “Mak jangan nak tuduh Kadir?  Kadir tak buat itu semua?”  Kadir menafikannya. 
            Mariam mencebik.  Dia menarik tangan Kadir duduk di sebelahnya.
            “Mak lahirkan kau di dunia ini, bukan untuk buat kau jadi anak durhaka dan perosak kehidupan orang lain.  Biarkau bodoh!  Tidak pandai.  Biar kau tidak bekerja! Tapi kau jadi manusia baik, berhati mulia.  Kau hancurkan hati mak, Kadir.  Kau pecah-belahkan perasaan emak!  Kenapa tergamak kau dan ayah bersekongkol menfitnah ahli keluarga sendiri, anak-anak mak cik kau hidup melarat tidak terbela.  Kau penyebabnya!”   Hati  Mariam benar-benar sakit sejak hari dia mendengar perbualan anak dan ayah tempohari.
            “Mak nak Kadir masuk penjara ke?”  Kadir bengang.  Memang dia bersalah.  Dia terdesak.  Gajinya tidak cukup menyara kehidupannya yang suka berjudi.  Lagipun hutangnya juga banyak.  Tidak tahu bagaimana hendak bayar.  Minta daripada ayahnya langsung tidak dilayan.  Hanya itu yang dapat difikirkan ketika itu.  Merompak.  Kebetulan  waktu itu bahagian pengambilan sedang mengutip duit jualan.   Dia yang membawa duit itu keluar.    Kesempatan itu diambil untuk merompak duit tersebut.  Belum sempat dia berbuat apa-apa ada rakan setugas yang perasan, duit yang diletakkan di atas meja hilang.  Dia terus keluar dan meletakkan bungkusan yang berisi puluhan ribu ringgit itu ke dalam  motosikal Pak Cik Hafiz yang  menunggu di hadapan pasaraya.  Dia terus menjerit mengatakan Pak Cik Hafiz pencuri apabila terlihat kelibat polis.  Pihak polis ingat Pak Cik Hafiz ingin melarikan diri, rupanya hendak ke bilik air, beliau terus ditembak, salah satu peluru terkena Mak Cik Halimah yang baharu sahaja keluar dari pintu  pasaraya.  Dia sendiri terkejut sebenarnya.
            “Biar kau masuk penjara daripada kau menganiaya orang lain!” tinggi nada suara Mariam.  Mahu sahaja dia mengheret anak lelakinya itu ke balai polis.  Nama adik ipar dan birasnya harus dibersihkan.  Dia tidak mahu bersekongkol dengan suami dan anaknya itu.  Mereka memang kejam.  Suaminya pula menabur fitnah sekelililing kampung demi menjaga nama baik anak sendiri.  Kejam.
            “Mak! Ingat senang ke duduk di penjara?  Mak nak saya mati kering?”  Kadir mencebik.
            “Biar mati kering dari mati menangung dosa orang lain! Mak bagikau peluang Kadir, jika tidak mak sendiri akan buat aduan ke balai polis!” ugut Mariam.
            “Mak!”  Kadir mengeluh kesal.  Kalau boleh dia hendak keluar dari rumah itu.  Dia sudah jemu duduk berkurung di dalam rumah.
            “Mak tak nak tanggung dosa kau Kadir.  Mak tak nak ada anak macam kau!  Solat tidak, mengaji jauh sekali.  Sedangkan waktu kecil dahulu semua itu emak ajar, emak cuba menjadi seorang ibu yang baik.  Tapi bila besar, apa jadi dengan kau?  Berjudi, berhutang, lepas tu merompak pula!”  Mariam benar-benar kecewa.  Hatinya sudah terhempas ke batu.  Terluka dan berderai. 
            “Sepupu-sepupu kau jadi mangsa, merempat mereka.  Semua kerana kau dan ayahkau punya angkara.  Malulah dengan  ALLAH, Kadir.  Kalaupun tidak mahu malu dengan manusia.  Berlaku benarlah atas kesilapan sendiri.  Tiada ruginya.  Berani buat salah, beranilah tanggung. Kau ingat, kau boleh selamanya menungkat langit?”  semakin keras nada suara Mariam.  Kenapalah anaknya tidak mahu faham hatinya sebagai seorang ibu.  Dia tidak mahu menjadi manusia buta hati, buta rasa.  Hendak membantu anak-anak yatim piatu itu juga tidak boleh.  Entah bagaimana nasib mereka.  Hampir gugur air matanya bila terkenangkan apa yang terjadi.
