Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 11 Disember 2014

BERCUTI DI PERLIS

















BERCUTI DI PERLIS
                Negeri Perlis Indera Kayangan, negeri kecil yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Inilah negeri tempat suamiku dilahirnya.  Mula menjejakkan kaki di negeri ini dalam tahun 1985, ketika itu aku hendak ke Langkawi bersama-sama rakan sekolah dan kedua orang tuanya.  Ketika itu negeri ini begitu asing padaku.  Usai meningkat dewasa dan bertemu jodoh dengan orang Perlis, negeri itu begitu dekat dengan diriku.   Perlis Indera Kayangan berjiran dengan negera  Thailand di sebelah utara dan Negeri Kedah di sebelah selatan.  Baru-haru ini aku  sekeluarga  bercuti di Perlis.  Awal pagi lagi, kami sudah bertolak dari Kedah ke Kuala Perlis.  Tujuan utama adalah untuk menjamu selera dan bersarapan di situ.  Walaupun sudah berulang kali menikmati laksa Kola atau Laksa Kuala Perlis, namun kesedapannya tidak pernah dinafikan.  Malah Laksa adalah menu utama di Kuala Perlis  untuk sarapan pagi selain kuih-muih dan nasi lemak.  Dahulu, waktu pertama kali aku menjejakkan kaki di Kuala Perlis, iaitu rumah mertuaku, Laksa dijual dalam bentuk ‘cap’  atau dilingkar di atas daun pisang yang dipotong kecil.  Satu ‘cap’ laksa RM0.50 sen sahaja.  Murah, kan?    Aku sendiri teruja apatah lagi dengan harga yang begitu murah, sedangkan sepinggan laksa di Kuala Lumpur ketika itu RM2.50 sepinggan.  Sekarang harga laksa sudah naik, namun masih lagi murah jika dibandingkan di tempat lain. Terdapat dua buah kedai yang terkenal menjual laksa, Kedai Kak Su dan Kedai D’Adna di pekan kecil Kuala Perlis. Tidak susah mencarinya, kalau tidak jumpa, boleh sahaja ringankan mulut bertanya kepada penduduk di situ.

