Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 22 Mac 2015

ULASAN FARIS LOVE LAYLA



FARIS LOVE LAYLA
BATIAH HADI
ALAF 21
RM25.00
597 muka surat

                Karya pertama Dr. Batiah Hadi.  Seorang pensyarah di UTM dalam bidang apa? Tidak pasti.  Terkejut juga apabila mengetahui latar belakang penulis ini.  Siapa kata penulis novel hanya terdiri orang yang biasa-biasa sahaja, ramai cikgu yang menjadi penulis novel.  Juga beberapa bidang profesion lain.  Satu kebanggaan buat penulis-penulis di Malaysia, terutama penulis wanita.  Berbalik kepada karya ini. Tema biasa yang ada di pasaran. Kisah kahwin terpaksa.  Namun cara gaya penceritaannya yang baik mampu menawan hati pembaca.
                Karya ini mengisahkan Faris anak hartawan yang mempunyai gaya hidup lepas bebas sehingga membuatkan keluarganya berasa kurang senang melihat tingkahlakunya.  Dia tinggal bersama ayah dan Tok Zauyah.  Toknya telah nekad untuk menjodohkannya dengan seorang gadis yang biasa sahaja tetapi mempunyai ciri-ciri gadis Melayu asli.  Tok Zauyah terpikat dengan penampilan Layla, anak kepada pemandu peribadinya.  Maka dia bercadang menjodohkan gadis itu dengan  cucunya.  Pada mulanya Faris menentang, tapi Tok Zauyah mengugut akan memberhentikan segala yang dimiliki oleh Faris sekarang membuatkan lelaki itu akhirnya bersetuju.
                Layla kecewa.  Dia baharu berangan-angan ingin menyambung pelajaran setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.  Puas orang tuanya meyakinkan setelah berkahwin nanti, dia masih boleh menyambung  pelajaran.  Dalam keterpaksaan akhirnya dia rela juga.  Berkahwinlah kedua pasangan yang saling membenci ini.  Ketika hendak mengenali satu sama lain, untuk menanam benih cinta di hati masing-masing berbagai perkara berlaku. Ujian demi ujian yang terpaksa mereka lalui dan tempuhi.  Akhirnya rumah tangga mereka rebah dan kecundang juga lantaran tidak ada kepercayaan antara satu sama lain.  Pertemuan semula setelah lima tahun merungkai segalanya.  Apa yang berlaku sebenarnya?  Kenapa mereka berpisah?  Kepada mereka yang meminati tema seperti ini, pasti teruja ingin mengetahui kisah selanjutnya.  Tahniah kepada penulis  ini.  Semoga terus menulis karya yang bermutu dan diminati pembaca.

Isnin, 16 Mac 2015

ULASAN BILA CINTA MENGGILA



BILA CINTA MENGGILA
AD RAHMAN AHMAD
ALAF 21
2015
RM21.00
                Karya kedua penulis ini, pertama dengan Alaf 21.  Hmmm…  satu percubaan yang baik.  Genre romantik/komedi. Menyentuh hati, menggeletek sesiapa sahaja yang membacanya.  Gaya bahasa yang santai tetapi penuh dengan bunga-bunga bahasa yang indah. Mudah di fahami. Latar tempat yang tidak begitu jelas,namun tidak mencacatkan jalan cerita.  Masih boleh terus membaca sehingga ke garisan penamat.  Cerita ringan tetapi penuh dengan pengajaran.  Jom kita tengok jalan ceritanya bagaimana.
                Yazid nama heronya, nama tak glamor langsung, jambul sebakul, orangnya kurus, belajar pun tak pandai tetapi punya hati yang jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, sejuk ibunya Siti Rozilah melahirkannya.  Tidak bercita-cita besar, tetapi tinggi angan-angan ingin memandu kereta mewah. Orangnya sempoi, cakap lepas tetapi penuh makna.  Berbudi luhur dan kasar dengan kawan sebaya tetapi hormat orang tua.  Bukan hero idaman yang serba sempurna tetapi molek dibuat menantu.  Setelah lama mengganggur akhirnya berkat bantuan teman sekampung@ sahabat dunia akhirat akhirnya dia  mendapat pekerjaan sebagai pemandu peribadi.  Pemandu sahaja pun, sukanya bagaikan mendapat pekerjaan sebagai pengurus.  Baginya asalkan halal dan dia tidak menyusahkan keluarga, apa sahaja pekerjaan yang diberi diterima dengan hati terbuka, yang penting dia harus bekerja bersungguh-sungguh, tidak boleh main-main. Ini tanggungjawab.  Kalau semua pekerja berhati seperti Yazid senang hati majikan.