            “Mak jangan masuk campur hal Kadir! Kalau polis datang cari Kadir, tahulah Kadir siapa yang buat aduan!”  Kadir bingkas bangun.  Dia mencekak pinggang.
            “Kau nak kurangajar dengan mak pula, Kadir?  Tak habis-habis buat perangai burukkau  itu!”  lengking Mariam.  Rasa hendak naik penampar ke muka anak lelakinya itu yang tidak makan diajar.
            “Rimaslah duduk di rumah! Hendak keluar tidak boleh, mak pula asyik berleter!”  Kadir menghempas punggung ke sofa.  Dia mencuka, bibir tidak mampu tersenyum lagi.  Sudah bosan mengurung diri.  Kalau ikut hati dia keluar sahaja dari rumah itu.  Biar dia lari pergi.  Tidak sanggup lagi hidup terkurung.
            “Siapa suruh  jadi penjenayah? Siapa suruh kau merompak?  Siapa suruh kau khianat saudara sendiri?  Hah! Sekarang rasalah!”   kalau boleh dia tidak mahu membenci anak sendiri.  Buruk-burukpun anak dia juga.  Tapi  hati siapa boleh tahan, jika perangai anak sudah keterlaluan.  Berdoa, itu sahajalah jalan yang dia ada.  Kepada ALLAH SWT dia berserah.  Semoga pintu hati anaknya terbuka untuk berubah dan menjadi manusia dan insan yang baik hati budinya.  Susah sangatkah menjadi anak yang baik kepada orangtuanya?  Mahal sangatkah permintaannya? 
            “Mak bukan nak menenangkan hati Kadir yang berserabut ini!  Malah menambah beban sahaja!”  Kadir menjeling tajam.
            “Kalau nak hati yang tenang, sujud kepada ALLAH, bukan jadi hamba syaitan!”   jerit Mariam sudah hilang sabar.  Sudah tidak mampu menahan rasa dan tutur kata.  Anak yang tidak sedar diuntung.  Tidak mahu mendengar nasihat dan hanya mengikut hawa nafsu.  Ada ketua keluarga juga begitu.  Hati busuk mengalahkan bangkai.  Mariam berlalu pergi.  Buat sakit mata dan hati kalau berlama-lama melihat anak sendiri.    Dia ke anjung rumah.  Cuba menenangkan diri.  Di awal pagi sudah membebel kepada zuriat yang dikandung dengan penuh rasa kasih dan sayang.  Bila besar kenapa hidupnya menyusahkan.  Air mata kekecewaan seorang ibu mengalir  lalu.  Di mana salah dan silapnya dalam mendidik?  Bukan ini yang dia harapkan daripada seorang anak.  Kejayaan dan menjadi manusia berguna itulah harapan seorang ibu.  Sudah berkali-kali diberitahu bagaikan tidak mengerti.  Hati syaitan juga yang menjadi ikutan diri.
            Di kejauhan kelihatan seorang pemuda sedang mendukung adik dan mengheret dua orang lagi.  Berkerut dahi Mariam memerhati.  Bagaikan kenal yang empunya diri. Adakah Haikal dan adik-adiknya? Mereka hendak ke mana?  Air mata yang berbaki dikesat dengan jari.

Rabu, 29 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 15




            Haikal melangkah laju.  Dia terkejut melihat adik-adik masih di luar rumah, Maisarah sudahpun tertidur, begitu juga dengan Haris dan Hani.  Haida memangku Maisarah.  Halim menyandar di tiang sambil memeluk lutut. 
            “Mak su tidak balik lagi?”  tanya Haikal terpinga-pinga. 
            Halim menggelengkan kepala.
            “Macam mana nak masuk rumah?”  Haikal mengerut dahi.  Dia memandang kiri dan kanan.  Mangg di pintu dipegang seketika.  Dia mencari sesuatu yang berat.  Pintu rumah harus dibuka.  Adik-adik sudah seharian di luar rumah.  