                Usai sarapan dan menikmati beraneka jenis kuih-muih yang lazat serta semangkuk laksa, kami ke sebuah kedai menjual beraneka jenis kuih-muih tradisional Melayu, kerepek, maruku dan pelbagai lagi tidak berapa jauh dari situ.  Harganya murah dan rasanya tentulah sedap.  Setiap kali balik, pasti saya akan singgah beli.  Selepas itu  kami bertolak ke Padang Besar.  Gedung membeli belah yang terkenal di  negeri Perlis selain Wang kelian.  Tempat yang selalu menjadi tumpuan para pelancung yang singgah di Perlis atau Kedah.  Tujuan utama adalah untuk membeli jubah untuk anak-anak yatim yang dijaga oleh suamiku.  Memang murah.  Anak-anak kepenatan tetapi mereka seronok.  Kalau sebut Padang Besar pasti terbayang di ruang mata kita, barisan barangan pinggan-mangkuk, periuk belanga dan pakaian dengan harga berpatutan yang boleh dirunding harganya.  Pastikan datang waktu bukan cuti sekolah, jika tidak hendak cari tempat letak kereta pun susah, malah barangannya jauh lebih mahal.  Jadi kenalah pandai sesuaikan waktu untuk ke sana.
                Selesai membeli beberapa barang keperluan, kami menuju ke Gua Kelam yang terletak di daerah Padang Besar Utara.  Tempatnya yang dingin, berhutan dan sesuai untuk mereka yang cintakan keindahan alam.  Deruan air sungai yang menyapa telinga, memang mengasyikkan.  Kesejukan gua yang gelap dan hanya diterangi lampu di beberapa tempat agak menyeramkan juga kalau jalan  berseorangan.  Tidak pernah masuk ke dalam gua tersebut.  Waktu menyusurinya, telinga kita akan mendengar laluan air yang laju arusnya.  Warna airnya agak keruh, mungkin agaknya baharu sahaja lepas hujan.  Setelah penat berjalan melalui jambatan kayu yang merentangi kawasan tersebut, akhirnya tiba di satu kawasan lapang,  cantik sekali, sesuai sangat jika ingin mencari ilham bagi seorang pencinta alam.  Boleh berkhemah dan berkelah di situ.  Di luar Gua Kelam juga ada tempat rehat disediakan dengan pondok dan kerusi untuk beristirehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.  Mulanya hendak mandi-manda di situ tetapi memandangkan airnya yang agak keruh, kami batalkan niat tersebut.
                Kami seterusnya ke Batu Pahat, Perlis.  Ada Bukit Air, Taman Ular, Taman Burung, Taman Herba, Ladang Anggur juga terdapat di kawasan tersebut.  Jika ke tempat itu selain boleh mandi-manda boleh juga melawat beberapa tempat yang saya sebutkan tadi.  Terdapat sebuah resort di situ tetapi bagaikan terbiar.  Tempat yang cantik dan jika dipromosikan dengan baik pasti menjadi pilihan pelancung dari dalam dan luar Negara.  Kami akhirnya bawa anak-anak mandi-manda di Bukit Air.  Air terjunnya besar dan cantik.  Mungkin musim hujan, maka airnya laju dan agak keruh sedikit.   Ramai juga pengunjungnya ketika itu.  Kawasannya tidaklah terlalu bersih, namun masih boleh diterima.  Bau najis beruk dan monyet menyengat hidung.  Terdapat beberapa buah gerai menjual makanan ringan.  Ada sebuah rumah pondok dijadikan surau untuk mereka yang ingin bersolat.  Bilik air juga disediakan tetapi kurang bersih.  Mungkin pihak-pihak yang berkenaan boleh memperbaiki lagi keindahan tempat tersebut, terutama bilik airnya.  Jika perlu berbayar rasanya tiada siapa yang akan merungut.  Apa yang penting kepuasan mandi-manda di situ.  Memang cantik dan menarik sekali.  Salah satu tempat yang menarik  untuk bawa keluarga bercuti bersama-sama.  Dua jam mandi-manda di situ, setelah membersihkan diri baharulah kami bertolak kembali ke Kedah.  Banyak lagi tempat di Perlis yang tidak sempat dijelajahi seperti Bukit Kubu, Wang Kelian dan Tasik Melati. Kepada yang ingin mencari tempat bercuti.  Perlis adalah tempat yang sesuai.

ULASAN JOGHO YANG TEWAS

JOGHO YANG TEWAS
ROHANI DERAMAN
2013
RM33.00
***** Bintang

    Pak Ripin seorang tukang karut dikir barat, dengan hasil jadi penyanyi atau tukang karut dikir baratlah dia menyara dua orang isteri dan anak-anaknya.  Hidupnya bukan senang, membanting tulang siang dan malam, dia ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup dan pelajaran.  Anak sulong Pak Ripin, Setopa seorang pelajar yang cemerlang.  Berkat kecermelangannya, dia dapat melanjutkan pelajaran ke Universisi Al Azhar.  Pak Ripin sendiri berangan-angan agar anak sulongnya itu menjadi seorang ulama’ dan dia bersungguh-sungguh berusaha agar anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor itu.  Sanggup dia bergolok bergadai demi mencapai impian itu.  Begitu juga dengan adik-beradik yang lain serta kedua orang isterinya.  Demi memenuhi impiannya dan impian Setopa, Pak Ripin sanggup lakukan apa sahaja.  Harapan Pak Ripin, suatu hari nanti, Setopa akan balik bawa segulung ijazah dan membalas jasa mereka yang telah membantunya selama ini.  Namun harapan tinggal harapan.  Rupanya Setopa lupa diri, dan malu dengan kerja yang dilakukan oleh Pak Ripin.  Setopa beranggapan pekerjaan sebagai Jogho dikir barat adalah melalaikan, berdosa dan haram.  Hati Pak Ripin hancur, kecewa.  Dia tidak pernah menyangka, Setopa akan beranggapan begitu, sedangkan hasil titik peluhnya sebagai jogho dikir baratlah dia membesarkan anak-anaknya.