                Tidak bermuka-muka, menjadi dirinya sendiri.  Pedulikan apa orang kata. Berkenalan dengan seorang gadis manis bernama Liza Wati yang cantik manis di Face Book. Gadis yang sama disukai oleh seorang lelaki bernama Azman Hussin.  Yazid tidak tahu bahawa Azman adalah anak majikannya, Datin Maznah yang baik hati dan telah banyak berbudi kepadanya.    Sehinggalah Azman pulang ke Malaysia dan mereta bertemu buat pertama kali di majlis menyambut kepulangan lelaki itu.  Terjadilah permusuhan antara mereka, gara-gara merebut hati perempuan yang sama.  Yazid berada rendah diri dan sedar siapa dirinya.  Azman pula memperlekehkan Yazid yang dianggap sebagai kulinya sahaja.  Liza Wati dalam dilema memilih seorang antara dua.  Memilih Yazid, hanya seorang pemandu peribadi atau Azman anak orang berada dan berpelajaran tinggi? 
                Malang menimpa, Azman lumpuh setelah jatuh dari tangga di rumahnya.  Tulang belakangnya patah.  Liza Wati pula terpaksa meninggalkan kedua jejaka itu untuk menyambung pelajarannya ke luar negara.  Cato Enzon pada mulanya amat membenci Yazid akhirnya jatuh hati dengan lelaki itu.  Rupanya Cato Enzon mempunya seorang anak, anak siapakah itu? Oleh kerana berasa terhina dengan sikap Azman yang asyik menyindir dan menghinanya membuatkan  Yazid berazam untuk menyelamatkan maruah dirinya dengan berhenti kerja. Dalam masa yang sama Yazid tahu rahsia kehidupan Azman sewaktu di Australia, bagaimana dia mengetahuinya? Adakah dia akan membocorkan rahsia itu kepada Liza Wati? Mahukah Yazid menerima kehadiran Cato beranak satu setelah Liza Wati meminggirkannya?  Siapakah pilihan Liza Wati antara Yazid dan Azman?  Mampukah Azman pulih semula?  Banyaknya persoalan yang perlu dijawab!  Hendak tahu bagaimana cerita ini berjalan, jomlah dapatkan karya ini. 

                Paling menarik pemilihan nama-nama watak, senyum sendiri saya dibuatnya.  Al-maklumlah nama-nama yang amat dekat dengan diri saya.  Begitu hampir dengan saya.  Pengajaran yang dapat saya kutip daripada cerita ini adalah siapa pun kita, biarlah tahu menghormati orang lain. Kedudukan yang tinggi, ada nama dan harta tidak mengizinkan seseorang itu memandang rendah kepada orang lain.  Sikap Mak Peah yang suka mencampuri urusan orang lain dan menabur fitnah tidak bagus bagi sebuah institusi atau syarikat.  Memberi peluang kedua kepada orang lain seperti yang dilakukan oleh Datin Maznah terhadap Cato adalah satu amalan yang baik.  Setiap orang perlu diberi peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik.  Kalau peluang kedua sudah diberi tetapi masih berada ditakuk lama, faham-faham sahajalah. 

                Nama kedai Gerai Makan Mak Cik Sombong memang membuatkan kita mampu tersenyum sendiri, ditambah dengan menu yang luar biasa namanya, buat kita ketawa guling-guling.  Kalaulah ada di luar sana, hendak juga mencuba. Kalau hendak tahu apa menunya?  Hah!kenalah baca sendiri.  Apapun karya kedua penulis ini tidak menghampakan.  Tahniah ya.  Semoga terus sukses dalam dunia penulisan dan berterusan menghasilkan karya bermutu dan disukai ramai.


Jumaat, 6 Mac 2015

ULASAN LORONG





LORONG
OTHMAN ZAINUDIN
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
2014


Karya penulis skrip dan pengarah ini tidak menghampakan, menarik jalan ceritanya. Mungkin juga mengambil contoh cerita Tangkuban Perahu di Indonesia, kisah anak gelandangan yang jatuh cinta dengan ibu kandungny sendiri. Ops! Bukan salah anak ya, dia telah dibuang oleh keluarga angkatnya dan hidup sebagai gelandangan. Tidak tahu pun perempuan yang dia cintai itu adalah ibu kandungnya sendiri. Keseluruhan cerita memang menarik, berlatar belakangkan zaman sebelum perang dan selepas perang. Ayah kandung kepada anak gelandangan ini pula, seorang pengarah teatera atau waktu itu digelar anak panggung.
Kepada para pembaca ingin membaca kisah yang berlainan, tentang hidup dalam masyarakata, bolehlah cuba karya ini. Banyak buah pemikiran penulis dikongsikan di dalam karya ini dilontarkan melalui watak Idrus. Setiap watak memainkan jalan cerita ini dengan menarik sekali. Kisah peniaga yang berdengki sesama sendiri, turut dipaparkan dalam karya ini, dilakarkan dalam watak Fatimah dan Wok. Sikap orang beragama dalam menilai seseorang, sendiri buat salah tidak perasan, tetapi kesalahan orang lain tampak di mata, dilukiskan dalam watak ayah Idrus yang menolak perkahwinan anaknya dengan Fatimah, begitu juga abang kepada Idrus yang sanggup meniduri emak tirinya sendiri, apabila wanita malang itu mengandung, dia dihalau keluar dan dihina. Anak yang dilahirkan dibesarkan oleh Idrus.
Zakir ada orang tua, tetapi kenapa dia hidup sebagai gelandangan? Hendak tahu bagaimana jalan cerita yang seterusnya? Jom dapatkan karya ini.