            Batu besar diambil,  Haikal mengetuk mangga pintu sehingga pecah.  Pintu rumah terbuka luas.  Halim dan Haida memandang Haikal tidak berkelip.
            “Masuk!”arah Haikal. 
            Haida mengendung Maisarah yang lena dipangkuan masuk ke dalam rumah. 
            “Halim, mandikan adik-adik,” suruh Haikal. 
            “Baik long,” Halim menurut arahan.  Haris dan Hani dibawa ke bilik air.  Dalam hati sempat berdoa, semoga mereka tidak demam.  Pakaian bersih diganti.
            Haikal pula mengisi nasi ke dalam pinggan.  Lima bungkus nasi dibawa balik untuk adik-adiknya.  Hanya berlaukkan ikan goreng dan sedikit sayur pemberian majikannya.  Cukuplah untuk mengalas perut adik-adiknya. 
            “Lepas mandi, solat dan makan.  Jangan lupa buat ulangkaji pelajaran Halim, Haida.”  Mata Haikal singgah di wajah kedua-dua adiknya.  Setin susu dibeli sewaktu balik dari kerja.   Dibancuh untuk Maisarah yang sudah berhari-hari tidak menjamah susu.  Rakus adik bongsunya itu menghisap susu yang diberi sambil memejamkan mata kembali.  Haikal tersenyum bahagia.
            Haikal merebahkan diri sambil meletakkan tangan di dahi.  Dia tidak tahu hendak ke mana bawa adik-adiknya.  Rumah siapa lagi mereka hendak menumpang  Hendak cari rumah sewa, manalah dia mampu.  Gajinya bekerja di restoran itu hanya RM5.00 sejam.  8 jam sehari dapatlah RM40.00.  Nasi tengahari dan malam diberi percuma oleh majikannya.  Dia mampu menarik nafas lega, sekurang-kurangnya adik-adik ada makanan hendak dijamah.  Hari ini mak sunya tiada di rumah, sudah tentu tiada makanan untuk mereka. 
            Azan maghrib berkumandang.  Dia memandang Haida dan Halim sedang membuat kerja sekolaj.
            “Pergi ambil wuduk, kita solat berjemaah.  Haris, Hani dan Maisarah masih lagi tidur.  Mungkin keletihan.
            “Baik long!” Haida berlalu ke bilik air mengambil wuduk.  Haikal menjadi iman, Halim dan Haida makmumnya.  Kata  arwah orangtua mereka, solat berjemaah mampu menyatukan hati-hati mereka.  Itu sebab dia tidak pernah meninggalkan solat berjemaah bersama adik-adiknya.    Tangan ditadah, doa dibaca.  Memohon petunjuk daripada Yang Esa, selamat hidup di mana sahaja.  Murah rezeki dan  berbahagia sentiasa.
            “Siapa pecah masuk rumah aku ini?” jerit seseorang dari luar.  Haikal dan adik-adik yang baru selesai solat menoleh serentak ke arah pintu hadapan yang tertutup rapat.  Haikal melangkah bangun dan membuka daun pintu perlahan.  Ditolak dengan kasar dari luar.
            “Kau pecahkan mangga pintu ya?”  Mak Su Tijah menjegilkan mata.
            “Mak su tidak tinggalkan kunci, adik-adik bermandi hujan sehingga basah kuyup.  Maafkan Haikal terpaksa memecahkan pintu rumah.  Bukan sengaja, tapi terpaksa,”  kata Haikal mempertahankan tindakannya
            “Kau tidak faham rupanya?  Itu bermakna aku suruh kau adik beradik keluar dari sini?  Menyampalah tengok muka kau adik-beradik setiap hari.  Pak saudara kau tak balik-balik, sudah berminggu-minggu  kononnya kerja luar! Rimas aku, tahu tak!”    jerkah Mak Su Tijah hampir di telinganya.
            “Mak su!”  Haikal terlopong mendengar kata-kata emak saudaranya.