    Di kampung  yang sama tinggal sebuah keluarga, Mek Lijah dan anak-anaknya yang telah kehilangan suami dan ayah.  Azli, anak sulong berasa bertanggungjawab meneruskan harapan arwah ayahnya ingin melihat adik-adiknya berjaya, dia berhenti sekolah dan merantau ke Singapura.  Berhempas pulas mencari rezeki menyara ibu dan adik-adiknya yang sedang meningkat dewasa.  Segala penat lelahnya terbayar apabila semua adik-adiknya berjaya dalam pelajaran.  Azli tidak pernah kesal jika dia sendiri gagal melaksanakan impian dan cita-citanya.  Setelah merantau 20 tahun akhirnya Azli pulang membawa harapan tinggi untuk memajukan diri dan kampungnya.  Dia ingin menjadi petani moden.  Dengan bantuan kawan baiknya Husni, anak Pak Ripin daripada isteri kedua orang tua itu, Azli dibantu mendapatkan khidmat nasihat pejabat pertanian negeri.  Tanah terbiar dibangunkan dan akhirnya segala impiannya tercapai. 

    Hendak tahu kisah seterusnya, kenalah baca karya ini.  Siapa yang tewas sebenarnya?  Pak Ripin?  Mek Nab?  Sudin yang berhati dengki dan busuk hati?  Atau Setapo dan isterinya yang sanggup membuang keluarga hanya kerana kemiskinan?  Kenalah cari sendiri. 

    Jogho Yang Tewas bagi saya sebuah naskah berat yang sepatutnya diadaptasikan.  Karya yang sarat dengan limpahan kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya, kasih sayang seorang isteri dan keluarga madunya, sanggup dia berkorban apa sahaja.  Kasih sayang  adik kepada abangnya dan memenuhi impian orang tua, pengorbanan yang seharusnya ada dalam diri setiap insan yang bernama keluarga, saling sayang menyayangi antara satu sama lain.  Kasih sayang yang tumbuh di hati Husni, Zaiton dan Marini terhadap orang tua mereka begitu hebat di mata saya.  Pengorbanan yang bukan sedikit oleh Pak Ripin terhadap anak sulongnya.  Itulah harapan setiap manusia yang bergelar ayah dan ibu.  Sikap Setapo yang seakan tersesat dalam mencari jalan pulang walaupun ada pendidikan agama, sehingga mengenepikan keluarga yang banyak berkorban benar-benar membuat hati ini terbakar.  Biar buruk bagaimana ayah dan ibu, selayaknya mereka terus dihormati dan disayangi.  Sikap isteri Setapo yang sombong buat hati ini geram.  Tidak layak dijadikan seorang isteri jika mempunyai sikap tinggi hidung dan berlagak seperti itu.  

    Setapo, Sudin digambarkan sebagai anak yang tidak mengenang jasa, namun tetap diberi peluang untuk menjadi manusia yang berguna di pengakhiran cerita.  Husni, Marini, Zaiton, Azman dan Hasyimah digambarkan sebagai seorang anak yang taat dan hormat orang tua.   Siti Khadijah, Amin pula mewakili menantu yang baik dan taat, suami yang baik dan isteri yang bertanggungjawab.  Begitu juga dengan Mek Siah isteri kedua Pak Ripin yang mewakili isteri-isteri yang baik-baik di luar sana.  Berlainan Mek Nab yang kecewa lantaran suaminya berkahwin lagi sehingga menyimpan dendam terhadap madunya sendiri.

    Latar tempat di sebuah kampung  di Kelantan.  Gaya Bahasa percakapan banyak menggunakan dailek  Bahasa Kelantan.  Masih boleh memahaminya kerana sudah terbiasa bergaul dengan orang-orang Kelantan.  Tahniah kepada penulis kerana telah berjaya mengangkat  budaya Kelantan, Dikir Barat dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya.  Budaya jangan dilupa.  