Selasa, 3 Mac 2015

KE MANA ARAH TUJU?





Gambar kredit - Cikgu Ana Zaidi.
                SPM, STAM, STPM, O Level semuanya sudah keluar dan anak-anak telah mendapatkan keputusan masing-masing.  Kepada yang cemerlang tahniah diucapkan.  Kepada yang kurang bernasib baik, kenalah muhasabah diri.  Di mana kekurangan, kenapa kita tidak berjaya dan kawan sekelas kita berjaya?  Tepuk dada tanya usaha.  Setakat mana kita berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Usaha kita bukan hanya dengan membaca buku atau mula belajar sejak di tingkatan 1 lagi.  Selain membaca, buat latih tubi, masuk kelas tuisyen.  Usaha yang paling utama adalah doa, dan menjaga hubungan kita dengan ALLAH SWT. Solat jangan lupa, doa jangan berhenti.  Kunci utama adalah menjaga hubungan kita dengan kedua orang tua dan juga dengan guru yang telah mencurahkan ilmu kepada kita.  Bagaimana dan setakat mana kita menghormati mereka?   Hormatilah  dan sayangi guru adik-adik, kerana tanpa mereka adik-adik tidak akan berjaya di hari ini.
                Setelah mendapat keputusan, mulalah ayah, ibu dan adik-adik sendiri sibuk mencari universiti dan kos yang sesuai dengan minat dan kelulusan.  Ada yang tahu hendak belajar apa, minat pada bidang apa dan hendak jadi apa.  Kepada yang tidak tahu, masih tercari-cari, tentu pening memikirkan kos yang sesuai dengan diri sendiri.  Jangan tergopoh-gapah membuat keputusan.  Setelah mendapat keputusan dan tidak tahu bidang apa yang hendak dipilih, hendaklah bertanya dengan kedua orang tua atau rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini.  Bertanyalah tentang kerjaya bidang yang kita akan pilih.  Pengetahuan tentang sesuatu bidang itu perlu agar kita faham apa yang kita pelajari sepanjang berada di universiti nanti. 
                Cenderung kita ke arah mana?  Minat melukis, bidang seni, minat memasak, minat bersukan atau minat bermain dengan angka.  Jangan terlalu bergantung kepada keputusan orang lain.  Mungkin minat seseorang itu tidak sama.  Kita pilih mengikut kerjaya yang ingin kita ceburi.  Jika tersalah pilih bidang yang hendak kita terokai, takut-takut terkandas di tengah jalan.  Ada universiti akan mengeluarkan pelajarnya jika di semester pertama tidak mendapat GPA  1.50 ke bawah.  Paling penting dan pastikan kita benar-benar minat dengan bidang yang akan kita ambil.  Jangan sia-siakan masa, peluang dan ruang yang ada.  Jangan leka  berpacaran sehingga mengabaikan pelajaran.  Masa itu akan tiba jua.  Tumpukan perhatian mengejar impian dan minat dahulu, usai belajar, baharulah fikir untuk mencari jodoh. Kalau sudah sampai serunya, pastikan kedua-duanya mampu mengapai bintang.  Pilihan di tangan kita.  Kehidupan kita, kitalah yang menentukannya. 
                Ketika di universiti, jangan lalai dan leka.  Peluang yang ada begitu amat berharga.  Kejarlah kejayaan untuk masa hadapan sendiri, balaslah jasa kedua orang tua dengan segulung sijil yang amat bermakna.  Jangan berfoya-foya waktu dan ketika sedang belajar.  Hanya singkat sahaja kita terpaksa bergelumang dengan nota dan tesis.  Panjang lagi masa untuk kita di luar sana dalam alam pekerjaan.  Keputusan yang baik terletak setakat mana usaha kita.  Setakat mana kita menjaga hubungan baik dengan ALLAH, kedua orang tua dan juga dengan pensyarah/ guru yang telah menurunkan ilmu kepada kita. Pilihlah bidang yang amat kita sukai, jika tiada pilihan, pilihlah kerana kita rasa mampu membawanya.  Semoga adik-adik terus berjaya  di dunia dan akhirat.