            “Mulai esok, aku tak nak tengok muka kau adik beradik lagi! Aku tahu kalian keluar dari rumah ini! Pak su kau takkan balik lagi! Aku dengar dah kahwin lain di sempadan Thailand! Kau orang memang  pembawa malang!”  suaranya terjerit-jerit melepaskan rasa marah. 
            “Pak su kahwin lagi? Tak mungkin?”  Haikal tidak percaya.
            “Kau tak percaya? Itu  kau punya pasal.  Kau dan adik-adik kau tiada kena mengena dengan aku lagi.  Mulai esok pagi aku tak mahu tengok kalian di sini, faham!”  Mak Su Tijah mengetap bibir.  Dia menarik anak-anaknya masuk ke dalam bilik, dikunci.
            Halim dan Haida memandang sayu ke arah Haikal yang berdiri kaku. 
            “Long!”  panggil Halim perlahan.   Haikal menyandar di dinding.  Pak sunya kahwin lagi.  Mak sunya pula menghalau mereka keluar.  Dia memejamkan mata seketika, mencari kekuatan dari dalam diri. 
            Halim mendekati, tangan Haikal diraih perlahan-lahan.  Mata mereka saling bertentangan, menatap mencari jalan keluar dari masalah yang melanda. 
Haikal menepuk bahu Halim  lembut. 
“Kita tidur dulu, nanti kita fikirkan caranya dan hendak ke mana?” Haikal tersenyum, namun senyuman itu kelat, pahit dan terasa berbisa. 
Halim dan Haida memandang satu sama lain.  Mereka melipat sejadah.  Menyambung semula kerja yang tertangguh.  Usai solat isyak baharulah mereka boleh melelapkan mata.
Haikal  menyandar di dinding dapur.  Wajah adik-adik ditenung seorang demi seorang.  Hancur  berkecai hatinya.  Kepalanya terasa dihempap batu besar, hanya tunggu nyawa dicabut dari tubuhnya.  Kepada siapa dia harus mengadu.  Air mata lelaki akhirnya gugur juga.  Bukan lemah tetapi meluahkan apa yang dirasakan ketika itu.  Kalau dia sendiri, mudah untuk dia ke mana sahaja hatta tidur di kaki lima.   Tetapi adik-adiknya masih kecil, masih memerlukan tempat  berteduh.  Biarlah hanya pondok buruk asalkan terhindar dari hujan dan panas.  Ya ALLAH, Kau berikanlah aku petunjuk dan hidayah-MU.  Esok pagi dia akan ke tempat kerja.  Tidak mungkin dia bawa adik-adiknya bersama.  Di mana dia hendak tinggalkan mereka.  Orang kampung tidak mahu membantu lantaran mereka adik-beradik dicop sebagai anak perompak. 
Mak Su Tijah sejak balik tadi tidak keluar dari biliknya.  Anak-anaknya turut dikurung di dalam bilik.  Ringan sahaja mulutnya hendak bertanya dan memohon simpati agar diberi ruang untuk mencari tempat tinggal dahulu.  Kalau esok pagi mereka keluar dari rumah itu ke mana pula  mereka hendak pergi?  Pak  su pula, kenapa tiba-tiba kahwin lagi?  Kalau ikutkan manalah pak sunya mampu.  Ah, dia pula pandai-pandai memikirkan masalah orang lain.  Masalah sendiri tidak tertanggung dek badan dan fikiran.  Maisarah semakin susut badannya.  Baharu dua tiga hari ini dapat meneguk susu.  Semakin memikirkan adik-adiknya semakin sakit hatinya.  Bukan kesal dengan  beban yang terpaka ditanggung tetapi mampukah dia mengatasi masalah yang mendatang bagaikan tiada penghujungnya. 
Semakin difikir semakin berserabut.  Dia perlu mencari tempat berteduh.  Tidak mungkin dia membawa adik-adik tidur di jalanan.  Tapi ke mana?  semakin dikenang semakin perit rasanya.  Semakin sesak nafasnya.  Semakin sakit hatinya.  Semakin rindu kepada kedua orangtuanya.  Haikal mengambil surah Yassin.  Dia ingin sedekahkan surah itu kepada kedua orangtuanya.  Biar mereka aman di sana.   Matanya masih belum mampu dipejamkan.     Dia mencari ketenangan dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Semoga ada damai di hatinya walaupun hanya seketika.