    Apa yang boleh saya katakan.  Inilah karya yang bagus, yang seharusnya dibaca oleh sesiapa sahaja di luar sana, tidak kira peringkat usia.  Banyak tauladan yang boleh kita ambil darinya.    Kepada yang berminat mendapatkan karya ini bolehlah menghubungi penulisnya sendiri.  Rohani Deraman atau lebih dikenali Fida Rohani Novelis Alaf 21.

Rabu, 10 Disember 2014

ULASAN KOPI LADYKU

KOPI LADYKU
AINUL HAZRAH
ALAF 21
2013
RM25.00
609 muka surat
                Mengisahkan tentang Aisyah Anum yang berasal dari keluarga nelayan, berkenalan dengan  Izhar dan Baidura yang datang ke kampung Aisyah ketika meninjau projek yang sedang mereka bina di kampung itu.  Kedua beradik itu terpikat dengan ketulusan dan kepolosan Aisya atau Icha.  Mereka ingin membantu Icha mengubah kehidupan keluarganya.   Kemiskinan Icha membuatkan gadis itu bersetuju dan memujuk orang tuanya agar membenarkan dia mengikut Izhar dan Baidura berpindah dan bekerja di Kuala Lumpur.  Bermulalah kehidupan baharu buat Icha.  Dia tidak mengetahui bahawa Izhar dan Baidura adalah keturunan kerabat di raja dan dikalangan keluar berada.

                Icha diterima baik di dalam keluarga Izhar, malah dia disenangi dan disayangi oleh keluarga tersebut.  Sikapnya yang rempang, tulus, dan jujur memikat hati nenda Izhar dan bercadang menjodohkan Izhar dengan Icha.  Sikap manja Icha menawan  hati Izhar dalam diam.  Akhirnya mereka disatukan.  Sikap Icha yang manja dan lurus itu sehingga mudah sahaja dia menerima kata-kata orang di sekeliling sehingga menganggu gugat kebahagian mereka berdua.   Berlainan darjat dan kedudukan juga membuatkann hubungan mereka rengang.  Namun rasa cinta  yang ada bukan mudah untuk memisahkan mereka.  Sikap Izhar yang suka menuduh dan mengeluarkan kata-kata kesat ada ketika menghiris hati Icha yang sedar akan asal usulnya. 
                Suatu hari mereka bergaduh sehingga menyebabkan Icha pulang ke kampung dan ikut ayahnya ke laut menangkap ikan.  Icha hilang di laut.  Dia kembali dalam keadaan lumpuh.  Izhar yang berasa bersalah dan  terlalu sayangkan Icha sangguh bersusah payah menjaga isterinya yang lumpuh.  Mereka juga merahsikan perkara tersebut dari keluarga Izhar, Icha tidak mahu keluarga Izhar susah hati melihat keadaannya.  Selama mana perkara itu hendak disorok? 

                Apa yang berlaku seterusnya?  Mampukah cinta antara dua darjat yang berbeza ini hidup bahagia?  Mampukah Icha menyesuaikan diri hidup di kalangan kerabat di raja yang sudah berbeza sekali cara dan gaya hidup mereka?  Hendak tahu kisah seterusnya dan apa yang berlaku?  Jom dapatkan karya ini di pasaran.

                Kisah yang mampu membuatkan anda tersenyum sendiri.  Gaya Bahasa yang santai,  latar tempat tidak begitu jelas, namun rasanya di utara tanah air.  Kepada yang berminat dengan karya yang ada cinta, komedi dan sedih, bolehlah dapatkan karya ini.  Selamat membaca.