Isnin, 27 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA- BAB 14



Rasa senak di jiwanya, rasa bersalah dalam hati menebal bagaikan besi waja.   Bagai terjun dalam gaung yang dalam terasa sakitnya.  Rasa mahu dia menjerit kepada emak saudaranya, sudah tumbuh berbagai rasa di hati.  Maisarah, Hani dan Haris duduk dipangkin sampai basah kuyup ditimpa hujan tengahari.  Sengaja dia meminta keluar  dari restoran tempatnya bekerja untuk menghantar makanan tengahari kepada adik-adiknya.  Haikal menerpa mendukung Maisarah yang terketar kesejukan.  Ya ALLAH…  hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya.
            “Haris, kenapa main hujan?  Kenapa tak masuk dalam rumah?” tanya Haikal kepada adik yang besar sedikit.
            “Mak su, tak bagi masuk rumah.  Suruh tunggu sini sampai abang balik,”  cerita Haris.  Haikal terduduk mendengarnya.  Kalau cuaca diterangi mentari tidak mengapa, ini hujan lebat dari pagi tadi.  Tergamak mak sunya buat adik-adiknya begini.  Apa dosa mereka?    Baharu sehari di bekerja, adik-adik sudah terabai dan tidak terjaga.  Adik-adik yang lain masih di sekolah.
            “Jom masuk rumah, salin baju.  Lepas itu kita makan nasi ya?” Rasa mendidih dalam hati.  Mahu sahaja dia bawa adik-adik pergi.  Tapi ke mana? Persoalan itu sering bermain dibenaknya.
            “Mak su! Mak su!” laung Haikal dari luar rumah. Pintu rumah berkunci.  Emak saudaranya ke mana? Rumah sunyi sepi, bagaikan tiada penghuni.  Berkerut dahi Haikal.  Pagi tadi  tidak pula emak saudaranya memberitahu apa-apa atau hendak ke mana-mana.  Bagaimana dia hendak masuk ke dalam rumah sedangkan seluruh tingkap dan pintu berkunci rapat.  Ya ALLAH adik-adik sudah menggigil kesejukan.  Hujan masih membasahi bumi, walaupun hanya renyai-renyai kini.  Maisarah dipeluh erat.  Haris dan Hani berpeluk tubuh menahan sejuk.  Haikal menarik tangan adik-adik berdiri di anjung rumah.  Pakaian di ampaian basah semuanya.  Haikal mengeluh keras.  Rasa mahu sahaja dia menangis ketika itu.  Sebentar lagi dia akan ke tempat kerja, adik-adik bagaimana?  Ya ALLAH baharu sahaja bekerja tidak mungkin dia meminta  cuti.
            “Long! Lapar, sejak pagi tadi, Haris dan adik-adik tak makan.  Kita minum air paip je.  Maisarah nangis minta susu, mana nak cari?”  kata Haris lagi. 
Terduduk Haikal mendengarnya.  Kepada Mak Su Tijah sudah dititipkan pesan, agar tolong-tolong melihatkan adik-adiknya. Dia membuka  bungkusan nasi.  Dia menarik adik-adiknya duduk bersila di anjung rumah yang dibasahi air  hujan.  Redhalah hati, redhalah jiwa.  Inilah dugaan buat dirinya adik-beradik.  Menangis air mata darah sekalipun kedua orangtuanya tidak akan kembali.  Terketar-ketar tangannya menyuapkan nasi ke mulut Haris, Hani dan Maisarah yang masih kesejukan.  Ya ALLAH janganlah adik-adik jatuh sakit, doa Haikal dalam hati.  Dia menahan diri dari menangis melihat adik-adik makan dengan lahapnya.    Hampir gugur air matanya melihat nasib hidupnya adik beradik.
“Long!”  Haida berlari mendapatkan Haikal dan adik-adiknya yang basah kuyup sambil menjamah makanan.    Haida mengesat  mukanya yang dibasahi air hujan. 
Halim turut berlari melangkah masuk ke anjung rumah.  Matanya melekat ke arah abang sulongnya yang duduk bersila di atas lantai yang basah.