ULASAN AIR MATA RAJA

AIR MATA RAJA ( Jejak Pewaris Istana Melaka)
Shaharudin Haji Ali/ Norzailina Nordin
2011
DBP
RM55.00
960 muka surat

Saya mendapat tahu tentang buku ini apabila membuka Fb penulisnya Norzailina Nordin.  Tapi menanguhkan tujuan untuk membelinya sebab terpandangkan  buku yang masih belum dibaca di rak buku.  Tersusun kemas dan bagaikan meraung meminta saya menjengah mereka.  Apabila salah seorang admin BTL memaparkan karya ini di wall grup, hati melonjak ingin membelinya.  Ingin benar mengetahui apakah isinya?  Akhirnya saya membuat pesanan kepada penulisnya sendiri. Alhamdulillah dengan rendah hati, penulisnya sendiri menghantarkan ke rumah.
Karya yang baik untuk dijadikan kajian oleh pakar sejarah di luar sana.  Saya teruja membacanya,hanya mengambil masa empat hari saya menghabiskan karya ini sehingga ke garisan penamat.  Karya ini mengisahkan kisah sebenar yang dialami oleh  Paduka Raja Bendahara Tun Sri Lanang  ketika menulis karya besar Sejarah Melayu.  Kita yang buta sejarah dan hanya belajar sejarah waktu di sekolah, sudah pasti beranggapan Melaka kehilangan dan tiada waris setelah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

 Setelah membaca karya ini saya cuba memahaminya dengan cara dan pemikiran saya berpandukan dengan sejarah yang dipelajari waktu sekolah dahulu, saya cuba memahami perjalanan kisah ini.  Setelah membaca sehingga ke akhir, baharulah saya faham.  Bahawasanya, selama kesultanan Melaka wujud, Melaka diperintah oleh keturuan Tun Fatimah, anak bendahara Melaka yang mati dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah akibat fitnah.  Sedangkan waris sebenar dari keturunan Tun Teja, anak sultan Pahang ketika itu diketepikan, hanya kerana rasa bersalah Sultan terhadap keluarga Tun Fatimah.  Cuma  terdapat kekeliruan  di muka surat  356, tentang amukan Hang Kasturi dan berlawan dengan Hang Tuah.  Sedangkan di dalam sejarah yang dipelajari, setahu saya, Hang Jebat yang melakukan onar dan menderhaka.

Penceritaan yang bersahaja, mudah difahami, gaya Bahasa yang tidak terlalu berat sasteranya.  Malah mudah dihadam.  Bagaikan membaca   sebuah perjalanan sejarah yang berada di hadapan mata.  Tidak rugi mendapatkan karya hebat ini.  Adakah waris sebenar Kesultanan Melaka masih wujud sehingga ke hari ini?  Hanya mereka sahaja yang mengetahui.  Mungkin ada sebab tersendiri maka mereka masih tidak menuntut takhta yang ada.  Semoga segalanya menjadi terang dan nyata.


Selasa, 9 Disember 2014

PUJA

PUJA ( ISBN 978 967 446 051 8 )
MARIA KAJIWA
BUKU PRIMA
2015
496 muka surat
RM21.00

                Kisah bermula  400 tahun yang lalu sekumpulan tujuh buah keluarga  yang lari dari Pagar Ruyung  meneroka sebuah tanah di tengah hutan.  Sewaktu sedang menebang dan membersihkan kawasan yang telah mereka pilih untuk dijadikan kawasan penempatan baharu.  Tiba-tiba ribut melanda.  Waki yang menjadi ketua kumpulan mula bertindak untuk menyelesaikan masalah.  Rupanya tempat itu ada penunggu yang menjaga.  Waki tiada pilihan maka membuat perhitungan dengan ‘penjaga’ tempat itu walaupun dibantah oleh Alang yang kurang setuju dengan cara Waki.  Namun tiada apa yang mampu mereka lakukan lagi.  Mereka memberi makan 3 ekor ayam hutan yang dipatahkan lehernya, sebagai ‘habuan’ kepada ‘penjaga’ kawasan  tersebut.
                19 tahun kemudian, di tempat yang sama, kejadian yang sama berlaku lagi.    Tugas Waki diambil alih pula anaknya.  Kali ini manusia pula dijadikan mangsa.   Masa berlalu, waris ketujuh-tujuh keluarga semakin bertambah hari ke hari, bulan ke bulan, tahun ke tahun.  Keadaan masih sama. ‘Penjaga’ itu terus di puja sehingga kegenerasi ke 6.  Bukan semua keluarga yang ada setuju dengan apa yang dilakukan.  Yang kuat pegangan agamanya pasti akan membantah  perbuatan syirik yang berlaku.  Namun pada keluarga yang berasakan ‘penjaga’ itu telah memberi kesenangan kepada mereka langsung tidak membantah, malah mengikut sahaja.  Keluarga keturunan Alang Budiman memang menentang keras acara tersebut dan berusaha untuk menghapuskannya.  Jimmy@ Azim dari keturunan Alang Budi telah diberi mandate untuk menghapuskan gejala tersebut.  Jimmy@Azim ada masalahnya tersendiri yang disembunyikan daripada keluarganya.  Setelah hilang berbelas tahun akhirnya dia pulang juga.  Kepulangannya bagaikan memberi harapan kepada seluruh penduduk Kampung Silak Tua terutama ahli keluarganya sendiri.   Kampung Siak Tua baharu sahaja kehilangan ketua kampung dan sejak itu pelbagai kejadian aneh berlaku sehingga menganggu gugat ketenteraman penduduk kampung tersebut.  Jimmy berasa hairan kerana kampung itu sunyi dan ramai penduduknya telah berpindah keluar.  Kejadian bertemu manusia yang tidak berkepala dan berulat menjadi bualan penduduk kampung. 

                Jimmy terkejut apabila mendapat tahu ayahnya mati dibunuh?  Kenapa?  Akhirnya Pak Salleh menceritakan apa yang berlaku.  Jimmy tidak mahu mencampuri urusan penduduk kampung itu.  Kalau boleh dia ingin membawa keluarganya keluar dari situ.  Namun Johan adiknya membantah, ada wasiat ayahnya yang perlu ditunaikan.  Jika abangnya tidak sanggup, biarlah dia melakukannya.  Pak Salleh juga tidak mahu memaksa anak buahnya itu.  Masing-masing ada pegangan dan cara tersendiri.  Keadaan mula menjadi runcing dan membakar hati Jimmy apabila emak dan adik perempuannya diculikk untuk dijadikan mangsa pemujaan dan ‘habuan’ kepada ‘penjaga’ Batu Silak yang dijaga oleh keturunan Waki yang masih hidup.  Kematian ketua kampung itu dan pemilihan yang baharu terpaksa diteruskan jika tidak ‘penjaga’ itu akan mengamuk dan memusnahkan kampung tersebut, serta peluang untuk sebahagian lagi keturunan keluarga  tersebut tidak lagi mampu hidup senang.  Khairul adalah orang yang bertanggungjawab ‘menjaga’ penunggu Batu Silak itu.  Dia perlu mencari 3 orang untuk dijadikan mangsa ‘penjaga’ batu tersebut.  Keluarga Jimmy@Azim adalah mangsa seterusnya.

Mampukah Jimmy melakukannya?  Selamat dan amankah kampung itu kembali?  Mampukah Pak Salleh menamatkan  perbuatan syirik yang dilakukan oleh keturunan  Tok Waki?  Kalau hendak tahu, bagaimana dan apa yang berlaku, kenalah baca sendiri.
Karya yang baik dan tema yang berat diangkat menjadi sebuah novel popular. Kisah masyarakat yang percaya dan yakin serta takut dengan penunggu dan bersahabat dengan makhluk selain daripada manusia.  Perbuatan memuja dan menyembah selain daripada ALLAH sememangnya satu dosa yang nyata.  Dosa yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT adalah mensyirikkannya.  Kisah ini biasa kita dengar di dalam kehidupan masyarakat kita, namun tidak semua pernah lihat dan menempuhnya.   Latar tempat tidak terperinci sangat namun masih boleh dibayangkan.  Watak-watak yang kuat dan  membuat jalan cerita ini menarik.  Langsung tidak membosankan malah ingin cepat menghabiskan sebab hendak tahu penamatnya.   Karya yang wajib beli.  Tahniah penulis.