“Kenapa tak masuk rumah?” tanya Halim, sambil mata memerhatikan keadaan rumah yang berkunci.
“Mak su tak ada?  Rumah berkunci.  Mak su tidak tinggalkan kunci rumah.”  Haikal terus menyuap adik-adiknya.  Tidak tergamak merenung wajah kedua-dua adiknya yang baru sampai ke rumah.
“Mak su tak ada?  Kenapa adik-adik basah kuyup, long?”  Haida membetulkan rambut Maisarah yang basah.  Adiknya  itu tidak menangis walaupun tidak mendapat susu, diberi air sejuk dia minum sahaja tanpa merintih atau merengek.  Bagaikan mengerti suasana yang berlaku.  Perut yang lapar, air juga yang diminta.  Hiba hati Haida.  Namun apakan daya.  Bersabar dengan ujian yang ada.  Itulah pesan arwah orangtuanya.
“Adik-adik tunggu along di pangkin, dalam hujan!”  kata Haikal dengan hati yang bernanah.  Dia mengenggam nasi sekuat tenaga melepaskan rasa sakit di hati atas perbuatan tidak bertanggungjawab emak saudaranya. 
“Ya ALLAH, long!”  Haida menangis sayu.  Maisarah didukung, dipeluk erat.   Hanya senyuman terukir di wajah kecil itu.  Menunjukkan perutnya yang kekenyangan.  Air sirap yang dibawa pulang oleh Haikal diminum dengan puas. 
“Biarlah Haida atau Halim berhenti sekolah.  Along pergi kerja, kena ada orang jaga adik-adik di rumah.”  Halim memberi cadangan. 
“Tidak! Jangan berhenti.  Nanti along fikirkan tentang adik-adik.  Tahun ini Halim ambil PMR, Haida UPSR, along akan cuba ambil SPM,  bersabarlah beberapa bulan lagi.  Tolonglah! Tidak ingatkah pesan arwah ayah dan ibu.  Biar apapun berlaku persekolahan  harus diteruskan,”  Haikal tidak setuju.  Pelajaran penting  dalam kehidupan. 
“Tapi long?”  Haida mendengus kasar.
“Haida bawa adik-adik ke sekolah?  Biar mereka tunggu di pondok dalam kawasan sekolah.  Haida boleh perhatikan adik-adi,” cadang Haida.
“Tak boleh?  Nanti pihak sekolah tanya, apa nak jawab?”  Haikal menolak juga.
“Habis tu?  Takkan nak tinggalkan adik-adik sendirian di rumah, tengok seperti hari ini, mak su entah ke mana?  Tiada siapa di rumah.  Adik-adik bermandi hujan!  Susahlah macam ini long!”  Halim mula berkeras.
“Along kata tidak! Tidaklah!”  tengking Haikal. 
“Duduk sini sampai mak su balik. Makan nasi itu.  Jam 5.00 petang along balik.  Tengokkan adik-adik,”  pesan Haikal sebelum berlalu kembali ke tempat kerjanya.  Dia sudah lewat 10 minit.  Nanti gajinya dipotong pula.
Haida dan Halim saling berpandangan. Baju Maisarah dibuka.  Lampinnya sudah penuh oleh air kencing.  Haida membawa adiknya ke paip di hadapan rumah.  Dia mandi dan bersihkan Maisarah.  Dia perah baju Maisarah tadi dan menyarungkannya kembali.  Mana ada baju kering.  Pintu rumah  berkunci, bermangga. 
            Halim mengetap bibir.  Sampai hati emak saudaranya meninggalkan adik-adiknya tanpa pengawasan orang dewasa.  Kawasan kampung itu rumah  antara satu sama lain agak jauh jaraknya, jadi tiada siapa perasan adik-adiknya bermandi hujan di luar rumah.  Halim mengeluh.  Fikirannya benar-benar tertanggu sehingga tidak mampu fokus pada pelajaran di sekolah.  
            “Angah, jom makan nasi,”  ajak Haida. 
            “Makanlah dulu, angah tak lapar?”    Halim menolak, tidak tertelan tekaknya.  Fikirannya berserabut dengan keadaan dan nasibnya adik-beradik.